27 November 2011

Jadi Tukang Kebun Pon Apa Salahnya..?

[Kredit]

Seorang kanak-kanak berfikir tentang kerjaya yang mahu diceburinya apabila dia sudah dewasa nanti. Di dalam kepalanya sudah terbayang pekerjaan-pekerjaan tipikal yang dirasakan akan memberikannya kepuasan dan keseronokan; pemandu lori kerana tampaknya sungguh macho, bomba kerana boleh menyelamatkan orang, juruterbang kerana boleh melancong, doktor kerana tiada siapa yang akan melawan cakapnya dan perdana menteri kerana itu adalah cita-cita hampir setiap kanak-kanak di seluruh dunia. 

Tapi dia betul-betul mahu meyakinkan dirinya; pekerjaan apakah yang paling mulia di dalam dunia ini. Kerana ibunya pernah menasihatinya, kalau dah besar nanti, pastikan kamu mencari pekerjaan yang mulia! Maka dia mengambil keputusan, selepas habis sekolah darjah tiganya nanti, dia mahu berjalan-jalan di sekitar bandar (sekolahnya berdekatan dengan sebuah kotaraya yang boleh tahan sofistikatednya) untuk bertanya dengan orang sekitar tentang pekerjaan yang patut diceburinya kelak.

Selepas bunyi loceng tanda tamatnya sesi persekolahan pada hari itu, dia terus bergegas keluar kerana tidak sabar-sabar untuk mengembara mencari jawapan kepada persoalannya itu. Tetapi sempat dia singgah membeli sate ikan dan ais krim roti yang dijual di tepi sekolah. 

Dia menahan bas bernombor dua puluh lapan yang akan berhenti betul-betul di pusat bandar nanti. Ketika menaiki bas, datang satu ilham kepadanya; Apa kata aku mulakan pengembaraan aku dengan bertanya kepada pak cik pemandu bas ni..? Dia tersenyum lebar, gembira dengan cadangan kepala hotaknya itu. 

"Pak cik pemandu bas. Boleh saya tanyakan satu soalan..?"

Pak cik pemandu bas itu sedikit hairan, tapi tersenyum apabila melihatkan kanak-kanak itu benar-benar ikhlas dengan permintaanya.

"Sudah tentu anakku. Silakan.."

"Pak cik, di dalam dunia ni, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Si pak cik berkerut, terkejut agaknya dengan soalan anak kecil itu. Tetapi dia kemudiannya tersenyum, dan menjawab dengan penuh yakin.

"Sudah tentulah pemandu bas, wahai anakku. Kalau tiada pemandu bas seperti pak cik, sudah tentu kamu, Mak Cik Saodah Sulaiman Sireh, Ah Long Siau dan Rajagobal Singh tidak dapat hendak ke mana-mana. Tanpa pemandu bas seperti pak cik yang memandu bas dan siang malam tanpa henti, sudah tentu ramai yang terkandas tidak dapat berbuat apa-apa."

Pak cik pemandu bas tersenyum, berpuas hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu juga tersenyum mendengar jawapan pak cik pemandu bas itu.

Tiba di pusat bandar, selepas mengucapkan terima kasih kepada pak cik pemandu bas, kanak-kanak itu berjalan-jalan mencari 'mangsa' yang seterusnya. Dia ternampak seorang pegawai polis wanita yang sedang meronda. Dia lantas menuju ke arah pegawai polis itu untuk bertanyakan kepadanya.

"Puan, boleh saya bertanyakan sesuatu?"

"Oh sudah tentu. Adik sesat jalankah..?"

"Oh bukan. Saya ingin bertanya kepada puan, di dalam dunia ini, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Pegawai polis itu sedikit kaget dengan soalan itu, langsung tidak menyangka itulah soalan yang akan ditanya. Tetapi dia kemudiannya tersenyuum.

"Sudah tentulah pegawai polis adik. Kalau tiada pegawai polis macam kakak ni, sudah tentu kacau-bilau bandar ni. Sudah tentu akan ramai penjenayah dan kutu berahak berkeliaran membuat kekacauan. Kalau tidak ada pegawai polis macam kakak yang telus dan amanah dalam menjalankan tugas, pasti adik sekarang ni sentiasa hidup dalam ketakutan!"

Pegawai polis wanita itu tersenyum, yakin kanak-kanak itu pasti berpuas-hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis wanita tersebut.

Masih tidak berpuas-hati, kanak-kanak itu berjalan lagi. Dia mencari-cari kalau-kalau ada sesiapa yang tampaknya sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Tiba-tiba dia ternampak sebuah klinik di seberang jalan; 'Klinik Liza Salmoneli dan Surgeri.' Pasti Puan Doktor mempunyai jawapan yang memuaskan untuk aku. Doktor kan bijak lagi pandai!

Lantas setelah memandang kiri dan kanan, kemudian memandang kiri dan kanan sekali lagi, setelah yakin selamat untuk melintas, kanak-kanak itu berlari-lari anak (sesuai dengan saiz kakinya) untuk melintas jalan. Dia masuk ke dalam klinik dan mendaftarkan dirinya. Mujurlah kakak yang menjaga kaunter pendaftaran tidak mengesyaki apa-apa. Atau mungkin juga dia sedang sibuk berMukaBuku.

Setelah namanya dipanggil, dia masuk ke dalam bilik bernombor satu dan tertulis 'Dr. Salmiah Buang.' Puan Doktor tersenyum apabila melihat seorang kanak-kanak comel yang memasuki bilik rawatannya.

"Ya anakku. Bagaimana doktor boleh membantu anda..?"

"Doktor, saya datang ni bukan untuk mendapatkan rawatan. Tapi saya nak bertanyakan satu soalan. Bolehkah..?"

Puan Doktor menggaru tudungnya, kerana langsung tidak menyangka itu tujuan kanak-kanak itu ke kliniknya. Tetapi kemudian dia lantas tersenyum; terasa kejam pula sekiranya dia menolak permintaan kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Cuma jangan tanya doktor soalan matematik sudahlah. Dah lama doktor tak buat latihan tambah tolak, darab bahagi!"

Oh, jangan risau doktor. Semua kerja rumah matematik saya, telah saya siapkan. Begini doktor. Saya tertanya-tanya, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini..?"

Puan Doktor terkedu sebentar. Biar betul anak kecil ini. Dia cuba menyembunyikan perasaan terkejutnya dengan mengukir sekuntum senyuman sambil berkata:

"Oh itu mudah sahaja anakku. Takkanlah anak tidak tahu, doktorlah pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia ini. Tanpa profesion ini, sudah tentu ramai yang akan mati sakit kerana tidak dirawat dengan segera. Jika tidak kerana doktor yang bertungkus-lumus bekerja seperti saya ini, sudah pasti banyak ibu-ibu yang mati ketika bersalin, ramai yang sakit perut kerana cirit-birit yang tidak dirawati dan ramai yang tergaru sana sini kerana kudis yang dibiarkan merebak! Nah, bukankah doktor pekerjaan yang paling mulia..?"

Kanak-kanak itu hanya mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum. Puan Doktor tersenyum melihatkan kanak-kanak itu; sangkanya sudah pasti si anak kecil yakin dengan jawapannya itu.

"Terima kasih, doktor."

"Sama-sama anakku."

Kanak-kanak itu pergi meninggalkan klinik sambil menghisap lolipop yang diberikan oleh Puan Doktor. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya, walaupon sudah ditanyakan kepada pak cik pemandu bas, pegawai polis wanita dan Puan Doktor.

Arakian dia pon berjalan-jalan lagi, mencari-cari calon yang sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Sekiranya dia ternampak atau terserempak dengan mana-mana lelaki atau wanita yang tampaknya seperti bekerjaya, dia pasti akan berjumpa dengan mereka dan bertanyakan soalan yang sama setiap masa; pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia?

Setiap orang yang dijumpainya pasti akan memberikan jawapan yang hampir serupa; bahawanya pekerjaan merekalah yang paling mulia. Akan diberikan pelbagai alasan dan jawapan untuk menyokong kenyataan mereka itu. Dan semua daripada mereka yang memberikan jawapan tampak puas dan yakin dengan jawapan mereka itu. 

Tetapi kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya. Baik juruterbang yang dia terserempak sedang menikmati teh tarik di sebuah warung mamak atau tuan hakim yang arif lagi bijaksana, yang ditemuinya sedang membeli kad pra-bayar untuk menambah nilai telefon bimbitnya. Kalau begitu, aku kena jadi semuakah..? Sebab semuanya mulia..? Adoyai. 

Sehinggalah dia pulang ke sekolahnya semula dengan menaiki bas bernombor dua puluh lapan jua. Dia menceritakan apa yang ditemui dan didengarinya sepanjang pengembaraan mininya itu kepada salah seorang gurunya yang ditemui di kawasan perkarangan sekolah.

"Haha.. Patutlah kamu tidak berpuas hati. Jawapan yang mereka berikan semuanya salah. Kamu tahu apa pekerjaan yang paling mulia di dunia..?"

"Apa dia cikgu?"

"Kerjaya sebagai seorang gurulah! Tanpa seorang guru, tidak mungkin ada juruterbang, peguamcara dan peguambela, doktor gigi, jurutera petroleum dan semua semua itu! Tanpa ada orang seperti saya, yang ibaratnya lilin yang membakar diri demi menerangkan kawasan sekitarnya, tidak mungkin anak bangsa akan terdidik, menjadi orang-orang yang mulia..! Maka, pastilah guru itu yang lebih mulia, kerana berjaya melahirkan insan-insan yang mulia!"

Guru tersebut tersenyum puas sambil mengangkat tangan kanannya dan membuat gaya Otromen Daina sebagai tanda dia telah menjawab soalan anak didiknya itu dengan sebaik-baiknya. Kelihatan butir-butir peluh kecil terbentuk pada dahi kanak-kanak itu.

Walaupun jawapan gurunya itu seperti benar dan meyakinkan, namun kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati. Dia merasakan tiada lagi jawapan yang benar-benar menenangkan hati dan perasaannya. Dia lantas duduk termenung di gazebo berdekatan dengan padang sekolah, sedang merumuskan dan cuba untuk membuat kesimpulan daripada jawapan-jawapan yang diterimanya.

"Kenapa ni nak..? Pak cik nampak daripada tadi anak macam susah hati je..?"

Kanak-kanak itu tersentak daripada lamunannya. Pak Cik Mukhlis Ihsan, tukang kebun sekolah menegurnya. Kanak-kanak itu tersenyum; pertama kerana tidak sangka ada orang yang mengambi berat tentang dirinya dan kedua kerana dia memang suka melihat Pak Cik Mukhlis Ihsan - wajahnya sentiasa ceria dan putih bercahaya. 

"Takde apa pak cik. Saya cuma ada satu soalan yang sehingga kini saya masih belum ketemu jawapannya. Err, pak cik nak dengar?"

Pak Cik Mukhlis Ihsan tersenyum mesra mendengarkan permintaan anak kecil itu. Dia lantas duduk di sebelah kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Dan kalau pak cik boleh jawab, pak cik akan cuba jawab."

"Begini pak cik. Saya sudah bertanyakan soalan ini kepada begitu ramai orang, tapi jawapan mereka semuanya sama. Saya tanyakan kepada mereka, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini. Dan tiada sebab lain saya bertanyakan soalan itu melainkan kerana saya mahu bekerja dengan pekerjaan yang paling mulia di dunia ini apabila saya sudah dewasa kelak!"

"Jadi? Apa jawapan yang kamu terima?"

"Itulah. Semuanya pun mengatakan yang pekerjaan mereka yang paling mulia. Dan semuanya ada alasan dan hujah masing-masing yang boleh diterima. Maka kini saya tidak pasti lagi pak cik; sama ada saya patut menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, tukang masak atau seorang guru!"

"Hahaha.. Begitu. Hhhmm, kamu mahu mendengar jawapan pak cik pula..?"

"Pastilah! Tapi... Adakah pak cik akan mengatakan juga yang menjadi tukang kebun itu pekerjaan yang paling mulia..? Kerana tanpa tukang kebun macam pak cik, pastilah sekolah tidak terjaga dan ceria..?"

"Hahaha.. Tidak anakku. Itu bukan jawapan pak cik. Kamu betul-betul mahu tahu apakah itu pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia..? Malah di seluruh alam semesta adanya juga..?"

"Wah! Sudah tentu sudah tentu! Apakah itu pekerjaan yang paling mulia pak cik..?? Cepat cepat, tolong beritahu saya!"

"Pekerjaan yang paling mulia, anakku.. Adalah apa-apa pekerjaan yang dilakukan ikhlas dan ihsan keranaNya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan untuk berbangga-bangga. Dan bukan juga untuk mengejar dunia. Tetapi pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Pekerjaan yang dilakukan untuk mencari rezeki yang halal dan ada berkatnya.

Dan yang lebih utama, pekerjaan yang paling mulia itu adalah pekerjaan yang mendatangkan manfaat dan faedah bukan sahaja kepada diri si pekerja itu, tetapi juga kepada orang di sekitarnya. Dia bekerja bukan untuk dirinya, tetapi memberi khidmat setia kepada orang ramai tanpa dipinta. Tidaklah dia melalui sesuatu tempat itu melainkan dia meninggalkan mutiara dan permata yang berharga jua."

"... Jadi.. Pekerjaan seperti pak cik, menjadi tukang kebun pun boleh jadi pekerjaan yang paling mulia..?

"Hahaha.. Pekerjaan seperti pak cik ini tidak ada apa-apa anakku. Pak cik hanyalah seorang insan hina yang biasa, yang tinggal di duniaNya mengharapkan belas ihsanNya. Pak cik hanyalah seorang manusia dina, yang setiap hari bergantung harap padaNya..."

Pak Cik Mukhlis Ihsan menghadiahkan senyuman mesra kasih-sayang kepada kanak-kanak itu, bingkas bangun dan menyambung melakukan kerja-kerjanya. Kanak-kanak itu terdiam dan berfikir sejenak, menghadam kata-kata Pak Cik Mukhlis Ihsan.

Dia kemudiannya lantas bangun, terukir senyuman puas pada bibirnya. Matanya bersinar-sinar terang, bersih dan penuh keyakinan.

Ya, aku sudah tahu apa yang aku nak jadi nanti!

-gabbana-

Salam tahun baru 1433H buat semua pembaca APG. Umur kita sudah meningkat, umur dunia juga sudah semakin tua. Kita tidak punya banyak masa lagi untuk mengejar keredhaaNya yang hakiki, tahu...??

12 Caci Maki Puji Muji:

Inspector Saahab 27/11/2011, 01:28  

terima kasih. saling mngingati lah kita. berpesan pesan ke arah kebenaran, berpesan pesan ke arah kesabaran

A2 27/11/2011, 14:26  

(TTT_TTT) tiba2 rase sedih.. x tau nape. *xkena dengan tine cerita ke*
huhu. ape2 pon selamat tahun baru hijrah :)

A2 27/11/2011, 14:26  

*tone

kurma 27/11/2011, 17:06  

aiwah..terbaik!!teruskan usaha..

ashabuljihad 28/11/2011, 01:45  

cumey!!

Nuruddin Azri 28/11/2011, 08:21  
This comment has been removed by the author.
Primadona 28/11/2011, 10:25  

Terima kasih untuk entri yang awesome Incek Gabbana.Entri yang membuatkan saya berfikir.Masih cuba untuk menghadam maksud kata-kata pakcik tukang kebun.Terbaiklah!

Salam maal hijrah buat admin blog.Moga iman kita bertambah selari dengan usia kita.May Allah bless you =)

Anonymous 28/11/2011, 13:00  

Masya-Allah very inspiring post! Keep up the good work. Please allow me to quote some of your sentences for my post in http://herasyahirah.wordpress.com/2011/11/28/transition-of-life/
Thank you.

mutiara bd 28/11/2011, 16:24  

pandai betul reka cerita yang bermanfaat!
Segala puji bagi Allah.

aku bkn dia 29/11/2011, 09:25  

ku-doakan-selamat(dunia akhirat)-ke-atas-mu inche ghabba-nantoka,

wahh~!menariknya kisah berpengajaran ini!
sungguh ingin sekali aku bekerja sebagai pencereka rama yang ikhlas, mukhlis, soleh dan musleh.

sudah lama daku enggak ke mari.waraskah tuan belog?
sudahkan tuan melihat cadangan saya di post tuan yang lampau?
udah dipertimbangkan?bukan dengan neraca ya, dengan akal dong!

Inche gabbana 29/11/2011, 11:54  

nuruddin: jzkk sbb sudi melinkkan belog ini pd belog anda, walaupon tanpa dipinta. Semoga Allah merahmati anda dan memberi ganjaran yg sebaik-baiknya kepada anda. ;)

iAllah saya akan pertimbangkan tawaran/cadangan anda itu. Ada sebabnya kenapa saya tidak mudah untuk melinkkan belog sesiapa sahaja di dalam belog ini.

apa2 pon keputusannya nanti, sama2 kita doakan itu yg terbaik ntok dakwah dan tarbiyyah, biidznillah. ^^

Jzkk sekali lagi.

Inche gabbana 29/11/2011, 11:57  

aku bkn dia: sungguh anda ini satu karakter yg sgt misteri... ^^"

cadangan yg manakah? yg nak reply sume komen tu ke..?

saya rasa mungkin anda baharu sahaja mengikuti belog ini kan..? jika tidak sudah pastilah anda sudah dapat mengesan perubahan atau trend saya menguruskan belog ini.

suatu ketika dahulu, mmg itu yg sy lakukan; mereply kepada hampir setiap komen di belog ini.

tp setelah belog ini semakin berkembang dan pelbagai perkara yg perlu saya pertimbangkan, saya telah mengambil keputusan untuk mengurangkan interaksi bersama pembaca melalui ruangan komen, kerana saya percaya dgn cara itu lebih banyak mudharat yg dapat dielakkan.

Melainkan komen2 yg saya sendiri rasakan perlu untuk direply (spt komen anda ini), baharulah saya akan mereplynya.

Saya mungkin silap, allahu a'lam. Tapi doakan inilah yg terbaik untuk islam dan dakwah, biidznillah. ;)

moga Allah terus pandu kita untuk berada atas jalanNya ini..

wassalaam y'all.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP