26 November 2010

Sepatu Hitam Itu Episod Akhir

Maaf kepada para pembaca setia siri ini atas keterlewatan menyiapkan episod empat dan akhir ini. Maaf jika episod kali ini tidak berjaya membuatkan anda teruja. Pada mulanya saya tidak bercadang untuk menghabiskan siri ini di sini, tetapi saya benar-benar kehabisan idea..! Semoga anda semua mendapat manfaat daripadanya, biidznillah... Selamat membaca! ;)

***

Episod kali ini saya didekasikan khas kepada para pembaca tegar belog ini sejak dahulu lagi, yang terus setia memberikan sokongan dan galakan kepada saya untuk terus menulis. Insan-insan seperti Cikgu Imanshah, N, SN, MM, Aiman, Inche Hamdan Jean Paul Glitter (o_O), Ghuraba', Buruh Kasar dan ramai lagi, andalah yang terus memberikan semangat kepada saya untuk terus menulis. Tidak lupa juga kepada silent readers di luar sana! Terima kasih atas segala sokongan dan galakan. Cukup bermakna buat saya. Anda semua memang cool bergaya..! ;D

***

Para penumpang yang dijadualkan ke Delhi pada hari itu berasa hampa dengan pengumuman yang baru sahaja dibuat. Kebanyakan mereka kelihatan sugul. Merungut. Tidak kurang juga yang marah-marah dan menyalurkan kemarahan mereka itu kepada para petugas Ekspres Samjhauta. 

Qureshi hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya melihatkan ragam dan karenah manusia yang pelbagai. Mujurlah tiket aku sehari awal. Sekurang-kurangnya aku masih boleh menaiki kapal terbang sekiranya berlaku apa-apa. Fikir Qureshi. 

Qureshi mundar-mandir, mencari tempat duduk. Hampir semuanya penuh. Dia pergi ke kedai runcit di dalam stesen dan membeli sebotol air mineral dan sepaket kacang goreng. Dia mundar-mandir lagi, mencari tempat yang kosong untuk diduduki. Qureshi boleh sahaja menunggu di restoran-restoran mewah berdekatan dengan stesen, atau pun menyewa sebuah bilik di hotel Avari, hotel 5 bintang berdekatan dengan stesen keretapi itu. Namun Qureshi adalah Qureshi. Dia tidak akan membazirkan wangnya sewenang-wenangnya. Bukan kedekut, tetapi berpada-pada. Tambahan pula, dia lebih selesa menunggu di tempat-tempat awam sebegitu, di mana dia boleh memerhatikan manusia di sekelilingnya.

Hobi Qureshi sejak dahulu lagi.

Qureshi akhirnya menemukan sebuah bangku kosong agak jauh daripada platform Ekpres Samjhauta. Dia tersenyum. Alhamdulillah. Bangku itu agak terasing daripada bangku-bangku yang lain dan agak jauh tersorok. Sempurna! 

Qureshi bingkas duduk, meletakkan beg pakaiannya di sebelahnya. Dia kemudian mengeluarkan sesuatu daripada beg galasnya. Senaskhah al-Quran. Hari ini dia masih belum membaca sepatah pun ayat-ayat suci al-Quran. Hatinya tidak akan senang dan tenang selagi lidah dan bibirnya tidak dibasahkan dengan alunan ayat-ayat suci itu. Setiap kali ada masa yang kosong, pasti Qureshi akan penuhkan dengan membaca 'mesej pesanan ringkas' daripada Allah itu.

Apabila Qureshi membaca al-Quran, dirinya seperti berada di dunia yang berbeza. Hati dan jiwanya benar-benar khusyuk, menghayati setiap butir permata yang keluar daripada mulutnya. Entah mengapa, dia seolah-olah khayal dalam dunia al-Qurannya itu. Dia boleh menghabiskan berjam-jam dengan hanya menghayati dan cuba memahami setiap huruf dan perkataan yang terkandung di dalam kitab agung itu.

[Kredit Gambar]

Saat itu, Qureshi sedang membaca surah al-Hujuraat.. Dia baru sahaja menghabiskan ayat yang ketiga belas:

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Khabir (Maha Mengenal).

Ah begitu indah susunan kata-kata Allah ini. Begitu mengasyikkan..!

"Qo la til a'rabu..."

Qureshi memberhentikan bacaannya. Dia dapat merasakan ada sesusuk tubuh kecil sedang mendekati dirinya. Dia dapat melihat kaki anak kecil itu. Kurus keding. Tidak beralas kakinya. Lantas Qureshi meletakkan al-Qurannya, dan perlahan-lahan mengangkat kepalanya dan memandang ke arah makhluk yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu.

Budak kecil itu kelihatan sedikit pucat. Mukanya seperti sedikit kaget, tidak pasti apa yang patut dilakukannya atau apa yang akan berlaku pada dirinya. Qureshi menghadiahkan sekuntum senyuman manis untuk anak kecil itu, kerana dia tahu si anak kecil sedang gemuruh.

"Hām̐? Ya?"

Qureshi memulakan bicara. Budak kecil itu kelihatannya seperti hendak menjawab pertanyaan Qureshi, tetapi terlalu gementar sehinggakan tiada apa yang keluar daripada mulutnya.

Qureshi tersenyum lagi. Menanti dengan penuh sabar. Dia sememangnya amat suka akan kanak-kanak. Terutamanya kanak-kanak miskin yang hidup dalam serba kekurangan. Hatinya amat mudah tersentuh apabila melihatkan anak-anak kecil yang di usia muda terpaksa mengharungi jerih payah dek kemelaratan hidup mereka. Seperti anak kecil yang sedang berdiri di hadapannya itu. Tetapi itulah kehidupan, getus Qureshi sekali-sekala bagi menyenangkan hatinya yang duka. Ada yang bernasib baik, maka hidupnya senang dan tidak perlu bersusah. Ada pula yang kurang bernasib baik, maka mereka terpaksa berkorban lebih untuk meneruskan kehidupan. Tetapi susah tidak bermakna duka, senang tidak semestinya bahagia. 

"Encik nak kilatkan sepatu...?" 

Akhirnya anak kecil itu berkata-kata.

Qureshi hampir sahaja tertawa mendengarkan pertanyaan anak kecil itu. Kerana dia tahu bukan itu tujuan utama anak kecil itu datang mendekatinya. Tetapi Qureshi tidak sampai hati hendak memperlekehkan anak kecil yang kelihatannya amat miskin itu. Lantas dia menggangguk laju sambil tersenyum ikhlas, menandakan dia setuju dengan tawaran anak kecil itu. 

Jika diikutkan hati dan prinsip hidupnya, dia pasti menolak. Kerana dia amat bencikan pekerjaan seperti itu. Bukan kerana pekerjaan itu semata-mata, tetapi dia tidak sanggup melihatkan si pengilat kasut diperlakukan seperti hamba dan pada masa yang sama, si pelanggan dilayan seperti raja, tuan yang begitu mulia. Sedangkan manusia semua sama sahaja di sisi Allah Ta'ala. Yang membezakan mereka hanyalah taqwa dan cinta mereka kepada Allah Yang Esa. Namun kerana kasihankan anak kecil itu dan dengan niat untuk membantu, Qureshi terima juga tawaran mengilat kasut itu.

Anak kecil itu seolah-olah tidak percaya dengan persetujuan yang diberikan oleh Qureshi. Kerana dia kelihatannya agak kelam kabut meletakkan kotak kayu yang menyimpan perlatan mengilatnya di atas lantai, membuat persediaan untuk mengilat kasut Qureshi.

Qureshi hanya membiarkan sahaja anak kecil itu beraksi. Ini pentasnya, biarkan dia bermain.

Qureshi kagum melihatkan kecekapan anak kecil itu melaksanakan tugasnya. Begitu pantas dan cermat. Pertamanya si anak kecil mengeluarkan dahulu alat-alat mengilatnya daripada kotak kayu dan disusun rapinya peralatan tersebut di atas lantai. Kemudian si anak kecil menterbalikkan kotak kayu itu, dan meletakkannya dekat dengan kaki Qureshi. Lantas dia meminta agar Qureshi meletakkan kakinya di atas kotak kayu.

Qureshi menurut sahaja dengan akur. Dia seolah-olah terpukau dengan kecekapan kanak-kanak itu bekerja. Sebelum anak kecil itu memulakan kerja-kerja mengilatnya, dia membelek-belek dahulu kasut Qureshi, bagi mengenal pasti jenis kulit kasut agar dapat memberikan kilatan yang terbaik. 

"Vāha..! Ini sepatu mahal ni. Kualitinya tinggi! Err.. Tods? Eh sebentar. Ini, HUGO BOSS! Betul kan..??"

Mata si anak kecil bersinar-sinar. Dia betul-betul teruja dengan sepasang kasut kulit di hadapannya itu. Sejak dia bekerja menjadi pengilat kasut, sudah bermacam-macam kasut yang pernah dijumpainya. Dan stoking. Amat jarang sekali dia berpeluang mengilatkan kasut yang berkualiti seperti ini. 

Qureshi tertawa kecil sambil mengiyakan jawapan si anak kecil. Ada sedikit perasaan kagum pada dirinya. Si anak kecil tersenyum puas. Qureshi mengambil peluang ini untuk mengenali kanak-kanak yang sedang memegang kasutnya itu dengan lebih mendalam.

"Tepat. Sungguh cerdik. Sudah lama kamu mengilat sepatu..?"

Si anak kecil sudah mula menjalankan tugas-tugas mengilatnya. Begitu khusyuk. Dia memulakan proses mengilatnya dengan kasut sebelah kanan dahulu. Kasut itu dilap dengan begitu cermat menggunakan sehelai kain kering.

"Emmm... Baru lagi. Enam tujuh bulan lebih kurang."

"Oohh."

Qureshi membiarkan si anak kecil mendapatkan rentaknya mengilat kasut sebelum bertanya lagi.

"Err. Banyak yang kamu dapat dengan mengilat sepatu?"

"Alhamdulillah. Berapa-berapa pun saya dapat, itu rezeki daripada Allah."

Si anak kecil terus menjalankan tugasnya dengan begitu teliti. Qureshi amat kagum dengan jawapan kanak-kanak itu. Mujurlah si anak kecil begitu menumpukan perhatiannya terhadap kasut Qureshi, jika tidak sudah pasti dia akan perasan yang senyuman Qureshi hampir mencecah telinga.

"Saya nak tanya sikit boleh..?"

"Silakan." 

Si anak kecil menjawab datar, seolah-olah sudah boleh mengagak apakah soalan akan ditanyakan kepadanya.

"Mengapa kamu bekerja? Nak cari pengalaman? Nak cari duit poket lebih?"

Soalan tipikal. Qureshi begitu berhati-hati ketika bertanya, kerana dia sudah boleh meneka apakah jawapan yang bakal diberikan. Dan dia tidak mahu mengguris hati anak kecil itu. Namun disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak di dalam dadanya, dia tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya. 

Kelihatan si anak kecil teragak-agak memberikan jawapan.

"Nak bantu keluarga. Keluarga saya susah, miskin."

Sudahku agak. Fikir Qureshi.

"Ayah kamu bekerja? Mak?"

Si anak kecil terhenti. Daripada mencangkung, dia terduduk. Matanya tertumpu pada kasut hitam pelanggannya itu. Dia sudah biasa mendengar soalan seperti ini, tetapi entah mengapa kali ini, soalan yang ditanya oleh pemuda asing ini seolah-olah menikam, menusuk kalbunya. Butiran kaca mula mengalir perlahan. Sebak. 

[Kredit Gambar]
Qureshi tidak perasan tangisan si anak kecil, sehinggalah dia menyedari ada titisan air pada kasut kulitnya. Kanak-kanak itu cepat-cepat mengelap air matanya yang membasahi kasut Hugo Boss Qureshi itu. Dia sedikit kaget. Lantas dia segera mengelap matanya pula, dengan menarik hujung bajunya dan didekatkan pada matanya. Qureshi sedikit gelabah melihatkan reaksi anak kecil itu.

"Maafkan saya. Maiṁ māphī cāhatā hūm...

"Oh tidak ada apa-apa. Saya sudah biasa sebenarnya. Entah mengapa, kebetulan hari ini sedikit berhabuk. Sejak pagi tadi mata saya pedih dimasuki habuk."

Sedu kecil masih jelas kedengaran pada setiap bait kata-kata si anak kecil.

Si anak kecil langsung tidak memandang wajah Qureshi. Qureshi tersenyum simpul, terasa begitu bersalah. Dalam dia cuba untuk berhati-hati dengan setiap persoalannya, ada juga satu yang berbisa. Dia tidak tahu bagaimana untuk memujuk hati si anak kecil itu. Jika dia berada di tempat si anak kecil, sudah pasti dia juga akan berduka nestapa. 

Si anak kecil seperti dapat menduga perasaan bersalah amat pada pelanggannya itu. Lantas perlahan-lahan dia memulakan bicara dalam sedunya itu, menceritakan kepada Qureshi sejarah ringkas hidupnya. Pedih sememangnya pedih, menggali semula memori lama yang sekali-sekali berjaya ditanamnya jauh ke dalam bumi sana. Namun dia tahu, untuk dia benar-benar dapat mengharungi kepedihan itu, sekali-sekala dia terpaksa menabur garam pada luka hatinya. Malah semakin selalu dia menceritakan tragedi hidupnya itu kepada orang lain, semakin kuat untuk dia meneruskan kehidupan sehari-hari. 

Ibarat meletakkan garam pada luka di bibir; pedih yang amat, namun mujarab merawat.

Dan entah mengapa, dengan anak muda di hadapannya ini, dia begitu selesa bercerita tentang kisah hidupnya. Seperti ada satu ikatan ghaib antara dia dan Qureshi. Ajaib. Bukan mudah untuk dia percaya pada insan asing yang lain, terutamanya untuk menceritakan sesuatu yang begitu hitam dan tragis dalam hidupnya. Namun dengan Qureshi... Seolah-olah dia sudah lama mengenali pemuda di hadapannya itu.

Qureshi mendengar dengan penuh khusyuk. Dia sangat berminat dengan kisah perjalanan hidup si anak kecil. Dia berasa begitu kasihan dan simpati mendengarkan kesusahan dan penderitaan yang terpaksa diharungi oleh si anak kecil. Jika hendak dibandingkan dengan kehidupan yang dimiliki Qureshi, dia berasa teramat malu. Insaf. Bersyukur. Dia berasa begitu bersalah; bagaimana dia masih boleh bermewah-mewah, dijamu dengan makanan bertaraf diraja, tidur di atas tilam yang empuk, pakaian yang cukup, tinggal pula di dalam rumah ibarat istana lagaknya.. Malu! 

Kerana itu Qureshi amat gemar bergaul dengan marhaen-marhaen jalanan, kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat menginsafi kejadian dirinya. Jika dia terus bergelumang dengan kesenangan dan kemewahan yang disediakan oleh ibu dan ayahnya, sudah pasti dia sudah terhanyut jauh. Seperti adik-beradiknya yang lain. Namun sering juga dia berasa amat malu untuk bergaul mesra dengan golongan ini; malu bukan kerana mereka miskin dan tidak punya apa-apa, malu kerana kemewahan yang dimiliki Qureshi tidak mungkin dapat diimpikan oleh mereka. 

Melihatkan anak kecil yang begitu leka menggosok dan mengilat kasutnya itu, sambil sudah semakin mesra bercerita, Qureshi berasa kagum. Dan cemburu. Kanak-kanak ini baru setahun jagung, hingusannya masih basah, namun kata-katanya jauh lebih dewasa, jauh lebih matang daripada kebanyakan anak muda di luar sana. Qureshi tersenyum sendiri. Kagum. 

Sekali-sekala dia mencelah, bertanyakan soalan kepada si anak kecil. Namun dia lebih berhati-hati kini, tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dan setiap soalan Qureshi dijawab dengan mesra dan jelas oleh si anak kecil. Kelihatan si anak kecil begitu selesa dengan Qureshi. Qureshi turut merasakan seperti ada satu ikatan yang menghubungkan hatinya dengan hati kanak-kanak ini, walaupun perkenalan mereka belum sampai satu jam.

Si anak kecil menghabiskan ceritanya serentak dengan kilatan terakhirnya pada kasut Qureshi. Qureshi melihat kasutnya; lima bintang. Qureshi tersenyum lebar.

"Acchā kāma. Berapa?"

Si anak kecil tersenyum puas mendengarkan pujian itu.

"Dassa. Sepuluh sahaja."

Qureshi mengeluarkan nota lima puluh rupee. Mata si anak kecil sedikit terbeliak.

"Nah, kamu berhak mendapat lebih. Kamu bukan sahaja memberikan khidmat mengilat sepatu kepada saya, tetapi ada khidmat ekstra pula. Sepuluh tidak memadai."

Si anak kecil keberatan menerima duit sebesar itu. Lima puluh rupee untuk sekali kilatan adalah jumlah yang cukup besar. Dia rasa amat bersalah untuk menerimanya.

"Tapi bang.. Lima puluh terlalu besar. Apa lagi khidmat yang saya berikan kepada abang..?"

Qureshi tertawa kecil.

"Khidmat dari hati ke hati."

Si anak kecil pula tertawa. Kelihatan manik halus mengalir perlahan dari sudut mata kirinya. Si anak menghulurkan tangan kecilnya, mengambil nota lima puluh itu daripada pemuda yang begitu mulia hatinya.

"Śukriyā.."

"Oh, siapa nama kamu?"

"Haseeb."

"Haseeb. Qureshi."

Qureshi menghulurkan tangannya kepada Haseeb. Haseeb kelihatannya sedikit terkejut dengan tindakan Qureshi itu. Tetapi dia menyambut tangan Qureshi itu dengan perasaan penuh gembira. Teruja. Satu pertalian persahabatan baru sahaja termeterai. Tiada siapa antara mereka yang menyedari pertalian ini akan terus berkekalan, begitu utuh sehinggalah salah seorang daripada mereka pergi menemui Tuhan suatu hari nanti.

Persahabatan Qureshi dan Haseeb akan berkekalan hingga ke syurga. [Kredit Gambar]

Haseeb bersiap-siap untuk mengemas peralatan mengilatnya. Dia menunduk, menterbalikkan semula kotak kayunya dan menyimpan segala alatan di dalamnya. Dia bangun dan meminta diri untuk pergi. Dalam hati, dia terasa amat berat untuk pergi. Jika boleh, dia mahu terus duduk dan berbual panjang dengan Qureshi. Dia berasa amat selesa dengan pemuda yang baru dikenalinya itu. Tetapi hati kecilnya mengatakan itu mustahil. Dia sedar siapa dirinya.

"Tunggu, tunggu.."

Qureshi tunduk dan membuka ikatan tali kasutnya. Haseeb tertanya-tanya apakah yang mahu dilakukan oleh sahabat barunya itu. Qureshi menanggalkan kasut kulit hitamnya dan diletakkannya di atas kerusi.

"Kamu tunggu di situ. Sebentar sahaja!"

Qureshi berlari ke arah deretan kedai tidak jauh daripada tempat mereka berada. Haseeb bingung. Dia benar-benar tidak dapat meneka apakah yang ingin dibuktikan oleh Qureshi. Tidak lama selepas itu, Qureshi kembali dengan membawa sebuah beg kertas. Beg kertas itu tertulis dengan nama sebuah kedai buku yang cukup popular di stesen keretapi Lahore.

Qureshi hanya tersenyum melihatkan reaksi wajah Haseeb yang jelas kebingungan. Dia lantas memasukkan kasutnya yang tersusun rapi di atas kerusi ke dalam beg kertas itu. Dan dia menghulurkan beg kertas yang kini berisi dengan sepasang kasut hitamnya kepada Haseeb.

"Nah, ini untuk kamu."

"Hah..?? Eh, apa ni bang..?"

"Haha.. Jangan banyak soal. Ambil sahaja.."

"Saya.. Saya tak boleh terima ni bang. Mahal sangat ni... Tiada sebab untuk saya terimanya..! Lagi pun, saya nak buat apa dengan sepatu ni? Bukan saya boleh pakai pun.."

"Haha.. Saya dah kata, jangan banyak soal. Tidak perlu apa-apa sebab untuk kamu menerima sepatu ni. Buatlah apa yang kamu suka..."

Gila. Itulah yang pertama sekali melintas di dalam kepala Haseeb mendengarkan jawapan daripada Qureshi itu.

"Tuan-tuan dan Puan-Puan, masalah teknikal di Attari sudah berjaya diatasi. Kini keretapi Ekspres Samjhauta sedang menuju ke arah stesen Lahore. Keretapi dijangka tiba dalam masa setengah jam lagi. Sebarang maklumat tambahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sekian terima kasih.

Ladies and Gentlemen. The technical glitch.."

"Ha, itu keretapi saya tu. Nah, kamu ambil ni.."

Qureshi terus memegang tangan Haseeb dan menyarungkan pemegang beg kertas itu ke tangan Haseeb. Haseeb tidak mampu berbuat apa-apa. Dan lidahnya kelu untuk berkata-kata. Qureshi menyarungkan beg sandangnya dan mengangkat beg pakaiannya, bersiap sedia untuk ke arah platform Ekspres Samjhauta.

"Abang.."

Qureshi menoleh.

"Abang nak pakai apa..?"

Qureshi memandang kakinya yang kini berstoking sahaja. Dia tertawa. Haseeb turut tertawa. Tawa Qureshi menjadi semakin besar melihatkan Haseeb begitu ceria dalam tawanya.

"Pandai-pandailah saya nanti. Oh kamu simpan sepatu itu elok-elok ya..?"

"Untuk apa bang..? Saya kena tunggu sepuluh tahun lagi, barulah saya dapat merasa Hugo Boss ni."

"Simpanlah. Supaya saya ada alasan untuk berjumpa dengan kamu lagi selepas ini.."

Qureshi tersenyum. Dan dia berlalu pergi. Haseeb juga tersenyum, tetapi diiringi dengan linangan air mata, yang entah kali berapa sudah menakungi lesung pipitnya.

"Jangan lupa sepatu hitam itu!"

Qureshi melaungkan daripada jauh, sambil mengangkat tangan kanannya. Isyarat selamat tinggal.

Sepatu hitam itu. Getus hati kecil Haseeb. Senyum.

-gabbana-

Untuk mereka yang baru pertama kali membaca kisah ini, anda boleh membaca episod-episod sebelum ini untuk mengetahui jalan cerita penuh Sepatu Hitam Itu:


Semoga anda semua terhibur dan mendapat manfaat daripadanya! ;)

18 Caci Maki Puji Muji:

Mohammad Aiman 26/11/2010, 17:25  

wah :)

Anonymous 26/11/2010, 19:27  

menyentuh jiwa!

tapi, sampai sini saja penghujungnya?

SN 26/11/2010, 21:33  

wah....~~~
speechless kejap....

Inche gabbana 26/11/2010, 21:44  

aiman: wahahahaha.. ;p

Inche gabbana 26/11/2010, 21:45  

enonimus: rasa2nya lah... huhu.. unless tiba2 haseeb dan qureshi minta saya terus tuliskan kisah hidup mereka! hohoho.. ^^

Inche gabbana 26/11/2010, 21:45  

SN: hahaha.. jgnla speechless. cakap, cakap...! ;p

MM 27/11/2010, 05:14  

eh eh ada watak saya lah di sini. :)

Anonymous 27/11/2010, 09:53  

izinka saya memberi kritikan yang membina tapi bukanlah expert.
cerita mmg menarik,cuma boleh dijangka... kali ini tidak se'berbunga' dan tidak manikam kalbu seperti "akhi",tapi cukup ikhlas(oppss,ikhlas mana boleh ukur kan?)
cerita ni simple,tenang,agak berhabuk sedikit dan kalau boleh digambarkan dengan warna-ada warna hitam,putih dan kelabu dan mungkin sedikit coklat.
apa-apa pun ianya masih menarik dan saya pasti hasseb dan kureshi akan meminta en gabbana menyambungnya. kisah belum tamat dan ada rasa yang belum habis.
keep up the good work! mmg bleh jadi penulis tersohor la en gabbana ni(ok,jgn melambung ke puncak awan plak ye)

itachi 27/11/2010, 14:10  

selama ni jd silent reader..tp sbb cerita ni.so,kena bg komen :)

-best.dan saya mahu cerita ini b'sambung.hee :D.May Allah bless u-

N 28/11/2010, 00:30  

sudah baca :) boleh saya bagi komen jujur tak? kalau 2 cerita pertamanya, saya membaca sambil menfilemkan cerita ini dlm kepala saya. episod akhir ni, filem tu dah jadi kabur. rasa-rasanya boleh faham kot maksud saya.

tapi, saya tabik dgn inche gabbana sebab mampu tulis satu cerita yang agak panjang (sambil tak lupa dgn mesejnya sekali). bila mahu tulis buku pula? hihihi...

Inche gabbana 28/11/2010, 21:40  

MM: =) ya, andalah! terima kasih kerana terus setia membaca..! ;)

Inche gabbana 28/11/2010, 21:42  

enonimus: Wahahha.. mekaseh atas kritikan. sungguh unik dan menarik cara anda mengkritik.

hahaha.. ya, saya akan tunggu permintaan haseeb dan qureshi sekiranya mereka ingin saya merakamkan kisah perjalanan hidup mereka. sehingga itu, bersabar sahajalah..! hihih.. ;)

Inche gabbana 28/11/2010, 21:42  

itachi: hihihi.. iAllah. doakan saya terus kuat ntok menulis! ;)

Inche gabbana 28/11/2010, 21:44  

N: tula.. saya dah cakap dah... maaf seandainya cerita ini gagal memberikan anda semua keterujaan yg sama seperti dahulu. mmg saya tiada idea bagaimana ntok menghabiskannya..! haih.. =S

pape pon. mekaseh atas komen dan ktirikan. dan mekaseh juga kerena terus setia membaca..! ;)

Aisyah Solehah 05/03/2012, 20:04  

walaupun endingnya biasa2 aje tapi banyak moral valuenya. dan itu lebih penting,moral value yang tersirat :)

so Inche Gabbana, silalah hasilkan ceritera lain pulak bila anda ber'idea' ya :) saya suka utk membacanya^^ *suka hati je mintak

hizb Addeen 09/07/2012, 10:47  

Dah dua thn blalu..baru terbaca.
Dan tiba2 rasa......

Eehh..sape potong bawang nih??
Arrggghh..
Tskk~

Nunu 22/04/2013, 22:18  

tolonglaa....tolonglaa....sambung lg crita ni,,,kalo bole smpai dorang mrninggal?errr

kasni 06/09/2013, 16:38  

Setuju..cerita ni perlu disambung..mesti ada banyak pengajaran yang dapat dari cerita mereka.. mungkin haseeb dah besar dan akhirnya bertemu semula dgn Qureshi..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP