[Amaran tiga perempat keras: Post ini panjang lebar, hampir sama panjang dengan Tembok Besar China. Hanya baca apabila anda bosan tahap Suria Perkasa Hitam dan ada masa untuk baca sehingga habis sekian terima kasih]
Khamis lepas, selepas begitu banyak alasan dan dalihan, dan selepas begitu lama tertangguh, saya akhirnya berjaya juga memaksa Inche Q, hadek junior saya di Sekolah Bintang dahulu untuk janji temu makan tengah hari.
Inche Q masih seperti dahulu, malu-malu kucing Siam dan amat bersopan-santun. Kira macam lelaki Melayu kedua terakhirlah selepas saya.. Wahahaha.. Eh. Dan sifatnya itulah yang menyebabkan saya anak-anak gadis mudah jatuh hati, paru-paru dan ginjal padanya. Silap haribulan mak-mak gadis pon boleh jatuh chenta..! Hihihi..
Setelah puas memancing dan menggali (dua hobi saya ketika masa lapang), akhirnya Inche Q membuka juga cerita kisah Uda dan Dara hidupnya. Ketika kali terakhir saya berjumpa dengan Inche Q, dia masih lagi bujang. Tetapi kini dia sudah berpunya walaupon dia masih bujang kerana kalau dia berkahwin sekarang nescaya dia dan bini bakal makan mee maggi cepat dimasak sedap dimakan setiap hari ewaahh..! Eh.
Namun dek perangai dan akhlak Inche Q yang sungguh malu-malu, agak sukar juga untuk dia bercerita dengan maklumat-maklumat yang terperinci lagi sensasi. Maka terpaksalah saya bercerita dahulu tentang diri saya, dengan harapan dia akan termasuk jerat dan akhirnya akan berasa lebih selesa dan terbuka untuk bercerita. Wahaha.. Dan akhirnya dia banyak juga bercerita kepada saya; perkara-perkara yang saya kira, di waktu lain atau pada orang lain, saya berani kerat jari dia langsung tidak akan menyebutnya. Wah!
Yang lebih hangat dan sensasi, Inche Q ada satu pengakuan; dia sebenarnya masih tidak bersedia untuk berada di dalam perhubungan (Baca: In a relationship). Keputusannya untuk berpacaran adalah disebabkan rasa bersalah, bertanggungjawab dan sedikit terpaksa. Dan mengenali perangai dan keperibadian Inche Q, saya tidak hairanlah yang dia berada di dalam situasi tersebut.
Kemudian, Inche Q ada satu permintaan. Permintaan yang cukup berat tetapi dek mahu menolong Inche Q seikhlas hati, saya bersetuju untuk memenui permintaannya itu. Dia mahukan nasihat saya bagaimanakah dia dapat keluar daripada perhubungan itu (atau et lis menyelesaikan kekusutan di kepalanya) dan saya katakan, saya tidak dapat memberi nasihat atau penyelesaian dalam waktu yang sekejap cuma. Arakian Inche Q berkata pula, "Kalau macam tu tulis dalam belog pon takpe."
Peluh kecil mengalir perlahan.
Semalam dia sms lagi, mendesak saya untuk memberikan jalan penyelesaian. Dan inilah hasilnya wahai Inche Q, sebuah post yang ditulis khas untuk anda (dan mungkin juga sesuai kepada sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi yang sama).
Begini.
Jalan penyelesaiannya sebenarnya ada berada di depan mata; ia terletak tidak jauh daripada genggaman anda. Mengapa? Kerana anda lebih memahami perasaan anda, apakah situasi yang sedang anda lalui dan bagaimanakah kekuatan anda sekarang ini.
Oh begitu mudah untuk saya mengatakan "Haram ini, haram itu!" Ya, memang mudah kerana saya tidak berada di tempat anda. Tetapi itu bukan cara saya. Apa guna kita paksa seseorang itu sekiranya dia tidak faham dan jelas mengapa dia perlu meninggalkan sesuatu perkara. Samalah sekiranya kita memaksa seorang perokok tegar untuk berhenti merokok trang tang tang ketika itu juga, dengan memberikan hujah bahawasanya Majlis Fatwa Kebangsaan dah fatwakan merokok itu haram, rokok boleh menyebabkan kanser, bla bla bla.. Sedangkan diri kita sendiri tidak merokok! Mana mungkin kita faham apa yang sedang dilalui oleh seorang perokok tegar.
Sedangkan Nabi SAW sendiri tidak pernah memaksa para sahabatnya berhenti daripada meminum arak secara dramatik, kerana dia amat faham arak dan orang Arab ketika itu ibarat buku dengan ruas! Eh silap. Isi dengan kuku! Sekiranya dia memaksa para sahabatnya berhenti meminum arak tatkala mereka masih baru dalam mengenali Islam, nescaya mereka beramai-ramai akan mengucapkan 'Hai hai Gudbai!' kepada Nabi.
Kembali kepada topik sebelum saya melalut tanpa kawalan, ya, saya tidak akan memaksa atau menekan anda untuk meninggalkan perhubungan tersebut, walaupon anda sendiri menyedari bahawa perhubungan tersebut adalah salah di sisi agama. Tetapi apa yang saya boleh katakan atau syorkan, fahami dan belajar betul-betul mengapa perhubungan antara lelaki dan perempuan yang masih belum berkahwin adalah haram dan salah di sisi agama.
Sekiranya kita mahu mengajar orang yang sedang mabuk arak betapa bahaya dan bodohnya perbuatan itu, nescaya si pemabuk tidak akan menerima kata-kata dan nasihat kita ketika itu. Tetapi sekiranya kita menasihati dia tatkala dia sedar dan bebas daripada pengaruh arak, nescaya dia dapat menerima kata-kata kita, walaupon sedikit.
Samalah. Sekiranya kita mahu meninggalkan si kekasih hati di kala kita mabuk cinta di puncak dunia, lautan api sanggup ku renangi kalau kentut pon bau wangi, nescaya hati kita akan meronta-ronta, jiwa kita akan meraung sengsara dan akal kita juga tidak dapat berfikir dengan bijaksana. Tetapi sekiranya kita menjauhi sumber yang memabukkan kita itu, hati kita lebih tenang dan perasaan kita tidak bergelojak seperti selalu, maka pasti lebih mudah untuk kita berfikir dengan lebih rasional dan kurang beremosi.
Sedikit-sedikit Lama-Lama Jadi...
Maka langkah pertama yang saya syorkan sekiranya anda benar-benar seriyus mahu meninggalkan perhubungan itu, adalah dengan menjauhkan diri atau et lis mengurangkan dos daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan anda 'mabuk.' Contohnya, kalau dahulu hampir setiap saat anda bersms cinta, mungkin boleh kurangkannya kepada sejam sekali? Kalau dahulu bertemujanji hampir setiap hari, mungkin kini boleh jadikannya seminggu dua kali? Kalau dahulu berpegang tangan berasmara dana, mungkin kini sekiranya bertemu mata, tangan disorokkan ke dalam kocek seluar?
Insha-Allah, sekiranya anda konsisten dalam usaha untuk menjinakkan nafsu anda, lama-lama anda akan mendapati yang anda boleh hidup tanpa sms cinta setiap hari, yang anda masih boleh bernafas dan bernyawa walau tidak mendengar suara si dia setiap masa dan ketika.
Nah, selepas anda sedikit bebas daripada panahan asmara dan gelojak nafsu yang membara, barulah akal dan hati anda dapat duduk sejenak dan beriman sebentar. Kini barulah kita boleh melangkah ke peringkat yang seterusnya.
Anda bersedia..?
Apa Tujuan Kita Berchenta?
Setiap perkara ada tujuannya, ada hasil akhir dan objektifnya. Kalau anda bermain bola, apa tujuannya? Sama ada untuk menang, mengeluarkan peluh sihat bergaya atau beriadhah mengeratkan ukhuwwah sesama rakan. Sekiranya anda makan nasi lemak Mak Cik Giant, apa tujuannya? Pastinya untuk menikmati kelazatan nasi lemak tersebut, sambil mengisi perut kosong di pagi Sabtu. *koff koff situasi amat spesifik koff koff*
Pokoknya, setiap perkara yang kita lakukan, dari sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar nenek gajah, pasti ada tujuannya. Sekiranya apa yang anda lakukan tiada tujuan atau 'takde apa saja-saja' sahaja, maka sia-sialah perbuatan dan perlakuan anda itu.
Maka saya ingin bertanya anda. Apa tujuan anda berchenta? Untuk melempiaskan nafsu? Untuk merasa sendiri bagaimanakah rasanya berchenta? Untuk mengenali si makhluk bernama perempuan dengan lebih lanjut? Atau apa? Apa tujuan anda berchenta?
Tolong, sila lihat tujuan anda berchenta untuk jangka masa yang panjang. Sekiranya anda berkata anda berchenta untuk mendapat keredhaan Allah, erk, sila jelaskan bagaimana atau saya akan luku anda sehingga darah mengalir laju. Hoh.
Anda mahu berkahwin dengannya..? Adakah anda jamin sekiranya anda berchenta bagai nak rak dengannya, anda pasti akan nak ke jinjang pelamin dengan cik gadis yang sama? Dah puas anda sentuh, dah puas anda taburkan dengan janji-janji manis, dah puas anda karang ayat-ayat chenta, akhirnya anda berkahwin dengan orang lain juga. Hampagas.
|
Ya, anda memang boleh berjanji. Tapi akhirnya siapa yang akan menentukan hala tuju hidup anda..? Allah. Fulsetop. [Kredit Gambar] |
Sudah banyak kali saya dengar sampai hendak bernanah telinga, si abang bujang akhirnya selamat diijabkabulkan bukan dengan si adik manis yang sudah lama berchenta-mhenta, tapi akhirnya dengan gadis pilihan emak juga. Leh, tadi kata nak sehidup semati? Gunung tinggi kita daki bersama, lurah dalam kita turuni togetha..?? Apa kes..?
Alasan yang selalu digunapakai mengapa perlu berchenta sebelum kahwin adalah untuk mengenali hati budi si gadis manis, sebelum mendirikan rumah tangga nanti. Masalahnya, yang selalunya berlaku adalah bukan sahaja hati budi yang dikenali, kedudukan tepat tahi lalat seluruh badan pon dikenali juga..! Peluh besar.
Tak kenal maka tak chenta, kalau nak berkenalan selepas kahwin, kalau tak suka macam mana hey..?? Ya, satu lagi alasan yang diberikan. Terbaca baru-baru ini di belog Ustaz Saiful Islam, chenta itu di hati kita. Kitalah yang mengisi rumah tangga kita dengan chenta, dan bukannya mengharapkan ia datang menaiki permaidani terbang dengan majiknya!
Chenta Itu Kopirait Allah
Akhirnya, kita perlu sedar yang chenta itu milik Allah. Perasaan kita, gelojak jiwa kita dan perasaan kita yang membara, semuanya itu datangnya daripada Allah.
Saya yakin dan percaya, perasaan yang anda sedang lalui sekarang ini adalah normal dan merupakan satu bentuk ujian dari Allah. Anda manusia, maka tidak adil dan tidak bijaklah sekiranya anda mahu menidakkan perasaan anda itu. Tetapi pada masa yang sama, Allah mahu melihat bagaimana anda dapat mengawal, mentadbir dan seterusnya menghalakan perasaan anda itu untuk kegunaan dan faedah yang lebih besar.
Kegunaan apa yang lebih besar? Anda bertanya sambil menggaru kepala.
Perasaan dan jiwa kita yang kosong, yang kononnya perlu diisi dengan chenta dan kasih sayang, sebenarnya adalah untuk Allah. Allah sedang menanti-nanti kita untuk mengadu kasih kepadanya. Allah sedang menunggu-nunggu kita untuk melaungkan kalimah-kalimah cinta yang suci dan abadi kepadaNya.
|
Cinta Allah untuk kita begitu melimpah-ruah banyaknya. Kita sahaja yang sombong tidak mahu menyahut panggilan cintaNya! [Kredit Gambar] |
Bunyinya seperti poyo dan wateva bukan..? Percayalah saya pernah merasainya dan tiada apa yang lebih agung dan indah daripada mendambakan cinta Allah dan Allah membalasnya.
Kerana itu saya rasa saya layak untuk menulis post ini, walaupon pedih dan sesak untuk saya menelannya. Ya, saya juga pernah melalui alam percintaan *koff koff* dan ya, saya pernah merasakan betapa nikmat dan asyiknya bercinta.
Tetapi saya juga pernah merasakan betapa masyuk dan walawehnya bercinta dengan Allah. Benar, perasaan itu tidak selalu datang bertandang di hati, tetapi cukuplah saya katakan yang nikmat dan indahnya mendambakan cinta Allah itu tidak tergambar perasaannya.
Apabila menaiki mesin masa Doraemon untuk meninjau-ninjau saya yang dahulu, diri ini berasa begitu kerdil, malu dan hina. Bagaimana saya boleh terjebak begitu jauh di dalam kancah maksiat? Bagaimana saya begitu mudah ditipu oleh nafsu serakah? Bagaimana saya boleh terperangkap dengan panahan asmara yang disemerakkan oleh api bisikan syaitan..?
Diri berasa lebih malu dan hina apabila memikirkan setiap saat yang dibazirkan untuk si dia, Allah menanti-nanti dengan penuh sabar, bilakah hambaNya yang satu ini mahu menerima ajakan bercinta denganNya. Tidak pernah pula Dia menghukum saya secara tunai kerana tidak membalas penantian cintaNya yang suci! Tidak pernah pula ketika saya syok-syok bersms dengan si dia, Allah menghilangkan jari-jemari saya secara tiba-tiba kerana tidak menyahut panggilan cintaNya! Subhanallah..
Cinta itu milik Allah, maka bercintalah dengan Allah dahulu sebelum kita bercinta dengan makhluknya. Perasaan kasih, belas dan sayang itu adalah anugerah daripadaNya. Maka jangan hairan atau pelik sekiranya suatu hari nanti, Allah tarik semula perasaan cinta membara pada si dia, kerana sudah begitu lama kita tidak menghiraukan rindu dan cintaNya kepada kita!
Arrgghh!! Di Mana Kekuatan Itu..??
Benar, mencari kekuatan yang diperlukan untuk meninggalkan sesuatu perhubungan adalah amat sukar sekali. Kadang-kadang tu kita sudah hampir-hampir hendak membuat keputusan untuk berpisah, tetapi akhirnya kita batalkan niat kerana pelbagai alasan yang diberikan.
Masih sayang pada si dia lah, tak nak nanti dia kechiwa menonggenglah, nanti apa orang lain cakaplah, itu ini begitu begini.
Sebenarnya anda sendiri yang masih berat untuk meninggalkan perhubungan itu bukan..? Jangan salahkan orang lain tetapi tudinglah jari pada diri sendiri dahulu. Seperti yang saya katakan di awal tadi, keputusan sebenarnya berada di depan mata. Sama ada kita mahu mengambilnya dan genggam erat dengan jari-jemari, semuanya terpulang kepada kita.
Tetapi saya tidak nafikan, bukan semua orang mampu untuk melakukannya there and then, atas pelbagai faktor. Maka nasihat saya untuk anda, mintalah kekuatan itu pada Allah. Mengadulah padaNya, yang anda kini mahu bercinta denganNya sahaja, maka kurniakanlah kekuatan dan kemahuan untuk melepaskan perhubungan anda dengan si dia.
After all, Dialah pemilik hati-hati makhlukNya dan Dialah pemilik segala kekuatan dan kemahuan. Berdoalah dengan sepenuh keikhlasan dan berazamlah untuk meninggalkan perhubungan itu, Insha-Allah, Dia akan menunjukkan cahaya di hujung terowong. Eh.
Tapi awas! Sekiranya anda berjaya melepasi ujian-ujian perasaan dan emosi yang akhirnya membawa anda kepada putusnya perhubungan anda dengan si dia, dan anda sangka semuanya akan menjadi lebih baik, anda silap. Cabaran yang lebih besar dan marabahaya sedang menunggu anda! Ketika inilah Jeneral Iblis dan tentera-tenteranya akan berasak-asak menyerang anda, seboleh-bolehnya mahu menghancur-ranapkan jiwa dan perasaan anda. Sehinggalah anda merasakan anda telah membuat keputusan yang silap dan anda perlu kembali kepada si dia!
Awas! Jangan biarkan anda tewas kepada pujuk rayu si iblis laknatullah dan konco-konconya, kerana mereka sememangnya mahu melihat anda jatuh tersungkur setiap masa. Jangan biarkan diri anda tersungkur di depan pintu neraka!
Ok, saya rasa saya perlu berhenti di sini. Jika tidak saya rasakan post ini akan menjadi terlalu panjang dan anda pula akan bosan membacanya. Tetapi sebelum itu izinkan saya merumuskan langkah-langkah atau tips untuk 'menyelamatkan' diri daripada hubungan terlarang ini:
- Akui dan yakini apa yang sedang anda lalui salah dan tidak mengundang keredhaan Allah
- Mula jauhi diri atau kurangkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyemarakkan nafsu anda
- Fahami apa sebenarnya tujuan anda bercinta
- Isi kekosongan jiwa anda dengan cinta kepada Allah
- Bertindak! Mintalah kepada Allah untuk memudahkan urusan anda!
- Selamat maju jaya kalau gagal cuba lagi tahun depan! Eh, sila abaikan.
Bagaimana..? Kalau membantu saya amat gembira. Jika tidak, sila maafkan saya, saya hanyalah manusia biasa. Hohoho..
|
Tak rugi cinta Allah, kerana ia pastinya berbalas! Tahu..?? [Kredit Gambar] |
Apa-apa pon, berbual mesralah dengan hati anda, kerana hati yang dipandu dengan niat yang ikhlas untuk berubah, pasti tidak akan menipu. Hati tidak akan berkata bohong tetapi nafsu dan akal yang jahatlah yang akan mengelabui anda.
Tepuk dada, tanyalah iman.
Tepuk dada, tanyalah hati yang tulus dan suci.
Tepuk dada, tanyalah Allah, tagihlah cintaNya yang agung dan abadi.
"Adapun orang-orang beriman, sungguh besar cinta mereka kepada Allah..."
[al-Baqarah, 2:165]
-gabbana-
Saya bukanlah seorang yang arif dalam bab perchentaan ini. Maka sila maafkan saya sekiranya kata-kata atau tips-tips yang saya berikan tidak boleh digunapakai. Saya juga masih dalam perjalanan yang jauh dalam menagih cintaNya...
Untuk Inche Q, banyakkan bersabar, kuatkan semangat dan jangan lupa berdating denganNya. Oh jika anda memerlukan sokongan moral dan tepuakn di belakang bahu, boleh juga sekiranya anda mahu berdating dengan saya! Wahahaha..
Apa-apa pon, menjadi bujang yang senang itu memang cukup kachak dan bergaya! Peace.