16 May 2008

Cikgu Zara

Buat cikgu-cikgu yang tercinta, terima kasih… Hanya Allah yang bisa membalas jasa kalian…

Kertas putih berlipat kemas itu ditatap lagi. Masuk kali ini, sudah tujuh kali dibacanya. Hatinya masih gundah dan resah. Dia masih belum dapat menerima isi kandungan surat itu. Masakan! Masakan mereka tergamak melakukan hal ini kepadaku? Apa dosa aku? Sudah puas dia bertekak dengan bapanya, Datuk Zamri Kadir, orang besar dalam kerajaan, supaya bapanya itu melakukan sesuatu untuk menukar isi kandungan surat itu. Gagal. Sebagai seorang bapa, Datuk Zamri kenal benar dengan perangai anak bongsunya itu. Bukan tidak sayang, namun dia lebih arif bahawa pengorbanan yang besar itu akan membawa seribu satu kebaikan. Dan sebagai orang kerajaan, Datuk Zamri tahu anak muda seperti anaknya itulah yang amat diperlukan oleh kerajaan pada masa ini. Tambahan pula, sekiranya dia melakukan sesuatu yang boleh mempengaruhi keputusan akhir surat itu, sudah pasti dia bakal dilabel sebagai korup. Seumur hidupnya sebagai pekerja kerajaan, sumpah dia tidak pernah mengamalkan nepotisme. Maka keputusannya untuk tidak tunduk kepada desakan anaknya itu dilihat sebagai cukup munasabah dan relevan. Walaupun jauh di sudut hatinya, tergerak juga rasa untuk mencuba-cuba, setidak-tidaknya anaknya tidaklah terlalu berjauhan dengan keluarga, namun dia cepat-cepat menidakkan perasaan itu. Dan dia pasti, suatu hari nanti, anaknya pasti akan berterima kasih kepadanya.

Kali ini ditatap pula sampul surat berwarna perang muda itu. Dipandang tepat pada perkataan ‘PENTING’ dan ‘URUSAN RASMI KERAJAAN’ yang sengaja dihitampekatkan. Ah! Apa yang penting sangat dengan surat ini? Penting sangatkah aku ini, sampai tidak ada orang lain yang mahu dicampak mereka ke hujung dunia? Tanpa disedari, mengalir air mata di pipi. Lagi. Bukan sekali dua dia sudah membazirkan air matanya. Sudah naik culas dia merengek, meraung bahkan tergolek! Pasrah. Tiada gunanya. Hatta mengalir air mata berlian sekali pun, dia tahu tiada apa yang dapat dilakukannya untuk tidak mematuhi arahan dalam surat tersebut. Letih Datin Sumayyah, ibunya itu memujuk, namun hatinya rajuk. Penat juga Datin Sumayyah memujuk suaminya, agar diikutkan kehendak hati anak perempuan kesayangan mereka itu, namun hati suaminya pula yang sejuk. Akhirnya Datin Sumayyah yang bujuk. Kerana dia tahu, segala apa yang berlaku itu, pasti ada hikmah yang tersorok!

***

UNTUK PERHATIAN: CIK ZAHARAH SOFIYA ZAMRI KADIR

Kementerian Pelajaran Malaysia,
Parcel E,
Persiaran Sultan Abdul Aziz Shah,
48000 Putrajaya.

3 JANUARI 2005.

Tuan/Puan/Encik/Cik

Arahan Bertugas ke Sabah

Merujuk kepada perkara di atas, saya dengan ini menyampaikan arahan pihak atasan, bahawa Tuan/Puan/Encik/Cik telah ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan, Tawau Sabah berkuat kuasa serta merta pada tanggal 30 Januari 2005.

Sila laporkan diri di Jabatan Pelajaran Daerah seminggu sebelum tarikh yang disebutkan di atas. Maklumat tambahan ada dilampirkan bersama-sama surat ini.

Sekian, terima kasih.

Saya yang menurut perintah,

Abdul Aziz
......................
(ABDUL AZIZ SAMSUDDIN)

Setiausaha Kanan,
Bahagian Sumber Manusia,
Jabatan Bahagian Sekolah,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

***

Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau, Zaharah tidak sudah-sudah memikirkan apakah yang bakal ditempuhinya di Sabah nanti. Macam-macam yang sudah didengari tentang negeri di bawah bayu itu. Kononnya, penjenayah cukup ramai di situ. Pendatang asing yang banyak menimbulkan masalah juga tidak terkira jumlahnya. Belum lagi dikira masalah bahasa dan budaya! Mampukah aku pantas menyesuaikan diri…? Zaharah mengeluh panjang. Jus oren yang dihidangkan oleh pramugari berkebaya hijau biru seawal penerbangan tadi langsung tidak disentuhnya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Zaharah terjun daripada kapal terbang, terus jatuh ke dalam Laut Cina Selatan! Lebih rela dia dimamah jerung atau lemas dibadai ombak, daripada mengikut kehendak orang atasan. Ikut hati mati.

Zaharah berfikir panjang. Dia bukan sembarangan cikgu. Dilatih di King’s College London selama 3 tahun sebelum memperoleh sijil perguruan di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Zaharah mempunyai kepakaran dalam mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris. Dia sering ditanya oleh rakan-rakannya, mengapa dia memilih profesion itu. Jika mahu dikira pencapaian akademiknya, dia merupakan antara pelajar yang paling cemerlang di Sekolah Seri Puteri dahulu. Itulah masyarakat zaman ini, cetus hatinya. Jika keputusan SPM cemerlang, mesti perubatan atau kejuruteraan yang dijadikan taruhan! Sedangkan negara amat memerlukan kepakaran dalam bidang perguruan. Sekiranya semua bakal guru adalah mereka yang kecundang dalam pelajaran, bagaimana mereka mahu diharapkan untuk mendidik anak-anak kita di masa hadapan? Itu jawapan benaknya. Minat, jawapan ringkas yang diberikan. Malas rasanya dia mahu berdebat dengan rakan-rakannya. Arakian diberikan seribu segala alasan, sudah pasti petah mereka mematahkan. Minat…

Namun keputusan Kementerian Pelajaran yang satu ini hampir-hampir sahaja mematahkan semangatnya. Arahan pihak atasan itu tipis sahaja mahu mengena perasaan kesalnya. Manakan tidak. Sebelum dia mengambil keputusan untuk menerima biasiswa Kementerian Pelajaran dahulu, perang dunia ketiga hampir sahaja tercetus antara dia dan abang-abangnya. Abang sulungnya, Zaim Sofi merupakan seorang pakar mata yang kini bertugas di United Kingdom. Abangnya yang tengah, Zaid Safri pula adalah seorang akauntan yang sedang mencipta nama di syarikat audit terkemuka KPMG Malaysia. Dan abangnya yang bongsu, Zuhri Solihin sedang melanjutkan pelajaran sijil Masters di Amerika Syarikat dalam bidang Akuamarin. Lantas, apabila mereka mendapat tahu adik perempuan kesayangan mereka memilih untuk menjadi cikgu, habis sahaja Zaharah diserang bertalu-talu dari tiga arah yang berbeza. Zaim, dengan senjata bazookanya, melancarkan serangan terhadap masa hadapan yang bakal Zaharah tempuhi. Zaid pula, dengan bom tangan klusternya, mempersoalkan integriti kerjaya sebagai seorang guru. Mujur abangnya Zuhri tidak terlalu keras. Dengan hanya menggunakan keris Melayu, dia cuma khuatir kalau-kalau Zaharah kelak tidak mampu menanggung beban yang besar sebagai seorang guru. Berkat kesabaran dan kecekalan hati, Zaharah berjaya mematahkan serangan mereka satu persatu. Tambahan pula, dengan campur tangan pihak Nato dan PBB, yakni ibu dan bapa yang sentiasa menyokong keputusan anak-anak mereka, kedamaian dan keamanan akhirnya berjaya diwujudkan.

Namun kini Zaharah kurang pasti. Patutkah aku mendengar nasihat Zaim dahulu? Wajarkah aku menurut desakan Zaid yang mahukan aku menjadi seorang ahli ekonomi? Ah, hanya Zuhri yang benar-benar memahami aku. Dia tahu bahawa minat bisa mengatasi segala-galanya. Dan telah aku buktikan. Aku tidak tidak boleh berputus asa. Sekiranya aku tewas menyerah kalah, pasti Zaim dan Zaid akan mentertawakan aku. Sekiranya aku tunduk rebah, pasti Zuhri kecewa dengan aku. Tidak! Aku akan buktikan kepada mereka semua, pada mama dan papa, bahawa Zaharah Sofiya bukan lagi adik dan anak perempuan manja yang mereka tatang bagai minyak yang penuh! Aku mampu! Zaharah cekalkan semangat, tabahkan hasrat dan kuatkan firasat. Dia tahu, perjalanannya masih jauh…

***

Sudah sebulan Zaharah mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan ini. Dia masih belum dapat membiasakan dirinya dengan keadaan di sini. Seolah-olah dia berada di bumi asing. Walhal, Sabah masih mengibarkan Jalur Gemilang, menghormati dan menyanyikan ‘Negaraku’ dan melaungkan Rukun Negara yang lima! Perasaan rindunya pada papa dan mama, rakan-rakan baiknya, KLCC, panggung wayang, Coffee Bean, Secret Recipe dan banyak lagi, membuak-buak di dalam hati. Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang peduli pada perit dan jerih yang terpaksa dilaluinya sepanjang sebulan di sini. Kadang-kadang, dia menangis keseorangan tidak tertahan. Kasihan Zaharah. Sudahlah tidak punya kawan yang ramai, anak-anak muridnya pula seakan-akan tidak suka padanya. Sering kali mereka mengusik dan mengejeknya.

Ada juga di kalangan guru lelaki yang nakal cuba mengusik Zaharah. Manakan tidak, lelaki mana yang tidak tertoleh sekali pandang pada Zaharah! Tinggi lampai, hidung mancung, putih melepak, dengan tudung ala ala Wardina dicampur lagi dengan gaya fesyen terkini, siapa sangka Zaharah adalah seorang guru sekolah rendah! Tetapi, malang sekali. Kecamuk hati lebih kuat menonjolkan diri. Akibat terlalu lembab menyesuaikan diri, Zaharah dicop sebagai sombong dan berhidung tinggi. Guru-guru perempuan yang lain kurang senang untuk mendekati Zaharah, kerana tercabar dengan kecantikan dan gaya personaliti Zaharah yang menawan. Mereka menghasut pula guru-guru lelaki agar tidak terlalu rapat dengan gadis metropolitan itu, dengan menyebarkan pelbagai dakyah dan fitnah. Zaharah semakin tertekan. Mujurlah Ustazah Soraya sentiasa di sisi. Kepada gadis muda bertudung labuh itulah tempat dia mengadu kasih dan sedih. Mujur juga Ustazah Soraya cukup memahami. Dia juga bukan berasal dari bahagian pantai barat ini. Setidak-tidaknya, Zaharah punya teman untuk membujuk.

Dia masih ingat ketika pertama kali dia memperkenalkan diri di perhimpunan pagi sekolah.

"Hallo everyone. My name is Zaharah Sofiya. You can call me Zara. I…”

Belum sempat dia menghamburkan perkataan yang seterusnya, sudah bingit, hiruk pikuk satu dewan perhimpunan. Rata-rata tergelak. Malah, ada antara rakan sekerja yang menutup mulut menahan sedu tawa. Zaharah tergamam. Lidahnya bagai disiat bisu, mulutnya dikunci kelu. Merah padam mukanya. Dia lantas turun daripada pentas perhimpunan, tidak peduli lagi untuk menyudahkan ucapan perkenalan dirinya. Dia kecewa. Maha kecewa. Pagi itu bukanlah permulaan yang baik untuknya. Ada segelintir guru-guru yang peduli cuba untuk memujuk. Zaharah hanya tersenyum simpul. Mujurlah dia sudah diberi amaran oleh Ustazah Soraya bahawa hal sedemikian adalah satu kemungkinan yang nyata. Ustazah Sorayalah yang pantas memujuk Zaharah. Hilang sedikit perasaan marah dan hiba, melihat kebaikan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Ustazah Soraya.

Ketika dia melangkah ke dalam kelas pertamanya, kelas 5 Mahathir, dia sekali lagi disambut dengan perasaan syak wasangka oleh anak-anak muridnya. Ada yang ketawa, namun segera disenyapkan oleh rakan-rakan yang lain. Zaharah melangkah berat ke dalam kelas itu. Dia cuba memulakan bicara.

“Assalamua’laikum semua. Seperti yang anda tahu, saya Cikgu Zara…"

“Bangun! Wa-a’-lai-kum-mus-salam cik-gu!” Ketua darjah memimpin rakan-rakan yang lain.

"Er.. Terima kasih. Sila duduk. Saya.."

“Te-ri-maaa Kaaa-siiiih cikgu!”

“Sama-sama. Baik, kita mulakan kelas sekarang. Mulai hari ini, saya akan mengajar Matematik untuk kelas ini. Tapi, sebelum saya mulakan, saya mahu berkenalan dengan anda semua. Uhm, mulakan dengan kamu? Ya, kamu, yang duduk di sebelah tingkap itu."

“My name is Ahmad Boestamam! You can call me, er, Tamam!”

Anak muridnya itu mengusik, dengan loghat British pekat yang dibuat-buat. Segera ayat penyudahnya itu disambut dengan gelak tawa oleh rakan sekelas. Zaharah hanya mampu tersenyum. Geram juga rasa hatinya.

"Nama saya Musran, nama mesra Mawi!”

Hahahahahahahahahaha…. Ada yang menepuk meja, ada yang menghentak kaki.

“Saya Sandra anak Makip, panggil saya…”

***

Akhirnya Zaharah redha. Rutin hariannya sama setiap hari. Bangun pagi, ke sekolah dan mengajar, dan kemudiannya cepat-cepat dia mahu pulang ke rumah. Seboleh-boleh dia mahu megelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti tambahan. Melainkan yang wajib, segala macam pekerjaan yang sunat, apatah lagi yang harus, pasti ditolak tepi. Ustazah Soraya, satu-satunya rakan sekerja yang benar-benar mengambil berat akan perihal diri Zaharah, ada juga cuba memancing-mancing. Namun degil Zaharah bukan kepalang. Hatinya kini meradang. Dia seakan-akan tidak peduli lagi tentang kerjayanya itu. Di mana visi seorang guru yang tegas dilaungkannya dahulu? Di mana cita-cita murni yang sering ditanamkan dalam benak keringatnya suatu ketika dahulu? Di tidak tahu. Dia tidak peduli. Dia merajuk. Dia sudah benar-benar tidak kisah. Apa hendak jadi, jadilah!

Namun bukankah air yang surut, pasti akan pasang jua? Suatu kejadian yang berlaku setelah hampir tiga bulan dia mengajar di Tawau benar-benar telah mengubah dirinya. Bapa salah seorang daripada anak muridnya, Stephen telah mati dibunuh. Lelaki itu, James Dompok merupakan seorang penjual VCD dan DVD haram yang terkenal di Bandar Tawau. Bukan sahaja menjadi buruan pihak berkuasa, malah ramai juga musuhnya di kalangan peniaga-peniaga pasar gelap itu. Maka, dalam melarikan diri daripada mulut harimau, entah bagaimana, tersilap langkah agaknya, dia termasuk kandang buaya. Lantas, orang atasan sebuah kongsi gelap mengarahkan agar dia dibunuh sahaja. Mayatnya dijumpai terapung-apung di sungai Tawau, 5 hari setelah kehilangannya dilaporkan. Sayugia Zaharah mendengar berita itu, hatinya gumam. Berdebar-debar. Perasaan takut bercampur kasihan menguasai dirinya. Akhirnya, belas kemanusiaan dijadikan keutamaan. Bersama-sama Ustazah Zaharah, dia memberanikan diri pergi melawat keluarga Stephen di pinggir Kampung Titingan.

Tatkala dia melangkah masuk ke kawasan kampung tersebut, hatinya cepat menjadi hiba. Kemiskinan dan kepapaan melata di mana-mana. Rumah papan beratapkan zink bersepah-sepah di kiri dan kanan jalan tanah merah kampung tersebut. Kali ini, orang tertoleh melihat kelibat dua wanita bukan sahaja kerana kecantikan mereka, tetapi lebih kerana hairan, menerima tetamu yang tidak pernah kunjung tiba. Seakan-akan melihat malaikat lagaknya. Zaharah memberanikan diri untuk bertanya arah di sebuah kedai kopi. Pemilik kedai kopi tersebut, seorang wanita Murut kemudiannya menjerit memanggil seseorang dari ruang dapur kedai. Kau tunjukkan jalan, kata wanita itu. Tanpa disangka, rombongan tiga orang menjadi lima, kemudian lapan dan sebelas. Semakin jauh mereka berjalan, semakin ramai yang menuruti. Penduduk kampung itu tampaknya berminat benar dengan tetamu mereka yang dua orang itu. Dari si kecil sehinggalah yang berbongkok tiga, semuanya pelik benar dengan kelibat dua wanita bertudung itu.

Tiba sahaja di depan rumah Stephen, bagai diusik naluri kewanitaannya, Zaharah tersedak. Sedaknya bukan kerana tertelan biji ciku muda yang bersepah di lantai kaki kawasan kampung itu, namun dek kesedihan yang melampau melihatkan kemiskinan keluarga anak muridnya itu. Dinding rumah berlubang-lubang. Cahaya matahari bisa menembus masuk terus ke kaki lantai dek atap yang bocor. Ah, besar lagi laman belakang rumah aku di Kuala Lumpur sana, getus hatinya. Zaharah hanya sedar yang matanya mengalirkan air apabila pedih mencucuk-cucuk retinanya. Dan sayup-sayup kedengaran, tangisan meratapi kematian yang cukup mendayu-dayu di halaman depan. Zaharah tersedu. Sambil menarik nafas yang panjang, dia memberanikan diri dan memberikan salam hormat. Stephen bingkas bangun, kaget melihat cikgunya itu.

“Cikgu Zara… Apa yang cikgu buat di sini?”

“Stephen, cikgu dapat tahu tentang ayah kamu. Cikgu bersimpati…"

“Oh… Terima kasih cikgu… Terima kasih…”

Entah bagaimana, Stephen tiba-tiba sahaja menangis dan terus memaut tubuh Zaharah. Rengekan Stephen ditambah dengan pemerhati di sekeliling benar-benar membuatkan Zaharah rasa bersalah. Dipeluk manjanya Stephen, diusap rambutnya dan dipujuk mesra. Ustazah Soraya hanya mengangguk memberikan galakan.

“Cikgu… Ayah dah tiada….”

“Cikgu tahu Stephen, cikgu tahu… Kamu bersabar ya? Cikgu ada di sini.”

“Cikgu… Saya terpaksa berhenti sekolah. Kena bantu ibu, adik ramai.”

“Apa…? Masakan? Apa kamu pasti Stephen?”

“Ya… Saya sudah pun berjumpa dengan guru besar pagi tadi. Saya tidak mampu cikgu..”

Zaharah terkesima. Tidak pernah terlintas di fikirannya, kejadian atau bencana yang hanya ditonton di ‘Bersamamu’ akan benar-benar berlaku kepada dirinya. Setelah pulang daripada melawat Stephen, Zaharah merancang pelan tindakan. Dia tekad. Dia nekad. Dia mesti membantu Stephen. Ya, bukan sahaja Stephen, malah sesiapa sahaja yang senasib dengan anak muridnya itu. Terngiang-ngiang di kepalanya, kata-kata pensyarahnya sewaktu di UPSI dahulu,

“Guru, seperti yang sudah anda bosan mendengarnya, adalah pekerjaan yang paling mulia di muka dunia. Mengapa? Kerana pada suatu hari nanti, robot ciptaan manusia bakal menakluki dunia. Kita sudah ada robot menjadi tabib pengubat manusia. Kita sudah ada robot yang mampu memimpin orkestra. Tetapi percayalah, robot tidak mungkin dan tidak bisa menggantikan anda semua, guru pendidik bangsa! Jadikan diri anda tempat pergantungan anak bangsa. Sayangi mereka. Cintai ilmu yang diajarkan kepada mereka. Nescaya, ruh pendidik mulia pasti meresap ke dalam tubuh dan jiwa…”

Tiba-tiba sahaja Zaharah bersemangat. Semangat yang dahulunya hilang kini sudah kembali. Malam itu tidak tidur dia sehingga ke Subuh, berfikir dan memerah otak, bagaimana dia dapat membantu anak bangsa seperti Stephen. Dia panjatkan doa, tatkala berjemaah bersama Ustazah Soraya, agar dipermudahkan jalan dan ditunjukkan laluan untuk dia melaksanakan rancangannya itu. Zaharah menghantar e-mail yang panjang lebar kepada bapanya, meminta buah fikiran di samping wang bantuan. Tidak sampai seminggu Zaharah melawat Stephen, anak kecil itu sudah kembali ke sekolah. Zaharah tersenyum panjang apabila melihat Stephen duduk di tempat biasanya, bergurau senda bersama rakan sebaya. Stephen juga gembira tatkala melihat Zaharah melangkah masuk ke dalam kelas. Cikgu Zara! Terima kasih! Terima kasih, Cikgu Zara! Buat pertama kalinya sejak sekian lama, senyuman seorang anak kecil begitu bermakna buat diri Zaharah. Entah mengapa, kepuasan yang dirasakannnya cukup berbeza, tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Semenjak itu, Cikgu Zara tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Ada sahaja kes-kes atau kisah-kisah yang menyentuh jiwa menyentak rasa didengari telinga, pasti dia dan Ustazah Soraya akan bertindak segera. Zaharah bertambah gembira apabila ramai di kalangan guru-guru Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan menyambut baik usaha murninya itu. Daripada berdua, kini pasukan mereka sudah berlima. Cikgu Zaharah semakin popular dan disenangi di sekolah itu. Ramai benar anak-anak murid yang telah dibantunya. Nama Cikgu Zara bukan lagi dijadikan mainan atau ejekan, tetapi menjadi kesayangan dan kehormatan. Guru-guru lelaki kini sudah berani mengurat Zaharah. Zaharah hanya mampu tersenyum, sering juga tertawa, apabila dia melintas lalu, pasti ada yang menyiul manja. Cikgu Bernard Ongkili dan Cikgu Ahamad Tusin yang paling nakal. Tidak sedar diri, geleng Zaharah. Dua-dua sudah berpunya! Ramai juga ibu bapa yang menghargai usahanya, sehinggakan sekiranya ada majlis-majlis keramaian di kampung-kampung berdekatan, nama Cikgu Zara wajib diletakkan di dalam senarai tetamu yang dijemput.

Tanggal 16 Mei 2005 melakar suatu kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan. Hari itu merupakan sambutan Hari Guru yang pertama buat Zaharah. Dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk anak-anak muridnya memberikan hadiah, hatta kad ucapan. Cukuplah sekadar ucapan ikhlas “Selamat Hari Guru.” Dia sedar, dia masih baru di sekolah itu. Jasa yang ditaburkan, masih belum cukup untuk diberikan penghargaan. Benih yang ditanam dan dibaja, masih mentah untuk membuahkan hasilnya. Dan dia juga faham, kemiskinan anak-anak muridnya bermakna, hadiah untuk seorang guru hanya akan menambah beban. Betapa silapnya sangkaannya itu. Sebaik sahaja upacara rasmi disudahkan, berduyun-duyun anak muridnya datang menyerangnya untuk memberikan hadiah dan kad ucapan.

“Selamat Hari Guru, cikgu!” Laung anak-anak muridnya.

“Cikgu, yang ini, emak yang bagi,” dahului Siti Sarah.

“Cikgu cikgu, kad ini, saya buat sendiri tau?? Musran menunjuk.

“Cikgu, saya tak tahu nak bagi cikgu apa. Jadi saya belikan bunga sahaja,” kata Michael Leo tersipu-sipu.

Sepanjang hari itu Zaharah tersenyum. Terharu. Bagai orang gila lagaknya. Namun kejutan terbesar datangnya daripada Stephen. Di hujung waktu persekolahan, ketika Zaharah sedang sibuk mengemas mejanya, Stephen datang ke bilik guru, minta untuk berjumpa dengan cikgu kesayangannya itu.

“Cikgu… Sudikah cikgu berkahwin dengan saya….?”

Zaharah terdiam. Mengira-ngira apakah yang patut dijawabnya.

“ Er, Stephen… Kamu bergurau, bukan…?”

“Alaaaaaaa… Saya dah agak, cikgu mesti tak sudi…” Keluh Stephen.

“Hahaha.. Kamu ni Stephen. Jangan mengarutlah! Kamu masih kecil, sebelas tahun. By the time kamu dah ready nak kahwin, cikgu dah tua gayut dah!” Zaharah tersenyum mengusik.

“Ye la ye la… Ni cikgu, tadi saya malu hendak beri hadiah ni kepada cikgu. Masakan tidak, rakan-rakan yang lain semua belikan cikgu hadiah yang hebat belaka. Saya tak mampu cikgu. Ni sahajalah yang mampu saya berikan.”

Sebuah bungkusan kecil berbalut kertas merah jambu bercorak hati dan bunga dikeluarkan daripada poket seluar Stephen yang lusuh, dan dihadiahkan kepada Zaharah.

“Op op, tunggu tunggu! Cikgu tak boleh buka hadiah tu sekarang!”

“Ala kamu ni Stephen… Tak cool la…”

“Cool tak cool. Cikgu kena janji, cikgu hanya boleh buka hadiah tu bila cikgu dah sampai rumah, ok?” Stephen tersenyum manja.

Zaharah mengangguk tanda setuju. Dia mengusap belai rambut anak muridnya itu. Tidak disangkanya, usaha kecil tidak seberapa sebulan yang lalu memberikan makna kehidupan yang baru buat Stephen. Tidak disangkanya, niat ikhlasnya untuk membantu seorang insan yang hidup dalam kedaifan kini bertukar menjadi jalinan yang cukup mapan.

Setiba sahaja dia di rumah, sementelah menghempaskan diri pada sofa empuk di biliknya, dia terus mencapai bungkusan yang diberi Stephen yang disorok rapi di dalam beg tangannya. Sayang benar. Perlahan-lahan bungkusan merah itu dibuka. Zaharah terkedu.

"Ke hadapan Cikgu Zara yang amat saya sayangi,

Terima kasih cikgu, atas segala-galanya. Bukan sedikit jasa cikgu pada saya. Saya amat menghargainya. Sehingga saya mati pun, tidak mungkin saya dapat membalas segala budi dan bakti yang telah cikgu curahkan.

Kulit-kulit kerang ini saya kutip di tepi pantai semalam. Saya cuba mengutip sebanyak yang mungkin, kerana saya mahu cikgu tahu, setiap kulit kerang melambangkan betapa kasihnya saya pada cikgu. Saya simpan di dalam bekas kaca ini, supaya ‘kasih’ saya pada cikgu akan kekal buat selamanya…"

Yang benar,
Stephen Dompok.

Ustazah Soraya terkejut melihat rakan karibnya itu tersedu-sedu sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah. Sangkanya, pasti ada berita buruk dari Kuala Lumpur. Bila ditanya mengapa, Zaharah menyerahkan surat karangan Stephen. Pendek, tapi cukup menyentuh. Ustazah Soraya pantas menyertai sedu Zaharah, sebaik sahaja dia selesai menatap warkah ikhlas itu.

***

Kertas putih berlipat kemas itu ditatap lagi. Masuk kali ini, sudah tujuh kali dibacanya. Hatinya masih gundah dan resah. Dia masih belum dapat menerima isi kandungan surat itu. Masakan! Masakan mereka tergamak melakukan hal ini kepadaku? Tahun ini masuklah tahun ketiga Cikgu Zara menabur bakti di Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan. Hatinya sudah terpaut dan kakinya sudah tersangkut di sekolah ini. Dia sudah cukup sayang dengan Kampung Titingan. Kampung Titingan juga sudah jatuh hati pada Cikgu Zara. Masakan tergamak mereka melakukan hal ini kepadaku? Ditatapnya lagi sampul surat berwarna perang muda, berjatakan ‘Kementerian Pelajaran Malaysia’ itu.
>Surat itu diterima pagi tadi, betul-betul seminggu sebelum sambutan Hari Guru yang ketiga buat diri Zaharah. Dia telah diarahkan bertukar sekolah ke Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Cukup hampir dengan rumahnya di sana. 20 minit berkereta dan 10 minit sahaja jika dia menaiki monorel. Tetapi itu bukan soalnya. Sekiranya surat itu diterimanya 3 tahun yang lalu, sudah pasti dia kini melompat kegirangan. Sudah pasti dia tertawa keseronokan. Tapi itu 3 tahun yang lalu. Kini segala-galanya telah berubah. Kini dia hampa kesedihan. Kini dia menangis kehibaan...

***

“Sekiranya bapa saya ada di sini bersama-sama pada hari ini, nescaya saya akan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya, kerana tidak menurutkan hawa jiwa saya suatu ketika dahulu, yang enggan ditugaskan di sekolah ini. Maklumlah, anak jati Kuala Lumpur… Kini, saya benar-benar bersyukur, kerana ditempatkan di sekolah ini sebagai tugasan pertama saya.

Saya masih ingat, ketika pertama kali saya berucap di pentas ini, saya ditertawakan anda semua. Dan hari ini, saya lihat, ada di kalangan anak-anak didik kesayangan saya yang mengalirkan air mata. Saya melihat itu sebagai petanda baik, suatu isyarat bahawa saya diterima.

Zaharah tidak dapat meneruskan ucapan. Sebak.

“Saya… Saya amat berterima kasih kepada anda semua… Saya…”

Zaharah terpaksa berhenti seketika, untuk mengembalikan nafas dan tenangnya. Dilapnya air mata yang bergenang di kelopak.

“Saya amat berterima kasih kepada anda semua, kerana di sinilah saya belajar apakah itu erti kehidupan. Apa itu erti kasih sayang. Apa itu erti pengorbanan. Sungguh, selama 3 tahun saya dini, pengalaman dan pelajaran yang saya kumpul dan bina, telah pun membina sebuah mahligai yang jauh lebih cantik daripada teratak bobrok yang saya diami 20 tahun yang lampau. Kampung Titingan akan kekal dalam ingatan, sehingga hayat dikandung badan…”

Kali ini, bukan sahaja Zaharah yang sebak, malah hampir seluruh dewan turut meratap. Ya benar, sekiranya dilihat orang luar, pasti sahaja mereka berasa pelik dan jelik. Mengapa anak KL itu mahu disanjung dan dijunjung? Mengapa anak si kaya itu mahu dilambung-lambung? Jawapannya cukup mudah buat penduduk Kampung Titingan. Bagi mereka, Cikgu Zara sudah menjadi sebahagian daripada mereka. Jasa Cikgu Zara pada mereka cukup besar, cukup bermakna. Tidak hairanlah, pada tanggal 16 Mei 2008 ini, ramai yang sayu dan hiba, seolah-olah berkabung menangisi suatu kematian.

Zaharah dihantar oleh seluruh warga sekolah ke lapangan terbang. Hari ini, cukup banyak air mata yang dibazirkannya. Dia juga terpaksa membayar tambang lebih buat bagasinya yang melebihi had berat minima. Manakan tidak. Hampir seluruh warga Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan memberikannya sesuatu, paling tidak ikan masin sepat yang cukup terkenal di Tawau, untuk dijadikan kenangan. Namun Zaharah tidak kisah. Malah dia cukup terharu dengan layanan kelas pertama yang diberikan kepadanya, walaupun perkhidmatannya di sekolah itu tidaklah selama mana. Sebelum berlepas, Zaharah peluk erat Ustazah Sofiya. Jaga anak-anakku. Jaga sekolahku, ya? Ustazah Soraya mengangguk lemah, sambil mengesat mata dengan kain tudungnya.

Zaharah akhirnya masuk ke dalam balai berlepas, selepas berkali-kali namanya diumumkan oleh petugas lapangan terbang. Berat hati dan kakinya untuk melangkah.

"Cikgu Zara!"

Zaharah memaling, sedikit kaget dengan laungan itu. Dia meneka apakah gimik yang bakal dipersembahkan oleh anak-anak muridnya.

"SELAMAT HARI GURU! Anda guru kami, buat selamanya!”

Kali ini Zara tersenyum. Tersenyum bangga. Zaim, Zaid, Zuhri, papa dan mama, Zara telah buktikan kepada kalian! Zaharah pegang erat bekas kaca pemberian Stephen. Tersenyum. Zaharah melangkah pergi.

***
“Berburu di padang datar,
Dapat rusa belang di kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi."
- Allahyarham Usman Awang, Sasterawan Negara
 
SELAMAT HARI GURU buat semua warga pendidik Malaysia!

Nota: Semua watak dalam cerita ini adalah imaginasi penulis semata-mata. Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan merupakan sebuah sekolah yang sebenarnya dan sememangnya terletak di Tawau, Sabah. Nama kelas 5 Mahathir hanya direka. Penulis memohon maaf seandainya terdapat sebarang unsur-unsur atau perkataan-perkataan yang menyinggung mana-mana pihak. Hak Cipta terpelihara 2008. 

-gabbana-

12 Caci Maki Puji Muji:

pemburu syurga 16/05/2008, 22:15  

salam syeikh!
mantap bule tulih cerpen time2 nk exam ni..
ceritanya pon bagus!!
tahniah endy..opsssss;)

hadzhamdan 16/05/2008, 23:43  

salam gabbana...
hhmm..balik2 jer dari rumah baru saya terus buka blog kamu utk melihat kalau2 cerpen yang dinanti2kan selama ni dah kuar..
well..my comment..
simple story, but....WOW!!terharu gle..best la gabbana citer ni, saya ske!
tak reti sangat nak bagi komen coz saya sendiri bab2 menulis ni bukan reti sangat pun kan..
but honestly, I think your strength is...hhmm,pada gaya penulisan kot..tak melampau kalau cakap cerpen kamu ni ADA ROH..huhu..dapat menyentuh hati...
k, la tak nak puji lebih2..nanti orang tuh ter'angkat' plak...

Inche gabbana 17/05/2008, 00:03  

Masha-allah.. Tidak saya sangka respons yang diterima sebegini baik, walaupun hanya kamu berdua yang membacanya.. Terima kasih waqi dan had...! Kini lebih bersemangat untuk menulis! :D

p/s: Amboi waqi... pecah lobs nampak...?? hehehe..

AdaptingChange 21/01/2010, 22:44  

Salam Gabbana.
Toyyib. Jaid Jiddan.
MasyaAllah.
Sangat terkesan cerpen ini.
Sungguh, mengalir lesu air mata membacanya, walau diri ini agak mustahil untuk menerima surat coklat dari KPM.

Teruskan!

Inche gabbana 27/01/2010, 01:27  

Jazakallahu khair resah.

Kita mungkin tak terima surat dari KPM, tapi 'surat' daripada Allah bila2 sahaja boleh dihantar kepada kita..!

Sama ada kita bersedia atau pun tidak aje..! ;)

Allahu a'lam.

Anonymous 28/01/2010, 19:42  

Salam penulis,
Cerpen yg sgt bagus...
Hati ditusuk bertalu-talu tatkala membaca bait kata-kata..
Seolah-olah cerpen utk diriku yg bakal menjadi guru Matematik insyaAllah...
jazak Allah khyar

Anonymous 08/03/2011, 18:41  

hurm..sekolah seri puteri?

selamat hari guru, chekgu!!!

Anonymous 19/05/2013, 20:47  

Assalamu'alaikum Inche Gabbana.alhamdulillah sbb bpluang bca cerpen ni. Sebak&mngalir air mata saya mmbacanya. Truskan berkarya&mnyentuh hati2 yg dahagakan kasih syg&islam

Unknown 15/07/2013, 13:22  

as salam. silent reader b4 this. but t'gerak nk comment kli ni sb future teacher going to be too. so crita ni mmg ter'overloaded' inspired me lah.haha. crita2 sblm ni pn inspired jgk, ad pngjrn yg bermakna,and best~ cra pnulisan inche mmg interesting. so trskn mnulis crita2 pendek like this :)

Anonymous 12/01/2014, 19:31  

Sob sob..hampir nk nanges

h.imaan91 16/06/2014, 18:31  

Salam.
Terbaiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiikk!!

*Pembetulan: Universiti Pendidikan Sultan Idris bukan Universiti Perguruan Sultan Idris

Anonymous 24/11/2014, 12:03  

tak baca habis sebab jalan cerita meleret dan kurang dialog..err

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP