Showing posts with label Legenda Urban Inche gabbana. Show all posts
Showing posts with label Legenda Urban Inche gabbana. Show all posts

27 October 2016

Saya Mahu Gugurkan Sebutir Bom. Anda Sudah Bersedia?


[Kredit]

Hati mana yang tidak remuk apabila mutarabbi yang amat dichentai, mengambil keputusan untuk tidak lagi berbulatan gembira bersama kita?

Hati mana yang tidak berderai apabila hadek-hadek yang begitu dikasihi, tidak semena-mena buat biskut dengan kita, diam seribu bahasa dan tiba-tiba sahaja hilang entah ke mana?

Hati mana yang tidak kechiwa apabila mad'u yang sudah lama disantuni, dibelai dengan mi rojak dan nasi briyani, dibujuk dengan cendol dan KFC, berkata kepada kita dengan selamba agar jangan diganggu hidupnya lagi?

Hati mana yang tidak hancur apabila pelapis dakwah kita, yang kita tatang bagai minyak yang penuh, entah dirasuk jin hantu apa agaknya, tiba-tiba sahaja bangkit menentang kita dan menikam kita dari belakang?

Dan hati mana yang tidak luluh berkecai apabila ikhwah yang amat kita tsiqahi di atas jalan dakwah ini, yang kita sayangi lebih dari adik-beradik sendiri, mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri dan tidak lagi bersama gerabak dakwah ini?

Ini bukan drama TV3 atau sinetron dari Indonesia. Bukan. Tapi inilah hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh para dua't di luar sana. 

Ia adalah sebahagian asam garam mereka yang bergelar dai'e. Mereka yang benar-benar ikhlas bekerja di atas jalan ini, yang bersungguh-sungguh mahu menyebarkan chenta dan bahagia dalam kalangan manusia di muka bumi ini, tidak boleh tidak, pasti akan melalui sketsa kehidupan ini. 

Saya masih ingat dengan jelas, sewaktu saya membawa bulatan gembira saya yang pertama dahulu. Ketika itu saya sudah berada di tahun akhir pengajian di Kerajaan Bersatu. Jika anda masih ingat dengan perkongsian saya zaman dinosor dahulu (bolehlah korek artikel-artikel lama kalau rajin), saya antara yang lambat bergerak secara aktif di atas jalan dakwah ini dek keculasan diri dan banyaknya alasan yang diberi. Oleh sebab itulah di tahun akhir pengajian baharulah saya punya bulatan gembira sendiri.

'Ala kulli hal, saya amat bersyukur kerana Allah masih beri peluang kepada saya untuk merasakan kemanisan dalam kesusahan dan kelazatan dalam keperitan ketika mentajmik, menDF dan membawa halaqah saya yang pertama. 

Nak dijadikan cerita (jika tidak tak perlulah saya buka pekung di dada kan), ada seorang junior yang berjaya saya tarik masuk ke dalam bulatan gembira saya. Mari kita namakan dia sebagai R. Entah mengapa, R pantas menjadi feveret saya. Boleh jadi, fikir saya, kerana saya melihatnya punya banyak persamaan dengan diri saya. Saya melihat dirinya saya. Saya sedang melihat diri sendiri. 

Maka saya sangat optimis dengan mutarabbi yang seorang ini. Saya berazam mahu mentarbiyah R agar dia dapat merasakan apa yang saya rasakan; betapa seronok dan manisnya berukhuwwah di atas jalan dakwah ini. Saya berusaha untuk mengasuh dan membimbing R, agar dia dapat menjadi sekurang-kurangnya seperti diri saya atau lebih baik lagi.

Ya, itulah impian saya. 

Sehinggalah suatu ketika, sebelum cuti musim bunga, saya telah membuat sedikit bancian di dalam bulatan gembira saya itu. Saya bertanyakan kepada hadek-hadek terchenta beberapa soalan, antaranya adakah mereka masih mahu komited dengan bulatan gembira tahun hadapan (apabila sudah masuk tahun dua pengajian nanti), adakah mereka mahu menjadi murabbi dan sebagainya.

Jawapan-jawapan yang mereka berikan semuanya memberansangkan. Positif. Menggalakkan. Termasuklah R. Saya amat gembira dan teruja membaca jawapan-jawapan mereka. Saya berasa saya telah berjaya sedikit sebanyak mentarbiyah mereka dan memasukkan fikrah dakwah ke dalam kepala dan otak mereka.

Alangkah naifnya saya ketika itu!

Tidak lama selepas itu, saya menerima mesej peribadi (ketika itu belum ada perkhidmatan Waksep, Telegram dan sebagainya) daripada R.

"[Inche gabbana], I'm going to drop a bomb. Are you ready?"

Hati saya berasa sedikit tidak sedap. 

"Ok, go on. I'm listening."

Dupdap. Dupdap.

"Hmm ok. Here we go. I don't think I want to follow your usrah anymore. It's not you, really. It's me..."

Ketika itu saya merasakan jantung saya berhenti berdegup. Badan saya jadi kebas kerana darah berhenti mengalir. Kalau ada orang menampar muka saya sekuat hati ketika itu, pasti saya tidak merasakan apa-apa. 

Ok drama sikit di situ. 

Saya tidak ingatlah apa yang saya jawab selepas itu. Tetapi saya cubalah untuk tidak menampakkan kekecewaan dan keremukan hati saya pada R. Malah, saya masih lagi menjaga ukhuwwah dengan R selepas itu, sehinggakan kadangkala R masih akan menghubungi saya untuk bertanyakan masalah dan sebagainya. Hatta selepas R balik Malaysia pon (3 tahun selepas itu), dia masih lagi menghubungi saya.

Selepas peristiwa yang berlaku pada R, saya berhadapan lagi dengan kejadian mutarabbi lari ini. Bukan sekali dua, tapi banyak kali. Pelbagai alasan yang diberi. Bermacam hujah yang menjadi pertahanan diri. Dan selalunya ia akan berakhir dengan kata-kata, "Bukan salah [Abam gabbana], tapi salah saya." Adeh.

Setiap kali itu juga, hati saya akan remuk. Setiap kali ada mutarabbi yang membuat keputusan untuk berundur diri, untuk berehat seketika dari gerabak tarbiyah dan dakwah ini, hati saya berkecamuk. Walaupon dia bukan mutarabbi saya sekalipon, tetapi mutarabbi ikhwah lain, tetapi oleh sebab saya kenal benar dengannya, apatah lagi sama-sama berprogram, makan setalam, bercipiki-cipika, main osom gergasi, jaulah bernasyid sama-sama, hati saya tetap akan hancur luluh setiap kali ada kes-kes sebegini.

Tsk tsk.

Yang lebih menggoncang hati dan perasaan adalah apabila sang mutarabbi bukan sahaja mengambil keputusan untuk tidak bersama, untuk berehat seketika, tetapi menjadi orang 'biasa-biasa' yang bukan sahaja tidak berdakwah, tidak ditarbiyah dan mentarbiyah, tetapi kembali berhuha-huha sepertimana hidupnya sebelum ditarbiyah dahulu. Sedikit demi sedikit kita dapat melihat perubahan pada dirinya, sampai satu tahap, dia menjadi seperti manusia yang tidak pernah disentuh oleh tarbiyah langsung!

Nanges. 

Bukan, ini bukan post menghukum. Ini bukan tulisan judgmental yang melulu menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa. Tetapi ini adalah tulisan penuh ketulusan, yang lahir dari pengalaman bertahun-tahun bersama dengan gerabak ini. 

Tarik nafas.

Alhamdulillah, walaupon saya mengambil masa yang agak lama untuk memujuk hati, untuk bangkit kembali apabila berlaku kes-kes sebegini, ia menjadi iktibar dan ibrah yang cukup besar buat saya di atas jalan dakwah ini. Ia menguatkan hati saya tentang firman Allah SWT yang satu ini:
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” [al-Qasas, 28:56]

Sekuat mana pon kita berusaha, sehebat mana pon kesungguhan kita dan sebesar mana pon pengorbanan kita, akhirnya kita perlu menerima hakikat yang hidayah itu adalah hak milik mutlak Allah semata. 

Namun fitrah manusia itu, pasti mengharapkan sesuatu daripada titik peluh dan pengorbanannya, setelah bertungkus-lumus berusaha untuk menyelamatkan jiwa-jiwa yang lalai di luar sana. Pasti terdetik sekelumit cuma, suatu harapan untuk melihat segala usaha yang pernah dicurahkan tidak mengalir masuk ke dalam longkang menjadi sia-sia. Hati ini perlu juga dipujuk sekali-kala, agar kekecewaan demi kekecewaan tidak terbina menjadi istana neraka yang bertakhta di dalam jiwa. 

Nah, mungkin nukilan Syaikh Ahmad Rasyid ini bisa memujuk jiwa-jiwa anda yang sedang lara menghadapi apa yang saya katakan sebelum ini:

"Penilaian terhadap kegagalan dan kejayaan dakwah pada waktu-waktu tertentu tidaklah bergantung kepada statistik berapa ramai yang mampu dipindahkan dari lembah hanyut kepada menyertai barisan dakwah. Ini kerana dakwah Islam telah menjadi sebab terhidayahnya ribuan pemuda dan terpeliharanya mereka dari kejahatan dan kesesatan - meskipon mereka tidak menyertai barisan dakwah kerana apa alasan sekalipon. Ini sudah menjadi satu yang sangat besar bagi Islam."

Fuh. Ini sumpah padu!

"Ia adalah suatu yang besar selama mana dakwah Islam telah menjadi seumpama oasis di tengah-tengah padang pasir kontang," ujar as-Syaikh lagi, "Angkatan musafir yang berkelana berteduh di bawah naungannnya, meminum airnya dan bermesra dengan penduduknya."

Tambahnya lagi, "Betapa ramai pemuda-pemuda yang telah mendapat asuhan dakwah di zaman muda mereka dengan selamat, menikmati teduhan dakwah dan bergaul rapat dengan dai'e walaupon selepas itu mereka tidak dapat meneruskan perjalanan oleh sebab takut atau terpujuk.

Betapa ramai yang telah was-was telah ditarik oleh dakwah Islam kembali kepada yakin semula. Dari seorang mukmin yang jahil kepada berilmu. Semua ini sangat besar ertinya dalam pertimbangan syarak.

Dakwah telah menjelaskan banyak perkara-perkara syubhah dan samar, emnolak tuduhan terhadap Islam dan membela maruah yang dizalimi. Semua sumbangan itu sangat besar ertinya di sisi Islam. 

Oleh itu, kita tidak seharusnya berpandangan pesimis menyebabkan putus asa dalam kalangan 'amilin kerana dakwah tidaklah gagal. Dengan izin Allah, pahala yang sangat besar sedang menanti sesiapa yang ingin bersama-sama di dalamnya. Sama sepertimana kita menunggu buah yang banyak dari pohon yang ditanam semalam." 

Waduh waduh! 

Juga, "Sesungguhnya manusia itu ramai. Hasil usaha dakwah dahulu dan sekarang telah menyebabkan berlakunya pertarungan antara iman dan jahiliyyah dalam jiwa mereka. Sekarang, pertarungan jiwa itu berlaku dengan hebatnya di dalam jiwa mereka, cuma ia tidak dapat dilihat. Persoalan yang berkocak di jiwa mereka ialah, adakah mereka akan beriman dan mengakui apa yang disebutkan oleh dai'e Islam atau pon mereka akan terus kekal dalam keadaan mereka? Golongan ini pasti menuju kepada iman apabila kebebenaran telah jelas terbentang di hadapan." - (Syaikh Ahmad Rasyid, Muntalaq, Bab 17: Fokus, Bukannya Meramaikan)

Subhanallah. Boleh hulurkan sehelai dua tisu? 

Begitulah wahai ikhwah dan akhawat yang saya kasihi kerana Allah.

Janganlah terlalu mudah kecewa apabila ada mutarabbi yang lari meninggalkanmu.

Janganlah mudah pasrah dan hancur luluh jiwamu apabila ada mad'u yang menengking dan mencemuh usaha-usaha dakwahmu.

Dan janganlah berputus-asa dari dakwah ini apabila seorang demi seorang anak didikmu tidak mahu lagi meneruskan perjuangan ini.

Kerana ketahuilah, diri mereka selepas mendapat sentuhan tarbiyahmu, jauh lebih baik daripada siapa diri mereka sebelum ini. 

Fikrah dan iman yang telah kau semai dan tanam di dalam jiwa-jiwa mereka, pasti akan tumbuh menjadi pohon yang berbuah manis dan harum juga.

Akhlak dan budi pekertimu, pasti akan mereka kenang dan jadikan tauladan, hatta tanpa mereka sendiri sedari. 

Ilmu dan pengetahuan yang telah kau kongsikan, akan menjadi panduan yang meluruskan dan mematangkan hidup mereka.

Dan segala tazkirah dan nasihat yang pernah kau kongsikan, percayalah, sedikit sebanyak akan menjadi bekal yang akan terus menghidupkan hati-hati mereka. 

Usahamu itu tidak pernah sia-sia! 

Sekiranya dahulu mereka amat liat untuk membaca Quran, kini sekurang-kurangnya mereka tidak asing lagi dengan kalam suci itu.

Sekiranya dahulu mereka lalai dan bermudah-mudahan dalam menjaga aurat, kini sekurang-kurangnya mereka lebih berhati-hati.

Sekiranya dahulu mereka tidak segan-segan berbuat maksiat, kini sekurang-kurangnya timbul rasa malu.

Sekiranya dahulu mereka tidak langsung tidak peduli dengan nasib ummah di seluruh dunia, kini sekurang-kurangnya mereka lebih cakna.

Sekiranya dahulu mereka amat jauh dari Tuhan, kini mereka sejengkal, sedepa malah mungkin sebatu lebih dekat dengan-Nya. 

Dan semua ini adalah kerana usaha dan sentuhan anda, wahai ikhwah dan akhawat murabbi murabbiah sekalian. 

Tetapi awas! Ini bukan post untuk anda jadikan alasan untuk tidak bersungguh-sungguh berdakwah dan mentarbiyah. Ini bukan penulisan eskapisme yang meyedapkan hati apabila ada mutarabbi lari dek kelemahan diri sendiri yang disengajakan. Dan ini bukan nukilan percuma untuk anda culas dan malas menyerahkan sepenuh jiwa dan raga anda untuk dakwah ini. Bukan! 

Ia khusus buat ikhwah dan akhawat di luar sana, yang telah bertungkus-lumus sepenuh tenaga mencurahkan apa yang ada demi dakwah ini, namun tetap diuji dengan tribulasi mutarabbi lari dan mad'u menghilang yang sungguh memeritkan hari. Ia khas buat ikhwah dan akhawat yang sungguh telah mengikhlaskan diri untuk berjihad sesungguhnya demi dakwah yang terchenta, namun digoncang imannya dengan mehnah sebegitu rupa. Moga ia menjadi pujukan buat hati, motivasi buat diri.

Ketahuilah, kalian adalah qudwah kami. 

Sekarang anda boleh tersenyum sedikit kan?

-gabbana-

Waduh, sudah lama tidak menulis sebegini rupa dong! Jujur, amat rindu untuk menulis sebegini lagi. Doakan Allah tetapkan hati saya untuk lebih istiqamah menulis demi kebaikan ummah. Moga ada manfaatnya! 
 

2 April 2016

Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana

Klik untuk paparan yang lebih osem dan besar

"“Sesungguhnya tabi’in yang terbaik ialah seorang pemuda bernama Uwais.” 

Uwais al-Qarni. Suatu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kita mengenalinya sebagai seorang selebriti langit; tidak dikenali di dunia sewaktu hayatnya tapi dipuja di langit dan seluruh alam buana.

Ironinya, hari ini kita hidup di dalam zaman yang penuh dengan kegilaan; antaranya kegilaan mencari populariti dan kemahsyuran dunia. Trend Mukabuku, Insta dan Pengicau yang mendominasi kehidupan masyarakat hari ini, menjadikan kita tidak lagi dapat memaknai keikhlasan dalam erti katanya yang sebenar.

Buku ‘Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana’ adalah suatu usaha kecil untuk mengajak kita semua untuk kembali menghayati betapa besarnya makna sebuah keikhlasan. Dan betapa manis dan lazatnya buah-buahan ranum yang tumbuh dari benih-benih keikhlasan ini.

Agar kita semua dapat menjadi selebriti langit seperti Uwais. Senyum."

Demikianlah sinopsis yang saya muatkan pada belakang kaver buku terbaru saya yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Ehem.

Alhamdulillah, tsummal hamdulillah. Dengan penuh rasa syukur dan ta'zim, dengan penuh rasa rendah diri dan penuh kesedaran betapa banyaknya kekurangan dan kelemahan pada diri, saya dengan ini ingin mengumumkan pelancaran buku terbaru saya, sebuah buku bukan fiksi (Baca: Non-fiction) yang bertajuk:

'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana'

Anda yang setia dan tegar mengikuti penulisan saya pasti macam, "Eh pernah ku dengar tagline itu tapi di mana ya?" Eheh. Ya, itulah tagline yang sering saya gunakan di dalam penulisan saya dan kadangkala ketika menjawab emel-emel yang dihantar kepada saya. 

Saya mendapat idea untuk menulis buku ini sudah lama, cuma betul-betul seriyes berfikir tentangnya pada tahun lepas dan akhirnya diberi kekuatan dan kemahuan untuk mula menulis pada hujung tahun lepas. Alhamdulillah, dengan izin dan inayah dari-Nya, saya berjaya menyiapkan buku ini pada fasa akhir bulan Mac, agak awal dari apa yang saya jangkakan. 

Buku 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana' (Penat jugalah nak taip tajuk buku ni sebab tak boleh nak singkatkan macam IPJ. Peluh besar.) mengambil keikhlasan sebagai temanya yang utama. Juga amal-amal yang bagaimana yang sepatutnya tumbuh daripada benih-benih keikhlasan yang ditanam.

Oleh sebab itu, tidak ada sosok yang rasakan lebih sesuai untuk saya jadikan sebagai central figure buku ini selain daripada Uwais al-Qarni; seorang tabi'in yang semasa hayatnya tidak dihargai, namun akhirnya dijulang selepas pemergiannya. Menerusi tabi'in terhebat sepanjang zaman itu, saya cuba merungkaikan apakah rahsianya Uwais diangkat sebagai selebriti langit yang dipuja oleh sekalian penduduk langit dan alam buana.   

Buku ini dibahagikan kepada LIMA bab yang utama (Spoiler alert! Hehehe.):

  • Memaknai Keikhlasan
  • Beramal Sehingga Ke Sorga
  • Menjadi Selebriti Langit
  • Ikhlas; Tidak Semudah Memasak Megi
  • Satu Amal, Seribu Makna
Lima bab ini dibahagikan pula kepada lima sub-topik untuk menghuraikan bab tersebut. Nak tahu apa kesemua sub-topik tersebut? Macam biasalah, anda kena belilah buku ini dahulu! Wahahaha. 

Selain Uwais, saya juga ada kongsikan kisah-kisah selebriti langit yang lainnya, untuk meyakinkan anda semua betapa mereka ini berkongsi karakteristik yang sama; keikhlasan tahap lejen dan amal-amal yang bermanfaat untuk manusia di sekeliling mereka. 

Sedikit kelainan pada buku ini sekiranya saya boleh kongsikan, saya sangat berhati-hati dengan dalil-dalil yang saya nukilkan di dalam penulisan saya kali ini. Saya cuba sedaya upaya untuk memuatkan dalil-dalil yang sahih sahaja. Dan kali ini buat pertama kalinya, saya merujuk pada banyak kitab-kitab dan buku-buku yang lainnya bagi memastikan hujah-hujah yang saya lontarkan lebih mantap dan meyakinkan. 

Selain itu, macam biasa, selari dengan tema 'Memfikrahkan Indie, Mengindiekan Fikrah', bahasa penulisan yang saya gunakan sedikit sempoi dan santai, dengan harapan para pembaca tidak terasa terlalu berat dengan idea-idea yang dilontarkan dan lebih seronok dan teruja untuk membacanya. 

Jujurnya, saya amat teruja dengan penghasilan buku ini kerana sebahagian besar daripada penulisan di dalam buku ini TIDAK dicilok dari penulisan-penulisan yang sedia ada di dalam belog saya. Mungkin adalah 2-3 sub-topik yang diciplak dari belog saya itu. Oklah, mungkin lima lah. Kehkehkeh. Tetapi selainnya, memang penulisan saya yang original, terbaik dari ladang! Segar dari ketuhar! 

Untuk menambah keterujaan anda, inshaAllah dari semasa ke semasa, saya akan kongsikan beberapa artikel pilihan di dalam buku saya itu di belog APG ini untuk memberikan gambaran kasar kepada anda, buku ini tentang apa sebenarnya. Kiranya macam sneak peek la juga. Strategi promosi bhai! Kekeke.

Buku 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana' adalah terbitan Penerbitan Wahai! dan akan dijual pada harga RM25.00 untuk pasaran Semenanjung Malaysia dan RM30.00 untuk Sabah dan Sarawak.

Namun! Ok sila tegakkan badan anda dan beri perhatian yang tiada kompromi kepada pengumuman yang saya nak buat ini.

Untuk tempoh waktu yang terhad sahaja, buku ini boleh didapati pada harga diskaun 20% SEKIRANYA anda membuat pre-order bermula hari ini (2 April 2016) sehingga 11 April 2016; promosi terhad untuk 10 hari sahaja! Ofkos, penghantaran adalah PERCUMA ke mana-mana lokasi di seluruh Malaysia. 

TIDAK CUKUP DENGAN ITU!

Sembilan puluh sembilan (Baca: 99) pembeli* yang pertama akan menerima naskhah buku mereka dengan tanda tangan saya menghiasi mukasurat hadapan buku. Ok saya tahu tanda tangan saya tidaklah bernilai mana pon, perasan je lebih, wahahaha. Tapi saya tahu ada dalam kalangan anda yang teruja sampai nak jatuh kerusi dengan tawaran hebat ini bukan? Hehe. 

Tempah buku anda sekarang melalui pesanan waksep di 018 243 3772. Saya ulang, 018 243 3772. Eheh.

InshaAllah buku ini dijangka siap dicetak pada hujung bulan ini. Doakan agar segalanya dipermudahkan.

Oh ya, selepas 11 April, pre-order akan ditutup dan hanya akan dibuka semasa PBAKL nanti. Kiranya, jika anda terlepas untuk membuat pesanan dalam tempoh sepuluh hari ini, anda perlu menunggu sehingga 29 April untuk mendapatkan buku ini, sama ada pergi sendiri ke gerai Wahai! di PBAKL nanti, atau tempah secara online semula. 

Fuh.

Bagaimana? Apakah tahap keterujaan anda sekarang?

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam penghasilan buku 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana' - sama ada secara langsung atau tidak - terutamanya ikhwah fillah yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya. Tidak juga kepada insan-insan tersayang - keluarga terdekat, sahabat handai dan kucing-kucing gebu di rumah - yang tidak pernah hilang kepercayaan kepada diri ini. Dan akhir sekali, kepada anda semua, pembaca setia APG sejak dahulu lagi, yang saya yakin sentiasa menyokong dan mendoakan saya; biarlah Allah sahaja yang mengganjari kebaikan dan ketulusan kalian. 

Akhir sekali, tinggilah harapan saya agar buku ketiga saya ini, akan memberikan manfaat kepada anda yang membacanya. Jika tidak banyak, sedikit pun jadilah (tapi janganlah sedikit sangat!). Kerana sungguh, tiada yang saya harapkan melainkan usaha yang kecil dan marhaen ini akan menjadi bekalan untuk saya persembahkan di hadapan Allah kelak.

Moga Allah redha!

-gabbana- 

Sangat nebes dan teruja pada masa yang sama, untuk melihat apakah respon untuk buku terbaru ini.

Oh ya. Lawa kan kaver buku ni? Wahahaha.

26 November 2014

Lap Hingus Tu Boleh Tak?

[Kredit]

Jika anda bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini, anda pasti pernah berasa sedih. Dan anda punya terlalu banyak sebab dan alasan untuk berasa sedih.

Sama ada dakwah yang tidak menjadi.

Hadek bulatan gembira yang melarikan diri.  

Diri yang sering dihina dan dicaci. 

Ujian harta, kerjaya dan keluarga yang menghambat diri.

Masalah ummah yang seakan-akan tidak punya solusi.

Ya, ada banyak sebab untuk kita berasa sedih.

Saya sendiri ada suatu kisah sedih yang ingin saya kongsikan. Di tahun pertama saya mula membawa bulatan gembira saya yang sendiri, telah berlaku suatu peristiwa yang benar-benar menyebabkan saya berasa bawah dan terasa seperti mahu terjun ke dalam gaung yang paling dalam. 

Ketika itu saya masih belajar di Kerajaan Bersatu. Ada seorang hadek yang begitu berpotensi, yang saya letakkan harapan yang tinggi kepadanya, melihatkan kepada personaliti dan kelogaman yang ada padanya. Saya namakan dia sebagai N. Saya begitu optimis pada N. Malah, saya melihat diri saya ada pada N.

Namun selepas cuti panjang musim sejuk, saya menerima satu mesej pesanan ringkas daripada N (semasa itu masih belum ada waksep lagi). Mesejnya kurang lebih begini:

"[Inche gabbana], I'm gonna drop a bomb."

Saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Berderau darah saya apabila membaca penyudahan mesej itu.

"I don't think I want to continue usrah with you. It's nothing to do with you. It's just me."

(Cakap omputoh ok? Eheh.)

Terasa berdiri segala macam bulu yang ada di belakang tengkuk saya. Walaupon dinyatakan bahawa keputusannya itu adalah keputusan peribadi, namun saya tahu benar dua ayat yang terakhir itu adalah ayat penyedap hati. 

Bayangkan sahajalah bagaimana perasaan saya yang baharu mahu merangkak dan bertatih di dalam membawa bulatan gembira ketika itu.

Terasa macam ada seorang lelaki gagah setinggi enam kaki menumbuk tepat pada muka saya, kemudian menggelakkan saya sambil membuat tarian ayam (Baca: Chicken dance). Err. 

Cukup meremukkan jiwa. Cukup menghiris hati. Cukup cukup menyedihkan. 

Tiada salahnya untuk kita berasa sedih. Apatah lagi jalan dakwah ini sememangnya panjang dan berduri, penuh dengan kaca, paku dan gula-gula getah bekas ludahan entah siapa. Eh.

Tapi tidak perlulah kita bersedih dan terlalu bawah, sehingga kita meninggalkan terus kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita. Janganlah terlalu terguris dengan seorang hadek bulatan gembira, sehingga kita abaikan hak-hak hadek-hadek yang lainnya. Janganlah terlalu remuk dan sebak jiwa kita, sehingga kita merajuk berbulan-bulan lamanya. Alahai.

Ditambah pula dengan air hingus yang meleleh, rambut kusut masai dan mata lebam legam anda itu! Buruk bebenor eh! 

Demikianlah peringatan yang diberikan oleh Allah kepada utusanNya yang terchenta, Nabi Muhammad SAW:
"Boleh jadi engkau (Muhammad) akan membinasakan dirimu (dengan kesedihan), kerana mereka (penduduk Mekah) tidak beriman."
[asy-Syu'ara', 26:3]

Nah, sedangkan Nabi SAW yang kita tahu hidupnya diabdikan untuk dakwah itu pon ditegur oleh Allah... Sedangkan ujian dan cubaan yang menimpa dirinya yang mulia itu bagai langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan kita itu pon diingatkan oleh Allah... Sedangkan dakwahnya ditolak oleh berapa ramai manusia, termasuklah ahli-ahli keluarganya yang terdekat itu pon dinasihati oleh Allah... Apatah lagilah kita yang serba marhaen ini?

Layakkah kita untuk berasa sedih sehingga mahu meninggalkan gerabak tarbiyah dan dakwah, sekiranya mahu dibandingkan dengan mehnah yang dilalui oleh ar-Rasul dan para sahabat?

Layakkan kita untuk berasa sedih sehingga mahu futur, gugur dari terus kejap memegang obor perjuangan ini sekiranya hendak dibanding dengan kesusahan dan kepayahan yang telah pon dilalui oleh golongan awal?

Layakkan kita untuk berasa sedih sehingga tiada apa yang keluar dari mulut kita melainkan keluhan dan aduan, walhal kita masih belum benar-benar menjualkan diri kita untuk dakwah ini?

Allah Allah! Nanges. 

Kerana itu kita dilarang untuk bersedih yang keterlaluan, kerana ia hanya akan membinasakan diri kita.

Keterlaluan yang bagaimana?

Sedih sehingga tidak mahu berjumpa dengan ikhwah/akhawat.

Sedih sehingga tidak mahu hadir ke bulatan gembira.

Sedih sehingga lesu untuk pergi bermuayasyah dengan mutarabbi kita.

Sedih sehingga kita membenarkan diri kita jatuh ke dalam lubang-lubang jahiliyyah.

Sedih sehingga kita mula meninggalkan amal-amal fardhi dan dakwi.

Sedih sehingga kita mula menjauhkan diri daripada kasih-sayangNya. 

Sedih sehingga kita menyalahkan Allah yang kita rasakan tidak berlaku adil kepada diri kita.

Bukankah semua itu suatu kebinasaan?? 

Nastaghfirullah. Ampuni kami wahai Allah. 

"Dan sungguh, Tuhanmu Dialah yang yang Maha Perkasa, Maha Penyayang."
[asy-Syu'ara', 26:9]

Percayalah, setiap apa yang berlaku adalah sebahagian daripada pelan agungNya untuk kita. Setiap ujian dan mehnah yang menimpa kita, adalah antara caraNya untuk mematangkan kita di atas jalan dakwah ini. Kesedihan dan kesusahan yang terpaksa kita hadapi, sekiranya ditanggapi dengan bijak dan sabar, pastinya akan menatijahkan nikmat syukur yang amat besar. 

Tidak mungkin Allah akan membiarkan hambaNya yang mahu berbakti kepada agama ini terkapai-kapai seorang diri.

Tidak mungkin Allah sengaja mahu membuatkan kita berasa sedih dan susah, tanpa ada mutiara yang berharga yang terhasil darinya.

Dan tidak mungkin Allah yang Maha Perkasa dan Maha Penyayang itu, membiarkan kita terus di dalam kesedihan dan kebingungan tanpa menceriakan hari-hari suram kita dengan pelangi nan indah menghiasi sang suria. Ewah. 

"Dan janganlah kamu (berasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman."

[ali-Imraan, 3:139]

Sudah-sudahlah tu. Cukup-cukuplah tu. Boleh dah lap hingus tu. Sila keringkan air mata tu.

Biasalah tu berasa sedih sekali-sekali dengan ujian berat yang menimpa kita di atas jalan dakwah ini. Abam macho berbadan sasa pon sekali-sekala menanges juga apabila menonton drama Korea. Wahahaha.

Namun jangan biarkan kesedihan itu sampai membinasakan diri kita!

Tahu?

-gabbana-  

Ada suatu kejutan untuk anda semua dalam bulan Disember ini, inshaAllah.

Sungguh, tidak sabar rasanya saya mahu berkongsikan berita gembira ini! Aiwah!

21 November 2014

Menjadi Mizz Nina

[Kredit]
Saya bukanlah seorang orang muzik. Dan takdelah minat muzik sangat pon.

Dahulu di sekolah rendah, pernahlah menyertai kumpulan koir sekolah. Itu pon sebab ramai aweks yang saya minat. Alah, chenta babun sahaja masa tu. Wahahaha.

Di Sekolah Bintang pula, saya pernah menyertai pasukan pancaragam sekolah dan dilatih untuk bermain trumpet. Itu pon sebab dipaksa. Akhirnya tak bertahan lama kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga pada aktiviti berdebat. Eheh.

Kemudian semasa di sebuah kolej yang-namanya-dirahsiakan, saya diberi peluang untuk menganggotai kumpulan nasyid kolej. Hallo, suara saya boleh tahan jugak ok? Kekeke. 

Itu sahajalah penglibatan saya dalam bidang muzik. Kalau nak banding dengan ikhwah atau orang lain, memang sikit sangatlah lagu-lagu nasyid yang saya hafal penuh. Boleh bilang dengan jari. Bila ada program atau perhimpunan yang kena nyanyi ramai-ramai, terkial-kiallah saya mencari lirik untuk dijadikan rujukan. Eheh. 

Tapi kalau lagu Barakallahulakuma Maher Zain atau Mabrouukk Irfan Makki, ha yang itu saya boleh usahakan untuk hafal laju-laju! Wahahaha. 

Namun telinga saya ini, boleh tahan jugalah citarasanya. Kalau ada mana-mana lagu yang benar-benar sedap dan berkualiti, baik dari irama mahupon lagunya, tidak kisahlah lagu nasyid ke, zikir Hafiz Hamidun ke, lagu Celine Dion ke, lagu rakyat negara Sudan ke, pasti telinga saya akan cepat menghantar isyarat ke otak lagu otak memproses maklumat itu untuk memberikan saya sebuah fikiran, "Hmmm sedap lagu ni." 

Dan antara lagu yang pernah menarik perhatian saya adalah sebuah lagi yang didendangkan oleh Mizz Nina. Sehingga hari ini saya tak tahu nama lagu itu, tapi baru-baru ini, ketika saya sedang meregangkan otot di sebuah gym, lagu ini dimainkan dan terus saya teringat kepada persepsi saya suatu ketika dahulu tentang lagu ini.

Ketika pertama kali mendengar lagu ini, saya merasakan lagunya catchy dan sedap didengar. Rentak dan iramanya rancak dan moden. Maka saya gagal menyembunyikan rasa terkejut saya apabila mendapat tahu artis yang menyanyikan lagu itu adalah orang Malaysia! Kerana kualiti, irama dan lagunya tidak seperti lagu-lagu biasa yang dihasilkan oleh penggiat seni tempatan. 

Di situlah pertama kali saya mendapat tahu tentang sosok yang bernama Mizz Nina itu (nama sebenar Shazrina Azman). Dengan sedikit pembacaan, satu lagi fakta yang bagi saya mengejutkan adalah Mizz Nina merupakan anak perempuan kepada Tan Sri Azman Hashim, pengasas AmBank dan antara lelaki terkaya di Malaysia ini. Walaweh!

Tidak lama selepas itu, Mizz Nina menimbulkan kontroversi apabila membuat persembahan di sebuah konsert yang ditaja oleh sebuah syarikat pengeluar arak. Itu sahajalah yang saya tahu tentang Mizz Nina. Dan tidak berminat pon nak ambil tahu lebih lanjut. Ada lah dengar dari gosip-gosip sana dan sini yang dia mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh. 

Habis cerita. Hari berlalu seperti biasa. Langit kekal biru dan suhu di Kutub Utara dan Selatan terus berada di bawah paras beku. 

Sehinggalah saya membaca kisah penghijrahan Mizz Nina yang banyak dikongsikan di MukaBuku; bagaimana selepas menunaikan haji bersama Noh pada bulan Oktober 2013, dia telah mendapat hidayah untuk berubah. Alhamdulillah, dia membuat keputusan untuk mengenakan tudung dan berhenti daripada menyanyi buat sementara dan tidak lagi membuat persembahan di atas pentas. 

Ok lah alhamdulillah. Saya tumpang gembira mendengar berita ini. Namun tidaklah ambil port sangat sebab masa tu pon memang tengah musim ramai artis yang berhijrah; Sham Kamikaze, Bob Lokman, Heliza Helmi, Yatt Hamzah, Irma Hasmie dan ramai lagi artis yang telah dibukakan hati mereka untuk melakukan hijrah ke arah yang lebih baik. Moga Allah teguhkan hati mereka ini untuk terus tsabat di atas jalan perbuhan, biidznillah.

Namun ada sesuatu yang menarik dan luar biasa pada penghijrahan Mizz Nina. Pertamanya, saya melihat perubahan Mizz Nina sebagai sedikit drastik; daripada seorang artis hiphop yang bolehlah saya kategorikan sebagai liar, berubah menjadi seorang muslimah yang benar-benar bersungguh mahu kembali ke jalan Allah. 

Keduanya, perubahan yang berlaku kepada Mizz Nina selepas dia berhijrah tampak benar-benar seriyes dan ikhlas. 

Op op, kalau tak mahu kena cubit perut, jangan lontarkan tuduhan yang bukan-bukan kepada saya. Saya tidak katakan artis-artis yang berhijrah yang lainnya tidak bersungguh dan tidak ikhlas dalam berubah. Hanya Allah sahaja yang berhak menilai.

Namun pada pandangan mata kasar saya sebagai seorang manusia yang marhaen ini, saya amat kagum dengan usaha-usaha Mizz Nina dalam menelusuri jalan perubahan. Pada peringkat awal perubahannya, dia tidak mahu ditemubual. Dia terus berhenti daripada membuat persembahan secara total. Tiada publisiti. Tiada bising-bising. Dia hanya tampil bercerita tentang penghijrahannya selepas beberapa bulan berubah.

Ya, mungkin drastik pada sesetengah pihak. Tapi saya kagum. Senyum. 

Ini kenyataan Mizz Nina sendiri tentang perubahan dirinya dalam temubualnya dengan Pancaindera: 

"Tidak. Saya tak rindukan dia (Mizz Nina yang dulu). Saya dah lepaskan segalanya. Semuanya mengenai Mizz Nina dahulu tak lebih daripada sekadar stu pesona bintang di atas pentas hiburan.

Saya sudah rasai semua itu jadi tak ada apa lagi yang saya mahu kejarkan. Namun ya, kadangkal saya rindu untuk menari. Dah bertudung tak beerti saya tak boleh menari bukan? Saya boleh menari semasa menghadiri kelas senaman atau di rumah, betul tak? 

Sikap positif sebegini seharusnya ada dalam setiap wanita Islam yang bertudung. Mengikut tuntutan Islam bukan bermakna semua perkara tidak boleh dilakukan. Ada caranya untuk meneruskan minat anda. kata-kata Mizz Nina yang diluahkan semalam.

Tiada sesiapa yang paksa, saya sendiri yang memikirkan hal itu. Apa nasib saya selepas mati nanti? Cukupkah amalan saya untuk dibawa ke akhirat? Lengkapkah saya sebagai seorang isteri dan Muslimah saat masih hidup ini?

Saya buat semua ini dengan hati yang terbuka. Setiap hari saya tanam azam mahu menjadi lebih baik dari semalam. Ini bukan soal hijab sahaja. Janganlah cuma memandang luaran. Saya buat semua ini kerana Allah SWT sebab saya seorang muslim.

Kalau boleh saya tak mahu orang bertanya hal hijab ini lagi. Cukuplah dengan penjelasan ini. Usaha saya untuk beribadah dan berubah untuk kebaikan.

Kalau ada yang terinspirasi dengan perubahan saya ini, alhamdulillah. Baguslah apa salahnya kita beruba bersama-sama. Itu lebih baik."

Pergh.

Dan baru-baru ini ada orang yang kongsikan di MukaBuku, dialog yang pernah terjadi antara Mizz Nina dan suaminya Noh, ketika Mizz Nina mahu mengejutkan Noh untuk bangun menunaikan solat Subuh, yang dikongsikan oleh Noh sendiri. Kurang lebihnya begini:

"Bangunlah sayang. Kalau sayang tak mahu bangun, nanti saya masuk jannah sorang-sorang."

Terus Noh bangkit dari tidurnya! Wah! 

Bisa bikin gue potong kaki gini! Kehkehkeh. 

Banyak yang boleh kita belajar daripada penghijrahan Mizz Nina itu. Sangat banyak.

Pertamanya - meskipon bunyinya klise dan anda sudah bosan mendengarnya - adalah hidayah itu benar-benar milik Allah. Dan kerana ia adalah milik mutlak Allah, Dia berhak untuk menganugerahkannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sesiapa sahaja.

"Sungguh engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki., dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
[al-Qasas, 28:56]

Kerana itu kita dilarang untuk menghukum sesiapa sahaja sesuka hati kita, apatah lagi mengkafirkan orang lain. Kerana hidayah itu milik Allah tahu? 

Keduanya, setiap orang punya titik tolaknya yang tersendiri untuk berubah. Mizz Nina dengan hajinya. Kita bagaimana? Titik tolak itu kadangkala perlu dicari dan tidak datang sendiri. Kalau mahu tunggu titik tolak dan seruan itu sampai, silap haribulan kematian dahulu yang sampai. Gulp.

Dan beranikah kita untuk menjawab di hadapan Allah nanti, yang kita tetap kekal di dalam maksiat, tidak mahu berubah dan berhijrah sewaktu di dunia dahulu kerana belum sampai seru? Aduhai. 

"...penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, 'Apakah belum pernah ada orang yang datang memberi peringatan kepadamu (di dunia)?'

Mereka menjawab, 'Benar, sungguh, seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakannya...'"
[al-Mulk, 67:8-9]

Nanges!

Dan ketiga, yang lebih utama, ramai orang yang mahu berhijrah, mahu berubah. Dan alhamdulillah, sememangnya ramai orang yang sudah pon beruah dan berhijrah. 

Namun ada suatu persoalan yang kerap menghantui mereka yang ditampar oleh Makcik Hidayah ini; bagaimana mahu mengekalkan perubahan itu? Bagaimana mahu istiqamah?

Kebanyakan daripada kita hanya bertahan sekejap sahaja ketika awal-awal mahu berubah. Bak peribahasa omputih, 'Warm-warm chicken shit.' Kah.

Awal-awal nak berhijrah dahulu, punyalah semangat. Yang lelaki tak pernah tinggal solat berjemaah di masjid. Tukar pakai jubah pakai serban bagai. Kayu sugi tak lekang pada poket atas jubah. Tak tidur malam sebab nak bertahajud. Siang malam baca al-Quran. Puasa Nabi Daud. 

Yang perempuan pula, bukan sekadar tudung yang dikenakan, siap purdah tutup muka. Gaya dan cara hidup berubah 180 darjah serta-merta. Tiada lagi mekap. Tiada lagi gosip-gosip liar, sama ada di MukaBuku, Pengicau mahupon KitaBorak. Pergilah melilau mencari mana-mana kelas agama untuk mengaji.

MashaAllah, ini semua suatu perubahan yang baik. Amat baik.

Tapi berapa lama bertahan? Sebulan. Paling lama, sebulan setengah. Alahai.

Nah, bagaimana kita mahu atasi masalah sukar mahu istiqamah ini? Bagaimana kita mahu benar-benar berubah, bukan berubah ikut trend dan bermusim sahaja?

Puan Yasmin Mujahid di dalam bukunya yang fenomenal 'Kembalikan Semula Hati Anda' itu menggariskan tiga sebab utama mengapa penghijrahan yang berlaku itu tidak kekal lama:
  1. Ramai yang sudah berasa cukup dengan amalan-amalan yang dilakukan selepas berubah, lantas berhenti daripada beramal. Yalah daripada seseorang yang tidak pernah langsung solat, baca Quran, qiam dan sebagainya, tiba-tiba berubah menjadi seorang ostad atau ostajah; pastilah lompatan dari zero ke hero itu dirasakan hebat bukan?
  2. Ramai juga yang merasakan amalannya tidak pernah cukup dan tidak mungkin cukup dek penyesalan yang amat sangat terhadap dosa-dosa yang silam, lantas berasa bawah yang teramat dan hilang motivasi untuk meneruskan amalan. Pulak dah.
  3. Ada juga yang merasakan bahawa perubahan yang berlaku pada diri adalah disebabkan oleh usaha dan pengorbanan diri sendiri; tidak merasakan bahawa hidayah itu adalah milik Allah secara totalnya. Lantas dia menjadi sombong dan takabbur dengan perubahannya itu. 

Ketiga-tiga penyakit ini berhasil selepas syaitan meniupkan kuman-kuman jahatnya kepada kita yang baharu berhijrah. Syaitan yang sememangnya dengki pada makhluk yang bernama manusia, tidak mungkin senang melihat kita yang dahulunya menjadi pengikutnya yang setia, kini sudah berubah dan mahu kembali kepadaNya. 
Maka antara solusi yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dengan permainan syaitan laknatullah itu, dan dengan harapan kita boleh kekal istiqamah adalah:
  1. Sentiasa tajdid dan luruskan niat mengapa kita mahu berubah. Paksikan perubahan kita itu kepada Allah semata. Bukan kebetulan hadith 1 susunan Imam Nawawi itu berbicara tentang niat dan hijrah. 
  2. Jangan pernah berasa cukup dengan amalan kita yang sedikit itu. Sentiasalah kenangkan dosa-dosa dan maksiat kita yang lalu, supaya kita sedar dan tahu bahawa jalan ke sorga itu sukar dan panjang. 
  3. Pada masa yang sama, yakinlah bahawa pengampunan Allah itu jauh lebih besar daripada dosa-dosa kita dan pintu taubatNya sentiasa terbuka
  4. Teruskan beramal dalam keadaan apa sekalipon. Pedulikan kata-kata dan ejekan syaitan-syaitan dalam bentuk jin dan manusia. Anda beramal kerana Allah, bukan kerana mereka. 
  5. Bisikan-bisikan syaitan itu paling mudah menusuk apabila kita berseorangan. Maka carilah teman dan rakan-rakan yang dapat membimbing kita dan sama-sama menelusuri jalan perubahan ini.
  6. Jangan dilupakan dengan kuasa doa. Selalulah berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas Islam dan Iman ini. Beramallah dengan doa, "Allahumma ya muqallibal qulub. Tsabbit qalbi 'ala deenik." (Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati aku di atas agama ini.)

Kerana itu saya katakan saya kagum dengan Mizz Nina, kerana saya percaya dia sudah pon melaksanakan perkara-perkara seperti yang disebut di atas. Bukti bahawa dia ikhlas adalah keengganannya untuk menghebahkan kisah penghijrahannya. Dan dia juga punya Noh sebagai teman, yang bersama-sama berpimpin tangan di atas jalan perubahan. Senyum.  

Ish Inche gabbana ni. Tak payah la puji Mizz Nina lebih-lebih; merosakkan hati dia sahaja!

Haha. Saya yakin Mizz Nina tak baca penulisan ni. Dengar nama Angel Pakai Gucci pon dah angkat kening sebelah. Wahaha. Sebab tu lah saya berani nak puji lebih-lebih. Eheh.

Dan tidak, saya tidak suruh anda menjadi seperti Mizz Nina. Tetapi contohilah semangat dan keikhlasannya dalam berubah. Menjadi Mizz Nina adalah menjadi orang yang ikhlas berubah dan bersungguh mahu mengekalkan hijrah itu. 

Mizz Nina dan Noh. [Kredit]
Saya doakan setiap daripada kita yang mahu berubah, sudah berubah dan akan berubah, dikurniakan kekuatan dan keteguhan iman oleh Allah untuk kita tetap istiqamah, biidznillah.

Kerana kita semua mahu berkumpul, beramah mesra dan bergembira di sorga sana, kan?

Amiin ya Rabb!

-gabbana-

Semalam pertama kali berjumpa dengan Sham Kamikaze dan pertama kali juga mendengar dia berbicara tentang Islam, tentang hijrahnya.

Dan saya kagum. Senyum. 

4 November 2014

Kaver Baru Ikhwah Pakai Jeans (IPJ)


Alhamdulillah, tsummal hamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak diberikan kepadaNya, Tuhan, Raja dan Ilah seluruh alam. 

Tiada kenikmatan yang lebih berharga nilainya daripada masih diberi peluang untuk bernafas dengan nafas Islam dan iman.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang tidak kikir dalam terus-menerus memberikan kita pelbagai jenis nikmat, meskipon kita sebagai hambaNya ini seringkali melakukan dosa. 

"...Sekiranya kamu menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya."
[an-Nahl, 16:18]

Sekiranya saya boleh melontar ke belakang (Baca: throwback), saya kira, saya mula benar-benar minat menulis ketika di bangku sekolah menengah. Sebagai salah seorang pendebat Bahasa Melayu Sekolah Bintang, ehem, secara semulajadinya subjek Bahasa Melayu merupakan aktiviti kupas dan makan kacang cap tangan sahaja buat saya. Maka esei Bahasa Melayu saya sering mendapat markah yang tinggi. Menulis esei tentang apa-apa subjek bukan suatu masalah buat saya.

Oh bukan, bukan mahu angkuh apatah lagi takabbur. Astaghfirullah. Cuma saya amat bersyukur kerana diberikan kelebihan ini. Senyum. 

Kelebihan saya ini saya manfaatkan dengan menyumbang beberapa cerpen kepada majalah sekolah. Dan minat saya saya dalam menulis tidak terhad kepada Bahasa Melayu sahaja; saya juga sering menulis short stories dengan pelbagai tema dan jalan cerita.     

Sudah tentu ketika itu, tidak pernah langsung terlintas yang saya akan menghasilkan buku saya sendiri suatu hari nanti. Bagai saya ketika itu, ia merupakan suatu mimpi liar, terlalu liar sehingga saya sendiri tidak pernah memikirkannya secara seriyes. 

Sehinggalah saya menghasilkan belog Angel Pakai Gucci ini dan secara seriyes menulis di dalamnya. Awalan dahulu, memang ada suara-suara yang menyuruh saya membukukan hasil tulisan saya. Namun saya masih belum yakin. Siapalah yang nak baca tulisan saya ni? Himpunan tulisan-tulisan dalam belog je pon!

Namun kemudiannya permintaan untuk saya membukukan hasil tulisan saya semakin meningkat. Dan melihatkan trend semasa penghasilan bahan-bahan bacaan yang semakin meluas di dalam pasaran buku tempatan menjadikan saya terpaksa memikirkan pembukuan tulisan-tulisan saya secara lebih seriyes.

Tidak dinafikan, antara yang memberikan saya semangat untuk membukukan tulisan-tulisan saya adalah apabila melihat saudara Afiq Sazlan menghasilkan buku 'Aku Hamasah As-Syabab' nya. Ketika itu merasakan diri saya sedikit loser kerana jauh ketinggalan daripada Afiq Sazlan! Wahahaha. 

Maka setelah ding-dong ping-pong di sana sini, setelah dtolak oleh beberapa penerbit untuk menerbitkan buku sulung saya, saya akhirnya mengambil keputusan untuk menerbitkannya sendiri. Suatu keputusan yang tidak akan saya sesali sampai bila-bila.

Lahirlah buku 'Ikhwah Pakai Jeans: Kerana Akhirnya Ikhwah Itu Seorang Lelaki.'

Haadza min fadhli rabbi. Lap air mata.

Ok Inche gabbana. Panjangnya muqaddimah anda. Boleh tak straight to the point je..?

Tersipu-sipu malu.  

Alhamdulillah, sehingga artikel ini ditulis, kurang lebih 2,700 naskhah IPJ telah dijual (sebahagian kecilnya diberikan secara percuma) dalam masa tidak sampai 6 bulan ia mula dijual di pasaran. Penghasilan buku IPJ ini juga telah merintis jalan kepada penubuhan rumah penerbitan saya sendiri, Hud Hud Media. 

Jazakumullahu khairan katheera kepada ikhwah yang telah banyak membantu saya dalam penghasilan buku ini; dari rekabentuk kulit buku, susun atur isi kandungan, pencetakan buku sehinggalah kepada proses penghantaran buku. Tidak mungkin saya dapat melakukan semua itu seorang diri. Juga kepada para peminat (peminat ke? Batuk batuk) APG yang tidak lokek memberikan maklum balas kepada buku sulung ini dan terus memberikan sokongan yang tidak ternilai harganya kepada saya. 

Segala puji-pujian saya kembalikan kepada Allah, Tuhan yang memiliki seluruh alam ini. 

Memandangkan stok buku saya dah nak habis, inshaAllah saya bercadang untuk mencetaknya semula. Berdasarkan maklum balas yang saya terima, inshaAllah cetakan terbaru ini akan tampil dengan kulit buku dan susun atur yang lebih baik. 

Oleh sebab itu..

*bunyi kompang*

Bismillah, dengan ini saya ingin menganjurkan pertandingan mereka kaver baru untuk buku Ikhwah Pakai Jeans! Woohhooo! Anda beritahu saya, perkara apa yang lebih mengujakan daripada ini di sepanjang abad ini..?? 

Saya yakin di luar sana ada terlalu banyak bakat-bakat berotak geliga dan kreatif yang dapat membantu saya melonjakkan lagi buku IPJ ke persada antarabangsa. Wah!

Baiklah.

Butir-butir pertandingan adalah seperti yang berikut:



SYARAT-SYARAT
  1. Terbuka kepada semua rakyat galaksi bimasakti yang tahu kemahiran asas mereka kaver buku, tidak kira bangsa, agama mahupon berat badan
  2. Tarikh tutup pertandingan adalah pada 11.59pm (waktu Malaysia) 15 DISEMBER 2014. Sebarang rayuan untuk memanjangkan lagi tempoh pertandingan tidak akan dilayan
  3. Tiada had penyertaan. Nak hantar seribu rekaan pon boleh. Eheh. 
  4. Penyertaan anda hendaklah dihantar dalam bentuk JPEG atau PNG kepada hud2media@gmail.com dengan subjek emel seperti berikut: 'PERTANDINGAN MEREKA KAVER BUKU IPJ [Nama Anda]'
  5. Anda dikehendaki menggunakan kreativiti tahap Super Saiya untuk menghasilkan kaver yang paling bermutu tinggi. Eheh.
  6. Tiga kaver yang terbaik (berdasarkan budi bicara dan selera saya) akan dipilih dan pemenang akan ditentukan menerusi undian popular oleh para peminat APG
  7. Spesifikasi kaver hendaklah (wajibul ghunnah) seperti berikut: 

A - Tajuk buku
B - Nama pengarang yang osem itu. Ehem.
C - Penjilid buku. Pada penjilid ini, hendaklah diletakkan:
  • Tajuk buku
  • Nama penerbit, i.e. Hud Hud Media
D - Ruang untuk 'Tentang Buku Ini' dan testimoni pembaca
E - Ruang untuk logo Hud Hud Media
F - Ruang untuk kod bar ISBN (tanda harga tidak diperlukan) 

Posisi bagi setiap spesifikasi ini fleksibel. Terpulanglah kepada otak anda untuk memikirkannya.

Selebihnya saya serahkan kepada kreativiti anda. Di sinilah kreativiti anda akan diuji dan karya anda berbeza dari karya-karya yang lainnya.

Karya yang dihantar akan menjadi hak milik Hud Hud Media sepenuhnya. Jangan jadi buruk siku boleh tak? Eheh.

HADIAH 

Dah buat pertandingan, mestilah kena ada hadiah en?   

HADIAH PERTAMA
  • Wang tunai RM250.00
  • 10 naskhah percuma IPJ terbitan terbaru (bernilai RM250.00)
  • Nama anda akan diabadikan sebagai 'Pereka Kulit' buku IPJ
  • Peluang untuk kerjasama jangka panjang dengan Hud Hud Media
HADIAH KEDUA
  • Wang tunai RM150.00
  • 7 naskhah percuma IPJ terbitan terbaru (bernilai RM175.00)
  • Peluang untuk kerjasama jangka panjang dengan Hud Hud Media
HADIAH KETIGA
  • Wang tunai RM75.00
  • 5 naskhah percuma IPJ terbitan terbaru (bernilai RM125.00)
  • Peluang untuk kerjasama gotong-royong membersihkan pejabat Hud Hud Media. Eh? Wahahaha. 
LAIN-LAIN
  1. Pemenang akan diumumkan di belog, Mukabuku dan Pengicau APG. Pemenang juga akan dihubungi secara peribadi menerusi emel. Maka sila baca emel anda!
  2. Penyertaan yang menang mungkin akan diubahsuai lagi, berdasarkan spesifikasi yang diberikan oleh Hud Hud Media. Kiranya lepas dah kautim, mungkin ada perubahan lah pada kaver yang menang tu. 
  3. Hud Hud Media berhak membatalkan pertandingan ini tanpa memberikan alasan atau sebab-musabab yang munasabah. Hud Hud Media juga berhak untuk tidak menggunakan kaver yang menang sebagai kaver akhir IPJ. Bunyi macam bongkak sikit en tapi nak buat macam mana. 
Sila sebarkan poster pertandingan ini (seperti di atas) di laman-lama media sosial menggunakan hashtag #kaverbaruIPJ, #ikhwahpakaijeans dan #angelpakaigucci. Kerjasama anda untuk menyebarluaskan pertandingan ini saya dahulukan dengan ucapan jazakumullahu khairan katheera.

Seperti anda, saya juga teruja untuk melihat kaver baru IPJ nanti. Senyum.

Ok itu sahaja. Ada soalan? 

-gabbana-

Tahukah anda, buku IPJ dengan kaver seperti yang sekarang ini, bakal menjadi collector's item yang amat bernilai apabila buku IPJ dengan kaver yang baharu keluar nanti?

Agak-agak kalau lelong di Mudah atau Lelong, boleh cecah sejuta ringgit tak? Kekeke.   

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP