28 April 2013

Zilal: Bahagian V


[Kredit]

“Aku nikahkan dikau, Ahmad Junaidi bin Ahmad Ilyas dengan Sarah Alia binti Boestamam.. Dengan mas kahwin lapan puluh ringgit.. Tunai.."

Junaidi menggenggam tangan tok kadi dengan kuat. Tapak tangannya berpeluh. Dia gusar. Dia tidak pasti.

Berkali-kali dia melafazkan basmalah di dalam hati. Dia merenung wajah tok kadi, seolah-olah mahu menyuruhnya berhenti. Dia tidak pasti.

Dia memejamkan matanya. Ditariknya nafas yang ada dengan dalam. Terbayang-bayang wajah Farid di kepalanya.

“Ju.. Ju tahu, hubungan yang Ju impikan takkan ke mana kan..? Mustahil Ju, mustahil..”

Terngiang-ngiang kata Farid kepadanya beberapa tahun yang lalu.

Farid.. Di mana kau, di saat aku paling memerlukan dirimu..?

Junaidi membuka matanya semula. Tok kadi masih di hadapannya. Hadirin masih di sekeliling, memerhatikan mereka dengan penuh pengharapan. Realiti. Dia tidak bermimpi.

Sudah tiada jalan keluar. Inilah takdir yang telah ditentukan Allah buatnya. Dia yakin, pasti besar hikmahnya. Dia yakin, inilah yang terbaik buat dirinya. InshaAllah. InshaAllah. InshaAllah. Inilah..

“Aku terima nikahnya, Sarah Alia binti Boestamam, dengan mas kahwin lapan puluh ringgit, tunai.”

Sekali lafaz. Sahlah Junaidi dan Sarah bergelar suami isteri.

Air mata Junaidi mengalir perlahan. Begitu gembira sehingga basah matanya. Itu sangkaan orang di sekelilingnya.

Namun hakikatnya, dalam hatinya, siapa yang tahu, melainkan dirinya sahaja..?

***

Junaidi menunggu dengan penuh resah. Dia terasa mahu membatalkan sahaja pertemuan seperti yang telah dijanjikannya dengan Farid. Apabila teringatkan kembali peristiwa dia meluahkan perasaan chentanya kepada Farid, dia berasa terlalu amat malu untuk bertemu dengan murabbinya itu.

Kenapalah aku bodoh sangat, setuju je nak jumpa dia…? Bunuh diri.

Jika ada mana-mana sudut dunia yang bisa untuk dia melarikan diri, sudah pasti dia berlari laju menujunya. Sekiranya anda mana-mana lubang yang paling dalam untuk dia menyorokkan dirinya, sudah tentu dia akan terjun ke situ. Andai  ada lautan luas untuk dia menyelam jauh, jauh daripada daratan dunia, sudah pasti dia akan melakukannya.

Tapi Junaidi sudah berjanji pada Farid. Dia bukanlah orang yang mudah memungkiri janji. Dan jauh di dalam sudut hatinya… Dia sebenarnya amat rindu untuk bertemu dengan Farid. Ahh.

Farid dan dirinya sememangnya amat rapat. Hampir setiap hari mereka akan berhubungan. Sekiranya Farid tidak menelefonnya, sekurang-kurangnya dia akan menghantar mesej ringkas, di Whatsapp atau sms sahaja. Junaidi selalunya membiarkan Farid untuk menghubunginya dahulu. Jual mahal. Dan Farid tidak pernah mengecewakannya.

Biar mesejnya seringkas “Salaam! Pekaba iman?” Meski percakapan mereka di telefon tidak lebih dua tiga minit. Biar mesej di Whatsapp hanya berupa emotikon senyum kenyit mata. Farid tidak pernah mengecewakannya.

Setiap panggilan dari Farid, setiap mesej Farid yang masuk, pasti akan membahagiakan Junaidi. Hidupnya pasti tidak lengkap, rasa tidak kena andai seharian berlalu tanpa Farid menghubunginya.

Selain itu, seringkali selepas habis sahaja usrahnya bersama Farid, pastilah Junaidi yang akan paling akhir sekali berpisah dengan Farid. Sama ada dia akan menunggu Farid yang sibuk bermuayasyah dengan ahli-ahli usrah yang lain, atau Farid sendiri yang akan memintanya untuk pulang bersama-samanya.

Junaidi tahu, ahli-ahli usrah lain tahu dan sedar betapa istimewanya dia di sisi Farid. Dan hal itu kadangkala menyebabkan dirinya rasa bersalah. Dia tahu, ada rakan-rakan seusrahnya yang cemburu dengan hubungan rapatnya dengan murabbi mereka itu. Dan hal itu sering menyebabkan fikirannya kacau.

Namun cukuplah jawapan Farid merungkaikan segala-galanya. Apabila Junaidi bertanyakan hal tersebut kepada Farid, Farid hanya tertawa, sebelum memberikan jawapan yang tidak mungkin akan dilupakan Junaidi buat selamanya.

“Ju… Setiap manusia Allah kurniakan dengan seketul daging yang amat istimewa sifatnya. Hati. Daging tu dikenali sebagai hati. Dan dengan hati ni, Allah masukkan pula suatu perasaan yang cukup luar biasa, yang tidak Allah kurniakan pada makhluk selain daripada manusia. Itulah chenta.”

Junaidi mendengar dengan penuh minat. Berdebar-debar hatinya apabila perkataan chenta disebut Farid.

“Chenta ni, adalah suatu perasaan yang cukup istimewa, namun misteri sifatnya. Ia tidak boleh dipaksa. Ia tidak boleh dipinta. Dan Ju.. Chenta itu adalah kata kerja. Untuk jatuh chenta, berguling-guling, seseorang itu perlu berusaha untuk lari laju-laju, tersadung dan akhirnya jatuh. Haha..”

Farid merenung wajah mutarabbinya dengan penuh kasih.

“Berchenta bukan untuk memiliki, Ju. Kita boleh sahaja menchentai seseorang itu dengan sepenuh hati, dengan segala rasa, dengan sehangat jiwa. Tapi belum tentu orang yang kita chentai itu menchentai kita kembali..”

Berderau darah Junaidi. Adakah dia menchentai aku, sepertimana aku menchentainya..?

“Samalah Ju. Kalau seseorang itu sudah menchentai seorang yang lain, tiada siapa yang dapat menghalang perasaan chenta itu. Andai perasaan chenta itu sudah berapi membara, tiada siapa yang dapat memadamkannya. Jika perasaan chenta itu sudah berakar membumi, tiada siapa yang dapat menghamburkannya keluar.

Kecuali… Dia. Allah. Kerana chenta itu milikNya. Dialah yang memberikan perasaan chenta ni Ju. Bila-bila masa, Dia boleh menarik kembali perasaan yang agung ni. Oleh sebab itu, kita kena selalu bersyukur padaNya. Kita kena taat padaNya. Kita kena buat apa yang Dia suruh. Dengan harapan, Dia akan terus bagi perasaan yang cukup nikmat dan lazat ini.”

Setiap bait-bait yang keluar dari mulut Farid ditangkap satu-persatu oleh Junaidi. Tekun. Khusyu'.

“Dan kalau kita benar-benar menghargai perasaan chenta yang Allah beri ni, kita kena sebarkan chenta. Kita kena raikan chenta. Bagi semua orang pon dapat rasa, betapa hebat dan nikmatnya perasaan ini. Dengan cara apa..? Dengan kita rapatkan ukhuwwah. Dengan kita buat tarbiyah. Dengan kita berdakwah.

Di atas jalan inilah kita telah dipertemukan Ju. Bukan kebetulan. Bukan saja-saja. Tapi dengan inayah dan cahayaNya, kita telah dihubungkan. Allah sebut dalam al-Quran, kalau kita infaqkan seluruh harta di muka bumi ni pon, kita takkan dapat satukan hati-hati manusia. Tapi dengan rahmatNya lah, kita bersatu.”

Farid tersenyum lagi. Diperhatikannya reaksi Junaidi, sebelum menyambung semula.

“Allah memilih, Ju. Bukan semua makhlukNya yang benar-benar dichentaiNya; hanya mereka yang taat dan benar-benar berjiwa hamba sahaja yang akan dikasihiNya. Dalam kalangan banyak-banyak hambaNya, Muhammad SAW adalah penghulu segala kekasihNya. Baginda adalah makhluk yang paling dichentai Allah. Allah memilih.

Rasulullah juga memilih. Walaupon semua sahabat baginda merasakan merekalah yang paling istimewa di sisi baginda, namun daripada seerah, kita tahu bahawa Abu Bakr adalah sahabat baginda yang paling istimewa. ‘Umar al-Khattab yang paling berhikmah dan tajam firasatnya. Abu ‘Ubaidah al-Jarrah adalah orang yang paling baginda percaya. Dan seterusnya.. Rasulullah memilih.

Apatah lagi kita, manusia yang punya banyak kelemahan dan kekurangan ni, Ju. Manusia yang sering tewas dengan chenta. Yang sering terkalah dengan chenta. Kerana chenta itu amat luar biasa. Chenta itu amat berkuasa. Ia adalah perasaan agung, daripada Tuhan yang Maha Menchentai kepada hamba-hambaNya yang sentiasa mendambakan chenta. Ia tidak boleh dipaksa. Ia bukan untuk dimiliki..

Dan saya telah memilih, Ju.. Di atas jalan dakwah ini, saya…”

Farid terdiam sebentar. Dia tersenyum lebar, hingga matanya menyepet. Keningnya terangkat. Tanda dia teruja. Jantung Junaidi berdegup kencang, mahu pecah, tidak tertahan lagi menunggu jawapan yang bakal keluar daripada mulut Farid.

“…Saya menchentai Ju kerana Allah.”

Tidak tertahan air mata Junaidi mendengarnya.

“Laaah. Nanges pulak dia..! Ahahaha.. Orang baru nak jiwang karattt!”

Junaidi tertawa, dalam air mata. Cepat-cepat dia menyeka air matanya.

Dan air matanya jugalah yang mengejutkan dirinya daripada lamunan yang panjang. Dia tertawa lagi seorang diri. Tawa yang belum pasti bahagia.

Kedengaran bunyi enjin kereta datang menghampiri. Proton Saga. Farid.

Secara spontan, Junaidi berdiri. Jantungnya berdebar. Jiwanya bergetar. Gugup.

Enjin dimatikan. Perlahan-lahan pintu kereta dibuka. Farid, berbaju Melayu-Jawa putih bersulam, berseluar jeans dan bercermin mata hitamnya. Kacak.

Farid menanggalkan cermin mata hitamnya. Dia tersenyum apabila melihat kelibat Junaidi yang setia menantinya. Namun senyumannya hambar. Tawar. Dia lantas berjalan mendekati Junaidi.

“Ju…”

Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Tiada pelukan. Tiada laga pipi.

Teragak-agak Junaidi menyambutnya. Tangannya berpeluh. Resah.

“Kita duduk kat situ jom..?”

Junaidi mengangguk setuju. Mereka berjalan ke arah gazebo yang dimaksudkan. Mulanya Junaidi menyangka, pastilah Farid mahu duduk bertentangan dengan dirinya. Setelah apa yang berlaku, dia menjangkakan Farid seboleh-bolehnya tidak mahu mendekatinya. Namun dia silap. Farid memilih untuk duduk di sebelahnya.

“Ju sihat..?”

Farid memulakan bicara. Matanya memandang ke hadapan.

“Ehm.. Alhamdulillah. Abang macam mana..?”

Junaidi juga sama. Berkata-kata tanpa memandang wajah Farid.

“Alhamdulillah..”

Sunyi. Lama begitu. Hanya kedengaran angin sepoi-sepoi yang bertiup menerbangkan dedaunan kering. Juga kereta dan motor yang sekali-sekali melalui jalan yang berdekatan.

Farid berkira-kira untuk memulakan perbincangan pada hari itu. Junaidi sudah pastinya memilih untuk diam membisu, melainkan jika ditanya.

Farid tekad untuk menyelesaikan isu antara mereka berdua pada hari itu juga. Bismillah.

“Ju.. Mula-mula sekali, saya nak minta maaf pada Ju. Sebab selama saya jadi murabbi Ju, saya tak pernah tahu pon Ju ada masalah.. Jujur, I had no idea. Saya murabbi yang gagal Ju..”

Perlahan sahaja Farid melafazkannya. Sayu Junaidi mendengarnya.

“Dan Ju.. Whether we like or not.. Selepas apa yang berlaku.. Uhhmm... Hubungan kita dah tak sama lagi.. Saya cuba untuk buang perasaan ni jauh-jauh.. Tapi… Susah Ju.. Mustahil..”

Farid tunduk apabila melafazkannya. Hancur hati Junaidi mendengarkannya. Tapi dia sudah boleh mengagak sebenarnya.

"Tapi bang.. Abang cakap.. Abang chentakan saya kerana Allah..? Ke mana...ke mana perginya chenta itu..?"

Ada muqadimmah sebak pada kata-kata Junaidi. Dia cuba menahannya. Farid mengangkat wajahnya dan buat pertama kalinya, memandang tepat wajah Junaidi. Kemudian dia memandang ke hadapan, tidak sanggup merenung wajah mutarabbinya itu lama-lama.

"Ju.. Ju.. Sewaktu saya ucapkannya sewaktu ketika dahulu.. Saya benar-benar maksudkannya. Wallahi.. Dan InshaAllah, saya masih sayangkan Ju keranaNya. Tapi Ju.. The situation is different now. Very much different. You tell me.. Kalau Ju berada di tempat saya sekarang ni, apa yang Ju akan rasa..?"

Junaidi tertunduk. Menitik air matanya. 

"Sukar untuk saya nyatakan ni Ju. Tapi saya rasa.. Ini adalah keputusan yang terbaik. Saya dah berbincang dengan beberapa orang ikhwah.. Dan saya dah istikharah.. Sumpah Ju, memang sukar untuk saya buat keputusan ni.. Tapi.. Inilah je yang mampu saya lakukan.. Saya.. Saya.."

Berdebar-debar jantung Junaidi, menanti-nanti Farid untuk menghabiskan kata-katanya. Namun Farid tidak mampu untuk menghabiskannya. Suaranya tidak terkeluar. Yang keluar hanyalah dengusan nafasnya, menahan sebak. Dadanya berombak.

Diambilnya tangan Junaidi dan digenggamnya dengan kuat. Dipejamkan matanya. Nafasnya ditarik dalam.

"Saya rasa... Lebih baik kita tidak berjumpa lagi. Jika dengan keberadaan saya buatkan Ju tidak tentu arah, berangan-angan pada sesuatu yang mustahil, memendam rasa yang tak mungkin akan terluah... Lebih baik rasanya untuk kita berjauhan.

Dan.. Dengan saya berada bersama Ju akan membuatkan syahwat Ju bergejolak.. Haram sebenarnya untuk kita bersua..."

Farid melepaskan genggamannya. Air mata panas habis membasahi pipinya yang berlekuk itu. 

Junaidi seperti tidak terpercaya dengan apa yang didengarinya. Tidak disangka-sangkanya, Farid akan mengambil keputusan sedrastik itu. Takkanlah sampai tak nak berjumpa..?

"Ta..tapi bang..."

"Ju.. Jangan pujuk saya.. Saya dah tekad. Saya rasa inilah yang terbaik. Untuk Ju. Untuk saya. Kita berdua."

Junaidi tidak tertahan lagi. Tidak semena-mena dia berasa berang dengan apa yang baharu sahaja dihamburkan Farid. Marah. Geram. Keliru!

Junaidi bangkit. Dia merasakan tidak ada faedahnya lagi dia meneruskan perbualan itu dengan Farid. Farid sudah pon membuat keputusannya.

"Eh Ju? Ju nak ke mana..? Saya.. Saya tak habis lagi ni!"

Junaidi menjeling tajam Farid. Gunung berapi bakal meletup.

"Apa lagi yang abang nak daripada saya..?? Dah abang kata tak nak jumpa dengan saya kan..?? So...?? Saya nak berambus lah ni..!

Farid terkesima. Terkejut. Matanya membundar. Mulutnya sedikit terlopong. Langsung tidak dijangkanya Junaidi akan menjawab sedemikian rupa.

"Ju.. Maafkan saya Ju.. Maafkan saya.. Sabar Ju.. Kita habiskan dulu. Saya ada lagi benda nak kena cakap pada Ju ni.."

"Apa lagi bang..?? Abang tahu tak abang zalim pada saya..? Abang nak tinggalkan saya terkontang-kanting macam ni...? Abang nak biarkan saya kembali ke jurang neraka yang pernah saya tinggalkan dahulu...?? Apa abang nak jawab apa depan Allah nanti hahh...???"

Pecah dua empangan; empangan mata Junaidi dan empangan mata Farid. Mereka yang lalu-lalang ada yang berhenti, tertarik dengan apa yang berlaku. Drama apa pula ni..? 

"Sabar Ju, sabar.. Istighfar Ju, istighfar.. Duduk dulu. Tenang Ju, tenang.."

Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Mujur Junaidi mendengar nasihat yang diberikan Farid. Dia sedikit tenang selepas duduk semula dan beristighfar panjang. Namun hatinya masih panas. Kepalanya kusut. 

Setelah Farid yakin yang Junaidi sudah sedikit tenang, dia kembali memulakan bicara.

"Ju, sebab saya sayangkan Ju lah saya buat keputusan macam ni. Sebab saya nak bantu Ju lah, saya rasakan inilah keputusan yang paling baik sekali.. 

Jujur Ju, saya tak tahu macam mana nak bantu Ju... This has never happened to me before. Tidak juga pada ikhwah lain.. 

Dan saya tahu.. Untuk saya katakan pada Ju, "Haram Ju! Ju kena tinggalkan semua ni!" atau "Ju Allah laknat perbuatan kaum Nabi Lut tahu??" dan apa-apa lah along those line, it's not gonna work. Saya tahu.. Ia tidak semudah itu.. 

Sebab ia bermain dengan hati. Dengan perasaan. Dengan chenta. Benda-benda yang main dengan perasaan ni... Saya tahu, memang susah untuk kita tinggalkan.. Apatah lagi chenta itu buta dan membutakan..."

Junaidi hanya mampu untuk memejamkan matanya. Dia mahu memberontak. Protes. Tapi dia tahu dia tidak mampu. Dan dia tahu, apa-apa yang dikatakan oleh Farid, banyak benarnya.

"Ju.. Kalau bukan saya yang menjadi watak utama dalam cerita kita ni.. Haha.. Wallahi, I am more than happy to help you. To be with you all the time, untuk bantu Ju keluar daripada kegelapan ini. Tapi Ju.. Sebab hal ini melibatkan saya secara langsung.."

Farid memandang ke atas. Seperti mengharapkan wahyu dari langit untuk memudahkan urusannya ketika itu.

"Saya terpaksa ambil keputusan ni.. Berat Ju, memang berat.. Tapi.."

"Tapi bang.."

Junaidi memotong. Dia mahu bersuara.

"Saya tak mampu nak hadapi ni sorang-sorang bang.. Kalau bukan abang yang nak bantu saya.. Siapa lagi..?"

Sayu. Sebak. 

"Ju... Senang untuk saya berkata-kata, sebab akhirnya, Ju yang menanggung derita. Kan..? Tapi Ju, saya yakin.. Bukan sengaja-sengaja Allah berikan Ju ujian sehebat dan seberat ini. Mengapa dalam banyak-banyak manusia di dunia, Allah pilih Ju..? 

Saya yakin, Kalau diberi pilihan, Ju pon tak rela benda ni dalam diri Ju kan..? Saya tahu Ju sengsara. Saya tahu Ju terseksa. Dalaman. Batin. Emosi.. 

Tapi inilah perjuangan Ju. Inilah mujahadah Ju. Inilah pengorbanan Ju. Kalau orang lain dapat pahala sebab buat kebaikan, Ju akan dapat lebih lagi.. Sebab.. Sebab apa yang Ju terpaksa lalui sekarang bukan benda kecil. Bukan benda remeh. Ju kena lawan Ju. Ju kena kuat..

Apatah lagi Ju sudah berkenalan dengan tarbiyah. Sudah jatuh chenta dengan dakwah. Saya yakin Ju lebih kuat sekarang ni. Lebih matang."

Junaidi hanya mampu tertunduk. Kelopak matanya masih belum kering dibasahi air.

"Allah tu Maha Adil, Ju. Maha Pengasih. Maha Penyayang. Takkan saja-saja Dia nak biarkan Ju terseksa macam ni. Takkan suka-suka Dia nak tengok Ju menderita..

Saya yakin Ju, ada benda yang lebih besar yang Allah nak tunjukkan pada Ju.. Ada permata bersinar cemerlang yang Allah nak keluarkan daripada arang yang menghitam. Ada cahaya cerah secerah mentari yang Allah nak tunjukkan pada Ju di hujung terowong yang maha gelap ni.

Tapi Ju, Ju kena banyakkan bersabar.. Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Dan mujahadah. Ju kena pegang empat benda ni sampai bila-bila."

Junaidi sudah semakin tenang. Kata-kata Farid benar-benar menusuk kalbu. Bait-bait yang dilafazkan Farid berjaya menyejukkan jiwanya yang berbolak-balik, mendidih panas sebentar tadi.

"Ju, saya akan terus menyayangi Ju, sebagai seorang al-akh yang amat-amat saya kagumi di atas jalan dakwah ni. Potensi Ju besar. Dan saya yakin Ju boleh pergi jauh. Jangan biarkan emosi dan nafsu menguasai diri, lantas menang besar dalam peperangan ini. Jangan sesekali biarkan kehendak dan kepentingan diri mengatasi ghayah dan tujuan hidup kita. Kita selama-lamanya hamba kepadaNya, Ju. Dan kita mesti menjalankan tugas kita sebagai khalifahNya di muka bumi. Jangan biarkan syaitan dan jahiliyyah menang, Ju. Jangan.. 

Meski saya tiada di sisi Ju, saya akan terus mendoakan Ju. Walau Ju sudah tiada saya untuk membimbing dan menuntun tangan Ju, inshaAllah, saya yakin, ramai lagi ikhwah yang jauh lagi hebat, jauh lagi Super Saiya, yang akan menggantikan tempat saya ni.."

Junaidi mencelah.

"Tapi tak sama bang.. Abanglah yang tarik saya masuk ke dalam gerabak ni. Takkan sama bang. Sampai bila-bila pon.."

Farid menghelas nafasnya. Panjang.

"Ju.. Ju.. Ju tahu hubungan yang Ju impikan takkan ke mana kan..? Mustahil Ju, mustahil.. It won't work. Terimalah Ju, keputusan saya ni dengan redha. 

Dan Ju... Kalau Ju tak jumpa jalan keluar.. Kalau Ju buntu, sesat dan keliru.. Ketahuilah Ju.. Allah kan ada..? Allah sentiasa ada untuk guide dan bantu Ju.. Yakinlah, Ju. Allah sayangkan Ju. Allah chenta Ju. Kalau Ju tiada tempat bergantung, carilah Allah. Burulah chentaNya. Dan Ju tak akan kecewa. Never. Ever. Yakinlah.."

"Abang.."

"Ju.. Dengar sini. Ingat kata-kata saya ni sampai bila-bila. Saya nak masuk sorga dengan Ju. Saya tak mahu janji apa-apa pada Ju, tapi saya nak kita masuk sorga sama-sama.

Biarlah hubungan kita di dunia sampai sini sahaja. Tapi di sorga, siapa yang tahu..? 

Ju... Ingat Ju. Allah sentiasa. Zilal chentaNya akan sentiasa bersama-sama Ju. Yakinlah. Moga Ju sentiasa dalam zilalNya yang agung lagi mulia. Dan moga di mahsyar nanti, kita akan duduk bersama-sama di bawah zilal ArasyNya, kerana kechentaan sesama kita hanya untukNya.. 

Kalau Ju betul-betul sayangkan saya.. Kalau Ju betul-betul chentakan saya.. Kita sama-sama bersabar di dunia ini, dan kita berchenta semula di sorga nanti...

Ok Ju..? Please..?"

Berkerut dari Junaidi. Dipejamkan matanya kuat-kuat. Lama dia begitu. Farid menanti dengan penuh sabar. Debar.

"Ok bang. Ok.."

Air matanya mengalir perlahan. Namun kali ini, terukir senyuman di bibirnya.

"Janji, Ju..?"

Farid pula tersenyum. Lega. 

"Janji. InshaAllah.."

***

Junaidi menyarungkan cincin emas bertakhtakan berlian ke jari manis isteri yang baru dinikahinya. Suatu kucupan ringkas tapi ikhlas dihadiahkan pada dahi isterinya. 

Sarah tersenyum. Dia bangga. Dia gembira. Namun dia tahu cabaran yang bakal dihadapinya sebagai seorang isteri kepada Junaidi.

Junaidi sudah pon menceritakan segala-galanya sebelum mereka bergelar suami isteri. Pada mulanya Sarah enggan menerima hakikat itu. Dia hampir-hampir menolak pinangan Junaidi.

Namun setelah berbincang dengan akhawat yang amat ditsiqahinya, setelah beristikharah dan memohon doa padaNya, isyarat-isyarat yang diterimanya semuanya menghala ke arah Junaidi.

Dia redha. Dia yakin pasti ada hikmahnya. 

Junaidi memimpin Sarah untuk sesi fotografi ringkas. Dia cuba memberikan senyumannya yang terbaik. Dia gembira. Dia bahagia. Malah dia merasakan dirinya amat bertuah dapat memperisterikan Sarah. Namun jauh di lubuk hatinya...

Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Mujahadah.

Ya. Sabar. Istiqamah. Ikhlas. Dan mujahadah.

"Maka nikmat Tuhamu yang manakah kamu dustakan..?"

bersambung buat kali terakhir...

-gabbana-

Bagaimana..? Harap tidak ada yang terjun tingkap lapanbelas atau masuk lubuk buaya kerana terpakasa menantikan episod yang terakhir. Eheh.

Sukar juga untuk saya menghabiskannya. Berkira-kira, sama ada ia akan memberikan manfaat kepada anda yang membacanya. Khuatir, ia hanya akan memuaskan nafsu saya untuk menulisnya sehingga habis, dan bukannya untuk berkongsikan ibrah dan pengajaran. Na'udubillah.

Doakan agar saya diberi kekuatan dan kemahuan, untuk menghabiskannya, andai itulah yang terbaik untuk agama ini. Senyum.

Ini kalilah! Eh.

Zilal. Hakcipta terpelihara (C) 2013.

>> Zilal: Bahagian I
>> Zilal: Bahagian II
>> Zilal: Bahagian III
>> Zilal: Bahagian IV   

23 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 28/04/2013, 20:09  

Alhamdulillah, a great continuation from the previous part. InshAllah banyak ibrah yang boleh diambil dari kisah ni. bukan saja contoh teladan akhlak tetapi juga kisah yang sama sebenarnya yang wujud dalam masyarakat.

Semoga Allah merahmati saudara penulis inshAllah

aisyahfauzoli 28/04/2013, 20:24  

Alhamdulillah, ada ibrahnyajuga penulisan kali ini...memang benar, ada saatnya sangat sukar untuk kita membuat keputusan...dan memanglah mudah bercakap berbanding melakukannya...Terima kasih atas perkongsian dan peringatan ini :)

hamba Allah 28/04/2013, 20:34  

ada permata bersinar cemerlang yang Allah nak keluarkan daripada arang yang menghitam.
:)

Anonymous 28/04/2013, 20:38  

slm wbt.
sy mempunyai kisah y hampir sama dgn kisah ini. tapi tak sampai mencintai sahabat itu seperti mana cinta seorg rumi kpd Juliet lah. sayangkan seorang sahabat kerana betul2 nampak potensinya dlm dnt, tapi dalam masa y sama, sayangkan dia kerana dia sahabat y sgt2 memahami, dan sentiasa ada di sisi, sentiasa membuatkan diri rasa sgt special dgn layanan y diberikan seperti mana sifat Rasulullah y membuatkan siapa shj y dekat dgnnya akan merasa dialah y plg disayangi. disebabkn sering melakukan byk benda bersama2, merupakan housemates, classmates, usrahmates, berkongsi minat yang sama, betul2 buat kami mejadi rapat. it leads to attachment. menjadikan ana mudah merajuk dan sering merasa cemburu jika dia rapat dgn org lain. sering merasa xkeruan kalau dlm sehari xdpt bercakap atau bergurau dgn sahabat itu.

atas sebab2 tertentu, kami bergaduh, membuatkan kami tidak lagi rapat seperti mana dahulu.
kadangkala, ana juga tidak tahu adakah benar ana menyayanginya kerana Allah atau utk kepentingan diri.
tetapi y pasti, ana betul2 ingin dia bersama dlm dnt. berjalan bersama, jatuh bangun bersama, bekerja bersama di jln ini. dan y plg ana pasti, ana betul2 ingin masuk syurga bersama dgnnya.
walau di dunia, dia tidak lagi menjadi sahabat baik ana, tidak lagi bersama2 menghabiskan masa melakukan perkara2 yang disukai bersama, ana harap, ana redha dgn itu.

sabar.istiqamah.ikhlas. mujahadah.

sgt terkesan.
jzkk inche gabanna.

Anonymous 28/04/2013, 20:53  

Speechless,Subhanallah!..bnyk ibrah,smga yg lain pun dpt ibrahnya..Moga Allah Redha..

Anonymous 28/04/2013, 20:56  

okeh.inche gabbana suka buat orang nanges.sekian

Mdm Wawe 28/04/2013, 21:43  

Heishh, can't understand..what's the fuss about!
It's like aNUwar Ib,rahim's case, right? Just discard them...Wasting time. Can I get to read some other more inspiring issues? Plzz...

Anonymous 28/04/2013, 22:27  

Alhamdulillah. I really like this part. The advice and supports from 'Farid' tu sangat-sangat membantu saya buat masa ni. I'm really having a hard time. Tapi takdelah jalan cerita macam ni. But overall, thanks anyway!

Alhamdulillah... :)

Anonymous 28/04/2013, 22:52  

Inche gabbana terlalu banyak menggunakan teknik imbas kembali dalam plot penceritaan zilal. Adalah sangat menarik seandainya inche dapat menggabungkan teknik2 yg lain. :)

Anonymous 28/04/2013, 23:04  

tu je??? Xsuspen pun..plot agak mendatar sebenarnya..

Anonymous 28/04/2013, 23:09  

pehhhh ... cepat lah habis ..

Anonymous 28/04/2013, 23:16  

orang yang tak melaluinya mmg akan pandai komen je itu ini. cuba anda berada di tempat watak, baru anda tahu.

Anonymous 29/04/2013, 01:45  

Salam...

Keputusan yang farid ambil, untuk tidak lagi berjumpa dan contact dgn junaidi.. tu yg sebaiknya. Kan? Dan saya membaca kisah ini dgn mindset bahawa perkara ini berlaku di malaysia. So possible lah, kalau farid nk 'tinggalkan' junaidi. Di malaysia, ada ramai ahli jemaah. Kalau nk pergi program, boleh je nak pastikan tak terserempak.. sbb dkt malaysia, program banyak. Kalau cari memang boleh jumpa. So tarbiyah kita memang inshaAllah akan terus berkembang. Junaidi dan farid dua-dua boleh terus meningkat, cuma mungkin dalam context farid bergerak dan membawa usrah di daerah lain. Dan saya yakin farid akan pastikan ada ikhwah lain yang akan terus membimbing junaidi, memastikan dia tidak tercicir daripada gerabak ini.

Tapi macam mana kalau, perkara ni berlaku bukan di malaysia? Pelajar-pelajar overseas.. yang basically, ikhwah dalam jemaah tu lah keluarga kita. Senang susah, mereka lah yang ada. Family pun kita tak ada di oversea..

Bayangkan, A. Seorang ikhwah di Rusia, contohnya. A membaca siri zilal dengan penuh perasaan.. menangis bukan sahaja di cerita nukilan IG, malah lebih teruk menangis membaca komen-komen yang ada. Kenapa? Sebab dia juga menghadapi masalah sebagaimana junaidi. Setiap hari dia buka blog APG, nak tahu macam mana kisah ni berakhir. Sebab sejujurnya, dia mahukan jawapan untuk dirinya sendiri. Sebab selama ni, dia buntu, tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi.

And then there comes this post. Dan jalan penyelesaian yang dicari-cari... is something yang dia tahu dah selama ni. Kena berterus terang. Kena tinggalkan. Kena putuskan hubungan. No matter how much that person membawa dia semakin dekat kepada Allah. No matter how important that person (B) is dalam membina dan menguatkan keimanan dalam diri dia selama ni. Sebab, "Dengan saya berada bersama Ju akan membuatkan syahwat Ju bergejolak.. Haram sebenarnya untuk kita bersua..." ye, A faham. Haram untuk dia terus bertemu dan berjumpa dengan B. Walaupun selama ni dia cuba sedaya upaya untuk menahan dirinya. Walaupun selama ni dia selesa dengan B, bukan sebab nafsu semata, dia selesa dengan B, sebab B sering membawanya mengingati Allah. Sebagai kawan, B menegur A mengenai perkara-perkara yang paling kecil, dengan cara yang paling berhikmah. Walaupun selama ni, A terus menerus melawan hawa nafsunya kerana dia sayang kan B kerana Allah. Kerana dia mahu sayang kan B kerana Allah. Tapi hakikatnya.. haram. Sebab perasaan tu masih ada.

Tapi.. kalau dia berterus terang, apa yang akan berlaku pada dia? B dah lama dalam dnt di tempatnya. Kalau dia betul tekad untuk do the right thing, (which is untuk tinggalkan dan putus segala hubungan dengan B) he will have no choice. Dnt dia tak dapat berkembang.

Saya yakin IG pun tahu suasana dnt di oversea kan. Kalau dah memang satu tempat, semua daurah muka yang sama. Apa-apa semua muka yang sama. Kalau bukan daurah atau program pun, jalan-jalan city akan nampak muka sama. Hari raya, solat raya. Open house sesama malaysians. Terawih, iktikaf di masjid dulu sama-sama.. memang tak possible. Tak possible untuk A boleh terus berada dalam gerabak dnt if he chooses to do the right thing. Even though dia nak, dia nakkkk sangat just luahkan semua perasaan dalam hati, come what may. Cuma satu je, A sudah sayangkan dakwah dan tarbiyah.

Soalan saya, how can we help A? What can he do for himself? Because he reads and waits for your new entry everyday, hoping that there is a way out for him.

Anonymous 29/04/2013, 06:50  

bila melihat komen komen di atas. dan sbnarnya turut mengakui diri ini juga pernah mengalami masalah yang lebih kurang sama.
and now is moving forward inshaAllah.

saya fikir ini memang agenda syaitan laknatullah yang cuba memporak perandakan barisan jundullah dakwah ini.
mengelirukan rijal rijal pemacu dakwah antara konsep ukhuwah dan attachment, nauzubillah, songsang.

gejala ini sangat berleluasa. sehingga kelihantan sekali perancangan teliti syaitan mengocak iman tentera dakwah seantero dunia.
aptah lagi, untuk yang baru mengenali DNT ini,
jadi, ayuh.
kita perkasakan doa doa pada al mujib
membasahkan hati kita ðengan ingatan hanya padaNya.
dan paling penting. sentiasa melurusknan niat pada setiap langkah. sbgimana umar al khattab.
wallahualam.

Anonymous 29/04/2013, 09:04  

Sori la. Komen kritis kat atas. Bukan ape, panas tengok tagline parti yg satu tu..Takyah la apg masukkan bab2 politik ni ye?
Tak kemanenye... Lagi berapi ade la.
I luv this blog actually. But kalo ade bbaur political influence, xbest la. Keep neutral, plzz. Thanx.

Anonymous 29/04/2013, 11:37  

Salam anonymous 09:04..
Sy minta maaf. Tp sejujurnya sy x nmpak political influences yg dibawa inche gabbana. Minta maaf, yg mana ya? *ke sy yg x cakna isu semasa?huhu*

Unknown 29/04/2013, 12:56  

Bestnya..!!!

Anonymous 29/04/2013, 14:55  

potong bawang laju2... T__T Allah dah bantu ana untuk berpisah dengan dia dengan ana belajar kat sini dan dia jauh di oversea sana. tapiii... hmmm.. nak still contact boleh je. tapi nak bgtau terus terang tu takut lahh IG... mcm mana ya?

Jejaka Nirman 30/04/2013, 02:37  

Super Saiya memang tak nak tinggal,haha..

Anonymous 01/05/2013, 11:39  

inche gab menulis seolah-olah mcm penah mengalaminya..sy kata begini sbb mmg penah jmp seorg akhawat yg ada perasaan sonsang mcm ni. cerita pun lebih kurang (terkejut baca crita ni sbb mmg lebih kurang dgn crita akhawat yg sy tau).amat brsetuju dgn komen anonymous diatas brkaitan agenda syaitan yg nk memporak perandakan jundullah semua. even cerita pun lebih kurang, maksudnya syaitan2 ni ada modus operandi tertentu, target golongan trtentu.berhati-hati kalian

Anonymous 22/06/2013, 06:10  

opening je dh nikah..
"eh, sarah? mna farid? silap post ke hape nie?"
haha.. anyways, mnarik..

fakta#3: nikah is probably th last thg i'll try untuk - err, rawat? - msalah org2 yg mcm sya nie..

auta#3: sya mmg ske bca comments2 org yg laju je cantas org2 mcm kami nie.. ingat disposable ke ape?

Anonymous 17/10/2013, 16:51  

Moga isteri ye....

Anonymous 09/05/2014, 17:58  

Salam inche gabbana. Sy anonymous yg komen panjaaang lebar kt atasss tu. Yg plg panjang tulah sng cerita.

Sy sgt berharap utk mungkin dpt ber'dialog' sedikit dgn inche berkaitan dgn isu ini. Jika inche sudi meluangkan masa. Maafkan sy jika sy mengganggu ur busy schedule, tp secara jujurnya sy mmg xtahu nk ckp dgn siapa.

Kalau inche sudi, emel sy ya.
jubjubah@gmail.com

Jazakallah khair kathira

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP