Showing posts with label Amal Praktikal. Show all posts
Showing posts with label Amal Praktikal. Show all posts

31 March 2014

Donut Yang Manis, Falafel Yang Berlemak

[Kredit]

Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, pemilik sekalian alam semesta kerana dengan inayah dan kasih-sayangNya, saya diijinkan untuk bertemu dengan anda semua sekali lagi di dalam siri 'Donut & Falafel.'

InshaAllah siri kali ini adalah siri terakhir selepas dua siri siri dakwah fardhiyyah (DF) yang telah saya kongsikan dengan anda semua sebelum ini. Arakian di dalam siri ini, saya akan cuba sebaiknya untuk membuat kesimpulan dan memberikan kata-kata manis ala-ala menanam tebu di pinggir bibir sebagai penutup. Wahahaha. 

Untuk anda yang mungkin sedikit kehilangan (baca: Lost) dengan apa yang direpekkan saya ini, bolehlah rujuk kepada dua siri DF sebelum ini:


Sebelum saya memulakan perkongsian siri yang terakhir ini, bagaimana, sudahkah anda beramal dengan perkongsian dan pencerahan saya yang sebelum ini? Apa maklum balas yang anda terima? Adakah anda mendapat perkongsian saya itu bermanfaat dan praktikal untuk diamalkan?

Sekiranya ya, alhamdulillah, saya kembalikan pujian dan penghargaan anda itu kepada Allah; Dia sahaja yang berhak ke atasnya. Sekiranya tidak, apa lagi yang anda mahukan hah...?? Eh.

Pandang kiri, pandang kanan. Betulkan kolar dan buat-buat seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Baiklah. 

Seperti di dalam siri yang sebelum ini, telah saya kongsikan tips-tips untuk menDF dua kumpulan manusia yang dekat dengan diri kita, iaitu keluarga dan sahabat handai. Dan seperti yang telah saya janjikan, kali ini saya akan berkongsikan pula panduan untuk menDF rakan-rakan sekerja dan masyarakat awam di luar sana.

Anda sudah bersedia dengan buku nota dan pensil goncang yang cukup ubatnya? Mari!

Rakan Sekerja

Teringin juga nak tahu tips-tips mendf abam-abam jantan tentera ni. Err. [Kredit]

Tips yang bakal saya kongsikan ini mungkin tidak relevan untuk sesetengah daripada anda, kerana ia sebenarnya amat bergantung kepada jenis pekerjaan anda. 

Sekiranya anda merupakan seorang pelatih singa di sebuah sarkas atau seorang pembunuh bersiri, ada kemungkinan tips-tips ini tidak boleh digunapakai. Erk.

Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa kunci pada DF yang benar-benar berkesan adalah sentuhan hati. Cuma mungkin pendekatan untuk rakan-rakan sekerja adalah sedikit berbeza kerana anda tidak punya talian kekeluargaan dengan mereka dan anda pula tidak mengganggap mereka sebagai sahabat handai anda (Baca: Konon profesional). Namun begitu, tempat kerja merupakan takungan mad'u yang amat subur sekali, memandangkan kebanyakan daripada kita menghabiskan sebahagian besar daripada masa kita di tempat kerja. 

Rahsia untuk menDF rakan-rakan sekerja adalah dengan meningkatkan tsiqah (kepercayaan) mereka kepada anda. Hal ini mungkin boleh dilakukan dengan langkah-langkah yang berikut:

  1. Sentiasa datang awal ke kantor, bagi menunjukkan anda bukan sahaja seorang yang menetapi masa, malah mendahului masa
  2. Itqan (amanah dan bersungguh-sungguh) dalam menyiapkan kerja yang diberi. Bukan sahaja kerja-kerja yang anda lakukan dihantar tepat/awal pada masanya, malah ia juga berkualiti tinggi. Silap haribulan, Inche Bos Besar anda pon menyertai bulatan gembira juga kerana terlalu kagum dengan prestasi kerja yang anda tunjukkan. Wah!
  3. Menjadi imam solat fardhu di surau kantor. Anda yang sememangnya sudah kacak bergaya dengan tali leher dan cufflink anda itu, ehem, pasti membuatkan makcik-makcik kantor cair dan berhajat menjadikan anak menantunya. Eh. Sila jaga niat ya!
  4. Menjadi pusat rujukan kepada permasalahan agama dalam kalangan rakan-rakan sekerja. Pengalaman saya, memang sekali-sekala akan ada borak-borak agama yang membincangkan soal hukum fikah (ini tajuk peberet), isu semasa dan sebagainya. Ketika inilah anda wajar mengambil peluang dan mencelah untuk melontarkan pandangan anda yang bernas itu.
  5. Ramah dan mesra dengan semua orang, hatta dengan makcik pembuat air dan abang pengemop lantai, tanpa melanggar batas-batas syarak yang ditetapkan. Percayalah, orang akan sangat hormat dengan sikap sebegini.
  6. Menjaga akhlak anda dengan se-tiptop mungkin, baik dari segi pemakaian, cara percakapan, kekemasan meja dan sebagainya. *Paaannnggg* Aduhhh rasa macam sedang melempang diri sendiri!
  7. Sekali-sekala apabila ada masa lapang, apa salahnya buka mushaf anda dan tilawah dan tadabburlah di meja kerja anda itu. Pedulikan mata-mata yang terjojol keluar atau mulut-mulut yang ternganga melihatkan perbuatan anda itu.
  8. Menampal poster-poster Islamik berupa hadith-hadith pilihan, 10 sifat tarbiyah, maratib amal dan sebagainya, pada dinding kubikel anda (sekiranya ada)
  9. Membelanja rakan sekerja makan tengah hari berupa nasi beriani ayam madu atau nasi kerabu daigin bakar atau nasi campur ikan bakar Jalan Tanglin. Ohoi!
  10. Sentiasa bersedia menjadi telinga kepada mana-mana rakan sekerja yang ingin berkongsi masalah dan meminta pandangan kita, meskipon kita bukanlah pakar psikiatri yang bertauliah
  11. Walaupon hujung minggu kita penuh dengan konferens riang dan program-program tarbiyah dan dakwah, cubalah sebaiknya memenuhi jemputan rakan sekerja ke majlis-majlis keramaian yang dianjurkannya seperti majlis aqiqah anak sulung, majlis sambutan hari lahir anak bongsu dan majlis perkahwinan bini nombor dua. Eh Eh.
  12. Menjadi AJK surau kantor (sekiranya ada) di mana anda boleh menggunakan peluang ini untuk mencadangkan pelaksaan program-program tarbiyah dan memberi tazkirah pembasah jiwa usai waktu solat
Jujurnya, menDF rakan sekerja bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Apatah lagi kebanyakan daripada mereka sudah mempunyai pelbagai komitmen dan tanggungjawab sebelum mereka berkenelan dengan tarbiyah dan dakwah lagi.
Saya sendiri mengambil masa hampir dua tahun sebelum berjaya meyakinkan seorang rakan sekerja yang juga kini merupakan sahabat baik saya, untuk menyertai bulatan gembira. Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya milikNya. 
Pokoknya, kena banyak bersabar dan terus-menerus berusaha untuk menyantuni rakan-rakan sekerja anda itu. Selagi mana anda bergelar seorang dai'e, anda adalah dai'e pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja anda berada. Ayuh sebarkan chenta di kantor kita!

Masyarakat Awam

Hai adik beriman, boleh berkenalan? [Kredit]

Jujur, saya bukanlah orang yang paling baik untuk memberikan tips bagaimana mahu menDF orang-orang awam di luar sana. Namun suka atau tidak, setiap masa kita berinteraksi dengan masyarakat di luar sana dan kita punya amanah untuk menyebarkan chenta pada mereka ini juga.

Di dalam buku 'Bagaimana Menyentuh Hati' tulisan Abbas as-Sisiy, dikisahkan bagaimana pernah suatu ketika beliau sengaja memijak kasut seorang pemuda di dalam tren semata-mata kerana mahu memulakan perbualan dengannya. Sungguh mengangkatkan sebelah kening bukan? Kau mampu...?

Saya belum lagi mampu. Nanges.

Namun apa yang sering saya lakukan adalah memerhatikan para syabab (pemuda yang bersemangat hidung kembang kempis) di masjid atau surau yang sering saya kunjungi dan kemudian berangan-angan alangkah indah dan seronoknya sekiranya saya dapat membulatangembirakan mereka ini. Syok sendiri.   

Berikut saya kongsikan beberapa tips yang saya kira, praktikal untuk kita sama-sama lakukan untuk menDF masyarakat awam di luar sana:

(Nota: Saya memasukkan jiran tetangga di dalam kategori ini)
  1. Sekali-sekala menghantar ayam ros merah atau ikan kerapu tiga rasa yang anda masak itu kepada jiran-jiran yang berkenaan, percuma dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Selitkan nota yang tertulis, "Kalau berminat untuk menyertai bulatan gembira, jangan ragu-ragu untuk menghubungi 1800-BULATAN-OSEM." Jangan lupa emotikon senyum kenyit mata itu!
  2. Buat-buat tanya arah jalan atau apa-apa sahaja soalan rawak yang relevan kepada syabab yang telah anda kenal pasti untuk memulakan perbualan
  3. Pergi kepada individu yang berpotensi menjadi mad'u anda itu dan berkata, "Eh anda ni bukan yang berlakon dalam iklam biskut cap Pingpong tu ke?"
  4. Berlari-lari anak dari jauh lagi sambil menunjukkan muka yang penuh keterujaan dan kebahagiaan lantas memeluk kuat bakal mad'u anda dan berkata, "Allah Mat (atau Minah untuk akhawat) lama betul kita tak jumpaaa! Mana kau pergi selama niii...???" Namun pipi anda kena cukup tebal untuk melakukan aksi ini. Heh.
  5. Solat di dalam surau/masjid yang sering dikunjungi mad'u yang berpotensi. Pastikan anda duduk dan bersolat berdekatan dengannya. Bila tiba masa yang sesuai, cuit bahunya dan katakan, "Abang selalu nampak anda di sini. Belajar mana?" dan aturkan suatu pertemuan di kedai mamak dengannya. 
  6. Beli hadiah dan balutnya dengan cantik, dan beri kepada mad'u yang berpotensi apabila anda bertemu dengannya. Apabila dia membuat muka pelik atau tidak percaya, katakan padanya dengan penuh yakin, "Ya, saya tidak kenal anda dan anda pon tidak kenal saya. Tetapi entah mengapa, saya merasakan hati kita telah tertaut keranaNya dan oleh sebab itu, saya ingin menunjukkan penghargaan saya dengan memberikan anda hadiah ini." Ok skema. Sama ada dia akan mengalirkan air mata penuh keterharuan (10-18% kebarangkalian) atau dia akan kembalikan semula anda hadiah itu dan lari laju-laju (64-89% kebarangkalian). Eheh. 
  7. Sebarkan salam, sepertimana hadith Nabi SAW:
“Kalian tidak akan masuk sorga sampai kalian beriman, dan tidak akan sempurna iman kalian hingga kalian saling menchentai. Mahukah aku tunjukkan kalian pada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling menchentai? Sebarkanlah salam di antara kalian.”
[Hadith Riwayat Muslim]

Selain tips (5) dan (7), yang lain-lain itu sungguh memerlukan keberanian tahap gaban atau sekurang-kurangnya, Suria Perkasa Hitam. Eheh.

Baiklah. 

Sebagai konklusi, suka untuk saya ingatkan diri saya dan anda semua, bahawa hadaf (objektif) utama DF adalah untuk merompak hati-hati manusia di luar sana dan diserahkan kepada Allah semata. Dengan bahasa yang lebih mudah dan praktikalnya, hadaf DF adalah untuk membulatangembirakan mad'u-mad'u berpotensi yang telah anda kenal pasti.

Oleh sebab itu, ruh DF adalah berbeza sekali dengan dakwah ammah (dakwah umum), di mana anda berDF dengan harapan dan matlamat untuk membawa bersama-sama subjek dakwah itu ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah yang sedang anda naiki. Anda tidak mungkin akan senang duduk dan berpuas hati selagi mana anda tidak mencapai objektif anda itu.

Kelazatan dan kenikmatan berDF ini hanya dapat dirasakan oleh anda yang bersungguh-sungguh dan ikhlas melakukannya sahaja. Terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang akan diperolehi, yang tidak mungkin akan didapati di mana-mana kuliah atau bilik darjah. Anda yang pernah melakukannya sahaja tahu betapa sukarnya mahu memulakan DF ini, dan anda juga tahu sekali anda memulakannya, anda tidak mungkin dapat berhenti daripada melakukannya. Senyum.

Apa-apa pon, sematkan di dalam hati dan yakini tanpa ragu-ragu lagi bahawasanya DF ini adalah hanya sebahagia usaha kita dalam melaksanakan tanggungjawab Syahadatul Haq kita. Setinggi dan sebesar mana pon harapan kita agar subjek dakwah yang kita kenal pasti - sama ada ahli keluarga, sahabat handai, rakan sekerja atau masyarakat awam di luar sana - untuk bersama-sama bergabung dengan kita, akhirnya hidayah itu milik Allah jua. 
"Sungguh engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki., dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
[al-Qasas, 28:56]

Tarik nafas.

Saya kira cukuplah setakat ini perkongsian saya tentang dakwah fardhiyyah. Ya, saya tahu dan saya akui, perkongsian saya ini mungkin tidak sampai 1% pon daripada ruh dan kefahaman DF yang sebenar. Namun besar harapan saya agar perkongsian yang marhaen ini dapatlah memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada anda semua, espeseli kepada anda yang baharu mahu berjina-jinak dengan konspirasi tarbiyah ini. Wahahaha.

Wahai Allah! Saksikanlah! Saksikanlah yang aku telah sampaikan!

Selamat menyentuh hati-hati di luar sana. Selamat menyebarkan chenta!

-gabbana- 

22 March 2014

Siapa Yang Makan Donut dan Falafel Saya?

[Kredit]

Ha, bagaimana perasaan bermu-a-ya-syah dengan hadek-hadek bulatan gembira anda? Cukup nikmat dan menyegarkan bukan..?

Adakah ini anda merasakan anda sudah cukup mengenali mad'u anda itu? Op op, belum lagi! Jangan lupa, muayasyah adalah proses yang berterusan; hanya akan berhenti apabila anda atau si mad'u anda itu sudah tidak bernyawa lagi! 

Err.

Pandang atas, tangan di dada.

Baiklah, seperti yang dijanjikan, kali ini saya akan berkongsi pula dengan anda bagaimanakah caranya untuk berdakwah fardhiyyah (DF) kepada pelbagai jenis orang di luar sana. Memandangkan di luar sana ada berbilion jenis manusia, ijinkan saya membahagikan mereka kepada empat golongan yang terbesar:

  1. Ahli keluarga
  2. Sahabat handai
  3. Rakan sekerja
  4. Manusia awam (Baca: Random)
 
Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini (rujuk artikel 'Donut dan Falafel: Muayasyah), apabila kita berbicara tentang DF, kita tidak boleh lari daripada memfokuskan pada hati. Malah dalam 7 marhalah DF, 2 anak tangga yang pertama adalah sangat berkait dengan hati.
 
Sayugia saya akan lebih banyak berkongsikan tentang metod dan kaedah untuk menyentuh lantas membuka pintu-pintu hati empat golongan seperti di atas.
 
Ehem. Baiklah. Anda telah bersedia dengan semangkuk popkon panas perisa karamel dan segelas minuman berkarbonat jenama yang tidak diboikot? Marilah! 
 
Ahli Keluarga
Dalam banyak-banyak golongan yang disenaraikan, saya kira ahli keluargalah yang paling sukar sekali untuk didakwahkan. Mengapa? Kerana merekalah orang yang paling dekat dan rapat dengan kita. Ironi bukan?
 
Namun perlu diingatkan bahawa antara perintah dakwah yang terawal yang diturunkan kepada ar-Rasul SAW adalah untuk baginda menyampaikan risalah Islam kepada ahli-ahli keluarganya. Tidak boleh tidak, suka atau tidak, kita wajib menyampaikan kebenaran kepada mereka ini, terutamanya buat anda yang mempunyai latar belakang keluarga yang, err *garu-garu kepala*, pegangan agamanya tidaklah sekuat mana. 
 
Di sinilah DF amat berguna sekali. Kerana di peringkat awalan DF, anda tidak perlu langsung pon menyebut tentang tanggungjawab menaati perintah Allah, urgensi mengikut sunnar Rasulullah SAW, apatah lagi mengajak mereka berbulatan gembira dan menyertai kumpulan ODOJ anda. Eh. Fokus utamanya adalah untuk merapatkan hubungan dengan mereka lantas merompak hati-hati mereka ini. Wah!
 
Untuk ahli-ahli keluarga, terutamanya Puan Mama dan Inche Papa, senjata yang paling berkesan untuk menyentuh hati-hati mereka adalah dengan anda menunjukkan akhlak terbaik yang menyejukkan perut ibu yang mengandungkan anda. Juga dengan melakukan perkara-perkara yang boleh sahaja membuatkan ayah anda sakit jantung melihatnya kerana terlalu kagum dan tidak terpercaya. Eheh.
 
Antaranya:
 
  1. Mengimamkan solat Puan Mama anda sekali-sekala
  2. Menyediakan teh o' panas kaw-kaw sebaik sahaja Inche Papa pulang bekerja
  3. Puan Mak dan Inche Bapak letih dan penat baru pulang dari bekerja, tengok-tengok dah terhidang nasi beriyani dan kambing golek di atas meja makan
  4. Membantu Puan Ibu menyidai pakaian di jemuran, mengangkatnya apabila telah kering lantas melipatnya dengan penuh bergaya
  5. Menemani Inche Ayah sarapan pagi di kedai mamak dan berborak-borak mesra dengannya
  6. Membantu Cik Adik Perempuan menyiapkan kerja sekolahnya
  7. Menghantar dan mengambil Inche Adik Lelaki ke dan dari sekolah, dan singgah membeli pisang goreng rangup sebungkus dalam perjalanan pulang ke rumah
  8. Membaca Quran terjemahan dengan suara mendayu-dayu di ruang tamu
  9. Menyapu halaman rumah dan menyiram pokok bunga orkid milik Inche Daddy
  10. Membawa seisi ahli keluarga berjalan-jalan d hujung minggu ke taman bunga atau Taman Tamadun Islam
 
Perbuatan-perbuatan ini akan meninggalkan kesan yang amat mendalam terutamanya buat anda yang suatu ketika dahulu tidak dapat dibezakan antara jin hutan atau serigala jadian. Percayalah, silap haribulan, mengalir air mata Puan Mama dan Inche Papa anda bercucuran meliaht perubahan akhlak anda yang sungguh menggugah jiwa itu.

Bagaimana pula dengan kami yang ahli-ahli keluarga kami sudah sedia baik dan alim Inche gabbana? 

Sama sahaja. Ingat tak fokus kita adalah pada hati? Maka buatlah apa sahaja asalkan anda dapat menawan dan menjerat hati-hati mereka ini!

Boleh kan? Senyum.
 
 
Sahabat handai 
Ha yang ini pon sukar juga dan kadangkala membuatkan kita tergaru-garu hidung memikirkan bagaimanakah caranya untuk menarik mereka ini kepada Islam. 

Sekali lagi kata kuncinya adalah hati. Anda perlu berusaha mencari-cari titik-titik kelemahan mereka ini (Baca: Tapak kaki Achilles) mereka ini agar dapatlah anda memanipulasikan mereka sebaiknya.

Ok ayat di atas sedikit keji bunyinya. 

Untuk rakan-rakan yang tidak punya latar belakang agama dan baharu sahaja mahu berjinak-jinak untuk berhijrah, tidak perlulah terlalu drastik dengan terus mengajak mereka menyertai bulatan gembira, apatah lagi pergi berjihad di Palestin. Erk. 
 
"Alhamdulillah! Kalau kau nak jadi baik maknanya kau dah bersedia untuk syahid di di Syria la kaaannn...??"
 
Boleh jadi itulah perbualan terakhir anda dengan rakan anda itu kerana nama anda terus dipadamnya dari waksepnya. Peluh kecil. 
 
Perkara-perkara kecil seperti memberikannya hadiah ketika hari lahirnya, bertanyakan khabar, menziarahinya apabila dia sakit, membelanjanya makan sekali-sekala, berminat untuk mengetahui tentang latar belakang keluarganya dan sebagainya, meski tampak remeh, boleh menyentuh hatinya pada sudut yang paling dalam.
 
Untuk rakan-rakan yang sudah mula menunjukkan minat dengan agama dan ada asas agama yang boleh tahan hebatlah juga, mungkin anda boleh mula sembang-sembang ringan tentang masalah umat, hukum-hukum fiqh yang sering diperdebatkan, ceramah-ceramah ostad ostajah selebriti yang diminatinya dan yang seumpama dengannya, untuk mengetahui serba-sedikit kefahamannya tentang Islam. 
 
Dari situ anda boleh mengagak dan merancang sama ada sesuai atau tidak untuk mengajaknya berbulatan gembira. Sekiranya belum bersedia, ambil masa lagi untuk bertaaruf dan bermuayasyah dengannya. 

Bersabarlah dalam menyantuni sahabat handai anda ini. Terutamanya apabila anda dahulu sangat kamceng dengannya dah selalulah buat kerja-kerja nakal bersama-sama. Pastilah akan mengambil sedikit masa untuk dia menyesuaikan dirinya dengan anda yang baharu itu.

Kes benar, ada seorang al-akh ini menunggu sehingga setahun lamanya, tidak pernah kenal erti penat lelah dan berputus-asa menDF dan menyantuni sahabat-sahabatnya, sebelum mengajak mereka berbulatan gembira. Apa kesannya? Apabila tiba masanya mereka diajak, tanpa ragu-ragu dan tanpa banyak songeh, mereka terus menerima ajakan al-akh itu. Subhanallah! Itulah hebat dan berkuasanya DF! 

Untuk bacaan tambahan, boleh rujuk artikel 'Erti Persahabatan Yang Hoyeaahhh!'

Oh, saya nampak ada yang sudah mual dan juling mata membaca artikel ini. Wahahaha. Saya kira, elok saya berhenti di sini dahulu. Khuatir andai saya meneruskannya lagi, ada pula yang pitam dan mulut berbuih nanti. 

InshaAllah saya akan sambung cara-cara untuk menDF rakan-rakan sekerja dan manusia awam di siri Donut dan Falafel yang akan datang. Dan inshaAllah juga, saya akan membuat kesimpulan tentang DF ini di dalam siri yang terakhir tersebut.

Sehingga itu, renung-renungkan dan selamat beramal!

Senyum nampak gigi.

-gabbana-
 
Hujung minggu yang sungguh menggemokkan. Peluh besar.
 

21 March 2014

Donut dan Falafel: Muayasyah

[Kredit]

Anda yang sudah menyertai bulatan gembira dan bersama dengan gerakan tarbiyah dan dakwah sudah pasti amat terbiasa dengan istilah 'dakwah fardhiyyah' (DF) yakni istilah yang digunakan untuk menggambarkan usaha-usaha dakwah kepada individu.

Malah anda juga pasti tahu bahawa DF ini merupakan antara metod atau kaedah yang terpenting dalam merompak dan menawan hati-hati di luar sana, lantas membawanya bersama-sama dalam mencari redha Allah. Untuk anda yang baharu mahu berjinak-jinak mengajak orang bersama dengan gerabak ini, anda akan mendapati DF adalah kaedah paling asas dan paling praktikal dalam memulakan langkah-langkah pertama dalam dakwah.

Saya pernah menyentuh isu ini sebelum ini dalam beberapa buah artikel, antaranya 'Perkumpulan Jejaka-Jejaka Matang', 'Babai Bang Naqib Saya Tidak Mahu Pergi Bulatan Gembira Lagi' dan 'Abang Murabbi, Bisa Jadi Abang Ipar Gue Enggak?'. Namun inshaAllah kali ini saya akan berkongsikan dengan anda semua secara lebih spesifik apakah yang dimaksudkan dengan DF itu dan bagaimana pula melakukannya dengan penuh osemness lagi bergaya.

Untuk rekod, saya bukanlah orang yang terbaik atau pakar dalam bidang DF-menDF ini. Saya yakin, di luar sana, lebih ramai ikhwah dan akhawat yang lebih aula' kedudukan mereka untuk berkongsikan ilmu dan pengalaman tentang DF ini. Untuk mereka, menDF ini hanya pandang sebelah mata sambil makan kacang panggang cap Ketip Tangan sahaja. Wah! 

Malah untuk anda yang benar-benar seriyes mahu mendalami ilmu DF ini menurut pandangan dan bimbingan dari mereka yang pakar, disyorkan untuk mengkhatamkan 'Bagaimana Menyentuh Hati' tulisan Syaikh Abbas Assisi atau 'Dakwah Fardhiyyah' karangan Syaikh Mustafa Mahsyur.

Namun ijinkan saya untuk berkongsikan serba sedikit pengetahuan dan pengalaman yang ada pada saya, dengan harapan dapatlah ia memberikan manfaat kepada anda di luar sana. Biarlah perkongsian ini biasa-biasa dan marhaen sekalipon, moga-moga ada hati-hati yang tersentuh di luar sana, biidznillah.

Baiklah. 

Betulkan tempat duduk. Betulkan kolar. Mood seriyes. 

Secara mudahnya, DF membawa maksud usaha-usaha berdakwah kepada seorang individu. Maknanya, sasaran dakwah (mad'u) itu terdiri daripada seorang individu; kerana itu ia dipanggil dakwah fardhiyyah. Boleh jadi yang berdakwah itu seorang juga. Boleh jadi dua orang dan boleh jadi sekumpulan dua't kool yang memakai jeans. Eh. Tidak kisahlah.

Apabila berbicara tentang DF, tidak boleh tidak, pastilah hati yang menjadi fokus utamanya. Kerana sasaran utama DF adalah hati si mad'u. Makanya, penting sekali untuk sang dai'e yang berDF mengetahui rahsia-rahsia dan mangga-mangga yang mengunci hati si mad'u, agar dapatlah dia membuka pintu hati si mad'u dengan penuh teruja dan gembira. Ewah. 

Ada orang mudah sekali untuk membuka hatinya. Cukup dengan sekadar berbual mesra dan mengambil berat tentang dirinya, si dia sudah boleh jatuh chenta berguling-guling dengan anda. Eheh.

Namun ada juga orang yang memasang entah pelbagai jenis mangga pada hatinya, menjadikan usaha-usaha anda untuk menawan hatinya itu sedikit sukar dan seringkali mengalirkan titisan peluh yang gemok lagi besar. 

Pendek kata, lain orang, lainlah cara untuk menawan hatinya. Lain hati, lainlah anak kunci untuk membukanya! 

Dah tu, bagaimana kita mahu tahu rahsia dan anak kunci untuk membuka hati si mad'u Inche gabbana? Macam susah je macam susah je.

Terima kasih kepada yang bertanya. Ok ok, anda boleh hentikan aktiviti menggaru kepala tu. Risau saya botak nanti jadinya! Wahahaha. 

Rahsianya terletak pada suatu aktiviti/perbuatan yang cukup berkuasa dan berkesan ini: Muayasyah. 

Op op sebut betul-betul, jangan sampai tergeliat lidah!

Mu-a-ya-syah. Maksudnya kurang lebih, bergaul mesra. Atau dengan bahasa yang lebih sempoi, berborak bantal atau baring-baring di atas paha sambil berbual manja.

Tersembur. 

Muayasyah ini perlu dilakukan dalam keadaan yang sesempoi dan sekool. Elakkan dari melakukan atau berborak perkara-perkara skema yang hanya mengundang bunyi cengkerik atau angin shiuh shiuhhh bertiup laju seperti:

"Err indah kan cuaca hari ini..?"

atau

"Apa pendapat kau tentang keadaan ekonomi semasa dunia dan terutamanya Malaysia?"

atau mengajak bertemu janji di Perpustakaan Negara.

Err. Dengar tak bunyi cengkerik tu..? 

Anda memang haibat dan bergaya sekiranya si mad'u (subjek dakwah itu) langsung tidak menyedari pon yang sebenarnya anda sedang bermuayasyah dia. Pada pandangan dia anda hanyalah seorang abang/kakak/rakan/kenalan yang mesra alam dan seorang samaritan baik hati yang gemar berbual mesra. Kiranya dia sudah termakan umpan lah tu! Wahahaha. 

Muayasyah ini boleh dilakukan dalam pelbagai jenis keadaan. Antaranya:

  1. Ketika sedang makan nasi lemak sambal kerang
  2. Mengayuh basikal bersama-sama
  3. Berjalan-jalan di taman bunga sambil menikmati pemandangan bunga-bunga dafodil dan arnab-arnab gemok berlari riang
  4. Ketika anda sedang memandu dan si mad'u duduk bersebelahan (kalau di belakang ada kemungkinan besar dia akan berdengkur sahaja)
  5. Sewaktu sebelum tidur, di minit-minit terakhir sebelum anda dan si mad'u masuk ke alam lain
  6. Duduk di tepi bukit sambil menyaksikan keindahan kota raya Kuala Lumpur bertemankan bintang-bintang begemerlapan di langit malam
  7. Ke pasar pagi membeli ikan tenggiri, bawang besar dan tomato
Yang penting, pilihlah masa dan keadaan yang paling selesa, tenang dan aman, di mana ketika itu si mad'u dapat berkongsi dan mencurahkan isi hatinya tanpa rasa ragu-ragu dan was-was. Nah, ketika inilah anda mengorek rahsianya - apa kesukaannya, apa pula yang tidak disukainya, makanan kegemarannya, si Puan Mamanya bekerja sebagai apa, tahi lalat Inche Papanya yang paling besar di bahagian mana - bertujuan untuk mengenali diri si mad'u dengan lebih mendalam lagi. 

Antara tips berkesan untuk memujuk/menggalakkan si mad'u untuk membuka hatinya kepada anda, adalah dengan anda berkongsi isi hati anda dahulu. Ha, di sinilah ia akan menguji keikhlasan dan kesungguhan anda untuk bertaaruf dan bermuayasyah dengan si mad'u. 

Sebelum kita mahu si lebah memberikan madunya, kita dahululah perlu menghulurkan bunganya! Tidak begitu? Ewah kau. 

Anda akan tahu muayasyah anda telah berjaya apabila si mad'u tanpa segan-silu menceritakan kepada anda perkara-perkara yang jarang sekali diceritakan olehnya kepada orang lain. Di sinilah anda mula mendapatkan anak-anak kunci untuk membuka pintu hatinya.

Maka, tahniah dan syabas diucapkan! Senyum besar. 

Muayasyah ini sangatlah penting untuk anda merancang langkah-langkah seterusnya dalam mentarbiyah si mad'u anda itu. Hanya dengan muayasyah yang berkesan, anda dapat memastikan anda tidak tersalah langkah, tersilap bicara dan terkhilaf aksi dalam menyediakan tarbiyah yang paling berkesan untuk mad'u anda itu.
 
Misalnya, anda beriya-iya menyuruh si mad'u anda itu berdakwah kepada ibu dan ayahnya - masakkan mereka makan malam, tolong si ibu sidai baju dan sebagainya - tanpa mengetahui yang ibunya telah lama meninggal dunia! Aduhhhh parah bak hang! 

Oleh sebab itu, muayasyah bukanlah proses sehari dua. Ia adalah proses yang berterusan dan berpanjangan. Muayasyah yang benar-benar efektif akan meninggalkan kesan yang cukup mendalam dan memberikan impak yang besar kepada si mad'u. Dia akan mengenang anda sebagai abang murabbi yang paling caring dan maring sepanjang hidupnya! Eheh. 

Apa-apa pon, syarat muayasyah yang paling utama adalah keikhlasan dan kesungguhan anda sebagai murabbi/ah untuk benar-benar mengenali hati budi si mad'u. Tidak lain dan tidak bukan, kerana anda mahu menawan hatinya, agar dapatlah anda bawanya bersama-sama untuk mengejar redha Allah yang hakiki itu.

Senyum.

Saya kira cukup dahulu di sini. InshaAllah saya akan sambung lagi sesi Donut dan Falafel ini di masa akan datang. Di lain kali saya akan menyentuh pula bagaimana kita mahu menDF manusia-manusia yang punya latar belakang yang berbeza. Doakan umur saya cukup panjang untuk melakukannya, biidznillah!
 
Pandang kiri. Pandang kanan. 

Lah, anda tunggu apa lagi tu..? Pergilah muayasyah dengan mad'u anda tu!

Sekarang!

-gabbana-
 
Inche gabbana! Kenapa tajuk post ni 'Donut dan Falafel'? 
 
Err. Err. Kita jumpa di lain kali ya?
 
Lari laju-laju. 
 

24 August 2012

Rohingya, Erdogan dan Dot Dot Dot

[Kredit]
Ini adalah post yang telah saya tangguhkan penulisannya sehingga hari ni. Sehingga ayat ini ditulis, tiada jaminan yang boleh diberikan yang saya akan berjaya menyudahinya pada hari ini juga. Peluh kecil.

Ketika ini saya kira sudah ramai yang sudah pulang daripada beraya sakan melantak ketupat palas berendangkan ayam dan daging masak hitam beserta wajik dan dodol juga lemang dan kuih semperit. Err. Namun masih ada saki-baki yang berdegil tidak mahu pulang lagi dan masih mahu beraya di kampung halaman. Tidak mengapalah, raya kan sekali setahun? (Tapi di Malaysia walaupon sekali setahun, sekali tu kena darab tiga puluh kali. Hohoho..)

Setiap kali raya sebegini, pasti telinga anda sudah biasa dengan ayat cliche sebegini:

"Dalam kemeriahan kita menyambut Hari Raya dan bergembira bersama sanak-saudara, jangan kita lupa dengan saudara-saudara seagama di tempat lain yang tidak dapat merayakan hari raya seperti mana kita merayakannya."

Ya, cliche. Tapi itulah hakikatnya. Ketika kita sedang sibuk memilih kuih raya mana yang mahu disumbat ke dalam esofagus, kawan-kawan kita di Palestin sedang memilih batu kerikil mana yang mahu dilontarkan kepada tentera rejim zionis Israel hari ini. Ketika kita sedang sibuk menggayakan baju raya baru kita yang berwarna ungu muda itu *ehem*, sahabat-sahabat kita di Syria tiada baju untuk dipakai dek dibakar semuanya oleh tentera-tentera rejim Bashar al-Assad. Dan ketika kita riang gembira menyembelih ayam, kambing dan lembu untuk dijadikan juadah raya, saudara-saudara Rohingya kita disembelih untuk dijadikan 'juadah raya' oleh pelampau Buddha Rakhine. 

Dan anda tahu apa yang lebih menarik dan mengujakan tentang semua ini..? Semangatnya kita untuk memperjuangkan nasib saudara kita seagama ini adalah semangat hangat-hangat tahi ayam serama sahaja. Ketika isu ini sedang panas dan hangat dibicarakan, kitalah yang paling lantang sekali bersuara. Ketika krisis ini rancak didedahkan oleh pihak media, kitalah yang paling rajin sekali menghapdet kicauan dan status-status di MukaBuku. Ketika semua orang bising dan menuntut agar tindakan yang segera diambil, kita juga turut terjun ke dalam gerabak keretapi yang sama.

Nah, sekarang ke mana semua itu...? Semuanya hanyut, ditenggelamkan oleh dentuman mercun dan lagu-lagu raya. Semuanya larut, dihadamkan bersama-sama kuih tat nenas dan lemang Pak Ali. Smaaaccckkkk suatu tamparan ke muka sendiri.  

Itulah masalahnya kita ini. Kita ini 'issue-oriented.' Perjuangan kita adalah berdasarkan isu dan bukannya perjuangan agung membela ummah dan agama. Sayugia apabila tiada isu atau isu berjaya diselesaikan, maka kembalilah kita ke kerusi-kerusi dan sofa empuk kita, kembali menonton telebisen sambil mengunyah popkon panas yang rangup itu. Sedangkan perjuangan membela ummah ini adalah suatu perjuangan yang berterusan, sehinggalah khilafah kembali ditegakkan. Haih. 

Apa-apa jalan, sudah lama saya ingin menulis sesuatu tentang nasib umat Islam Rohingya yang diperlakukan dengan begitu jijik sekali oleh etnik Rakhine yang rata-ratanya beragama Buddha. Semoga perkongsian marhaen ini akan menjadi pencetus untuk kita lebih cakna dengan isu ummah di masa-masa hadapan dan tidaklah berbasa-basi dan acuh tak acuh sahaja. Semoga selepas ini kita lebih konsisten dan persisten dalam memperjuangkan nasib saudara-saudara seaqidah kita.

Latar Belakang

Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah sejak sekian lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Cuma tahun ini, telah berlaku suatu krisis yang membawa kesengsaraan mereka ini ke pentas dunia.

Tragedi yang bermula pada awal Jun tahun ini tercetus apabila seorang wanita etnik Rakhine dirogol dan dibunuh, dipercayai dilakukan oleh beberapa lelaki daripada etnik Rohingya. Sebagai tindak balas dendam, suatu hari puak Rakhine ini telah mengepung dan menyerang sebuah bas dan membelasah lantas membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya, kerana menyangkakan mereka yang bertanggungjawab membunuh wanita itu berada di dalam bas tersebut. 

[Kredit]
Selepas kejadian itu, semua neraka terlepas sudah (Baca: All hell breaks loose) bak kata omputih. Bermula dengan kejadian membakar rumah sebagai tindakan tindak-balas, krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih ganas dan brutal dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berjemaah dan bersepadu oleh puak Rakhine. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk melunaskan dendam mereka terhadap bangsa Rohingya ini yang telah disimpan sejak sekian lama. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila diberitakan bagaimana pihak tentera dan polis yang rata-ratanya juga beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembersihan etnik Rohingya ini.


[Kredit]
Laporan rasmi daripada pihak junta tentera yang memerintah Myanmar mengatakan tidak lebih daripada seratus orang yang terkorban daripada krisis ini. Penipu besar! Laporan daripada Amnesty International dan beberapa badan lain yang boleh dipercayai, juga daripada kenyataan mangsa yang terselamat mengatakan bagaimana ratusan, malah mungkin ribuan umat Islam Rohingya disembelih dengan riang gembiranya oleh puak pelampau Rakhine.  

Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa bagaimana pihak polis, tentera dan etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan begitu selamba tanpa rasa bersalah mahupon sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Gambar-gambar dan video yang berjaya ditangkap dan disebarkan juga menjadi bukti kekejaman dan kezaliman etnik Rakhine yang beragama Buddha terhadap umat Islam Rohingya. 

Rohingya? Apa tu..?

Sejarah etnik Rohingya panjang dan rumit untuk diceriterakan di sini. Disebabkan ini adalah belog dan bukannya jurnal sejarah, maka izinkan saya untuk meringkaskan susur-galur mereka. 

Menurut sejarah, etnik Rohingya sudah lama menetap di Burma (nama lama bagi Myanmar) yang berjiran dengan tanah Bengal ketika itu (Bangladesh belum lagi tertubuh). Mereka ini sudah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Untuk rekod, Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak sekarang ini. Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Muslim yang pernah menetap di Arakan, dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

Kawasan yang diwarnakan dengan merah adalah Arakan, wilayah yang sedang bergolak. [Kredit]

Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal, terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan dan bercucuk-tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan mendadaknya. Untuk rekod, penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya terhad di Arakan sahaja. Akibat penghijrahan secara berjemaah ini, orang Bengal menguasai ekonomi dan sosio-politik di Burma. Hal ini telah menyemai rasa inferior dan rasisme di kalangan penduduk peribumi Burma. 

Kebencian orang Burma terhadap orang-orang Rohingya bertambah parah ketika penaklukan Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pihak pakatan (bukan Pakatan Rakyat) yang antara lainnya terdiri daripada pihak British, manakala etnik Rakhine menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas Burma. Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun. Ramai orang-orang Rohingya melarikan diri ke Chittagong.

Semasa pemerintahan junta tentera pula, nasib orang-orang Rohingya bertambah buruk. Di bawah pemerintahan kuku harimau besi Jeneral Ne-Win, operasi tentera berskala besar dan bersistematik dilancarkan terhadap golongan minoriti di Burma. Antara operasi yang paling ganas adalah Operasi Raja Naga. Untuk rekod, bukan orang-orang Rohingya di Burma sahaja yang menjadi mangsa diskriminasi ini, tetapi golongan minoriti yang lain juga seperti orang Kokang dan Cina Muslim. 

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, etnik Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak punya negara atau pemerintahan sendiri. Tiada negara yang mahukan mereka. Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta ijin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan. 

Dunia yang bisu, tuli dan buta

Hal ini sewajarnya dibahaskan dengan panjang lebar. Tetapi kerana saya khuatir anda tidak akan membaca artikel ini sehingga habis lantas tersengguk-sengguk menghasilkan air liur basi nanti.. Err. Maka izinkan saya meringkaskan cerita.

Seperti yang boleh diduga, apabila sesuatu tragedi atau krisis yang melibatkan umat Islam, pastilah reaksi yang diberikan masyarakat antarabangsa lembap dan berkelajuan kura-kura Pulau Galapagos lagaknya. Yang lebih menyedihkan, reaksi dan tindak-balas daripada masyarakat Islam di seluruh dunia juga di tahap itik pulang petang. 

Seperti biasa, Pertubuhan Saya Nampak Sahaja (Baca: Oooohh I See..) ada-lah mengeluarkan kecaman ini, amaran itu. Ada juga beberapa pemimpin Islam yang lantang mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Thein Sein sekarang ini, yang seakan-akannya redha dengan tindakan ganas etnik Rakhine terhadap umat Islam Rohingya. 

Tetapi err.. Setakat kecaman dan amaran sahajalah. Peluh besar.

Tambah memalukan adalah respon dan reaksi yang diberikan jiran tetangga Myanmar yang majoritinya beragama Islam.

Bangladesh selaku jiran yang terdekat menolak dengan tegas pelarian Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di negara itu. Malah, mereka tidak mengaku yang etnik Rohingya ini ada apa-apa pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan selamba badak air menyatakan yang bukan menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu atau menyelesaikan krisis ini. Untuk rekod, Bangladesh sudah pon menampung lebih 300,000 pelarian Rohingya sedia ada.

Anggota ASEAN yang sepatutnya menjadi abang dan kakak kepada etnik Rohingya ini - Malaysia, Indonesia dan Brunei - juga tuli dan buta dengan apa yang berlaku di Myanmar. Indonesia, dengan jumlah penduduk Islam yang teramai di dunia, juga tidak mampu berbuat apa-apa bagi menyelamatkan saudara-saudara seaqidah yang saban hari disembelih di Myanmar. Malaysia juga apa kurangnya. Terlalu sibuk dengan isu pilihanraya agaknya, sehinggakan isu yang lebih besar sebegini ditolak tepi dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Pejuang demokrasi tulen konon! Brunei dengan segala tok nenek kekayaan dan kemewahan yang dimilikinya, juga tampak tidak sensitif dan tidak mempedulikan nasib etnik Rohingya ini. Seolah-olahnya negara Myanmar yang kecil, miskin dan tidak punya pengaruh yang besar itu kebal dan langsung tidak boleh disentuh!

Sudah, apa alasan yang mahu kita berikan kepada Tuhan ketika menghadap-Nya di mahkamah agung Mahsyar nanti..? Gulp. Air mata menitik laju. 

Selain reaksi umat Islam seantero dunia yang lembap dan ibaratnya tidak seriyes dalam membela nasib etnik Rohingya, perlu juga dikongsikan di sini reaksi di dalam Myanmar sendiri. Entah mengapa, seolah-olahnya seluruh rakyat Myanmar yang beragama Buddha merestui upacara pembersihan etnik ini. Hal ini adalah antara kesan dendam kesumat puak Rakhine terhadap Rohingya sejak sekian lama, rentetan dasar dan polisi pihak British yang melebihkan kaum pendatang. Juga pendekatan yang diambil oleh pihak junta tentera yang menjadikan Buddha dan perkauman sebagai senjata untuk mereka terus berkuasa.

Kenyataan Jeneral Then Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar terhadap isu Rohingya ini sedikit sebanyak merumuskan persepsi masyarakat awam di Myanmar terhadap umat Islam Rohingya. Ujarnya:

"Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke mana-mana negara yang sudi mengambil mereka."

Lebih mengejutkan dan menyedihkan adalah bagaimana Aung San Suu Kyii, yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan penchenta keamanan turut diam membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan ini, apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, hanya mampu untuk menyatakan, "Saya tidak tahu." Pilihanraya tahun 2015 dilihat sebagai punca utama kepada kebisuan, kebutaan dan ketulian ini. Parti yang dianggotai oleh Puan Suu Kyii amat bergantung kepada sokongan orang-orang Buddha untuk menang pada pilihanraya kali ini.

Ceh. 


Fighter..?? Pfffttt! [Kredit]

Puan Suu Kyii, sila kembalikan Anugerah Nobel anda itu boleh...? Tindakan dan reaksi anda tidak bertepatan dengan gelaran dan status yang telah anda nikmati. Cukup memalukan!

Dia datang, jeng jeng jeng!

Di sebalik kekelam-kelibutan wilayah Arakan yang sedang bergolak dan reaksi dunia Islam yang amat menghampehkan, tiba-tiba muncul Turki sebagai wira pembela umat Islam Rohingya. Turki secara konsisten dan keras sekali mengecam kerajaan Myanmar atas layanan buruk mereka terhadap umat Islam Rohingya.

Terbaru, isteri kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan, Emine Erdoğan, bersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoğlu, telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk umat Islam Rohingya. Walaupon dari segi geografinya, kedudukan Turki di Eropah seolah-olahnya tiada kena-mengena dengan umat Islam di Myanmar, hal ini jelas telah membuktikan betapa persaudaraan sesama Islam itu merentasi sempadan dan negara.

Imej yang telah menyentuh jutaan manusia di luar sana. [Kredit]

Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat bijak, signifikan dan menyebelahi kerajaan pimpinan Erdogan, bukan sahaja di mata umat Islam malah di mata dunia. Semenjak misi Flotilla ke Gaza dua tahun lepas, Turki sudah mula menunjukkan taringnya di pentas politik antarabangsa. Turki kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara lemah yang terkinja-kinja mahu menjadi ahli Kesatuan Eropah. Tetapi kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang berotot tegap dan boleh diharap dalam membela nasib umat Islam. Dunia kini sedang memerhatikan Turki dengan begitu berhati-hati sekali.

Ya, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh entah macam-macam badan bukan kerajaan dan kebajikan. Namun tiada satu pon yang dapat menandingi aura dan kesan jangka panjang seperti yang telah dilakukan oleh Turki. 

Syabas Turki! Adakah ini antara petanda awal yang khilafah Islamiyah akan ditegakkan semula..? Di bawah panji-panji kerajaan Turki, pewaris takhta Khilafah Uthmaniyyah..?

Dan malulah kita selaku jiran yang dekat dengan Maynmar pon lebih selesa goyang kaki dan hanya tahu mengutuk dan mengecam sahaja! Shame on us!

Err.. Apa peranan kita? Garu kepala.

Seperti biasa, artikel ini tidak ditulis sesuka-suki 'Nini Cokelat Celup! Celup celup!' Err. Sekiranya itulah tujuan saya menulis artikel ini, hanya untuk memuntahkan fakta-fakta tentang apa yang berlaku di Myanmar, saya rasa lebih berfaedah sekiranya saya melakukan terjunan banji sahaja. Eh. 

Kita mungkin tidak berupaya dan sehebat Erdogan, tetapi Insha-Allah, saya amat yakin yang kita punya peranan untuk dimainkan dalam membantu umat Islam Rohingya, saudara-saudara seaqidah kita. Kalau bukan kita, siapa lagi..?


Selamatkan Rohingya. [Kredit]
Saya kongsikan di sini beberapa tindakan yang boleh kita ambil Insha-Allah. Semuanya saya kira praktikal dan berada di dalam ruang lingkup kemampuan kita.

  1. Ambil cakna tentang isu ini. Pastikan anda sentiasa terhapdet dengan isu-isu dan perkembangan terkini. Luaskan pembacaan dan sumber rujukan anda. Err.. Kalaulah Utusan Meloya dan Harakah adalah sumber informasi anda semata-mata, saya syorkan untuk anda melakukan sedikit anjakan paradigma. Lakukan carian di internet untuk mengetahui perkembangan yang terkini. Antara laman sesawang yang menyediakan hapdet terkini tentang nasib umat Islam Rohingya adalah rohingya.org.
  2. Sumbangan ikhlas untuk umat Islam Rohingya. Saya pasti sudah banyak tabung-tabung khas dilancarkan untuk tujuan ini. Tetapi, di pihak anda, pastikan anda lakukan sedikit kajian tentang badan-badan kebajikan yang ingin anda salurkan sumbangan itu. Pastikan mereka adalah badan yang terpercaya dan ada kredibiliti. Anda tidak mahu sumbangan anda itu digunakan untuk tujuan atau kepentingan yang lain.
  3. Sebarkan maklumat terkini dan hapdet-hapdet terbaru tentang Rohingya. Percayalah, masih ramai sepupu-sepapat dan sahabat-handai kita di luar sana yang tidak tahu-menahu tentang nasib umat Islam Rohingya ini. Tetapi pastikan maklumat yang bakal anda kongsikan dan sebarkan adalah maklumat yang boleh dipercayai dan disokong oleh fakta dan realiti. Jangan semborono tekan butang 'SUKA' dan 'KONGSI' di laman MukaBuku anda tanpa mengesahkan dulu fakta dan berita yang dipaparkan. 
  4. Ramai orang Islam etnik Rohingya yang sudah menetap dan bekerja di Malaysia. Sekiranya anda berpeluang berjumpa dengan mereka, santunilah mereka. Berborak mesra dengan mereka dan tunjukkan kepada mereka, sebagai saudara seaqidah sedarah agama dengan mereka ini, anda sebenarnya cakna dan peduli dengan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang menderita. Mungkin anda boleh juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka ini, untuk disampaikan kepada keluarga mereka di Myanmar, sekiranya anda benar-benar percaya kepada mereka ini.
  5. Ajukan aduan dan protes terhadap kerajaan Myanmar atau mana-mana saluran media yang boleh anda akses. (Teringin juga nak hantar emel secara terus kepada Aung San Suu Kyii itu! Hohoho..) Sertai protes atau demonstrasi aman yang ada bagi membantah polisi Ada-Aku-Kisah? kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Then Sein.
  6. Doa. Jangan sombong dan malas untuk titipkan doa bukan sahaja untuk umat Islam Rohingya, tetapi juga saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Somalia, Sudan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir dan seluruh dunia. Doa adalah senjata orang-orang mukmin. Yakinlah padanya, Insha-Allah suatu hari nanti pasti nasib umat Islam seantero dunia akan terbela juga. 
  7. Dakwah dan tarbiyah. Tiada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam kepada tempatnya yang hak, melainkan dengan kita sendiri bersungguh-sungguh mahu menyebarkan kebenaran dan mahu menegakkan keadilan di muka bumi ini. Hanya dengan tarbiyah sahaja kita dapat menyedarkan dan mendidik masyarakat tentang peri pentingnya pemerintahan Islam selaku khalifah yang selayaknya. Jangan sesekali tinggalkan bulatan gembira, kerana di dalam bulatan-bulatan sorga inilah individu-individu Muslim yang akan mengembalikan semula Ustadziyatul Alam dibentuk. Hanya apabila Islam sudah tertegak di muka bumi ini penderitaan umat Islam akan berakhir!  
Saya kira tujuh langkah ini sudah cukup untuk cuba kita praktikkan, bagi menunjukkan solidariti kita terhadap umat Islam Rohingya. Bukan sahaja untuk mereka, tetapi juga untuk umat Islam seluruh dunia. Sekurang-kurangnya kita punya hujah dan alasan di Mahsyar nanti, apabila ditanya apa yang telah kita lakukan demi meringankan penderitaan dan kesengsaraan saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik seperti kita ini.

Siapa tahu, dengan libasan sayap rama-rama yang tidak seberapa di pihak kita ini, bakal menghasilkan ribut taufan yang akan menggegarkan dunia suatu hari nanti..? Senyum kenyit mata.

Umat Islam Rohingya adalah bangsa yang telah lama dilupakan. They are the forgotten people. Sudah tiba masanya untuk kita mengangkat panji dan obor, berlari ke hadapan memperjuangkan nasib mereka ini.

O my brothers and sisters, you will no longer be forgotten!

Allahu musta'an!

-gabbana-

Alhamdulillah, siap juga akhirnya artikel untuk umat Islam Rohingya ini. Agak lama juga idea di kepala ini tidak mahu keluar, terperap sahaja di dalam kepala. Bahana kolestrol daripada daging rendang dan minyak lemang gamaknya. Peluh kecil.

Moga menjadi pencetus untuk kita lebih sensitif dengan isu ummah biidznillah. Moga menjadi salah satu alasan buat saya di Mahsyar nanti!

"Wahai saudara-saudara Rohingya seIslamku. Telah aku sampaikan, telah aku sampaikan! Saksikanlah. Saksikanlah!"

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP