28 October 2011

Krisis Tegar Milenia Ini

[Kredit]

Apa perasaan anda agaknya kalau sahabat yang amat kita percayai, khianat dan menjahanamkan kepercayaan kita kepadanya?

Dan lebih meremukkan jiwa serta mengoyakkan hati sekiranya sahabat tersebut adalah sahabat hoyeeaaahhh yang bersama-sama anda di atas jalan ini?

Pasti luluh, lebur kepercayaan kita kepadanya bukan..? Pasti sakit dan pedih hati, jiwa dan perasaan bukan? Dan pasti kita mengalami krisis kepercayaan; yakni kita sukar untuk mempercayai siapa-siapa, kerana orang yang paling kita percayai sendiri tergamak untuk menzalimi kepercayaan kita kepadanya. Bukan begitu?

Ya, krisis kepercayaan.

Membaca dan mentadabur ayat-ayat surah al-Mumtahanah, juga cuba memahami bait-bait menusuk kalbu nukilan Sayyid Qutb dalam tafsir zilalnya, tidak dapat tidak, kita terfikir bagaimana agaknya krisis atau dilema yang dihadapi oleh ar-Rasul SAW ketika dia dikhianati oleh seorang sahabat yang dipercayainya. Dan yang lebih penting, apakah tindakan baginda SAW dalam menghadapi krisis kepercayaan sebegitu. Adakah baginda gopoh membuat konklusi? Atau baginda berasa kecewa dan marah dengan apa berlaku? Atau mungkin juga baginda selepas daripada peristiwa itu tidak dapat lagi mempercayai sahabat tersebut?

Kepada anda yang kurang pasti dengan apa yang saya bebelkan di sini, izinkan saya berkongsi sedikit-sebanyak kisah yang berlaku, yang dijadikan sebab turunnya beberapa ayat (asbabun nuzul) dari surah al-Mumtahanah itu. 

Kisahnya bermula apabila Nabi SAW menerima wahyu berbentuk arahan untuk membebaskan kota Mekah dari cengkaman kafir Quraisy. Sayugia baginda berkongsikan perancangannya dengan beberapa orang sahabat yang terpilih, yang mana salah seorangnya adalah Hatib Ibn Abu Baltaah r.a.. Tanpa diketahui sesiapa, Hatib telah menulis sepucuk surat, menggariskan perancangan Nabi SAW dan dikirimkan kepada seorang wanita kafir Quraisy Mekah yang ingin pulang ke kota itu.

Tujuan Hatib menulis surat itu adalah kerana dia bukan berbangsa Quraisy; dia tiada saudara-mara di Mekah. Harapannya, sekiranya dia membocorkan pelan Nabi SAW itu kepada para pemuka Quraisy, sudah pasti mereka akan terhutang budi kepadanya lantas akan melindungi keluarga dan harta-bendanya di Mekah. Namun Allah tidak mengizinkan rancangan hatib ini untuk menjadi kenyataan. Allah menurunkan wahyu kepada Nabi SAW dan lantas baginda menghantar 'Ali r.a., Zubayr al-Awwam r.a. dan Abu Marthad r.a. (ada riwayat lain yang mengatakan bukan Abu Marthad) untuk mengejar wanita utusan Hatib itu ala-ala kudaku lari gagah berani. Eh.

Wanita itu berjaya dikantoikan oleh para sahabat yang diamanahkan oleh baginda. Setelah isi kandungan surat itu dibaca dan diteliti Nabi SAW, baginda memanggil Hatib untuk datang menghadap dan membela diri. Apa yang signifikan dengan keterlibatan Hatib dalam 'konspirasi' ini adalah kerana beliau merupakan salah seorang daripada tiga ratus tiga belas orang ahli Badr. Kedudukan ahli Badr di sis Nabi SAW dan Allah adalah amat mulia dan tinggi.

Di sinilah kisah ini menjadi lebih menarik untuk kita sama-sama hayati.  

Sebelum saya meneruskan cerita-ceritu ini, anda bayangkan kalau kita yang berada di tempat Nabi. Atau para pemimpin zaman ini yang berada di tempatnya. Agak-agaknya apa reaksi kita atau mereka? Paling koman pon muka kita bertukar menjadi merah cili salsa pedas atau sekoyong-koyong pelempang Jepun hinggap di muka Hatib. Atau ego dan amarah menguasai diri sehinggakan kita tidak tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan daripada Hatib, atau sekiranya ada penjelasan sekali pon, kita sukar untuk menerimanya.

Jika diikutkan dari pemikiran konvesional, tindakan sebegitu tampaknya seperti normal atau 'serve it right' bak kata Pak Cik Edward Collins. Ok random. Yalah, kesalahan mengkhianat rahsia negara yang bisa mengancam keselamatan dan kestabilan sesebuah negara sewajarnya dikenakan hukuman yang paling berat. Malah kalau dilihat kepada undang-undang mana-mana negara sekalipun, kesalahan khianat atau treason ini kebiasaannya akan dikenakan dengan hukuman maksima yang boleh dijatuhkan, termasuklah hukuman mati (capital punishment) di sesetengah negara. Tidak hairanlah 'Umar al-Khattab r.a. yang amat terkenal dengan ketegasan dan kebrutalannya itu, menawarkan untuk memenggal kepala Hatib.

Di mana-mana pon pengkhianat dikehendaki dan akan dikenakan hukuman berat! [Kredit]

Tetapi apakah yang dilakukan oleh baginda selaku khatimul anbiya', qudwah hasanah, kepala umat dan kekasih Allah?

"Apakah tujuan kau berbuat begini?" 

Tanya Rasulullah SAW kepada Hatib.

Subhanallah! Lihatlah! Dalam keadaan sebegitu genting sekalipon, dalam keadaan negara Islam Madinah terancam, dalam situasi di mana pelan membebaskan kota Mekah hampir-hampir terkantoi, Nabi SAW masih boleh bertindak rasional dan meminta penjelasan daripada Hatib..! Bela diri kau Hatib kerana kau tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah! Seolah-olah begitulah kurang lebih maksud Nabi SAW.

Dan anda tahu apa yang lebih osem..? Setelah mendengar penjelasan Hatib, baginda SAW selaku ketua negara dan hakim umat Islam berhak sahaja untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada Hatib. Walau apa pon alasan atau hujah yang diberikan oleh Hatib, beliau tetap melakukan satu jenayah besar, bukan sahaja kepada Nabi SAW malah kepada seluruh umat Islam ketika itu. Hatib wajar dihukum. Tetapi benarlah Nabi SAW itu adalah rahmat untuk seluruh alam; tindakannya selepas itu menjadi mutiara-mutiara yang tidak terbanding nilainya untuk menjadi pengajaran buat kita semua sehinggalah ke hari ini.

Kata baginda SAW:

 "Cakapnya (Hatib) memang benar. Oleh itu janganlah kamu berkata apa-apa melainkan yang baik-baik sahaja.."

Enuff said. Rasulullah SAW memang sumpah osem. Tiada ragu-ragu tentang itu.

Saya tutup kisah Hatib bin Abu Balta'ah r.a. di sini. Kalau anda teruja mahu tahu lebih lanjut, bolehlah mencari tafsir surah al-Mumtahanah Fi Zilalul Quran (Di Bawah Lembayung al-Quran) karya agung Sayyid Qutb. Memang saya rekomen tahap tenggiling. Kisah ini juga termaktub di dalam kitab al-Maghazi karya Imam al-Bukhari dan boleh juga dijumpai di dalam Sahih Muslim. 

Yang lebih utama adalah pengajaran atau ibrah yang boleh kita sedut sedut pakai hampagas cap Elektrolak daripada kisah ini, untuk membantu kita menangani krisis kepercayaan yang mungkin pernah melanda kita, nenek kita atau abang ipar sepupu belah mak jiran sebelah rumah kita. Errr..

Maha Suci Allah yang menjadikan tiada konsep kebetulan dalam hidup ini, kerana sungguh, kebetulan itu adalah bahasa Argentina. Ketika saya sendiri sedang mengalami krisis kepercayaan ini, hati saya menjadi begitu gundah gulana. Resah, tidak tenang dan begitu banyak perkara yang bermain di dalam kepala. Dan yang lebih marabahaya, begitu banyak dzan (sangkaan) yang berlegar-legar di dalam hati dan jiwa.

Ish, takkanlah dia tergamak nak buat macam tu..

Biar btol... Macam mana aku nak percaya kat dia lagi lepas ni..?

Akhi! Apa yang nta buat ni salah! Zalim! Nta dah rosakkan kepercayaan ana pada nta!

Haih tak fahamla aku kenapa dia sanggup buat macam tu. Ish.. Takkan kot...

Sungguh, hati bergelojak. Berkecamuk. Bergelora. Bisikan-bisikan nafsu dan syaitan begitu kuat bermain di dalam kepala, sehinggakan kedengaran seperti datangnya daripada hati sendiri. Allah...

Dan kemudian saya diketemukan dengan tafsir surah al-Mumtahanah ini. Masha-Allah. Saya dibawa menelusuri sirah Nubuwwah, melihat bagaimana ar-Rasul SAW yang mengalami krisis yang hampir sama malah lebih menggugah jiwa, dengan tenang menanganinya. Maha Suci Allah, Tuhan, Raja dan Pemilik sekalian alam.

Hasil penelitian dan tadabur saya sendiri yang komfem banyak kelemahan dan sungguh picisan ini, saya ketemukan LIMA pengajaran utama yang boleh kita ambil dan cuba praktikkan dalam menghadapi dan menangani sebarang bentuk krisis kepercayaan di masa hadapan:

1) Tenangkan diri. Jangan cepat menggelabah. Cubalah menjadi serasional yang mungkin. Dalam keadaan kita cemas, tak tentu arah dan panas punggung, ketika inilah kita paling mudah untuk menerima bisikan-bisikan jahat syaitan dan hawa nafsu yang sememangnya sentiasa menanti-nanti peluang untuk merosakkan ukhuwwah yang telah terbina.

2) Hapuskan segala dzan yang ada selagi mana kita tidak mempunyai bukti yang benar-benar kukuh. Katakan pada diri, "Ish, dia mesti ada sebab untuk lakukan sedemikian. Apa kata aku tunggu dulu penjelasan daripada dia heyy!" atau "Aku je kot yang salah faham ni. Mesti ada eksplenesyen ni insha-Allah. Aku yakin.." Ingat! Kalau kita tidak suka orang bersangka-sangka pada kita, espeseli sangkaan yang buruk lagi huduh, maka kita juga sewajarnya bersikap dengan sikap yang serupa.

3) Bertemu muka dengan sahabat/rakan kita itu. Minta dia jelaskan apa yang berlaku secara muka bertemu muka. Jika masih tidak puas hati, bertanyalah sehingga anda benar-benar yakin dan tenang. Dalam keadaan sebegini, amat penting kita melihat riak wajah, kelakuan dan emosi sahabat kita itu, untuk kita lebih faham keadaannya yang sebenar. Mesej juga dapat disampaikan dengan lebih efektif. Percayalah, sms, panggilan telefon, email apatah lagi MukaBuku tidak akan menyelesaikan masalah, malah kemungkinan besar akan memburukkan lagi keadaan. Dalam hal ini, sememangnya Mark Zuckenberg wajar dipersalahkan untuk begitu banyak salah faham yang berlaku. Eh.

4) Berfikir dengan rasional. Jangan gopoh dalam bersetuju atau membangkang. Dengar dan kaji dengan teliti setiap hujah, alasan atau bukti yang dinyatakan. Ambil masa untuk membuat keputusan. Beri peluang untuk sahabat anda itu jelaskan dengan terperinci, jelas dan sehabisnya. Hanya bercakap atau mengomen ketika perlu atau diminta untuk berbuat demikian.

5) Akhir sekali, buatlah keputusan yang dipandu dengan cahaya keimanan dan keyakinan yang berdasarkan ketelusan dan kejujuran hati. Seandainya sahabat kita itu punya alasan yang kukuh dan relevan, maka buanglah ego kita ke tepi dan terimalah alasan yang diberikan. Jernihkan semula ukhuwwah yang mungkin sudah berbalar itu. Dan seandainya terbukti sahabat kita itu benar-benar melakukan kesilapan dan terbukti dia telah melakukan khianat, tegur dan nasihatlah dia dengan baik dan penuh kasih-sayang. Paling baik sekiranya anda mampu untuk memaafkan dia. 

Ya ukhuwwah mungkin sudah tidak sama seperti dahulu (ok sedih..), tapi apalah guna berdendam dan menyimpan kesumat hingga ke liang lahad? Ampunkanlah dia dan insha-Allah, Allah akan mengganjari kita dengan balasan yang tidak terbayang oleh pemikiran manusia biasa kita. 

Ukhuwwah itu seperti batu-bata, asas di dalam gerakan dakwah ini. Maka jika ada masalah, kena selesaikan dengan segera, takut-takut kita membina asas-asas yang lemah dan tidak kukuh! [Kredit]

Begitulah. Lima ibrah yang saya kira dapat mempersiap diri kita untuk lebih bersedia sekiranya kita menghadapi krisis kepercayaan. Ya, tidak semudah memakan biskut cap ping pong yang dicicah dengan air teh 'o panas, terutamanya yang nombor lima itu, tetapi cubalah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita, insha-Allah Dia akan permudahkan dan tunjukkan jalan.

Oh, jangan lupa untuk berdoa! Apa-apa pon yang kita lakukan, sekiranya disertai dengan doa yang ikhlas dan munajat yang tawajuh, apa-apa keputusannya nanti, kita pasti yakin itulah yang paling kool dan osem untuk kita.

Nah, ia bukan lagi satu krisis yang tegar bukan...?

Senyum kenyit mata.

-gabbana-

Akan berpergian untuk berkonferens riang selama dua hari. Maka selama itu juga belog ini tidak akan dihapdet. Jika ada sekali pon, hanya slot Riadhah Otak sahajalah di malam Ahad nanti.

Selamat berhujung minggu! Pastikan hujung minggu ada dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya! Adios amigos! Eh. Salaam a'laikum! ;)

8 Caci Maki Puji Muji:

pakurawan 28/10/2011, 16:12  

peh. bacaan mantap pagi jumaat.

terisi pagi gua.

mekasih!

Izzati Hashim 28/10/2011, 18:35  

Nice (=
Terima kasih untuk perkongsian (=

pernah dengar hukum karma?
Kalau kita buat org, kita akan dibalas balik kemudiannya.

Just muhasabah diri kembali. Mengapa kita dikhianati, mengapa kita ditikam dari belakang, mengapa dan mengapa. Mana tahu mungkin ada datangnya dari kita sendiri sebabnya )'=

Well, bila disakiti dengan-yang-pernah-rapat dengan kita bukan mudah untuk menerima dengan hati yang 'redha', tapi siapa kita untuk menolak apa yang berlaku, kan? ('=

al-fateh 28/10/2011, 19:29  

Salam.
Lain org, Allah sentuh hatinya lain-lain.
Utk ana, ana terkesan dgn caption nta, utk gmbar batu-bata tu. Jzkk.

fateh 29/10/2011, 00:41  

gagah makcik tu junjung batu..

Anonymous 30/10/2011, 05:05  

terima kasih atas perkongsian. saya baru aja kes kepercayaan thdp pmbntu rumh.

eh, sy dh buang iklan and bercdng untuk mmnjgkn isu ini dengn pihak nuffnang sendiri.

En iLHAM 30/10/2011, 11:50  

subhanallah
pengisian artikel ini memang sangat mengesankan dan meyakinkan. terima kasih banyak2. akan dilaksanakan lima ibrah itu sekiranya hal seperti ini menimpa diri suatu hari nanti. pernah berlaku seperti ini dahulu tetapi sayangnya telah dilalui dengan jahil ilmu dan agama. Allahuakbar. semoga Allah mengampuni diri.

terima kasih akh, semoga kamu sentiasa di bawah lembayung dan rahmat Illahi. bersenanghatilah kamu kerana telah berjaya menyampaikan dakwah mengikut gaya dan bahasa kamu sendiri yang sangat indah bagi saya

salam alaik

Anonymous 28/10/2013, 09:44  

Jzkk ,alhamdulillah, IG selalu post n repost benda yg kena n tepat pd masanya. Moga Allah redha Akhi..

azmi 28/10/2013, 16:12  

saya sendiri prnh mengalami masalah kepercayaan dgn kwn baik saya dulu. teruk juga kami bergaduh..tp yela tu time high school, otak pun x berapa matang. tau2 nak gaduh je. tp Alhamdulillah, kami dah berbaik semula.

sekadar bkongsi quote yg saya prnh tjumpa dulu..katanya, mcm mana kita nak Allah maafkan kita kalau kita sendiri very judgemental & susah nk maafkan kesalahan org lain. as if kita sorang je yg betul & perfect kat dunia ni. Bukankah Allah sahaja yg berhak utk mengadili hambaNya? Wallahu a'lam.

apepun, isi2 IG menarik & bmanfaat.*thumbs up*
Jazakallah.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP