22 August 2011

Sedekah Cinta #3.1: Saya Nak Tampar Anda Boleh..?

Nota penulis: Untuk pengakhiran kisah Sedekah Cinta ini, penulis akan menyediakan tiga jenis penutup yang berbeza; 'Saya Nak Tampar Anda Boleh...?', 'Ini Sungguh Tipikal' dan 'Kotak Tisu Cap Premier.'

Bergantung kepada selera pembacaan anda, sila pilih penutup mana yang paling sesuai dengan jiwa dan personaliti anda. Juga yang akan memberikan kepuasan pengalaman pembacaan tahap otromen Taro kepada anda.

Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan mental yang kritikal sekiranya anda gagal mematuhi nasihat ini.


Air matanya diseka lagi.

Keberadaan kanak-kanak comel di hadapannya itu ibarat menyentap jiwa keibuannya.  

Teringat wanita tua itu masa-masa kebahagiaan yang dikecapi bersama suami dan anaknya Aiman. Dan kebahagian itu musnah, lesap dalam sekelip mata bersama-sama Aiman.

Tidak berapa lama selepas Aiman menghilangkan diri, suaminya, Razali jatuh sakit. Dek tekanan perasaan yang maha hebat, Razali mula diserang pelbagai jenis penyakit yang berkaitan dengan emosi, jiwa dan perasaan. Akhirnya genap lima tahun kehilangan Aiman, dia menyerah kalah dan menyahut panggilan Ilahi. Dia disahkan meninggal dunia, dibunuh oleh tekanan darahnya yang terlampau tinggi.

Sejak itu, kehidupan wanita itu terkontang-kanting. Razali meninggalkan dirinya terkapai-kapai, memudiki kapal layar mereka kini seorang diri. Dahulu, dia bergantung hidup sepenuhnya pada lelaki itu. Razalilah sumber utama rezeki keluarga. Razali jugalah yang menyediakan tempat berteduh, pakaian dan keperluan-keperluan yang lain.

Kasih-sayang yang Razali tumpahkan kepadanya tiada tandingan. Dia dilayan seperti seorang permaisuri lagaknya. Segala permintaan dan kehendak wanita itu akan cuba dipenuhi dengan sebaiknya oleh Razali. Wanita itu dicemburui oleh rakan-rakannya, juga kebanyakan wanita di kampung tempat mereka bermastautin. Hampir semua orang di kampung mengetahui betapa cintanya Razali pada wanita tersebut. Sehinggakan wujud kata-kata di kalangan wanita kampung, sekiranya mereka marah atau tidak berpuas hati dengan suami mereka; "Kalaulah ada dua Razali, pasti sudah aku kahwini!"

Tetapi wanita itu tidak pernah mengambil kesempatan terhadap Razali. Cintanya pada lelaki itu juga suci dan abadi. Dia mengasihi lelaki itu sepenuh hati. Lantas dia menjalankan amanahnya sebagai seorang isteri dengan penuh dedikasi. Sepulangnya Razali dari bekerja, pasti dilayan Razali seperti seorang hero pujaan hati. Segala kemahuan Razali layak sebagai seorang suami, akan dipenuhi tanpa sebarang kompromi.

Cinta yang disemai bertambah subur dengan kehadiran Aiman. Umum mengetahui betapa kasihnya pasangan suami isteri itu terhadap anak tunggal mereka. Dan penduduk kampung turut menyayangi kanak-kanak itu, dek telatahnya yang mencuit hati dan budi pekertinya yang cukup menyejukkan mana-mana mata yang memandang.

Maka tidak hairan keluarga Razali sering disebut-sebut sebagai keluarga ideal, keluarga contoh di kampung tersebut. Semua orang ingin memiliki keluarga seperti keluarga Razali. Yang lelakinya mahu mengahwini anak dara yang pandai melayan suami seperti isteri Razali. Yang perempuan pula mengintai-intai seandainya masih wujud teruna yang cukup setia seperti Razali. Dan ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata, mereka mengimpikan anak yang comel dan pandai seperti Aiman. 

Sempurna.

Sehinggalah Aiman hilang penuh misteri.

Keluarga Razali bukan lagi keluarga yang diimpi, bukan juga yang diingini. 

Hidup mereka menjadi kucar-kacir. Banyak masa, tenaga dan wang ringgit dihabiskan untuk menjejaki Aiman. Air mata si ibu sudah tiada lagi untuk dibazirkan. Hubungan suami isteri antara mereka juga semakin dingin. Selain Razali yang sering tiada di rumah, sama ada keluar mencari Aiman atau sengaja tidak pulang ke rumah mencari ketenangan di luar, hubungan mereka diburukkan lagi dengan keadaan si isteri yang tidak ubah seperti jasad tanpa nyawa. 

Aimanlah ruh, nyawa dan nafas kepada kehidupan si isteri sebelum ini. Kehilangan Aiman ibarat merentap sumber kekuatan dan kehidupannya. Kebahagiaan mereka turut lesap bersama-sama Aiman. Hidup yang penuh dengan warna-warni kehidupan yang ceria, bertukar menjadi neraka. 

Kematian Razali meninggalkan wanita itu seorang diri, sebatang kara. Dek banyaknya harta yang dihabiskan dalam usaha mencari Aiman, wanita itu ditinggalkan hampir sahaja sehelai sepinggang. Tanpa keluarga yang terdekat untuk menghulurkan bantuan, dia benar-benar keseorangan. Terkapai-kapai.

Akhirnya dia terpaksa memilih untuk meminta sedekah sahaja. Bukanlah 'kerjaya' yang mahu dan suka dilakukannya. Tetapi dek terdesak dengan tekanan hidup dan demi mengisi perut yang kosong, dia tidak punya pilihan melainkan meminta-minta di jalanan. Sejak itu, kaki-kaki limalah yang sudi memberi tempat untuknya berteduh. Kotak-kotak kosong menjadi alas untuk tubuhnya merehatkan diri. Kucing kurap dan anjing liar menemani malam-malamnya yang sunyi. Panas terik dan hujan lebat sudah menjadi asam garam kehidupannya sehari-hari. Sepak terajang manusia juga menjadi rutin buat diri wanita tua itu.

Maka melihatkan anak kecil di hadapannya itu, hatinya kini ibarat dihiris-hiris, ditenyeh-tenyeh dengan ingatannya yang terakhir tentang Aiman. Kehadiran anak kecil itu menyebabkan dirinya lupa sebentar dengan kesengsaraan hidup yang ditempuhinya selama ini. Seolah-olah anak kecil itu membawa penawar ajaib bersama-samanya. 

Didorong oleh perasaan rindu yang melampau, tanpa dapat dikawal lagi, dia menghulurkan tangannya ke arah anak kecil itu. Mahu didakapnya anak kecil itu. Mahu dirangkul, dipelukcium kanak-kanak itu. 

Dengan senyuman penuh pengharapan, dia menawarkan kedua-dua tangannya yang uzur dan berselirat dengan urat-urat tua itu kepada kanak-kanak itu. 

"Mari sini nak..."

Lantas anak kecil itu, tanpa mengesyaki apa-apa, mara ke arah wanita itu...

"Mak...! Ya Allah mak.. Mak buat apa kat sini...??"

Wanita itu terkesima. Terus dia mencari-cari sumber suara itu. Kelihatan seorang lelaki segak berjalan laju ke arahnya.

"Aiman...?? Aiman...!! Anak mak ke ni...??"

"Apa yang Aimannya mak..? Ni Rosli la mak. Takkanlah nama anak sendiri mak dah lupa. Ya Allah mak, kenapa mak pakai baju compang-camping macam ni mak... Ya Rabbi.."

"Rosli..? Siapa Rosli...?? Anak aku Aiman! Bukan Rosli! Mana Aiman...?? Aiman!! Aiman!! Mana kau nak...???"

Orang ramai mula berkerumun, sibuk mahu melihat sendiri drama yang sedang berlaku di depan mata.

"Mak, janganlah terpekik terlolong macam ni mak. Malu la orang tengok. Meh kita balik. Adil, pegang tangan nenek tu."

Kanak-kanak itu dengan patuh memegang tangan wanita itu dengan mesra. Dipandangnya ayahnya sambil menunjukkan muka hairan, penuh tanda tanya.

"Tulah mak, Rosli dah cakap, jangan tengok sinetron tu selalu sangat. Dan jangan keluar rumah. Aish Rosli tak taulah macam mana si Hartini tu jaga mak. Mak tu dah tua, tak sihat. Kalau apa-apa jadi kat mak, Rosli jugak yang susak nanti.."

Wanita itu diam seribu bahasa, memandang lelaki yang baru dikenalinya itu dengan wajah dan mata seperti melihat hantu air lagaknya.

"Aiman....?"

"Mak dah tiga kali dah jadi macam ni. Lepas ni kalau mak buat perangai lagi, Rosli hantar mak balik kampung je la, suruh Kak Rosmah jaga mak... Dah Adil, bawak nenek masuk kereta cepat."

Wanita itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Matanya bundar bulat, penuh kehairanan. Tidak terpercaya. Orang ramai turut beredar, walaupun kedengaran juga cakap-cakap dan gossip-gossip tentang apa yang baru sahaja mereka saksikan. 

Sebuah kereta BMW siri lima berwarna hijau tua meninggalkan bazar Ramadhan Kampung Sungai Badak Berendam. 

Kole besi berisi beberapa keping duit syiling ditinggal sepi. Sunyi.

-gabbana-

Jangan marah. Kalau terasa nak marah, cakap pada diri sendiri, "Saya berpuasa..!" Wahahaha..

Nantikan pula dua penutup yang selebihnya! Aman. 

>> Sedekah Cinta I
>> Sedekah Cinta II
>> Sedekah Cinta III.II
>> Sedekah Cinta III.III

17 Caci Maki Puji Muji:

yui 22/08/2011, 13:23  

kahkahkah,... mmg rasa cam nak bg penampo =p=p=p

Anonymous 22/08/2011, 13:29  

saya nak tampar pipi inche gabbana laju2 sampai bersepai sampai ke petala langit ke tujuh boleh? :P

Anonymous 22/08/2011, 13:41  

ka....me.....ha.......me.......HA!!!
puffftt *bnyi gelombang kuasa hilg*

sebaek aku pose, xjd nk bunuh org ari nh..
xpe,tggu yg lg 2 pnye ending..

Biha Mohamad 22/08/2011, 14:19  
This comment has been removed by the author.
Zetty Sofia 22/08/2011, 15:16  

kembang kempis hidung baca neehhh. dah siap feeling daahhhhh.

angry bird 22/08/2011, 15:39  

well..rosli patut hantar mak dia kat hospital bahagia for serious care..choy.

Anonymous 22/08/2011, 15:52  

Well..it can happen..somehow i can relate to this..;)

solidarity 22/08/2011, 15:56  

inni soim.. inni soim.. aish

Anonymous 22/08/2011, 16:09  

if this happenin in real life i wonder where is god mercy 4 this makcik n ppl like her..reality bites hmmmm

anissnaadia 22/08/2011, 16:10  

lempang mau ? puasa puasa. grrrr.

Anonymous 22/08/2011, 16:15  

poor makcik..maybe misery happenin to her could be god punishment to her old sins..mybe she was a street hooker bfor shes married rosli's dad holy enuf to take her as wife..hahaha.bye

Mohd Zaid 22/08/2011, 16:28  

thanx laa buat cite camni.. rase xnak maki langsung...haha

al-fateh 22/08/2011, 18:00  

mmg sesuai dgn tajuk.

seb baek 'inni so'im'. alhamdulillah.

Anonymous 22/08/2011, 20:10  

ok blur dah.sebenarnya apa yang terjadi.tolongla explain.

Anonymous 22/08/2011, 22:59  

Ya Allah inche Gabbana...saya punya la emosional bila baca 2 siri pertama cerita ni, terkezut bace ending dia.HAHA.
Tak sabar nak baca ending 'Kotak Tisu Cap Premier'

nur 23/08/2011, 16:38  

mak Rosli ni jiran nya encik Razali, isteri dan Aiman, mungkin ? dia yg begitu taksub untuk punya keluarga sesempurna keluarga encik Razali sampai hilang kewarasan mindanya. entah entah keluarga encik Razali masih hidup bahagia je. mak cik tuh tanam kat minda dia ckp Aiman hilang untuk lari dr kenyataan yg dia mmg tak boleh dpt anak secomel dan sebijak Aiman. haih taksub taksub.

pokonya nya bersyukurlah dgn apa yg kita ada. boleh lah kita baca ayat ayat Allah dengan lebih ekstreme supaya minda maintain waras dan cool sampai ke tua. inshaallah. :)

sebab rasa nak bagi anda penampar tu lah sy reka cerita sendiri nak sedapkan hati. heh

theonewhospilthekopi 23/08/2011, 16:42  

tolonglah jangan kata version 3.1 ending camni jek? caittttt....

drama king btol inche gabbana neh...huhu

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP