3 November 2010

Sepatu Hitam Itu Episod Tiga

"Tuan-tuan dan puan-puan, hamēṁ khēda hai. Perjalanan Ekspres Samjhauta ke Delhi pada pukul 10 pagi terpaksa ditangguhkan kerana berlaku sedikit masalah teknikal di Attari. Kami mohon maaf atas segala kesulitan.

Ladies and Gentleman, we are sorry. The Express Samjhauta..."

Haseeb sempat menangkap pengumuman yang kedengaran di seluruh Stesen Keretapi Lahore itu. Haseeb tersenyum. Sudah berapa kali dalam seminggu dia mendengar pengumuman yang serupa. Entah bila sistem keretapi Pakistan akan semaju Jepun, Jerman dan Perancis, fikir kanak-kanak kecil itu. Daripada bacaanya, dia tahu yang perkhidmatan keretapi di negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun amat maju dan efisien. Jarang sekali sistem mereka mengalami kerosakan. Lebih hebat daripada itu, keretapi mereka tidak pernah lewat tiba dan berlepas dari stesen; sentiasa tepat pada masanya. Jika di dalam jadual perjalanan menyatakan keretapi akan berlepas pada jam 9.05 pagi, maka 9.05 pagi tepatlah keretapi tersebut akan berlepas. Tidak pernah tersasar.

Haseeb adalah seorang yang berpengetahuan luas. Sangat cilik orangnya. Haseeb sering menghabiskan masanya di kedai-kedai runcit yang menjual pelbagai jenis majalah apabila tiada pelanggan yang mendapatkan khidmatnya. Dia gemar membaca isu-isu semasa yang global. Di umur mentahnya 12 tahun, dia tahu lebih banyak daripada rata-rata remaja berusia 17 tahun. Tanya sahaja kepadanya siapakah  gerangannya Presiden Perancis, dia pasti pantas menjawab -  Chirac. Jacques Chirac. Pemilik kedai-kedai runcit di sekitar stesen itu sudah arif dengan kegemaran dan gelagat anak pintar itu. Mereka membiarkan sahaja apabila Haseeb datang singgah untuk membaca secara percuma. Malah mereka gemar berbual dengannya yang amat petah dan mesra berkata-kata. Kadang-kadang, apabila ada majalah yang tidak dijual dan sudah tiba keluaran yang baru, keluaran yang lama akan mereka berikan secara percuma kepada Haseeb.

Haseeb mengangkat peralatan mengilatnya dan mundar-mandir di sekitar stesen mencari pelanggan. Sekarang ini musim cuti sekolah; maka pagi-pagi lagi Haseeb sudah ke stesen mencari rezeki. Dia sangat bersyukur kerana semenjak cuti bermula, dia boleh mengumpul lebih 100 rupee daripada hari-hari biasa. Alhamdulillah. Dapatlah dia memberikan sedikit wang belanja kepada makciknya. Selebihnya, dia akan simpan. 

Tidak seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya, Haseeb adalah seorang kanak-kanak yang berpandangan jauh. Dia tahu apa yang dia mahukan dan dia akan berusaha sebaiknya ke arah itu. Dia sudah pun boleh melihat siapa dirinya dalam masa sepuluh ke lima belas tahun yang akan datang. Haseeb bercita-cita menjadi seorang usahawan yang berjaya; maka dia mula menyimpan daripada sekarang untuk mengumpul modal bagi menjalankan perniagaan yang lebih serius dan menjana pendapatan yang lebih besar di masa hadapan. Tetapi sebab utama mengapa Haseeb mahu menjadi seorang usahawan bukanlah kerana kerjaya itu bisa mendatangkan pulangan yang lumayan. Bukan juga kerana profesion itu fleksibel; dia boleh bekerja dalam ruang lingkup dan masa mengikut seleranya sendiri. Bukan. Tetapi kerana dia mahu mengikut jejak langkah idola dan kekasihnya, Rasulullah SAW. Itu sebab utama. Paling utama. 

Haseeb baru sahaja selesai menggilap kasut seorang lelaki tua berusia pertengahan lima puluh tahun berpakaian ala-ala eksekutif apabila dia terpandang gelagat seorang lelaki muda tidak jauh dari tempatnya dia berada. Entah mengapa, dia sangat tertarik dengan tingkah laku lelaki itu. Seperti magnet. Maka Haseeb duduk sebentar dan memerhatikan lelaki itu dengan lebih teliti.

Haseeb sedang mengilat kasut pelanggannya.
Lelaki itu tidak berapa tinggi, tidak pula rendah. Rambutnya sedikit kusut, tetapi tidaklah masai. Berkumis pendek dan berlesung pipit dalam di pipi. Cukup manis. Kulitnya putih kemerah-merahan, tidak seperti kulit anak-anak marhaen jalanan. Anak orang kaya, getus Haseeb. Pakaiannya sederhana tetapi kemas dan segak. Lelaki itu memakai beg sandang kulit warna coklat terang dan memegang sebuah beg pakaian lagi di tangan kirinya. Yang lebih menarik perhatian Haseeb adalah kasut yang dipakai oleh lelaki itu. Kulit. Hitam berkilat. Berdasarkan pengalaman Haseeb sebagai budak pengilat kasut, dia dengan mudah dapat meneka yang kasut kulit milik lelaki itu bukanlah kasut kulit tiruan atau murahan. Pasti mahal. Sangat mahal.

Haseeb membuat kesimpulan yang sesiapa sahaja yang melihat lelaki ini buat kali pertama pastinya amat mudah tertarik dengan perawakan fizikalnya. Terutamanya kaum Hawa. Entah mengapa perasaan cemburu tiba-tiba datang menerjah Haseeb. Ah, masakan aku mahu cemburu padanya? Dia langit biru menggapai bintang, sedangkan aku bumi yang kotor dengan lumpur dan tanah. Kami tidak serupa! Tidak layak pun untuk aku cemburu padanya! Haseeb tersenyum sinis dan menggeleng-geleng kepalanya. Perasaan sebegini memang kadang-kadang datang menziarahinya. Sebagai seorang budak pengilat kasut yang tidak punya apa-apa, melihatkan para pelanggannya yang datang dengan pelbagai rupa dari pelbagai latar belakang, Haseeb sering juga tertewas dengan rasa rendah diri dan cemburu pada insan-insan yang jauh lebih bernasib baik daripada dirinya.

Namun perasaan sebegitulah yang menguatkan azamnya untuk menjadi seorang insan yang sangat berjaya suatu hari nanti. Dia berjanji pada dirinya yang dia tidak akan terus dibelenggu dengan kepompong kemiskinan. Dia akan memecahkannya dan keluar menjadi seekor rama-rama yang hebat dan dikagumi semua manusia. Sedangkan Abdul Rahman 'Auf pun berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang namun masih boleh berjaya, takkanlah aku tidak mampu melakukannya..??

Haseeb bingkas bangun dan mahu beredar dari tempat itu. Dia tidah mahu membiarkan perasaan cemburunya itu menguasai dirinya. Dia bersyukur, kerana Allah masih memberikannya nafas untuk terus menikmati keindahan alam, belajar daripada guru-guru berbentuk pengalaman dan pelbagai karenah manusia. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Dia juga bersyukur kerana Allah menjadikan manusia dengan pelbagai latar belakang dan rupa; ada yang kaya, ada yang miskin. Ada yang tidak mampu berpakaian, ada yang terlebih mampu untuk membeli pakaian tetapi tidak mahu berpakaian. Begitu banyak yang telah Haseeb belajar dan fahami dengan hanya melihat dan memerhatikan asam garam kehidupan.

Namun langkah Haseeb terhenti apabila dia terpandang lelaki yang diperhatikannya tadi kini duduk di kerusi yang disediakan oleh pihak stesen. Bukan aksi duduknya itu yang menarik perhatian Haseeb, tetapi tindakannya mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya. Senaskhah al-Quran. Subhanallah, hati Haseeb secara spontan berkata-kata. Subhanallah...

Kini Haseeb tidak mampu berbuat apa-apa melainkan terpaku di tempatnya berdiri. Dirinya seperti terpukau melihatkan lelaki itu. Walaupun pada insan lain mungkin, tiada apa yang istimewa dengan perlakuan membaca senaskhah al-Quran di sebuah stesen keretapi, namun ada sesuatu yang memanah hati Haseeb apabila melihat lelaki ini yang membacanya. Haseeb benar-benar kagum. Stereotaip masyarakat biasa di luar sana pasti mengatakan seorang lelaki segak, kacak dan kaya seperti lelaki itu tidak mungkin akan berbuat seperti itu; duduk di tengah-tengah lautan manusia di sebuah stesen keretapi yang sibuk sambil membaca dan membelek kitab suci Allah yang mulia. Malah stereotaip seperti itu juga ada pada Haseeb.

Mungkin sebab itu dia begitu terkesima dengan aksi ringkas dan bersahaja lelaki itu. Dan ada sesuatu yang istimewa pada lelaki ini yang sukar untuk Haseeb jelaskan.

Kaki Haseeb seperti dikawal oleh suatu alat kawalan jauh ghaib. Kaki kurus kedingnya secara perlahan-lahan melangkah ke arah lelaki yang sedang duduk itu. Dia sendiri tidak menyedari yang dia sedang bergerak ke arah itu sehinggalah dia terlanggar seorang wanita tua yang sedang berjalan dari arah yang bertentangan. Haseeb seperti dikejutkan daripada mimpi. 

"Khēda." 

Haseeb memohon maaf pada wanita itu, tetapi matanya masih terkunci pada lelaki yang sedang duduk membaca al-Quran itu. 

"Maiṁ māphī cāhatā hūm."

Haseeb sekali lagi memohon maaf, kerana wanita itu kini memandangnya dengan pandangan yang sedikit menjengkelkan. Sejurus selepas wanita itu beredar, Haseeb meneruskan langkahnya ke arah lelaki itu. Pada mulanya, dia agak ragu-ragu untuk berbuat demikian. Tetapi entah mengapa tarikan lelaki itu sangat kuat. Seolah-olah ada tali yang diikat pada kaki dan tangan Haseeb, menarik dirinya ke arah lelaki itu. 

Tinggal beberapa kaki dari tempat lelaki itu duduk, sekali lagi Haseeb berasa sangsi dengan tindakannya itu. Mungkin lain kalilah, bisik Haseeb kepada dirinya. Tapi mungkin tiada lagi lain kali. Lelaki ini mungkin aku jumpai sekali sahaja seumur hidup. Aku tidak boleh melepaskan peluang ini! Jiwa Haseeb memberontak. Diri dalamannya lebih kuat berkata-kata. Haseeb tewas; dia menurutkan sahaja kata hatinya. 

Haseeb kini berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Dia tercacak seperti patung. Haseeb kelu seribu bahasa. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang. Kini mula timbul perasaan sesal di dalam dirinya. Lantas dia mengambil keputusan untuk beredar sebelum lelaki itu mula perasan kelibat dirinya yang kecil itu. Haseeb baru sahaja mengambil beberapa langkah ke belakang apabila lelaki itu meletakkan al-Qurannya di pangkuan pahanya, dan memandang tepat kepada Haseeb. Dia tersenyum.

Haseeb terpukau sekali lagi. Ada percikan peluh dingin membasahi dahinya. Jantungnya entah mengapa berdegup kencang. Ah.

"Hām̐?"

Lelaki itu bersuara.

"Err... Err..."

Lidah Haseeb kelu. Seperti ada paku yang memaku lidahnya. Lelaki itu tersenyum lagi. Menunggu respon daripada kanak-kanak yang berada di hadapannya. Ganjil.

"Err... Encik nak kilatkan sepatu..?"

-gabbana-

8 Caci Maki Puji Muji:

najiya~~ 03/11/2010, 14:35  

hah....bersambung lagi~~ huhuhu

Inche gabbana 03/11/2010, 16:04  

hehehe.. nak abeskan dalam satu post nnt pjg sgt ah.. ;p teruskan setia membaca yeah..? ;)

cheerios!

najiya~~ 03/11/2010, 18:13  

insyaAllah~~

N 03/11/2010, 23:16  

sebenarnya, mcm dah dpt episod akan dtg nanti. tapi tunggu dulu. mana tau ada surprise yg lain :)

Inche gabbana 04/11/2010, 08:55  

N, anda ni boleh membaca mindakah? atau anda sebenarnya mengenali Haseeb dan Qureshi secara peribadi..? hehehe.. ^^

teruskan membaca!

Mohammad Aiman 04/11/2010, 17:47  

aiya....

Inche gabbana 04/11/2010, 22:35  

aiman! sabar tau...?? sket je lagi.. ;) hehehe..

Anonymous 14/08/2015, 22:34  

Inche gabanna..gambar tu mmg gmbr sebenar atau sekadar hiasan?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP