28 February 2011

Inche, Sepulo Ringgit Pun You Tak Boleh Kasi Nak Beli Makan Ka..?

Alhamdulillah, segala puji bagiNya, yang tak henti-henti dan tak pernah kedekut untuk melimpahkan rahmat dan inayahNya kepada hamba yang marhaen dan hina seperti saya ni. 

Wiken yang lepas, sekali lagi Dia telah bermurah hati untuk memberi penghormatan kepada saya untuk mengendalikan Konferens Riang Ketiga untuk hadek-hadek KOLPER bahagian selatan. Entah bagaimana, di saat akhir, saya telah diminta untuk menggantikan mas'ul asal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kiranya bidan terjun jugalah. Uhm, tiada kebetulan di dalam hidup ini en? Senyum.  

Konferens Riang hey..! [Kredit Gambar]

Dan alhamdulillah, konferens tersebut berakhir dengan jayanya (saya rasalah.. hohoho..) selepas Zuhur semalam. Pulang ke rumah, saya betul-betul rata (Baca: Flat). Memang betul-betul penat..! Tapi sumpah penat itu tiada apa-apa sekiranya hendak dibandingkan dengan pengalaman menguruskan konferens riang tersebut dan melihat respon dan semangat hadek-hadek yang terkesan dengan pengisian-pengisian tarbawi yang disediakan ketika konferens. Belum lagi kira hati yang terhibur dapat berukhuwwah dan melihat wajah-wajah ikhwah! Fulamaweh© (term ini baru sahaja direka, gabungan fulamak dengan walaweh.  Hak cipta terpelihara. Wahahaha..), memang masyuk...! ;D 

Mana-mana jalan (Baca: Anyway), bukan konferens itu yang hendak saya kongsikan di sini. Di lain sesi mungkin, Insha-Allah. Yang hendak saya cerekakan adalah suatu kejadian yang berlaku pada Jumaat malam Sabtu ketika saya sedang cuba untuk menikmati makan malam saya di sebuah kedai mamak. 'Sedang cuba' kerana saya tersilap memilih makanan dan juga suasana di kedai mamak yang cukup menguji keimanan dan kesabaran. 

Ketika itu Akh Amir Syahir yang qawiyy lagi kedabom sedang berkongsi perjalanan hidup tarbiyyahnya bersama hadek-hadek. Saya terpaksa mencuri keluar dek perut yang sudah mula mendendangkan lagu dondang sayang dan lagu rakyat Libya, kerana masih belum makan malam walaupun jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Maka mamak nampaknya adalah pilihan yang paling mudah dan segera kerana terletak hanya kira-kira seratus meter dari tempat program.

Setibanya di sana, peluh mula mengalir laju di dahi dek melihatkan begitu banyaknya manusia di kedai mamak tersebut. Ditambah pula dengan bau tengik dan busuk asap rokok yang memenuhi zon udara kedai mamak tersebut, saya agak ragu-ragu sama ada mahu meneruskan rancangan saya atau pun tidak. Namun dek kasihan pada Inche perut dan ada meja kosong, saya mengambil keputusan untuk duduk sahaja, makan dan beredar dari situ sesegera mungkin. 

Saya tidak tahu nak makan apa ketika mamak bertugas datang untuk mengambil pesanan. Akhirnya saya membuat keputusan yang akan saya sesali dengan memesan ikan dan kentang goreng (Baca: Fish & Chips). Sungguh bijak bukan saya, memesan ikan dan kentang goreng di sebuah kedai mamak..? Peluh.

Ketika menunggu pesanan saya untuk sampai, ada dua kejadian yang berlaku. Pertama, ada seorang anak muda (walaupun saya masih muda remaja, tapi saya yakin dia lebih muda daripada saya.. Hohoho..) yang datang duduk di meja saya kerana mahu mengecaj henponnya kerana meja yang saya duduki terletak hampir dengan soket. Sepanjang dia di meja tersebut, tiada sebarang konversasi yang berlaku melainkan "Ada orang dok kat sini tak?" dan saya menjawab "Tak." Sedikit menyesal kerana sekiranya saya memulakan perbualan yang lebih mesra, mana tahu dia mungkin tersentuh? Kan hidayah tu milik Allah? Hhmmm.

Peristiwa yang kedua pula berlaku sejurus selepas ikan dan kentang goreng saya tiba. Seorang wanita Cina yang kelihatan lusuh dan tidak terurus masuk ke dalam kedai mamak untuk meminta sedekah. Badannya kurus, pakaian yang dipakainya kotor dan matanya buta sebelah. Memang brutal. Di dalam hati, saya berdoa agar dia tidak akan singgah di meja saya kerana saya khuatir saya akan tewas dalam ujian yang bakal menimpa.

Dan nampaknya Allah sememangnya mahu saya berhadapan dengan ujian tersebut. Hohoho.. Dia datang kepada saya dan meminta wang dengan alasan mahu membeli makanan. Pada mulanya saya tidak melayan permintaannya (taktik kuno) dengan harapan dia akan beredar dengan segera. Namun terbukti dia adalah seorang wanita yang gigih dan berhati waja. Tanpa berputus-asa, dia terus meminta wang daripada saya.

Saya lantas menawarkan ikan saya kepadanya. Beberapa kali juga saya tawarkan ikan saya kepadanya namun dia menolaknya setiap kali. Siap buat muka lagi! Erk. Katanya, dia mahu membeli nasi dan dengan menunjuk ikan saya, dia berkata,

"Makan ini mana boleh kenyang Inche satu hari."

Dan saya pula, dengan penuh su'udzan (bersangka buruk) terus berkata kepadanya,

"Saya takmau bagi awak duit, nanti awak pergi beli benda lain.."

dengan sangkaan yang wanita Cina tersebut adalah seorang penagih dadah. Astaghfirullah..

"Saya tade mau beli benda lain, mau beli nasi saja. Inche, tolong la inche.."

Astaghfirullah...

Lantas saya membuat keputusan yang kurang bernas untuk tidak melayannya lagi. Saya menebalkan muka, mengeraskan hati dan terus makan seolah-olah wanita Cina itu tidak wujud (agak susah juga kerana penampilannya dan desakannya yang cukup istiqamah menyebabkan saya susah untuk fokus pada ikan dan kentang goreng saya). Ketika ini hati saya cukup berkecamuk, bergelojak. Macam-macam yang saya fikirkan.

"Ya Allah kerasnya hati aku ni.."

"Ish, Nabi pun bagi makan kat orang Yahudi..."

"Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah.."

"Kata ikut tarbiyyah..."


Tak kisahlah yang meminta itu berkata benar atau tidak, yang penting kita ikhlas memberi... [Kredit Gambar]

Setelah beberapa ketika, dia masih tidak berganjak dan terus mendesak saya sayugia saya menawarkannya sekali lagi untuk mengambil sahaja ikan saya. Dan dia menolak sekali lagi. Saya sedikit geram. Fedap. Akhirnya saya nekad untuk tidak melayannya dan tidak mahu memberikannya apa-apa.

"Inche.. Inche.."

Dia terus meminta. Akhirnya dia berkata,

"Inche, sepulo ringgit pun you tak boleh kasi nak beli makan ka...?"

Zaaaasssss walaupun sedikit jengkel kerana dia siap menyatakan jumlah yang diharapkannya daripada saya. Peluh kecil.

"Sudahlah, kalau macam ni you tak payah bagilah..!"

Katanya lagi mengakhiri perbualan kami. Dia beredar dan mencari meja yang lain pula, dengan harapan ada orang yang akan bersimpati terhadapnya. Sekali-sekala mamak-mamak yang ada pergi kepadanya dan cuba menghalaunya pergi. Tetapi terbukti wanita Cina tersebut amat persisten dan berhati Suria Perkasa Hitam.

Timbul perasaan menyesal di dalam hati. Espeseli apabila melihat wanita Cina tersebut ke bahagian nasi kandar, melihat-lihat lauk yang ada. Dia pastinya lapar. Allah... Timbul juga niat untuk mengajaknya duduk dengan saya, dan memesan apa-apa makanan yang disukainya. Tetapi setiap kali saya memandangnya, perasaan tersebut akan terbatal dek wajahnya yang sedikit bengis dan gengster. Hohoho.. Tambahan pula selepas itu dia menolak roti canai (tak silap sayalah..) yang diberikan oleh seorang lelaki Arab, yang juga pelanggan di kedai Mamak tersebut, terus hilang selera saya untuk memanggilnya semula. 

Selepas selesai makan, saya segera membuat bayaran dan mahu terus segera ke tempat program semula kerana lama juga saya menunggu pesanan untuk sampai tadi. Saya hampir-hampir sahaja membatalkan pesanan. Timbul sekali lagi niat untuk membelikan wanita Cina tersebut makanan, apabila melihat dia masih berdiri di luar kedai memerhatikan para pelanggan yang ada. Tetapi entah kenapa, niat tersebut tidak direalisasikan. Wah hatiku cukup berbolak-balik!  

Kejadian yang berlaku menyebabkan saya bermuhasabah. Terasa diri begitu lemah dan masih jauh dalam tarbiyyah. Ini bukan soal kedekut. Tetapi soal dzan saya yang bermacam terhadap wanita Cina tersebut. Juga soal hati yang keras dan pentingkan diri. Astaghfirullahal adzim... [Tee][Underscore][Tee]

Nampaknya saya gagal dalam ujian tersebut. Failed. Dan pastinya Allah mahu saya belajar sesuatu daripada peristiwa tersebut bukan..? Hhhmmm... Terima kasih ya Allah kerana beri aku ujian tersebut. Maafkan aku ya Allah kerana telah gagal...

Saya sempat memandang wanita Cina tersebut buat kali terakhir sebelum kembali ke tempat program. Dia masih meninjau-ninjau keadaan di dalam kedai, masih berharap ada orang yang akan mengasihaninya agaknya. Tak tahulah sama ada saya akan berjumpa lagi dengannya. Jika ya, saya mahu menebus kesilapan saya..! Insha-Allah... 

"Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.

(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): 'Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.

Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut'."
[al-Insaan, 76:8-10]   
 

-gabbana-

25 February 2011

Eh?

"Alhamdulillah, sepanjang I pergi clubbing, tak pernah lagi kena tangkap ke, kena serbu ke.. Alhamdulillah lah.."

Pengsan.

"Life is unfair. Kenapa Pak Cik X yang tamak dan suka aniaya orang tu, anak-anak dia semua cantik, berjaya. Pergi haji hari tu tak kena pape pon..? Saya ni, dah la gemuk... Unfair!"

Peluh.

"Ujian? Part tu aku tak faham. Kenapa pulak Allah nak uji..? Dia dah usaha macam nak rak, tapi still miskin jugak. Pada hal orang lain tu, dah la kafir, dah kaya bertambah kaya, suka menipu.. Ish tak paham la aku.."

Pandang kiri, pandang kanan. 

[Kredit Gambar]

Uhm, lebih kurang beginilah dialog-dialog yang masuk ke dalam telinga saya dalam masa dua puluh empat jam ini. Ya, dua puluh empat jam. Sebahagiannya malam semalam dan sebahagian lagi pagi ini, setelah ditokok-tambah-tolak-darab-bahagi-puncakuasadua dan ditambah rempah ratus garam gula oleh Chef Besi Inche gabbana. Wahahaha.. Eh.

Susah sebenarnya nak jawab pada masyarakat. Apabila kita bersama ikhwah/akhawat (atau senang kata kawan-kawan kita la..) yang faham dengan tanggungjawab mereka untuk menegakkan Islam di muka bumi ni, senang cerita sket. Kiranya, bila mana kita bersama dengan orang yang 'baik-baik' pijak semut tak mati dan kentut pun wangi, memang amat senang untuk bercakap tentang soal tarbiyyah, tujuan hidup kita, peranan kita sebagai khalifah di muka bumi, bla bla bla.

Tetapi realitinya berbeza apabila kita berhadapan dengan masyarakat massa. Pada mereka, Islam itu solat, puasa dan zakat. Kadang-kadang puasa sunat Isnin Khamis. Bila ada duit lebih sedikit, sedekah. Bila cukup duit, pergi haji. Tak boleh mencuri. Arak itu haram. Zina itu haram. Tapi bergaul bebas lelaki perempuan tidak mengapa; itu laivsetail apa..? Bila solat kena tutup aurat tapi luar waktu solat, dedah-dedah sikit apa salahnya..? Bila susah ingatlah Allah, bila senang, Allah tu entah ke mana. Bila kita dianiaya, bukan main lagi mintak Allah bayar cash pada si keparat itu. Tapi kita boleh pulak suka-suko aniaya orang kan..? Itulah Islam di Malaysia, di mana-mana juga sebenarnya. Aduhai. 

As much as we despise it, that's the reality. Accept it. Tapi bukan sekadar menerima dan pasrah begitu sahaja. Kita mesti lakukan sesuatu. Jangan mengharap perubahan itu akan jatuh gedebup di atas betis dan paha kita. Kalau kita mahu melihat perubahan, biarlah perubahan itu datang daripada diri kita.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi mana mereka tidak mengubah nasib mereka sendiri.."
[Ar-Ra'ad, 13:11]


Masyarakat mesti diubah. Itu wajib. Kita mesti ada azam untuk mengubah masyarakat di sekeliling kita supaya menerima dan memeluk dan mengamalkan dan memahami Islam secara keseluruhannya. Bukan Islam Hadhari, bukan Islam liberal, bukan Islam konservatif dan bukan juga Islam Wahhabi. Tetapi Islam. Fulsetop. Dan perubahan itu letaknya di  dalam genggaman tangan kita; kita sendirilah yang memutuskan sama ada kita mahu berubah atau tidak. Tiada orang yang memaksa kita untuk berubah.

Masalahnya, adakah kita sudah mengambil langkah yang pertama untuk berubah...? Hhhmmm. Dan Allah tidak akan membantu kita untuk berubah dan berjaya selagi mana kita tidak merangkak, berjalan dan akhirnya berlari ke arah perubahan itu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membantu agama Allah, pasti Allah akan membantu kamu.."
[Muhammad, 47:7]

Allahu a'lam...

-gabbana-

24 February 2011

Rumah Terbakar Panggil Bomba, Bomba Datang Berlumba-Lumba Ewah!

[Kredit Gambar]

Situasi Satu

Anda sedang tidur nyenyak, dibuai mimpi indah Ultraman berjaya mengalahkan Raksasa Sotong berperut boroi. Tiba-tiba anda dikejutkan dengan bau hangit yang teramat. Dalam keadaan yang masih mamun, anda bangun dan mencari-cari punca bau hangit tersebut. Anda terkejut gorilla apabila mendapati ruang tamu rumah anda sedang marak dijilat api. Anda kaku seketika kerana tidak sangka pemandangan yang hanya boleh dilihat di dalam drama-drama Melayu berkos rendah kini sedang terjadi di hadapan mata anda.

Ketika anda sudah sedar daripada lamunan anda, anda naik semula ke atas untuk mengejutkan keluarga anda dan kucing anda yang sedang tidur terlentang di atas komputer keluarga. Oh anda berjalan dengan lenggang-lenggang kangkung, sambil menikmati keindahan api yang sedang marak berwarna oren kebiruan. Anda mengetuk bilik ibu dan ayah anda dengan penuh sopan sekali. Semekom mak abah, boleh saya masuk..? Tiada respon.

Anda pun memulas tombol pintu dan masuk ke dalam bilik utama ibu dan ayah anda dengan langkah kanan dahulu. Kedengaran ayah anda sedang berdengkur maha dahsyatnya hinggakan anda menyangkan ada jet yang sedang terbang rendah di atas bumbung rumah anda. Ibu anda pula amat jelas sedang menikmati tidurnya kerana mulutnya sedikit ternganyum (ternganga sambil tersenyum). Bau hangit rumah terbakar semakin menusuk hidung.

Dengan penuh berhati-hati anda cuba mengejutkan ayah dan ibu anda. Mak, abah, bangunlah. Rumah terbakar tu. Anda menepuk-nepuk manja perut ayah anda yang humanghaih boroi itu. Abah, bangun bah. Habis dah televisyen skrin leper cap Sharp jenis Aquous empat puluh lima inci yang baru sahaja abah beli beberapa minggu yang lepas di Seng Heng tu dijilat api bah. Anda mengusap manja pula rambut ibu anda. Mak, bangun mak. Habis dah sofa kulit Lorenzo buatan Itali daripada kulit lembu asli berwarna hitam keperangan mak tu dijilat api mak. Mak, abah, bangunlah..

Tidak berjaya. Anda sedikit kecewa. Lantas anda pergi pula ke bilik kakak anda. Anda lakukan perkara yang sama. Anda dengan penuh sopan dan beradab ketimuran cuba untuk membangunkan kakak anda. Akak, bangun kak. Anda bersuara dengan kekuatan tidak lebih tiga puluh desibel. Akak, bangunlah kak, rumah dah nak hangus terbakar ni. Habis dah segala bapak atok majalah-majalah kesayangan akak tu terbakar. Gagal. Anda menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Anda ke bilik adik lelaki anda pula. Sama juga, tidak berjaya. Dik, bangun dik. Anda mencium pipinya yang gebu-gebu itu. Dik, bangun dik. Habis dah Playstation adik kat bawah tu hangus terbakar dik. Robot Gundam adik yang abah beli kat Singapura dengan harga seratus tiga puluh lapan dolar Singapura tu pon dah cair dah dik. Bangunlah dik.. 

Akhirnya anda terpaksa menyelamatkan diri anda sendiri. Sebelum itu, anda sempat mengusap kepala kucing anda, sebelum anda bergegas keluar menyelamatkan diri. Ketika di luar, anda sedikit kagum melihat api yang begitu cepat marak menjilat rumah yang penat ibu dan ayah anda renovet tiga bulan yang lepas. Anda kemudiannya ke pondok telefon awam yang terdekat untuk menelefon pihak bomba.


Situasi Dua

Anda sedang tidur nyenyak, dibuai mimpi indah Ultraman berjaya mengalahkan Raksasa Sotong berperut boroi. Tiba-tiba anda dikejutkan dengan bau hangit yang teramat. Dalam keadaan yang masih mamun, anda bangun dan mencari-cari punca bau hangit tersebut. Anda terkejut gorilla apabila mendapati ruang tamu rumah anda sedang marak dijilat api. Anda kaku seketika kerana tidak sangka pemandangan yang hanya boleh dilihat di dalam drama-drama Melayu berkos rendah kini sedang terjadi di hadapan mata anda.

Anda terus berlari ala-ala Watson Nyambek ke tingkat atas untuk mengejutkan keluarga anda. Bilik utama ibu dan ayah anda berkunci. Anda lantas merempuh bilik tersebut sekuat hati ala-ala Hulk Hogan yang mahu merempuh lawannya di gelanggang gusti. Tapi memandangkan anda bukanlah Hulk Hogan, sakit jugalah bahu dan badan anda akibat rempuhan tersebut. Akibat tidak berjaya, anda mengetuk pintu sekuat hati. Mak! Abah! Baaannnnggguunnn....!!! Rumah dah terbakar ni...!! BAAANNGGGUUUNNN...!! MAAAAKKK!! ABAAAHHHH! Pom pom pom anda menghentak pintu bilik.

Anda tidak membuang masa. Anda pergi pula ke bilik kakak anda. Mujurlah dia tidak mengunci biliknya. Kakak..!! Baaannnggguunn...!!! Rumah terbakar...!! BAAANNGGGUUNNNLLLAAAHH AKKAAAKKK!! Kakak anda tidur mati la pulak. Langsung menunjukkan reaksi sedikit pun terhadap jeritan anda. Anda lantas tekad untuk mengejutkannya. Anda tarik rambutnya sekuat hati sehinggakan kakak anda begitu terkejut dan menampar anda. Berjaya! Anda tidak kisah ditampar asalkan anda berjaya menyedarkannya. 

Kakak...! Rumah kita terbakar..!! Cepat tolong kejut mak dengan abah! Saya kejutkan adik! Kakak anda sedikit terpinga-pinga. Tetapi dek bau hangit yang begitu kuat, dia lantas mempercayai kata-kata anda dan terus bergegas ke bilik utama. Anda pula ke bilik adik lelaki anda dan terus mendukungnya. Adik! Bangun dik! Rumah kita terbakar...!! Anda menepuk-nepuk punggungnya sekuat hati. Adik anda terbangun dan terus menangis dek kepedihan yang mengigit di punggungnya. 

Adik! Pergi angkat si Alejandro tu! Cepat..! Anda menyertai kakak anda untuk mengejutkan ibu dan ayah anda. Kali ini dengan bantuan kakak anda, anda berjaya merempuh masuk bilik utama. Uih gagah juga kakak anda itu. Akhirnya anda berdua berjaya mengejutkan ibu dan ayah setelah kakak anda memijak perut ayah anda manakala anda menyiram ibu anda dengan sebaldi air. 

Akhirnya anda sekeluarga berlari keluar menyelamatkan diri. Ketika di luar, anda, kakak anda, adik lelaki anda, ibu dan ayah anda dan Alejandro si kucing Siam peliharaan anda sedikit kagum melihat api yang begitu cepat marak menjilat rumah yang penat ibu dan ayah anda renovet tiga bulan yang lepas. Anda kemudiannya mengeluarkan iPhone 4 yang sempat anda selamatkan dan anda simpan di dalam poket dan terus menelefon pihak bomba. 

Kelihatan sedikit senyuman kepuasan terukir pada bibir anda. 


Situasi Tiga

Anda sedang tidur nyenyak, dibuai mimpi indah Ultraman berjaya mengalahkan Raksasa Sotong berperut boroi. Tiba-tiba anda dikejutkan dengan bau hangit yang teramat. Dalam keadaan yang masih mamun, anda bangun dan mencari-cari punca bau hangit tersebut. Anda terkejut gorilla apabila mendapati ruang tamu rumah anda sedang marak dijilat api. Anda kaku seketika kerana tidak sangka pemandangan yang hanya boleh dilihat di dalam drama-drama Melayu berkos rendah kini sedang terjadi di hadapan mata anda.

Anda terus berlari seperti Usaion Bolt lagaknya ke tingkat atas, untuk mengejutkan ahli keluarga anda. Kemudian anda teringat yang sudah menjadi tabiat ahli keluarga anda apabila tidur akan mengunci pintu. Anda ke setiap bilik dan mengetuk pintu dengan sekuat hati anda. POMM POMM POMMM...!!! BAAANNGGGUUUNNN....!!! RUMAH TERBAAAAKKAAARRRR....!!! Tidak berjaya. Tiada seorang pun yang sedar dengan jeritan anda.

Ini tidak boleh jadi! Kata hati anda yang sedikit bijak. Anda lantas bergegas keluar rumah untuk mendapatkan bantuan jiran-jiran. Anda sempat melihat televisyen skrin leper cap Sharp jenis Aquos empat puluh lima inci yang bari dibeli ayah anda beberapa minggu lepas di Seng Heng sedang dijilat api. Di luar, anda menjerit sekuat hati.

TOOOLLLOOONNGGG....!!! RUMAAAAHHH SAYAAAA TERBAAAKKAAARR...!!! TOLONGLAH DAKU WAHAI JIRAN-JIRAN TAMAN PERUMAHAN INDAH PERMAI JAYA...!!!

Teknik anda berjaya! Kelihatan beberapa bilik yang gelap kini cerah tanda lampu bilik dinyalakan. Tidak beberapa lama selepas itu, beberapa orang jiran anda sudah pun berkumpul di luar rumah. Anda dan mereka segera bergegas masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan ahli-ahli keluarga anda yang masih terperangkap di dalam rumah. 

Tidak berapa lama selepas itu, hasil pertolongan jiran-jiran anda, setiap ahli keluarga anda termasuklah Alejandro si kucing Siam peliharaan keluarga dapat diselamatkan. Malah pihak bomba sudah pun tiba ketika semua ahli keluarga anda selamat di luar rumah. 

Alhamdulillah, getus anda di dalam hati.

***

Cara mana yang akan anda gunakan agaknya ya, sekiranya rumah anda terbakar dan anda seorang sahaja yang sedar..? Cara dalam Situasi Satu, Dua atau Tiga..? 

Saya bagi anda hint. Sila buka al-Quran, surah ke enam puluh enam ayat enam. Semoga berjaya memilih teknik yang paling berkesan dan bergaya..! Hihihi..

-gabbana-

Oh jangan risau, nanti saya ulas lagi bagi setiap situasi ni, Insha-Allah. Senyum.

23 February 2011

Rojak Mee Ayam Jalan Bellamy

Ok dah lama tak hapdet kan..? (Dua hari kira lama la kan..? Hihihi..)

Eceli sangatlah busy baru-baru ini. Kerja bertimbun dan terpaksa ke sana dan ke sini. Kini barulah saya faham erti dunia pekerjaan yang sebenar. Peluh.

Banyak tak kerja saya...? Hohoho.. [Kredit Gambar]

Macam-macam yang sudah berlaku di dunia ini. Rasanya kalau mata kita cukup besar, telinga kita tidak tersumbat dengan tahi telinga (Ewww...) dan hati kita celik dan tidak buta, pastinya kita akan peka dan disibukkan dengan isu-isu ummah yang sedang berlaku di marcapada antarabangsa. Eh pehal bahasa skema pulak ni..? Hohoho.. 

Antaranya, bagaimana saudara-saudara kita di Libya dibedil dengan gembiranya oleh seorang 'Muslim' yang lain bernama Muammar Gaddafi. Di Mesir, Ikhwan sudah pun mengumumkan yang mereka akan menubuhkan sebuah parti politik, setelah bertahun-tahun dihalang oleh rejim Mubarak. Eh banyak lagilah sebenarnya. Malas nak tulis.

Nak kata kat sini, sedang kita menjalankan kehidupan sehari-hari kita seperti biasa, manusia di sekeliling kita juga sedang menjalani kehidupan mereka. Namun kita di Malaysia, kehidupan kita sentiasa senang, aman dan selesa. Manja. Umat Islam di tempat lain, mereka hidup di dalam perjuangan. Pengorbanan. Sentiasa di dalam ketakutan dan kerisauan. Dan disebabkan ini, mereka selalunya lebih matang, lebih bijaksana dan bertimbangrasa. Kita..? Hhhmmm.

Eh apa kena dengan tajuk ni..? Wahaha.. Eceli tadi pergi lunch dengan Peqnas dan Celi, dua orang junior saya di sekolah Bintang dahulu. Peqnas akan pulang ke Australia Sabtu ini, makanya dia amat teringin kempunan untuk berjumpa dengan saya. Wahahaha.. (Celi jangan bagitau Peqnas..! xp). Celi dan Peqnas adalah antara junior yang amat rapat dengan saya sewaktu zaman muda-mudi di Sekolah Bintang dahulu.

Hatta kami ke Jalan Bellamy bagi menikmati Rojak Bellamy yang feymes itu. Dan of koz la, masing-masing menghapdet diri masing-masing. Oh sungguh rindu saat-saat kami membuang masa melepak sewaktu di Pesta Piala Perdana Menteri dulu-dulukala.

Rupanya mungkin tidak menggiurkan, tapi rasanya sumpah hazaaabbb...! [Kredit Gambar]

Tidak puas rasanya meluangkan masa sejam lebih bersama mereka berdua. Peqnas la, Celi takpe, boleh jumpa bila-bila. Hihihi.. Celi sila jeles. Lidah terjelir sekali lagi.

Terima kasih Peqnas dan Celi, kerana sudi datang menemani diri yang marhaen ini. Dan terima kasih kerana sudi datang sekali lagi memulangkan telefon yang saya sengaja tinggalkan di dalam kereta supaya anda boleh datang semula. Hohoho.. ^__^"

Tahun ini genaplah dua puluh empat tahun saya dilahirkan di dunia. Tahun ini sudah tujuh tajun saya meninggalkan sekolah Bintang. Masa kian berlalu dan kita semakin tua. Masa berjalan dan terus berjalan tanpa mempedulikan kita. Adakah kita mahu terus ditinggalkan..?

Hhhmmm..

-gabbana-

Minta maaf sekiranya tulisan kali ini agak random dan seolahnya merapu. Cumanya, sekiranya anda benar-benar membacanya, pasti anda dapat menyelami hati penulisan ini. Peace.

21 February 2011

Hidup Ini Seperti Sub Hari Ini 'Ayam Terriyaki'

[Kredit]

Siapa suka makan Subway..?? Saya! *Angkat tangan*

Eceli saya mula belajar makan Subway ni kat London dulu. Sebelum fly dulu tak hingin pon nak makan Subway tu. Tak tau kenapa. Sebab macam mahal dan berkonsepkan sandwich kot. So rasa tak berbaloi.

Bila kat London, Subway dikira antara makanan segera yang murah (£2 untuk Sub Hari Ini [Baca: Sub of The Day]. Dululah, sekarang ni dengarnya dah naik harga) dan agak mudah didapati. Lebih-lebih lagi bila Subway dah halal, lagilah teruja untuk makan Subway.

Awal-awal balik Malaysia dulu, tak la terasa nak makan Subway sangat. Sebab ada nasi lemak, roti canai, nasi campur lauk masak lemak cili api siput sedut, nasi ayam Hainan spesel dan nasi minyak ayam masak merah, so dah tak pandang sangat la Subway ni. Hihihi.. Tapi baru-baru ni, nak jaga badan punya pasal *koff koff*, Subway menjadi pilihan apatah lagi bila perut tak lapar sangat.

So malam tadi saya ke Subway untuk makan malam. Saya memang dah tahu pada hari Ahad, Sub Hari Ini adalah Ayam Terriyaki. Hari Selasa tuna, hari Rabu bebola daging Marinara dan hari Khamis Ayam Panggang atau B.M.T. (bergantung kepada stok). Eh hafal. Hihihi.. Kali terakhir makan Ayam Terriyaki adalah di London dulu. Dan memandangkan saya tak berapa lapar dan tak mahu makan nasi lagi di waktu malam, maka Subway Hari Ini Ayam Terriyaki terus menerjah minda saya sebagai pilihan utama.

(Nota: Sub Hari Ini menjadi pilihan kerana pada RM7.50, saya rasakan itu sahajalah Subway yang berbaloi. Lebih RM8 untuk roti panjang sebegitu, lebih baik saya pergi makan roti John! Hoh.)

Mujurlah orang tidak ramai di Subway itu. Saya terus membuat pesanan dengan memilih roti Keju Parmesan. Antara perkara yang paling digemari saya ketika berkunjung ke Subway adalah memerhatikan bagaimana para pekerja Subway menyediakan hidangan saya. Tidak seperti restoran-restoran makanan segera yang lain, Subway menghidangkan sandwich segar dan panas di depan mata anda. 

Mula-mula roti akan dipotong. Kemudian diletakkan menu utama di antara roti tersebut (dalam kes saya, potongan Ayam Terriyaki) dan diletakkan pula beberapa kepingan keju di atasnya. Kemudian roti tersebut akan dibakar di dalam ketuhar selama dua puluh saat. Selepas itu, tiba giliran untuk saya memilih sayur-mayur pilihan hati. Seperti biasa, saya memilih sayur salad, tomato, cili besar (capsicum) dan bawang. Sosnya pula? Kali ini saya memilih Pulau Ribu (Baca: Thousand Island), Bawang Manis dan sos cili. Uuuuhhhh.. *kelenjar air liur merembeskan cecair liur dengan banyaknya*

Dan hasilnya..? Suatu kenikmatan dunia yang tiada bandingannya..! Ok sedikit melampau di situ. Tapi sumpah! Memang best tak terkata apabila menikmati Subway Hari Ini Ayam Terriyaki yang masih panas dan segar dan menyelerakan..! *tiba-tiba perut berbunyi* Peluh kecil sedikit.

*gulp* [Kredit Gambar]

Saya terfikir. Apa jadi agaknya kalau Subway saya dihidangkan tidak mengikut prosedur seperti yang saya jelaskan sebentar tadi? Contohnya; letak ayam terriyaki, sayur-mayur dan sos-sosnya ke dalam ketuhar dahulu. Kemudian baru letakkan keju dan terakhir sekali sumbatkan semua itu ke dalam roti yang telah dipotong hey! Err. Atau pon, panaskan ketuhar selama dua puluh saat tanpa meletakkan apa-apa di dalamya, kemudian tuangkan sos di atas keju, gaulkan dengan sayur dan letakkan di atas roti. Terakhir sekali barulah letak kepingan ayam terriyaki! Walaweh. 

Anda rasalah, apa yang akan terjadi..? Mungkin tidak lagi dikenali sebagai Subway, tetapi Underway. Eh. Wahahaha.. 

Sebenarnya, kehidupan kita sehari-hari tidak jauh bezanya daripada proses membuat Subway itu; hendaklah mengikut aturannya dan dalam keadaan yang tersusun dan berdisiplin. Ya, boleh juga kalau tidak mahu mengikut aturan yang telah ditetapkan, tetapi akibatnya? Carca-marba seperti Subway Hari Ini Ayam Terriyaki yang tidak disediakan mengikut prosedurnya! 

Setiap hal, setiap perkara dan setiap urusan di dunia ini hendaklah mengikuti susun aturnya, barulah sempurna hasil dan keputusan yang akan dicapai. Itu suatu sunnatullah. Dan  lebih besar dan penting sesuatu urusan itu, lebih perlulah ia mengikut susun atur dan prosedurnya. Hal ini amat jelas di dalam al-Quran apabila berkali-kali Allah menceritakan proses kejadian langit dan bumi, syurga dan neraka, malah penciptaan manusia sendiri tidak memakan masa seketika sahaja, tetapi ada tempoh-tempoh masanya.

Pernahkah anda terfikir apakah hikmah di sebalik tempoh penciptaan seperti itu? Sedangkan apabila Allah mengatakan 'Kun' pastilah 'Fayakun..?' Kerana pastinya Allah mahu manusia belajar sesuatu daripadanya; sesuatu perkara itu hendaklah dilakukan mengikut prosedurnya dan secara berperingkat-peringkat. 

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. 
[Yaasiin, 36:40]

Dan pastinya suatu perkara yang amat memerlukan susun-atur yang kemas dan penuh dengan disiplin adalah gerak kerja dalam berdakwah. Sedangkan untuk urusan dunia seperti bekerja dan belajar kita boleh begitu fokus dan tersusun, mengapa urusan dakwah kita kucar-kacir dan tunggang-langgang..? Tidak tersusun dan begitu gopoh..?

Dan apa akibatnya sekiranya dakwah dan tarbiyyah yang kita lakukan tidak tersusun, tergopoh-gopoh untuk mencapai sesuatu objektif? Kata Saidina 'Ali,
"Jahiliyyah yang tersusun pasti akan menewaskan kebenaran yang kucar-kacir.."

Ingat! Kita bekerja dan jahiliyyah juga bekerja! Dan sekiranya jahiliyyah bekerja dalam saf-saf yang tersusun (-___-"), masakan kita mampu untuk gopoh dan tunggang tebalik..?? Bukankah kita sewajibnya mengemaskan susunan gerak kerja kita dan berdisiplin dengan prosedur dalam mencapai kejayaan..?? Sekiranya kita gagal menyusun gerak kerja kita denagn penuh disiplin, maka secara automatiknya kita telah memberikan kemenangan percuma kepada jahiliyyah..! Adusss.

Kerana itu ISHAB datang dengan formula 'Maratib Amal' yang diekstrak kaedahnya daripada al-Quran dan as-Sunnah. Mula-mula kena menjadi individu Muslim yang lengkap dengan muwosafatnya, kemudian berkeluarga dan kemudian bermasyarakat. Dan begitulah seterusnya.. Setiap tingkatan itu ada hak-haknya, ada perkara-perkara yang perlu dicapai sebelum kita boleh berpindah ke tingkatan yang seterusnya.


Kena naik satu-satu ye kak, tak boleh nak naik lif terus ke atas tu! Hohoho.. ^__^" [Kredit Gambar]

Mana mungkin kita terus mencapai status negara Islam, apatah lagi Professor kepada alam sekiranya kita gopoh dan tidak bersedia? Sekiranya kita menyusun strategi dakwah kita tidak mengikut prosedur yang sepatutnya..?? Lupakah kita kepada kegagalan IM di Mesir suatu ketika dahulu, yang begitu yakin akan menguasai tampuk pemerintahan Mesir? Atau kita tidak mahu belajar daripada kesilapan Revolusi Sudan..?

"Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya)."
[al-Anbiyaa, 21:37]


Sama ada kita akan mencapai hasil akhirnya atau pun tidak, bukanlah persoalannya. Kan Allah tu tak melihat kepada hasil, tetapi kepada usaha ikhlas kita yang gigih dan bersungguh..? Sabar bang, sabar. Tak perlu gopoh-gopoh! Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran..! Aduhai. Insha-Allah kalau kita ikut cara-caranya, penuhi hak-hak yang sepatutnya dan santuni kaedahnya dengan penuh berdisiplin, Allah pasti akan memberikan kemenangan agung kepada para pejuang agamaNya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." 
[Ali-Imraan, 3:200]


Subway Hari Ini Ayam Terriyaki dapat, perut pon kenyang..! Hohoho..

Allahu a'lam.

-gabbana-

18 February 2011

[Tee][Tee][Underscore][Underscore][Tee][Tee]

Kita selalu kedekut atau berkira bila mana nak keluarkan seringgit tiga pulosen untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukannya. Risau kalau tak cukup duit nak beli cokelat kat kedai runcit Aya Sammy seberang jalan. Lupakah kita yang rezeki itu Allah yang bagi..? Lupakah kita yang Allah tu bersifat ar-Razaq, Maha pemberi rezeki...??

Tapi bila nak keluar duit tengok wayang, karaoke, beli DVD cetak rompak atau game terbaru hangat meletop-letopzz di pasaran, tak kisah pulak kan..? Pelik pelik.

Sedekah itu mencambahkan hasanah, tahu..?? [Kredit Gambar]

Kita selalu takde masa untuk diluangkan untuk Allah. Sama ada berusrah, atau buat dakwah, atau bangun malam bermunajat kepadaNya, atau membuka lembaran-lembaran kitab suciNya, bertadabur menghayati sms-sms yang dihantarNya. Risau kalau tak cukup masa nak studylah, nak siapakan assignmentlah, nak main futsallah, itulah inilah. Tapi lupakah kita yang masa itu adalaha makhlukNya..? Yang Dia berhak dan berkuasa memanjangkan atau memendekkan masa? Yang Dia mempunyai kuasa veto untuk memberikan keberkatan masa kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya...??

Tapi bila nak habiskan masa berdating, berjam-jam marathon series entah hape-hape entah, main DOTA dan entah mak nenek apa lagi entah, tak kisah pulak kan..? Hairan binti ajaib.

Main game lima jam sanggup, solat sunat lima minit garu kepala sampai botak. Aduhai. [Kredit Gambar]

Kita selalu pentingkan diri, tak kisah lah apa jadi kat orang lain, asalkan aku bahagia happily ever after. Sampaikan kita tergamak menganiaya orang lain semata-mata nak pastikan apa yang kita hajati tercapai. Tak kisahlah jiran sebelah rumah susah nak keluar masuk rumah, asalkan kereta aku ada tempat parking. Tak kisahlah mak cik ni mengandung ke, pak cik tu buta ke, asalkan aku dapat duduk dalam LRT ni aku nak tido hey! Tak kisahlah dia jahat berzina minum arak tak solat, asalkan aku baik cukuplah nanti kat akhirat Allah soal sorang-sorang bukan ramai-ramai. Eh. Aku, aku dan aku. Tapi lupakah kita yang Allah tu Maha Adil..? Yang Allah tidak akan membiarkan hamba-hambaNya, espeseli yang soleh dan taat kepadaNya menderita? Ya mungkin Allah tidak bayar cash di dunia ni. Tapi tuunngggguuuulah di akhirat nanti.

Tapi kan, bila kita yang dianiaya, kita dibuli dan ditinda, bukan main lagi kita mahu menuntut keadilan. Sanggup tu turun naik mahkamah sebab kononnya nak tegakkan keadilan. Bila dah kena kat batang hidung kita sendiri barulah nak jadi pejuang keadilan. Alahai. Manusia hai manusia.  

Ada aku kisah..?? [Kredit Gambar]

Kita selalu rasa yang kita ni teruk, banyak dosa dan noda. Eh memang betul pon. Tapi yang tak betulnya bila mana kita putus harapan, kita rasa Allah dah tak akan ampunkan kita. Kita yakin yang sudah tiada jalan keluar untuk kita yang marhaen, keji dan hina ni. Eh tapi bagaimana kita boleh lupa yang Allah tu bersifat ar-Rahman ar-Rahim? Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Yang kita dok baca hari-hari sebagai pembuka surah tu..? Maha Penerima Taubat lagi. Allah berfirman dalan sebuah hadith qudsi, kalau kita datang kepadaNya berjalan, Dia akan berlari kepada kita..! Walaweh.

Tapi masalahnya, dalam tempat pertama, ada ke rasa hina dina tu..? Ke rasa syok dan best bergelumang dalam dosa dan noda..? Astaghfirullahal adzim. Manusia memang terlalu amat pelik.

Bila kita ingat pada Allah, Allah laaaggiiilah ingat pada kita. Tak percaya? Belum cuba belum tahu, tahu..?? ;) [Kredit Gambar]

Kita selalu takutkan manusia bila mana kita nak buat sesuatu yang kita rasa salah. Kiranya benda-benda maksiat lah. Takut dan malu besar kalau manusia mengkantoikan kita. Takut betullah! Pandang kiri, pandang kanan, lap peluh di dahi, bila kita rasa line dah clear barulah kita dengan yakinnya melaksanakan perbuatan terkutuk tersebut. Eh. Lupakah kita yang Allah tu Maha Melihat? Maha Mendengar? Kalau terkantoi dengan manusia pon, apa je yang manusia tu boleh buat pada kita? Paling-paling terer pon, adalah kita rasa malu seminggu. Tapi terkantoi dengan Allah..?? Dengan malaikat Raqib dan 'Atid lagi..??

Tapi kan, yang lagilah misteri nusantaranya, bila mana kita melakukan ibadah yang kononnya untuk Allah tu, kita beriya-iya pulak harapkan manusia di sekeliling menontonnya. Lagi syok kalau mereka puji kebaikan dan kesolehan kita. Tak gitu..? Nau'dzubillah...

Al-Bashir: Sifat Allah yang Maha Melihat. Ha, buat apa tu..?? [Kredit Gambar]

Ha, yang ni memang zaaasss tahap Mahadewa Kaiou. Khas untuk mereka yang menggelarkan diri mereka du'at, yang terasa diri mereka buat dakwah, menyeru manusia kepada Allah. Kita ni selalu je rasa kita lagi bagus dari orang lain kan..? Kononnya, bila kita dah buat dakwah ni, penghayatan kita terhadap Islam tu up sket daripada orang lain kan..? Orang lain tak bagus, kitalah yang paling bagus. Orang lain tak betul, kitalah yang paling betul..! Ya Allah... Nak lagi best, kita sibuk berdakwah sana, berdakwah sini, tengok-tengok kita lupa berdakwah pada diri sendiri. Tarbiyyah diri kita lupakan. Kita abaikan. Kita rasa takpelah, yang penting kita dah dakwah pada orang lain, setel..! Eh bukan ke Nabi SAW dulu setiap malam bangun bermunajat, mengadu dan mendamba kasih kepadaNya..?

Eh.. Betul ke kita berdakwah ni..? Dakwah ke dakyah..? Pelik tahap gaban.

[Tee][Tee][Underscore][Underscore][Tee][Tee]

TT__TT


I'm proud to be a Muslim! The thing is, am I muslim enough..? TT__TT [Kredit Gambar]
Allahu a'lam..

-gabbana-

Bersyukur kerana sehingga hari ini, Allah masih memilih diri yang amat hina ini untuk memikul panji-panjiNya. Tapi hari inilah. Esok siapa tahu..? TTT___TTT 

17 February 2011

Welcome to the Club! Kata Malaikat

Post ini khas buat Inche/Puan Guest Perahsia. ;)

Ramai di kalangan kita yang menggunakan alasan aku belum bersedia, saya masih banyak dosa dan noda, gua tak layak la bro bla bla bla dalam hendak mula bergerak menyebarkan risalah Allah.

Ramai juga di kalangan kita yang teragak-agak untuk melaksanakan tugas Syahadatul Haq ini atas sebab kita merasakan yang kita perlu membersihkan diri daripada segala mak nenek maksiat dan jahiliyyah yang membaluti diri.

Persoalan saya untuk anda. Kalau nak tunggu diri sudah bersih dahulu, bila agaknya ya baru boleh bermula untuk berdakwah..? Saya sudah ada jawapannya. Alamatnya, sampai sudah gol masuk rumah batu dua pon belum tentu lagi kita akan berdakwah kan..? Peluh berpeluh-berpeluh.

Masalahnya cik kak, cik abang, pak cik dan mak cik, berdakwah tu wajib. Tak kiralah kita ni samseng Bukit Beruntung ke, tokey lori ikan ke, pengurus besar Syarikat Minyak Angin Cap Kapak ke atau presiden Persatuan Ibu-Ibu Mengandung Tujuh Bulan ke, dakwah tu adalah wajib. Tak kira siapa pon kita, bangsa apa pon kita, cakap bahasa apa pon kita, suka makan char-kuetiau (ejaan yang betul) atau pon tidak, asalkan kita ni namanya MUSLIM, kita wajib berdakwah.

Makanya, dalam kita dok nak berdalih-dalih tak nak menyampaikan dakwah dengan alasan kita tak ready lah, banyak lagi dosa lah, perlukan masa untuk fikir lah, kita sebenarnya dah menambahkan dosa pada buku akaun kita setiap saat yang kita bazirkan untuk tidak mahu melakukan dakwah. Pffftt....! Sungguh ironi bukan..? Tak ke kurang bijak dan rugi tu..? *koff koff tiba-tiba guna bahasa sedikit sopan koff koff*

Jangan sampai tersungkur nanti dek memberikan seribu alasan untuk tidak mahu berdakwah! [Kredit Gambar]

Dakwah dan tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa) tu sewajarnya dilakukan serentak. Malah lebih aktif dan giat kita berdakwah, kita secara automatiknya akan membersihkan lagi diri kita. Nak tak nak, dalam kita menyeru orang untuk berbuat kebaikan, kita dahululah yang kena berbuat baik dahulu. Espeseli dalam hal-hal yang kita sepesifikalinya berdakwah. Contohnya, takkanlah kita dok marah orang ramai menyambut Hari Santos Valentino sedangkan kita sendiri gelperen sekeliling pinggang..?? Kepala hotak. *koff koff eh terkasar sket minta maaf koff koff*

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
[as-Saff, 61:2-3] 


Air mata alir mengalir-ngalir.

Peraturan ibu jarinya (Baca: Rule of Thumb) begini: Hal ini sepatutnya menjadi motivasi untuk kita untuk terus mara dan maju ke hadapan dalam dakwah ini, dan bukannya mematikan semangat dan niat kita..!

Maka di sinlilah, hadith tentang Hanzalah ibn Ar-Rabi' r.a. menjadi panduan dan sup ayam untuk ruh (Baca: Chicken Soup for the soul) kita agar kita benar-benar meyakini yang dakwah dan proses pembersihan diri itu tidak bercanggah antara satu sama lain, malah mereka saling melengkapi. 

Ceritanya lebih kurang begini. Hanzalah bertemu dengan Abu Bakr r.a. dan Abu Bakr bertanyakan kepadanya bagaimanakah keadaaanya. Tiba-tiba Hanzalah berkata,

"Hanzalah sudah munafik!"

Of koz la Abu Bakr terkejut kan kerana menuduh seseorang dengan panggilan munafik adalah sesuatu yang amat besar ketika itu. Lantas Abu Bakr yang terkejut bertanya kepada Hanzalah apakah sebabnya beliau menuduh dirinya sebagai munafik.

"Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan baginda!"

Itulah jawapan Hanzalah. Terkejut Abu Bakr mendengarnya. Dan anda tahu apa reaksi Abu Bakr..? Demi Allah, kalau macam tu aku pun munafik hai Hanzalah!

Lantas mereka berdua bergegas untuk bertemu dengan Rasulullah SAW, meminta tunjuk ajar dan penjelasan baginda kerana humanghaih, tak sanggup mereka menjadi orang munafik! Rasulullah SAW yang mendengar cerita mereka berdua lantas berkata:

"Demi zat yang jiwaku di tanganNya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir* nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)." [Hadith Riwayat Muslim]

*Maksudnya sentiasa bersemangat nak buat dakwah dan sentiasa rasa iman tu meluap-luap kedebomm bam boommm. Ini tafsiran sayalah hohoho.

Nah! Iman tu yazid wa yankuz, naik dan turun. Memang ada masa-masanya kita akan rasa kotor, penuh dengan dosa dan noda dan sebagainya. Tetapi sebab itulah kita ni manusia dan bukannya malaikat!

Kalau tak, para malaikat akan turun dari langit dan bersalam-salaman dengan kita sambil berkata, "Welcome to the club bruv!" sebab kita sudah sempurna tiada dosa maka secara otomatiknya kita  pon dah jadi malaikat hey! Eh.

Tapi sila jangan salah faham kalau tak saya lempang. Erk. Hadith ni bukannya memberi lampu hijau atau kuning nak tukar hijau kepada anda untuk berbuat dosa sesuka hati mak nenek. Sebaliknya, hadith ni memberikan kita motivasi besar untuk terus mendamba cintaNya yang abadi dan hakiki, dengan terus melakukan amal soleh dan kebaikan dan menyebarkannya kepada seluruh manusia. Begitulah. 

Kerana pintu taubat itu terbuka luas untuk anda memasukinya. Malah Allah lebih mencintai hamba-hambaNya yang berbuat dosa namun kembali kepadaNya, daripada mereka yang seumur hidupnya tidak pernah melakukan dosa, skema dan baik sepanjang hidupnya (which is practically impossible la kan..?)

Allah Maha penerima taubat. Sama ada anda mau bertaubat atau tidak sahaja.. ;) [Kredit Gambar]

My point is... Barang siapa yang berkata dia tak mahu berdakwah atau culas/berat untuk nak berdakwah sebab dia rasa tak bersedia atau merasakan dirinya tidak layak untuk berdakwah, ini jawapan saya kepada anda: -____-" 

(Sebenarnya nak keluarkan perkataan yang sedikit keras tapi tak sanggup pula.. Hohoho..)

Oh berdakwah tu bukan hanya sekadar usrah, daurah, preaching sana dan sini sahaja tahu..? Dakwah itu mempunyai maksud yang lebih luas dan signifikan. Dan paling penting, dakwah itu setiap masa dan ketika..!


Oh mungkin lain kalilah bercakap tentang hal itu. Senyum jahat.

Harapnya anda dapatlah point-point yang hendak saya sampaikan. Jika tidak, silalah bertanya seperti yang dilakukan oleh Inche/Puan Perahsia. Terima kasih diucapkan dan syabas kerana tidak malu untuk bertanya..! Dan Insha-Allah saya akan cuba sebaiknya untuk menjawab persoalan anda.

Akhir kata, jom kita Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak! Kita perbaiki diri kita dan kita perbaiki diri orang-orang yang berada di sekitar kita! Baru cun..! ;)

Cheerios! 

Allahu a'lam..

-gabbana-


Eh baru perasan. Ni adalah post saya yang ketiga ratus. Alhamdulillah.. ^^

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP