29 August 2011

Jangan Tinggal Daku...!

[Kredit]

Lagi beberapa jam sahaja, Inche Ramadhan akan pergi sambil mengangkat tangan dan mengucapkan, "Babai! Saya pergi dahulu! Assalamu a'laikum jumpa lagi tahun hadapan Insha-Allah...!"

Dan para syaitonirojim akan bebas daripada belenggu dan penjara mereka. Adoyai. 

Ya, memang ada kemungkinan yang satu Syawal akan jatuh pada hari Rabu dan bukannya esok.

Tetapi sila berpijak di bumi yang nyata. Anda berada di planet Malaysia yang dipenuhi dengan makhluk-makhluk bernama Melayu dan bukannya di planet Zuhrah. Sekiranya malam ini pemegang mohor-mohor besar diRaja mengumumkan yang raya 'Idil Fitri pada tahun ini jatuh pada hari Rabu, jangan terperanjat sekiranya perarakan Bersih 3.0 akan diadakan esok, dan diketuai oleh makcik-makcik dodol, lemang, biskut samprit  dan langsir baru seluruh Malaysia! Wahahaha.. 

Apa-apa jalan, alhamdulillah, saya secara peribadinya merasakan Ramadhan saya pada tahun ini adalah yang terbaik sejauh ini. (Ok sungguh yakin kan jawapan saya tu. Hohoho.. Insha-Allah...) Entah mengapa, beberapa hari sebelum menyambut Ramadhan tempoh hari lagi, saya sudah dapat merasakan aura Ramadhan yang bakal tiba; satu perasaaan yang tidak pernah saya rasai sebelum ini.

Dan sepanjang Ramadhan kali ini, saya sesungguhnya dapat merasakan Ramadhan cukup hidup buat saya. Anda masih ingat amalan-amalan yang telah saya azam untuk capai dan laksanakan sepanjang Ramadhan..? Alhamdulillah, segala puji-pujian untukNya, Dia beri saya kekuatan untuk penuhi azam saya tu. Walaupon, err, ada jugalah unsur-unsur tak berapa nak aci di sana sini. Hohoho..

Selain amalan-amalan tersebut, berlaku juga peristiwa-peristiwa atau perkara-perkara lain yang menjadikan Ramadhan saya kali ini lebih bermakna.

Antaranya, Ramadhan kali ini menyaksikan saya dan keluarga paling kurang sekali berbuka di luar. Ini merupakan perkara yang cukup signifikan buat kami kerana ini bermakna lebih kurang pembaziran, lebih selesa dan tidak perlu tergesa-gesa untuk solat Maghrib dan bersiap-siap untuk solat terawih di masjid dan juga kuranglah kebarangkalian untuk tidak solat terawih di Masjid. Hohoho..

Juga, sangat terharu dan bersyukur dengan perkembangan baik ahli-ahli keluarga sendiri. Masha-Allah, sesungguhnya banyak perubahan-perubahan positif yang ditunjukkan oleh semua ahli keluarga, baik Inche Papa, Puan Mama, Inche Abang Besar dan Puan Adik Perempuan. Err, boleh beri saya masa tiga minit...?

*Berlari-lari ke bilik air, menangis terharu*

Ok. Di mana kita tadi..?

Ramadhan kali ini juga menyaksikan aktiviti seharian saya penuh; sama ada di opis atau berlari-lari gembira ke program-program bermanfaat dunia akhirat di sana sini. Kalau saya duduk di rumah, alamatnya kilang air liur basi pastilah akan bekerja dengan sungguh aktif dan rancak sekali. Adeh.

Dan saya yakin anda juga setuju, entah mengapa, meriahnya Ramadhan kali ini cukup luar biasa. Masjid-masjid penuh dengan manusia, sama ada untuk berterawih atau bersolat fardhu secara berjemaah. Bukan hanya di awalannya sahaja, malah sehingga ke akhir Ramadhan. Sepuluh hari yang terakhir lebih rancak lagi. Manusia-manusia yang ingin mencari keredhaanNya, berpusu-pusu ke masjid kegemaran masing-masing untuk beri'tikaf dan berqiamullail. Pemandangan sebegini memang sumpah osem! Syabas diucapkan buat semua! Moga Allah menerima segala amalan kita...!

Juga yang terakhir, buat pertama kalinya juga saya berasa sedih dengan lambaian selamat tinggal Ramadhan lagi beberapa jam ini. Sedih kerana begitu seronok dan riang gembira beramal sepanjang Ramadhan. Sayu kerana belum tentu ini bukan Ramadhan saya yang terakhir. Dan sebak kerana Allah izinkan saya untuk bersama-sama dengan Ramadhan kali ini hingga ke penghujungnya.

Boleh beri saya ekstra tiga minit sekali lagi?

Uhm uhm.

Mengapa saya ceritakan semua ini? Mengapa saya kongsikan dengan anda amalan-amalan saya sepanjang Ramadhan kali ini..?

Untuk eksyen..? Untuk tunjuk bagus..? Untuk tunjuk yang saya hebat dan kacak..?

Na'udzubillah..

Sebagai motivasi. Motivasi berapi-api. Jika bukan untuk anda sekali pon, sekurang-kurangnya apabila saya membaca post ini pada tahun hadapan Insha-Allah, saya tahu yang saya perlu dan mesti melakukan dengan lebih paling terbaik lagi...! Vavavum!


Moga Ramadhan kali ini berjaya membentuk kita menjadi manusia berjiwa hamba! [Kredit]

Oh, ujian yang sebenarnya belum lagi tahu..? Tibanya satu Syawal menjelang Maghrib ini, anda masih belum lagi bergelar graduan Universiti Tarbiyyah Ramadhan kelas pertama tahu..??

Tunggu esok pagi sama ada anda boleh bangun untuk qiam atau tidak. Tunggu esok pagi sama ada anda boleh menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid atau tidak.

Dan yang lebih utama, sama ada kita yang Sinderela dan Super Saiya sepanjang Ramadhan ini, dapat dikekalkan sepanjang tahun, sehinggalah kita berjumpa dengan Ramadhan yang seterusnya..!

Tumbukan padu pada perut diri sendiri.

Selamat Hari Raya 'Idul Fitri buat para pembaca tegar Angel Pakai Gucci! Semoga Allah menerima segala amalan soleh kita sepanjang Ramadhan dan moga kita melangkah masuk ke dalam Syawal sebagai manusia baru yang bersih dan suci, penuh dengan azam dan motivasi untuk mengejar redhaNya yang hakiki...!

Selamat jalan Ramadhan... Selamat datang Syawal..!

Ikhlas dan tulus dari Inche gabbana. Aman. ;) [Kredit]

-gabbana-

Sesedih mana pun kita dalam mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan, antara amalan yang dituntut dalam menyambut Syawal adalah kita bergembira menyambut ketibaannya kerana ia adalah hari kemenangan buat kita semua.

Dan bersempena dengan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, semoga Syawal kali ini menjadikan kita hambaNya yang benar-benar merdeka! Ironik..? Saya tidak fikir begitu. ;)

28 August 2011

Sedekah Cinta #3.3: Finale (Tisu Kotak Premier)

Nota penulis: Alhamdulillah, dapat juga saya sudahi siri akhir kepada karya Sedekah Cinta. Kepada yang sudah lama menunggu, maaf kerana menyebabkan anda sakit jiwa. Heh.

Kepada ada yang bakal merah mata atau dibaling pinggan kerana meraung di tengah malam tak tentu pasal, penulis sama sekali tidak akan bertanggungjawab.

Semoga bermanfaat untuk hari-hari terakhir Ramadhan anda.

***

[Kredit]

Air matanya diseka lagi.

Anak kecil di hadapannya itu benar-benar menyentap naluri keibuannya. Melihatkan wajah comel anak itu sahaja sudah membuatkan hatinya benar-benar sebak. Dan topi berwarna ungu yang dipakai si cilik membuatkan air mata wanita tua itu mengalir laju.

***

"Mak, Aiman nak baju raya kaler ungu tahun ni boleh..?"

"Ungu..? Kenapa Aiman nak kaler ungu? Merah la cantik. Baju kurung mak kaler merah tahun ni. Aiman pakai merah jugak eh?"

"Ala mak. Merah tu kaler untuk pompuan la..! Aiman lelaki! Lelaki macho mana pakai kaler merah..!"

"Haha.. Apa pulak. Baju melayu abah pun kaler merah jugak tahun ni. Abes tu abah kamu tak macho...??"

"Ish mak ni... Alaaaa.. Aiman tak kira, Aiman nak ungu jugak..! Ok mak...??"

Aiman berlari mendapatkan ibunya, terus dicium pipi ibunya berkali-kali.

Politik, dan selalunya berjaya. Si ibu hanya tertawa gembira. Diusapnya rambut anaknya itu.

"Ok la Man. Ungu pon ungu la. Tapi ada satu syarat..!"

Aiman mulanya tersenyum besar, kemudian berkerut dahinya mendengarkan perkataan 'syarat.'

"Ala mak ni, bersyarat-syarat pulak. Syarat apa mak..?"

"Aiman kena puasa penuh tahun ni. Tak boleh lagi curi-curi minum air tempayan. Tak boleh lagi curi-curi makan rambutan belakang rumah tu. Boleh Man...??"

Aiman memuncungkan mulutnya. Lama juga dia berfikir. Kemudian terukir senyuman nakal pada bibirnya.

"Ok boleh!"

"Betul ni Man..? Janji..??"

"J.A.N.J.I. Janji...!"

"Mak pun janji jugak, kalau Aiman puasa penuh, mak akan buatkan baju melayu kaler ungu untuk Aiman..??" 

Si ibu tersenyum

"J.A.N.J.I."

***

Janji. Wanita tua itu berbisik perlahan. Digenggam erat baju melayu berwarna ungu yang kini dibawanya ke mana-mana, sebagai ingatan kepada Aiman.

Selepas kehilangan Aiman, keluarga wanita itu tidak lagi seperti dahulu. Razali, suaminya, begitu tertekan dengan kehilangan anak tunggalnya itu. Terlalu banyak masa, tenaga, emosi dan harta telah dilebur dalam usaha menjejaki Aiman. Semuanya habis begitu sahaja; Aiman masih gagal ditemui.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Razali mati dilanggar lori ketika sedang mencari Aiman. Saksi di tempat kejadian mendakwa Razali berlari melintas jalan tanpa memandang kiri dan kanan. Menurutnya, kedengaran Razali menyebut-nyebut nama Aiman ketika melintas dan gerak-gerinya seolah-olah dia teruja melihat seseorang di seberang jalan. 

Tiada siapa yang tahu, sememangnya Razali 'melihat' Aiman di seberang jalan. Bayangan Aiman. Sekurang-kurangnya dia sempat melihat Aiman sebelum pergi. 

Selepas pemergian suaminya, wanita tua itu hidup terkapai-kapai. Selain kehabisan harta dek semuanya telah dihabiskan untuk mencari Aiman, wanita itu juga tidak punya saudara-mara yang terdekat yang boleh membantunya.  Dan selama ini dia bergantung harap dan hidup pada Razali. Segala makanan, pakaian dan keperluan-keperluan hidup yang lain diuruskan oleh Razali.

Dia tergantung tanpa tali. Setelah pelbagai kerja yang dicuba, wanita tua itu terpaksa meminta sedekah kerana kesempitan hidup. Pernah juga beberapa kali dia terfikir untuk berhenti daripada meminta-minta. Dirasakan dirinya cukup marhaen dan hina dengan meminta-minta. Tetapi setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat juga gagal menghulurkan bantuan, ditambah pula dengan tekanan hidup yang semakin mendesak, dia akur.

Dia bukan hanya meminta-minta sedekah wang ringgit daripada orang ramai. Kepada yang sudi, dia juga menagih cinta dan sayang daripada mereka. Bukan sedikit yang sudah mendengar luahan rasa wanita itu. Dan bukan sedikit juga yang telah berjanji untuk mencari Aiman atau sekurang-kurangnya membantu meringankan kesengsaraan hidup yang sedang dialami wanita itu.

Namun sehingga kini, tiada satu pun janji-janji yang ditaburkan sudah dipenuhi. Janji hanya tinggal jani. Wanita tersebut masih seorang peminta sedekah.

Sedekah cinta.  

Anak kecil itu masih tercegat di hadapannya. Seolah-olah sedang mengharapkan sesuatu daripada wanita tua tersebut.

Aku tidak punya apa-apa, nak..

Entah mengapa, didorong oleh perasaan rindu pada Aiman yang melampau mungkin, wanita itu menghulurkan tangannya yang sudah uzur, penuh dengan urat-urat hijau tua ke arah anak kecil itu. Dan entah mengapa, didorong oleh kenaifan seorang kanak-kanak mungkin, si anak kecil tanpa ragu-ragu mara ke depan, bersedia untuk dirangkul oleh wanita itu.

Berdebar-debar wanita itu. Di dalam kepalanya, sudah terbayang dirinya akan memelukcium penuh sayang si anak kecil. Biarlah bukan Aiman yang dipeluknya, sekurang-kurangnya dapatlah dia melempiaskan rindu dendamnya pada Aiman! 

Tinggal beberapa inci sebelum anak kecil itu jatuh ke dalam dakapan si wanita tua. Belum sempat dirangkulnya anak kecil itu, kedengaran jeritan seorang wanita tidak jauh daripada tempat mereka berada.

"Hoi perempuan tua kutuk...! Kau nak buat apa dengan anak aku tu...??"

Wanita itu terus bergegas ke tempat kejadian. Orang ramai di sekitar tertarik untuk mengetahui apa yang sedang terjadi. Ada juga yang terlopong, terkesima dengan jeritan garau wanita itu agaknya.

"Jangan sentuh anak aku tu..! Perempuan tak sedar diri...! Bang, ooo bang..! Tengok ni bang ada peminta sedekah tak sedar diri nak amik anak kita!"

Wanita itu terus menarik anak kecil itu kepadanya. Kelihatan seorang lelaki bertubuh sasa, bermisai tebal berkumis panjang, dengan kaca mata hitam, datang menyertai mereka. Terus dihadiahkan satu sepakan percuma kepada wanita tua itu. Terjelepok wanita tua itu disepak.

"Eh kau siapa?? Jangan suka hati nak sentuh-sentuh anak orang tahu...?? Perempuan busukkk..!"

Beberapa orang yang prihatin menghalang lelaki biadap itu daripada terus bertindak kasar terhadap wanita tua itu. Mereka dihalau pergi.

Seorang wanita membantu wanita tua itu untuk bangun. Dua orang peniaga yang punya gerai berdekatan turut datang membantu. Wanita tua itu menggosok-gosok lengannya yang dipenuhi pasir dan kerikil-kerikil tajam. Jelas garis-garis luka pada lengannya. Pedih.

Tidak kurang yang menggeleng kepala, terkejut dan marah dengan tindakan lelaki tadi. Tetapi itulah, sekadar memarahi lelaki itu; tiada apa yang dilakukan untuk benar-benar membantu wanita tua itu. Puas menggeleng, puas mengumpat dan mencaci-maki, mereka berlalu pergi.

Manusia.

Wanita tua itu bingkas bangun. Dilibas-libasnya baju melayu ungu Aiman yang sudah lusuh itu.

Kalaulah Aiman ada, siapalah agaknya yang berani nak buat mak macam ni...

"Akak ok..?"

Wanita tua itu sedikit terkejut. Mungkin tidak menyangka masih ada yang peduli pada nasib dirinya.

"Akak baik-baik sahaja nak. Terima kasih..."

Wanita yang membantu wanita tua tadi hanya mampu tersenyum simpati.

"Akak nak ke mana ni? Biar saya tolong hantarkan..?

"Takpe nak, jangan khuatir. Akak tinggal dekat-dekat sini je.."

"Betul ni kak..? Sian saya tengok akak ni.."

Wanita tua itu hanya menghadiahkan senyumannya. Matanya sedikit berkaca.

"Kalau macam tu akak amik ni, buat bekal sikit. Nah.."

Wanita itu menghulurkan beberapa bungkus plastik yang berisi pelbagai jenis juadah. Wanita tua itu serba salah. 

Melihatkan wanita tua itu yang tampak berat untuk menerima tawarannya, wanita tadi mencapai tangan wanita tua itu dan menyangkutkan plastik-plastik tadi pada jari-jemari yang sudah uzur itu. Diselitkan juga beberapa keping nota berwarna merah.

"Ikhlas kak, Insha-Allah. Amiklah kak..."

Wanita tua itu tertunduk malu. Laju air mata membasahi pipinya.

"Te...terima..terima kasih nak..."

"Takpe kak. Bulan Ramadhan macam ni, zalim saya kalau biar akak macam tu je... Ni pun saya rasa malu sangat tak dapat nak bantu lebih-lebih.. Maafkan saya kak..."

"Moga Allah merahmati anak dan keluarga... Masih ada manusia yang berhati mulia macam anak ni rupa-rupanya..."

Wanita itu tersenyum mendengar ucapan ikhlas wanita tua itu. Dipeluknya wanita tua itu seeratnya. Entah mengapa, seperti ada tali-tali halus tetapi kuat yang menghubungkan hatinya dengan hati wanita tua itu. Tanpa dia sedari, butir-butir permata turun mengalir deras.

"Moga Allah merahmati akak jua.."

Wanita tua itu lantas berjalan pergi meninggalkan kawasan bazar Ramadhan Kampung Sungai Badak Berendam. Waktu berbuka hampir tiba. Dicarinya kaki lima yang sedikit sunyi. Mujur ada kotak-kotak kosong di kawasan berhampiran. Diambil satu dan dijadikan alas untuknya duduk dan berbuka nanti.

Wanita itu terkejut tatkala membuka juadah yang diberikan wanita berhati mulia di bazar tadi. Semuanya makanan kegemarannya. Mewah. Ada popiah basah, cendol lemak manis, kuih seri muka dan beberapa kagi juadah yang sudah lama tidak dijamahnya. Dan ayam percik. Makanan kegemarannya. Air matanya mengalir lagi, apabila melihat dan menghidu aroma ayam percik itu.

Ah sudah berapa kali agaknya air matanya tertumpah untuk hari itu sahaja..!

Mulutnya tidak habis-habis terkumat-kamit mengucapkan kesyukuran. Juga doa buat wanita berwajah manusia berhati malaikat itu. Walaupun teruk dirinya dibelasah oleh binatang bertubuh manusia itu, Allah menghantar pula malaikat untuk memujuk dirinya.

Syukur ya Allah, untuk sedekah ini. 

Seekor kucing datang mendekatinya. Dia mengusap-ngusap kepala kucing itu. Diberikan kucing itu bahagian ayamnya yang tidak habis dimakan. Kucing itu makan dengan lahap sekali. Selesai makan, kucing itu menggesel-gesel badannya kepada wanita tua itu, seolah-olah berterima kasih kepada kemurahan hati wanita itu. 

Syukur ya Allah, untuk sedekah cinta ini...

Malam itu hujan lebat. Wanita tua itu menggigil kesejukan. Tiada apa yang dapat melindungi tubuh kurusnya melainkan baju dan kain yang dipakainya. Dia hanya mampu memeluk tubuhnya sendiri, dengan harapan hujan akan segera berhenti. 

Akhirnya dia tertidur dalam keadaan sejuk sebegitu. Lama selepas lena, dia bermimpi. Sudah lama dia tidak bermimpi. Selalunya tidurnya tidur mati. Tidur dan bangun pada keesokan harinya, tanpa ada mimpi antaranya. Tapi malam itu dia bermimpi. Dan mimpinya sungguh aneh sekali.

Dia berada di tengah-tengah padang pasir yang kontang. Dia sedikit kaget. Hanya dia seorang di tengah-tengah padang pasir yang luas terbentang. Dia hilang arah dan punca. Dia berlari-lari untuk mencari sesiapa yang dapat dijadikan teman, untuk membawanya keluar daripada padang pasir itu.

Penat berlari, masih tiada siapa atau apa-apa yang dijumpainya, melainkan pasir dan pasir. Dia terduduk, kepenatan. Tiba-tiba kedengaran siulan burung helang di atas kepalanya. Sungguh nyaring bunyinya. Dia memandang ke atas, tetapi terpaksa melindungi matanya dek silau dipanah sinaran matahari yang terang-benderang. Burung helang itu berpusing beberapa kali di atas kepalanya sebelum menjatuhkan sesuatu. 

Wanita itu lantas mendekati objek yang dijatuhkan burung helang itu. Dia tunduk dan mengutipnya. Dibersihkan objek itu daripada debu-debu pasir yang menyelaputinya. Berlian. Sebutir berlian yang begitu indah. Kilauan lekuk-lekuknya ibarat sirna buana alam. Sempurna.

Dia begitu asyik membelek berlian tersebut. Sungguh indah bentuk dan kilauannya. Begitu khusyuk dia meneliti berliaan tersebut sehingga lupa pada kepenatan dan kerisauan mencari jalan keluar dari padang pasir itu. Sehinggalah dia perasan ada seseorang yang sedang mendekatinya. Dia lantas mendongak untuk melihat. Mulutnya sedikit terlopong. Terjatuh berlian dalam genggamannya.

Aiman.

Seorang kanak-kanak comel, berambut kerinting, hidung kembang dan mulus dan merah kemerahan kulit wajahnya sedang berjalan mendekatinya.

Aiman. Tidak syak lagi. Dan dia tersenyum. Lebar dan gembira senyumannya itu.

Aiman menghulurkan tangannya, memanggil ibunya untuk datang ke arahnya.

"Mak.. Mak dah janji nak buatkan Aiman baju Melayu ungu kan...?"

Keesokan paginya, seorang lelaki Bangladesh yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah tapak pembinaan terperanjat besar. Sesusuk tubuh kejang dan sejuk dijumpai di atas kaki lima.

Seorang wanita tua, berbaju kurung lusuh, berkain batik dan bertudung merah jambu sedang terbaring kaku. Mukanya tenang dan tangannya menggenggam sesuatu; sebutir berlian yang dibalut dengan baju Melayu berwarna ungu.

-gabbana-

>> Sedekah Cinta I
>> Sedekah Cinta II
>> Sedekah Cinta III.I
>> Sedekah Cinta III.II 

26 August 2011

Bertemu Mak Cik Laila dan Pak Cik Qadar

[Kredit]

Malam ini malam yang keduapuluhtujuh dalam bulan Ramadhan. 

Mengikut hadith-hadith yang sahih, Lailatul Qadr, malam yang lebih baik dari seribu bulan, akan muncul pada malam-malam ganjil sepuluh malam yang terakhir dalam Ramadhan.  

“Adalah Nabi SAW biasa mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yg terakhir.”  

[Hadith Riwayat Bukhari]

“Adalah Nabi SAW mencari Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di 10 hari terakhir.” 

[Hadith Riwayat Bukhari]

Ada juga pendapat yang mengatakan Lailatul Qadr akan berlaku apda malam keduapuluhtujuh dan keduapuluhsembilan. Tapi secara peribadinya saya lebih selesa untuk berpandukan pada dua hadith di atas.

Malam keduapuluhsatu, duapuluhtiga dan duapuluhlima sudah pun berlalu. Adakah kita sudah terlepas malam yang sungguh ajaib ini? Allahu a'lam, hanya Dia dan orang-orang yang sudah pernah bertemu dengannya sahaja yang tahu. 

Tetapi yang pasti, kita masih ada dua lagi peluang untuk bertentang dua mata dengannya; malam ini dan Ahad malam Isnin ini.

Betapa besarnya hikmah Allah merahsiakan tarikh sebenar malam yang pernah dengan keberkatan ini. Itu pon sudah diberi jawapan bocor oleh Rasulullah SAW; carilah malam tersebut pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir. Kira tak aci jugak lah.

Dengan terahsianya tarikh sebenar malam ini, orang-orang yang bersungguh-sungguh memburunya pasti akan melipatkaligandakan usaha dan operasi dalam menjejak malam ini (Orang yang langsung takde niat atau impian untuk bertemu dengannya, tidak perlu disebut di sini kerana mereka sungguh hampagas cap Sanyo sekian terima kasih). Rahsianya tarikh malam yang lebih baik dari seribu bulan ini, menjadi motivasi dan pemberi semangat kepada mereka yang benar-benar rindu untuk bertemu dengannya. 

Samalah seperti mana ketika kita menghadapi peperiksaan. Kebanyakan daripada kita hanya pulun sampai lebam di saat-saat akhir peperiksaan, betul kan..? (Anda yang menjawab "Mana ada, aku tak pon..!", sama ada anda seorang yang sumpah jinius atau anda skema tahap Tekisugi).

Cuba kalau tarikh peperiksaan tak diumumkan secara rasmi; hanya petanda-petanda tertentu yang diberikan. Contohnya, Kementerian Pelajaran mengumumkan SPM akan berlangsung pada hujung bulan November dan awal bulan Disember tanpa menyatakan tarikh sebenar peperiksaan tersebut.

Anda rasalah, para pelajar yang akan mengambil peperiksaaan tersebut, mereka akan lebih bersedia dan pulun tahap dewa atau mereka buat tak kisah sahaja...?

Atau seorang cikgu yang masuk ke dalam kelas dan berkata, "Minggu depan ada ujian mengejut WAKENABEB dan ujian ini akan menentukan sama ada anda akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara atau pun tidak dan siapa dapat markah tertinggi akan dapat sebijik kereta BMW X5 maka sila bersedia heyy!" 

Anda rasa-rasalah, adakah para pelajar cikgu tersebut akan buat dono hai-hai bai-bai atau mereka akan tercirit-cirit melakukan ulangkaji untuk mendapat markah ekstra bonanza untuk peperiksaan tersebut?

Malangnya, ramai daripada kita yang tidak menghargai kelebihan yang Allah tawarkan pada Lailatul Qadr ini.

Bayangkan, hanya dengan beramal untuk satu malam, ganjaran yang kita perolehi seolah-olah kita beramal untuk 1000 bulan! 

Apa..? Anda masih tak nampak signifikannya...??

Mari saya tunjukkan anda sifir mudah Lailatul Qadr:

1 malam = 1000 bulan
1000 bulan = 83.3 tahun
Purata jangka hayat seorang manusia = 72-75 tahun
Beribadat pada satu malam di Lailatul Qadr = Beribadat sepanjang hayat...!!

Walaweh!

Bagaimana..? Sudah teruja..? Kalau masih belum rasa teruja sila hentakkan kepala anda pada meja di depan anda denga penuh bersemangat dan sekaut hati. 

Dan oh, hebatnya Lailatul Qadar, hanya orang-orang tertentu sahaja yang diizinkan oleh Allah untuk bertemu denganNya. 

Orang yang bagaimana? Anda bertanya sambil menggaru kepala yang banyak ketombe itu.

Sudah tentu untuk orang-orang yang sudah mempersiapkan diri SEPANJANG bulan Ramadhan. Yalah, masakan kita boleh bertahan untuk berjegil mata sepanjang malam pada sepuluh malam yang terakhir, kalau kita tidak awal-awal lagi berlatih bukan..?

Bagaimana kita mampu bertahan untuk marathon tilawah dan tadarus al-Quran kalau kita tidak berjogging tadarus dahulu pada dua puluh malam yang pertama?

Bagaimana kita mahu membiasakan diri untuk beri'tikaf dimasjid, mahu menyambut kehadiran Lailatul Qadr kalau awal-awal lagi kita begitu culas dan malas tahap beruang koala untuk berjinak-jinak dengan masjid..?

Pendek kata, Lailatul Qadr hanya untuk mereka yang benar-benar sudah bersedia! Masakan tidak! Malam yang begitu hebat pastinya untuk orang-orang yang hebat juga..! Osem! 

(Air mata mengalir laju kerana rasa diri ini terlalu hina dan tak layak...)


Malam yang luar biasa ini Allah khaskan untuk para Super Saiya sahaja..! [Kredit]

Kerana itulah bulan Ramadhan digelar madrasah tarbiyyah; tarbiyyahnya berlaku sepanjang bulan dan bukan hanya pada sepuluh malam yang terakhir.

Maka beruntunglah untuk anda yang telah awal-awal lagi menggunakan gear lima; pastinya sekarang anda dalam mode memecut gear sepuluh! Kerana peluang untuk anda menyambut, mempersilakan masuk dan melayan dengan sungguh osem Makcik Laila dan Pakcik Qadar adalah amat tinggi sekali..!

Fastabshiru! Bergembiralah kepada anda yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah dengan bertentang dua mata dengan Lailatul Qadr! Allah redha dengan amalan anda untuk sepanjang bulan Ramadhan dan Allah mahu menggembirakan anda yang telah bersungguh-sungguh, ikhlas dan ihsan sepanjang Ramadhan!

Kepada anda yang baharu terasa seperti dihentak kepala dengan membaca post ini, jangan kechiwa. CUBA LAGI TAHUN HADAPAN..! Wahahaha.. Eh.

[Nota kecil: Kalaulah diizinkan Allah untuk berjumpa dengan Ramadhan tahun hadapan en..? Air mata bercucuran deras.]

Dan oh, kepada anda yang cukup bertuah untuk menjadi tetamu Allah, mendapat penghormatan menjadi tuan rumah kepada Makcik Laila dan Pakcik Qadar, tolong jangan lupa untuk mendoakan kami juga ya..??

-gabbana-

Allahumma balighna Lailatul Qadr.. Eh boleh ke..? Huhu.. 

Moga Allah memilih kita untuk menjadi tetamu istimewaNya! Amiiiiiinn!

25 August 2011

Waacchaaaa...!


Sila baca tajuk post ini dengan gaya dan nada seolah-olah anda adalah seorang mahaguru kungfu.

Malam semalam selepas berbuka puasa bersama Inche AS di Kubah, saya terus ke masjid as-Syakirin di Kuala Lumpur Nampak-Nampak untuk menunaikan solat isyak dan terawih. Masha-Allah, sungguh lazat bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh imam yang bertugas. Yang kurang lazatnya, untuk solat terawih, imam itu menyelesaikan empat rakaat solat dengan membaca satu muka surat mushaf al-quran. Ya, satu muka untuk empat rakaat.

Bagaimana saya tahu? Bukan, saya bukanlah seorang huffaz. Tetapi saya menggunakan kaedah saintifik moden yang terbaru yang dinamakan 'Kaedah Memegang Senaskhah al-Quran Sambil Bersembahyang' atau 'Kamehameha.' Wahahaha.. 

Saya mula berkecimpung dengan kaedah ini apabila bersolat terawih di Masjid Universiti Ikhwah Akhawat tidak berapa lama yang dahulu. Saya lihat ramai yang memegang al-Quran ketika sedang bersolat ketika imam sedang memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran. Ya, kantoi saya tidak berapa nak khusyuk di situ. Vavavum...!

Maka saya pon mencuba kaedah Kamehameha itu kerana dilihat cukup menarik riang gembira hey..! Dan kini saya faham mengapa kaedah itu cukup digemari ramai; memang golongan marhaen seperti saya yang tidak hafal al-Quran ini, akan berasa lebih khusyuk bersolat apabila memerhatikan (pada al-Quran) apa yang sedang imam baca. Sungguh saya tidak bohong.

Arakiannya, semalam ketika bersolat di Masjid as-Syakirin, tergerak hati saya untuk menggunakan kaedah Kamehameha ketika bersolat. Bukan kebetulan kerana kebetulan itu bahasa Argentina, saya membawa al-Quran bersama-sama malam itu. Sayugia saya dengan riang gembiranya pon mengeluarkan al-Quran dan mula membacanya sambil bersolat dengan imam. Cukup bergaya.

Seusai solat dua puluh rakaat, saya bergegas untuk pulang kerana perlu ke Masjid Putra pula pada malam itu. Turun dari anak tangga, saya terus mara mendapatkan sepatu saya dan bersedia untuk menyarungkannya. Namun di pertengahan jalan saya telah diberhentikan oleh seorang Pegawai Penyiasat Bukit Aman yang menyoal saya kerana saya disyaki menjadi keldai kepada pengedar-pengedar dadah dari Nigeria juga menjalankan perniagaan permainan video judi secara haram. Eh.

Ulang semula. 

Namun di pertengahan jalan, seorang pak cik memanggil saya dan bertanyakan tentang sesuatu. Pada mulanya saya membuat muka pelik kerana entah mengapa, saya terus mengesyaki yang pak cik itu ingin meminta sesuatu daripada saya. Menyedari hal tersebut (atau mungkin kerana wajah yang saya tampakkan sungguh hodoh laksana raksasa berlubang hidung kembang), pak cik tersebut tersenyum dan mengulangi permintaannya untuk menanyakan saya sesuatu. 

Ikuti perbualan kami..

Pakcik Misteri: Dik, pak cik nak tanya boleh..?
Saya: Eh boleh boleh.
Pakcik Misteri: Takpe ke pegang Quran sambil sembahyang tu..? (Muka kuriyes benar-benar ingin tahu)
Saya: Err.. Takpe je.
Pakcik Misteri: Iye..? 
Saya: Haah, takpe je cik. Saya solat kat UIA, ramai je pak-pak Arab yang buat. (Nada sedikit tegas)
Pakcik Misteri: Adik baca yang terjemahan atau yang Arab? (Muka sedikit pelik)
Saya: Eh mestilah yang Arab.. Sebab bila imam baca, rasa khusyuk sket.
Pakcik Misteri: Iyelah, betullah tu. Jadi betul ye takpe ni..?
Saya: Ok je cik. Kalau gi solat, err, kat Mekah pon, ramai orang yang buat. (Nada tegas juge)
Pakcik Misteri: Ok terima kasih dik. (tersenyum)
Saya: Sama-sama.

Saya lantas terus menyarungkan sepatu dan bergegas menuju ke stesen LRT. Kemudian sayup-sayup saya mendengar ada orang melaung-laung perkataan "Inche.. Inche..!"
Saya toleh ke belakang dan lihat ada seorang lelaki berbaju merah sedang cuba berjalan mengejar saya.

Lelaki Berbaju Merah: Inche..! Inche..!
Saya: (Pandang dengan muka pelik) Takpe takpe!
Lelaki Berbaju Merah: Bukan, bukan saya bukan... (tak jelas kedengaran)
Saya: Takpe takpe! Saya dah lambat dah ni! (Menunjukkan jam tangan, lantas terus berjalan laju ke hadapan)
Lelaki Berbaju Merah: (Muka sedikit kecewa)

Dalam perjalan ke stesen LRT, saya telah bermuhasarawak panjang. Terkumat-kamit mulut saya dengna istighfar. Mengapa..? Kerana setelah dimuhasarawakkan, saya dapati, dalam kedua-dua kejadian tersebut, saya lebih bersikap defensif daripada pro-aktif.

Defensif dan mudah bersangka buruk. 

Astaghfirullah...


Yaaarrrgghhh jaga kau aku nak seraaanngg....! [Kredit]

Dalam situasi yang pertama, perhatikan bagaimana awal-awal lagi saya sudah menyangkakan yang pakcik itu mahukan sesuatu daripada saya. Langsung tidak terfikir pada awalnya yang dia hanya mahu bertanyakan sesuatu kepada saya. 

Begitu juga dengan peristiwa yang kedua. Secara jujurnya, memang saya terus terfikir yang lelaki itu mahu meminta wang daripada saya tatkala melihatnya..! La hawla quwwata illa billah..

Dan dalam kedua-dua situasi juga jelas yang saya bersikap defensif. Terus saya persembahkan pencak silat dan buah-buah kungfu dalam mempertahankan diri saya, tanpa membuka pintu yang lebih luas untuk perbincangan yang lebih rasional dan dinamik. 

Saya juga gagal mengambil peluang yang ada untuk melayan Pakcik Misteri dan Lelaki Berbaju Merah tersebut sebagai ahli masyarakat yang bisa sahaja menjadi mad'u atau mutarabbi saya. Saya gagal menjadi pro-aktif.

Wajah sedih. 

Memikirkan pula peristiwa ini berlaku di penghujung Ramadhan, saya menjadi lebih sedih. Kerana di penghujung tempoh pengajian dalam Universiti Tarbiyyah Ramadhan ini, kejadian yang berlaku tidak menampakkan yang seolah-olah saya akan lulus dengan ijazah kepujian nanti. 

Wajah bertambah sedih.

Kan lebih bergaya sekiranya perbualan yang berlaku antara saya dan Pakcik Misteri serta Lelaki Berbaju Merah adalah seperti berikut..

Peristiwa I

Pakcik Misteri: Dik, pak cik nak tanya boleh..?
Saya: Eh boleh boleh.
Pakcik Misteri: Takpe ke pegang Quran sambil sembahyang tu..? (Muka kuriyes benar-benar ingin tahu)
Saya: (Senyum) Menarik soalan Pakcik tu. Pakcik rasa macam mana..?
Pakcik Misteri: Tak tau la dik. Pakcik rasa.. (Utarakan pandangan). Tu yang pakcik tanya tu, sebab nampak adik pegangn al-Quran tadi.
Saya: Oooh. Betul jugak eh. Tapi tu la cik, saya start pegang Quran masa terawih ni pon lepas solat kat UIA dulu. Tengok ramai je buat, macam menarik je. Dan saya rasa lebih khusyuk bila solat..
Pakcik Misteri: Haah, betullah tu. Tapi tu la, pakcik tak pasti boleh ke tak kalau nak pegang Quran semasa solat.
Saya: Saya rasalah cik, takpe je, asalkan tidak membatalkan solat kita. Plus, saya rasa kalau benda tu boleh menambahkan kekhusyukan kita, selagi mana tak keluar dari rukun-rukun solat, lagi bagus cik.
Pakcik Misteri: Betul-betul.
Saya: (Senyum lagi) Maafkan saya cik, kena mintak diri dulu. Ada hal sikit. Pakcik siapa nama? Saya [Inche gabbana].
Pakcik Misteri: XYZ bin OPQ.
Saya: Ok cik, seronok dapat berbual dengan pakcik. Assalamu a'laikum. (Senyum lebar)
Pakcik Misteri: Wa'alaikumussalam (Sambil berfikir bagusnya budak ni konfem lulus kalau nak buat menantu! Wahahaha.. Eh.)

Peristiwa II

Lelaki Berbaju Merah: Inche..! Inche..!
Saya: (Berhenti. Menoleh ke arah lelaki itu, sambil menunggu tindakan selanjutnya. Senyum.)
Lelaki Berbaju Merah: Inche.. (Nyatakan hasratnya)
Saya: (Mendengar dengan penuh teliti. Bergantung pada keadaan, boleh juga mengangguk-angguk.)
Lelaki Berbaju Merah: Macam mana Inche..?
Saya: (Memberikan respon yang sesuai dengan keadaan semasa)
Lelaki Berbaju Merah: Ok, terima kasih Inche.
Saya: Sama-sama. Assalamu a'laikum. (Senyum)

Bagaimana..? Lebih kool bukan, kalau perbualan yang mengambil tempat sebegitu rupa..? Haih.. 

Tetapi yalah, tidak bagus berkalau-kalau ni. Dan tiada isitilah kebetulan dalam hidup ini. pastinya peristiwa yang berlaku adalah tarbiyyah yang cukup berguna buat saya. Pastinya apa yang berlaku semalam adalah khidmat pesanan ringkas tetapi zaaasss daripada Allah kepada saya.

Tik tikkkk. (Bunyi air mata menitik)

"..Berpesan-pesanlah dengan kebaikan." >> Checked. Lulus.

"Dan berpesan-pesanlah dengaan kesabaran." >> Unchecked. Gagal seperti otromen gagal mengalahkan raksasa sepit. 

Air mata mengalir laju.

Moga saya dapat menebus kembali kelemahan dan kebobrokan diri ini dengan baki Ramadhan yang ada. Risau betul kalau saya gagal menggulung ijazah kelas pertama nanti. Siapa boleh jamin ini bukan Ramadhan yang terakhir buat saya...??

Ayuh, kita perbanyakkan amalan kita, tingkatkan khusyu' dan tawadhu' kita dan bersegera mendapatkan keampunanNya...! Mari sama-sama kita jadikan Ramadhan kali ini sebagai saksi dan hujah menyokong kita di akhirat nanti..!

Waacchaaa....!

-gabbana-

Ada sesiapa yang bertemu dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar malam tadi..?

23 August 2011

Sedekah Cinta #3.2: Ini Sungguh Tipikal

Nota penulis: Ini adalah penutup versi kedua kisah Sedekah Cinta.

Seperti biasa, penulis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa atau ada yang tiba-tiba bertukar menjadi Elis in Wandelen selepas membaca kisah ini. Kacang pis.

***

[Kredit]

Air matanya diseka lagi.

Keberadaan kanak-kanak comel di hadapannya itu ibarat menyentap jiwa keibuannya. Dan dirasakan dia seakan-akannya bermimpi kerana anak kecil di hadapannya itu tidak tumpah seperti Aiman anaknya. Rambut kerintingnya, kulitnya yang mulur halus kemerah-merahan, hidungnya yang sedikit kembang dan... Pipinya! Pipinya juga tembam seperti Aiman!

Masakan!

Lantas pita memorinya memainkan semula kisah-kisah silam yang masih segar dalam ingatan. Teringat wanita tua itu masa-masa kebahagiaan yang dikecapi bersama suami dan anaknya Aiman. Dan kebahagian itu musnah, lesap dalam sekelip mata bersama-sama dengan hilangnya Aiman.

Tidak berapa lama selepas Aiman menghilangkan diri, suaminya Razali pula jatuh sakit, dek tekanan perasaan yang melampau. Kasihnya Razali pada Aiman sudah diketahui umum. Selaku anak tunggal, Aiman ditatang ibarat minyak yang penuh oleh Razali. Segala kemahuan anak lelakinya itu akan sebaiknya dipenuhi. Kasih sayangnya di dunia hanya untuk dua orang insan yang paling dicintainya; isterinya dan anak lelakinya Aiman.

Kehilangan Aiman memberi satu tamparan hebat kepada Razali. Kepada Aimanlah dia meletakkan pengharapan dirinya; agar suatu hari nanti Aiman dapat mengecapi kejayaan yang dia sendiri tidak dapat impikan. Malah dia sudah pun membuat perancangan rapi untuk Aiman - ke mana Aiman akan disekolahkan, kerjaya apa yang perlu Aiman pilih, universiti mana yang Aiman wajar pertimbangkan, hatta wanita yang bagaimana yang perlu Aiman kahwini! Lengkap!

Maka tidak hairanlah, Razali menjadi tidak keruan dengan kehilangan Aiman. Si isteri turut susah hati melihatkan perilaku suaminya yang seperti orang hilang akal lagaknya. Hampir setiap hari Razali akan keluar untuk mencari Aiman. Lewat malam barulah dia akan pulang; tanpa sebarang berita baik yang dibawa bersama.

Hal ini lantas menjejaskan hubungan suami isteri antara mereka. Sebaik mana si isteri cuba memahami penderitaan suaminya, seorang isteri kekal sebagai seorang wanita. Dan wanita yang bergelar isteri memerlukan perhatian, kasih sayang dan penjagaan daripada suaminya. Suaminya yang tercinta.

Sejak itu, kehidupan wanita itu terkontang-kanting. Razali meninggalkan dirinya terkapai-kapai, memudiki kapal layar mereka kini seorang diri. Dahulu, dia bergantung hidup sepenuhnya pada lelaki itu. Razalilah sumber utama rezeki keluarga. Razali jugalah yang menyediakan tempat berteduh, pakaian dan keperluan-keperluan yang lain.

Dia kehilangan akal. Dia tidak tahu bagaimana dia dapat membujuk hati Razali yang benar-benar patah. Pernah juga dia memujuk Razali untuk mencuba nasib; siapa tahu Allah akan mengurniakan mereka dengan seorang lagi cahaya mata. Tetapi Razali langsung hilang selera, hilang punca dengan pemergian Aiman. Dan si isteri buntu. Benar-benar buntu.

Akhirnya, dek pelbagai jenis penyakit yang berpunca daripada depresi melampau, Razali menghembuskan nafasnya yang terakhir, ketika mana kehilangan Aiman masih meninggalkan seribu tanda tanya. Si isteri terlalu sedih dan kecewa, bukan hanya kerana kehilangan suaminya yang tercinta, yang menjadi tempatnya berteduh dan bergantung harap, tetapi juga kerana dirasakan usaha Razali menjejaki Aiman selama ini tersia-sia begitu sahaja. Dia tahu Razali meninggalkan alam fana ini berpatah hati, kecewa kerana tidak dapat bersua dengan anaknya buat kali yang terakhir.

Pemergian Razali meninggalkan isterinya dalam keadaan yang amat daif sebatang kara, lantaran begitu banyak wang ringgit yang dihabiskan dalam usaha-usaha mencari Aiman. Si isteri terkapai-kapai; dia bukanlah orang yang terpelajar dan tidak pula punya saudara terdekat yang dapat menghulurkan bantuan. Dicuba-cuba juga untuk membuat kerja-kerja kampung yang ada. Tetapi kebanyakan kerja yang ada, sama ada sudah diambil orang atau terlalu berat untuk dilakukan oleh seorang wanita sepertinya.

Akhirnya dia terpaksa memilih untuk meminta sedekah sahaja. Bukanlah 'kerjaya' yang mahu dan suka dilakukannya. Tetapi dek terdesak dengan tekanan hidup dan demi mengisi perut yang kosong, dia tidak punya pilihan melainkan meminta-minta di jalanan. Sejak itu, kaki-kaki limalah yang sudi memberi tempat untuknya berteduh. Kotak-kotak kosonglah yang menjadi alas untuk tubuhnya merehatkan diri. Kucing kurap dan anjing liar menemani malam-malamnya yang sunyi. Panas terik dan hujan lebat sudah menjadi asam garam kehidupannya sehari-hari. Sepak terajang manusia juga menjadi rutin buat diri wanita tua itu. 

Dia pasrah. Dia redha. Dalam kebenciannya meminta-minta, dia tidak pernah lupa menitipkan doa buat setiap insan yang cukup simpati dan bermurah hati untuk berkongsi rezeki mereka dengan dirinya. Dia tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih seikhlas hati buat setiap jiwa bernyawa yang tidak lokek menyumbang seringgit-dua. Malah bukan jarang dia menerima sedekah yang besar jumlahnya. Sudah beberapa kali dia menerima kepingan nota lima puluh ringgit. Dan setiap kali dia menerima jumlah yang sebegitu besar, setiap kali itu juga dia akan memeriksa nota wang ringgit tersebut dengan teliti. Tidak percaya. 

"Moga Allah merahmati kalian..."

Anak kecil itu terus tercegat di depan wanita itu. Seperti ada sesuatu pada peri si wanita peminta sedekah yang menyebabkan dia tertarik kepadanya. 

Dan wanita itu, menyedari hal ini, dihambat pula dengan perasaan rindu yang teramat pada Aiman, secara spontan menghulurkan kedua-dua tangannya yang sudah uzur dan reput kepada anak kecil itu. Dengan harapan anak kecil itu akan datang kepadanya dan dapatlah dia merangkulnya dengan penuh kasih sayang.

Ya, biar pun kanak-kanak itu asing buat dirinya, perasaan rindu yang membuak-buak menyebabkan timbul bibit-bibit kasih yang ikhlas dan tulus pada anak kecil itu. 

Kelihatan dari jauh, seorang lelaki sedang memerhatikan babak-babak yang sedang berlaku di hadapan matanya. Dia berjalan perlahan, mara ke arah wanita tua dan kanak-kanak itu. Perlahan-lahan. Matanya berkaca-kaca.

Sementelah anak kecil itu mara ke arah wanita tua itu tanpa seberang syak, wanita itu terus memelukcium kanak-kanak itu seolah-olah anak kecil itu lahir dari darah dagingnya sendiri. Dan anak kecil itu tidak pula melawan. Dia malah tertawa kecil, riang dan selesa berada di dalam dakapan wanita tua itu. Seakannya sentuhan wanita tua itu sentuhan ajaib; mampu menjinakkan sesiapa sahaja yang disentuh mesranya. 

"Mak....?"

Wanita tua itu tergamam. Degupan jantungnya berhenti. Pergerakan seluruh dunia dan seisinya seolah-olah turut berhenti sama, terkedu dengan perkataan yang satu itu.

Wanita itu melepaskan kanak-kanak itu. Perlahan-lahan. Perlahan-lahan juga dia menoleh ke arah suara yang memanggilnya.

Mukanya pucat. Darah ibarat berhenti mengalir di seluruh tubuh badannya.

Di hadapannya, tercegat seorang pemuda lewat dua puluhan. Berambut kerinting. Hidungnya kembang. Kulitnya putih kemerah-merahan.

Aiman.

Mustahil. Mustahil...!

"Mak..? Mak ke tu..?"

Air mata mengalir laju, membasahi pipi wanita tua itu. Dadanya turun dan nak berombak. Sebak.

Tidak mungkin! Ini tidak mungkin..! 

Wanita tua itu bangun, dengan segala kudrat yang ada. Perlahan-lahan dia menghampiri lelaki itu. Dicubit, ditampar-tamparnya pipi lelaki itu. Diperiksa seluruh tubuh badan lelaki itu. Diusap-usap kepala lelaki itu.

"Aiman... Aiman.. Aiman anak mak....!"

"MAAAAKKKK....!!"

Kedua-duanya berpelukan erat. Begitu erat sehingga terasa sakit susuk tubuh badan kerepot wanita itu. Tetapi dia langsung tidak mengendahkan rasa sakit yang ada. Sekonyong-konyong tubuh yang sedang dipeluk erat itu ibarat penawar magika, menghilangkan segala duka dan sengsara, jerih payah dan perit sakit yang dialaminya selama ni.

"Ma...kk... Maaakkk...."

Aiman tersedu.

Wanita tua itu terjelepok, lututnya jatuh menyembah bumi. Seluruh badan terasa lemah. Terlalu sebak; masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Mujur Aiman sempat menyambut tubuhnya yang kecil itu.

"Aiman anakku... Man... Ke mana kau pergi selama ni nak....? Ke mana kau pergi...?"

"Maaakkk... Lama Man cari mak dan abah. Sekarang ni baru dapat bertemu kembali.... Abah mana mak..? Abah mana...?? Man rinduuuu pada abahh...!"

Wanita itu diam seribu bahasa. Yang hanya kedengaran sedu-sedannya, berselang-seli dengan rengekan Aiman.

Orang ramai sudah mula mengerumuni mereka. Pelik agaknya dua orang yang sudah cukup dewasa menangis lagak anak-anak kecil. 

Aiman lantas memapah ibunya ke tepi. 

"Mak.. Abah mana mak...?"

Wanita itu mengangkat kepalanya perlahan-lahan, dan memandang tepat pada mata anaknya yang selama ini hilang entah ke mana. Pandangan rindu dendam, penuh dengan kasih sayang. Pada masa yang sama yang sama, anak matanya memberi isyarat marah, geram, sayu dan pilu. Kecewa kerana suaminya yang tercinta tiada untuk bersama-sama mereka pada hari itu. 

"Mari Man... Mari mak bawa Aiman jumpa abah."

Si ibu cuba memujuk. Lebih untuk memujuk hatinya sendiri. Bibirnya dikemam rapat.

Terpancar sinar keceriaan pada wajah Aiman.

"Mari.. Mari mak. Adil, pegang nenek kuat-kuat. Jom kita bawa nenek masuk kereta. Kita nak pergi jumpa atuk!"

Seperti terpukul wanita itu mendengar perkataan 'nenek.' Matanya sedikit terbeliak. Dipegang erat tangan kanak-kanak yang mencampakkan duit syiling ke dalam kole besinya sebentar tadi. Dipandangnya anak kecil itu dengan penuh perasaan cinta dan rindu.

Darah daging aku. Darah daging kita, bang.. 

Lantas mereka berpimpinan tangan menuju ke arah kereta Aiman. Aiman dengan cermat memimpin ibunya, seolah-olah tidak mahu lagi terpisah dengan wanita itu buat selamanya.

"Lama Man cari mak... Man rindu sangat pada Mak..."

Wanita itu hanya mampu memandang anaknya itu. Senyuman tipis terukir pada wajahnya.

"Papa, sekejap...!"

Adil melepaskan pegangannya pada wanita itu. Dia berlari ke belakang. Aiman dan wanita itu menoleh untuk memerhatikan telatah si cilik comel.

Kelihatan Adil berlari ke arah tempat wanita itu ditemui sebentar tadi.

Dia menoleh ke kiri, ke kanan. Dia lantas tunduk, dan diambilnya kole besi berisi duit syiling milik wanita itu.

Kole yang berisi sedekah berharga. 

Sedekah cinta.

-gabbana-

Semoga menceriakan Ramadhan anda... ;)


Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP