31 October 2011

Kadangkala Tarbiyyah Boleh Datang Dalam Bentuk Game Juga #3

[Kredit]

Dah lama saya tak tulis pasal permainan riang gembira yang boleh memberi faedah besar kepada kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan tarbiyyah diri kan..? 

Baiklah. Izinkan untuk saya berkongsikan satu lagi permainan yang saya jamin boleh meningkatkan tahap adrenalin dan meningkatkan kecekapan dan merungkaikan neuron-neuron otak anda yang sudah berserabut itu. Wahahaha.. Permainan ini amat sesuai dimainkan di dalam konferens riang Saya Hosem (SH) kerana pengajaran dan nilai-nilai moral yang terkandung di dalamnya. Tetapi sesuai juga dimainkan di dalam bulatan gembira anda; jangan risau, saya tidak akan menyaman anda kerana tidak memainkannya dalam format konferens riang! Gelak keji sedikit.

Begini. Untuk memainkan permainan ini dengan berkesan, jumlah pemain yang disarankan adalah lebih daripada lima orang dan tidak melebihi sepuluh orang. Maknanya, kalau permainan ini dimainkan di konferens riang, pecahkan para peserta mengikut kumpulan dalam kira-kira tujuh atau lapan orang bagi setiap kumpulan. 

Untuk bermain permainan ini, setiap kumpulan hanya memerlukan sehelai kertas dan sebatang pen. Kalau anda rajin dan pemurah, boleh juga bekalkan satu set pensel krayon untuk setiap kumpulan. Tidak perlulah cat minyak dan kanvas kulit antelop yang mahal itu. Wahaha.. Err, ok syok sendiri pula.

Beri arahan supaya para peserta duduk di dalam kumpulan masing-masing di dalam satu barisan yang memanjang ke belakang. Beritahu pada mereka, insan bertuah yang duduk di belakang sekali jika boleh hendaklah seseorang yang pandai melukis. Panggil makhluk yang duduk di depan sekali untuk datang ke hadapan. 

Ha, sekarang ni adalah bahagian yang paling penting dan cukup mengujakan. Kumpul mereka ini (yang duduk paling hadapan tadi) dan bawa mereka ke suatu sudut yang agak jauh daripada ahli-ahli kumpulan yang lain. Reka satu cerita yang boleh tahan kompleksnya dan ceritakan kepada mereka ini.

Boleh jadi ceritanya berbunyi begini:

"Seorang lelaki bermisai tebal yang mencecah telinga, sedang berjalan-jalan di tebing sungai. Tidak jauh daripada lelaki itu, seekor tenggiling sedang bermain kejar-kejar dengan seekor kijang. Tiba-tiba air berkocak dan keluar seekor beruang polar yang sedang menggigit seekor udang galah. Seorang mak cik yang berbaju kurung yang juga menyaksikan perisitwa itu begitu terkejut sehingga dia menjerit 'Opocot mak kau!'"

Atau..

"Di sebuah kota metropolitan yang canggih lagi moden, kelihatan seekor raksasa gorgon sedang dalam perjalanan untuk menghapuskan kota tersebut. Seeorang kanak-kanak yang terserempak dengan raksasa itu, menangis ketakutan sehinggakan lolipop yang dimakannya jatuh ke tanah lantas dikerumuni semut. Seorang hakak yang memakai tudung labuh yang baru habis membeli-belah pula terus pengsan apabila ternampak raksasa itu. Dari jauh kelihatan Otromen sedang terbang menuju ke arah raksasa itu. Sekumpulan tok-tok aji yang sedang bermain dam haji bertepuk-tangan gembira sambil mengucapkan 'Alhamdulillah!' apabila melihat kedatangan Otromen itu."

Boleh juga..

"Seorang pahlawan zaman Melayu Melaka yang tersisip kemas keris di tepi pinggangnya dan juga memakai songket sedang menunggang seekor harimau di dalam sebuah hutan yang penuh dengan flora dan fauna. Sebuah sungai mengalir tidak jauh dari situ dan kelihatan seekor kura-kura tua di dalamnya. Sebuah pokok tersergam dan di atasnya seekor burung rajawali sedang berbual mesra dengan seekor tupai. Kelihatan juga seeorang mak cik yang sedang menjual nasi lemak sambal ikan bilis dengan harga lima pulosen sebungkus di situ."

Terpulanglah pada kreativiti kepala hotak anda, asalkan ceritanya kompleks dan cukup berwarna-warni. Pastikan anda bercerita dengan jelas dan sekali lalu sahaja. Selesai bercerita, peserta yang sudah mendengar cerita daripada anda itu, hendaklah memanggil peserta di belakangnya tadi ke hadapan dan menceritakan semula kepada rakannya itu apa yang didengari dan difahaminya. Pastikan peserta yang ketiga tidak dapat mendengar apa yang peserta pertama ceritakan kepada peserta kedua.

Pastikan cerita atau mesej disampaikan pada peserta yang seterusnya, tanpa didengari oleh peserta yang lain! [Kredit]

Teruskan permainan sehinggalah peserta terakhir dipanggil ke hadapan. Seusai dia mendengar cerita daripada peserta kedua yang terakhir, dia hendaklah segera melukiskan suasana atau situasi yang didengarinya itu, tanpa bantuan daripada ahli-ahli kumpulannya.

Saya kira kini anda sudah boleh mengagak bukan permainan apakah ini sebenarnya? Ya, ada orang memanggilnya sebagai Bisikan Cina (Baca: Chinese Whisper). Ada juga yang menamakannya Telefon Rosak. Saya..? Saya gelar permainan ini sebagai 'Game Syahadatul Haq.' Baru kool.

Pada konferens riang hujung minggu yang lepas, buat pertama kalinya saya telah bermain permainan ini bersama hadek-hadek yang mendengar pengisian Saya Hosem. Dan saya telah mereka-reka cerita seperti contoh yang ketiga di atas ondedot ketika itu juga. Pada mulanya niatnya hanya untuk menghilangkan rasa bosan maksima dan mengantuk tahap beruang koala. Tetapi terus saya mendapat ilham permainan ini punya ibrah dan pengajaran yang cukup besar untuk diaplikasikan kepada pengisian Saya Hosem itu. Sumpah osem.

Namun begitu, saya ada amaran tiga perempat keras untuk anda. Permainan ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk memecahkan perut atau usus besar anda. Sumpah. Saya sendiri entah berapa gelen air mata yang dirembeskan akibat tidak tertahan melihat hasil akhir permainan ini. 

Mari saya kongsikan lukisan-lukisan bertaraf Picasso yang telah dihasilkan oleh hadek-hadek ini. (Maaf, anda terpaksa bayangkan di dalam kepala sahaja. Tidak berkesempatan untuk skan hasil lukisan mereka.)

Daripada empat kumpulan yang ada, hanya satu sahaja yang hampir-hampir tepat menghasilkan lukisan yang menggambarkan situasi sebenar. Hampir sempurna, kecuali mereka gagal menggambarkan kura-kura di dalam sungai adalah kura-kura yang sudah lanjut usianya. Kumpulan kedua yang paling tepat, hampir semua watak dan situasi berjaya digambarkan dengan tepat, malah nasi lemaknya siap dengan harga dan sambal ikan bilis di sebelah. Memang terbaik, kecuali satu; burung rajawali berbual mesra dengan kera dan bukannya tupai. Peluh kecil.

Tiada kedudukan ketiga atau keempat kerana, err, kedua-dua kumpulan yang selebihnya menghasilkan lukisan yang cukup 'sesat' lagi menyesatkan. Hohoho.. Satu kumpulan melukis mak cik sedang berbual mesra dengan burung rajawali di atas pokok. Tiada sebarang nasi lemak kelihatan. Kura-kura juga hilang entah ke mana. 

Kumpulan satu lagi lebih mengharu-birukan. Mak cik itu sedang bertenggek di atas pokok dan melaungkan 'Nasi Lemak...!' sambil.... MEROKOK. Ya. Merokok. Dan pahlawan Melayu Melaka pula sedang memegang mangkuk berisi sup tulang di tangannya. 

Sekarang anda boleh bayangkan bukan, risiko besar yang dihadapi oleh perut dan paru-paru saya ketika itu. Peluh besar menitik-nitik.

Oleh sebab itulah permainan ini lebih sesuai dimainkan di dalam konferens riang berbanding bulatan gembira, kerana anda berpeluang untuk melihat lebih banyak hasil seni dan karya yang menggeletek buah pinggang dan pankreas anda. Wahahaha.. 

Baiklah, sekarang saya akan beri anda masa dan peluang untuk memikirkan pengajaran dan ibrah daripada permainan ini (padahal sebenarnya malas nak tulis sekarang. Hohoho...). Saya telah pon memberi panduan yang permainan ini punya aplikasi yang cukup besar untuk Saya Hosem. 

Nah hamek satu lagi hint dari saya! [Kredit]

Maka saya kira anda yang cukup bijak dan cekap di luar sana, pasti tidak punya masalah untuk menaakul dan memproses pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam permainan ini bukan..? Jangan segan-segan untuk meninggalkan komen anda yang penuh bergaya itu tahu..? Jangan nak kedekut sangat berkongsi ilmu dan rahsia yang terkandung di dalam permainan ini dengan kami semua! (Err.. Bunyi macam ironik je.. Peluh.)

Dan oh, seperti biasa, sekiranya anda membuat keputusan untuk bermain permainan ini, seperti biasa, saya tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa atau kehilangan harta-benda, baik milik persendirian atau kerajaan tempatan. Sayugia sekiranya anda betul-betul mahu mengambil risiko bermain permainan ini, pastikan anda pasang tali pinggang dan topi keledar keselamatan..! Wahahaha..

Selamat mencuba! (Err.. Tapi anda mungkin mahu menunggu pengajarannya dahulu..) 

Sekali lagi.

Selamat mencuba bermain permainan ini setelah anda faham dan hadam betul-betul pengajarannya nanti..! Hoyeeaahhh!

Senyum sambil membuat tanda aman.

-gabbana-

Nota Mengantuk Di Pagi hari #2

[Kredit]

Salaam a'laikum dan selamat hari Isnin yang biru (Baca: Monday's Blues).

Saya ada satu idea yang boleh tahan logik dan bergaya.

Anda rasa-rasalah, kalau saya nak buat satu pertandingan video, akan mendapat sambutan yang hangit hangat lagi mengujakan tak..?

Pertandingan menghasilkan video-video dakwah dan tarbiyyah yang kool dan sumpah osem di abad ini. Dan Insha-Allah saya akan mencari para hakim yang arif, adil lagi bijaksana untuk menghakimi hasil-hasil karya anda yang saya yakin cukup bergaya. 

Bagaimana..? Ada bran..? Kalau ada, sila respon pada post ini dan saya akan membuat keputusan yang cukup penting untuk kemaslahatan manusia sejagat dalam masa yang terdekat ini.

Kacang pis.

-gabbana-
 

28 October 2011

Krisis Tegar Milenia Ini

[Kredit]

Apa perasaan anda agaknya kalau sahabat yang amat kita percayai, khianat dan menjahanamkan kepercayaan kita kepadanya?

Dan lebih meremukkan jiwa serta mengoyakkan hati sekiranya sahabat tersebut adalah sahabat hoyeeaaahhh yang bersama-sama anda di atas jalan ini?

Pasti luluh, lebur kepercayaan kita kepadanya bukan..? Pasti sakit dan pedih hati, jiwa dan perasaan bukan? Dan pasti kita mengalami krisis kepercayaan; yakni kita sukar untuk mempercayai siapa-siapa, kerana orang yang paling kita percayai sendiri tergamak untuk menzalimi kepercayaan kita kepadanya. Bukan begitu?

Ya, krisis kepercayaan.

Membaca dan mentadabur ayat-ayat surah al-Mumtahanah, juga cuba memahami bait-bait menusuk kalbu nukilan Sayyid Qutb dalam tafsir zilalnya, tidak dapat tidak, kita terfikir bagaimana agaknya krisis atau dilema yang dihadapi oleh ar-Rasul SAW ketika dia dikhianati oleh seorang sahabat yang dipercayainya. Dan yang lebih penting, apakah tindakan baginda SAW dalam menghadapi krisis kepercayaan sebegitu. Adakah baginda gopoh membuat konklusi? Atau baginda berasa kecewa dan marah dengan apa berlaku? Atau mungkin juga baginda selepas daripada peristiwa itu tidak dapat lagi mempercayai sahabat tersebut?

Kepada anda yang kurang pasti dengan apa yang saya bebelkan di sini, izinkan saya berkongsi sedikit-sebanyak kisah yang berlaku, yang dijadikan sebab turunnya beberapa ayat (asbabun nuzul) dari surah al-Mumtahanah itu. 

Kisahnya bermula apabila Nabi SAW menerima wahyu berbentuk arahan untuk membebaskan kota Mekah dari cengkaman kafir Quraisy. Sayugia baginda berkongsikan perancangannya dengan beberapa orang sahabat yang terpilih, yang mana salah seorangnya adalah Hatib Ibn Abu Baltaah r.a.. Tanpa diketahui sesiapa, Hatib telah menulis sepucuk surat, menggariskan perancangan Nabi SAW dan dikirimkan kepada seorang wanita kafir Quraisy Mekah yang ingin pulang ke kota itu.

Tujuan Hatib menulis surat itu adalah kerana dia bukan berbangsa Quraisy; dia tiada saudara-mara di Mekah. Harapannya, sekiranya dia membocorkan pelan Nabi SAW itu kepada para pemuka Quraisy, sudah pasti mereka akan terhutang budi kepadanya lantas akan melindungi keluarga dan harta-bendanya di Mekah. Namun Allah tidak mengizinkan rancangan hatib ini untuk menjadi kenyataan. Allah menurunkan wahyu kepada Nabi SAW dan lantas baginda menghantar 'Ali r.a., Zubayr al-Awwam r.a. dan Abu Marthad r.a. (ada riwayat lain yang mengatakan bukan Abu Marthad) untuk mengejar wanita utusan Hatib itu ala-ala kudaku lari gagah berani. Eh.

Wanita itu berjaya dikantoikan oleh para sahabat yang diamanahkan oleh baginda. Setelah isi kandungan surat itu dibaca dan diteliti Nabi SAW, baginda memanggil Hatib untuk datang menghadap dan membela diri. Apa yang signifikan dengan keterlibatan Hatib dalam 'konspirasi' ini adalah kerana beliau merupakan salah seorang daripada tiga ratus tiga belas orang ahli Badr. Kedudukan ahli Badr di sis Nabi SAW dan Allah adalah amat mulia dan tinggi.

Di sinilah kisah ini menjadi lebih menarik untuk kita sama-sama hayati.  

Sebelum saya meneruskan cerita-ceritu ini, anda bayangkan kalau kita yang berada di tempat Nabi. Atau para pemimpin zaman ini yang berada di tempatnya. Agak-agaknya apa reaksi kita atau mereka? Paling koman pon muka kita bertukar menjadi merah cili salsa pedas atau sekoyong-koyong pelempang Jepun hinggap di muka Hatib. Atau ego dan amarah menguasai diri sehinggakan kita tidak tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan daripada Hatib, atau sekiranya ada penjelasan sekali pon, kita sukar untuk menerimanya.

Jika diikutkan dari pemikiran konvesional, tindakan sebegitu tampaknya seperti normal atau 'serve it right' bak kata Pak Cik Edward Collins. Ok random. Yalah, kesalahan mengkhianat rahsia negara yang bisa mengancam keselamatan dan kestabilan sesebuah negara sewajarnya dikenakan hukuman yang paling berat. Malah kalau dilihat kepada undang-undang mana-mana negara sekalipun, kesalahan khianat atau treason ini kebiasaannya akan dikenakan dengan hukuman maksima yang boleh dijatuhkan, termasuklah hukuman mati (capital punishment) di sesetengah negara. Tidak hairanlah 'Umar al-Khattab r.a. yang amat terkenal dengan ketegasan dan kebrutalannya itu, menawarkan untuk memenggal kepala Hatib.

Di mana-mana pon pengkhianat dikehendaki dan akan dikenakan hukuman berat! [Kredit]

Tetapi apakah yang dilakukan oleh baginda selaku khatimul anbiya', qudwah hasanah, kepala umat dan kekasih Allah?

"Apakah tujuan kau berbuat begini?" 

Tanya Rasulullah SAW kepada Hatib.

Subhanallah! Lihatlah! Dalam keadaan sebegitu genting sekalipon, dalam keadaan negara Islam Madinah terancam, dalam situasi di mana pelan membebaskan kota Mekah hampir-hampir terkantoi, Nabi SAW masih boleh bertindak rasional dan meminta penjelasan daripada Hatib..! Bela diri kau Hatib kerana kau tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah! Seolah-olah begitulah kurang lebih maksud Nabi SAW.

Dan anda tahu apa yang lebih osem..? Setelah mendengar penjelasan Hatib, baginda SAW selaku ketua negara dan hakim umat Islam berhak sahaja untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada Hatib. Walau apa pon alasan atau hujah yang diberikan oleh Hatib, beliau tetap melakukan satu jenayah besar, bukan sahaja kepada Nabi SAW malah kepada seluruh umat Islam ketika itu. Hatib wajar dihukum. Tetapi benarlah Nabi SAW itu adalah rahmat untuk seluruh alam; tindakannya selepas itu menjadi mutiara-mutiara yang tidak terbanding nilainya untuk menjadi pengajaran buat kita semua sehinggalah ke hari ini.

Kata baginda SAW:

 "Cakapnya (Hatib) memang benar. Oleh itu janganlah kamu berkata apa-apa melainkan yang baik-baik sahaja.."

Enuff said. Rasulullah SAW memang sumpah osem. Tiada ragu-ragu tentang itu.

Saya tutup kisah Hatib bin Abu Balta'ah r.a. di sini. Kalau anda teruja mahu tahu lebih lanjut, bolehlah mencari tafsir surah al-Mumtahanah Fi Zilalul Quran (Di Bawah Lembayung al-Quran) karya agung Sayyid Qutb. Memang saya rekomen tahap tenggiling. Kisah ini juga termaktub di dalam kitab al-Maghazi karya Imam al-Bukhari dan boleh juga dijumpai di dalam Sahih Muslim. 

Yang lebih utama adalah pengajaran atau ibrah yang boleh kita sedut sedut pakai hampagas cap Elektrolak daripada kisah ini, untuk membantu kita menangani krisis kepercayaan yang mungkin pernah melanda kita, nenek kita atau abang ipar sepupu belah mak jiran sebelah rumah kita. Errr..

Maha Suci Allah yang menjadikan tiada konsep kebetulan dalam hidup ini, kerana sungguh, kebetulan itu adalah bahasa Argentina. Ketika saya sendiri sedang mengalami krisis kepercayaan ini, hati saya menjadi begitu gundah gulana. Resah, tidak tenang dan begitu banyak perkara yang bermain di dalam kepala. Dan yang lebih marabahaya, begitu banyak dzan (sangkaan) yang berlegar-legar di dalam hati dan jiwa.

Ish, takkanlah dia tergamak nak buat macam tu..

Biar btol... Macam mana aku nak percaya kat dia lagi lepas ni..?

Akhi! Apa yang nta buat ni salah! Zalim! Nta dah rosakkan kepercayaan ana pada nta!

Haih tak fahamla aku kenapa dia sanggup buat macam tu. Ish.. Takkan kot...

Sungguh, hati bergelojak. Berkecamuk. Bergelora. Bisikan-bisikan nafsu dan syaitan begitu kuat bermain di dalam kepala, sehinggakan kedengaran seperti datangnya daripada hati sendiri. Allah...

Dan kemudian saya diketemukan dengan tafsir surah al-Mumtahanah ini. Masha-Allah. Saya dibawa menelusuri sirah Nubuwwah, melihat bagaimana ar-Rasul SAW yang mengalami krisis yang hampir sama malah lebih menggugah jiwa, dengan tenang menanganinya. Maha Suci Allah, Tuhan, Raja dan Pemilik sekalian alam.

Hasil penelitian dan tadabur saya sendiri yang komfem banyak kelemahan dan sungguh picisan ini, saya ketemukan LIMA pengajaran utama yang boleh kita ambil dan cuba praktikkan dalam menghadapi dan menangani sebarang bentuk krisis kepercayaan di masa hadapan:

1) Tenangkan diri. Jangan cepat menggelabah. Cubalah menjadi serasional yang mungkin. Dalam keadaan kita cemas, tak tentu arah dan panas punggung, ketika inilah kita paling mudah untuk menerima bisikan-bisikan jahat syaitan dan hawa nafsu yang sememangnya sentiasa menanti-nanti peluang untuk merosakkan ukhuwwah yang telah terbina.

2) Hapuskan segala dzan yang ada selagi mana kita tidak mempunyai bukti yang benar-benar kukuh. Katakan pada diri, "Ish, dia mesti ada sebab untuk lakukan sedemikian. Apa kata aku tunggu dulu penjelasan daripada dia heyy!" atau "Aku je kot yang salah faham ni. Mesti ada eksplenesyen ni insha-Allah. Aku yakin.." Ingat! Kalau kita tidak suka orang bersangka-sangka pada kita, espeseli sangkaan yang buruk lagi huduh, maka kita juga sewajarnya bersikap dengan sikap yang serupa.

3) Bertemu muka dengan sahabat/rakan kita itu. Minta dia jelaskan apa yang berlaku secara muka bertemu muka. Jika masih tidak puas hati, bertanyalah sehingga anda benar-benar yakin dan tenang. Dalam keadaan sebegini, amat penting kita melihat riak wajah, kelakuan dan emosi sahabat kita itu, untuk kita lebih faham keadaannya yang sebenar. Mesej juga dapat disampaikan dengan lebih efektif. Percayalah, sms, panggilan telefon, email apatah lagi MukaBuku tidak akan menyelesaikan masalah, malah kemungkinan besar akan memburukkan lagi keadaan. Dalam hal ini, sememangnya Mark Zuckenberg wajar dipersalahkan untuk begitu banyak salah faham yang berlaku. Eh.

4) Berfikir dengan rasional. Jangan gopoh dalam bersetuju atau membangkang. Dengar dan kaji dengan teliti setiap hujah, alasan atau bukti yang dinyatakan. Ambil masa untuk membuat keputusan. Beri peluang untuk sahabat anda itu jelaskan dengan terperinci, jelas dan sehabisnya. Hanya bercakap atau mengomen ketika perlu atau diminta untuk berbuat demikian.

5) Akhir sekali, buatlah keputusan yang dipandu dengan cahaya keimanan dan keyakinan yang berdasarkan ketelusan dan kejujuran hati. Seandainya sahabat kita itu punya alasan yang kukuh dan relevan, maka buanglah ego kita ke tepi dan terimalah alasan yang diberikan. Jernihkan semula ukhuwwah yang mungkin sudah berbalar itu. Dan seandainya terbukti sahabat kita itu benar-benar melakukan kesilapan dan terbukti dia telah melakukan khianat, tegur dan nasihatlah dia dengan baik dan penuh kasih-sayang. Paling baik sekiranya anda mampu untuk memaafkan dia. 

Ya ukhuwwah mungkin sudah tidak sama seperti dahulu (ok sedih..), tapi apalah guna berdendam dan menyimpan kesumat hingga ke liang lahad? Ampunkanlah dia dan insha-Allah, Allah akan mengganjari kita dengan balasan yang tidak terbayang oleh pemikiran manusia biasa kita. 

Ukhuwwah itu seperti batu-bata, asas di dalam gerakan dakwah ini. Maka jika ada masalah, kena selesaikan dengan segera, takut-takut kita membina asas-asas yang lemah dan tidak kukuh! [Kredit]

Begitulah. Lima ibrah yang saya kira dapat mempersiap diri kita untuk lebih bersedia sekiranya kita menghadapi krisis kepercayaan. Ya, tidak semudah memakan biskut cap ping pong yang dicicah dengan air teh 'o panas, terutamanya yang nombor lima itu, tetapi cubalah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita, insha-Allah Dia akan permudahkan dan tunjukkan jalan.

Oh, jangan lupa untuk berdoa! Apa-apa pon yang kita lakukan, sekiranya disertai dengan doa yang ikhlas dan munajat yang tawajuh, apa-apa keputusannya nanti, kita pasti yakin itulah yang paling kool dan osem untuk kita.

Nah, ia bukan lagi satu krisis yang tegar bukan...?

Senyum kenyit mata.

-gabbana-

Akan berpergian untuk berkonferens riang selama dua hari. Maka selama itu juga belog ini tidak akan dihapdet. Jika ada sekali pon, hanya slot Riadhah Otak sahajalah di malam Ahad nanti.

Selamat berhujung minggu! Pastikan hujung minggu ada dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya! Adios amigos! Eh. Salaam a'laikum! ;)

27 October 2011

Nota Ringkas Yang Seriyes Di Petang Hari #5

"Seorang bapa meliwat anak lelakinya yang berusia dua puluh lima hari.."

"Tiga daripada enam remaja berumur antara 18-28 tahun pernah terlibat dengan gejala zina.."

"Tiga kanak-kanak berusia antara 10-11 tahun ditangkap atas dakwaan merogol dan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun..."

"Seorang remaja mendedahkan yang dia sudah mula mengamalkan gaya hidup seks bebas sejak berusia dua belas tahun lagi.." 

"Seorang remaja perempuan berusia empat belas tahun dijumpai dalam keadaan lemah kerana baru sahaja melahirkan seorang bayi. Sebelum itu empat lagi kandungan pernah digugurkannya..."


[Kredit]

Masyarakat sedang sakit tenat. Dan apa yang telah kita lakukan?

Sibuk bergaduh, bertelagah cara berdakwah siapa yang lebih tepat, yang lebih hebat.

Masyarakat sedang terkapai-kapai, sudah mahu jatuh ke dalam jurang neraka. Dan apa yang telah kita lakukan?

Begitu asyik berdebat siapa yang patut dihantar ke mana, kawasan mana yang tidak boleh dimasuki dan hey sila perhatikan dia itu sungguh saspisyes orangnya!

Masyarakat sedang nazak, menanti-nanti tabib untuk merawat mereka. Dan apa yang telah kita lakukan?

Begitu bersemangat mencari kesalahan orang lain, rancak menyalahkan orang ini dan galak menuding orang itu. 

Masyarakat sedang lemas, terkontang-kanting menanti penyelamat untuk menarik mereka ke darat. Dan apa yang telah kita lakukan?

Larut dalam keriangan berukhuwwah, berana-enta , berbulatan gembira dan tak sabar-sabar menantikan konferens riang yang seterusnya.

Wahai, masyarakat di luar sana sedang berada di dalam kegelapan yang lebih pekat daripada kehitaman malam. Dan selama ini, apa yang telah kita lakukan..?

Ada kita tunjukkan mereka jalan? Ada kita suluhkan mereka dengan cahaya kebenaran? Ada kita pimpin tangan mereka yang dahagakan panduan?

Atau kita hanya syok berhalaqah, riang berdaurah dan gembira berusrah? Kita sangkakan kita sudah bekerja, walhal apa yang kita lakukan hanyalah berbulatan gembira dua-tiga kali seminggu dan sekali-sekala berkonferens riang? Kita rasa sudah cukup berkorban masa, tenaga, emosi dan jiwa kita, sedangkan apa yang kita lakukan selama ini hanyalah duduk diam tidak berbuat apa-apa...??

"Sekiranya kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu.."
[Muhammad, 47:7] 
 
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri.."
[ar-Ra'ad, 13:11]

Wahai! Bangkitlah! Bangunlah dari lenamu! Kejutkan daku dari tidur siang ini! Gerakkan aku dari angan-angan kosong ini..!

Bukalah! Bukalah mata dan hatimu! Nescaya anda dapat menyaksikan yang sebenarnya selama ini kita hanya berlakon di atas pentas drama dan tidak berpijak di bumi yang nyata! Selama ini kita nyenyak tidur di dalam kepompong gembira, dikelilingi oleh sutera-sutera lembut yang mendodoi lena kita!

Buanglah! Buanglah ego yang menebal di benakmu itu, dan saksikanlah yang kita tidak selalunya betul! Kikislah! Kikislah keangkuhan yang bermaharajalela di dalam jiwamu itu, dan ketahuilah yang kita ini hanyalah marhaen yang hina, papa dan kedana!

Ayuh bangkitlah! Masyarakat di luar sana sedang nazak, hanya menanti masa jiwa dan nyawa mereka dirobek, dicarik Malaikatul Maut! Dan apa yang telah kita lakukan selama ini...??

-gabbana-

25 October 2011

Fanatisme Sorga

[Kredit]

Dibesarkan dalam keluarga yang bukan berlatarbelakangkan agama, kemudian menyambung pelajaran pula ke Kolej yang boleh tahan wahannya, kemudian diberi pula peluang untuk melangkahkan kaki ke luar negara, tidak dapat tidak, pengaruh-pengaruh duniawi amat memberkas di hati ini.

Mahu berpakaian mewah. Mahu memiliki gajet-gajet terbaru lagi berjenama. Berangan-angan mahu memandu kereta mahal lagi bergaya. Termimpi-mimpi melancong ke sana ke mari; sarapan pagi di New York, makan tengah hari di Paris dan makan malam di Geneva! Wah!

Waima setelah disentuh tarbiyyah, pengaruh-pengaruh ini masih melekat juga di dalam diri. Dahulu ketika di London, saya amat dikenali sebagai orang yang kuat berbelanja. Duit banyak dihabiskan untuk membeli kasut, jaket, jam tangan dan bermacam lagi tok nenek barang-barangan yang bila dimuasarawakkan, tidak menjadi keperluan pon sebenarnya. Natijahnya, ada masa-masanya saya kesempitan wang kerana telah banyak yang dibazirkan begitu sahaja. Padanlah wahai muka.

Sanggup berlapar semata-mata mahu memakai minyak wangi yang diperbuat daripada air mata badak air Afrika. Sanggup menyusahkan diri hanya kerana mahu memakai kasut yang diperbuat daripada bulu harimau putih Alaska. Adeh. Apatah lagi di Kerajaan Bersatu dahulu, internetnya sangat laju seperti lipas kudung. Maka selalu sahajalah membeli-belah atas talian, klik klik klik hoyeaaahh sungguh menggembirakan heyy...! Peluh dan air mata mengalir laju selepas itu. Perkara ini pernah saya nukilkan dalam 'Boros Poros Moros.'

Alhamdulillah, selepas pulang ke Malaysia, setelah mula bekerja, saya lebih menghargai nilai wang; betapa sukarnya untuk mendapatkan sesen dengan hasil keringat sendiri (walaupon kerja kat opis yang dilengkapi dengan pendingin hawa). Apatah lagi ditugaskan pula untuk membawa bulatan gembira yang agak jauh jaraknya dengan jumlah hadek-hadek yang agak ramai, arakian sewajibnya saya perlu berjimat-cermat. Dan.. Err.. Juga menyimpan duit untuk... *koff koff belanja nasi minyak koff koff hantaran lagi koff koff walaupun lambat lagi koff koff insha-Allah koff* Wahahaha.. Peluh kecil mengalir perlahan.

Namun begitu, karat-karat jahiliyyah itu rupa-rupanya masih menapak di dalam hati. Aisshh susah betul nak tanggal, walaupun setelah disental dengan kelorok dan berus jamban dawai.  Maka bukan jarang-jarang saya berasa cemburu apabila melihat mereka yang memandu kereta-kereta sumpah osem bergaya. Bukan sekali saya berasa jeles melihat anak-anak muda berpakaian sungguh bergaya. Dan boleh tahan selalu jugalah tergerak di dalam hati, "Holoiii muda-muda lagi dah sungguh berjaya dengan rumah mewah dan ada gelpren cunnn..!"

Errr... Pandang kiri, pandang kanan, lari laju-laju. Eh.

Tetapi begitulah. Kadang-kadang tu, pernah juga cemburu dengan perkara-perkara yang tak sepatutnya dicemburukan. Maksudnya, er, seperti pakaian yang tidak pon selari dengan kehendak Islam, atau perbuatan yang jelas menyalahi syarak. Adohai. Sungguh pelik dan ekstrem bukan Inche gabbana ni..? Tunduk malu.

Saya kira, saya hanyalah seorang manusia yang sumpah marhaen lagi hina. Bukan nak berikan alasan, tapi nak beritahu di sini, betapa lemahnya iman saya sampaikan tergamak untuk berasa jeles meles dengan perkara-perkara yang tiada nilai pon di sisi Allah. Betapa nipis dan goyahnya iman saya...! Eh, kenapa baju saya tiba-tiba basah ni...?

TAPI.. Ada satu perkara yang menjadikan saya kuat. Ada satu faktor yang menghalang saya daripada berasa bawah yang teramat atau jeles tahap tenggiling. Ada satu benda yang keadang-kadang menyebabkan saya tersenyum seorang diri ibarat orang kena angau lagaknya.

Fanatiknya saya pada sorga.

Ya, saya terlalu amat teringin untuk melangkahkan kaki yang hina-dina ini ke dalam sorga. Dan fanatisme inilah antara penyebab terkuat yang menyebabkan saya terus mahu kuat di atas jalan ini.

Setiap kali saya melihat lelaki-lelaki yang berpakaian, er, tidaklah berapa sopan tapi agak bergaya *koff koff*, saya terus berfikir yang di sorga nanti, saya juga boleh berpakaian sebegitu rupa malah lebih bergaya dan kool daripada itu. 

Setiap kali saya berasa geram melihatkan kereta mewah yang konpem saya tak mampu atau akan beli sebab tiada justifikasi untuk dakwah dan tarbiyyah, saya terus berazam untuk memandunya di sorga nanti. Bukan satu jenis, bukan dua jenis dan bukan juga tiga jenis. Tetapi berjenis-jenis..! Gelak kecil yang keji.

Setiap kali saya terpandang (err...) wanita-wanita cantik yang seriyes menaikkan bulu tengkuk dan menggegar jiwa raga (ok ikhwah juga adalah seorang lelaki normal.. hohoho..), saya terus mengimpikan bidadari-bidadari yang jauh lebih panas dan cun melecun di sorga nanti. (Sila matikan imaginasi anda yang nakal di sini juga. Sekarang!)

Saya juga sangat sukakan laut. Laut yang jernih, bersih dan seluas pandangan mata. Sumpah suka gila-gila. Maka antara perkara yang saya amat teringinkan adalah untuk memiliki laut saya sendiri yang paling cantik dan paling indah dan paling kool dan paling jernih di sorga nanti! Saya malah boleh tersenyum sendirian apabila memikirkannya. Seerti sekarang ini. Wahaha..  

Ok kurang siuman juga Inche gabbana ni. Hohoho..

Kalaulah di dunia ni pon sudah ada tempat yang secantik ini, bayangkan di sorga nanti! Allahu Allah.. [Kredit: Great Barrier Reef, Australia]

Tapi kan Inche gabbana, ayat-ayat chenta yang bercerita tentang sorga, tak basahlah..

Tak basah..?? *garu kepala* Apa maksud anda..?

Ye la, ayat-ayat tu dok cita pasal mutiara lah, sutera hijau lah, buah-buahan lah, air yang mengalir lah, dipan-dipan lah.. Tak rasa teruja pon..? Tak menarik langsung..! Orang-orang muda lagi kool macam kami ni, mana suka benda-benda macam tu..! Haish.

Oh hahaha.. Anda salah konsep tahu..? Anda kena faham, ketika ayat-ayat Quran itu diturunkan di zaman Mekah dahulu, bagaimana keadaan para sahabat ketika itu.

Bayangkan para sahabat yang miskin tegar lagi papa kedana, diceritakan bagaimana di syurga nanti mereka akan dipakaikan dengan sutera tebal dan duduk di atas singgahsana!

Bayangkan perasaan para sahabat yang hampir setiap hari terpaksa berlaparan, menahan kebulur dan dahaga apabila mendengar ayat-ayat yang menjanjikan buah-buahan dan minuman syurga yang tidak putus-putus bekalannya!

Bayangkan juga para sahabat yang pada pandangan masyarakat bangsawan ketika itu adalah golongan  yang hina dina lagi sampah masyarakat, dijanjikan dengan kedudukan seorang raja lagaknya, dengan status dan kerajaan seluas langit dan bumi!

Walaweh.

Jadi hakikat sebenar sorga itu adalah di luar jangkauan kita. Senang kata, sorga akan dipenuhi dengan benda-benda dan perkara-perkara yang paling kita sukai dan ingini di dunia ini. Malah, lebih osem daripada itu, ia akan dipenuhi dengan perkara-perkara nikmat dan best-best yang langsung tidak terjangkau oleh fikiran kita yang sememangnya lemah lagi marhaen ini.

Anda suka pada kereta mewah lagi laju? Insha-Allah ada di sorga sana. Anda terlalu ingin untuk minum arak..? Komfem ada di sorga nanti, halal dan tayyibah lagi. Anda suka makan dan mengimpikan makanan yang lazat menjilat jari dan ingin makan tanpa henti? Pon boleh dilakukan di sorga nanti. Pendek kata, macam-macam ada..! 

"Di sorga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa sahaja yang mereka inginkan."
[Yaasiin, 36:57]


TETAPI, untuk menikmati semua itu, kita perlu terlalu amat bersabar. Malah sabar adalah antara kunci utama untuk memasuki sorga. Sabar dalam menahan nafsu syahwat yang bergelojak. Sabar dalam menahan nafsu amarah yang membuak (zaasssss...). Sabar dalam mematikan ego diri yang sedang memuncak. Sabar, sabar dan banyakkan bersabar..!

Apalah sangat lima puluh, enam puluh atau tujuh puluh tahun hidup dalam keadaan serba kekurangan di dunia ini, sekiranya sorga yang kekal abadi sedang menanti-nantikan kita di akhirat sana..? Apalah sangat penderitaan diseksa, dicaci dan dimaki, apabila sorga yang terbentang luas langit dan bumi sudah menjadikan kita sebagai penghuni tetapnya..? Dan apalah sangat mengorbankan masa, tenaga, emosi dan jiwa demi dakwah dan tarbiyyah dalam menyebarkan agama Allah di muka bumi ini, jika di sorga nanti kita mempunyai segala-galanya..?

Bunyinya seperti mudah bukan..? Hakikatnya, mencari keredhaan Ilahi itu tidaklah semudah memasak megi. Cakap dan menulis dengan laju dan penuh riang gembira seperti yang saya lakukan ini, sememangnya semudah memakan kacang goreng Menglembu yang sudah siap dikupas kulitnya. Untuk melaksanakannya, saya rasa menanam kacang, tunggu ia membesar tumbuh sihat gebu-gebu, menuai hasil kacang yang sudah besar lagi sihat, menggorengnya dengan penuh perasaan dan kemudian membungkusnya, itu lebih mudah dan lurus ke hadapan.

Peluh kecil.

Tetapi kerana fanatik terhadap sorgalah, perkara yang sesukar itu mampu dilakukan oleh para sahabat. Rasulullah SAW berjaya mentarbiyyah mereka sehinggakan seolah-olahnya mereka dapat melihat sorga di depan mata. Kisah-kisah Super Saiya seperti Hudzaifah Abi Yaman dan Khubab al-'Adiyy membuktikan hakikat ini. Kerana fanatik dengan sorga, lautan api sanggup mereka renangi, gunung tinggi sanggup mereka daki!

“Pada hari kiamat didatangkan orang yang paling nikmat hidupnya sewaktu di dunia dari penghuni neraka. Lalu ia dicelupkan ke dalam neraka sejenak. Kemudian ia ditanya: ”Hai anak Adam, pernahkah kamu melihat suatu kebaikan, pernahkah kamu merasakan suatu kenikmatan?” Maka ia menjawab: ”Tidak, demi Allah, ya Rabb.” Dan didatangkan orang yang paling menderita sewaktu hidup di dunia dari penghuni surga. Lalu ia dicelupkan ke dalam surga sejenak. Kemudian ditanya: ”Hai anak Adam, pernahkah kamu melihat suatu kesulitan, pernahkah kamu merasakan suatu kesengsaraan?” Maka ia menjawab: ”Tidak, demi Allah, ya Rabb. Aku tidak pernah merasakan kesulitan apapun dan aku tidak pernah melihat kesengsaraan apapun.” 
[Hadith Riwayat Muslim]

 Realitinya, dunia itu tiada apa. Sorgalah segala-galanya. Dunia itu hina lagi dina. Sedangkan sorga itu kool lagi bergaya. Dan kehidupan di dunia itu sekejap cuma, walhal kehidupan di akhirat sana adalah abadan abadaa.. 

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.”
[al-Ankabut, 29:64]

Jadi bagaimana..? Anda rasa sukar untuk melakukan dakwah dan tarbiyyah? Anda rasa tidak mampu untuk menahan nafsu syahwat yang membara itu? Anda rasa tidak cukup kuat untuk berhenti merokok atau menghisap dadah? Anda rasa anda tidak dapat berhenti daripada membakar duit anda begitu sahaja?

Ingatlah kepada sorga. Dan sila rasa fanatik kepadanya..! Insha-Allah, ada akan peroleh kekuatan yang luar biasa yang tidak anda sangka-sangkakan, menjadi perisai dan senjata melindungi diri anda daripada marabahaya dunia! Fanatiklah kepada sorga dan berazamlah untuk menjejakinya, kerana dengan izinNya, anda pasti akan dapat memasukinya dan bergembira di dalamnya!


Bersabarlah! Bersabarlah! Bersabarlah! Kerana ketahuilah, sorga juga sebenarnya sedang fanatik kepada anda...!

Senyum besar nampak gigi yang putih suci.

-gabbana-

Obviyes sangat, peringatan dan tazkiyatun nafs di atas adalah lebih untuk diri saya terlebih dahulu sebelum anda. Of kos dalam hal ini saya perlu mementingkan diri dan kedekut sedikit. Hohoho...

Moga Allah masukkan kita semua ke dalam Jannatul FirdausNya, tanpa perlu kita dimasukkan ke dalam api nerakaNya terlebih dahulu. Nau'dzubillah. Amin ya robbal a'lamin.

24 October 2011

Ikan Apakah Ini...??

Holoi ikan apakah ini...? [Kredit]

Hey anda semua! Er, maksud saya, salaam a'laikum warah matullah!

Saya tahu anda semua sedang merindui saya..! *koff koff* Saya sebut merindui saya ke tadi..? Maksud saya, penulisan saya! Hihihi..

Wahai, begitu banyak yang telah berlaku semenjak kali terakhir saya menulis.

Pada wiken yang lepas, telah berlangsung satu lagi siri konferens riang untuk hadek-hadek yang tersayang. Kebiasaannya, sesi konferens riang bersama hadek-hadek adalah antara masa-masa yang paling dinanti-nantikan. Sememangnya saya teruja untuk menghadiri konferens riang kali ini.

Tetapi entah mengapa, ada beberapa masalah-masalah teknikal yang berlaku yang menyebabkan saya menjadi sangatlah teramat bawah. Sumpah tidak pernah lagi merasakan bawah sebegitu dalam sesi konferens riang dengan hadek-hadek. Malah saya begitu bawah sehingga hampir-hampir sahaja saya gugur (Baca: Futur)..! Astaghfirullah...

Mujurlah saya segera bermuhasarawak dan cuba sedaya upaya untuk tampak ceria dan riang gembira di hapadan hadek-hadek. Khuatir sekiranya mereka juga nanti yang akan terkesan apabila melihatkan saya yang lemau dan tidak bermaya. Dan alhamdulillah, keadaan sedikit-sedikit menjadi bertambah baik. Semakin baik. Sungguh baik. Dan sumpah osem. Heh.

Malah tidak keterlaluan saya katakan ini mungkin adalah antara konferens riang yang terbaik yang pernah dianjuran untuk hadek-hadek. Alhamdulillah.. Walaupon of kos masih banyak perkara yang boleh diperbaiki, saya sungguh teruja membaca maklumbalas hadek-hadek yang rata-ratanya mengalami keracunan darah akibat tahap adrenalin yang terlalu tinggi! Wahahaha.. Terima kasih Allah.

Itu wiken yang lepas. (Seriyes yang saya ceritakan ini adalah versi super ringkas. Sila rasa kechiwa sedikit. Hoh.) Yang saya mahu kongsikan adalah apa yang berlaku pada hari ini.

Hati berdebar-debar. Baiklah..

Hari ini saya mengambil cuti kerana mahu menghadiri majlis graduasi Cik Adik Perempuan. Pada mulanya saya langsung tiada perancangan untuk menghadirinya. Leceh juga mahu mengambil cuti. Sayang cuti woo. Namun Puan Mama meminta saya menghadirinya. Untuk Cik Adik Perempuan, katanya. Bukan selalu pon, katanya lagi.

Baiklah Puan Mama.

Bagus juga saya mengambil cuti kerana memang saya penat tahap tenggiling setelah konferens riang hadek-hadek dan satu lagi upacara gilang-gemilang sebaik sahaja setelah itu. Saya kira kalau saya ke opis juga pada hari ini, sudah pasti saya akan kelihatan seperti zombie Kampung Buah Nenas. Eh. 

Nak pendekkan cerita, hari ini sungguhlah teramat panas. Dan sepanjang pagi sampai ke tengah hari, saya hanya duduk di luar kerana hanya Inche Papa dan Puan Mama sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam dewan utama. Arakian berpeluh-peluhlah ketiak saya ini.

Setelah puas membaling-baling topi, menangkap gambar berdozen keping dan bersosial di sekeliling, akhirnya selesai lah sudah majlis graduasi Cik Adik Perempuan. Hoyeeaaahhh. Ok sekejap sahaja hoyeeaahh itu kerana neraka pula bakal menyusul.

Untuk kembali ke tempat parkir kereta, kami terpaksa mengambil bas yang disediakan oleh pihak universiti. Dan pihak universiti XXX (saya rahsiakan nama kerana tidak mahu menjatuhkan air muka universiti tersebut) yang sungguh pandai lagi bijaksana, hanya menyediakan satu atau dua bas dalam satu-satu masa untuk ke tempat parkir tersebut. Banyaknya bas yang datang tidak ke tempat parkir tersebut. Ikan apakah ini...?? (Baca: What the Fish..??) Akibatnya..? Berlakulah rusuhan berebut-rebut untuk menaiki bas. Macam tak kenal pula budi pekerti dan adab tatasusila rakyat Malaysia kan..?

Sayugia lama selepas menunggu bas dan masih tidak dapat menaikinya, saya mula hilang kesabaran. Inche Papa juga mula berang. Dan akhirnya meletup jua gunung berapi Krakatoa itu setelah datang lagi dua bas tetapi kami dimaklumkan yang kedua-duanya tidak ke tempat parkir. Mangsanya adalah seorang petugas yang hanya cuba menjalankan tanggungjawabnya.

"Dah nak dekat sejam tunggu ni tapi bas tak sampai-sampai lagi...!" Marah Inche Papa.

"Ni orang ramai nak pergi padang kawat (tempat parkir), bagilah banyak sikit bas!" Marah saya pula.

Kasihan mamat petugas itu. Terdiam dia. Dan obviyes jugalah wajahnya berubah setelah dimarahi kami berdua. Aduhai.

Saya menyalahkan cuaca panas dan pundi peluh yang merembeskan cecair di badan tanpa henti yang menyebabkan saya meletup. *koff koff* Peluh besar mengalir. 

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke tempat parkir kereta. Tetapi sepanjang perjalanan ke sana, saya tidak henti-henti memarahi diri sendiri; begitu menyesal atas tindakan bodoh dan gopoh memarahi mamat petugas itu. Ya Allah, tipisnya iman kamu Inche gabbana. Kulit bawang merah itu tebal lagi tahu...??

Malah ketika saya menyuarakan kekesalan saya kepada Puan Mama, saya dimarahinya pula. Katanya, dia begitu malu dengan tindakan saya dan Inche Papa. Ujarnya lagi, kalau tak puas hati sekali pon, tidak perlulah memalukan mamat petugas itu di hadapan orang ramai. Saya terkedu. Sodaqta ya Puan Mama. Ada benarnya kata-kata Puan Mama itu. 

Air mata jantan mengalir laju. 

Dan seolah-olah Allah mahu menunjukkan sesuatu kepada saya, ketika hendak memarkir terbalik (Baca: Reverse parking) di sebuah komplek beli-belah untuk makan tengah hari setelah pulang dari majlis graduasi itu, saya tersalah jangka jarak antara belakang kereta dengan dinding dan... BAAAMMMM! Tahniah Inche gabbana kerana berjaya menjahanamkan kereta Inche Papa buat sekian kalinya heyyy! Dan anda boleh bayangkan perasaan Inche Papa ketika itu. 

Gelak rasa bersalah sambil peluh dingin mengalir.

Di sebalik perkara-perkara malang yang berlaku, masih ada sinar di hujung terowong. Ketika masuk ke dalam saf untuk solat berjemaah Zuhur di surau komplek beli-belah itu, seperti ku kenal suara imam ini tetapi siapa ya..? Oh rupa-rupanya seorang akh yang amat saya kenali lagi sayangi! Masha-Allah. Dan seperti terlupa sebentar semua masalah dan krisis yang berlaku pada hari ini apabila dapat bersalam dan memeluk erat akh tersebut. Bukankah hiburan bagi seorang akh tiu adalah apabila dapat menatap wajah ikhwah yang lain..? Subhanallah...

Begitulah agaknya caranya Allah menenangkan hati hambaNya yang ini yang sungguh gusar lagi berkecamuk. Sungguh hebat lagi osem perancangan Allah. Lagi terharu apabila memikirkan apa yang telah saya lakukan pada hari ini, tetapi Allah masih mahu menunjukkan kasih dan chentaNya kepada saya.

Sudah tiga tahun dalam tarbiyyah, tapi saya masih belum berjaya menundukkan syaitonirojim amarah saya. Sudah tiga tahun berbulatan gembira dan berkonferens riang, saya masih belum berjaya mengawal kegopohan dan ketidaksabaran saya. Dan sudah tiga tahun konon-kononnya melaksanakan tugas Syahadatul Haq ini, tetapi masih belum lagi menjumpai formula paling berkesan untuk melaser sampai mati raksasa gorgon dalam diri ini.

Air mata suci mengalir perlahan.

Dari Abu Hurairah ra, bahwa seseorang berkata kepada Nabi Saw : berwasiatlah kepadaku. Beliau bersabda : “Jangan marah”. Kemudian diulang-ulang beberapa kali. Dan beliau bersabda : “Jangan marah.” 
[Hadith Riwayat Bukhari]


Sudah tiga tahun dalam tarbiyyah dan perjuangan mesti diteruskan...!

Doakan saya terus tsabat di atas jalan ini, biidznillah..

-gabbana-

Di sebalik haru-biru yang berlaku sungguh syok cuti di hari Isnin. Sumpah. Dan Rabu ini cuti lagi. Hoyeeaaahhhh!

20 October 2011

Super Saiya Dari Seberang

[Kredit]

"Aku telah doakan engkau dalam sembahyangku supaya Allah memberi ampun atas dosamu. Aku bergantung pada janji Allah, bahawa walaupun sampai ke lowong langit timbunan dosa, asal memohon ampun dengan tulus, akan diampuni-Nya. Adapun dosamu pada diriku sendiri, menganiaya aku, menuduhku dengan tuduhan palsu, mengecewakanku dengan anak-cucuku sampai kami menderita bertahun-tahun, di hari perpisahan terakhir ini, aku jelaskan bahawa engkau telah kuberi maaf."

 - Buya HAMKA, ketika menziarahi jenazah Jeneral Sukarno, Presiden Republik Indonesia yang pertama.

*Sumber: Dr. Hafidzi Mohd Noor, Jejak Risalah Di Nusantara VI: Gerakan Islam, Penggerak Kemerdekaan Indonesia, hlm. 106 (nota kaki)

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."

[Ali-Imraan, 3:133-134]


Apa lagi yang mahu dikatakan..? Buya HAMKA itu jelas sekali seorang Super Saiya peringkat kelapanbelas tahu..??

Moga Allah merahmatinya di alam sana dan meletakkan dia di kalangan hamba-hambaNya yang soleh lagi dichentaiNya!

Tunggu saya Buya HAMKA! Saya mahu menyertai anda di sorgaNya! Dan saya juga mahu menjadi seorang Super Saiya..! Kamehamehaaaa...! Eh.

-gabbana-

Seriyes saya rekomen ada untuk baca biografi Buya HAMKA. Kalau tak mengalir air mata kekaguman sekalipon, paling koman pon hidung anda akan kembang-kempis kerana terlalu bersemangat dan teruja dengan kisah perjuangan dakwah dan tarbiyyahnya. Sumpah!

Nota Ringkas Yang Seriyes Di Petang Hari #4

[Kredit]

Saya melangkah masuk ke dalam lif untuk ke tingkat bawah tengah hari tadi. Di dalamnya sudah ada seorang wanita bertudung merah. Mari kita panggilnya Puan M. 

Di tingkat dua puluh, beberapa lagi manusia menyertai kami di dalam lif. Berlakulah perbualan antara Puan M dan beberapa orang di dalam lif. Saya selaku pak pacak watak pipih sahaja, haruslah memasang telinga sahaja kan..? Wahahaha..

Puan M: Where are you eating? Level 9?
Puan C: Uhm. (Senyum) I'm going downstairs. Sooka.
Puan M: Oh.

Senyap.

Puan M: Now donno what to eat oredi. Pening fikir.

Satu lif tertawa. Kecuali saya. Kelakar ke..? Hohoho..

Senyap.

Puan M: It's irony. We donno what to eat, other people don have anything to eat. Human ah, never grateful. Never grateful..

Yezzza. Tazkirah di siang hari. Terima kasih Puan M!

Manusia.

Beberapa peristiwa pelik tetapi, err, separa benar lain yang berlaku sepanjang minggu ini:

1) Jumaat lepas, beberapa askar simpanan ikhwah dikerahkan untuk mengemas sebuah pejabat di kawasan rahsia di Lembah Klang. Sayalah salah seorang daripadanya. Sementara sedang menunggu sebuah kereta kebal untuk datang mengangkat peti sejuk yang agak gedabak besarnya untuk kereta biasa, kami turun naik tangga berkali-kali untuk berkemah. Berpeluh-peluh jugalah ketiak badan.

Tidak lama selepas itu, kereta kebal pon sampai. Saya yang begitu teruja terus berlari-lari mengejar kereta kebal tersebut kerana mahu menyuruh kereta kebal diparkir dekat dengan pejabat supaya mudah untuk memunggah peti sejuk nanti. Alangkah riang dan yakinnya saya, terus berdiri di tepi kereta kebal dan mengetuk-ngetuk tingkapnya.

Dan anda tahu apa yang saya saksikan..? Makhluk yang berada di dalam kereta kebal tersebut bukanlah akh yang sedang dinanti-nanti. Salah kereta kebal rupanya. Ketika ini saya rasa kulit muka saya seolah-olah nak tertanggal pon ada. Sumpah malu tahap awan guling.

Tapi lepas tu memang terguling-guling la gelak. Wahahaha.. Peluh besar mengalir tanpa disedari.

2) Pagi Isnin, ketika baru sampai di opis, saya telah dikejutkan dengan seekor raksasa berwarna hitam ungu, bertaring lapan dan berbulu tebal sembilan inci, yang begitu bengis lagi ganas sedang menunggu saya di meja. Ok obviyesli berdusta di situ.

Tapi memang ada kejutan. Ada rantai kunci (Baca: Keychain) beruang Teddy di atas meja saya. Siap ada tampalan kerta tertulis dengan nama saya lagi. Bukan setakat nama, nama penuh siap berbinkan Inche Papa! Walaweh harusss semangat. Dilengkapkan pula dengan emotikon ^__^. Peluh kecil.

Beberapa orang rakan sekerja mengusik. Ada yang menawarkan diri untuk memeriksa kamera keselamatan. Ada yang mengatakan dia jeles, kerana selama tujuh tahun bekerja, tidak pernah lagi dapat apa-apa yang seangkatan dengan beruang Teddy itu. Saya..?

Bak kata orang, di luar kontrol macho, dalam hati ada taman. Eh. Cobaan. Ini betul-betul cobaan. Dulu dah pernah jadi sekali. La ni dapat beruang Teddy pula. Lepas ni..? Harap-harapnya adalah yang sudi memberi kereta Kumbang Volkswagen. Hihihi..

3) Mendapat mesej ringkas menggegar jiwa raga, mengalirkan garam cecair dari mata seperti yang sudah diceritakan sebelum ini.

Baiklah.

Seperti lagu tema Discovery Channel, "Dunia Ini Sumpah Osem" (Baca: "The World Is Just Awesome"), saya tidak dapat tidak, amat bersetuju dengannya. Tetapi dengan satu syarat yang ketat; dunia ini sumpah osem hanya apabila kita melihatnya dengan kaca mata Islam yang hak dan benar. Fulsetop.

Senyum.

-gabbana-

Terima kasih Allah, untuk kehidupan ini...  

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP