Sedekah Cinta #3.2: Ini Sungguh Tipikal
Nota penulis: Ini adalah penutup versi kedua kisah Sedekah Cinta.
Seperti biasa, penulis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa atau ada yang tiba-tiba bertukar menjadi Elis in Wandelen selepas membaca kisah ini. Kacang pis.
***
Keberadaan kanak-kanak comel di hadapannya itu ibarat menyentap jiwa keibuannya. Dan dirasakan dia seakan-akannya bermimpi kerana anak kecil di hadapannya itu tidak tumpah seperti Aiman anaknya. Rambut kerintingnya, kulitnya yang mulur halus kemerah-merahan, hidungnya yang sedikit kembang dan... Pipinya! Pipinya juga tembam seperti Aiman!
Masakan!
Lantas pita memorinya memainkan semula kisah-kisah silam yang masih segar dalam ingatan. Teringat wanita tua itu masa-masa kebahagiaan yang dikecapi bersama suami dan anaknya Aiman. Dan kebahagian itu musnah, lesap dalam sekelip mata bersama-sama dengan hilangnya Aiman.
Tidak berapa lama selepas Aiman menghilangkan diri, suaminya Razali pula jatuh sakit, dek tekanan perasaan yang melampau. Kasihnya Razali pada Aiman sudah diketahui umum. Selaku anak tunggal, Aiman ditatang ibarat minyak yang penuh oleh Razali. Segala kemahuan anak lelakinya itu akan sebaiknya dipenuhi. Kasih sayangnya di dunia hanya untuk dua orang insan yang paling dicintainya; isterinya dan anak lelakinya Aiman.
Kehilangan Aiman memberi satu tamparan hebat kepada Razali. Kepada Aimanlah dia meletakkan pengharapan dirinya; agar suatu hari nanti Aiman dapat mengecapi kejayaan yang dia sendiri tidak dapat impikan. Malah dia sudah pun membuat perancangan rapi untuk Aiman - ke mana Aiman akan disekolahkan, kerjaya apa yang perlu Aiman pilih, universiti mana yang Aiman wajar pertimbangkan, hatta wanita yang bagaimana yang perlu Aiman kahwini! Lengkap!
Maka tidak hairanlah, Razali menjadi tidak keruan dengan kehilangan Aiman. Si isteri turut susah hati melihatkan perilaku suaminya yang seperti orang hilang akal lagaknya. Hampir setiap hari Razali akan keluar untuk mencari Aiman. Lewat malam barulah dia akan pulang; tanpa sebarang berita baik yang dibawa bersama.
Hal ini lantas menjejaskan hubungan suami isteri antara mereka. Sebaik mana si isteri cuba memahami penderitaan suaminya, seorang isteri kekal sebagai seorang wanita. Dan wanita yang bergelar isteri memerlukan perhatian, kasih sayang dan penjagaan daripada suaminya. Suaminya yang tercinta.
Sejak itu, kehidupan wanita itu terkontang-kanting. Razali meninggalkan dirinya terkapai-kapai, memudiki kapal layar mereka kini seorang diri. Dahulu, dia bergantung hidup sepenuhnya pada lelaki itu. Razalilah sumber utama rezeki keluarga. Razali jugalah yang menyediakan tempat berteduh, pakaian dan keperluan-keperluan yang lain.
Dia kehilangan akal. Dia tidak tahu bagaimana dia dapat membujuk hati Razali yang benar-benar patah. Pernah juga dia memujuk Razali untuk mencuba nasib; siapa tahu Allah akan mengurniakan mereka dengan seorang lagi cahaya mata. Tetapi Razali langsung hilang selera, hilang punca dengan pemergian Aiman. Dan si isteri buntu. Benar-benar buntu.
Akhirnya, dek pelbagai jenis penyakit yang berpunca daripada depresi melampau, Razali menghembuskan nafasnya yang terakhir, ketika mana kehilangan Aiman masih meninggalkan seribu tanda tanya. Si isteri terlalu sedih dan kecewa, bukan hanya kerana kehilangan suaminya yang tercinta, yang menjadi tempatnya berteduh dan bergantung harap, tetapi juga kerana dirasakan usaha Razali menjejaki Aiman selama ini tersia-sia begitu sahaja. Dia tahu Razali meninggalkan alam fana ini berpatah hati, kecewa kerana tidak dapat bersua dengan anaknya buat kali yang terakhir.
Pemergian Razali meninggalkan isterinya dalam keadaan yang amat daif sebatang kara, lantaran begitu banyak wang ringgit yang dihabiskan dalam usaha-usaha mencari Aiman. Si isteri terkapai-kapai; dia bukanlah orang yang terpelajar dan tidak pula punya saudara terdekat yang dapat menghulurkan bantuan. Dicuba-cuba juga untuk membuat kerja-kerja kampung yang ada. Tetapi kebanyakan kerja yang ada, sama ada sudah diambil orang atau terlalu berat untuk dilakukan oleh seorang wanita sepertinya.
Akhirnya dia terpaksa memilih untuk meminta sedekah sahaja. Bukanlah 'kerjaya' yang mahu dan suka dilakukannya. Tetapi dek terdesak dengan tekanan hidup dan demi mengisi perut yang kosong, dia tidak punya pilihan melainkan meminta-minta di jalanan. Sejak itu, kaki-kaki limalah yang sudi memberi tempat untuknya berteduh. Kotak-kotak kosonglah yang menjadi alas untuk tubuhnya merehatkan diri. Kucing kurap dan anjing liar menemani malam-malamnya yang sunyi. Panas terik dan hujan lebat sudah menjadi asam garam kehidupannya sehari-hari. Sepak terajang manusia juga menjadi rutin buat diri wanita tua itu.
Dia pasrah. Dia redha. Dalam kebenciannya meminta-minta, dia tidak pernah lupa menitipkan doa buat setiap insan yang cukup simpati dan bermurah hati untuk berkongsi rezeki mereka dengan dirinya. Dia tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih seikhlas hati buat setiap jiwa bernyawa yang tidak lokek menyumbang seringgit-dua. Malah bukan jarang dia menerima sedekah yang besar jumlahnya. Sudah beberapa kali dia menerima kepingan nota lima puluh ringgit. Dan setiap kali dia menerima jumlah yang sebegitu besar, setiap kali itu juga dia akan memeriksa nota wang ringgit tersebut dengan teliti. Tidak percaya.
"Moga Allah merahmati kalian..."
Anak kecil itu terus tercegat di depan wanita itu. Seperti ada sesuatu pada peri si wanita peminta sedekah yang menyebabkan dia tertarik kepadanya.
Dan wanita itu, menyedari hal ini, dihambat pula dengan perasaan rindu yang teramat pada Aiman, secara spontan menghulurkan kedua-dua tangannya yang sudah uzur dan reput kepada anak kecil itu. Dengan harapan anak kecil itu akan datang kepadanya dan dapatlah dia merangkulnya dengan penuh kasih sayang.
Ya, biar pun kanak-kanak itu asing buat dirinya, perasaan rindu yang membuak-buak menyebabkan timbul bibit-bibit kasih yang ikhlas dan tulus pada anak kecil itu.
Kelihatan dari jauh, seorang lelaki sedang memerhatikan babak-babak yang sedang berlaku di hadapan matanya. Dia berjalan perlahan, mara ke arah wanita tua dan kanak-kanak itu. Perlahan-lahan. Matanya berkaca-kaca.
Sementelah anak kecil itu mara ke arah wanita tua itu tanpa seberang syak, wanita itu terus memelukcium kanak-kanak itu seolah-olah anak kecil itu lahir dari darah dagingnya sendiri. Dan anak kecil itu tidak pula melawan. Dia malah tertawa kecil, riang dan selesa berada di dalam dakapan wanita tua itu. Seakannya sentuhan wanita tua itu sentuhan ajaib; mampu menjinakkan sesiapa sahaja yang disentuh mesranya.
"Mak....?"
Wanita tua itu tergamam. Degupan jantungnya berhenti. Pergerakan seluruh dunia dan seisinya seolah-olah turut berhenti sama, terkedu dengan perkataan yang satu itu.
Wanita itu melepaskan kanak-kanak itu. Perlahan-lahan. Perlahan-lahan juga dia menoleh ke arah suara yang memanggilnya.
Mukanya pucat. Darah ibarat berhenti mengalir di seluruh tubuh badannya.
Di hadapannya, tercegat seorang pemuda lewat dua puluhan. Berambut kerinting. Hidungnya kembang. Kulitnya putih kemerah-merahan.
Aiman.
Mustahil. Mustahil...!
"Mak..? Mak ke tu..?"
Air mata mengalir laju, membasahi pipi wanita tua itu. Dadanya turun dan nak berombak. Sebak.
Tidak mungkin! Ini tidak mungkin..!
Wanita tua itu bangun, dengan segala kudrat yang ada. Perlahan-lahan dia menghampiri lelaki itu. Dicubit, ditampar-tamparnya pipi lelaki itu. Diperiksa seluruh tubuh badan lelaki itu. Diusap-usap kepala lelaki itu.
"Aiman... Aiman.. Aiman anak mak....!"
"MAAAAKKKK....!!"
Kedua-duanya berpelukan erat. Begitu erat sehingga terasa sakit susuk tubuh badan kerepot wanita itu. Tetapi dia langsung tidak mengendahkan rasa sakit yang ada. Sekonyong-konyong tubuh yang sedang dipeluk erat itu ibarat penawar magika, menghilangkan segala duka dan sengsara, jerih payah dan perit sakit yang dialaminya selama ni.
"Ma...kk... Maaakkk...."
Aiman tersedu.
Wanita tua itu terjelepok, lututnya jatuh menyembah bumi. Seluruh badan terasa lemah. Terlalu sebak; masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Mujur Aiman sempat menyambut tubuhnya yang kecil itu.
"Aiman anakku... Man... Ke mana kau pergi selama ni nak....? Ke mana kau pergi...?"
"Maaakkk... Lama Man cari mak dan abah. Sekarang ni baru dapat bertemu kembali.... Abah mana mak..? Abah mana...?? Man rinduuuu pada abahh...!"
Wanita itu diam seribu bahasa. Yang hanya kedengaran sedu-sedannya, berselang-seli dengan rengekan Aiman.
Orang ramai sudah mula mengerumuni mereka. Pelik agaknya dua orang yang sudah cukup dewasa menangis lagak anak-anak kecil.
Aiman lantas memapah ibunya ke tepi.
"Mak.. Abah mana mak...?"
Wanita itu mengangkat kepalanya perlahan-lahan, dan memandang tepat pada mata anaknya yang selama ini hilang entah ke mana. Pandangan rindu dendam, penuh dengan kasih sayang. Pada masa yang sama yang sama, anak matanya memberi isyarat marah, geram, sayu dan pilu. Kecewa kerana suaminya yang tercinta tiada untuk bersama-sama mereka pada hari itu.
"Mari Man... Mari mak bawa Aiman jumpa abah."
Si ibu cuba memujuk. Lebih untuk memujuk hatinya sendiri. Bibirnya dikemam rapat.
Terpancar sinar keceriaan pada wajah Aiman.
"Mari.. Mari mak. Adil, pegang nenek kuat-kuat. Jom kita bawa nenek masuk kereta. Kita nak pergi jumpa atuk!"
Seperti terpukul wanita itu mendengar perkataan 'nenek.' Matanya sedikit terbeliak. Dipegang erat tangan kanak-kanak yang mencampakkan duit syiling ke dalam kole besinya sebentar tadi. Dipandangnya anak kecil itu dengan penuh perasaan cinta dan rindu.
Darah daging aku. Darah daging kita, bang..
Lantas mereka berpimpinan tangan menuju ke arah kereta Aiman. Aiman dengan cermat memimpin ibunya, seolah-olah tidak mahu lagi terpisah dengan wanita itu buat selamanya.
Lantas mereka berpimpinan tangan menuju ke arah kereta Aiman. Aiman dengan cermat memimpin ibunya, seolah-olah tidak mahu lagi terpisah dengan wanita itu buat selamanya.
"Lama Man cari mak... Man rindu sangat pada Mak..."
Wanita itu hanya mampu memandang anaknya itu. Senyuman tipis terukir pada wajahnya.
"Papa, sekejap...!"
Adil melepaskan pegangannya pada wanita itu. Dia berlari ke belakang. Aiman dan wanita itu menoleh untuk memerhatikan telatah si cilik comel.
Kelihatan Adil berlari ke arah tempat wanita itu ditemui sebentar tadi.
Dia menoleh ke kiri, ke kanan. Dia lantas tunduk, dan diambilnya kole besi berisi duit syiling milik wanita itu.
Kole yang berisi sedekah berharga.
Sedekah cinta.
Sedekah cinta.
-gabbana-
Semoga menceriakan Ramadhan anda... ;)
6 Caci Maki Puji Muji:
ceria...tp sedih teringat kat inche papa dan puan mama saya...
terutama puan mama saya yang pasti dlm kesedihan krn anaknya xbalik raya..
waaaaaa...(icon menangis yg sy xreti nk buat...hoho)
p/s xsbr nk tunggu ibrah dr version2 cerita ni
aiiiii, pelik semacam je ending yg ni, mcm tergantung pun ada, berbelit pun ada T__T
ini memang sungguh tipikal!!! eheh :p
ala tapi tak cerita macam mana Aiman boleh hilang :(
Erk....apekah.sgt fiksyen -_-""""
Assalam Inche Gabbana, maaf, ana ada sedikit teguran untuk enta.
Ana merasa kurang enak dengan gambar perempuan yang enta gunakan untuk kolum ini. Jelas kita dapat lihat rambut dan lengan yang jelas kelihatan,sekalipun kecil tetapi ianya tetap aurat dan haram dilihat lelaki bukan mahram.
Ana berharap enta akan mengambil tindakan dan lebih berhati-hati pada masa akan datang, mana tahu, niat mahu pahala berganda-ganda, tetapi dosa pula jatuh bertimpa-timpa.
Allahualam.
Post a Comment