16 August 2011

Sedekah Cinta #1

[Kredit]

Wanita tua itu mengesat matanya.

Air matanya berlinang lagi. 

Duduk bersimpuh di penjuru hujung di sebelah parit besar, hatinya tidak dapat menahan sebak melihatkan keceriaan dan kegembiraan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan Kampung Sungai Badak Berendam itu. Hatinya bertambah sayu setiap kali melihat anak-anak kecil yang begitu riang, memegang tangan ibu ayah mereka, meminta-minta untuk dibelikan itu dan ini.

Berbaju kurung Kedah lusuh disulami dengan bunga-bunga merah dan biru, berkain batik dan bertudung merah jambu, wanita tua itu hanya mampu terduduk, menanti simpati orang ramai yang lalu-lalang di hadapannya. Garisan kedut memenuhi wajahnya; kedutan sengsara lebih daripada kedutan usia.

"Ktiiinnggg!"

Bunyi syiling masuk ke dalam kole besi miliknya.

"Terima kasih, Encik.."

Dia sempat memandang kepada lelaki yang bersedekah kepadanya itu. Muda. Berkemeja merah gelap dan berseluar jeans bersahaja, lelaki itu tampak kemas dan bergaya. Berkaca mata hitam mata belalang. Kacak. 

Aiman, kalaulah Aiman masih ada, mesti Aiman pun tampan macam tu juga.. 

Rezekinya di bulan Ramadhan lebih daripada biasa. Orang ramai lebih bermurah hati jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Pihak penguatkuasa majlis perbandaran juga tidak menghalaunya seperti selalu. Kasihan agaknya. Keberkatan bulan Ramadhan, fikir wanita itu.

Matanya kembali tertumpu kepada teletah manusia yang bersesak-sesak, mahu membeli juadah berbuka untuk hari itu. Walaupun sesak dan riuh, dia suka memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai. Sekurang-kurangnya mengubat hati dan jiwanya yang kekosongan. 

Aroma ayam percik daripada gerai yang berdekatan menusuk hidung. Pundi air liurnya merembes. Perutnya berbunyi.

Aiman. Kalaulah Aiman masih ada sekarang ni, mesti Aiman akan belikan ayam percik kegemaran mak kan...?

Air matanya tumpah lagi. 

Kepalanya terus ligat memutarkan peristiwa yang berlaku kira-kira dua puluh tahun yang lampau. Begitulah. Setiap kali dia sebak, cemburu menyaksikan telatah manusia menanti waktu berbuka, setiap kali itu juga ingatannnya akan membawanya jauh ke masa silam. Masa silam yang hitam. Dan setiap kali itu juga air mata dan hingusnya akan meleleh-leleh bercucuran, menandakan betapa beratnya kesedihan yang ditanggung.

Lantas peristiwa pada bulan Ramadhan dua puluh tahun yang lalu bermain di hadapan matanya, tidak ubah seperti lakonan pentas bangsawan lagaknya. Begitu jelas; setiap babak dan sketsa tiada yang tertinggal. Setiap dialog, perkataan, titik noktah, tanda seru dan persoalan, semuanya masih jelas dalam ingatan. Malah setiap kata-kata yang disulami dengan emosi dan perasaan, juga begitu segar dalam simpanan memori.

Manakan tidak. Wanita tua itu, dua puluh tahun yang silam, adalah seorang insan yang cukup bahagia. Bersuamikan Razali, seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab, penyayang dan romantik, dia berasa hidupnya cukup sempurna apabila mereka dikurniakan dengan seorang anak lelaki, Aiman diberi nama. Dan walaupun Aiman adalah satu-satunya anak pasangan tersebut, wanita itu tidak pernah merasakan sebarang kekurangan. Dirasakan hidupnya cukup dirahmati dan diberkati Tuhan. Dia bersyukur. Cukup bersyukur.

Itu dua puluh tahun yang silam. 

Air mata jatuh berlinangan lagi. 

Setiap kali pita memorinya mahu memutarkan peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun 1989 itu, setiap kali itu juga dia terpaksa mengurut dadanya. Sakit. Sebak. Tetapi dibiarkan juga tragedi Ramadhan itu bermain di kepalanya, kerana rindu yang teramat pada anaknya Aiman. Ya, rindu. Rindulah yang menyebabkan dirinya masih bertahan hingga kini. Rindulah yang masih memberikan kekuatan untuk dirinya terus bertahan, menghadapi duri-duri kehidupan saban hari.

Rindu.

Lantas bilah-bilah cahaya membentuk imej-imej silam di hadapan matanya, yang cukup dikenali, diingati dan dirindui oleh wanita tua itu. Tragedi Ramadhan dua puluh tahun yang lampau kini ditayangkan di hadapannya, buat sekian kalinya...

 *** 

Bersambung.. 

(Suka gile part tulis 'Bersambung...' nih! Wahahaha.. Jelir lidah. Eh.)

-gabbana-

Amacam gempak tak tajuk? Sejadah Cinta dah ada, Ayat-Ayat Cinta dan Tasbih Cinta pun dah ada. Tahajjud Cinta pun dah keluar. Meh sini nak bagi penangan Sedekah Cinta pulak! Hihihi.. 

>> Sedekah Cinta II
>> Sedekah Cinta III.I
>> Sedekah Cinta III.II
>> Sedekah Cinta III.III

8 Caci Maki Puji Muji:

ch!natsu 16/08/2011, 12:56  

sdg bersabar menunggu smbungan.. cpt smbg! huhu~

- abdul hadi abdul muti - 16/08/2011, 13:53  

selalu bersambung..potong je!!haha

Abe Am 16/08/2011, 14:07  

sambung2 jugak yer.. tapi ending episod terakhir jgn kasik jatuh tak cecah tanah cam "Cipanku Lari Gagah Berani"...

Anonymous 16/08/2011, 22:45  

Cepat cepatlah munculkan aiman ya. :)

Inche gabbana 18/08/2011, 11:46  

ch!natsu: sabar itu sebahagian daripada iman.. hehehe..

Inche gabbana 18/08/2011, 11:46  

hadi: itulah skill nak bagi org tertunggu-tunggu... hihihi..

Inche gabbana 18/08/2011, 11:47  

Am: hahahaha.. tunggu je la camne ending dia nnt...

(pada hal tak tau pon lagi nak end camne... hihihi..)

Inche gabbana 18/08/2011, 11:47  

enonimus: tuuunngggguuuuu.... ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP