Showing posts with label ten things. Show all posts
Showing posts with label ten things. Show all posts

26 June 2015

Fakta Haibat Lagi Ajaib Tentang Ramadhan

[Kredit]

Satu benda bila nak tulis pasal Ramadhan ni, tidak boleh tidak, ia akan jadi sedikit klise. Sebab apa? Sebab dah ramai yang bercakap dan menulis tentang Ramadhan. Jadi agak sukar jugalah kalau mahu menulis sesuatu yang niche dan unik, yang betul-betul luar dari kotak.

Tapi tidak mengapa, bagi saya can untuk mencoret juga sesuatu tentang Ramadhan. Sekurang-kurangnya lebih baik lah kan daripada saya tulis sesuatu yang mengarut dan merepek di bulan yang mulia ni. Eheh. 

Baiklah. 

Seperti yang sudah kita tahu dan selalu dengar dalam kuliah-kuliah mahupon ceramah agama, bulan Ramadhan ini tersangatlah istimewa. Bayangkanlah, dalam dua belas bulan Qamari yang ada, Allah secara spesifik pilih Ramadhan untuk seru orang-orang beriman agar jadi bertaqwa.

Nampak tak permainannya di situ? 

Maknanya, dalam bulan Ramadhan tu, Allah dah sediakan macam-macam sarana dan kemudahan untuk bantu kita jadi orang yang bertaqwa. Dan sejahat-jahat kita macam mana pon, sama ada kita sedar atau tidak, secara otomatiknya kita 'dipaksa' untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Ha, inilah dahsyatnya Ramadhan. Inilah yang haibat dan mahsyuknya Ramadhan!

Jadi hari ini saya nak berkongsi dengan anda, fakta-fakta sahih lagi tepat tentang keistimewaan Ramadhan, yang tidak ada dan tidak boleh didapati di dalam bulan-bulan yang lainnya. 

Anda sudah bersedia? Marilah!
 

(Kali ini tak boleh nak makan popkon perisa karamel dan minum jus oren segar macam biasa)

Fakta 1
Sekiranya sebelum ini punyalah susah untuk kita tahu waktu solat, setiap kali nak kena tengok surat khabar atau perisian di telefon pintar kita, Ramadhan menjadikan kita begitu cekap dan tajam dalam mengetahui waktu solat. Espeseli waktu masuknya solat Maghrib bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Eh.

Kan kan kan?

Macam kenal je, macam kenal je.
Fakta 2
Kita yang selama ni punyalah liat nak tunaikan solat sehari lima kali itu, solat-solat sunat toksah cakaplah, tiba-tiba rajin dan bersemangat untuk ke mesejid setiap malam untuk tunaikan solat Isyak berjemaah dan terawih paling koman lapan rakaat. Walaupon moreh mungkin menjadi faktor penggalak utama, tapi fakta ini masih tetap mengagumkan.

Ajaib bukan? 

Fakta 3
Ada dalam kalangan kita yang kaki makan. Bukan setakat kaki, tapi tangan, buku lali, peha, biseps, semua semua lah! Masa sarapan pagi, dah cerita pasal makan malam. Masa makan malam, dok rancak bercerita pulak hujung minggu tu nak makan di mana. Kiranya kita dan makanan ibarat kontroversi dan 1MDB. Eh eh. 

Tapi bila Ramadhan menjelma, kita boleh lupakan semua tu. Kita boleh menahan lapar dan dahaga untuk tempoh yang cukup panjang lamanya. Tak rasa haibat ke tu? 

Ok tolong jangan rosakkan poin saya ni dengan membawa isu bazar Ramadhan dan moreh ke sini. Tolong. 

Fakta 4
Yang ini lebih ajaib. Para perokok tegar yang sebelum masuknya bulan Ramadhan punyalah susah nak berpisah dengan rokok, setiap setengah jam berasap mulut, setiap setengah jam mesti nak pekena sebatang, tiba-tiba masuk bulan Ramadhan boleh pulak bertahan. Bukan calang-calang punya bertahan, tapi doblas jam! Peh. 

Persoalannya sekarang, kenapa tak berhenti merokok je terus? Boleh je kan? Wahai!

Fakta 5
Buat pertama kalinya dalam hidup kita. kita bertegur-sapa dengan jira selang tiga rumah kita. Sebab apa? Terima kasih kepada Ramadhan yang menjadikan kita bermurah hati untuk bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga kita. Tak kisahlah kita hanya bagi onde-onde atau cekodok barang seketul dua tapi jiran kita balas dengan ayam masak ros atau kambing kuzi. Yang penting niat kita untuk menjalinkan silaturrahim dengan jiran tetangga kita.

Manalah tahu rupa-rupanya Makcik Zabedah jiran kita tu masih ada anak dara yang belum berpunya? Wahahaha. Eh. 

Fakta 6
Bulan Ramadhan juga menjadikan kita secara otomatiknya kurang bercakap. Niat asalnya kerana malu bau mulut yang harum semerbak. Err.

Tapi pada masa yang sama, kita juga telah berjaya mengurangkan daripada bercakap perkara-perkara yang tidak senonoh dan tidak berfaedah. Maka berkurang jugalah dosa-dosa kering kita dek banyak mengumpat dan mengadu-domba sini dan sana. Wah!


Yang berpuasa bukan perut sahaja, tapi anggota-anggota yang lain juga! Tahu?

Fakta 7
Hebat tak hebatnya Ramadhan ni, kita yang pakar buat tahi mata, yang hanya mampu bangun malam bila ada perlawanan bola pasukan bola sepak peberet kita, itu pon sekali-sekala, tiba-tiba boleh bangun malam. Setiap hari pulak tu! 

Betapa kasihnya Allah kepada kita, Dia 'paksa' kita untuk bangun agar mendapat keberkatan dari waktu sahur. Subhanallah! Dan kita memang sanggup bangun; kalau tak, bergendang dan berqasidah la perut kita sembari pagi!

Alang-alang dah bangun awal tu bang, jangan lupa solat sunat dua rakaat ya? Senyum.

Fakta 8
Ha yang ini memang lejen. Juga bukti betapa Ramadhan menjadikan kita orang yang bertaqwa.

Tiada siapa yang akan berbuka puasa selagi tidak berkumandang azan Maghrib kan? Hatta seminit, sepuluh saat, tiga saat pon, tiada siapa yang akan berbuka awal. Sebab apa? Sia-sialah kita dah menahan lapar dan dahaga seharian lamanya jika kita berbuka awal. Dikira batal puasa kita! Adeh.

Oleh sebab itu, kita sanggup bertahan, meskipon ayam percik Mak Jah dan gulai lemak ikan tenggiri sudah terhidang di depan mata. Belum lagi dikira cendol bakar dan pulut mangga yang siap untuk dijamah. 

Hei anda, sejak bila anda jadi begitu tabah dan penyabar sebegitu rupa?
Beginilah perasaannya bila tersalah tengok waktu berbuka. Kekeke.
Fakta 9 
Di bulan-bulan yang lain, kita dan Quran ibaratnya seorang Bangla yang baru sampai Malaysia. Maksudnya, terasing. Sangat asing. Err boleh ke macam tu?\

Tapi tatkala Ramadhan ketuk pintu bagi salam nak masuk, entah macam mana, entah dari mana datang semangatnya, kita dengan Quran ibaratnya macam sepasang kekasih yang sudah berjanji untuk hidup semati. Ke mana-mana sahaja kita akan bawa mushaf atau muat naik aplikasi Quran ke dalam telefon pintar kita. Ada masa kosong, kita baca. Ada masa lapang, kita baca.

MashaAllah. Rasa nak nanges kan dengan fakta ni? 

Fakta 10
Keajaiban Ramadhan yang paling utama adalah bagaimana tanpa sedar atau pon tidak, ia sedang mentarbiyah kita untuk menjadi orang yang lebih bertaqwa. Solat Subuh berjemaah di mesejid. Tilawah Quran yang menderu-deru. Zikir dan istighfar yang sentiasa basah di bibir. Makan dan tidur yang lebih sedikit berbanding biasa. Doa yang tidak putus-putus. Sabar yang dipaksa. Iktikaf yang dilazimi. Kuliah-kuliah agama yang dihadiri. Bersungguh-sungguh memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar.

Semuanya ini sebenarnya adalah batu-batu pengasah untuk menjadikan taqwa kita tajam semula, selepas 11 bulan sebelumnya yang menumpulkan dek kelalaian dan kealpaan kita. Allahu.

Nah, begitulah sepuluh fakta yang haibat lagi ajaib tentang Ramadhan.

Kerana itulah, Ramadhan ini bukan calang-calang bulan. Ia adalah bulan untuk orang-orang yang beriman yang mahu mengejar taqwa. 

Laallakum tattaqun. Mudah-mudahan kamu bertaqwa. 

Sama ada kita berjaya merangkul taqwa atau tidak, ia benar-benar terletak di tangan kita. Kitalah yang menentukannya, sama ada taqwa itu milik kita atau pon tidak.

Yang benar-benar menjadikan Ramadhan itu sebuah bulan yang haibat dan ajaib, bukanlah bulan Ramadhan itu sendiri. Tapi yang menjadikan ia benar-benar dahsyat dan istimewa, adalah kerana manusia-manusia luar biasa yang menghidupkannya.

Moga kitalah manusia-manusia yang terpilih itu!

Mudah-mudahan! 

-gabbana- 

Sedar tak sedar, kita sudah pon menghampir penghujung sepertiga Ramadhan. Aduhai nak nanges pon ada.

Kepada kita yang masih tidak sedar diri bahawa Ramadhan sudah berjalan meninggalkan kita, bangkitlah dari lena. Mulakan beramal agar Ramadhan tidak pergi dengan sia-sia.

Kepada kita yang sudah konsisten beramal, alhamdulillah. Sudah tiba masanya untuk naikkan gear.

Dan kepada kita yang benar-benar memaknai erti imanan wahtisaban, ketahuilah,  yang memasukkan kita ke dalam sorga adalah rahmat dan kasih-sayangNya dan bukannya amalan-amalan kita! 

Allahumma barikla fii shahri Ramadhan, wa ballighna lailatul qadr! 
 

11 November 2014

Jangan Biarkan Mukabuku Menghancurkan Hidup Kita

[Kredit]

Sekiranya abad kesembilanbelas dahulu sinonim dengan revolusi perindustrian dan abad keduapuluh dengan peperangan, saya kira abad keduapuluhsatu akan dikenang sebagai zaman yang diledakkan dengan revolusi digital. Perkembangan teknologi digital dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini amatlah rancak (dan mengerikan!) sehinggakan terlalu banyak penemuan dan ciptaan baru, sama ada berguna atau pon tidak, telah dihasilkan.

Meskipon tidaklah sama dengan apa yang diramalkan oleh Fujio F. Fujiko di dalam karya agungnya, Doraemon itu! Ahah. 

Dalam tempoh sedekad yang pertama, nama-nama seperti Yahu, Gugel dan Maikerosof menguasai pentas era digital ini. Kemudian di penghujung dekad itu, nama-nama seperti Epal, Mukabuku, Alibaba dan Samsung pula yang mengambil alih. Gugel kekal sebagai antara pemain utama di atas padang revolusi digital ini. 

Dan di dalam banyak-banyak jenama ini, saya kira Mukabuku adalah antara yang paling berpengaruh sekali, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. Memang sukarlah juga untuk saya menemukan siapa-siapa yang tidak mempunyai akaun Mukabukunya sendiri. Cikgu sekolah rendah, penjual nasi lemak, eksekutif bank pelaburan, peguam syariah, jurulatih gimnastik, murid tadika, makcik jiran sebelah rumah... Hampir semuanya mempunyai akaun Mukabuku sendiri!

Pertimbangkan fakta-fakta yang meletupkan minda ini:

  1. Jumlah pengguna Mukabuku secara bulanan kini menyamai jumlah rakyat China (1.35 bilion manusia). 
  2. Secara puratanya, pengguna telefon pintar memeriksa Mukabuku sebanyak EMPAT BELAS KALI sehari. Yang tiada telefon pintar nampaknya lebih pintar di situ.
  3. Pengguna Mukabuku mencari (Baca: Search) sebanyak SATU bilion kali sehari. Apa yang dicari tu bang?
  4. Pengguna biasa menghabiskan sekurang-kurangnya EMPAT PULUH minit sehari dengan Mukabuku. Kalau baca Quran dah boleh habis sejuzuk tu! 
  5. Lebih DUABELAS bilion mesej dihantar melalui Mukabuku. Jika itu ditukarkan kepada zikrullah, entah berapa bilion pahala yang telah berjaya dijana!
  6. Ada kemungkinan besar nenek dan atuk anda juga merupakan pengguna Mukabuku. Lebih 45% daripada pengguna internet berusia 65 tahun ke atas mempunyai akaun Mukabuku mereka sendiri
  7. 47% daripada para pengguna Mukabuku berusia 18-34 tahun akan memeriksa akaun mereka sebaik sahaja bangun daripada tidur. Baca doa bangun tidur lagi bagus!
  8. Menurut suatu kajian, satu daripada tiga orang berasa tidak puas dengan hidupnya setelah melawati Mukabuku. 
  9. Satu pertiga daripada semua kes pendaftaran cerai di Amerika Syarikat pada tahun 2011 mengandungi perkataan 'Mukabuku.' 
  10. Beberapa orang telah mati dibunuh kerana telah membuang kawan (Baca: Unfriend) daripada senarai kawan-kawan Mukabuku mereka. Gila!   
Fuh. Gila kan pengaruh Mukabuku dalam kehidupan seharian kita? 

Tanpa fakta-fakta ini pon kita tahu yang sebenarnya hidup kita amat dipengaruhi oleh Mukabuku. Tanpa kita sedari, kita sudah pon sebenarnya ketagihan Mukabuku. Apa simptom-simptomnya?

Kita berasa amat seronok, teruja hingga ke langit apabila post kita diLIKE oleh orang lain. Sebaliknya, kita berasa tertekan apabila berpeluh-peluh otak kita memikirkan status bombastik untuk ditulis, tetapi jumlah yang mengeLIKE boleh dikira dengan jari.

Kita berasa kechiwa mahu terjun gaung apabila permintaan untuk berkawan (Baca: Friend request) kita ditolak. Apatah lagi apabila yang menolak itu adalah cik adik manis yang sudah menjadi pojaan hati kita sejak sekian lama! Eh.

Kita berasa resah gelisah sekiranya seharian tidak membuka Mukabuku. Rasa macam tak boleh nak hidup apabila kita masuk kampung atau hutan yang tidak mendapat talian internet.

Kita bergaduh, bertekak dan bercakaran dengan rakan-rakan Mukabuku kita untuk sesuatu yang remeh dan temeh. Nasib baik dalam Mukabuku tiada aplikasi tarik rambut. Heh.

Kita percaya bulat-bulat dan segi empat-segi empat segala macam berita dan fakta yang dikongsikan di Mukabuku.

Kita tekan semua pautan dan kita cuba semua permainan yang dikongsikan di Mukabuku.

Kita gemar meng'stalk' orang lain. Espeseli kalau kita minat orang tu. 

Telefon pintar kita hurung ke mana-mana agar tidak terlepas hadpet-hadpet Mukabuku yang terbaru, hatta ketika sedang berurusan di jamban. Erk. 

Hidup kita sehari-hari terasa tidak lengkap tanpa memerika Mukabuku dahulu. Sebelum pergi kerja, sebelum mula bekerja, sebelum siram bunga, sebelum pergi jogging, sebelum segala-galanya. 

Kalau nak luah perasaan, mengomel atau apa-apa sahajalah, kita lebih gemar untuk tulis status Mukabuku daripada beritahu rakan-rakan secara langsung dan berdepan.

Kita rasa tak boleh tidur malam, makan tak kenyang dan berak pon tak puas kalau seharian tak buka laman Mukabuku Angel Pakai Gucci. Eh? Wahahaha. 

[Kredit]
Nah ketahuilah, sekiranya kita mempunya salah satu, salah dua, salah tiga atau salah semua daripada simptom-simptom di atas, kita wajar menggaru kepala kita dalam kerisauan. Kerana kita sebenarnya sudah pon ketagihan Mukabuku. 

Dan yang lebih menakutkan andai kita sebenarnya telah menjadikan Mukabuku sebagai ilah (sembahan) kita! Nastaghfirullah. Nanges.

"Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui."
[al-Ankabut, 29:64]

Ketahuilah, kehidupan ini lebih daripada sekadar memperpanjangkan senarai rakan-rakan di Mukabuku.

Kehidupan ini jauh lebih bermakna daripada bersusah-susah memerah otak memikirkan status yang paling gempak untuk mendapatkan jumlah LIKE terbanyak.

Kehidupan ini jauh lebih berharga daripada kita sibuk berjiddal, bertengkar dan berbalah tentang isu-isu cabang di Mukabuku yang tidak membuahkan amal.

Kehidupan ini jauh lebih mahal daripada keseronokan dan kepuasan yang kita peroleh apabila kita berjaya mengstalk seseorang dan berjaya pula mendedahkan identitinya. 

Kehidupan ini jauh lebih bernilai daripada rasa gusar dan sedih kita, rasa resah dan meroyan kita apabila kita gagal mendaftar masuk ke dalam Mukabuku. 

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka chentai seperti menchentai Allah."
[al-Baqarah, 2:165]

Tarik nafas.

Jangan biarkan Mukabuku mempengaruhi hidup kita.

Jangan biarkan Mukabuku memporakperandakan kehidupan rumah tangga kita (Ehem!).

Jangan biarkan Mukabuku menentukan sedih gembira suka dukanya kita.

Jangan biarkan Mukabuku mendefinisikan persahabatan kita dengan rakan-rakan kita. 

Dan jangan sesekali biarkan, walau seketika, walau sesaat, untuk Mukabuku menghancurkan hidup kita.

Kata Saidina Ali r.a., "Zuhud itu bukanlah dengan kita tidak memiliki apa-apa. Tapi zuhud itu adalah tidak membiarkan apa-apa memiliki kita." 

Dan oh, kepada para pengguna Instagram, Pengicau, Ask.fm dan lain-lain yang sewaktu dengannya, yang mungkin tersenggih-senggih membaca post ini sambil berkata kepada diri, "Padan muka kau wahai pengguna Mukabuku!", ketahuilah, post ini juga untuk anda.

Aman, tanpa perang.

-gabbana-

Sedikit ironi apabila post ini juga dipromosikan di Mukabuku. Mihmih.

Sumber fakta Mukabuku:
1) http://www.jeffbullas.com/2014/07/29/25-facebook-facts-and-statistics-you-should-know-in-2014/
2) http://www.factslides.com/s-Facebook
3) http://www.cnbc.com/id/101611586#.
4) http://www.searchenginejournal.com/25-amazing-facts-facebook/88733/   

10 November 2014

Ikutkan Hati Gue

[Kredit]

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya habiskan masa saya ke pulau-pulau yang pasirnya halus, putih dan bersih dan airnya yang biru, terang dan jernih, menikmati pemandangan nan indah bertemankan bunyi ombak yang menenangkan. Menyaksikan matahari tenggelam sambil minum jur oren dengan potongan nenas. Bila-bila yang saya suka, saya akan terjun ke dalam air, menikmati kesejukan air laut dan berenang-renang bersama ikan-ikan yang riang. Ah indah!

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya terbang ke Greenland sana, menikmati pemandangan langit yang dihiasi dengan aurora borealis yang sumpah indah. Terbaring di tengah-tengah rimbunan lalang mengering sambil mengira bintang-bintang yang bergemerlapan di langit, tidak bosan menanti bintang untuk memberakkan tahinya. Membiarkan masa berlalu dengan perlahan untuk saya menikmati setiap detik pemandangan ciptaan Tuhan sepuas-puasnya. Ah bahagia!

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya ke Ghana atau Nigeria sana, menelusuri savannah dengan jip atau pajero, melambai-lambai pada singa atau zirafah yang sedang enak berehat-rehat. Jika bernasib baik, mungkin dapat menunggang gajah atau berlari-lari bersama antelop! Atau cukuplah sekadar terbaring berehat di belakang jip sambil memerhatikan burung-burung flamingo berwarna merah jambu itu memenuhi kolam-kolam air dengan gelagat mereka. Ah osemness!

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya ke Paris untuk bersarapan di sana, kemudian berjalan-jalan mengambil angin di sekitar Menara Eiffel sebelum bertolak ke kota London untuk makan tengah hari di Knightsbridge atau Mayfair. Kemudian menikmati secawan kopi panas di Covent Garden sambil menonton persembahan jalanan di situ. Kemudian bersiap-siap pula untuk sajian makan malam romantik di tidak jauh dari air pancut Trevi di Rome. Ah mempesonakan!

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya berlayar dengan yacht mewah mengelilingi dunia, merentasi lautan Pasifik dan Artik sambil menikmati pemandangan eksotik di sepanjang pelayaran. Kadangkala mungkin ikan-ikan dolfin yang melompat kegirangan. Jika bernasib baik, mungkin boleh berenang bersama-sama dengan jerung paus yang sedang asyik memakan plankton. Atau berjabat tangan dengan sotong kurita gergasi yang berenang-renang di tepi. Ah superb!

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya terbang ke angkasa, melihat keajaiban dan keagungan alam di angkasa lepas. Melihatkan betapa hebatnya bumi dari keluasan angkasa yang tiada batasnya. Mungkin akan mendarat di bulan, untuk merasakan sendiri aktiviti lompat melompat yang kool itu dek kurangnya tarikan graviti. Atau sekadar terapung bebas di tengah-tengah lautan angkasa yang terbentang luas, menikmati pemandangan ajaib planet-planet dan bintang-bintang yang bertaburan di angkasaraya. Ah majikal! 


Subhanallah! Ini.. Ini.. Ini sorga! [Kredit]

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya ke New Zealand itu, sebuah negara yang amat mempesonakan dengan keindahan alam semulajadinya. Teringin juga mahu melakukan terjunan banji yang bisa sahaja membasahkan seluar itu. Eheh. Atau memberanikan diri memasuki bola gergasi dan menuruni bukit-bukit dengannya. Gila! Kemudian menjelajahi bukit-bukau nan indah, sambil sekali-sekala berselfie dengan flora dan fauna yang tiada tandingnya. Ah ajaib!

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya bermarathon movie, epeseli movie-movie adiwira kegemaran hati. Hanya saya dan skrin besar dan sistem bunyi yang menakjubkan. Peh. Oh tidak dilupakan bekalan popkon perisa karamel masin yang tiada hentinya dan air berkarbonat pelbagai perisa pilihan hati. Saya rasa, sehari semalam pon saya mampu bersengkang mata untuk menghabiskan movie-movie yang ada! Oklah, berhenti rehat untuk berak dan solat. Wahahaha. Ah seronok! 

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya menjelajah runtuhan-runtuhan dan monumen-monumen tamadun dahulukala yang bersejarah seperti Kota Petra, Istana Alhambra, Masjid Besar Djenne yang diperbuat dari lumpur, kota purba Aztec, Taj Mahal, Machu Pichu, Tembok Besar Cina, Masjid Bibi-Khanym di Samarkand dan banyaaakk lagi! Dan menghabiskan usia saya untuk mengkaji tinggalan bersejarah ini dan menerokanya sehingga saya menemukan jawapan kepada pelbagai misteri dunia! Ah alangkah! 

Siapa di dalam dunia ini yang berotak waras yang tidak mahu mengunjungi tempat seosem ini?? [Kredit]

Dan kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya fokus pada kerjaya saya ini untuk menaiki anak tangga keparat korporat agar dapatlah saya suatu hari nanti menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (Baca: Ketua Segala Macai) mana-mana syarikat konglomerat gergasi dengan bonus tahunan mencecah sehingga jutaan ringgit! Dengan duit sehebat itu dapatlah pula saya membeli kereta mewah idaman kalbu dan membina mahligai impian laksana istana di dalam cerita-cerita dongeng dahulukala! Ah impian!

Ya, kalau ikutkan hati, saya mahu melakukan semua itu. Malah banyak lagi perkara yang saya mahu lakukan!  

Namun jujur saya tidak mampu. Saya tidak punya masa untuk semua itu. Saya tidak punya harta untuk semua itu. Dan saya tidak punya tenaga untuk semua itu. Saya tidak mampu!  

"Tetapi dai'e mempunyai kerja yang lebih penting dan besar dari itu semua. Dia wajib menutup lubang-lubang kelemahan pada umat ini yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain melainkan dirinya. Pahalanya tidak kurang dari pahala membuat kerja-kerja amal, jika tidak berganda-ganda. 

Dai'e Islam wajib melaksanakan tugas tajmi'iyy, tarbawiyy, thaqafi, i'lamiyy, siyasiyy, jihadiyy khairiyy dalam kesyumulannya yang luas dan takamul yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain."
- Tansiq dan Syumul, al-Muntalaq 

Benarlah kata-kata orang tua-tua yang bijaksana:

"Ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa!"

Kerja kita masih banyak. Terlalu banyak!

Sungguh, kerja-kerja yang wajib kita lakukan ini, lebih banyak daripada masa yang kita ada. Tsk.
"Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan ar-Rasul, apabila dia menyerukan kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu..."
[al-Anfal, 8:24]


-gabbana- 
 

9 October 2014

Harapan #Bajet2015

[Kredit]

Masanya sudah tiba lagi. Esok, Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kita yang terchenta akan membentangkan belanjawan (Baca: Bajet) untuk tahun 2015 di dalam sidang parlimen.

Pastinya anda, saya, makcik jual kerepok lekor tepi jalan, abam jaga gym, jurulatih Silat Cekak Hanafi daerah Sabak Bernam dan ramai lagi, meletakkan harapan pada bajet kali ini. Jika tidak tinggi, rendah. Jika tidak banyak, sedikit. Pendeknya, pastinya ada harapan di situ.

Sementelah dengan kenaikan harga RON95 dan diesel baru-baru ini, pastinya ramai yang mengharapkan agar ada gula-gula dan ondeh-ondeh untuk mereka daripada kerajaan. Pasti ramai yang mengharapkan BR1M ini dan BR3M itu. Pasti amai yang mengharapkan entah macam insentif dan bantuan daripada kerajaan.

Mari kita lihat beberapa harapan masyarakat, bagi memberikan kita gambaran kasar apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia. 

Puan Jahayah Jupaat, Pemandu van sekolah, 56 tahun
"Akak berharap, Dato' Sri akan lebih peka kepada golongan macam akak ni; dah masuk umur pencen pon terpaksa bekerja lagi. Patutnya masa ni, akak dah boleh pergi melancong ke Paris, Vienna dan Istanbul, shopping bagai! Err, maksud akak, masa ni akak dah boleh nak fokus pada amal ibadah, pergi umrah. Tapi sebab akak terpaksa bekerja untuk cari sesuap nasi, akak terpaksa tangguhkan semua tu dulu.

Kenaikan harga minyak baru-baru ni memang buat akak terasa. Cepat aje barang-barang dapur naik harga. Dulu sawi seikat dua ringgit. Sekarang dah jadi tiga ringgit! Ayam sekilo tujuh lapan ringgit. Sekarang ni nak dekat sepuluh ringgit! Katanya ada kawalan harga, tetapi entah, hilang ke mana. Nak buat macam mana, terpaksalah akak naikkan tambang van sekolah akak. Eh."

Encik Srikandan Kaithiraam, Jurutera sivil, 37 tahun
"Saya harap kerajaan akan lebih seriyes memantau pembinaan prasarana dan kemudahan awam seperti stadium, jalan raya dan stesen bas. Jangan biarkan Otromen dan raksasa mengganas sesuka hati sehingga menyebabkan bumbung runtuh, jalan runtuh dan durian runtuh

Pelaksaan tender yang terbuka dan telus untuk projek-projek yang menggunakan dana awam hendaklah dilaksanakan dengan amanah. Bahan-bahan binaan yang digunakan mestilah berkualiti tinggi dan bukannya cap ayam atau cap Vietnam, semata-semata sebab mahu berjimat agar duit lebih dapat dimasukkan ke dalam poket sendiri. Ceh.

Psstt. Kalau ada projek mega nak bina stadium atau jalan, saya boleh buat sub-con."

Encik Osman Ghani, Pendaftar nikah daerah Lenggong, 45 tahun
"Teman tak mahu mintak banyak. Teman harap bajet 2015 kali ini, gomen berilah perhatian pada anak-anak muda kita yang mahu bernikah ni. Permudahkan, jangan susahkan, bak hadith Nabi. Ini idak. Nak nikah, punyalah susah. Macam-macam prosedur deme nak kena lalu. Jenuh!

Lepas tu, bagilah insentif sikit. Bagilah kat deme ni, duit saku bagi yang nak nikah ni. Barang-barang hantaran sekarang bukan murah yeop. Minyak naik rege lagi. Kita ni nak galakkan deme ni buat ibadah, bina mesejid. Gomen pon boleh tumpang pahala deme! 

Paling bagus kalau ada insentif untuk tambah cawangan! Kekeke."

Puan Lintaguh a/p Kelabit, Pegawai perubatan, 29 tahun
"Kita nik, sudah mahu masuk tahun 2020 kan? Tapi aku rasa kadang-kadang macam hidup zaman 50-an. Walhal teknologinya macam-macam sudah. Canggih. Ramai parai sebab denggi. Masih ada sakit kencing tikus. Macam hidup di negara dunia keampat! Baka ni?

Harapnya Bajet 2015 boleh fokus pada kamik di bidang kesihatan ini. Rasa terpinggir juga. Bangunan tinggi mana pon, keretapi laju mana pon, kereta canggih mana pon, kalau sakit nanti datang pada kamik jugak kan?"

Encik Tong Ah Kam, Penjual char koay teow, 44 tahun
"Aiya, tarak susah. Gua tarak mau mintak manyak mah. Lu bagi halga minyyaak masak murahh, kelang muraaah, bagi itu udang murah, togeh murah, telut murah, gua manyaaakk hepi woo. 

Lagi hepi ahh, Dato' Ah Jib mali makan gua punya char koay teow! Manyaaak suka!"

Puan Devi Josh Arumugam, Guru sekolah rendah, 31 tahun
"Tolong tolong jangan suka hati mahu ubah polisi pendidikan. Hari ni lain, esok lain. Tahun lepas lain, tahun ni lain, tahun depan lain. Yang terseksa bukan kami guru-guru ni saja, kasihan pada murid-murid juga. Belum sempat mahu melepaskan batok di tangga, eh maksud saya, mahu melepaskan lelah, sudah tukar polisi lagi. Aiyooo kadivelek! 

Dan tolonglah, untuk UPSR 2015 nanti, jangan bagi malu sama kami guru-guru lagi!

Saya sudahi ucapan saya dengan serangkap pantun:

Kajang Pak Malau Kajang Berlipat,
Kajang saya mengkuang layu,
Harap bajet membawa rahmat,
Pada sekalian murid dan guru.

Sekian terima kasih."

Saudara Rafiee Fahmizam, Atlet lumba lari mukim Machang, 23 tahun
"Ambo mangharapkae gomen akea lebih serius dale pembangune sukea negaro. Bukey apo, jak dulu janji macey-macey, tapi gak taraf sukea masih di takuk lamo.

Tengok lah sukea Asia broni, ish malu ambo. Pialo dunio..? Dok tahulah ambo dea hidup ke dok. Haihh.

Majulah sukea untuk negaro!" 

Cik Lee Ai Vee, Bakal penyarah dan model sambilan, 27 tahun
"Next year, our country will be 58 years old. 58 years old meh! More than half century oredi.

Saya harap kerajaan akan beri keutamaan pada golongan muda macam I ni. Ye lah, we are the next leader what. More incentives. More initiatives. 

And pleeaaaseee. Combat racism! It's everywhere! We are already living together more than 50 years, but still got racism? No good lah macam ni! 

Tuan Haji Supian Berahim, Pesara polis, 72 tahun
Negara ni dah tak selamat! Rompak sana! Rogol sini! Pecah ghumah situ! Apa nak jadi lah hai. Zaman aku dulu-dulu, mana ada ni semua. Aman bahagia ja!

Kerajaan jangan bagi muka kat penjenayah. Gomoi ja depa ni! Akta hasutan tu, jangan sibok-sibok nak mansuhkan ehh! Sapa-sapa capoi kat luaq sana, hambat ja depa ni! Biaq depa ghasa! 

Saudara Ahmad Syurabil, Orang biasa-biasa jah tapi bawa usrah alhamdulillah, 30 tahun
"Harapan. Takde apalah. Saya hanya bergantung harap pada Allah. Bergantung harap pada manusia, boleh jadi nanti kecewa. Bergantung harap padaNya? InshaAllah bahagia. 

Oh ya. Mungkinlah ada satu harapan. Seronok sangat kalau Dato' Sri Najib dan ahli-ahli kabinet yang beragama Islam boleh sertai bulatan gembira. Konfem meriah! Senyum."

Koff koff.

Begitulah sedikit sebanyak ragam dan harapan rakyat Malaysia, yang tidak tahulah sama ada mewakili suara majoriti di luar sana atau pon tidak. Eheh.  

Yang pasti, walau apa pon esok, pasti akan ada yang tidak berpuas hati dengan bajet yang dibentangkan. 

Akan ada yang bahagia, akan ada yang merana. Akan ada yang tertawa gembira, akan ada yang bermuram durja. 

Bersedia je lah dengan status-status dan kicauan-kicauan yang akan keluar daripada sekalian pahlawan papan kekunci, sama ada yang menyokong penuh atau yang mengomel dan membantah. Termasuklah daripada saya nanti. Wahahaha. 

Biasalah, manusia tidak pernah puas kan? Anda bagaimana? Apa harapan anda?

Wahai. Bercukurlah kerana Malaysia masih aman!

-gabbana-

Tak faham kenapa mesti dan sejak bila guna perkataan 'bajet'? Belanjawan kan ada? Bajet bagus la tu! 

 

22 September 2014

Sepuluh Nasihat Buat Para Dua't

[Kredit]

Beberapa hari lepas saya diberi peluang yang cukup berharga oleh Allah untuk bertemu mata dan berborak mesra dengan sahabat lama saya, Inche Q. Beliau adalah bekas ahli sebulatan gembira semasa di Kerajaan Bersatu dahulu.

Sedar tidak sedar, apabila kami melontar semula (Baca: Throwback), sudah kurang lebih tujuh tahun kami menyertai gerabak tarbiyah ini. Ya, tujuh tahun!

Saya tahu, saya tahu. Tidaklah selama masyaikh dan asatizah yang sudah puluhan tahun berjuang dan terus tsabat berada di atas jalan ini.

Namun untuk saya secara peribadi, saya merasakan tujuh tahun itu boleh tahan lamanya. Jika berkahwin tujuh tahun yang lalu, anak pertama saya kini kemungkinan besar sudah bersekolah tadika! Wah! Ahahaha. 

Pandang kiri, pandang kanan. Jalan laju seperti tiada apa-apa yang berlaku. 

Saya amat bersyukur kepada Allah, kerana sehinggi kini, sehingga saat ini, Dia masih lagi mahu memberikan saya peluang dan ruang untuk bersama-sama di dalam gerabak ini. Gerabak yang sentiasa bergerak laju dan akan meninggalkan sesiapa sahaja yang tidak seriyes dan bersedia. 

Segala puji bagi Allah kerana mengurniakan nikmat besar yang meluhuri dan memberkati ini. Sungguh, tiada siapa yang dapat menempuhi sesuatu jalan tanpa inyaha dan izin daripadaNya. 

Nanges sekejap.

Oleh sebab itu, saya ingin berkongsikan nasihat dengan anda semua. Nasihat marhaen datangnya dari seorang yang marhaen juga, yang sudah kurang lebih tujuh tahun berada di atas jalan ini.

Yang memberi nasihat ini, tidaklah lebih baik daripada anda yang menerimanya. Tidak sama sekali. Tetapi tidaklah bermakna saya tidak boleh berkongsikan sedikit pengalaman dan panduan yang mungkin berguna untuk anda semua bukan?

Bukankah agama ini didirikan atas dasar nasihat? Bukankah orang yang rugi adalah mereka yang tidak saling menasihati dengan kebenaran, kesabaran dan kasih-sayang?

Jadi ijinkan saya untuk berkongsi sedikit nasihat- nasihat yang sudah tentunya peringatan untuk diri saya dahulu - agar dapatlah menjadi saham-saham sorga buat saya suatu hari nanti. Nasihat ini terutamanya saya tujukan buat anda yang bergelar dua't. Senyum.

Baiklah. Anda sudah bersedia? Kali ini saya nasihatkan jangan sediakan popkon perisa apa pon, kerana khuatir anda tersedak atau tercekik nanti. Heh. 

Tarik nafas. Bismillah.

Pertama, kena selalu betulkan dan perbaharui niat. Selalu.

Kenapa aku nak join usrah? Kenapa aku bersama dakwah? Kenapa aku nak buat semua kerja-kerja ni? 

Adakah aku punya agenda peribadi? Adakah kerana aku mahu nama dan dipuji? Atau kerana ada akhawat yang dichentai? Ehem. 

Tanya balik diri. Persoalkan semula motif kita mahu bersama gerabak diri. Malah kena muhasabah, adakah keputusan yang telah banyak merubah diri kita ini sebenarnya adalah keputusan yang tepat. 

Kerana saya telah melihat ramai ikhwah (dan mungkin juga akhawat) yang kecundang di atas jalan ini. Tidak mustahil sekiranya mereka bermula dahulu dengan niat yang salah.

Niat yang betul akan memandu kita pergi jauh. Sedangkan niat yang terpesong dan salah, hanya akan membawa kita jatuh ke dalam gaung yang dalam. 

Kedua, mujahadah itu kena besar. Bukan sekadar mujahadah tahu? Tetapi mujahadah yang besar dan benar.

Mungkin ungkapan seperti "Jalan ini tidak dibentangkan dengan permaidani merah" atau "Jalan ini sumpah panjang" atau "Ini bukan jalan arnab gemok berlari riang" seperti sudah klise dan terlalu biasa di telinga kita. 

Namun apabila kita sendiri sudah ditampar, dibelasah dan digomol sehingga terduduk malah terguling-guling, baharu lah kita tahu tinggi rendahnya sang langit biru.

Apa maksud mujahadah yang besar? Hendaklah kita melawan sehabis-habisnya segala bentuk bisikan syaitonirojim mahupon nafsu diri yang mahu kita tunduk kepada ujian dan cobaan yang datang melanda.

Apa pula maksud mujahadah yang benar? Kita bermujahadah kerana Allah. Kita berperang melawan kefuturan kerana kita damba pada chentaNya. Kita bersungguh-sungguh berkorban tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana mahu membela agama ini.

Hanya mujahadah yang besar dan benar sahaja yang akan menyelamatkan kita daripada mehnah dan tribulasi yang melanda. Kerana mujahadah itu menguatkan. Mujahadah itu menghidupkan.

Mujahadah itu pahit kerana sorga itu manis.

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk sorga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad dalam kalangan kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
[ali-Imraan, 3:142] 

Ketiga, sabar. Bersabar dengan fitrah jalan perjuangan ini yang tidak semudah seperti menjadi Puan Sabariah. Eh. 

Setelah bertahun lamanya berada di atas jalan ini, kita mungkin mengharapkan sekurang-kurangnya akan kelihatanlah sinar di hujung terowong. Akan mula tampaklah mentari yang sudah lama ditutup gerhana. Akan mula keluarlah pucuk-pucuk tunas yang telah sekian lama kita tanam, baja dan jaga biji benihnya.

Tetapi kita hampa. Kita terus tergaru-garu kepala penuh kehairanan.

Bukan sahaja tiada sinar di hujung terowong itu. Bukan sahaja mentari tidak menampakkan wajahnya. Bukan sahaja pucuk tak kembang membunga. 

Namun terowong semakin gelap pekat. Langit semakin mendung kehitaman. Pucuk layu menyembah bumi.

Lihatlah sekeliling! Bukankah nasib umat Islam kian hari makin memburuk? Bukankah penyakit umat Islam semakin lama semakin membusuk?

Pada masa yang sama, kemaksiatan semakin berleluasa. Taghut semakin hebat melebarkan sayapnya. Jahiliyyah pula semakin menjadi-jadi ganasnya.

Sekiranya kita melihat ini dengan pandangan mata orang yang tidak sabar, pastilah kita akan mudah menjadi lemah. Andai kita mengambil kira semua ini sebagai indikator bahawa usaha kita berdakwah adalah sia-sia, sudah tentu kita akan pantas mengalah. Sudah berapa ramai mereka yang gugur dan futur di atas jalan chenta di jalan pejuang ini, hanya kerana mereka tidak mampu bersabar? Aduhai.  
"Dan betapa banyak Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah. Dan Allah menchentai orang-orang yang sabar."
[ali-Imraan, 3:146]

Namun sabar itu tidak pula bermakna tunggu dan lihat. Tidak pula sabar itu bermaksud duduk diam goyang kaki tidak berbuat apa-apa. Dan sabar itu tidaklah bererti redha tanpa berbuat apa-apa.

Maksud sabar yang lebih tepat adalah menerima ketentuan dan takdir Allah dengan rasional dan bijaksana; pada masa yang sama berusaha dan bertindak sebaiknya untuk memperbaiki keadaan yang ada, dengan segala wasilah dan kemampuan yang ada. 
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar."
[al-Baqarah, 2:153]

Tak mungkinlah Allah akan menjanjikan sesuatu yang cukup besar kepada mereka yang hanya duduk, tunggu dan lihat sahaja, sekiranya itu yang dimaksudkan dengan sabar, bukan? Senyum.

[Kredit]

Keempat, terbuka dalam menerima kritikan dan teguran. 

Saya rasa sifat ini jarang sekali ada pada diri seorang al-akh atau al-ukht yang pernah saya jumpa di atas jalan ini. Sedangkan sifat ini merupakan penanda aras keberkesanan tarbiyah pada seseorang itu.

Tarbiyah yang benar-benar berjaya akan menundukkan keegoan seseorang itu. Tarbiyah yang meresap ke dalam jiwa akan menghilangkan segala sifat takabbur dan angkuh pada diri seseorang itu. Dan tarbiyah yang benar-benar efektif mampu untuk menghancurleburkan jahiliyyah yang berkarat di hati.

Maka latihlah telinga itu untuk tahan menerima teguran. Anggaplah teguran yang diberikan kepada kita itu adalah tanda kasih dan sayang orang yang menegur. Lihatlah kritikan yang dilontarkan itu sebagai buah-buah yang wangi dan harum, dan bukannya batu-batu yang tajam dan menyakitkan. 

InshaAllah kita akan lebih sejahtera dan bahagia apabila kita tidak lagi menganggap teguran dan kritikan sebagai tanda orang dengki kepada kita, tetapi surat chenta dari Allah untuk memperbaiki kelemahan yang ada. 

Kelima, banyakkan membaca dan bergaul mesra (Baca: Muayasyah).

Sekarang ni zaman intelektual. Maklumat dan info terkini boleh diperolehi bila-bila masa dengan mudah dan pantas.

Kadang-kadang tu terasa seram sejuk dan geli tengkuk juga, apabila mendengar orang-orang yang mendakwa diri sebagai pejuang Islam bercakap dengan auta, bukan dengan fakta. Senang-senang je kantoi busuk.

Lebih mengerikan apabila hadek-hadek bertanyakan soalan-soalan isu semasa dan yang mampu kita jawab hanyalah, "Itu perkara furu'. Tak perlu bincang!" atau "Tak bertambah iman lah kalau bincang pasal tu" atau "Masuk sorga ke kalau tahu pasal semua tu?" Alahai pak mat sayang. 

Lengkapkan diri kita dengan bacaan bukan sahaja bahan-bahan fikrah, tetapi dengan ilmu pengetahuan di luar bidang kita. 

Pernah suatu ketika, Imam Hassan al-Banna diuji dan ditanya tentang topik kejuruteraan (sedangkan dia hanyalah seorang guru sekolah rendah) dan beliau dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang dan bergaya sekali. Pergh.

Tidakkah itu menambahkan tsiqah (kepercayaan) mad'u yang memerhati?

Tapi err, kalau memang dah dasar malas membaca, kata orang, tak dapek den nak nolong eh! 

Banyakkan juga bergaul dengan masyarakat di sekeliling kita untuk lebih memahami mereka dan membekalkan kita dengan info berguna dalam memberikan rawatan yang paling tepat untuk mereka. Ia dapat mengelakkan kita terus tinggal dalam kepompong kita, larut dan syok sendiri dengan bulatan gembira dan cipiki-cipika!

Keenam, berukhuwwahlah dengan ukhuwwah yang sebenar, keranaNya.

Tiada manusia yang mahu menjadi pulau. Tiada manusia di muka bumi, sekiranya waras dan rasional, mahu dan boleh hidup sendiri.

Apatah lagi dalam menelusuri jalan perjuangan yang penuh dengan onak dan duri ini, kita pastinya memerlukan teman dan taulan, yang dapat bersama-sama kita sepanjang perjalanan ini.

Namun dalam kita mahu membina ukhuwwah fillah, ukhuwwah fiddakwah dan fi semua-semua yang baik itu lah, pastinya ia tidak mudah. Iblis dan konco-konconya mana mungkin akan bertepuk tangan berpom-pom penuh kegembiraan melihat dua sahabat yang saling berkasih-sayang keranaNya, apatah lagi bersahabat untuk menegakkan Islam yang terchenta? Nehi!

Maka ukhuwwah itu pasti akan diuji. Pasti akan ada salah faham. Pasti akan ada pertengkaran dan mungkin percakaran. Itu semua normal.

Persoalan yang lebih utama, bagaimanakah sikap dan akhlak kita apabila berhadapan dengan situasi sebegini? Adakah kita yang akan mengalah dahulu, atau tunggu mahu dipujuk rayu? Adakah kita yang akan meminta maaf dahulu, atau mencebik muka masam seribu?

Apabila kita dikurniakan dengan seorang sahabat yang sentiasa mengingatkan kita pada Allah, hargailah sahabat itu dengan sepenuh jiwa dan raga kita. Kerana ketahuilah, itu adalah anugerah yang cukup besar daripada Allah, kerana Dia mahu kita sentiasa mengingatiNya dan mahu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar. 

Persahabatan biasa hanya puas di dunia. Persahabatan yang hoyeaahh pasti akan membawa ke sorga! [Kredit]
Kerana orang-orang mu'min itu bersaudara, bukan? Senyum.  

Ketujuh, raikanlah perbezaan yang ada. 

Antara isu yang tidak akan pernah surut dalam kalangan para dua't adalah taadud jemaah, atau berbilang jemaah. Dari dulu sehingga kini, isu ini terus hangat dan panas diperdebatkan. Masuk era MukaBuku dan Waksep ini, lagilah galak orang berbicara tentang siapa yang lebih bagus, siapa yang lebih betul.

Hakikatnya, tiada siapa yang boleh mendakwa cara atau kaedah yang digunakannya untuk berdakwah adalah yang paling tepat, paling baik, paling bergaya dan yang paling akan diterima Allah. Erk.

Kadangkala itu saya hanya mampu menggeleng kepala melihat kelakuan mereka yang menggelarkan diri sebagai dai'e, tapi kerjanya hanya memaki dan mencaci mereka yang berlainan kefahaman dan keyakinan. Kata mahu tegakkan Islam, tapi sibuk merendahkan dan menjatuhkan kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka. Kata pendakwah, tapi sebenarnya mereka ini penjenayah!

Yang menjadi mangsa sering hadek-hadek yang pening dan rimas melihat abam-abam dan hakak-hakak mereka yang asyik bergaduh dan tak habis-habis bertekak tentang siapa yang lebih baik dan siapa pula yang jahat dan huduh. Akhirnya, mereka ini langsung tidak mahu menyertai mana-mana gerakan Islam kerana jelik dengan perangai dua't yang tidak berakhlak ini. Alahai.

Imam Hassan al-Banna, dalam usul yang kelapan dengan tegas menyatakan:

"Perbezaan pendapat fikah dalam soal kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya."

Bertaqwalah, dalam setiap tindakan dan perbuatan kita. Kerana taqwa itulah yang paling dichentai Allah.
"Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."
[al-Hujuraat, 49:13]  

Meraikan perbezaan ini bukan sahaja antara jemaah yang berbeza, namun sesama ikhwah dan akhawat juga. Dengan latar balakang tarbiyah yang berbeza, murabbi yang berbeza, susu formula yang diminum sewaktu kecil-kecil dahulu yang berbeza (eh), sudah pastinya akan ada perbezaan dari segi gerak kerja antara ikhwah dan akhawat, meskipon berada di dalam jemaah yang sama. Saya tidak nampak masalahnya asalkan semuanya berpegang pada prinsip yang sama.

Percayalah, kita akan lebih bahagia apabila kita lebih sejahtera dalam meraikan perbezaan. Perbezaan yang ada sewajarnya melengkapkan, bukannya memporakperandakan. Perbezaan yang wujud sepatutnya merapatkan bukan merenggangkan. Dan perbezaan yang timbul seharusnya menguatkan bukan melemahkan. 

Kelapan, berlapang dada dan berbaik sangka.

Semakin lama saya berada di atas jalan ini, semakin saya dapat melihat rasionalnya Imam Hassan al-Banna meletakkan salamatus sadr (berlapang dada) sebagai asas dalam berukhuwwah. Bunyinya seperti mudah, namun betapa sukarnya mahu berlapang dada dan berbaik sangka itu!  

Cabarannya lebih besar di era Waksep, Telegram dan MukaBuku ini, apabila berita-berita terlalu cepat tersebar. Hanya kerana ia disebarkan oleh seseorang yang kita rasakan tsiqah dan berakhlak, tidak bermakna kita wajar mempercayai berita yang disebarkan bulat-bulat tanpa melakukan usul periksa. Apatah lagi apabila berita atau hebahan tersebut melibatkan seorang al-akh atau al-ukht yang sama-sama menelusuri jalan perjuangan ini.

"Akhi, ana dengar Akh XYZ tu nak keluar jemaah. Baik nta jaga-jaga sikit dengan dia tu!"

"Nampak hari tu Ukhti Maria Benado tu pergi makan-makan dengan akhawat dari jemaah X. Ish, macam ada apa-apa je ni!"

"Lama sangat dah Akhi Doremi tak datang bolatan gembira. Dia ni macam futur je ni."

Geleng kepala.  


"Mengapa orang-orang mu'min dan mu'minat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, ketika kamu mendengar berita bohong itu dan berkata, 'Ini adalah (suatu berita) bohong yang nyata.'"
[an-Nur, 24:12]

Amalan tabayyun (meneliti) sesuatu berita seperti yang dianjurkan dalam surah Hujuurat untuk orang-orang beriman seolah-olahnya tidak wujud atau dilupakan oleh kita. Kita lebih mudah dan suka untuk mempercayai berita-berita yang tersebar daripada terpaksa bersusah-payah dan berpeluh ketiak meneliti kesahihan sesuatu berita. Alahai.

Berbaik sangka itu tidak pula bermakna kita redha dan membiarkan sahaja apabila kemungkaran berlaku di hadapan mata. Berlapang dada itu tidaklah bermaksud kita melugu dan melihat dengan dungu sahaja al-akh atau al-ukt yang kita kenali jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali. Sama sekali tidak. 

Berbaik sangka dan berlapang dada bukanlah pintu kepada eskapisme untuk kita tidak berlaku pro-aktif dengan kepincangan atau keboborokan yang berlaku. Sebaliknya, di samping berlapang dada dan berbaik sangka dengan apa yang berlaku, kita juga mestilah berusaha untuk menyiasat dan memastikan kesahihan berita tersebut. 

Contoh mudah, sekiranya kita ternampak suatu pasangan muda yang sedang beromen-romen di taman bunga, kita berlapang dada mungkin mereka ini pasangan suami isteri yang berkahwin awal (sebab zaman ni memang ramai orang yang kahwin awal). Pada masa yang sama, pergilah bertanya kepada mereka sama ada mereka benar-benar pasangan suami isteri yang sah. Jika tidak, maka tegur dan nasihati mereka. Jika ya, katakan kepada mereka, "Ini bukan bilik tidur rumah anda tahu?" Eheh. 

Hal ini sewajarnya dipraktikkan juga apabila ia melibatkan ikhwah dan akhawat. 

Maksud anda apabila ikhwah berdating dengan akhawat ke Inche gabbana?

Tersembur. Hoi!

Kesembilan, selalu bertemu janji chenta dengan Allah.  

Sebagai orang yang memikul tugas dan beban dakwah, tiada bekalan yang lebih diperlukan melainkan bekalan ruh yang mengisi jiwa. Jiwa yang sering dipukul dan dibelasah oleh mehnah dan tribulasi di jalan dakwah ini, memerlukan suatu kekuatan yang luar biasa untuk terus kekal kuat dan tsabat.

Kita mungkin penat setelah seharian bekerja dan berdakwah. Kita mungkin tak larat kerana sering pulang lewat malam. Kita mungkin rasa mahu tidur sahaja lama-lama dek tenaga yang sudah habis disedut keluar.

Tetapi yakinlah, bangun malam untuk bertahajjud dan bermunajat kepadaNya itulah yang akan memberikan kita kerbau merah (Baca: Red bull) yang akan mengembalikan tenaga dan hamasah kita. Membaca quran dan berzikrullah di waktu-waktu yang hening, tatkala embun pagi baharu muncul dan ayam jantan masih enak bermimpi, itu lebih menguatkan hati.


"Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil, (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit daripada itu. Atau lebi dari (seperdua) itu, dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacca di waktu itu) lebih berkesan."
[al-Muzammil, 73:1-6]

Perbanyakkan juga berdoa kepadaNya. Muhasabah untuk saya sendiri, kadangkala itu terlalu gopoh mahu bangki usai solat, sehingga berdoa pon ala kadar sahaja. Aduhai. Sedangkan doa itu adalah penghulu segala ibadah dan senjata bagi orang mu'min.

Berdoalah agar hati kita ditetapkan di atas jalan dakwah ini. Berdoalah agar dilembuatkan hati-hati mad'u kita agar lebih mudah untuk mereka menerima dakwah ini. Berdoalah agar Allah kurniakan kita dengan kekuatan yang luar biasa untuk menempuhi segala macam ombak dan badai yang datang menyerang. 

Mengadulah kepadaNya. Bercurhatlah denganNya. Meskipon jalan penyelesaiannya tidak gedebap jatuh ke atas riba ketika itu juga, percayalah, anda akan berasa lebih ringan, lebih tenang, selepas anda meluahkan segala-galanya kepadaNya. Bukankah Dia yang memegang hati-hati kita? Senyum. 

Dan kesepuluh, istiqamah yang memutihkan rambut.

Sekiranya istiqamah itu mudah, sudah tentulah rambut Rasulullah SAW tidak beruban kerananya. Gulp.

Untuk istiqamah, ia memerlukan hampir semua nasihat di atas ini; terutamanya niat yang betul, mujahadah dan sabar. Ha, susah kan?

Namun, sekiranya kita berjaya untuk istiqamah di atas jalan yang sumpah panjang Kak Jah oii! Err. Sekiranya kita berjaya untuk istiqamah, nikmatnya tidak mungkin dibeli, mustahil ditukar ganti.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka beristiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) sorga yang telah dijanjikan kepadamu.'"
[Fussilat, 41:30] 

Pergh malaikat sendiri turun nak sampaikan berita gembira tuuu!

Jalan ini memang payah. Jalan ini sememangnya susah. Jalan ini bukan sahaja dipenuhi oleh duri dan kaca, paku dan paku payung, wahahaha, tapi ia juga dipenuhi dengan pelbagai jenis raksasa, jembalang dan hantu yang sentiasa mencari jalan untuk mengganggu dan mengacau kita.

Jalan ini panjang, susah dan memeritkan. Tetapi ia juga jalan yang menghidupkan! Senyum. [Kredit]

Tidak hairanlah, ramai ikhwah dan akhawat yang gugur di tengah jalan, tidak sempat menghabiskan perjalanan ini. Ramai dalam kalangan kita yang kecundang, yang tidak sanggup lagi untuk mengembara dengan gerabak ini. Ramai yang datang dengan pelbagai alasan dan melontarkan pelbagai hujahan untuk menyedapkan hati dan menjustifikasikan diri agar tidak perlu lagi menelusuri jalan ini.

Kerana itulah, untuk istiqamah di jalan ini memerlukan azam dan tekad yang luar biasa sifatnya. Untuk terus konsisten dan tabah menapak dan menyonsong jalan perjuangan ini, ia bukan sahaja memerlukan tenaga dan semangat yang maha hebatnya, tetapi juga motivasi dan dorongan yang dahsyat dan luar daripada dunia ini. 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]


Teruskan perjalanan. Bangkit semula jika tersadung. Bangun semula andai terjatuh. Teruskan melangkah.

Kerana ketahuilah, Allah bersama-sama kita dalam perjalanan ini. Dan ketahuilah, yang menanti kita di hujung sana, adalah sorga. Ya, sorga.

Tarik nafas.

Cukuplah sepuluh nasihat atau perkongsian marhaen daripada saya. Terlebih cakap, menjadi amanah yang cukup besar pula untuk saya untuk melaksanakannya terlebih dahulu. Yang sepuluh ini pon sudah cukup memeluhkan. 

Moga menjadi peringatan yang berguna buat anda semua. Moga menjadi secangkir kopi manis yang panas lagi menyegarkan di saat-saat anda sudah mula layu dan lesu, kepenatan untuk meneruskan perjalanan. Dan moga menjadi tazkirah untuk kita semua, untuk terus kuat dan teguh, menjadi pejuang yang hanya ada dua pengkakhiran untuknya; mati syahid atau hidup mulia.

Moga anda semua menjadi saksi bahawa saya telah pon menyampaikan.

Ya, dari saya, dengan chenta. Senyum.

-gabbana- 

Mula-mula nak kongsi lima nasihat je, lepas tu jadi tujuh, lepas tu lapan, lepas tu sepuluh. Adoyai. 

Moga tidak bosan membacanya. Sila baca dan sebarkan, agar menjadi saham-saham sorga yang beribu-ribu lemon banyaknya untuk saya! 

Moga Allah redha!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP