Showing posts with label sok sek sok sek.... Show all posts
Showing posts with label sok sek sok sek.... Show all posts

7 June 2020

Kluster Tabligh: Satu Rahmat Atau Musibat?


Hari ini (Jumaat, 10 April) adalah satu lagi hari bersejarah buat negara apabila kerajaan bakal memutuskan sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung atau tidak. 

Saya mempunyai firasat yang kuat yang ia akan disambung, melihatkan pelbagai perkembangan terbaru dan dinamiknya situasi yang melibatkan wabak COVID-19 ini. Dan meskipun ia tidak disambung, ia tetap akan kekal sebagai satu catatan menarik dalam sejarah apabila rakyat Malaysia telah diperintahkan untuk mengawal pergerakan mereka selama hampir sebulan lamanya (18 Mac-14 April). 

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Majis Keselamatan Negara (MKN), sehingga 9 April 2020, jumlah kes keseluruhan yang dicatatkan adalah 4,228 kes, dengan 2,553 kes masih dirawat dengan 1,608 kes telah sembuh (alhamdulillah, tahniah!) dan 67 kematian. 

Antara yang mengubah dinamika bagaimana wabak ini tersebar dengan sangat cepat dan meluasnya di Malaysia adalah apabila suatu perhimpunan (ijtima') tabligh telah diadakan di Masjid Sri Petaling di penghujung bulan Febuari yang lepas, dihadiri kurang lebih 14-16,000 orang jemaah tabligh. Ia pertama kali dikesan apabila pesakit positif COVID-19 yang pertama di Brunei didapati telah menghadiri ijtima' tersebut.

Sebaik sahaja mendapat tahu tentang hal tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah pantas dengan mengesan semua peserta ijtima' dan mewajibkan mereka untuk melalui proses saringan. Sehingga ke hari ini, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh MKN, kluster tabligh masih lagi merupakan penyumbang terbesar kepada kes-kes positif COVID-19 di Malaysia apabila menyumbang kepada 1,701 kes keseluruhannya (40%). 

Tidak hairanlah, banyak sekali cemuhan dan cercaan dilontarkan kepada jemaah tabligh, baik daripada kalangan orang bukan Islam mahupun Muslim sendiri. Walaupun sudah banyak tulisan dan perkongsian yang dibuat untuk mempertahankan mereka ini, sehingga hari ini masih ramai yang menyalahkan mereka sebagai punca utama kepada merebaknya wabak COVID-19 di Malaysia; juga punca utama mengapa PKP dikuatkuasakan. 

Saya tidak ingin mengulang-siar hujah-hujah mereka yang mempertahankan jemaah tabligh. Anda boleh cari sendiri sekiranya anda belum tahu dan berminat untuk tahu. Tapi dalam dunia serba canggih yana mana berita-berita di Fesbuk, Twitter dan Wasap lebih cepat tersebar daripada sumber-sumber yang lain, mustahil anda tidak tahu bukan? Heh.

Apa yang ingin saya coretkan di sini adalah bagaimana beberapa peristiwa sejak kebelakangan ini telah mengubah persepsi masyarakat terhadap jemaah tabligh.
Beberapa perkongsian oleh wira-wira barisan hadapan (Baca: frontliners) terutamanya para pekerja kesihatan yang memuji akhlak dan perilaku jemaah tabligh yang pernah mereka rawat, menunjukkan satu sisi lain jemaah tabligh yang mungkin ramai daripada kita yang tidak tahu. 

Alunan bacaan al-Quran dan azan yang memeriahkan wad-wad tempat mereka dirawat, tidak banyak songeh ketika mahu diambil swab, merendah diri, siap belanja petugas kesihatan makan kepsi dan banyak lagi pengalaman-pengalaman menarik yang dikongsikan, membuktikan bahawa apa yang berlaku pada jemaah tabligh ini besar hikmahnya! 

Apatah lagi pada hari ini, sudah ada beberapa kluster lain yang muncul dan apabila dibandingkan dengan kluster-kluster yang lain ini (terutamanya kluster yang baru pulang bercuti dari luar negara) - ada petugas kesihatan yang dimaki, ada PUI yang sombong dan bongkak dan macam-macam lagi ragam dan rencam! - ternyata kluster tabligh ada 'class' tersendiri dan benar-benar unik. Mereka ini spesis yang betul-betul rare! 

Saya yakin sekiranya ditanya kepada mana-mana ahli jemaah tabligh yang pernah menghadiri ijtima' tabligh pada Febuari lepas, tiada siapa pon yang tahu dan menjangkakan semua ini berlaku, apatah lagi sengaja merancang dan mahukan semua ini berlaku.

Ya, memang ada segelintir ahli jemaah tabligh yang buat hal, yang tidak mahu beri kerjasama apabila diarahkan untuk membuat saringan, yang keluar kenyataan kita tidak perlu takut apa-apa melainkan Allah. Tapi segelintir sahaja kan? Dalam mana-mana jemaah atau kumpulan sekalipon, pasti ada 'a few bad apples' ini. Majoriti ahli jemaah tabligh telah pon memberikan kerjasama dan mereka inilah yang telah meninggalkan banyak memori manis dan menarik buat para petugas kesihatan. 

Tanpa sedar atau tidak, ahli jemaah tabligh telah memenuhi hak nama 'tabligh' itu; menyampaikan dakwah menerusi akhlak dan perilaku mereka. Sama ada sengaja atau tidak, mereka telah berjaya menunjukkan sisi-sisi indah Islam yang sukar sekali mahu dipertontonkan dalam dunia hari ini yang penuh dengan bermacam jenis kegilaan. Dan sama ada mereka merancangnya atau tidak, mereka sebenarnya telah berjaya membuatkan ramai orang untuk berasa tertarik dengan Islam dan dakwah mereka. 

Syabas jemaah tabligh! 

Apa yang dapat kita pelajari dan muhasabah daripada semua ini?

Jangan cepat mudah menghukum dan membuat konklusi yang memakan diri. Sungguh, kita ini benar-benar hanyalah hamba Allah yang sangat kerdil lagi naif jika mahu dibandingkan dengan keluasan ilmu dan kehebatan perancangan-Nya. 

Ya, tidak salah jika mahu menasihati dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku (contohnya supaya lebih berhati-hati dalam situasi wabak yang tidak menentu, patuh arahan pihak berkuasa dan lain-lain lagi), tetapi janganlah sampai kita merendahkan martabat mereka dan memalukan diri kita sendiri. 

Saya yakin, ada banyaaaakkk lagi hikmah dan ibrah yang boleh kita insafi daripada wabak COVID-19 ini. Hanya tinggal kita sahaja yang mahu mentadabbur dan mengambil pengajarannya. 

"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu walhal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 

[al-Baqarah, 2:216]

Dan tidak ada guna pon kita saling menyalahkan, saling mencerca dan memerli dalam keadaan sekarang ini. Ia tidak membantu apa-apa pon! Kalaulah kita tidak mampu untuk berganding tangan dengan para wira barisan hadapan untuk membendung wabak ini, paling kurang dan koman yang kita boleh lakukan, panjatkan doa kepada Rabbul Jalil agar diangkat segera kesengsaraan ini dan datangkan sebanyak-banyak kebaikan daripadanya. 

Moga-moga, selepas berakhirnya semua ini, kita akan menjadi seorang manusia yang lebih berjiwa hamba - betapa berkuasanya Allah dan lemahnya kita! - dan bukannya manusia angkuh yang langsung tidak mendapat apa-apa daripada semua ini!

-gabbana-

Tahun 2020: Tahun Teguran Kasih Sayang Dari Allah

Siapa sangka, tahun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar dan penuh dengan dugaan. Sekiranya tahun-tahun sebelum ini kita menjangkakan tahun 2020 adalah permulaan dekad yang gilang-gemilang, baik dari segi sains dan teknologi (ingat lagi lagu 'Wawasan 2020'?) mahupun kemakmuran umat manusia secara keseluruhannya, nampaknya tahun 2020 telah mempersembahkan kita dengan sesuatu yang amat berbeza.

Satu makhluk Allah bernama COVID-19 telah memporak-perandakan kehidupan rakyat global sejagat sehinggakan hampir semua aspek kehidupan - sosial, ekonomi dan politik - terjejas dengan sangat dahsyat sekali. Malah pakar-pakar dalam pelbagai bidang terpaksa tunduk kepada 'kehebatan' COVID-19 ini kerana mereka masih belum dapat menjangkakan bilakah krisis global ini akan berakhir.

Siang tadi YAB Perdana Menteri telah mengumumkan yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020. Walaupon ia sudah dijangka, tetapi pengumuman itu mengesahkan kegelisahan dan kerisauan ramai orang.

Dan belum tentu 14 April nanti adalah penamat kepada kemelut ini; sudah kedengaran cadangan yang berlegar-legar untuk melanjutkan lagi tempoh PKP ini kepada 6 minggu secara keseluruhannya sekiranya benar-benar mahu memastikan wabak COVID-19 itu dapat dibendung dengan berkesan.

Saya yakin, sangat ramai yang terkesan dengan PKP ini. Bukan sahaja mereka yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan dan perkhidmatan yang merasakan impaknya; malah hampir semua sektor pekerjaan dan lapisan masyarakat yang turut berkongsi derita.

Kerana kesan COVID-19 ini terhadap ekonomi adalah satu kesan bebola salji (snowball effect) atau kesan domino yang tidak dapat tidak, melibatkan hampir semua pihak. Bukan sahaja kita di Malaysia yang sedang merasakannya tapi di saat ini, hampir semua negara di dunia ini sama ada telah atau sudah mula merasakan impaknya.

Saya sendiri jujurnya sudah mula risau dengan bermacam prospek yang bermain di kepala.

Adakah syarikat tempat aku bekerja boleh bertahan

Jika tidak, perlukah aku mula cari pekerjaan yang baru? Nak cari kerja baru pon di masa-masa sebegini, adakah yang sudi mengambil?

Kalau tiada kerja, macam mana nak lunaskan pinjaman dan hutang-piutang yang ada? Macam mana nak bagi anak bini makan? Belanja sana sini lagi?

Aduhai.

Saya tidak hairan sekiranya ramai di luar sana sedang serabut memikirkan perkara yang sama bukan?

Maka saya sedikit tersentak, apabila membelek-belek al-Quran saya tempoh hari dan 'terlanggar bahu' dengan ayat ini:

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,
iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, 'Innalillahi wainnailaihi rajiu'un.'

Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

[al-Baqarah, 2:155-157]

Allah Allah!

Rasa macam kena setepek kat dahi kan? Rasa macam tepat kena batang hidung kan?

Apa yang kita sedang rasa sekarang dek penangan COVID-19 ini?

Rasa takut (untuk masa hadapan yang tidak pasti)? Tick.
Rasa lapar (sebab kena berjimat-cermat)? Tick.
Kekurangan harta (prospek kehilangan kerja)? Tick. 
Jiwa kacau? Tick.
Tak dapat makan buah? Err.

Percaya dan yakinlah, apa yang sedang berlaku ini tidak lain adalah ujian daripada Allah SWT dan ia baru sedikit! Ujian daripada Allah itu tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk mengangkat darjat para hamba-Nya yang beriman, yang apabila ditimpa musibah, mereka ini bersabar dan tanpa ragu-ragu akan mengatakan:

"Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Allah-lah kami kembali!"

Masa-masa yang ada semasa PKP ini sebenarnya adalah masa-masa yang sangat ideal untuk kita bermuhasabah dan mendekatkan diri dengan Allah. Seolah-olahnya Allah 'sengaja' memberi kita lebihan masa untuk kita kembali kepada-Nya.

Ia adalah masa untuk kita top-up amal ibadah harian kita.
Ia adalah masa untuk kita lebih memaknai dan menghayati doa-doa yang kita panjatkan kepada-Nya. 
Ia adalah masa untuk kita perbaiki tilawah dan tadabbur al-Quran kita. 
Ia adalah masa untuk kita perbanyakkan qiamuallail dan zikir harian.
Ia adalah masa untuk kita tautkan danrapatkan kembali silaturrahim sesama ahli keluarga.

Tahun 2020 adalah satu teguran daripada Allah untuk kita melihat kembali amal-amal kita selama ini. Dan sama ada kita telah memenuhi tujuan hidup kita diciptakan di muka bumi.

Terima kasih COVID-19! Kalian telah menyedarkan kami yang kami punya Tuhan yang Maha Besar lagi Bijaksana dalam merancang perjalanan kehidupan kami. Dan kalian telah menyedarkan kami, betapa hebat dan berkuasanya Allah dan betapa lemahnya kami! 

-gabbana-

13 February 2018

Baitul Muslim: Benteng Terakhir Umat Islam!



SITUASI 1
“Alah apa salahnya bagi budak-budak tu tengok video Baby Shark tu. Atau pon Tuti Tata tu. Budak-budak kecik je pon yang berlakon. Bukannya ada tayang aurat ke, tunjuk aksi lucah ke. Rilek laah.”

Kasim terkesima. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab kepada abangnya itu. Susah bila anaknya menjadi cucu sulung dalam keluarga; semua orang memanjakan anaknya!

SITUASI 2
“Bang, jom baca Quran sama-sama?”

Rashid sedikit terkejut dengan ajakan itu. 

Tiba-tiba je bini aku ni. Tak pernah-pernahnya.

“Jom!”

Rashid sendiri dah lama tak bertilawah. Semenjak dua menjak ni, kesibukannya dalam kerjayanya menyebabkan dia sering terlalai untuk menatap surat chenta dari Allah itu. Maka Rashid terharu dengan ajakan isterinya itu.

Mereka membaca surah masing-masing sambil anak-anak mereka bermain-main dan memanjat-manjat badan mereka. Sekali-sekala mereka memberhentikan bacaan mereka kerana geli hati melihat telatah anak-anak.

Rashid sudah lama tidak berasa bahagia sebegitu.

SITUASI 3
"Aku kagum la dengan kau. Siyes."

Mona meluahkan apa yang sudah terbuku dalam hatinya sejak sekian lama.

"Hah kagum? Kagum apa?"

Sarah menggaru tudungnya.

"Ye lah. Kau ni bukan budak sekolah agama pon. Tapi pakai tudung labuh, hafal quran, ikut usrah, buat dakwah. Luar biasa! Apa rahsia kau?"

Sarah tersenyum.

"Takde apa pon. Aku just tengok ibu ayah aku buat benda yang sama, aku ikut je lah."

Mona mengangguk kagum. Jauh di dalam hatinya, dia cemburu.

***

Hari ini kita hidup di zaman yang amat menchabar lagi menggaru kepala. Pandang sahaja ke mana-mana, pasti akan ada fitnah yang menerpa.

Memulakan keluarga dan mendidik anak-anak di zaman ini jauh lebih mencabar lagi. Kadang-kadang kita sudah cuba yang sebaiknya mahu melindungi keluarga kita daripada marabahaya dari luar, tapi akhirnya kita tewas juga dek faktor-faktor yang kita tak dapat nak pengaruhi.

Punyalah kita jaga anak kita supaya tak main gajet, tengok-tengok dia dapat juga daripada auntienya.

Punyalah kita tak mahu anak kita menonton kartun ntahapehape di TV itu, tetapi akhirnya dipertontonkan juga kepadanya di taska.

Dan punyalah kita menjaga bahasa dan akhlak kita di hadapan anak-anak dan tidak mendedahkan mereka kepada sebarang unsur-unsur negatif, namun akhirnya dia terdedah juga dengan semua itu daripada rakan sebaya.

Tak ke gila dibuatnya??

Kerana itu mendirikan baitul muslim yang solehah itu bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kewajipan bagi setiap orang yang bergelar muslim di luar sana. Tidak hairanlah ia menjadi salah satu agenda utama dalam manhaj tarbiyah Ikhwanul Muslimin, melihatkan kepada peri pentingnya peranan sebuah keluarga dalam melahirkan rijal yang berkualiti tinggi. 

“Apabila lelaki dan wanita yang merupakan struktur asas sebuah keluarga menjadi baik,” tulis Imam al Banna dalam risalah ‘Dakwah Kita Di Era Baru, “Mereka berdua akan mampu membina sebuah keluarga contoh yang selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.”

Begitulah.

Di zaman yang penuh kegilaan ini, baitul muslim lah yang menjadi benteng teraKhir bagi memastikan anak-anak kita terpelihara dari sebarang anasir-anasir mazmumah di luar sana. Ialah yang menjadi panduan dan neraca bagi anak-anak apabila berhadapan dengan dunia luar yang amat ganas lagi tidak berperikemanusiaan itu. Dan ia juga yang menjadi qudwah kepada mereka agar terus tetap memegang kuat pada agama Allah ini.

Dan baitul muslim tidak mungkin wujud tanpa individu Muslim. Diri kita sendiri. 

Lantas, jangan berangan-angan mahukan baitul muslim seindah taman sorga andai jiwa kita sendiri dipenuhi karat-karat neraka!

Tersedak.

-gabbana-

24 January 2018

Mamat Ini Tidak Yakin Dengan Perancangan Allah Ta'ala; Dia Lupa Yang Allah Itu Maha Bijaksana


[Kredit]

Tajuk nak jugak ala-ala The Vocket atau The Patriots kan? 

Ehem.

Pernah tak kita rasa seolah-olahnya dunia ini tidak adil pada kita? Seakan-akannya seluruh alam buana dan seisinya berkonspirasi mahu mengenakan kita? 

Kadang-kadang kita buat baik pada orang lain, tetapi dibalas dengan ketahian dan kejahatan.

Kadang-kadang kita tidak berbuat apa-apa pon - tak usik malah tak jentik pon sesiapa - tetapi kita tetap dianiaya!

Dan kadang-kadang kita berjasa dan memberikan khidmat kepada orang lain secara percuma, tetapi kita dilayan macamlah kita ni penjenayah kelas pertama.

Pernah tak?

Sehingga ia merenggut segala kebahagian dan motivasi yang masih ada pada diri kita.

Sehingga ia menjadikan kita begitu marah dan geram dengan sesiapa dan apa-apa yang ada di sekeliling kita.

Dan yang lebih merbahaya lagi, sehingga kita putus-asa dari rahmat Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Innalillahi wainnailaihi raji'un. Geleng kepala. 

Ketika Nabi Musa AS mendampingi seorang hamba Allah untuk menuntut ilmu seperti yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi bermula ayat 60 sehingga 82 itu, ada TIGA peristiwa yang menjadi latar belakang utama kepada peristiwa ini.

Pertama, mereka diberi tumpang menaiki perahu yang dimiliki oleh orang miskin, lalu hamba Allah itu melubanginya.

Kedua, hamba Allah itu membunuh nyawa seorang anak kecil yang tidak berdosa.

Dan ketiga, hamba Allah itu menolong untuk menegakkan kembali dinding rumah dua orang anak yatim yang hampir runtuh. 

Ketiga-tiga peristiwa ini menyebabkan Nabi Musa AS tidak dapat menahan dirinya untuk bertanyakan sebab di sebalik tindakan-tindakan yang mengejutkan itu, meskipun baginda sudah berjanji untuk tidak bertanya dan memberi jaminan yang baginda mampu bersabar.

Masakan tidak? Jika kita yang berada di tempat baginda ketika itu, boleh jadi respons kita jauh lebih teruk dan gopoh, kerana sungguh, tindakan-tindakan hamba Allah itu sememangnya cukup menghairankan dan tak masuk akal! 

Dalam peristiwa pertama itu, jika kita meilhat dari sudut pandang si miskin, sudah tentu dia berasa begitu marah, kecewa dan dikhianati. Dia sudah berbuat baik dengan memberi tumpang dua orang yang tidak dikenalinya untuk menaiki perahunya tetapi dibalas dengan perahunya dilubangi!

Begtu juga dalam peristiwa kedua. Jika kita berada di tempat anak kecil yang dibunuh itu atau menjadi kedua ibu-bapa sang anak kecil yang tidak berdosa, masakan tergamak seorang hamba Allah mengambil nyawa seorang anak yang kudus ketika dia tidak berbuat jahat atau menyakiti sesiapa!

Dan jika kita melihat sepertimana Nabi Musa AS melihat dalam peristiwa yang ketiga, ia sungguh tidak adil apabila mereka berdua dilayan dengan begitu dingin oleh penduduk kota, tetapi mereka masih berbuat baik dengan menegakkan dinding yang hampir runtuh secara percuma!

Ah tidak masuk akal! 

Namun kemudian, di hujung cerita, ternyata ada hikmah Ilahi yang mendorong si hamba Allah untuk berbuat dengan tindakan-tindakan sedemikian. Rupa-rupanya ada sang raja  zalim yang sedang menunggu untuk merampas mana-mana perahu yang berada di perairan pada hari itu; maka perahu itu dilubangi agar sang raja tidak berminat untuk merampasnya.

Rupa-rupanya sang anak kelak apabila sudah menjadi dewasa, akan menjadi seorang pemuda ingkar yang akan menderhaka kepada orang tuanya; maka dia dibunuh agar dia mati tidak berdosa dan sorgalah untuknya dan agar kedua orang tuanya tidak menyesal di kemudian hari.

Dan rupa-rupanya ada harta sepeninggalan seorang ayah kepada kedua orang anaknya di sebalik dinding yang hampir runtuh; maka ia didirikan semula agar harta itu terus dilindungi sehinggalah kedua anak yatim itu sudah cukup dewasa untuk mengambilnya. 

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ?

Bagaimana manusia yang seringkali gopoh dan rabun jauh, gagal melihat gambar besar perancangan Allah yang Maha Bijaksana itu. 

Di dalam surah al-Isra', Allah menceritakan satu kisah daripada banyak-banyak kisah yang dimuatkan dalam al-Quran tentang Bani Israil. Dalam ayat lima surah itu, Allah berfirman:

"Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku."
[al-Isra', 17:5]

Dalam ayat ini, Allah menceritakan bagaimana Bani Israil - yang merupakan umat Islam ketika itu - telah dibinasakan oleh satu golongan yang disebut sebagai 'hamba-hamba Kami' dalam ayat ini. 

Menarik bukan? Bagaimana Allah menyifatkan satu bangsa yang ganas dan barbarik, yang telah menyerang dan membunuh Bani Israil yang ketika itu merupakan umat yang memegang amanah Syahadatul Haq, sebagai 'hamba-hamba Kami'?

Rupa-rupanya, meskipun bangsa ganas ini bukan Muslim ketika itu, tetapi tindakan mereka yang zalim dan kejam itu, adalah sebahagian daripada perancangan Allah yang lebih besar. Mereka bertindak - dengan izin Allah - atas ilham yang diberikan oleh Allah kepada mereka, untuk memenuhi satu hikmah yang hanya diketahui oleh Allah ketika itu. Atas sebab tindakan mereka itu mempunyai objektif khusus di sisi Allah, atas sebab itulah mereka dipanggil 'hamba-hamba Kami'!

Saudara-saudariku,

Kadang-kadang, kita sukar sekali mahu mengotakkan segala macam musibah dan kecelakaan yang menimpa kita. Kita merasakan, kitalah manusia yang paling malang ketika itu.

Kadang-kadang, kita tidak dapat memahami hikmah yang tersembunyi di sebalik tribulasi besar yang benar-benar menguji jiwa dan raga kita, kerana sungguh, dari luarannya memang semacam tiada hikmah langsung!

Dan kadang-kadang, melihatkan penindasan demi penindasan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia, kita berasa lemah dan putus-asa dengan rahmat Allah, kita berasa sia-sia sahaja usaha-usaha kita selama ini berdakwah dan menyebarkan risalah Allah.

Ketika ini iman dan kesabaran kita akan benar-benar teruji. Segala teori dan ilmu yang pernah kita perolehi tentang sifat-sifat Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana itu, akan teruji dengan dahsyatnya. 

Ketahuilah, segala apa yang berlaku, meski ia sukar difahami kita ketika itu, walau ia amat tidak masuk akal dan mencabar intektual dan keimanan kita, setiap daripadanya mengandungi hikmah Ilahi dan ibrah untuk kita teladani. Ia hanyalah kepingan puzzle yang kecil yang akan melengkapi sebuah gambar besar perancangan Allah yang jauh lebih signifikan dan bermakna. 

Dan andai ketika musbiah, ujian atau apa-apa peristiwa yang melanda kita begitu menyesakkan jiwa, tambah menjadikan kita gila kerana kita gagal memahami hikmah di sebaliknya, tugas kita ketika itu hanyalah bersabar. 

Bersabarlah laksana seorang pengembara yang sanggup berjalan dan bermusafir berpuluh tahun lamanya, hanya kerana mahu menuntut secebis ilmu yang dirasakan bakal memberikan manfaat yang luar biasa kepadanya.

Bersabarlah, sehingga suatu hari nanti, apabila kita sudah mampu melihat gambar besar perancangan Allah  yang sebenar, kita akan tersenyum puas hati dan lega kerana kita telah memilih untuk bersabar suatu ketika dahulu.

Dan bersabarlah, walaupun kita mati tanpa mengetahui hikmah dan ibrah di sebalik mehnah dan tribulasi yang menimpa kita atau umat Islam seluruhnya, tetapi dek lapangnya dada kita terhadap perancangan Allah yang Maha Hebat itu, ia menaikkan darjat kita sehingga melayakkan kita untuk masuk ke dalam sorga-Nya.

Senyum.

-gabbana-

Nota: Sebahagian besar isi dan hujah dalam penulisan kali ini diinspirasikan daripada sebuah khutbah yang disampaikan oleh Ustaz Nouman Ali Khan.

18 January 2018

Susahkan Jadi Murabbi?


[Kredit]

Ingat tak masa awal-awal kita menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah ini, masa kita masih kanak-kanak Ribena lagi, apa perkara yang seringkali menyentuh hati dan jiwa kita pada sudutnya yang paling dalam? 

Saya tidak tahu dengan anda, tetapi untuk saya, saya acap kali tersentuh dengan sosok bernama murabbi itu.

Kesabarannya dalam melayan karenah kita, ketenangannya dalam menangani masalah-masalah yang kita timbulkan (haha!), pengorbanannya dalam mendampingi kita dan entah macam-macam lagi. Sehingga kadang-kadang terlintas di fikiran, mamat ni spesis alien dari planet Musytari kah? Eheh. 

Semua itu - melihat figur qudwah bernama murabbi itu - memberikan kita satu harapan. Ia menjadikan kita bersemangat dan teruja untuk menanam anak benih impian; bahawa kita juga mahu menjadi seorang murabbi suatu hari nanti. Dan ya, alhamdulillah, kita telah pon berjaya sampai ke fasa itu.

Kita sama-sama turun mentajmik di medan. Kita sama-sama turun berprogram dengan adik-adik Ribena generasi baharu. Kita sama-sama makan berdulang. Kita sama-sama tidur berbantalkan lengan dan bangun seawal empat pagi untuk berqiamullail. Dan sekali-sekala, walaupon sudah pancit dan tiada lagi stamina, kita sama-sama berlari-lari riang melarikan diri dikejar kerana kalah main osom gergasi. 

Yang paling penting untuk semua itu, kita belajar untuk mengendalikan usrah kita sendiri. Kita belajar untuk bersedia lebih awal sebelum sesi halaqah bermula. Kita belajar untuk mendalami manhaj/silibus tarbiyah agar adik-adik yang kita bimbing itu jelas halatujunya. Kita belajar untuk bermuayasyah agar kita lebih memahami sikap dan sifat sebenar mutarabbi kita. Kita belajar untuk berkorban kepentingan diri sendiri - wang, masa, cuti di hujung minggu, kepenatan - hanya kerana mahu menjadi seorang murabbi super. 

Dan alhamdulillah, kita seronok dan teruja untuk melakukannya. Kita bersyukur kerana diberi peluang untuk membawa bulatan gembira sendiri, kerana sungguh, ia merupakan satu pengalaman yang tiada tolok tandingnya. 

Yang lebih utama, semua itu menjadikan kita lebih matang, bukan? 

Namun entah mengapa, semakin lama kita menjadi murabbi, keterujaan dan kemanisan itu semakin pudar. Semakin kelam dan menghilang. 

Kita tidak lagi teruja, looking forward untuk menghadiri halaqah yang kita bawa. Persediaan kita untuk halaqah pon ala kadar sahaja. Suam-suam kuku dan tahap hidung sahaja.

Kita tidak berasa puas seperti dahulu. Qadhaya dan perbincangan dalam halaqah pon, main tangkap aci. Asyik nak habis cepat sahaja. Entah berapa kali kita sibuk menjeling jam tangan, hanya Allah sahaja yang tahu. 

Dan yang seringkali menambahkan kekusutan dan keserabutan kita ialah mutarabbi kita bukan lagi mutarabbi di fasa taarif, tapi sudah masuk fasa takwin. Kebanyakan daripada mereka bukanlah mutarabbi yang kita sendiri tajmik dan DF suatu ketika dahulu, tetapi mutarabbi yang dipassingkan. Acah main passing bola ala tiki taka. 

Kita pon tahu, betapa mencabarnya fasa takwin ini kan? Permintaan mutarabbi kita bukan calang-calang. Karenah mereka juga, ya Tuhan, bangun tahajjud setiap malam tujuh hari seminggu pon belum tentu dapat menghilangkan kegusaran di dada.

Mahu kita sentiasa turun padang melihat mereka mentajmik dan bawa usrah lah. Mahu kita mengenali setiap daripada anak-anak usrah mereka lah. Mahu telinga kita sentiasa bersedia mendengar keluhan dan masalah mereka lah. Mahu kita mengisi dengan pengisian bombastik yang menggugah dan basah lah.

Adududu. 

Belum lagi dikira yang kita kini sudah masuk fasa kehidupan yang berbeza. Sudah bekerja. Sudah berBM. Sudah beranak-pinak. Perut semakin ke hadapan. Dada semakin semput. Stamina dan tenaga kita sudah tidak sama seperti dahulu.

Lagi menghancurkan hati dan perasaan apabila mula kedengaran cakap-cakap mutarabbi di belakang kita, yang mereka tidak puas hati dengan kita. Yang kita ini tak cukup qudwah. Yang pengisian kita tak cukup basah. Yang mereka dah mula hilang tsiqah. 

Allahumma solli a'la saiyyidina Muhammad. 

Maka mulalah sindrom 'Lantak Kau Lah' dan 'Ada Aku Kisah' menyerang diri. Kita jadi lemau, sudah tidak lagi bersemangat mahu membimbing mutarabbi kita. Kita sudah tidak lagi peduli mahu memikirkan rancangan jangka masa panjang untuk tarbiyah dan dakwah. Kita mula menyorok dan menyendiri. Kita mula sibuk dengan urusan sendiri. 

Alahai.  

Ikhwah dan akhawat saudara saudariku,

Tiada siapa yang pernah menjanjikan - sewaktu kita berbai'ah berjanji setia untuk bersama-sama dengan gerabak ini hidup dan mati - bahawa jalan ini akan menjadi semakin mudah bukan? 

Tiada siapa yang pernah mengatakan bahawa selepas beberapa tahun kita terjebak dengan konspirasi tarbiyah ini, semuanya akan menjadi okay dan indah-indah belaka bukan? 

Dan tiada siapa yang pernah mendakwa bahawa menjadi murabbi itu ialah satu tugas dan amanah yang bebas dari masalah, hatta seikhlas dan sesungguh mana pon kita. 

Cita-cita dan impian kita besar ikhwah wa akhawat.

Ia bukan sekadar mahu meramaikan anak-anak usrah dan mereka yang bersama dengan gerabak dakwah ini.

Ia bukan sekadar mahu menakluk IPT itu dan menawan IPT ini.

Ia bukan sekadar mahu meramaikan ikhwah agar kebarangkalian untuk akhawat bernikah lebih tinggi. Err. 

Bukan.

Tetapi kita mahu islahkan masyarakat. Kita mahu islahkan sistem. Kita mahu islahkan seluruh negara, dunia dan seisinya, hingga yang tertegak di muka bumi ini hanya Islam yang terchenta. 

Apa kalian ingat, dengan cita-cita dan impian sebesar ini, sekadar menjadi murabbi dua tiga jam sekali seminggu itu, sudah mencukupi??

Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa dalam tarbiyah, elemen murabbi itulah yang terpenting. Hanya dengan murabbi, wujudnya erti mutarabbi. Hanya dengan murabbi, manhaj dapat dihidupkan. Dan hanya dengan murabbi, biah yang solehah itu dapat diwujudkan.

Wahai para murabbi, teruskan melangkah. Jangan pernah lelah untuk bangkit kembali, setiap kali dikau terjatuh. Dan jangan pernah takut untuk bermimpi!

Kini, baharu kita faham, di sebalik sekuntum senyum yang diukirkan oleh murabbi kita dahulu, tersorok di sebaliknya seribu satu kepahitan dan kesengsaraan!

Terima kasih, murabbi!

-gabbana-

Tolonglah jangan expect saya boleh menulis sebegini dengan lebih kerap. Entah kena rasuk apa hari ini, laju je tangan menaip. 

Moga Allah redha!


25 May 2017

Kesan IKEA

[Kredit]

Ketika mula-mula mengasaskan IKEA pada tahun 1943, Ingvar Kamprad mungkin tidak pernah menyangka yang suatu hari, syarikatnya itu akan menjadi syarikat menjual perabot terbesar di dunia dengan lebih 392 buah premis di 48 buah negara! Apatah lagi untuk mengjangkakan dia akan menjadi salah seorang manusia terkaya di muka bumi! Fuh! 

Siapa yang tidak kenal dengan IKEA bukan? Sebut sahaja IKEA, pasti logo berwarna kuning dan biru itu terus menerjah kepala. Tidak kurang yang terus teringatkan bebola daging gemok disaluti dengan sos merah panas yang menjilat jari! Err.

Tetapi di seluruh dunia, IKEA lebih terkenal dengan revolusi perabot pasang-sendiri-nya (Baca: DIY atau ready to assemble) yang begitu kreatif dan inovatif. Meskipon banyak syarikat perabot lain yang turut mengaplikasikan konsep ini, malah cuba meniru format yang digunapakai IKEA, namun tiada satu pon yang mampu menandingi penangan IKEA. 

Suatu kelebihan yang ada pada ruang pameran IKEA adalah bagaimana IKEA memberikan idea dan inspirasi untuk menghias ruangan di dalam rumah. Seringkali pelanggan akan 'terpedaya' lantas membeli perabot atau barang hiasan yang dilihat sendiri pada ruang pameran. Betul tak? Sebab saya sendiri seringkali menjadi mangsanya! Wahahaha. 

Pandang kiri, pandang kanan. 

Anda yang pernah berkunjung ke IKEA sama ada di Damansara atau di Cheras pasti akan perasan satu perkara; IKEA tidak pernah surut dikunjungi oleh para pelanggan dari serata pelosok Malaysia. Setiap hari! Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah, aduh, memang macam tin sardin dibuatnya! 

Ia membuatkan saya terfikir: Apa yang hebat sangat dengan perabot dan barangan IKEA ni? Jika mahu berbicara tentang kualiti, maaf, saya sudah ada banyak pengalaman buruk dengan perabot IKEA. Dan saya tahu ramai juga di luar sana yang mengadu perabot IKEA cepat rosak dan tidak tahan lama.

Ajaibnya, di sebalik semua itu, orang ramai masih lagi berpusu-pusu memborong barangan IKEA. Pada tahun fiskal 2016, IKEA mencatatkan jualan berjumlah €36.4 bilion dari jualan perabot dan barangannya di seluruh dunia! Gila bak hang!

Nah, apa yang istimewa sangat dengan IKEA? Apa rahsia dan jampi yang digunakan mereka?

Ia terletak pada keberkesanan konsep pasang-sendiri yang diaplikasikan IKEA untuk sebahagian besar perabot yang dijualnya. IKEA tidak hanya mengaplikasikan konsep pasang-sendiri, tetapi ia telah melangkah lebih jauh lagi dengan menjadikan konsep tersebut lebih mudah dan praktikal untuk dilaksanakan, pada harga yang sangat berpatutan. Malah ada sesetengah jenis perabot yang boleh dipasang sendiri oleh kanak-kanak! Inilah yang menjadikan IKEA sukar ditandingi dan dikejar oleh para pesaingnya. 

Pakar psikologi yang mengkaji fenomena mengapa begitu ramai orang yang jatuh chenta dengan produk-produk IKEA telah menamakannya sebagai 'Kesan IKEA' (Baca: the IKEA effect). Michael I. Norton, Daniel Mochon dan Dan Ariely mendapati, para pelanggan IKEA meletakkan nilai yang cukup tinggi pada perabot yang dibeli mereka hanya kerana mereka yang memasangnya sendiri. Hanya berbekalan pemutar skru, kunci allen dan beberapa alatan lain, seseorang itu boleh memasang hampir kesemua perabot yang diperlukan di dalam sesebuah rumah dengan perbelanjaan yang tidak terlalu besar. 

Apa yang akan terjadi sekiranya mereka memasang perabot tersebut dengan cara yang tidak tepat atau ada bahagian-bahagian tertentu pada perabot yang hilang atau rosak ketika proses pemasangan? Mereka akan tetap jatuh chenta dengan perabot-perabot tersebut kerana merasakan berbaloi dengan usaha dan peluh ketiak yang telah mereka curahkan. Hebat bukan?

Dengan kata lain, kita akan lebih menghargai sesuatu itu apabila kita menyumbangkan tenaga dan usaha yang banyak untuk mendapatkan hasilnya, meskipon natijahnya bukanlah yang terbaik seperti yang diharapkan. Inilah yang dimaksudkan sebagai Kesan IKEA. 

Pakar psikologi kemudiannya mengembangkan idea ini pada aspek lain dalam kehidupan sehari-hari. Contohnya, seorang pekerja akan lebih menghargai hasil kerjanya di kantor sekiranya dia terlibat dalam sesebuah projek itu sejak awal lagi. Maka dia akan mempunyai satu bentuk keterikatan dengan hasil kerjanya. Para majikan dapat mewujudkan rasa kesetiaan dalam kalangan para pekerja apabila menitikberatkan faktor ini. 

Contoh lain, seorang pemilik rumah akan lebih menghargai dan menyukai rumah yang didudukinya apabila dia mengecat sendiri rumahnya, atau dia mengubahsuai sendiri rumahnya. Sekiranya dia mahu menjual rumahnya, dia akan meletakkan harga yang lebih tinggi dari biasa kerana nilai sentimental yang ada pada rumah tersebut, meskipon orang lain mungkin tidak suka dengan cat atau ubahsuai yang dilakukan. 

Suatu pemerhatian pada tahun 1950-an di Amerika Syarikat mendapati, suatu produk campuran kek segera tidak mendapat sambutan dalam kalangan suri rumah kerana dengan campuran tersebut, kek dapat dihasilkan dengan terlalu mudah. Ini menyebabkan usaha dan kepakaran mereka seperti tidak berguna lagi. Sebagai respon, syarikat yang menjual campuran kek tersebut melakukan sedikit perubahan; kini suri rumah perlu memasukkan sendiri telur ke dalam campuran tersebut dan ini menjadikan adunan kek sedikit sukar untuk dikacau. Tiba-tiba jualan campuran kek segera tersebut mendadak naik. Hanya dengan menambah satu langkah mudah (memecah dan memasukkan telur), kini suri rumah merasakan mereka ada sumbangan pada kek yang dihasilkan. 

Menarik bukan? 

Sama ada sedar atau tidak, Kesan IKEA ini sangat relevan dalam dunia tarbiyah dan dakwah. Bagaimana? Seorang dai'e akan lebih menghargai kerja-kerja tarbiyah dan dakwahnya apabila dia terlibat sejak awal lagi dalam sesuatu projek atau gerak kerja. 

Misalnya, kegiatan tajmik mad'u baru akan lebih berkesan apabila setiap orang yang ditugaskan dilibatkan sejak awal lagi; dari proses perbincangan, perancangan dan pelaksanaan. Kadang-kadang kita melihat, ada dai'e yang tidak begitu bersemangat atau bersungguh dalam kerja-kerja tajmik. Apabila diteliti, rupa-rupanya dai'e tersebut tidak jelas pon dengan hadaf mentajmik, kerana tidak dilibatkan sejak awalan lagi di peringkat perbincangan. Penglibatan sejak awal juga akan mewujudkan rasa kebertanggungjawaban yang lebih kuat dan berkesan. Sekiranya aktiviti tajmik yang telah dirancang dan dilaksanakan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, sang dai'e tidak akan mudah menuding jari kepada sesiapa. 

Kesan IKEA juga memberi kita sedikit klu, mengapa kadangkala 'usrah passing' tidak sehidup dan seefektif usrah yang dibina sejak awal lagi. Usrah yang mana ahli-ahlinya ditajmik sendiri oleh sang murabbi, besar bezanya dengan usrah yang ahli-ahlinya di'passing' oleh murabbi lain. Rasa kebertanggungjawaban sang murabbi kepada mutarabbinya tidak sekuat apabila mutarabbinya bukan mutarabbi yang ditajmik sendiri. Rasa keterikatan dan sense of belonging itu juga  tidak sedahsyat usrah yang dibina sejak awal.

Kerana itu juga, seorang murabbi yang benar-benar 'hidup' dengan mutarabbinya; makan, minum, tidur, belajar, riadhah, solat, qiam, berbuka puasa, main batu seremban dan pepsikola bersama-sama, err, jiwanya akan lebih berasa puas dan bermakna, meskipon hasilnya (mutarabbi yang dibina) belum dapat dipastikan lagi kualitinya bagaimana. Kerana akhirnya, yang dilihat itu ialah usaha dan prosesnya, bukan natijahnya. 

Pokoknya, seorang dai'e itu akan lebih memaknai erti berada di dalam gerabak tarbiyah dan dakwah apabila dia merasakan dia punya sumbangan kepada aktiviti dan gerak kerja gerabak yang disertainya. Hal ini penting bagi para pimpinan mana-mana jemaah harakah sekiranya mahu mewujudkan kesetiaan dan ketaatan dalam kalangan para penggerak dakwah. 

Nah, setiap kali anda ke IKEA selepas ini, jangan biarkan hanya rak buku BILLY atau meja makan BJURSTA atau sofa KARLSTAD yang bermain di kepala. Ketahuilah, IKEA punya kesan yang jauh lebih mendalam di dalam hidup anda! Eheh.

-gabbana-

Melihatkan kadar penghasilan artikel baharu sekarang ini memang merudum dengan dahsyat sekali, kemungkinan besar saya tidak akan sempat menulis apa-apa artikel khusus untuk Ramadhan yang bakal tiba. 

Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda yang bakal dipertemukan dengan Ramadhan nanti! Selamat berpesta ibadah! 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP