Sepatu Hitam Itu Episod Dua
Episod ini ditujukan khas buat Usman Qureshi, sahabat baikku di Pakistan. Moga kita diketemukan di syurgaNya nanti, biidznilah. Amin.
***
Qureshi tunduk dan mengikat tali kasutnya. Dia merenung lama kasut pemberian ibunya sempena hari lahirnya yang ke-23. Elegan. Bergaya. Dua perkataan yang sering digunakan oleh rakan-rakan sepejabatnya mahupun sesiapa sahaja yang terpandang kasutnya itu. Manakan tidak, kasut kulit berwarna hitam berpolka di tepi berjenama Hugo Boss itu dibeli ibunya ketika ibu dan ayahnya ke London untuk menghadiri konvokesyen Qureshi tidak lama dahulu. £1320; itulah tag harga kasut kulit hitam berpolka di tepi itu selepas diskaun. Lebih kurang 180,000 rupee mahalnya!
Kasut kuli hitam Hugo Boss milik Qureshi |
Qureshi seorang yang sederhana. Amat sederhana. Kadang-kadang dia dimarahi ibunya atau ditegur rakan-rakannya kerana kesederhanaan dalam keterampilannya dilihat sebagai selekeh dan menyedihkan. Manakan tidak. Keluarga Qureshi, kelurga Mian, adalah keluarga yang amat dihormati di Lahore. Malah dikenali juga di hampir sebahagian besar Pakistan. Ayahnya, Mian Muhammad Firzani adalah seorang usahawan tekstil yang sangat berjaya dan disegani di negeri Punjab. Ayahnya juga adalah pemilik tunggal syarikat yang memiliki beberapa akhbar massa di Lahore; antaranya Pakistan Observer, The Pakistan Today dan Musawat. Ibunya pula adalah seorang doktor pakar bedah di Hospital Jinnah; salah seorang doktor pakar bedah yang terulung di Lahore dan Pakistan. Malah antara doktor wanita pertama yang berjaya sampai ke tahap itu. Pendek kata, keluarga Qureshi sememangnya adalah keluarga yang amat disegani dan dihormati.
Maka tidak hairanlah keluarga dan rakan-rakan Qureshi berasa pelik dan hairan dengan perangai dan sifat yang ada padanya. Tidak kurang juga yang jelik. Adik-beradiknya, baik abang sulungnya, adik lelaki dan dua orang adik perempuannya, semuanya jenis bergaya sakan yang tidak ingat dunia. Baju, jaket, tali pinggang, seluar, beg dan semua aksesori tambahan mesti berjenama, yang harganya mencecah ratusan ribu rupee setiap satu. Jika keluar rumah, mereka pasti berkaca mata hitam walaupun pada hari yang mendung. Sekali sekala mereka berjaket walaupun suhu Lahore pada hari itu mencecah 40 darjah Celcius. Tas tangan adalah satu kemestian, baik lelaki mahupun perempuan. Yang perempuan dengan Louis Vuitton atau Gucci mereka dan yang lelaki lebih gemar dengan Marc Jacobs atau Roberto Cavalli. Memang kelas!
Sedangkan Qureshi, pada waktu-waktu dia tidak bekerja, dia lebih selesa berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar khaki atau jean sahaja ke mana-mana. Tiada jenama. Yang penting praktikal dan selesa.
Ramai yang terkejut apabila mengetahui Qureshi yang berada di depan mata mereka adalah Mian Muhammad Qureshi. Bagaimana ahli keluarga Mian boleh berpakaian sebegini sederhana? Tidak kurang juga yang kagum dan hormat pada pendiriannya itu.
Qureshi bangun daripada kerusi rotan di depan pangkin rumah banglo tiga tingkat di kawasan eksklusif Bandar Taman, lantas menuju ke pintu pagar. Hari ini dia terpaksa ke Delhi, India atas urusan perniagaan. Selepas pulang dari London dan lulus dengan cemerlangnya dalam jurusan Sains Aktuari, Qureshi bekerja dengan sebuah syarikat sederhana besarnya di bandar Lahore, sebagai Pegawai Eksekutif dan Analisis. Itu pilihan Qureshi sendiri. Ayahnya agak kecewa dengan pendirian anak keduanya itu. Dia menjangkakan Qureshi akan menyertai empayar tekstilnya. Pasti Qureshi akan diberikan kedudukan Ketua Pegawai Kewangan bagi menggantikan Mirza Aslam Usmani yang telah tua. Namun Qureshi menolak. Saya mahu mula dari bawah ayah, tegas Qureshi. Saya mahu belajar apa rasanya jadi orang bawahan, yang bekerja dengan ikhlas dan gigih untuk syarikatnya.
Ayahnya redha. Malah sedikit bangga dengan ketegasan dan pendirian anaknya itu. Sejak dahulu lagi Qureshi berbeza dengan adik-beradiknya yang lain. Dialah yang paling kurang memberikan masalah kepada orang tuanya. Amat jarang keluar rumah untuk bersosial, kecuali bersama teman-teman rapatnya. Ibarat langit dan bumi dengan adik-beradiknya yang lain, yang sentiasa mencari peluang untuk keluar dan bersuka ria, tidak kira masa dan cuaca. Yang penting, enjoy! Ayah dan ibu sudah habis cara dan pening kepala memikirkan bagaimana untuk mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Tetapi dengan Qureshi, ayah dan ibunya boleh melepas tangan.
Qureshi juga merupakan seorang anak yang taat dan amat jarang membantah apa sahaja arahan atau permintaan kedua orang ibu bapanya. Kecuali sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dirinya. Seperti soal berpakaian atau masa depannya. Dalam hal-hal sebegini, Qureshi lebih suka membuat keputusan sendiri. Degil. Dia malah lebih yakin dan percaya dengan pendiriannya. Qureshi amat bertanggungjawab dan tahu menguruskan diri sendiri dengan baik sekali. Amat bertentangan sekali dengan perangai dan sikap abang dan adik-adiknya. Sebab itu Encik dan Puan Mian amat menyayangi anak teruna mereka yang seorang ini.
Majikan Qureshi apabila mengetahui latar belakang keluarganya, terus menawarkan jawatan yang lebih tinggi untuknya. Tetapi Qureshi dengan tegas menolak. Dia mahu diadili dan dinilai berdasarkan kemampuan dan pencapaian dirinya sendiri, dan bukan siapa ayah atau ibunya. Lantas Qureshi diberi jawatan Pegawai Eksekutif dan Analisis, jawatan yang tidak kurang hebat statusnya. Itulah yang paling sesuai untukmu, tegas majikannya setelah melihatkan pencapaian cemerlang kelas pertama Qureshi sewaktu menuntut di University College London sewaktu ketika dahulu.
Qureshi telah ditugaskan untuk berbincang dengan rakan perniagaan syarikatnya di Delhi. Syarikatnya menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan. Baru-baru ini mereka telah berjaya mendapatkan kontrak sebuah projek yang tidak kurang hebatnya di Mumbai. Mereka telah diambil sebagai sub-kotraktor pembinaan bangunan pejabat setinggi 100 tingkat di Mumbai. Ini projek besar untuk Syarikat Qureshi. Maka Qureshi telah ditugaskan bersama-sama beberapa orang rakan sepejabatnya yang lain untuk ke Delhi untuk berbincang beberapa perkara penting berkaitan dengan projek itu.
Qureshi berjalan di tepi kolam air pancut di tengah-tengah taman rumahnya sebelum sampai ke pintu pagar. Dia memberi salam dan tersenyum kepada pegawai keselamatan rumahnya, Suleyman, sebelum membuka pintu kecil di sebelah kanan pagar kayu automatik setinggi 2 meter itu dengan cermat. Dia melangkah keluar dan berjalan 500 meter menuju jalan besar. Dia menoleh kiri dan kanan kalau-kalau ada tuk-tuk yang boleh ditahannya. Enjin Mini Cooper S yang dibelikan ayahnya untuk kegunaan sehariannya amat jarang dipanaskan. Qureshi lebih selesa menggunakan pengangkutan awam daripada memandu keretanya sendiri. Leceh.
Qureshi tiba di Stesen Keretapi Lahore tepat jam 9 pagi. Keretapi yang akan dinaikinya, Ekspres Samjhauta, satu-satunya perkhidmatan keretapi ke India dari Lahore, dijangka bertolak tepat pada pukul 10 pagi. Dia memilih untuk menaiki keretapi, kerana dia amat gemar melihat pemandangan perkampungan, gunung-ganang dan sungai yang mengalir jernih di pedalaman Pakistan dan India. Jika nasibnya baik, dia berpeluang menikmati pemandangan haiwan-haiwan liar yang berkeliaran mencari makanan di tanah lapang Rajashtan. Rakan-rakan sepejabatnya yang lain semuanya memilih untuk menaiki kapal terbang sahaja. Manakan tidak, perjalanan dari Lahore ke Delhi adalah sejauh 480 kilometer. Menaiki keretapi seperti Ekspres Samjhauta mungkin mengambil masa sehari lamanya! Sebab itulah Qureshi bertolak sehari lebih awal berbanding rakan-rakannya yang akan menaiki penerbangan Kingfisher.
Ekspres Samjhauta |
Tetapi Qureshi tidak kisah. Begitu juga dengan majikannya. Majikannya amat sayang akan Qureshi. Bukan disebabkan Mian Muhammad Firzani, tetapi kerana dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh Qureshi tiada tandingan. Setiap tugas dan kerja yang diberikan kepadanya pasti diselesaikan dengan baik sekali. Dan Qureshi amat mudah mesra dengan semua orang. Cukup professional. Hal ini menjadikan para pelanggan syarikatnya amat senang dengan Qureshi. Kerana itu majikannya memberikannya fleksibiliti dalam menjalankan tugasnya kerana mereka tahu Qureshi pasti tidak akan menghampakan mereka.
Qureshi terus menuju ke pejabat tiket untuk mengambil tiketnya. Setibanya dia di kaunter, petugas yang sepatutnya melayannya sedang bercakap di telefon. Dia mengisyaratkan agar Qureshi menyerahkan maklumat perjalanannya. Qureshi melakukan seperti yang diarahkan dan menyerahkan sekeping kertas berwarna putih kekuningan kepada petugas itu. Sebaik sahaja petugas itu melihat maklumat perjalanan Qureshi, dia mengerutkan wajahnya. Kening kirinya yang agak tebal ternaik sedikit. Garisan di dahinya amat jelas kelihatan. Dia lantas mengisyaratkan kepada Qureshi untuk tunggu sebentar, sehingga dia selesai dengan urusannya di telefon. Qureshi hanya tersenyum. Sebaik sahaja petugas itu meletakkan telefonnya, dia membongkokkan badan gempalnya ke hadapan, seolah-olah seperti mahu berbisik kepada Qureshi. Belum sempat dia berkata-kata, kedengaran pengumuman dwi-bahasa, Urdu dan Inggeris dibuat melalui pembesar suara.
"Tuan-tuan dan puan-puan, hamēṁ khēda hai. Perjalanan Ekspres Samjhauta ke Delhi pada pukul 10 pagi terpaksa ditangguhkan kerana berlaku sedikit masalah teknikal di Attari. Kami mohon maaf atas segala kesulitan.
Ladies and Gentleman, we are sorry. The Express Samjhauta..."
***
bersambung...-gabbana-
8 Caci Maki Puji Muji:
kami mahu lagi kami mahu lagi
ancor ancor
kenapa tergantung!
teruskan sampai penghabisan cerita
kenapa tergendala. saspens betul
*pffffffffffffffttttt*
benci betul bile die buat berepisod camnih
neng, jgn cakap bahasa jepon kat sini boleh tak..? ;p
inche hamdan: hahahaha.. tulah teknik memancing hekan namanya! ^^
aik? marah ke aiman..? jgn marah, nnt kena jual..! wahahaha.. ;)
saya dapat rasakan ada sesuatu yg buruk berlaku kpd qureshi. haih...spoil mood! ini namanya sambungan mengejut mcm terkena serangan jantung! ahaha!
woah N! apa kata anda sambung cita ni! saya dh takde idea ni! hehehe.. ;)
doakan saya akan berjaya habiskan cerita ini!
Post a Comment