Uswah Clothing

30 November 2011

Belog Ini Sumpah Loser Sekiranya...

[Kredit]

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki jiwa, ruh dan hati ini. Tanpa kasih sayang dan rahmatNya, mustahil saya masih bernafas di jalan ini. Tanpa izin dan kemahuanNya, tidak mungkin saya masih lagi boleh bertatih, merangkak di atas jalan yang sumpah panjang tetapi osem ini.

Kepada anda yang sudah mengikuti atau membaca karya-karya picisan Inche gabbana sejak zaman Nabi Sulaiman lagi, anda pasti mendapati yang hala tuju belog ini berubah sesuai dengan peredaran zaman. Dan peredaran zaman yang saya maksudkan bukanlah daripada zaman dinosor kepada zaman Mesolitik kepada zaman raksasa gorgon dan akhirnya zaman era maju 1Malaysia. Bukan. 

Tetapi sesuai dengan peredaran perkembangan tarbiyyah diri saya yang marhaen ini. Sekiranya dahulu banyak karya-karya yang dihasilkan berbentuk peribadi semata-mata, kini saya cuba sedaya upaya untuk menyelitkan unsur-unsur dakwah dan tarbiyyah dalam setiap karya yang dihasilkan; biar secubit garam secukup rasa mahupon beribu-ribu lemon banyaknya. Wahahaha.. Walaupon post yang ditulis masih berbentuk peribadi.

Kerana saya rasakan cukup sia-sia sekiranya karya-karya yang saya hasilkan hanya menjadi bahan gelak ketawa dan penghibur kepala hotak anda semata dan tidak lebih daripada itu. Cukup hampas kelapa tua. Dan pastinya tiada yang lain saya mahukan melainkan karya-karya yang saya tulis akan menambah saham-saham sorga saya adalah jua. 

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan dia mengatakan, 'Sesungguhnya aku termasuk orang yang berserah diri'..?"
[Fussilat, 41:33]

Maka begitulah. Tiada yang lain yang saya mahukan daripada belog ini melainkan ia memberi faedah kepada anda semua yang membacanya. Seperti kata Pak cik Mukhlis Ihsan,

"...Dan yang lebih utama, pekerjaan yang paling mulia itu adalah pekerjaan yang mendatangkan manfaat dan faedah bukan sahaja kepada diri si pekerja itu, tetapi juga kepada orang di sekitarnya. Dia bekerja bukan untuk dirinya, tetapi memberi khidmat setia kepada orang ramai tanpa dipinta. Tidaklah dia melalui sesuatu tempat itu melainkan dia meninggalkan mutiara dan permata yang berharga jua."

Antara tranformasi atau revolusi yang cuba saya lakukan adalah dengan mengubah persepsi bahawa menjadi manusia yang berjiwa hamba itu (Baca: Orang baik-baik) adalah bosan lagi tidak mengujakan. Dalam tulisan-tulisan saya, saya cuba sebaiknya untuk mengenengahkan imej bahawasanya orang-orang yang mahukan kebaikan dan mahu menyebarkannya pula, adalah sumpah kool lagi bergaya. 

Kerana hakikatnya sememangnya begitu; dakwah dan tarbiyyah itu benar-benar osem. Tiada kompromi dan tiada keraguan baginya. Hanya mereka yang pernah merasai nikmatnya berada di atas jalan ini yang faham dengan kenyataan saya ini. Dan sekiranya hendak merasakan nikmat itu, pastilah perlu mencubanya dahulu! Bukan begitu..?

Maka saya melihat belog ini gagal sekiranya hasrat murni saya itu tidak tercapai. Saya merasakan saya telah menggagalkan anda semua, sekiranya anda mengikuti belog ini tetapi anda masih tidak merasakan bahawasanya dakwah dan tarbiyyah itu lebih osem daripada mempunyai kebolehan bertukar menjadi Otromen Taro.

Selain daripada itu, saya juga telah menggariskan sepuluh sebab yang lain mengapa saya rasakan belog ini gagal. Angel Pakai Gucci gagal sekiranya..

1) Ia hanya dibaca oleh golongan yang 'baik-baik' sahaja. Sedangkan dakwah dan tarbiyyah itu untuk semua. Benar, mungkin ada yang mengatakan lebih baik dan efektif sekiranya saya menumpukan kepada satu golongan fokus sahaja; bukankah itu lebih muntij..?

Tetapi bagaimana saya mahu mengubah persepsi tipikal bahawa seorang dai'e itu sebenarnya tidaklah sememeh, selekeh lagi koman sekiranya yang membaca belog ini hanyalah orang-orang yang sudah pon tahu bahawa dakwah dan tarbiyyah itu kool..?

2) Anda merupakan seorang pembaca tegar belog ini tetapi masih tidak merasakan kepentingan untuk menjadi seorang Super Saiya di atas jalan dakwah dan tarbiyyah.

3) Anda sudah membaca begitu banyak post tentang bulatan gembira tetapi tidak terdetik sekali pon di dalam hati anda untuk menyertai bulatan gembira.

4) Anda sudah pon berbulatan gembira dan berkonferens riang, dan anda sudah perasan yang banyak yang telah saya nukilkan tentang kepentingan dan keriangan berbulatan gembira dan berkonferens riang, tetapi anda masih belum mahu komited dengannya.

5) Anda bergelak ketawa dengan lawak lucu jenaka berkualiti rendah di belog ini, tetapi langsung tidak mengambil pengajaran daripada nasihat-nasihat yang saya selitkan. Lepas puas gelak terguling-guling, anda menekan butang 'X' di belah kanan atas belog sambil mengucapkan haihaibaibai.

6) Anda hanya berminat untuk membaca post-post yang bertajuk panas lagi kontroversi. Peluh kecil.

7) Anda hanya membaca secara literal dan tidak kontekstual post-post yang saya warkahkan. Lebih hampagas cap Dyson adalah apabila anda hanya mengambil bahagian-bahagian tertentu daripada post tersebut tanpa melihatnya daripada sudut mata seekor burung rajawali yang terbang tinggi. Dengan kata lain, anda tidak membaca antara garisan (Baca: Read between the lines)

8) Anda gagal memahami dan menghadam mesej yang cuba saya sampaikan. Contohnya, apabila saya membuat kenyataan berupa sarkastik atau ayat-ayat yang berdwimaksud (baca: Double-meaning)

9) Langsung tidak terasa di hati anda, apabila membaca post-post berbentuk tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa) atau nasihat-nasihat yang sepatutnya menggugah jiwa dan raga anda. Seperti melukut di tepi gantang sahaja. Seolah-olahnya ada sedang membaca berita seorang mak cik di Colorado yang suka membasuh pakaiannya menggunakan klorok dan berus dawai kelapa. Langsung tiada kena-mengena dengan hidup anda mahupun jiran sebelah rumah anda.

10) Dan anda tahu apa yang paling terasa gagal sekali..? Sekiranya belog ini langsung tidak memberi sebarang faedah kepada anda. None. Yilek pochik. Sifar. Na-ah. Anda membacanya tetapi sedikit pon tidak meninggalkan sebarang kesan yang baik, memberkas di dalam hati anda.

Apa kejadahkah semua ini..? Air mata mengalir laju. 

Ya, belog ini sebenarnya gagal sekiranya ia berfungsi sebagai sebuah platform untuk menyiarkan penulisan saya semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Gagallah ia seandainya selama saya menulis, saya hanya syok sendiri dan tidak mengesyokkan anda yang membacanya. 

Walaupon ada di antara hujah-hujah di atas yang seolah-olahnya menunjukkan anda sebenarnya yang gagal *koff koff*, tetapi hakikatnya sayalah yang gagal kerana gagal menyampaikan mesej seperti yang sepatutnya. Ok sungguh banyak perkataan 'gagal'; cukup negatif di situ.

Kegagalan yang disampaikan dalam bentuk yang lebih comel dan positif. Hohoho.. [Kredit]

Ok saya tahu hidayah itu milik Allah dan belog ini bukannya belog magika. Dan tiada yang sempurna di dunia melainkan diriNya. Tetapi yalah, sekiranya saya hanya menulis kerana suka-suka dan anda yang membacanya juga kerana suka-suka dan tidak lebih daripada itu, lebih baik saya pulang ke rumah, gali dan gembur tanah, tanam jagung dan tunggu hasilnya untuk direbus dan dijual sebagai jagung cawan yang bersalut mentega yang sungguh enak itu.

Bukan begitu..?

Maka silalah berikan maklumbalas (kritikan juga dialu-alukan) yang membina supaya saya dapat perbaiki lagi mutu dan kualiti belog ini. Dan yang lebih utama, supaya anda yang membacanya, akan terasa puas, menarik nafas dalam-dalam dan mata bersinar-sinar, mahu berubah dan melakukan perubahan yang sudah lama anda nanti-nantikan.

Apa-apa jalan, biarlah saya dan belog ini loser di mata anda, wahai manusia fana sekalian, asalkan tidak loser di mata Allah. Amin.

-gabbana-

Nantikan kejutan yang mengujakan lagi mendebarkan esok hari. Hoyeeaahhh!

29 November 2011

Jangan Pandang Belakang!

[Kredit]

Bukan, ini bukan cerita seram. Dalam post ini anda tidak akan berjumpa dengan watak-watak seperti Kak Limah balik rumah, hantu komkom, langsuyar, pontianak harum sundal malam mahupon toyol. Jadi sekiranya anda mencari makhluk sebegitu di dalam post ini, minta maaf kerana mengechiwakan anda. 

Ini post tentang hidayah. Ini post tentang sejauh mana kita menghargai hidayah yang suatu ketika dahulu, pernah mengetuk pintu hati kita, sama ada secara ganas atau lembah lembut lagi bersopan-santun dan kita lantas membenarkannya masuk. Ini post tentang bagaimana kita melayan hidayah itu sebagai tetamu kehormat kelas pertama (Baca: VVIP) dan tidak melakukan sesuatu pada hidayah itu yang menyebabkannya mahu mengucapkan haihaibaibai kepada kita.

Ini post tentang jangan pandang belakang; jangan pandang belakang dan rasa menyesal dengan perubahan yang telah kita lalui. Jangan pandang belakang dan terasa mahu kembali seperti dahulu-kala. Dan jangan pandang belakang; teruskan perjalanan dan maju ke hadapan.

Anda masih ingat pertama kali itu, ketika pintu mahligai hati anda diziarahi oleh hidayah yang gilang-gemilang..? Masih ingatkah anda..?

Ada yang disentuh hidayah melalui pengisian-pengisian membakar jiwa lagi mengoyakkan hati nurani seperti Ini Sungguh Kool, Saya Hosem, Bai Bai Jahiliyyah dan sebagainya.

Ada yang disapa hidayah melalui hubungan hati yang disantuni oleh habang-habang dan hakak-hakak bulatan gembira yang sememangnya ikhlas lagi bersungguh mahu memancing mereka ini, semata-mata tidak mahu melihat mereka jatuh ke dalam relung-relung neraka.

Ada juga yang dilanggar hidayah secara kasar, mungkin melalui peristiwa-peristiwa peribadi yang meruntun jiwa seperti pengalaman hampir mati (Baca: Near death experience), kematian orang yang tersayang atau ditimpa dengan cobaan demi cobaan yang menjadikan mereka lebih dekat dengan Tuhan.

Dan ada juga yang dibahu secara mesra sahaja oleh hidayah, melalui cara-cara yang langsung tidak disangka-sangka. Mungkin melalui sms "...Biasalah bila dah pergi program seronok-seronok.. *koff koff*" atau hanya dengan membaca kepsyen gambar pada belog-belog tertentu *koff lagi sekali koff*

Apa-apa pon cara kita disentuh, suatu benda yang saya amat yakin dan pasti, di saat dan ketika kita disentuh itu, kita benar-benar amat menghargainya. Hati kita bergegar kerananya. Terasa seram sejuk apabila hidayah memukul pintu hati kita. Badan kita seolah-olah menggeletar menyambut ketibaan hidayah itu. Bukan begitu..?

Dan di saat itu juga kita berazam untuk berubah, untuk melakukan perubahan. Kita beriltizam yang kita tidak akan mensia-siakan 'sentuhan' Tuhan dan akan segera memastikan kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Kita juga berjanji yang kita tidak akan mengecewakan hidayah itu.

Mata kita bersinar-sinar, penuh pengharapan akan masa hadapan yang tampaknya lebih cerah dan menjanjikan sesuatu yang jauh lebih baik. Walaupon hidup kita sebelum ini penuh dilumuri lumpur maksiat, gelap gulita diselubungi kegelapan noda dan dosa, hidayah yang datang menyentuh hati-hati kita yang dahagakan petunjuk dan bimbingan itu, seolah-olahnya memberikan cahaya terang-benderang di hujung terowong. Malah lebih terang dan cerah daripada cahaya sirnar mentari penerang alam buana. Ewaaaahhh.

Masih ingatkah anda saat-saat itu..? Masih terpakukah di dalam memori anda? Masih anda simpan rapikah di dalam peti keselamatan jiwa anda..?

Tetapi kini apa sudah jadi? Di manakah semua memori itu ketika ini..? Di manakah janji-janji yang telah kita hamburkan, azam yang telah kita paterikan dan semangat yang kita kobarkan...?

Awan besar berarak mendung. Hujan lebat. Kilat sambar-menyambar, petir guruh berdentum-dentum.

Sungguh menyedihkan bukan..? Dan anda tahu apa yang lebih menyedihkan..?

Melihat mereka-mereka yang lari daripada bulatan gembira, kini sudah semakin hanyut dan larut. Apabila menyaksikan mereka yang memilih untuk tidak mahu ditarbiyyah, seakan-akannya sudah lupa akan tujuan hidup sebenar mereka di muka bumi ini. Dan apabila kita sendiri menjadi saksi, orang-orang yang suatu ketika dahulu bergelak-tawa tersedu hiba bersama-sama kita di atas jalan dakwah ini, sudah semakin jauh, jauh dan jauh daripada keaslian dan kebenaran.

Yang lebih menggeramkan lagi membuatkan gigi-gigi saya mengetap-ngetap adalah mereka yang kononnya tidak mahu bersama-sama di atas jalan ini kerana dirasakan jalan ini terlalu sukar, terlalu mengongkong dan ada cara lain yang lebih mudah dan menggembirakan untuk menuju ke sorga! Tetapi akhirnya, setelah memilih jalan itu dan melarikan diri daripada jalan ini, ke mana mereka pergi..?? Ke laut? Ke jurang Mariana..? Ke Tasik Baikal..?? Aduhai Mak Minah sayang, Mak Minah kaki temberang..! Eh.

Sedangkan mereka juga suatu ketika dahulu pernah disentuh oleh hidayah. Walhal mereka juga pernah membuka pintu hati mereka, menjemput masuk penuh hidayah dengan penuh kasih dan mesra. Dan mereka jugalah yang pernah menggengam erat hidayah yang sudah bersemadi di hati dan berjanji kepada diri mereka sendiri yang mereka tidak mungkin melepaskan hidayah itu berlari pergi.

Tetapi kini apa sudah jadi...?

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyu' mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."
[al-Hadid, 57:16]

Benarlah, hidayah itu milik Allah dan Allah sahajalah. Sekiranya kita tidak menghargai hidayah yang pernah suatu ketika dahulu menyapa mesra jiwa dan hati kita, jangan menyesal apatah lagi terkejut sekiranya Dia menarik semula keistimewaan itu. Seandainya kita tidak memenuhi hak-hak hidayah itu dan berlenggang-lenggang kangkong sahaja, menyangkakan yang hidayah itu akan sentiasa datang kepada kita apabila kita memanggilnya, jangan menangis hatta air mata darah sekalipon sekiranya Dia berpaling daripada kita.

Dan jangan sesekali menyangkakan yang kita yang masih berada di atas jalan ini, akan kekal patuh dan bersungguh di atas jalan ini buat selamanya! Jangan terlalu yakin yang kita suatu hari nanti tidak akan mengatakan yang kita sudah penat dan lesu; kita mahu keluar daripada jalan penuh ranjau dan duri ini! Dan jangan sesekali bangun mendabik dada, berbangga yang kononnya kitalah yang telah merintis jalan ini, bahawasanya tanpa kita, pastilah dakwah dan tarbiyyah itu layu tidak bermaya.

Kerana hidayah itu milik Allah! Dan dakwah dan tarbiyyah itu tidak pernah memerlukan kita; kitalah yang membutuhkan keduanya!

Allahu Allah.

Maka carilah semula detik-detik indah dan bersejarah, sewaktu mana kita disentuh oleh hidayah. Koreklah semula khazanah-khazanah memori berharga ketika hati kita tersentuh oleh tarbiyyah. Dan genggam eratlah panji-panji kebenaran yang suatu ketika dahulu, kita pernah berbaiah bahawasanya hidup dan mati kita hanya untuk dakwah. 

Tangkap semula cahaya-cahaya hidayah yang pernah menyinari hidup kita; tangkap dan simpan elok-elok di dalam balang kaca! [Kredit]

Dan di saat kita bertemu semula dengan semangat itu, tatkala hati kita menjadi segar semula dengan hembusan cinta hidayah dan apabila tangan kita sudah kuat semula memegang tegap janji-janji perubahan yang pernah kita lafazkan, berjalan teruslah ke hadapan.

Berjalan terus dan teruslah maju ke hadapan; jangan sesekali pandang ke belakang..!

"Allahumma ya muqallibal qulub, tsabbit qalbi 'ala deenik."

-gabbana- 

Dugaan, mehnah dan ujian di atas jalan dakwah tidak akan pernah mengenal erti titik noktah. Ketahuilah! 

27 November 2011

Jadi Tukang Kebun Pon Apa Salahnya..?

[Kredit]

Seorang kanak-kanak berfikir tentang kerjaya yang mahu diceburinya apabila dia sudah dewasa nanti. Di dalam kepalanya sudah terbayang pekerjaan-pekerjaan tipikal yang dirasakan akan memberikannya kepuasan dan keseronokan; pemandu lori kerana tampaknya sungguh macho, bomba kerana boleh menyelamatkan orang, juruterbang kerana boleh melancong, doktor kerana tiada siapa yang akan melawan cakapnya dan perdana menteri kerana itu adalah cita-cita hampir setiap kanak-kanak di seluruh dunia. 

Tapi dia betul-betul mahu meyakinkan dirinya; pekerjaan apakah yang paling mulia di dalam dunia ini. Kerana ibunya pernah menasihatinya, kalau dah besar nanti, pastikan kamu mencari pekerjaan yang mulia! Maka dia mengambil keputusan, selepas habis sekolah darjah tiganya nanti, dia mahu berjalan-jalan di sekitar bandar (sekolahnya berdekatan dengan sebuah kotaraya yang boleh tahan sofistikatednya) untuk bertanya dengan orang sekitar tentang pekerjaan yang patut diceburinya kelak.

Selepas bunyi loceng tanda tamatnya sesi persekolahan pada hari itu, dia terus bergegas keluar kerana tidak sabar-sabar untuk mengembara mencari jawapan kepada persoalannya itu. Tetapi sempat dia singgah membeli sate ikan dan ais krim roti yang dijual di tepi sekolah. 

Dia menahan bas bernombor dua puluh lapan yang akan berhenti betul-betul di pusat bandar nanti. Ketika menaiki bas, datang satu ilham kepadanya; Apa kata aku mulakan pengembaraan aku dengan bertanya kepada pak cik pemandu bas ni..? Dia tersenyum lebar, gembira dengan cadangan kepala hotaknya itu. 

"Pak cik pemandu bas. Boleh saya tanyakan satu soalan..?"

Pak cik pemandu bas itu sedikit hairan, tapi tersenyum apabila melihatkan kanak-kanak itu benar-benar ikhlas dengan permintaanya.

"Sudah tentu anakku. Silakan.."

"Pak cik, di dalam dunia ni, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Si pak cik berkerut, terkejut agaknya dengan soalan anak kecil itu. Tetapi dia kemudiannya tersenyum, dan menjawab dengan penuh yakin.

"Sudah tentulah pemandu bas, wahai anakku. Kalau tiada pemandu bas seperti pak cik, sudah tentu kamu, Mak Cik Saodah Sulaiman Sireh, Ah Long Siau dan Rajagobal Singh tidak dapat hendak ke mana-mana. Tanpa pemandu bas seperti pak cik yang memandu bas dan siang malam tanpa henti, sudah tentu ramai yang terkandas tidak dapat berbuat apa-apa."

Pak cik pemandu bas tersenyum, berpuas hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu juga tersenyum mendengar jawapan pak cik pemandu bas itu.

Tiba di pusat bandar, selepas mengucapkan terima kasih kepada pak cik pemandu bas, kanak-kanak itu berjalan-jalan mencari 'mangsa' yang seterusnya. Dia ternampak seorang pegawai polis wanita yang sedang meronda. Dia lantas menuju ke arah pegawai polis itu untuk bertanyakan kepadanya.

"Puan, boleh saya bertanyakan sesuatu?"

"Oh sudah tentu. Adik sesat jalankah..?"

"Oh bukan. Saya ingin bertanya kepada puan, di dalam dunia ini, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Pegawai polis itu sedikit kaget dengan soalan itu, langsung tidak menyangka itulah soalan yang akan ditanya. Tetapi dia kemudiannya tersenyuum.

"Sudah tentulah pegawai polis adik. Kalau tiada pegawai polis macam kakak ni, sudah tentu kacau-bilau bandar ni. Sudah tentu akan ramai penjenayah dan kutu berahak berkeliaran membuat kekacauan. Kalau tidak ada pegawai polis macam kakak yang telus dan amanah dalam menjalankan tugas, pasti adik sekarang ni sentiasa hidup dalam ketakutan!"

Pegawai polis wanita itu tersenyum, yakin kanak-kanak itu pasti berpuas-hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis wanita tersebut.

Masih tidak berpuas-hati, kanak-kanak itu berjalan lagi. Dia mencari-cari kalau-kalau ada sesiapa yang tampaknya sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Tiba-tiba dia ternampak sebuah klinik di seberang jalan; 'Klinik Liza Salmoneli dan Surgeri.' Pasti Puan Doktor mempunyai jawapan yang memuaskan untuk aku. Doktor kan bijak lagi pandai!

Lantas setelah memandang kiri dan kanan, kemudian memandang kiri dan kanan sekali lagi, setelah yakin selamat untuk melintas, kanak-kanak itu berlari-lari anak (sesuai dengan saiz kakinya) untuk melintas jalan. Dia masuk ke dalam klinik dan mendaftarkan dirinya. Mujurlah kakak yang menjaga kaunter pendaftaran tidak mengesyaki apa-apa. Atau mungkin juga dia sedang sibuk berMukaBuku.

Setelah namanya dipanggil, dia masuk ke dalam bilik bernombor satu dan tertulis 'Dr. Salmiah Buang.' Puan Doktor tersenyum apabila melihat seorang kanak-kanak comel yang memasuki bilik rawatannya.

"Ya anakku. Bagaimana doktor boleh membantu anda..?"

"Doktor, saya datang ni bukan untuk mendapatkan rawatan. Tapi saya nak bertanyakan satu soalan. Bolehkah..?"

Puan Doktor menggaru tudungnya, kerana langsung tidak menyangka itu tujuan kanak-kanak itu ke kliniknya. Tetapi kemudian dia lantas tersenyum; terasa kejam pula sekiranya dia menolak permintaan kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Cuma jangan tanya doktor soalan matematik sudahlah. Dah lama doktor tak buat latihan tambah tolak, darab bahagi!"

Oh, jangan risau doktor. Semua kerja rumah matematik saya, telah saya siapkan. Begini doktor. Saya tertanya-tanya, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini..?"

Puan Doktor terkedu sebentar. Biar betul anak kecil ini. Dia cuba menyembunyikan perasaan terkejutnya dengan mengukir sekuntum senyuman sambil berkata:

"Oh itu mudah sahaja anakku. Takkanlah anak tidak tahu, doktorlah pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia ini. Tanpa profesion ini, sudah tentu ramai yang akan mati sakit kerana tidak dirawat dengan segera. Jika tidak kerana doktor yang bertungkus-lumus bekerja seperti saya ini, sudah pasti banyak ibu-ibu yang mati ketika bersalin, ramai yang sakit perut kerana cirit-birit yang tidak dirawati dan ramai yang tergaru sana sini kerana kudis yang dibiarkan merebak! Nah, bukankah doktor pekerjaan yang paling mulia..?"

Kanak-kanak itu hanya mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum. Puan Doktor tersenyum melihatkan kanak-kanak itu; sangkanya sudah pasti si anak kecil yakin dengan jawapannya itu.

"Terima kasih, doktor."

"Sama-sama anakku."

Kanak-kanak itu pergi meninggalkan klinik sambil menghisap lolipop yang diberikan oleh Puan Doktor. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya, walaupon sudah ditanyakan kepada pak cik pemandu bas, pegawai polis wanita dan Puan Doktor.

Arakian dia pon berjalan-jalan lagi, mencari-cari calon yang sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Sekiranya dia ternampak atau terserempak dengan mana-mana lelaki atau wanita yang tampaknya seperti bekerjaya, dia pasti akan berjumpa dengan mereka dan bertanyakan soalan yang sama setiap masa; pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia?

Setiap orang yang dijumpainya pasti akan memberikan jawapan yang hampir serupa; bahawanya pekerjaan merekalah yang paling mulia. Akan diberikan pelbagai alasan dan jawapan untuk menyokong kenyataan mereka itu. Dan semua daripada mereka yang memberikan jawapan tampak puas dan yakin dengan jawapan mereka itu. 

Tetapi kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya. Baik juruterbang yang dia terserempak sedang menikmati teh tarik di sebuah warung mamak atau tuan hakim yang arif lagi bijaksana, yang ditemuinya sedang membeli kad pra-bayar untuk menambah nilai telefon bimbitnya. Kalau begitu, aku kena jadi semuakah..? Sebab semuanya mulia..? Adoyai. 

Sehinggalah dia pulang ke sekolahnya semula dengan menaiki bas bernombor dua puluh lapan jua. Dia menceritakan apa yang ditemui dan didengarinya sepanjang pengembaraan mininya itu kepada salah seorang gurunya yang ditemui di kawasan perkarangan sekolah.

"Haha.. Patutlah kamu tidak berpuas hati. Jawapan yang mereka berikan semuanya salah. Kamu tahu apa pekerjaan yang paling mulia di dunia..?"

"Apa dia cikgu?"

"Kerjaya sebagai seorang gurulah! Tanpa seorang guru, tidak mungkin ada juruterbang, peguamcara dan peguambela, doktor gigi, jurutera petroleum dan semua semua itu! Tanpa ada orang seperti saya, yang ibaratnya lilin yang membakar diri demi menerangkan kawasan sekitarnya, tidak mungkin anak bangsa akan terdidik, menjadi orang-orang yang mulia..! Maka, pastilah guru itu yang lebih mulia, kerana berjaya melahirkan insan-insan yang mulia!"

Guru tersebut tersenyum puas sambil mengangkat tangan kanannya dan membuat gaya Otromen Daina sebagai tanda dia telah menjawab soalan anak didiknya itu dengan sebaik-baiknya. Kelihatan butir-butir peluh kecil terbentuk pada dahi kanak-kanak itu.

Walaupun jawapan gurunya itu seperti benar dan meyakinkan, namun kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati. Dia merasakan tiada lagi jawapan yang benar-benar menenangkan hati dan perasaannya. Dia lantas duduk termenung di gazebo berdekatan dengan padang sekolah, sedang merumuskan dan cuba untuk membuat kesimpulan daripada jawapan-jawapan yang diterimanya.

"Kenapa ni nak..? Pak cik nampak daripada tadi anak macam susah hati je..?"

Kanak-kanak itu tersentak daripada lamunannya. Pak Cik Mukhlis Ihsan, tukang kebun sekolah menegurnya. Kanak-kanak itu tersenyum; pertama kerana tidak sangka ada orang yang mengambi berat tentang dirinya dan kedua kerana dia memang suka melihat Pak Cik Mukhlis Ihsan - wajahnya sentiasa ceria dan putih bercahaya. 

"Takde apa pak cik. Saya cuma ada satu soalan yang sehingga kini saya masih belum ketemu jawapannya. Err, pak cik nak dengar?"

Pak Cik Mukhlis Ihsan tersenyum mesra mendengarkan permintaan anak kecil itu. Dia lantas duduk di sebelah kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Dan kalau pak cik boleh jawab, pak cik akan cuba jawab."

"Begini pak cik. Saya sudah bertanyakan soalan ini kepada begitu ramai orang, tapi jawapan mereka semuanya sama. Saya tanyakan kepada mereka, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini. Dan tiada sebab lain saya bertanyakan soalan itu melainkan kerana saya mahu bekerja dengan pekerjaan yang paling mulia di dunia ini apabila saya sudah dewasa kelak!"

"Jadi? Apa jawapan yang kamu terima?"

"Itulah. Semuanya pun mengatakan yang pekerjaan mereka yang paling mulia. Dan semuanya ada alasan dan hujah masing-masing yang boleh diterima. Maka kini saya tidak pasti lagi pak cik; sama ada saya patut menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, tukang masak atau seorang guru!"

"Hahaha.. Begitu. Hhhmm, kamu mahu mendengar jawapan pak cik pula..?"

"Pastilah! Tapi... Adakah pak cik akan mengatakan juga yang menjadi tukang kebun itu pekerjaan yang paling mulia..? Kerana tanpa tukang kebun macam pak cik, pastilah sekolah tidak terjaga dan ceria..?"

"Hahaha.. Tidak anakku. Itu bukan jawapan pak cik. Kamu betul-betul mahu tahu apakah itu pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia..? Malah di seluruh alam semesta adanya juga..?"

"Wah! Sudah tentu sudah tentu! Apakah itu pekerjaan yang paling mulia pak cik..?? Cepat cepat, tolong beritahu saya!"

"Pekerjaan yang paling mulia, anakku.. Adalah apa-apa pekerjaan yang dilakukan ikhlas dan ihsan keranaNya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan untuk berbangga-bangga. Dan bukan juga untuk mengejar dunia. Tetapi pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Pekerjaan yang dilakukan untuk mencari rezeki yang halal dan ada berkatnya.

Dan yang lebih utama, pekerjaan yang paling mulia itu adalah pekerjaan yang mendatangkan manfaat dan faedah bukan sahaja kepada diri si pekerja itu, tetapi juga kepada orang di sekitarnya. Dia bekerja bukan untuk dirinya, tetapi memberi khidmat setia kepada orang ramai tanpa dipinta. Tidaklah dia melalui sesuatu tempat itu melainkan dia meninggalkan mutiara dan permata yang berharga jua."

"... Jadi.. Pekerjaan seperti pak cik, menjadi tukang kebun pun boleh jadi pekerjaan yang paling mulia..?

"Hahaha.. Pekerjaan seperti pak cik ini tidak ada apa-apa anakku. Pak cik hanyalah seorang insan hina yang biasa, yang tinggal di duniaNya mengharapkan belas ihsanNya. Pak cik hanyalah seorang manusia dina, yang setiap hari bergantung harap padaNya..."

Pak Cik Mukhlis Ihsan menghadiahkan senyuman mesra kasih-sayang kepada kanak-kanak itu, bingkas bangun dan menyambung melakukan kerja-kerjanya. Kanak-kanak itu terdiam dan berfikir sejenak, menghadam kata-kata Pak Cik Mukhlis Ihsan.

Dia kemudiannya lantas bangun, terukir senyuman puas pada bibirnya. Matanya bersinar-sinar terang, bersih dan penuh keyakinan.

Ya, aku sudah tahu apa yang aku nak jadi nanti!

-gabbana-

Salam tahun baru 1433H buat semua pembaca APG. Umur kita sudah meningkat, umur dunia juga sudah semakin tua. Kita tidak punya banyak masa lagi untuk mengejar keredhaaNya yang hakiki, tahu...??

24 November 2011

Badan Lesu, Jiwa Lemau, Otak Kacau

[Kredit]

Minggu ini tahap kesibukan saya di opis bukan setakat mencapai tahap tenggiling lagi, malah sudah mencecah tahap tenggiling terbang.

Sudah tiga hari berturut-turut saya pulang lebih lewat daripada biasa. Indikator saya pulang lewat adalah saya dapat menunaikan solat berjemaah Mahrib di opis. (Ok sila jangan bandingkan diri saya ini dengan anda yang bekerja sebagai tabib atau auditor itu. Itu satu perbandingan yang tidak adil!)

Kadang-kadang tu bukannya sibuk apa pon; sibuk menunggu maklum balas daripada Puan Bos Besar atau Dato' Bos Lagi Besar *koff koff*. Sampai panas punggung. Haih. Akhirnya walaupun tidak berbuat apa sangat, penat juga jadinya disebabkan terperap dan terceruk di dalam opis dari pagi sehinggalah petang.

Tapi hari ini dan kelmarin sumpah sibuk. Sibuk sehinggakan apabila pulang ke rumah, dan saya letakkan kepala di atas bantal atau tilam, komfem terus berada bersama Cik Alice dan Alam Khayalannya. Eh. Sibuk sehinggakan saya terpaksa membatalkan pelan ziarah saya ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan dan juta Kolej Maha Busy. Wah, hadek-hadek Kolej Maha Busy pon tak sebusy ini! Peluh kecil.

Akibat pembatalan itu, saya mengalami tekanan melampau tahap merbahaya. Ok tipu. Tapi betul saya tak berdusta, memang rasa sungguh sedih dan seperti ada yang tak kena apabila tidak dapat menatap wajah hadek-hadek terchenta. Sudah terbayang-bayang dan terpancar gambaran kegembiraan dan keseronokan bertemu mata dengan mata dengan mereka. Aduhai mak minah sayang. Errr... Macam orang kena angau la pulak! Wahahaha..

Ok tak kelakar.

Saya kira, itulah salah satu daripada magika dan keajaiban membawa dan mengikuti bulatan gembira. Bulatan yang benar-benar gembira dan hidup, apabila ditinggalkan atau terlepas satu-dua sesi, pasti akan terasa serba-salah dan seperti mahu terjun gaung seribu tiga ratus dua puluh lima meter dalamnya.

(Nota: Bulatan gembira yang saya maksudkan di sini adalah bulatan gembira dan bukannya, er, keluarga itu. Tahu..?)

Di dalam post 'Penyucian Jiwa', saya ada menceritakan hikmah besar mengikuti tarbiyyah yang kool dan bergaya ini. Mungkin kita tidak nampak ganjaran atau pulangannya di depan mata. Tidaklah pula setiap kali kita membaca al-Quran atau komited dengan bulatan gembira atau bangun malam untuk bermunajat kepadaNya, trang tang tang ketika itu juga jatuh gedebuk sebuah kereta Kumbang (gulp) atau seguni bongkah emas ala-ala pemilikan Ali Baba adalah juga. Tidaklah begitu. (Kalau berlaku begitu, saya rasa sama ada saya pengsan dahulu atau lari laju-laju sambil menjerit ketakutan.)

Hikmahnya adalah Allah 'menjaga' kita. Hati kita sentiasa tenang dan bersih. Malah kita sendiri boleh merasakan 'kebersihan' dan 'keinosenan' hati kita itu. Sumpah. 

Cuba ingat kembali; berapa kali sudah, setiap kali kita ponteng berbulatan gembira untuk beberapa kali berturut-turut, dalam tempoh masa yang sama kita amat mudah futur (gugur, banyak buat maksiat)..? Tidakkah dalam tempoh masa yang sama kita merasakan diri kita tidak tenang, hati kita kotor dan tubuh serta anggota-anggota badan amat mudah untuk melakukan maksiat. Dan bukankah dalam tempoh masa yang sama kita berpontengan itu, kita terasa seolah-olah jauh daripadaNya..?

Hamek baru tahu penangan bulatan gembira.

Kebaikan apakah yang paling baik di dalam dunia ini, apabila kita jauh daripada kebaikan, dan Allah menyalakan lampu isyarat amaran..? Kebaikan apakah yang paling osem sekali, apabila kita sudah berada di dalam suasana yang baik dan solehah dan kita merasa suka dan selesa dengannya? Dan kebaikan apakah yang paling kool sekali, Allah memilih kita untuk terus berada di dalam kebaikan...??

Hamek sekali lagi tumbukan padu dan sepakan mapan bulatan gembira.

Kerana itu saya melihat bulatan gembira sebagai wasilah (cara) yang paling amat super berkesan dan osem sekali untuk membentuk manusia menjadi seorang individu Muslim yang benar-benar taat dan patuh kepada TuhanNya. Kerana di dalamnya terkandung pelbagai aspek dan pendekatan yang saya kira, sekiranya dilaksanakan dengan bersungguh dan efektif, pasti akan melahirkan manusia-manusia yang berjiwa hamba. Sukar hendak saya terangkan satu-persatu secara terperinci di sini. Kalau mahu tahu, anda kenalah berbulatan gembira dahulu! Gelak kecil yang sedikit keji.

Tidak hairan juga Datuk Tariq Ramadhan menjadikan bulatan gembira (ha kali ini konsep bulatan gembira dalam konteks yang lebih besar) sebagai asas, nukleus kepada pergerakan dakwahnya. Kerana bulatan gembira itu benar-benar menggembirakan ruh dan hati seseorang manusia!

Ya benar, bukan semua bulatan gembira itu benar-benar menggembirakan anda. Mungkin ada yang lemau. Mungkin ada yang mandom, muram durjana. Tiada apa yang sempurna di muka bumi mahupon planet Musytari, percayalah. Tetapi disebabkan anda berkorban, bermujahadah memaksa diri untuk terus komited di dalam bulatan gembira kerana anda tahu dan faham penangan bulatan gembira, anda sedar peri pentingnya untuk berada di dalam suasana dan keadaan yang baik  lagi solehah... Yakin dan percayalah, Allah akan membayar pengorbanan anda itu secara 'tunai', dalam keadaaan dan cara yang anda mungkin tidak sangka-sangkakan.

"...Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
[at-Talaq, 65:2-3]

Saya sendiri sudah banyak kali merasa kenikmatan 'dibayar' oleh Allah ini, dan terus-terang saya katakan, saya masih belum puas hoyeeaahhh! Eh, macam tamak pula bunyinya. Kata kuncinya, kena yakin, sabar dan bersungguh-sungguh!

Itu baru bayaran tunai, belum lagi bayaran kredit tertangguh yang menanti kita di akhirat nanti. Mata bersinar-sinar.

Dan kerana itu juga saya sedih banget kerana tidak dapat ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan dan Kolej Maha Busy pada minggu ini. Haih. Terasa bateri di dalam diri begitu lemah sekali. 

Apa-apa jalan, saya melihat kesibukan saya ini sebagai tarbiyyah daripada Allah jua. Pasti ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan dan ajarkan kepada saya. Terpulanglah kepada saya sama ada mahu melihat kesibukan ini daripada kaca mata seorang manusia biasa yang dikuasai hawanya, atau melihatnya dengan kaca mata dakwah dan tarbiyyah yang sudah kompem-sekompemnya bergaya. 

Dan kini lebih faham 'penderitaan' yang dialami oleh ikhwah/akhawat yang berkerjaya sebagai tabib, auditor, pekerja kilang atau pon kerjaya-kerjaya lain yang sememangnya sibuk lagi menyibukkan tahap Perdana Menteri Zimbabwe. Juga lebih faham mengapa kerjaya adalah salah satu ujian atau mehnah besar yang perlu diberi perhatian seriyes oleh kita semua yang memanggil diri kita ini du'at. Kepada anda semua, kuatkan semangat dan jangan sekali-kali berputus-asa tahu..?? Ketahuilah, ada cahaya bersinar-sinar di hujung terowong!

Meminjam kata-kata Inche gabbana:

"Apakah cobaan yang paling mengerikan? Cobaan yang paling mengerikan, itulah apabila kita langsung tidak sedar yang ia adalah cobaan. Sekian."

Air mata mengalir perlahan.

"Ya Allah! Aku berlindung kepada Engkau daripada duka dan susah. Dan berlindung daripada lemah dan malas. Dan berlindung daripada takut dan bakhil. Dan berlindung daripada banyak hutang dan penindasan orang."

Amin, ya robbal a'lamin.

-gabbana-

22 November 2011

Ini Hikayat Chenta Agung

[Nota 1: Artikel ini sumpah tidak sesuai untuk bacaan anda yang berumur 19 tahun ke bawah. Jangan bilang saya tidak memberi amaran!

Nota 2: Untuk artikel ini, saya akan menggantikan kata ganti nama diri yang pertama 'saya' kepada 'aku.' Jangan banyak tanya kenapa sekian.]

*** 

[Kredit]
Buat kekasih hatiku, D.

D, kau ingat tak saat dan detik pertama kita bertemu? Aku kenal kau sejak di bangku sekolah lagi. Kau ingat tak D...?

Ketika itu kau masih malu-malu lagi dengan aku. Kau hanya melihat aku dari jauh. Sekali-sekala kau tegur aku. Jarang-jarang kau berani untuk menyapa aku. Ketika itu aku sudah mula suka padamu. Aku cuba untuk memahami dirimu. Aku cuba untuk mendekatimu. Tapi ah! Aku masih kebudak-budakan ketika itu D! Aku tidak faham apa yang kau nak daripada diriku ini! Aku bermain-main dengan perhatian yang kau berikan.

Tapi kau hebat. Kau tidak marah pada aku. Kau tidak berputus-asa dengan aku. Malah tidak pernah terdetik pada hati kau untuk pergi meninggalkan aku. Walaupun aku tidak pernah beri perhatian serius pada kau ketika itu, tetapi kau tidak pernah kisah. Kau memang kekasih sejati, D.

Kemudian habis sekolah menengah, aku ke kolej persediaan pula. Kau masih nak ekori aku D. Aku pun tak faham kenapa. Di tahun pertama, hubungan kita tampaknya semakin rapat. Aku sudah mula berani untuk mendekati kau. Kau pun apa kurangnya, memberi respon yang boleh tahan menggembirakan aku. Malah rakan-rakan di sekeliling juga tumpang gembira, memberi galakan untuk aku mendekati kau D. Ah betapa bahagianya aku ketika itu! Hubungan kita direstui oleh sahabat-sahabat rapatku!

Tetapi masuk tahun kedua, entah mengapa. Aku sudah mula rimas. Datang pula orang ketiga, yang menjarakkan hubungan kita. Masa, tenaga dan perasaan aku banyak curahkan dan habiskan untuknya. Aku semakin jauh daripada kau D. Dan kau juga, seperti merajuk dan memahami, juga mula menjauhkan diri kau daripada aku. Ah sehingga kini sekali pun, setiap kali aku memikirkannya, aku terasa begitu malu D. Bergenang air mata aku setiap kali memori itu melintas di kepalaku. Tergamak aku melakukannya kepadamu D!

Malah di satu ketika, aku merasakan aku begitu jauh daripada dirimu D. Aku lupa terus pada dirimu. Seolah-olah kita tidak pernah punya hubungan sebelum ini. Sepertinya aku tidak pernah mengenali dirimu. Dan aku terus hanyut dibuai asmara. Aku terus larut di dalam dosa dan noda. Dan kau makin menjauhkan diri daripada aku. 

D, sehingga ke hari ini, setiap kali ingatan itu datang menghantui diri, aku merasa begitu sesal sekali. Wahai, seandainya kau mengenali diri ini D, sudah tentu kau tahu yang betapa aku mahu sekali kembali ke masa itu; menebus kembali kesilapan yang telah aku lakukan pada dirimu D. Dan aku tahu yang kau tahu.

Mujurlah kau masih tidak mahu berputus-asa dengan diriku. Ya, entah mengapa, aku juga pelik dan hairan dengannya. Setiap kali aku berfikir tentangnya, aku begitu bersyukur. Sementelah segala apa yang telah aku lakukan pada dirimu D, kau tidak pernah mengalah. Kau tidak pernah erti apa itu lelah.

Setelah apa yang terjadi, aku membawa diriku ke Kota London. Di sana, aku diberi peluang sekali lagi untuk memperbaiki hubungan kita D. Di sana, baharulah aku benar-benar berpeluang untuk mengenali dirimu dengan lebih mendalam. 

Pada mulanya, aku buat tak endah sahaja. Ya, kau datang beberapa kali mengetuk pintuku. Kau berusaha untuk memikat hatiku. Ketika itu aku cuba-cuba juga untuk melarikan diri daripada kau D. Yalah, setelah apa yang aku perbuat pada kau di kolej dahulu, aku berasa begitu malu untuk berhadapan dengan kau. Aku merasakan diriku tidak layak untuk mendambakan cintamu.

Namun kau terus berusaha. Putus-asa tidak pernah termaktub di dalam usahamu memikat diriku. Semakin aku cuba lari daripada kau, semakin itu juga kau kuat datang kepadaku. Wah D, boleh buat hipotesis kan hubungan kita ketika itu..? Hahaha.. Kau tidak pernah bosan dengan diriku ini ya D?

Ya, aku mengaku, keinginan dalaman diriku untuk merawat kembali hati yang terluka juga menjadi penyebab mengapa aku akhirnya jatuh ke dalam dakapanmu. Sokongan, galakan dan nasihat yang diberikan oleh rakan-rakan juga menjadikan hubungan kita bertambah erat, semakin istimewa. 

Di tahun satu, kau masih gagal untuk menambat hatiku. Ada masa-masanya aku berpura-pura seolah-olah aku sudah jati hati pada kau D. Tetapi hakikatnya, hati aku masih belum benar-benar cair dengan godaaan kau. Hati aku masih tertaut kuat dengan memori-memori jahiliyyah aku yang lampau.

Tetapi kau akhirnya berjaya di tahun kedua. Berkat kesabaran dan kesungguhan kau, aku akhirnya terjelepok di kaki kau D. Entah jampi serapah apa yang kau pakai, aku akhirnya akur, tunduk di bawah telunjuk kau..!

Pada mulanya aku memberontak juga. Aku merasakan diriku terkongkong dengan pujukan dan desakan kau. Aku keliru mengapa kau begitu bersungguh-sungguh mahu aku mendampingi dirimu. Tetapi lama-kelamaan, aku sudah mula faham dengan kehendakmu. Aku sudah boleh mengerti mengapa kau beriya-iya menggoda dan memujukku.

Dah ah, akhirnya aku terpikat! Akhirnya aku terjerat! Panahan cintamu cukup membara dan mendalam D! Aku tak boleh lari!

Dan melalui pelbagai program dan aktiviti yang mempertemukan kita bersama, aku semakin rapat denganmu. Aku semakin mahu mengenali dirimu dengan lebih serius lagi. Tapi kau bijak D, kau main tarik tali dengan aku ya..? Kau mahu balas dendam agaknya?

Kini giliran aku pula mengejari dirimu. Dan kau buat malu-malu kucheng pula ya..? Tapi aku tidak berputus-asa. Aku tidak mengalah D! Walau berbagai-bagai cabaran yang datang dalam bermaca rupa, yang cuba menghalang hubungan kita, aku tekad! Aku berazam! kau pasti menjadi milikku!

Dan berkat kesabaran, kecekalan dan kesungguhan aku, akhirnya usaha suci ku ini berbalas. Tidaklah aku terasa seperti "Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!" Alangkah indahnya D, di saat aku mendakap erat dirimu. Alangkah segarnya jiwaku di saat aku dapat merangkul mesra kasih sayang ini. Dan yang lebih menggugar jiwa ragaku, adalah apabila kau tersenyum mesra, menyambut dengan penuh kasih-sayang diriku ini! Wahai!

Dan kerana kau D, makanku tak kenyang, tidurku tak lena dan kadang-kadang bukan setakat mandiku tak basah, nak mandi pun aku tidak berkesempatan! Semuanya semata-mata kerana mahu bersama dirimu setiap masa. Hebat sungguh penanganmu D! Tapi demi dirimu, lautan api sanggup aku renangi, gunung tinggi sanggup aku daki dan apa-apa sahaja cabaran sanggup aku harungi.. Semuanya kerana kau D! Semuanya kerana tidak mahu ketinggalan olehmu D! Kau tahu...??

Alhamdulillah, sehingga kini kita masih berhubungan mesra. Ya, aku tahu, kadang-kadang kita bertelagah juga. Bukan sedikit kita bercakaran. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan seperti kita ini, kan D? Bak kata omputih, hubungan cinta-benci! Tapi aku tahu, inikan bukan alasan untuk aku memutuskan perhubungan ini. Aku tahu, memutuskan hubungan ini beerti aku sudah berputus-asa dengan dirimu.

Semenjak aku mula rapat denganmu, mula serius dan bersungguh dengan perhubungan ini, sudah banyak perubahan baik yang aku dapati pada diriku D. Lebih tersusun urusanku, aku lebih bijak membahagi masa, aku menjadi lebih penyabar, aku tidak lagi kedekut seperti dahulu... Dan macam-macam lagi sifat terpuji yang tersemai dalam diriku, semuanya kerana pergaulan aku denganmu. Terima kasih D!

Aku berjanji pada diriku, sehingga hayat dikandung badan, aku akan terus setia bersamamu D. Tatkala Izrail datang mencabut nyawaku nanti, aku berharap ketika itu seluruh hati dan jiwa ragaku masih setia dan kasih pada dirimu. Dan aku  juga berharap, kau tidak akan lari pergi meninggalkan aku. Aku sedar, kau berhak mendapatkan seseorang yang jauh lebih baik daripada diriku. Begitu banyak dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan pada dirimu. Bukan sedikit aku mengecewakanmu. Maafkan aku D, maafkan aku.... Jangan sesekali pergi meninggalkan aku..!


Aku meraba-raba, mencari-cari cintamu, D, padahal kau selama ini berada di depan mata! [Kredit]

Kini aku faham dan sedar D, selama ini kau tidak pernah mengejarku. Kau tidak pernah memerlukan aku, walau sesaat cuma. Selama ini, aku yang mendambakan cintamu. Akulah yang memerlukanmu D. Terima kasih D, kerana sudi menerima diriku yang seadanya...

D, izinkan aku untuk membuat pengakuan ikhlas lagi tulus. Kau sudah bersedia untuk mendengarnya..?

Aku sudah jatuh chenta padamu, D-akwah...! Sepenuh dan sesungguh hati! Sumpah..! Semoga Allah merestui perhubungan ini!

-gabbana-
 

21 November 2011

Berita Meloyakan Hari Ini

KUCHING 19 Nov. – Walaupun sudah diberi kaunseling oleh pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) semalam, lima peserta Miss Borneo 2011 yang beragama Islam tetap meneruskan penyertaan dalam pertandingan ratu cantik itu di sini, malam tadi.

Kesemua mereka memakai pakaian berwarna-warni dan menjolok mata yang mendedahkan paha dan pangkal dada pada majlis pembukaan pertandingan itu.

Gadis terlibat ialah Melatie Mellisa, 22; Adira Kamil, 23; Sharifah Nadzirah Wan Hamid, 23; Roszainah Suhaili, 21, dan Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie, 21.

Natasha Nur Amarina memenangi tempat keempat dalam pertandingan berkenaan yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Adira pula memenangi tempat kelima dengan hadiah RM500 manakala Sharifah Nadzirah pula dinobatkan sebagai Ratu Cantik Personaliti yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Gadis itu turut memenangi anugerah Ratu Cantik Popular sekali gus membolehkannya menerima Samsung galaxy Tab 10.1 yang ditaja oleh Celcom.

Mereka yang berpakaian menjolok mata dalam gambar promosi acara itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan sejak seminggu lalu menimbulkan perasaan kurang senang umat Islam di negeri ini.

Kesemua gadis itu diberi peluang untuk membuat penjelasan terhadap penglibatan masing-masing dalam pertandingan tersebut sebelum diberi kaunseling oleh pegawai JAIS, pagi semalam.

Pengarah JAIS, Abang Shamsuddim Abang Seruji ketika diminta mengulas penyertaan lima gadis itu kecewa kerana mereka yang diberi kaunseling selama sejam pagi semalam tetap meneruskan saingan pada pertandingan itu.

Kata beliau, pihaknya berharap menerusi kaunseling itu akan ada sekurang-kurangnya seorang daripada lima peserta terbabit menarik diri, namun perkara itu tidak berlaku.

“Kami kecewa apabila mendapati lima peserta Islam itu masih menyertai pertandingan ratu cantik itu meskipun sudah diberi nasihat untuk mereka menarik diri. Bagaimanapun, JAIS akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap pertandingan-pertandingan seumpama ini pada masa akan datang,” ujarnya.

- Sumber: Utusan Meloya
Eh anda hairan ke dengan berita ni? Anda rasa geram? Rasa menyampah? Saya tak hairan langsung. Geram dan menyampah ada; pada Utusan Meloya. 

Saya tak salahkan lima orang itu seratus peratus. Dan saya tak salahkan Jabatan Agama Islam Sarawak seratus peratus. Yang saya salahkan dengan peratusan yang tinggi adalah Utusan Meloya, sebab buat laporan berat sebelah.

Manakan tidak? Ingat lima orang tu malaikat ke? Dapat nasihat sekali terus nak bertaubat? Gitu?

"Pengarah JAIS, Abang Shamsuddim Abang Seruji ketika diminta mengulas penyertaan lima gadis itu kecewa kerana mereka yang diberi kaunseling selama sejam pagi semalam tetap meneruskan saingan pada pertandingan itu."

Nak kechiwa apanya Inche Abang oi..? Bagi kaunseling sejam je pon. Kalau sejam setiap hari, selama sebulan, lepas tu diorang masih berdegil, ha, kalau macam tu layaklah nak rasa kechiwa. Memang tak realistik lagi berpijak di bumi yang nyata kalau JAIS meletakkan pengharapan yang tinggi bahawa mereka ni akan tarik dirimahupon melakukan sujud pembebasan.

Samsung Galaxi Tab 10.1 tu. Siapa yang tak mahu..??

Orang yang dah lama ikut dakwah dan tarbiyyah pon masih banyak bergelumang dengan dosa dan noda (gulp), inikan pula orang yang dapat kaunseling hanya SATU JAM! Alahai Utusan Meloya. 

Sebelum nak kaunseling lima orang tu, rasanya kena 'kaunseling' orang di sekitar mereka dahulu. Kaunseling secara berjemaah dan berterusan. Bila ramai-ramai dah kena kaunseling, dah sedar apa tujuan hidup mereka di muka bumi, dah boleh laksanakan amar ma'ruh nahi mungkar, time ni JAIS pon boleh dibubarkan.

Dengan sendiri biah (suasana) solehah akan terbentuk dan secara otomatiknya diorang ni pon segan dah nak sertai pertandingan sebegitu. Bukan setakat segan nak sertai, pertandingan sebegitu rupa dah takde sapa pon yang nak anjurkan!

Susah? Leceh? Lambat? Memanglah, apa anda ingat kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah ni macam berhenti tepi jalan dan beli pisang goreng dua ringgit ke..? Jalan ini sumpah panjang tahu..??

Tapi lebih bagus dan baik daripada anda yang tahu mengkritik dan mengkondem sahaja, tapi langsung tak buat apa. Komen itu dan ini daripada keselesaan sofa di rumah, atau caci ini dan maki itu sambil pekena kopi o' panas dan roti canai garing cicah dal sambal satu heyy!

"Medan khayal itu lebih besar daripada medan bercakap; medan bercakap lebih besar daripada medan amal; medan amal lebih besar daripada medan berjihad; dan medan berjihad itu lebih besar daripada medan jihad yang muntij!"

"Kesemua mereka memakai pakaian berwarna-warni dan menjolok mata yang mendedahkan paha dan pangkal dada pada majlis pembukaan pertandingan itu."

Aduhai Utusan Meloya, aduhai...!

You are what you eat. And you are what you read. Let us all say NO to Utusan Meloya!

-gabbana-

Lupa nak cakap; tahniah kepada JAIS atas usaha-usaha yang saya rasakan cukup baik dan positif. Harap dapat teruskan di masa hadapan dan err, janganlah hanya berikan kaunseling selama sejam!

Harap tidak berputus-asa dengan mereka ini dan dapat follow up. Juga harapnya dapat luaskan khidmat 'kaunseling' ini kepada lebih ramai orang di Sarawak tu. Syabas..! 
 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP