25 October 2010

Sepatu Hitam Itu

Haseeb memberi sentuhan terakhir pada sepasang kasut di depan matanya itu. Dia menggosok sedikit agresif tetapi teliti, dengan kain kapas berwarna kuning yang disediakan khas untuk kilatan yang terakhir. Haseeb tersenyum. Puas. Dia memandang ke atas, mengharapkan senyuman yang sama daripada lelaki gempal berkumis itu, namun lelaki itu sedang leka membaca surat khabar, Musawat, antara akhbar berbahasa Urdu tertua di Lahore.

Haseeb memberikan isyarat yang dia sudah selesai dengan kerjanya. Lelaki gempal berkumis itu meletakkan surat khabarnya di atas paha, kemudian memandang sekilas pada kasut kulitnya. Dia mengangguk perlahan.

"Kitanā?"

"Dasa."

"Acchā."

Lelaki itu menyerahkan 10 rupee kepada Haseeb. Dia tersenyum, sambil mengusap-ngusap kepala Haseeb, lantas berjalan meninggalkan tempat itu.

Hari ini nasibku baik, getus Haseeb. Di hari lain Haseeb mungkin langsung tidak dipedulikan; pelanggannya berlagak seolah-olah Haseeb adalah hamba kasta pariya. Komunikasi dua hala adalah suatu yang mustahil. Ramai juga pelanggannya yang terus mencampakkan duit bayaran selesai Haseeb memberikan khidmatnya. Seolah-olah Haseeb bukanlah makhluk bernyawa tetapi mesin pengilat kasuk automatik lagaknya. Tidak kurang yang mencerca, malah memukul dirinya yang kecil itu lantaran tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Pelanggan seperti lelaki gempal berkumis itu amat jarang sekali didapati. Alhamdulillah, hati kecil Haseeb memuji Tuhan. Hari ini nasibku baik. Moga hari-hari yang mendatang lebih baik lagi, Insha-Allah.

Haseeb, budak pengilat kasut Lahore.
Haseeb adalah salah seorang daripada ratusan kanak-kanak pengilat kasut di Bandar Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan selepas Karachi itu. Umurnya masih terlalu muda untuk terjun dalam alam pekerjaan - kurang tiga bulan lagi umurnya akan menjangkau 12 tahun. Tetapi apakan daya, kedua orang tuanya maut dalam kemalangan keretapi Ghotki pada bulan Julai yang lalu. Mereka dalam perjalanan ke Karachi untuk menghadiri upacara pengebumian ibu saudara ayahnya, apabila keretapi yang mereka naiki melanggar keretapi yang sedang berhenti di Stesen Ghotki. 109 nyawa terkorban dalam kemalangan itu. Siapa sangka ayah dan ibunya pula yang terpaksa dikebumikan.

Mujurlah kakak perempuan ibunya sudi untuk mengambil Haseeb di bawah jagaannya. Namun Haseeb tidak mahu menyusahkan ibu saudaranya itu; lima orang sepupunya juga perlu diberikan perhatian oleh ibu mereka. Lantas Haseeb mengambil keputusan untuk bekerja sambilan. Pagi dia ke sekolah dan sepulangnya dari sekolah, dia akan terus bersiap membawa peralatan mengilatnya menuju ke Stesen Keretapi Lahore. Kemiskinan melarat yang menghantui begitu ramai manusia di Pakistan menjadikan kanak-kanak mentah seperti Haseeb yang terpaksa membanting tulang empat kerat bagi mencari sesuap nasi sebagai pemandangan bukan luar biasa di Lahore.

Sebelum menjadi pengilat kasut, telah bermacam-macam pekerjaan yang dicubanya. Dia pernah menjual makanan ringan yang didapatinya daripada kedai runcit berdekatan dengan rumah ibu saudaranya, namun upah yang diberikan terlalu sedikit. Dia juga pernah menjadi budak penjual dan penghantar surat khabar, tetapi pekerjaan itu terlalu memenatkan untuknya. Tambahan pula, dia sering lewat ke sekolah apabila menghantar surat khabar.  Akhirnya dia dimarahi gurunya dan sering didenda.

Setelah mencuba pelbagai lagi jenis pekerjaan, Haseeb mengambil keputusan untuk mengilat kasut sahaja. Upah yang diterimanya tidaklah seberapa. Malah ada hari-hari yang berus dan kainnya tersimpan rapi di dalam kotak peralatannya, tidak dapat digunakan, terutamanya hari-hari yang hujan. Namun Haseeb amat suka dan selesa dengan pekerjaannya itu. Fleksibel. Dia boleh bekerja bila-bila sahaja yang dia suka. Dia juga boleh memilih tempat operasinya sesuka hatinya. 

Dia akhirnya berpendapat yang Stesen Keretapi Lahore adalah tempat yang terbaik untuknya mencari rezeki. Dengan jumlah orang yang keluar masuk stesen yang ramai terutamanya pada waktu-waktu puncak, peluang Haseeb untuk memperoleh pelanggan adalah lebih cerah walaupun dia terpaksa bersaing dengan budak pengilat kasut yang lain. Apatah lagi apabila Ekspres Samjhauta tiba di stesen; para pelanggan kaya dari India merupakan lubuk emas buat budak-budak pengilat kasut seperti dirinya. 

Stesen Keretapi Lahore. Di sinilah tempat Haseeb mencari rezeki yang halal.
Namun faktor utama mengapa dia memilih untuk mengilat kasut bukanlah kerana wang. Tetapi kepelbagaian pelanggan yang mendapatkan perkhidmatannya. Haseeb amat gemar memerhatikan perangai dan tingkah laku pelanggan-pelanggannya. Bermacam ragam! Dan pada hari-hari Haseeb bernasib baik, ada pelanggannya yang cukup bermurah hati memberikan upah lebih kepada Haseeb. Ada juga yang memberikan nasihat-nasihat yang berguna untuk dirinya. Tidak kurang yang berborak, bertanyakan perihal dirinya dari awal dia mengilat kasut sehinggalah dia selesai menjalankan tugasnya. Dan selalunya pelanggan sebeginilah yang akan memberikan upah yang lebih, setelah mengetahui latar belakang diri Haseeb. Simpati.

Tetapi Haseeb tidak pernah mengambil kesempatan. Dia adalah seorang yang sangat jujur dan amanah. Apatah lagi dia dibesarkan dalam suasana yang penuh Islamik oleh mendiang ayahnya, seorang ahli aktif Jamaat-e-Islami cawangan Lahore. Dia dididik untuk menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladannya. Maka tidak hairanlah Haseeb merupakan seorang kanak-kanak yang penuh dengan keperibadian mulia. Tidak hairanlah dia berusaha sebaiknya untuk mencari rezeki yang halal dan bersih, untuk membantu ibu saudaranya dan menanggung perbelanjaan dirinya sendiri. Dia tidak pernah merungut dengan nasib dirinya, apatah lagi mengeluh dan bermuram durja. Haseeb merupakan seorang kanak-kanak yang berjiwa besar; ramai pelanggannya yang terkejut dan kagum dengan kematangan yang ditonjolkan Haseeb apabila mereka berkesempatan berbual dengannya.

Cuma kadangkala apabila teringatkan kedua orang tuanya, dia akan mencari satu sudut yang jauh dan sunyi, bebas daripada hiruk pikuk kesibukan manusia. Dia lantas duduk di situ, kemudian membiarkan sahaja sebak menguasai dirinya.

Dia hanyalah seorang anak kecil, yang telah kehilangan dua orang insan yang paling rapat dengan dirinya.

bersambung...


-gabbana-

12 Caci Maki Puji Muji:

Mohammad Aiman 25/10/2010, 17:03  

cis

Anonymous 25/10/2010, 19:46  

TT.TT
~SN~

IMANSHAH 25/10/2010, 20:52  

sedih juga cerita ni..saya dulu pun kerja awak...kerja tanam tembakau masa kecil-kecil..

Inche gabbana 25/10/2010, 21:48  

aiman! haha.. sabar sabar. cuba baca post sabare wak tu..! hehehe.. ;p

Inche gabbana 25/10/2010, 21:48  

SN! knapa sedih2..?? ceria2 slalu..! ;D

Inche gabbana 25/10/2010, 22:10  

oh siannya cikgu... cikgu membantu keluarga ye..? sungguh mengagum + mengharukan..!

hmdnzr 26/10/2010, 02:25  

dugaan. begitulah.

Inche gabbana 26/10/2010, 08:25  

erk. inche hamdan, jgn bwat statement short n sweet kat sini boleh x..? sila tolong elaborate terima kasih.

Anonymous 26/10/2010, 13:11  

mood tgh buat assignment pasal child labour...pas tu bace plak post ni~~
TT.TT
~SN~

Inche gabbana 26/10/2010, 14:43  

hahaha.. maafkan sya SN! tak berniat untuk mendownkan anda! teruskan usaha anda itu dan beritahu saya nanti bagaimana jadinya! ;)

Anonymous 26/10/2010, 18:44  

inche gabbana...

inche x bersalah pon~~
sy yg terlebih emooo

p/s: citer pasal assignment tuh panjang lebar tp
sy fokuskn chid labour in cocoa industry~~

~SN~

Inche gabbana 26/10/2010, 22:38  

menarik! mengapa tak tulis pasal budakbudak pengilat kasut di pakistan..?? ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP