El Mensajero #1
Epilog: Mind the Gap!
Tiada kekuasaan selain Allah! [Kredit Gambar] |
Sebastian menyelak pintu almarinya. Almari kayu vernier berwarna putih yang dibelinya di IKEA Wembley itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda usang dan kusam. Manakan tidak, almari itu dibelinya lima tahun yang lalu menggunakan duit gajinya yang pertama.
Masih segar dalam ingatan Sebastian bagaimana dia bersusah-payah mengangkut kepingan-kepingan papan vernier itu menaiki keretapi bawah tanah dan kemudiannya bas dua tingkat Double-Decker hanya kerana tidak mahu membayar upah penghantaran yang dirasakannya cukup mahal.
Sampai sahaja ke unit pangsapuri sewanya di Southwark, setelah bertungkus-lumus pula mengangkut almari yang belum siap itu menaiki tangga, dia terus memasang, mencantum-cantumkan kepingan-kepingan papan vernier itu menjadi almari, sepertimana yang dilihatnya di platform pameran di IKEA. Walaupun tidak sempurna dek kekekokan Sebastian menggunakan pemutar skru khas yang dibekalkan bersama, dia berasa puas kerana dia kini sudah memiliki almari yang bakal menempatkan pakaiannya yang sudah lama terperap di dalam dua buah bagasinya.
Itu lima tahun yang dahulu. Kini Sebastian berkira-kira untuk membeli almari yang baru. Koleksi pakaiannya kini sudah bertambah. Jeans-jeans yang dikumpulnya sejak lima tahun yang lalu sudah semakin banyak. Kemeja kasual, pakaian pilihannya untuk dipakai ketika hujung minggu dan malam-malam bersosial juga kini sudah mencecah belasan helai. Tetapi dia masih sayangkan almari putihnya itu. Cukup nostalgik. Almari itu sebagai ingatan buatnya yang datang berhijrah ke negara orang untuk menerokai dunia baru mencari sesuap nasi.
Dan Sebastian mempunyai tabiat menampal poskad-poskad yang dibelinya dari serata dunia di atas permukaan almarinya itu. Juga poskad-poskad yang dihantar oleh rakan-rakan dan keluarganya. Setiap kali dia menyelak pintu almarinya, matanya tidak pernah terlepas daripada melirik kata-kata semangat, atau pemandangan-pemandangan menyegarkan, atau binaan-binaan yang menakjubkan yang tertampal pada almarinya itu. Mana mungkin dia mahu menggantikan almari itu dengan almari yang baru. Memori.
Sebastian membawa keluar penyangkut tali lehernya. Belasan tali leher tergantung kemas pada setiap besi unjuran kecil pada penyangkut itu. Sebastian berfikir sejenak sebelum menarik keluar tali leher sutera berwarna merah gelap, disulami dengan corak geometri kecil yang beraneka bentuk. Memang cukup padan dengan baju kemeja putih berkotak-kotak kecil yang dipakainya hari ini.
Terukir senyuman kecil pada bibir anak muda berusia pertengahan 20-an itu. Memilih tali leher yang sepadan dengan baju dan seluar adalah satu kejayaan kecil buat dirinya, saban hari. Begitulah rutin hariannya di hari-hari biasa. Bangun seawal 7.00 pagi, menikmati pancuran air panas sebelum bersiap untuk ke tempat kerja.
Dia menyemburkan minyak wangi Hugo Boss aroma campuran cengkih Mediterranean dan epal hijau segar sebelum mengkancingkan butang pada pergelangan baju kemejanya. Diambilnya pula kot panjang yang tergantung pada belakang pintu. Hari ini tentu sejuk, detik hatinya. Cuaca di luar kurang daripada 0 o Celsius, menurut ramalan cuaca BBC yang sempat ditontonnya.
Selepas melilitkan selendang bulu biri-biri Scotland di leher, dia menyarungkan pula sarung tangan kulit hitam di tangan. Bergaya. Dia lantas terus menyambar beg silang kulit berwarna perang kehitaman yang dibelinya di Massimo Dutti pada jualan Boxing Day dua tahun yang lalu, di atas sofa baldu berwarna hijau gelap di hadapan set televisyennya.
Dia sempat menjeling penampilannya pada hari itu pada cermin yang tergantung di koridor di pintu utama. Kacak. Getus hatinya. Bayangannya di cermin membalas senyumannya. Dia lantas membuka pintu dan berjalan keluar menuruni tangga, sebelum keluar daripada bangunan pansapurinya itu.
Angin dingin bulan Januari menyapa wajahnya. Dia sedikit menggigil. Ramalan cuaca turut meramalkan salji akan turun pada hari itu. Sebastian benci hari yang sejuk sebegitu. Ketika ini dia berharap dia dapat menikmati sinaran matahari segar di kampung halamannya. Namun pada masa yang sama, jauh di sudut hati dia menggemari musim sejuk seperti itu kerana ketika itulah dia dapat bergaya sakan dengan pelbagai fesyen musim sejuk. Sebastian tersenyum sinis memikirkan kegilaannya itu.
Sebastian Alejandro Aragon berhijrah ke kota London demi mencari pengalaman baru yang lebih mencabar dan menyeronokkan. Selama hampir dua puluh tahun dibesarkan di daerah Albayzín, di Granada, Sepanyol, dia amat teringin untuk menjelajah dan menerokai dunia luar. Setelah membuat kajian dan pembacaan sendiri, ditambah pula dengan syor daripada rakan-rakannya, dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib di kota London, kota metropolitan penuh warna-warni yang menjanjikan sesuatu yang amat berlainan daripada kehidupan serba sederhananya di Granada.
Kota Albayzín [Kredit Gambar] |
Walaupun kedua orang tuanya pada mulanya menentang, mereka akhirnya akur selepas melihatkan kedegilan Sebastian dengan keputusannya itu. Malah ayahnya sendiri yang membelikan tiket penerbangan Iberia ke London. Berbekalkan ijazah sarjana muda dalam bidang Ekonomi dan Sains Perniagaan daripada Universiti Granada, dia amat berharap dia akan memperoleh kerja di London nanti. Timbul juga perasaan ragu-ragu dan tidak berkeyakinan beberapa hari sebelum dia berlepas pergi, namun dia tekad untuk meneruskan rancangannya. Tambahan pula dia sudah menghebahkan kepada semua rakan-rakannya tentang pemergiannya ke London. Malu besar dia nanti kalau dia membatalkan rancangan meganya di saat-saat akhir!
Kali pertama dia menjejakkan kaki di kota London, perasaan sesal, cemas dan tidak keruan menguasai dirinya. Ketika tiba di Lapangan terbang Heathrow, melihatkan ratusan manusia yang memenuhi lapangan terbang tersebut, tergerak hatinya untuk membeli tiket pulang ke Granada semula ketika itu juga. Tetapi membayangkan wajah rakan-rakannya yang tertawa besar menyambut kepulangannya nanti, dia membatalkan hasratnya itu.
Mujurlah dia punya sepupu di London. Sepupunya itu cukup baik hati untuk menjemputnya di lapangan terbang dan menawarkan biliknya untuk dikongsikan dengan Sebastian. Sebastian berjanji yang dia akan keluar daripada bilik tersebut setelah dia berjaya mendapatkan pekerjaan. Dia tidak mahu menyusahkan sepupunya itu. Tambahan pula, dia telah berazam untuk berdikari semasa di London. Dia mahu belajar menjadi matang dan hidup bebas daripada kekangan keluarga.
Sebastian melihat jam di tangan. 7.34 pagi. Dia masih awal. Terlalu awal. Tidak mengapa, dia tidak suka bergegas-gegas dan berhimpit-himpit di dalam keretapi nanti. Perjalanan dari apartmentnya ke stesen keretapi Southwark, stesen yang terdekat dengannya mengambil masa kurang lebih tujuh minit berjalan kaki. Kadang-kadang, dia akan berjalan jauh sedikit ke stesen London Bridge, sengaja mahu menikmati pemandangan pagi di tepi sungai Thames.
Stesen keretapi bawah tanah Southwark [Kredit Gambar] |
Dia mengeluarkan sekotak rokok dari saku dada kotnya. Sarapan pagi. Dia mengeluarkan sebatang rokok dan segera menyalakannya kerana tidak tertahan lagi dengan kesejukan pada pagi itu. Dia menarik dalam asap rokok cap Pall Mall, dan kemudian menghembuskan perlahan-lahan asap keluar daripada mulutnya. Asap yang keluar kelihatan lebih berkepul daripada biasa, dek cuaca yang sejuk pada pagi itu.
Seorang wanita separuh abad berkulit hitam sedang sibuk mempersiap gerai menjual buah-buahannya di lorong pejalan kaki tepi jalan utama Blackfriars. Pelbagai jenis buah-buahan segar dijualnya. Sebastian tersenyum melihatkan longgokan buah oren yang diletakkan di satu sudut gerai tersebut. Lantas terus memorinya melukiskan pohon-pohon naranja yang menghiasi kiri dan kanan jalan di kampung halamannya. Di musim bunga, tatkala matahari bersinar terik, sudah menjadi aktiviti wajib untuk Sebastian dan rakan-rakannya memetik oren yang sedang berbuah lebat untuk menghilangkan dahaga. Walaupun sedikit pahit, tetapi titisan jus buah oren segar sudah cukup untuk membuatkan mereka lupa akan rasa pahit yang terpalit di lidah.
Naranja Andalusia, mengukir seribu memori di tanah Europa! [Kredit Gambar] |
Sebastian mencampakkan putung rokok dan memijaknya sebaik sahaja dia tiba di stesen. Dia menuruni anak tangga, mengeluarkan kad Oysternya yang diselitkan pada poket belakang beg silangnya dan menyentuh kad tersebut pada panel pintu otomatik. Dia melangkah masuk sebaik sahaja pintu otomatik terbuka untuknya. Di waktu itu stesen masih agak lengang. Maka Sebastian tidak perlu tergesa-gesa untuk berebut menaiki keretapi. Tambahan pula, tidak ramai orang yang mengambil aliran Jubilee, jika hendak dibandingkan dengan aliran Picaddily atau Central.
Dia sempat menyambar senaskah surat khabar percuma di pintu masuk stesen tadi. Ketika menuruni eskalator untuk ke platform keretapi, telinganya sempat menangkap pengumuman yang dibuat oleh pegawai stesen:
"Please mind the gap...! Mind the gap..!"
-gabbana-
Sudah lama saya tidak menulis cerita pendek seperti ini. Besar harapan saya, saya akan diberikan kekuatan untuk menghabiskan cerita pendek.
Berapa siri? Saya pon tak tahu lagi. Wahahaha.. Nantikan sambungannya.. Senyum.
11 Caci Maki Puji Muji:
wahaha...inche gabana memang bakatlah...:D
Menarik :)
Kebanyakan nye macam pengalaman sendiri bukan hoho
boleh terkesima tak?
bukan apa.
either anta menulis dengan cepat, atau anta mmg byk giler masa.
tukar keje ngan ana boleh? =p
nushin: terima kasih, tp sumenya tu dari Allah juga. ;)
harapnya akan setia smpai ke habis ye..? ^^
enonimus: hahaha.. haah, latar belakang dah setting tempat, sumenya dari pengalaman sendiri. tp watak utama, rasanya tak kot... ;)
adam JE: Cis. -___-"
dah tulis siap2 la, tinggal edit sket2 n taruh gambar.
ana dai'e full timer (Insha-Allah!) so taknak tukar kerja ngan nta. xp
peace.
x de keinginan utk rilis buku?kompem sy beli
jam loceng: ada ada..! tp blom diberi kesempatan lagi.. =S doakan saya ok..?? ;)
oh cepatlah cerita ini bersambung inche gabbana...
mcm lambat lagi je.. Hohoho.. ^^" Doakan saya dapat abeskan cite ni k..?
salam inche gabbana. biler mahu menyaipkan cerita nie?
Post a Comment