30 November 2010

Inche gabbana Yang Suka Bercereka

Salaam semua. Apa khabar anda di sana? Saya harap semua-semuanya baik-baik sahaja. =)

Ok sedikit skema di situ.

Hari ini saya agak sibuk sebenarnya. Dari pagi hinggalah ke pukul 11.30 tadi, la ni barulah ada masa untuk berehat sebentar. Dan macam-macam karenah manusia yang saya kena hadapi. Sabar ajelah...

Anyway, bulan ni saya berjaya pecah rekod. Buat pertama kalinya saya tulis post lebih daripada tiga puluh kali. Ini bermakna, average saya tulis post sekali sehari. Wah! Terlalu rajin di situ. Sudah tiada kerja lain yang lebih berfaedahkah untuk dibuat..?? ^^"

Anyway lagi sekali, sebenarnya, saya ada suatu rahsia. Dan rahsia ini tidak akan jadi suatu rahsia lagilah setelah saya memberitahu anda semua. Tetapi memandangkan anda semua adalah pembaca yang cool dan bergaya, maka saya tanpa segan silunya akan memecahkan rahsia tersebut kepada anda.

Begini.

Saya sebenarnya amat suka bercerita dan bercereka... Wah! Bagaimana..?? Suatu rahsia yang amat besar bukan..?? Kalah rahsia-rahsia yang dibocorkan oleh WikiLeaks seperti yang saya tulis semalam. Wahahahaha.. ;D

Ok sila jangan ambil batu lesung atau tukul besi untuk dibaling kepada saya. Hehe.. Sabar sabar. Saya ada penjelasannya. Sebelum ini anda mungkin sudah dapat meneka yang saya amat gemar mengkisahkan sesuatu peristiwa atau perkara melalui teknik penceritaan. Tetapi itu hanyalah sangkaan anda sahaja. Kini saya sudah pon mengkompemkannya untuk anda.. Hehe..

Ya betul dan tepat sekali di situ. Saya memang suka bercerita. Sama ada secara lisan atau penulisan. Kalau saya bersama rakan-rakan saya, dan ada gossip-gossip terbaru yang perlu diceritakan kepada mereka, maka saya akan bercerita dengan penuh bersemangat, siap dengan gaya-gayanya sekali. Dan tidak jarang air liur tersembur keluar dengan gembiranya. Wahahaha..

Mungkin beginilah keadaannya apabila saya mula bercerita. Hihihi.. [Kredit Gambar]

Selalunya saya akan mendapat kepuasan apabila saya berjaya menceritakan sesuatu peristiwa dan kejadian dengan yakin dan jelas. Saya percaya rakan-rakan dan odiens saya turut berpuas hati dengan gaya dan jalan penceritaan saya. *clap clap clap* Dan setiap kali saya diberi peluang untuk berceramah pon, saya akan banyak bercerita bagi mengelakkan odiens saya melancong ke Afrika atau India. 

Dan dalam penulisan saya sendiri, saya suka untuk menyelitkan cerita-ceritu legenda urban atau Hikayat Karut Marutwangsa untuk menambah perisa. Yalah, sedapkah makan tomyam tanpa rasa pedas dan masam atau kari tanpa garam? Sila jawab. Sebab itu di dalam segmen tazkiyyah khususnya, saya sedaya upaya mencari idea untuk menggarap mesej yang cuba hendak saya sampaikan melalui teknik penceritaan. Kerana saya yakin, dengan cara itu, mesej yang hendak saya semaikan dapat diterima dengan lebih baik.

Jika anda perasan, banyak juga Hadis Nabi SAW yang menggunakan teknik penceritaan bagi menyampaikan mesej. Contohnya, hadith Ghulam yang feymes itu. Atau pon cerita tiga orang pemuda yang terperangkap di dalam gua. Oh saya tidaklah mahu bercerita dengan panjang lebar kandungan hadis-hadis yang dimaksudkan. Point saya, kaadng-kadang mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan apabila disampaikan dalam bentuk penceritaan.

Tetapi tengok tempat jugalah. Apabila anda punya masa dan kumpulan odiens yang tertentu, maka teknik penceritaan lebih menarik dan rancak untuk digunapakai. Tetapi sekiranya anda dalam keadaan yang terdesak, urgensi, di mana mesej perlu disampaikan dengan segera, takkanlah anda nak bercerita pulak kan..?? Contohnya, apabila rakan anda mengalami kemalangan dan anda perlu memaklumkan hal tersebut kepada keluarganya. Takkanlah anda nak berkata begini, 

"Pak Cik, tadi kami menaiki kereta Satria berwarna merah keperangan. Kemudian kami melalui suatu kawasan yang penuh dengan rimbunan daun hijau luas mata memandang, sambil lembu-lembu bertompok hitam sedang makan rumput dengan tenang.."

Gedebuk. Jangan salahkan saya sekiranya ayah kawan anda itu memberi anda pelangkung secara percuma. Hihihi..

Hakikatnya, memang manusia suka akan penceritaan. Mereka lebih mudah menyerap sesuatu mesej apabila ia disampaikan dalam bentuk penceritaan. Tetapi janganlah anda lupa pula untuk menerangkan apakah mesejnya di akhir cerita anda. Kalau tidak, syok dengar cerita sahajalah. Pengajarannya? Buat biskut coklat sahajalah.

Saya yakin kalau proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah diserapkan dengan lebih banyak unsur penceritaan dalam semua subjek, pasti para pelajar akan lebih berminat untuk belajar. Saya pasti subjek seperti Sejarah dan Pendidikan Islam akan menjadi lebih rancak dan bergaya. Tetapi ada hadnyalah. Kalau asyik nak bercerita, bagaimana mahu habiskan silibusnya? Peluh besar. Dan cerita yang dipilih mestilah benar-benar unik, menarik dan berbeza. Janganlah dalam subjek Sejarah cerita kancil dan buaya yang dipilih, dalam subjek Geografi pon kancil dan buaya juga watak utamanya! Hampagas sungguh.

Ok, cukup setakat itu. Saya kena sambung bekerja semula.

Tetapi sebelum itu, saya anda hadiah istimewa untuk anda semua. Sebenarnya, saya memang ada rahsia dan sekarang saya akan beritahu anda dengan penuh sopan santun dan berbudi bahasa.

Jeng jeng jeng..

Dahulu ketika darjah enam, saya pernah mewakili negeri Selangor ke Pertandingan Musabaqah al-Quran Peringkat Kebangsaan dalam kategori bercerita kisah-kisah al-Quran. Ketika itu ia dianjurkan di negeri Perlis Indera Kayangan. Walaupun saya tidak berjaya memenangi tempat tiga teratas, namun saya amat berpuas hati dan bersyukur kerana diberi peluang sekali seumur hidup itu.

Beginilah lebih kurang ketika saya masuk pertandingan bercerita dolu-dolu. Tapi saya pastinya lebih bergaya! Wahahaha.. ;D [Kredit Gambar]

Kali ini betul-betul rahsia bukan..? Saya tidak mungkin membohongi anda. =)

Mungkin lain kalilah saya akan bercerita pula tentang kisah itu. Terkenang memori lama pula. Senyum gembira. 

Selepas pertandingan itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Sejak itu, saya tidak boleh berhenti daripada bercerita dan bercereka..! Wahahaha.. ;)

-gabbana-

29 November 2010

Cuak Dia!

Mungkin ramai pon yang sudah tahu tentang berita tergempar, panas dan nenek segala sensasi ini. Kepada yang tidak atau kurang tahu, teruskan membaca.

Hari ini WikiLeaks telah membocorkan hampir 250,000 dokumen-dokumen super rahsia kerajaan Amerika Syarikat dan Sekutu-kutunya. WikiLeaks, yang ditubuhkan oleh Julian Assange sejak 4 tahun yang lalu berfungsi untuk mendedahkan dokumen-dokumen rahsia dan rahsia-rahsia kerajaan kepada dunia. Apakah tujuan badan bukan berkeuntungan itu berbuat demikian? Allahu a'lam. Mungkin untuk memalukan kerajaan-kerajaan yang terlibat. Atau mungkin juga ia berniat murni untuk memberi keinsapan tahap Super Saiya kepada kerajaan-kerajaan tersebut, supaya ia menjadi lebih efisien dan berintegriti di masa hadapan.

[Kredit Gambar]

Anyway, 250,000 dokumen yang dibocorkan oleh WikiLeaks itu mendedahkan pelbagai jenis isu dan masalah, korupsi dan pecah amanah, yang boleh membuatkan mata para pemimpin yang terlibat terjojol keluar atau tercirit dalam seluar. Sumpah tak tipu. Pendedahan yang dibuat memang pendedahan kamikaze berani mati. Sebenarnya saya masih hairan mengapa pengasas WikiLeaks sehingga ke hari ini masih belum lagi dibunuh oleh pembunuh upahan kerajaan. 

Anda tak percaya yang pendedahan WikiLeaks bakal menggemparkan dunia dan seisinya..? 

Jom kita sama-sama kaji dan perhatikan, apakah antara pendedahan yang yang telah dibuat oleh WikiLeaks:

  • Pemimpin-pemimpin negara Arab menggesa AS supaya menyerang Iran kerana Iran boleh mengancam kestabilan rantau Asia Tengah (Well, not so much of a surprise eh..?). Persetan.
  • Ketakutan yang maha dahsyat oleh kerajaan AS dan Britain atas ketidakstabilan kerajaan Pakistan. Mereka hampir sahaja terkencing dalam seluar atas prospek yang para pegawai kerajaan akan menjual bahan-bahan radioaktif nuklear yang dimiliki Pakistan kepada para pengganas sekiranya kerajaan Pakistan tumbang.
  • Anda masih ingat isu Google menarik diri daripada China? Anda tahu punca sebenarnya? Sungguh bodoh. Seorang pegawai tinggi China menggoogle namanya sendiri di enjin pencari tersebut, dan kemudian menjumpai beberapa website yang mencaci dan menghamun peribadinya. Maka dia mengarahkan agar laman web Google diceroboh (Baca: Hack).
  • Hubungan terlalu rapat antara Vladimir Putin, Perdana Menteri Russia dengan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang menyebabkan AS menjadi super sangsi.
  • Kekorupan kerajaan Afghanistan yang mencapai tahap Raksasa Syaitan Pikor. Antara tuduhan panas yang dibuat adalah Naib Presiden Afghanistan, Zia Massoud membawa US$52 juta TUNAI ketika dia ditahan di Emiriyah Arab Bersatu (Apa ke pandai sangat la bawak 52 juta tunai..)
  • Kerajaan Arab Saudi terus disyaki sebagai pembiaya utama kepada operasi para pengganas.
  • Kerajaan AS mengarahkan agar diplomat dan pegawainya menjadi perisik bagi menyiasat latar belakang para petugas PBB, termasuklah Ban Ki-Moon, setiausaha Agung PBB.
Dan antara yang dimuatkan dalam dokumen-dokumen yang dibocorkan itu termasuklah caci maki para petugas kedutaan AS terhadap negara tuan rumah mereka.

Ini baru sikit. Just tip of the iceberg, bak kata peribahasa omputih. Laporan tambahan boleh dibaca di sini.

Jadi bagaimana..? Hahaha.. Sungguh memanaskan punggung bukan..? Punggung anda mungkin tidak panaslah. Tetapi cuba anda bayangkan anda berada di tempat Raja Abdullah, pemimpin tertinggi Arab Saudi atau di tempat Presiden Obama sendiri, apa perasaan anda..? Silap-silap cair terus punggung anda..! Wahaha..

Anda rasa-rasalah, apa perasaan Raja Abdullah di saat ini? Adakah dia akan berdoa memohon pertolongan daripada Allah? [Kredit Gambar]

Dan apa reaksi AS terhadap pembocoran besar-besaran ini..? Sebelum maklumat rahsia tersebut dibocorkan pon AS sudah menggelabah puyuh. Terkincit-kincit mereka ke sana ke mari untuk meminimakan kerosakan yang mungkin terjadi akibat pendedahan berani mati itu. Manakan tidak. AS bakal malu besar sekiranya maklumat penuh 250,000 dokumen rahsia tersebut boleh diakses secara bebas oleh sesiapa sahaja mana-mana di dunia ini. Hubungan diplomatik antara AS dan negara-negara yang terlibat akan terjejas teruk. Negara-negara dunia tidak akan lagi percaya dan yakin dengan keseriusan AS dalam menyimpan komunikasi rahsia dua hala antara AS dan negara mereka. Hubungan perdagangan juga dijangka turut terjejas teruk, menyebabkan AS boleh kerugian berbilion AS dolar. Pendek kata, AS akan dimasak selayu-layunya dengan pendedahan ini.

Hadoii pening la kalau cenggini.. Sumpah aku insap! [Kredit Gambar]

Dilaporkan, Hillary Clinton, selaku Setiausaha Luar Negara AS sudah pun terkentut-kentut mengeluarkan arahan agar apa sahaja mesti dilakukan bagi mengelakkan AS malu besar. Damage control sedang dilaksanakan dengan gigihnya oleh kerajaan AS. Diplomat AS di setiap negara yang terlibat sudah pun diarahkan untuk memberi penjelasan kepada kerajaan negara yang terlibat. Britain sudah pun mengambil langkah awal, menulis surat amaran kepada pengasas WikiLeaks tentang tindakan yang mungkin diambil terhadap mereka kerana dokumen-dokumen rahsia tersebut dimiliki secara tidak sah.

Julian Assange, pengasas WikiLeaks. Kagum bagaimana dia masih hidup! [Kredit Gambar]

Senang kata, semua negara yang terlibat sedang menahan nafas mereka daripada tercirit, bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan. Dan yang lebih menarik, kita bakal melihat pergaduhan anjing dan kucing antara negara-negara ini dengan AS, kerana tidak cukup efisien dan bertanggungjawab melindungi hak cipta terpelihara rahsia-rahsia mereka. Upacara tuding-menuding turut dijangka akan merancakkan lagi pentas politik dunia. Tak sabar rasanya nak menjadi penonton!

Moral daripada cerita ini: Dah buat salah pandai-pandailah kambus dan sorok! Kan dah cuak..?? Wahahaha..

-gabbana-

Maaf sekiranya banyak perkataan yang kurang sopan digunakan di dalam post ini. I just couldn't believe how explicit the infos can be. Geram juga dengan pendedahan bahawa negara-negara Arab menyarankan agar AS menyerang Iran. Tak ke @#&*)..??

Menjadi Seorang Perfectionist Yang Bergaya Memang Meletihkan

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menghapdet belog ini. Sepanjang hujung minggu yang lepas saya ada konferens yang perlu saya hadiri. Maka tiada masa-lah untuk berbeloging bagai. Tambahan pula, saya diziarahi oleh Inche Demam Kus-kus yang datang tidak memberi salam. Sayugia saya kurang bermaya dan tidak bersemangat untuk menulis.

Alhamdulillah, hari ini saya berasa lebih sihat dan cergas. Maka pada hari ini saya gagahkan diri ke tempat kerja, walaupun pada mulanya ada bisikan syaitonirojim untuk ke klinik dan meminta MC pada hari ini. Wahahaha.. ^^" Oh mujurlah saya seorang pekerja yang jujur dan bersopan santun. Hihihi.. 

Pagi tadi, setibanya saya ke opis, memandangkan saya datang awal seperti biasa, maka banyaklah masa terluang yang perlu dihabiskan jika tidak menjadi sia-sialah ia. Saya lantas mengambil keputusan untuk menyambung projek mega yang saya mulakan malam tadi, di mana jika anda perasan, ada tab baru di sebelah atas belog ini di bawah header, tertulis 'Himpunan Cerita Pendek.' Di sini saya mengumpulkan karya-karya mengarut saya yang telah saya hasilkan sejak dahulu sehingga kini, supaya mudah untuk anda semua membacanya. Dan of koz, mencaci maki memuji puji! Wahahaha.. 

Namun begitu, kesabaran saya sememangnya diuji sehingga tahap Suria Perkasa Hitam. Hari ini, sudah tiga kali bekalan elektrik di opis ini terputus, atau Keluar Hitam (Baca: Blackout). Dan setiap tiga kali itu, saya gagal untuk mengesave tulisan saya yang paling baru, menyebabkan saya terpaksa menulis kembali apa-apa sahaja maklumat yang telah hilang. Hampagas penyapu lidi. Nasib baiklah Inche Belogsepot ini mempunyai kemudahan 'Save Now.' Tidak perlulah saya menulis segala-galanya daripada awal. Menangis syukur.

Selepas kali ketiga elektrik keluar hitam, setiap kali saya berjaya menghabiskan satu-satu perkataan, saya akan terus menekan butang 'Save Now' itu kerana tidak mahu nasi menjadi bubur ayam McD buat kali keempat. Hohoho.. Leceh, tetapi lebih baik kentut puas-puas sebelum solat. Eh. Mujurlah elektrik tidak keluar hitam buat kali keempat. Jika tidak saya pasti saya sudah terjun daripada tingkat keduapuluhdua ini.

Kurang lebih beginilah keadaan saya ketika berbelog pada pagi ini. Nasib baik tak gol! [Kredit Gambar]

Tetapi walaupun kelihatannya masalah sudah selesai, kesabaran saya sekali lagi diuji. Kali ini lebih hebat, pada tahap Raksasa Majin-Buu Merah Jambu pula. Kali ini Inche Belogsepot pula yang buat hal. Setiap kali saya sangka saya sudah berjaya menyiapkan projek saya itu dan kemudian menekan butang 'Preview' untuk melihat hasilnya, pasti saya akan kechiwa. Mengapa? Kerana banyak benda yang perlu dibetulkan dan dibaiki. Terlalu banyak. Font tak samalah. Jarak antara perenggan tunggang-terbalik. Kaler font yang tidak sama. Errgghh. Peluh besar.

Saya amat tidak faham dengan Inche Belogsepot ini. Apabila kita menulis, semuanya nampak sempurna dan baik-baik sahaja. Tetapi sebaik sahaja kita publish post itu, semuanya jadi neraka.

Dan menjadi seorang makhluk yang dijangkiti dengan penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) tahap tidak merbahaya seperti di dalam post ini, maka kehidupan saya menjadi sangat terseksa dengan masalah itu. Yalah, saya mahu pastikan semuanya dalam keadaan yang sempurna. Hatta satu noktah tertinggal sekali pun, saya tidak akan berasa senang hati. Samalah dengan Puan Sue Anna Joe, yang pernah mengomel masalah yang sama. Sudah saya katakan, anda tidak keseorangan di dalam dunia ini. Wahahaha.. ^^"

Lebih empat ke lima kali saya membetul dan membaiki projek saya itu. Sehingga saya menjadi benar-benar letih. Dan fedap. Sehingga akhirnya, saya tidak larat lagi dan hasilnya seperti yang anda dapat lihat sekarang ini (Sila klik tab 'Himpunan Cerita Pendek' untuk melihat hasilnya). Oh sungguh meletihkan. 

Sebab itu kadang-kadang jika anda perasan, di dalam post-post saya sebelum ini, eh, kenapa tajuk post ini berubah? Eh kenapa tadi ada perenggan ini dan sekarang sudah tiada? Ajaib, macam Chipsmore! Eh mengapa kaler font ini sudah bertukar? Walaupun saya separa yakin yang anda tidak pernah perasan, tetapi itulah saya. Walaupun saya dah publish satu-satu post itu, sekiranya terdapat mana-mana bahagian yang tidak memuaskan hati, saya akan edit semula post itu sehinggalah saya berpuas hati. Saya tidak hairan yang post ini juga akan diedit semula selepas dipublishkan. Adeh.

Kalau ikutkan hati, saya juga bercadang untuk melawat semula post-post yang terdahulu dan memberikan mereka semua sentuhan baru, agar mereka semua akan kelihatan lebih kemas, sopan dan sudah tentunya bergaya! Tetapi oleh kerana saya ikutkan kepala hotak dan kepala hotak telah memutuskan bahawa tindakan sebegitu akan memenatkan saya yang amat, maka saya masih belum lagi berjaya melaksanakan hasrat murni itu.

Oh penyakit saya tidaklah seteruk ini. Sumpah. [Kredit Gambar]

Kadang-kadang saya berasa amat cemburu melihat Inche-inche dan Puan-puan beloger yang lain, yang tampaknya tidak kisah dengan penampilan tulisan mereka. Tidak kisah sekiranya selepas titik noktah, huruf seterusnya tidak ada ruang dengan titik noktah itu. Tidak kisah selepas tanda koma, ada ruang lagi dengan huruf seterusnya. Tidak kisah sama ada permulaan ayat huruf besar atau kecil. Tidak kisah juga sekiranya antara satu perenggan dan perenggan yang lain tiada jarak sebesar et lis satu ruang. 

Persoalannya, mengapa saya kisah..?? Saya teramatlah kisah...!! Aaaaahhhhh....! Ok. Tidak perlu seover itu. Memikirkannya semula, saya tidak kisah yang saya kisah. Malah gembira kerana memiliki sifat ketelitian itu. Mengapa? Kerana ia memastikan karya-karya yang saya hasilkan bermutu dan memuaskan di mata saya. Tidak pula saya maksudkan karya beloger lain tidak mermutu. Bukan, bukan begitu. Sila jangan salah sangka. 

Maksud saya, untuk karya yang dihasilkan oleh diri saya sendiri, saya mempunyai tanda aras (Baca: Benchmark) yang tinggi bagi menjamin kepuasan diri sendiri. =) Dan sehingga kini, saya gembira dengan tanda aras yang telah saya tetapkan! Woohoo..! ;D Alhamdulillah..

Apa-apa pun, saya masih seorang makhluk yang bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang ada. ;) Noktah.

-gabbana-

26 November 2010

Sepatu Hitam Itu Episod Akhir

Maaf kepada para pembaca setia siri ini atas keterlewatan menyiapkan episod empat dan akhir ini. Maaf jika episod kali ini tidak berjaya membuatkan anda teruja. Pada mulanya saya tidak bercadang untuk menghabiskan siri ini di sini, tetapi saya benar-benar kehabisan idea..! Semoga anda semua mendapat manfaat daripadanya, biidznillah... Selamat membaca! ;)

***

Episod kali ini saya didekasikan khas kepada para pembaca tegar belog ini sejak dahulu lagi, yang terus setia memberikan sokongan dan galakan kepada saya untuk terus menulis. Insan-insan seperti Cikgu Imanshah, N, SN, MM, Aiman, Inche Hamdan Jean Paul Glitter (o_O), Ghuraba', Buruh Kasar dan ramai lagi, andalah yang terus memberikan semangat kepada saya untuk terus menulis. Tidak lupa juga kepada silent readers di luar sana! Terima kasih atas segala sokongan dan galakan. Cukup bermakna buat saya. Anda semua memang cool bergaya..! ;D

***

Para penumpang yang dijadualkan ke Delhi pada hari itu berasa hampa dengan pengumuman yang baru sahaja dibuat. Kebanyakan mereka kelihatan sugul. Merungut. Tidak kurang juga yang marah-marah dan menyalurkan kemarahan mereka itu kepada para petugas Ekspres Samjhauta. 

Qureshi hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya melihatkan ragam dan karenah manusia yang pelbagai. Mujurlah tiket aku sehari awal. Sekurang-kurangnya aku masih boleh menaiki kapal terbang sekiranya berlaku apa-apa. Fikir Qureshi. 

Qureshi mundar-mandir, mencari tempat duduk. Hampir semuanya penuh. Dia pergi ke kedai runcit di dalam stesen dan membeli sebotol air mineral dan sepaket kacang goreng. Dia mundar-mandir lagi, mencari tempat yang kosong untuk diduduki. Qureshi boleh sahaja menunggu di restoran-restoran mewah berdekatan dengan stesen, atau pun menyewa sebuah bilik di hotel Avari, hotel 5 bintang berdekatan dengan stesen keretapi itu. Namun Qureshi adalah Qureshi. Dia tidak akan membazirkan wangnya sewenang-wenangnya. Bukan kedekut, tetapi berpada-pada. Tambahan pula, dia lebih selesa menunggu di tempat-tempat awam sebegitu, di mana dia boleh memerhatikan manusia di sekelilingnya.

Hobi Qureshi sejak dahulu lagi.

Qureshi akhirnya menemukan sebuah bangku kosong agak jauh daripada platform Ekpres Samjhauta. Dia tersenyum. Alhamdulillah. Bangku itu agak terasing daripada bangku-bangku yang lain dan agak jauh tersorok. Sempurna! 

Qureshi bingkas duduk, meletakkan beg pakaiannya di sebelahnya. Dia kemudian mengeluarkan sesuatu daripada beg galasnya. Senaskhah al-Quran. Hari ini dia masih belum membaca sepatah pun ayat-ayat suci al-Quran. Hatinya tidak akan senang dan tenang selagi lidah dan bibirnya tidak dibasahkan dengan alunan ayat-ayat suci itu. Setiap kali ada masa yang kosong, pasti Qureshi akan penuhkan dengan membaca 'mesej pesanan ringkas' daripada Allah itu.

Apabila Qureshi membaca al-Quran, dirinya seperti berada di dunia yang berbeza. Hati dan jiwanya benar-benar khusyuk, menghayati setiap butir permata yang keluar daripada mulutnya. Entah mengapa, dia seolah-olah khayal dalam dunia al-Qurannya itu. Dia boleh menghabiskan berjam-jam dengan hanya menghayati dan cuba memahami setiap huruf dan perkataan yang terkandung di dalam kitab agung itu.

[Kredit Gambar]

Saat itu, Qureshi sedang membaca surah al-Hujuraat.. Dia baru sahaja menghabiskan ayat yang ketiga belas:

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Khabir (Maha Mengenal).

Ah begitu indah susunan kata-kata Allah ini. Begitu mengasyikkan..!

"Qo la til a'rabu..."

Qureshi memberhentikan bacaannya. Dia dapat merasakan ada sesusuk tubuh kecil sedang mendekati dirinya. Dia dapat melihat kaki anak kecil itu. Kurus keding. Tidak beralas kakinya. Lantas Qureshi meletakkan al-Qurannya, dan perlahan-lahan mengangkat kepalanya dan memandang ke arah makhluk yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu.

Budak kecil itu kelihatan sedikit pucat. Mukanya seperti sedikit kaget, tidak pasti apa yang patut dilakukannya atau apa yang akan berlaku pada dirinya. Qureshi menghadiahkan sekuntum senyuman manis untuk anak kecil itu, kerana dia tahu si anak kecil sedang gemuruh.

"Hām̐? Ya?"

Qureshi memulakan bicara. Budak kecil itu kelihatannya seperti hendak menjawab pertanyaan Qureshi, tetapi terlalu gementar sehinggakan tiada apa yang keluar daripada mulutnya.

Qureshi tersenyum lagi. Menanti dengan penuh sabar. Dia sememangnya amat suka akan kanak-kanak. Terutamanya kanak-kanak miskin yang hidup dalam serba kekurangan. Hatinya amat mudah tersentuh apabila melihatkan anak-anak kecil yang di usia muda terpaksa mengharungi jerih payah dek kemelaratan hidup mereka. Seperti anak kecil yang sedang berdiri di hadapannya itu. Tetapi itulah kehidupan, getus Qureshi sekali-sekala bagi menyenangkan hatinya yang duka. Ada yang bernasib baik, maka hidupnya senang dan tidak perlu bersusah. Ada pula yang kurang bernasib baik, maka mereka terpaksa berkorban lebih untuk meneruskan kehidupan. Tetapi susah tidak bermakna duka, senang tidak semestinya bahagia. 

"Encik nak kilatkan sepatu...?" 

Akhirnya anak kecil itu berkata-kata.

Qureshi hampir sahaja tertawa mendengarkan pertanyaan anak kecil itu. Kerana dia tahu bukan itu tujuan utama anak kecil itu datang mendekatinya. Tetapi Qureshi tidak sampai hati hendak memperlekehkan anak kecil yang kelihatannya amat miskin itu. Lantas dia menggangguk laju sambil tersenyum ikhlas, menandakan dia setuju dengan tawaran anak kecil itu. 

Jika diikutkan hati dan prinsip hidupnya, dia pasti menolak. Kerana dia amat bencikan pekerjaan seperti itu. Bukan kerana pekerjaan itu semata-mata, tetapi dia tidak sanggup melihatkan si pengilat kasut diperlakukan seperti hamba dan pada masa yang sama, si pelanggan dilayan seperti raja, tuan yang begitu mulia. Sedangkan manusia semua sama sahaja di sisi Allah Ta'ala. Yang membezakan mereka hanyalah taqwa dan cinta mereka kepada Allah Yang Esa. Namun kerana kasihankan anak kecil itu dan dengan niat untuk membantu, Qureshi terima juga tawaran mengilat kasut itu.

Anak kecil itu seolah-olah tidak percaya dengan persetujuan yang diberikan oleh Qureshi. Kerana dia kelihatannya agak kelam kabut meletakkan kotak kayu yang menyimpan perlatan mengilatnya di atas lantai, membuat persediaan untuk mengilat kasut Qureshi.

Qureshi hanya membiarkan sahaja anak kecil itu beraksi. Ini pentasnya, biarkan dia bermain.

Qureshi kagum melihatkan kecekapan anak kecil itu melaksanakan tugasnya. Begitu pantas dan cermat. Pertamanya si anak kecil mengeluarkan dahulu alat-alat mengilatnya daripada kotak kayu dan disusun rapinya peralatan tersebut di atas lantai. Kemudian si anak kecil menterbalikkan kotak kayu itu, dan meletakkannya dekat dengan kaki Qureshi. Lantas dia meminta agar Qureshi meletakkan kakinya di atas kotak kayu.

Qureshi menurut sahaja dengan akur. Dia seolah-olah terpukau dengan kecekapan kanak-kanak itu bekerja. Sebelum anak kecil itu memulakan kerja-kerja mengilatnya, dia membelek-belek dahulu kasut Qureshi, bagi mengenal pasti jenis kulit kasut agar dapat memberikan kilatan yang terbaik. 

"Vāha..! Ini sepatu mahal ni. Kualitinya tinggi! Err.. Tods? Eh sebentar. Ini, HUGO BOSS! Betul kan..??"

Mata si anak kecil bersinar-sinar. Dia betul-betul teruja dengan sepasang kasut kulit di hadapannya itu. Sejak dia bekerja menjadi pengilat kasut, sudah bermacam-macam kasut yang pernah dijumpainya. Dan stoking. Amat jarang sekali dia berpeluang mengilatkan kasut yang berkualiti seperti ini. 

Qureshi tertawa kecil sambil mengiyakan jawapan si anak kecil. Ada sedikit perasaan kagum pada dirinya. Si anak kecil tersenyum puas. Qureshi mengambil peluang ini untuk mengenali kanak-kanak yang sedang memegang kasutnya itu dengan lebih mendalam.

"Tepat. Sungguh cerdik. Sudah lama kamu mengilat sepatu..?"

Si anak kecil sudah mula menjalankan tugas-tugas mengilatnya. Begitu khusyuk. Dia memulakan proses mengilatnya dengan kasut sebelah kanan dahulu. Kasut itu dilap dengan begitu cermat menggunakan sehelai kain kering.

"Emmm... Baru lagi. Enam tujuh bulan lebih kurang."

"Oohh."

Qureshi membiarkan si anak kecil mendapatkan rentaknya mengilat kasut sebelum bertanya lagi.

"Err. Banyak yang kamu dapat dengan mengilat sepatu?"

"Alhamdulillah. Berapa-berapa pun saya dapat, itu rezeki daripada Allah."

Si anak kecil terus menjalankan tugasnya dengan begitu teliti. Qureshi amat kagum dengan jawapan kanak-kanak itu. Mujurlah si anak kecil begitu menumpukan perhatiannya terhadap kasut Qureshi, jika tidak sudah pasti dia akan perasan yang senyuman Qureshi hampir mencecah telinga.

"Saya nak tanya sikit boleh..?"

"Silakan." 

Si anak kecil menjawab datar, seolah-olah sudah boleh mengagak apakah soalan akan ditanyakan kepadanya.

"Mengapa kamu bekerja? Nak cari pengalaman? Nak cari duit poket lebih?"

Soalan tipikal. Qureshi begitu berhati-hati ketika bertanya, kerana dia sudah boleh meneka apakah jawapan yang bakal diberikan. Dan dia tidak mahu mengguris hati anak kecil itu. Namun disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak di dalam dadanya, dia tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya. 

Kelihatan si anak kecil teragak-agak memberikan jawapan.

"Nak bantu keluarga. Keluarga saya susah, miskin."

Sudahku agak. Fikir Qureshi.

"Ayah kamu bekerja? Mak?"

Si anak kecil terhenti. Daripada mencangkung, dia terduduk. Matanya tertumpu pada kasut hitam pelanggannya itu. Dia sudah biasa mendengar soalan seperti ini, tetapi entah mengapa kali ini, soalan yang ditanya oleh pemuda asing ini seolah-olah menikam, menusuk kalbunya. Butiran kaca mula mengalir perlahan. Sebak. 

[Kredit Gambar]
Qureshi tidak perasan tangisan si anak kecil, sehinggalah dia menyedari ada titisan air pada kasut kulitnya. Kanak-kanak itu cepat-cepat mengelap air matanya yang membasahi kasut Hugo Boss Qureshi itu. Dia sedikit kaget. Lantas dia segera mengelap matanya pula, dengan menarik hujung bajunya dan didekatkan pada matanya. Qureshi sedikit gelabah melihatkan reaksi anak kecil itu.

"Maafkan saya. Maiṁ māphī cāhatā hūm...

"Oh tidak ada apa-apa. Saya sudah biasa sebenarnya. Entah mengapa, kebetulan hari ini sedikit berhabuk. Sejak pagi tadi mata saya pedih dimasuki habuk."

Sedu kecil masih jelas kedengaran pada setiap bait kata-kata si anak kecil.

Si anak kecil langsung tidak memandang wajah Qureshi. Qureshi tersenyum simpul, terasa begitu bersalah. Dalam dia cuba untuk berhati-hati dengan setiap persoalannya, ada juga satu yang berbisa. Dia tidak tahu bagaimana untuk memujuk hati si anak kecil itu. Jika dia berada di tempat si anak kecil, sudah pasti dia juga akan berduka nestapa. 

Si anak kecil seperti dapat menduga perasaan bersalah amat pada pelanggannya itu. Lantas perlahan-lahan dia memulakan bicara dalam sedunya itu, menceritakan kepada Qureshi sejarah ringkas hidupnya. Pedih sememangnya pedih, menggali semula memori lama yang sekali-sekali berjaya ditanamnya jauh ke dalam bumi sana. Namun dia tahu, untuk dia benar-benar dapat mengharungi kepedihan itu, sekali-sekala dia terpaksa menabur garam pada luka hatinya. Malah semakin selalu dia menceritakan tragedi hidupnya itu kepada orang lain, semakin kuat untuk dia meneruskan kehidupan sehari-hari. 

Ibarat meletakkan garam pada luka di bibir; pedih yang amat, namun mujarab merawat.

Dan entah mengapa, dengan anak muda di hadapannya ini, dia begitu selesa bercerita tentang kisah hidupnya. Seperti ada satu ikatan ghaib antara dia dan Qureshi. Ajaib. Bukan mudah untuk dia percaya pada insan asing yang lain, terutamanya untuk menceritakan sesuatu yang begitu hitam dan tragis dalam hidupnya. Namun dengan Qureshi... Seolah-olah dia sudah lama mengenali pemuda di hadapannya itu.

Qureshi mendengar dengan penuh khusyuk. Dia sangat berminat dengan kisah perjalanan hidup si anak kecil. Dia berasa begitu kasihan dan simpati mendengarkan kesusahan dan penderitaan yang terpaksa diharungi oleh si anak kecil. Jika hendak dibandingkan dengan kehidupan yang dimiliki Qureshi, dia berasa teramat malu. Insaf. Bersyukur. Dia berasa begitu bersalah; bagaimana dia masih boleh bermewah-mewah, dijamu dengan makanan bertaraf diraja, tidur di atas tilam yang empuk, pakaian yang cukup, tinggal pula di dalam rumah ibarat istana lagaknya.. Malu! 

Kerana itu Qureshi amat gemar bergaul dengan marhaen-marhaen jalanan, kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat menginsafi kejadian dirinya. Jika dia terus bergelumang dengan kesenangan dan kemewahan yang disediakan oleh ibu dan ayahnya, sudah pasti dia sudah terhanyut jauh. Seperti adik-beradiknya yang lain. Namun sering juga dia berasa amat malu untuk bergaul mesra dengan golongan ini; malu bukan kerana mereka miskin dan tidak punya apa-apa, malu kerana kemewahan yang dimiliki Qureshi tidak mungkin dapat diimpikan oleh mereka. 

Melihatkan anak kecil yang begitu leka menggosok dan mengilat kasutnya itu, sambil sudah semakin mesra bercerita, Qureshi berasa kagum. Dan cemburu. Kanak-kanak ini baru setahun jagung, hingusannya masih basah, namun kata-katanya jauh lebih dewasa, jauh lebih matang daripada kebanyakan anak muda di luar sana. Qureshi tersenyum sendiri. Kagum. 

Sekali-sekala dia mencelah, bertanyakan soalan kepada si anak kecil. Namun dia lebih berhati-hati kini, tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dan setiap soalan Qureshi dijawab dengan mesra dan jelas oleh si anak kecil. Kelihatan si anak kecil begitu selesa dengan Qureshi. Qureshi turut merasakan seperti ada satu ikatan yang menghubungkan hatinya dengan hati kanak-kanak ini, walaupun perkenalan mereka belum sampai satu jam.

Si anak kecil menghabiskan ceritanya serentak dengan kilatan terakhirnya pada kasut Qureshi. Qureshi melihat kasutnya; lima bintang. Qureshi tersenyum lebar.

"Acchā kāma. Berapa?"

Si anak kecil tersenyum puas mendengarkan pujian itu.

"Dassa. Sepuluh sahaja."

Qureshi mengeluarkan nota lima puluh rupee. Mata si anak kecil sedikit terbeliak.

"Nah, kamu berhak mendapat lebih. Kamu bukan sahaja memberikan khidmat mengilat sepatu kepada saya, tetapi ada khidmat ekstra pula. Sepuluh tidak memadai."

Si anak kecil keberatan menerima duit sebesar itu. Lima puluh rupee untuk sekali kilatan adalah jumlah yang cukup besar. Dia rasa amat bersalah untuk menerimanya.

"Tapi bang.. Lima puluh terlalu besar. Apa lagi khidmat yang saya berikan kepada abang..?"

Qureshi tertawa kecil.

"Khidmat dari hati ke hati."

Si anak kecil pula tertawa. Kelihatan manik halus mengalir perlahan dari sudut mata kirinya. Si anak menghulurkan tangan kecilnya, mengambil nota lima puluh itu daripada pemuda yang begitu mulia hatinya.

"Śukriyā.."

"Oh, siapa nama kamu?"

"Haseeb."

"Haseeb. Qureshi."

Qureshi menghulurkan tangannya kepada Haseeb. Haseeb kelihatannya sedikit terkejut dengan tindakan Qureshi itu. Tetapi dia menyambut tangan Qureshi itu dengan perasaan penuh gembira. Teruja. Satu pertalian persahabatan baru sahaja termeterai. Tiada siapa antara mereka yang menyedari pertalian ini akan terus berkekalan, begitu utuh sehinggalah salah seorang daripada mereka pergi menemui Tuhan suatu hari nanti.

Persahabatan Qureshi dan Haseeb akan berkekalan hingga ke syurga. [Kredit Gambar]

Haseeb bersiap-siap untuk mengemas peralatan mengilatnya. Dia menunduk, menterbalikkan semula kotak kayunya dan menyimpan segala alatan di dalamnya. Dia bangun dan meminta diri untuk pergi. Dalam hati, dia terasa amat berat untuk pergi. Jika boleh, dia mahu terus duduk dan berbual panjang dengan Qureshi. Dia berasa amat selesa dengan pemuda yang baru dikenalinya itu. Tetapi hati kecilnya mengatakan itu mustahil. Dia sedar siapa dirinya.

"Tunggu, tunggu.."

Qureshi tunduk dan membuka ikatan tali kasutnya. Haseeb tertanya-tanya apakah yang mahu dilakukan oleh sahabat barunya itu. Qureshi menanggalkan kasut kulit hitamnya dan diletakkannya di atas kerusi.

"Kamu tunggu di situ. Sebentar sahaja!"

Qureshi berlari ke arah deretan kedai tidak jauh daripada tempat mereka berada. Haseeb bingung. Dia benar-benar tidak dapat meneka apakah yang ingin dibuktikan oleh Qureshi. Tidak lama selepas itu, Qureshi kembali dengan membawa sebuah beg kertas. Beg kertas itu tertulis dengan nama sebuah kedai buku yang cukup popular di stesen keretapi Lahore.

Qureshi hanya tersenyum melihatkan reaksi wajah Haseeb yang jelas kebingungan. Dia lantas memasukkan kasutnya yang tersusun rapi di atas kerusi ke dalam beg kertas itu. Dan dia menghulurkan beg kertas yang kini berisi dengan sepasang kasut hitamnya kepada Haseeb.

"Nah, ini untuk kamu."

"Hah..?? Eh, apa ni bang..?"

"Haha.. Jangan banyak soal. Ambil sahaja.."

"Saya.. Saya tak boleh terima ni bang. Mahal sangat ni... Tiada sebab untuk saya terimanya..! Lagi pun, saya nak buat apa dengan sepatu ni? Bukan saya boleh pakai pun.."

"Haha.. Saya dah kata, jangan banyak soal. Tidak perlu apa-apa sebab untuk kamu menerima sepatu ni. Buatlah apa yang kamu suka..."

Gila. Itulah yang pertama sekali melintas di dalam kepala Haseeb mendengarkan jawapan daripada Qureshi itu.

"Tuan-tuan dan Puan-Puan, masalah teknikal di Attari sudah berjaya diatasi. Kini keretapi Ekspres Samjhauta sedang menuju ke arah stesen Lahore. Keretapi dijangka tiba dalam masa setengah jam lagi. Sebarang maklumat tambahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sekian terima kasih.

Ladies and Gentlemen. The technical glitch.."

"Ha, itu keretapi saya tu. Nah, kamu ambil ni.."

Qureshi terus memegang tangan Haseeb dan menyarungkan pemegang beg kertas itu ke tangan Haseeb. Haseeb tidak mampu berbuat apa-apa. Dan lidahnya kelu untuk berkata-kata. Qureshi menyarungkan beg sandangnya dan mengangkat beg pakaiannya, bersiap sedia untuk ke arah platform Ekspres Samjhauta.

"Abang.."

Qureshi menoleh.

"Abang nak pakai apa..?"

Qureshi memandang kakinya yang kini berstoking sahaja. Dia tertawa. Haseeb turut tertawa. Tawa Qureshi menjadi semakin besar melihatkan Haseeb begitu ceria dalam tawanya.

"Pandai-pandailah saya nanti. Oh kamu simpan sepatu itu elok-elok ya..?"

"Untuk apa bang..? Saya kena tunggu sepuluh tahun lagi, barulah saya dapat merasa Hugo Boss ni."

"Simpanlah. Supaya saya ada alasan untuk berjumpa dengan kamu lagi selepas ini.."

Qureshi tersenyum. Dan dia berlalu pergi. Haseeb juga tersenyum, tetapi diiringi dengan linangan air mata, yang entah kali berapa sudah menakungi lesung pipitnya.

"Jangan lupa sepatu hitam itu!"

Qureshi melaungkan daripada jauh, sambil mengangkat tangan kanannya. Isyarat selamat tinggal.

Sepatu hitam itu. Getus hati kecil Haseeb. Senyum.

-gabbana-

Untuk mereka yang baru pertama kali membaca kisah ini, anda boleh membaca episod-episod sebelum ini untuk mengetahui jalan cerita penuh Sepatu Hitam Itu:


Semoga anda semua terhibur dan mendapat manfaat daripadanya! ;)

25 November 2010

The Boy In Black

Pertama kali aku melihatnya, hati aku bergetar. Darahku berderau. Mataku terpaku.

Tempat pertemuan? Masjid as-Sabirin. Mungkinkah ini suatu perancanganNya.? Tempat pertemuan untuk orang-orang yang bersabar.

Semenjak itu, aku sentiasa ternanti-nantikannya. Dan hatiku melonjak gembira setiap kali melihat si empunya diri. Aku menyimpan perasaan, meminatinya dari jauh.

Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu. Kemudian aku pergi. Setahun lamanya. Dia hilang dalam ingatan.

Sehinggalah tahun ini, apabila aku terserempak lagi dengannya. Zrassss. Darah berderau lagi. Hati berdebar-debar. Memori lama datang menerjah jiwa.

Dan selepas itu sering pula aku terserempak dengannya. Ah adakah ini suatu ujian..? Kadangkala aku tewas dengan ujian itu, sanggup berbuat apa sahaja untuk mendekati si dia. Dan hati akan tersenyum puas setiap kali itu berjaya, walaupun kadang-kadang terlalu sekejap cuma.

Teringin benar untuk mengenali si empunya diri. Sekurang-kurangnya tahu namanya. Umurnya berapa. Sekarang di mana. Namun badan besar ini cukup kecut, pondan untuk melakukannya. Ah!

Hampir setiap hari aku tidak pernah gagal daripada membayangkan wajahnya di dalam kepala. Kadang-kadang sempurna gambarannya. Kadang-kadang wajah lain yang tergambar di dalam benak kepala. Kecewa.

Pernah juga terserempak dia baru pulang daripada bermain bola keranjang. Berbunganya hati. Semenjak itu kadang-kadang aku ke gelanggang, dengan harapan dia ada bermain. Selalunya hampa. 

Kini semakin jarang terserempak dengannya. Dia tidak lagi ke Masjid as-Sabirin. Aku buntu. Bagaimana aku bisa berjumpa dengannya lagi? Cukuplah sekejap cuma! As-Sabirin; orang-orang yang bersabar. Tanda atau amaran?

Sumpah ini suatu penyeksaan! Mengapa aku? Mengapa..?? 

[Kredit Gambar]

Aku ingin benar menjauhkan diri daripadanya. Kerana sumpah ini suatu sumpahan. Penyeksaan. Aku ingin lari jauh. Jauh daripadanya. Namun aku tidak mampu. Tersungkur. Kerana hatiku sudah terpaku. Dalam. 

Gilakah aku? Gilakah aku..??

Oh dia gemarkan hitam. Warna hitam. Siapa tahu hatinya mungkin putih? Bersih.

Aku ingin benar mencintai dirimu. Sesungguh hati dan sekuat jiwa. Sepenuh raga dan segagah usia. Kerana Allah. Kerana aku ingin bersamamu di akhirat kelak, sebagai peneman setiaku. Sebagai sahabat yang menyelamatkan diriku. Sebagai jiran kasih dan mesra di syurgaNya yang abadi.

The Boy in Black. Dengarlah rintihan hati ini...


-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP