15 January 2014

Saya Tidak Pernah Jumpa Seorang Manusia Seperti Anda!

[Kredit]

Saya menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana mahu berdakwah kepada keluarga, rakan-rakan dan mereka yang tersayang. Selalunya pertanyaan-pertanyaan sebegini datangnya daripada mereka yang baharu berhijrah, baru berkenalan mesra dengan tarbiyah dan dakwah atau mereka yang keluarganya bukanlah keluarga yang berlatarbelakangkan agama. 

Dalam artikel 'Kerana Mulut Badan Binasa' sebelum ini, saya ada menulis tentang sangkaan-sangkaan dan telahan kita yang terlalu ganas dan liar sehinggakan tidak terkeluar ajakan kepada Allah dari mulut kita. Bagaimana sangkaan dan tanggapan kita itu telah menjadi penghalang besar kepada dakwah kita terutamanya kepada mereka yang terdekat.

Namun maklum balas yang saya terima daripada post itu, rupa-rupanya ada juga beberapa situasi di mana cobaan-cobaan mengajak sebelum ini menemui kegagalan dek maklum balas yang tidak memberansangkan daripada keluarga dan rakan-rakan. Sudah disampaikan. Sudah dimaklumkan. Namun ada penolakan. Ada maklumbalas yang membawahkan dan mematikan semangat. 

Tarik nafas.

Jujurnya untuk saya sendiri, mengajak keluarga dan rakan-rakan yang rapat adalah jauh lebih sukar daripada hadek-hadek riang gembira atau sesiapa sahaja yang tidak dikenali sebelum ini di luar sana. Sukar kerana pelbagai persepsi yang bermain di kepala kita. Sukar kerana kita amat takut untuk mengguris hati dan perasaan orang yang kita kasihi. Sukar kerana kita benar-benar tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. 

Benar bukan?

Khas untuk anda yang mahu berdakwah kepada ibu bapa, saya pernah menulis artikel 'Parti Politik Mak Bapak' di mana saya kongsikan beberapa tips dan panduan bagaimana kita boleh menyantuni ibu dan ayah kita dengan kaedah-kaedah yang asas dan cukup mudah. Diharapkan penulisan ini sedikit sebanyak telah menjawab kekusutan di kepala dan kegatalan di hidung, bagaimana agaknya kita yang masih baru bertatih di jalan tarbiyah dan dakwah ini, mahu melembutkan hati mak dan ayah kita. 

Tetapi bagaimana dengan Cik Kakak Sulung, Inche Abang Tengah, Cik Adik Perempuan, jiran sebelah rumah, kupu-kupu sebelah mak, rakan baik sejak sekolah rendah, rakan sebilik dan sebagainya? Bagaimana kita mahu menyampaikan Syahadatul Haq kepada mereka ini di dalam keadaan kita benar-benar tidak tahu bagaimana mahu memulakannya? 

Garu kepala. Hah, bagaimana Inche gabbana...? Jangan tanya kami soalan retorik kemudian lari-lari laju menyelamatkan diri. Itu tidak bertanggungjawab namanya!

Ops. Baru ingat nak lari. Hihihi.

Untuk persoalan sebegini, hanya satu nasihat sahaja yang boleh saya berikan. Dan satu perkataan.

Akhlak. 

Ya, akhlak. Berdakwah menerusi akhlak yang baik lagi berbudi pekerti ala-ala menundukkan badan ketika lalu di hadapan orang tua. Senyum.

Benar, akhlak yang baik bukanlah senjata yang utama dalam berdakwah. Maknanya, dengan akhlak sahaja tidak mungkin mencukupi untuk berdakwah. Jika dengan akhlak sahaja sudah cukup baik untuk melaksanakan Syahadatul Haq, maka tidak perlulah ar-Rasul yang digelar al-Amin oleh kaumnya sendiri itu bersusah-payah ke sana ke mari, sehingga dibaling dengan najis dan usus unta, dipulaukan, diseksa dan bermacam jenis mehnah dan tribulasi, tidak perlu dia melalui semuanya itu; cukuplah baginda sekadar mendendangkan bacaan al-Quran dengan penuh merdu dan syahdu di hadapan Kaabah dan tunggu sahajalah manusia berbondong-bondong memeluk Islam.

Namun bukan itu yang berlaku bukan? 

Rasulullah dan para sahabat masih tetap perlu bersusah-payah, berkorban, berperang, berdarah, menginfaqkan harta dan sebagainya bagi memastikan perjuangan dakwah ini terlaksana. Mereka masih perlu untuk bangun malam bagi menguatkan diri dan bekerja di siang hari bagi memenuhi fitrah insani. Semuanya itu masih perlu dilakukan, bersungguh-sungguh tanpa kenal erti penat dan lelah, kerana itulah formula bagi kejayaan sebuah dakwah.

Nah, di mana letaknya akhlak?

Akhlak adalah pelengkap, senjata ampuh yang menguatkan lagi perjuangan kita di atas jalan dakwah ini. Seorang dai'e, tidak boleh tidak, mesti mempunya akhlak yang mantap dan baik bagi memastikan mesej dakwah yang dibawanya benar-benar terkesan di hati. Seorang dai'e tanpa akhlak yang terpuji tidak mungkin dapat memenangi hati madu'nya.

Bayangkan, seorang dai'e yang hobinya mengorek hidung, atau bercakap dengan suara yang kuat, atau seorang pelahap ketika makan, atau suka bergosip ala Melodi, atau pengotor, atau punya badan yang berbau, atau suka memotong cakap orang lain, atau berkuku kaki panjang seperti jembalang, atau kedekut, adakah dia akan ditsiqahi oleh subjek dakwahnya...? 

"Sesungguhnya aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak."

[Hadith Riwayat Ahmad]

Nah, jika itulah misi dakwah Nabi SAW di muka bumi ini, kita pasti dapat bayangkan dan gambarkan peri pentingnya nilai akhlak pada seorang dai'e itu. Wahai!

Maka kembali kepada persoalan kita di awalan tadi; bagaimana mahu berdakwah kepada orang-orang yang tersayang apabila kita takut untuk melukakan hati mereka dan tidak tahu pula bagaimana mahu memulakannya?

Sekiranya kita benar-benar tidak mampu untuk jujur kepada mereka, tidak cukup kuat untuk menghulurkan tangan dan membimbing mereka dan tidak cukup yakin untuk menegur dan menasihati mereka, paling koman dan paling minumum yang perlu kita ada adalah akhlak yang baik, yang ditonjolkan melalui kehidupan kita sehari-hari.

Kita hidup dengan akhlak yang mulia. Makan akhlak, tidur akhlak dan mandi akhlak. Eheh. 

Pastikan akhlak yang kita tonjolkan di hadapan Inche Papa dan Puan Mama kita, di hadapan Inche Adik Lelaki kita, di hadapan Bibik Sapeah kita, di hadapan besfren main Zero Point kita, di hadapan rakan sebilik kita, di hadapan mak cik saudara sebelah ayah angkat sepupu tiri adik biras ayah kita, adalah akhlak yang menggambarkan tarbiyah yang kita lalui.

Tarbiyah yang mengubah kita itu. Tarbiyah yang menjadikan kita lebih baik daripada yang sebelumnya. Tarbiyah yang pernah menggugah jiwa dan ruh kita. 

Kerana kita juga mahu berkongsikan keindahan bersama gerabak tarbiyah dan dakwah ini bersama mereka bukan? Kita juga mahu mereka merasakan kelazatan rasa dekatnya dengan Tuhan bukan? Kita juga mahu hidung mereka kembang-kempis, penuh semangat bersama-sama kita di atas jalan perjuangan ini bukan? 

Sehingga mereka terkesan melihat perubahan yang berlaku pada diri kita. Sehingga mereka berasa hairan melihat kita yang dahulu seorang yang pemalas dan pemarah, kini berubah menjadi seorang anak yang membantu si ibu membasuh baju tanpa disuruh dan sabar apabila diusik dan diejek si adik. Sehingga mereka benar-benar ingin tahu apakah yang menyebabkan kita dahulu yang tidak rapat dengan ahli-ahli keluarga kini boleh bergelak tawa dengan abang dan kakak dan sukarela pula membantu si adik menyiapkan kerja sekolahnya. 

Adakah kita menyantuni keluarga kita sama seperti kita menyantuni hadek-hadek kita...? Gulp. [Kredit]

Ini tidak. Sudah lama ikut tarbiyah, tetapi perangai masih sama seperti jin tanah. 

Pagi-pagi bangun lewat air liur basi penuh di pipi. 

Apabila Puan Mama meminta bantuan untuk membuang sampah, bermacam alasan dan hujah yang kita berikan. 

Ketika si adik meminta bantuan untuk mengajarnya Matematik atau Fizik, kita pandangnya seperti dia mahu cari gaduh dengan kita.

Tatkala si rakan baik tersilap bicara atau bergurau kasar dengan kita, kita marah-marah dan kulit kita hampir-hampir mahu bertukar warna.

Apabila rakan sebilik pulang dari kuliah, dia lihat kita terbaring rebah dengan baju dan seluar dalam bersepah.

Aduhai, bagaimana mereka mahu terkesan dengan risalah yang kita bawa? Bagaimana mereka mahu rasa cemburu dan teruja dengan tarbiyah yang kita sering laungkan dan canangkan itu...??

Potong bawang merah laju-laju.

Ada satu kisah yang sangat menarik yang boleh saya kaitkan dengan akhlak yang baik sebagai senjata berdakwah. Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Nouman Ali Khan (Ya, saya juga mendengar ceramahnya di TiubAnda sekali-sekala!). 

Ada seorang lelaki, yang sejarah silamnya cukup gelap dan hitam. Meskipon dia seorang Muslim, namun dia tidak pernah mempraktikkan keIslamannya. Kehidupannya tidak ada jauh bezanya dengan mereka yang bukan Islam, apatah lagi lelaki itu tinggal di Amerika, sebuah negara yang sememangnya cukup terkenal dengan gaya hidup bebas dan hedonisme.

Namun selepas berkahwin, dia tergerak untuk mencari dirinya semula. Dia mula mendalami agama dan mula merasakan kelazatan beramal dengannya. Dia mula bersolat dan mengunjungi masjid. Dia mula meninggalkan tabiat meminum arak dan membuang semua tin-tin berisi kencing syaitonirojim yang ada di rumahnya. Dia mula berubah. Dan dia mahu istiqamah dalam perubahannya itu.

Cuma dia punya satu masalah; isterinya. Isterinya adalah seorang Kristian dan seperti dirinya yang dahulu, seorang Kristian yang tidak berpegang teguh dengan ajaran agamanya. Si suami buntu bagaimana mahu mengajak isterinya kepada Islam. Sebelum ini, si suami sering berdebat dengan si isteri, melontarkan hujah bagaimana agama Krsitian adalah agama yang salah, Islam adalah satu-satunya jalan yang benar dan sebagainya. Namun si isteri sering bersikap reaktif dengan penghujahan suaminya, mempertahankan agamanya meski dia bukanlah seorang penganut Kristian yang tegar. 

Lantas si suami mendapatkan nasihat daripada seorang Syaikh. Si Syaikh memberikan nasihat yang cukup mudah. Teruskan beramal dengan Islam, jadi seorang suami dan ayah dan baik, dan layanlah si isteri dengan sebaik-baik layanan.

Kata Ustaz Nouman Ali Khan, dia tidak kenal siapa Syaikh itu namun dia amat berterima kasih kepada nasihat dan bimbingan yang diberikannya.

Arakian si suami pon menuruti nasihat yang diberikan oleh Syaikh itu. Pada suatu hari, ketika sedang menunaikan solat Maghrib di rumah, si suami sedar yang si isteri menyertainya untuk solat. Usai solat, si suami yang sudah tentunya gembira dan tidak percaya dengan apa yang berlaku, bertanyakan kepada si isteri apa yang menyebabkan si isteri mengikutinya bersolat.

Anda tahu apa jawapan si isteri? Untuk kaum perempuan, saya nasihatkan anda sediakan helaian tisu yang mencukupi. Dwi-lapis tahu?

Jeng jeng jeng.  

Kurang lebihnya begini:

"Saya tidak pernah jumpa seorang suami seperti anda. Cara anda melayan anak-anak kita... Ayah saya dahulu tidak begitu. Mana-mana agama yang menjadikan anda sebegini, agama itu tidak mungkin salah."

Ok sila sila, sila nanges dulu. 

Sudah...?

Baiklah.

Ketahuilah, pada kesabaran kita menyantuni keluarga dan rakan-rakan kita yang masih belum disentuh hidayah itu, ada hikmah yang cukup besar dan tidak ternilai harganya. Pada kesungguhan kita berakhlak dengan akhlak Islami yang mantap dan mata bersinar-sinar itu, pasti akan ada hati yang tersentuh denganNya. Dan pada keteguhan kita terus berpegang pada fikrah perjuangan ini tanpa mengenal erti putus-asa, yakinlah, Allah tidak akan mengecewakan kita. 

Dalam ketidakmampuan kita berdakwah pada keluarga kita sendiri, teruskan usaha-usaha menyentuh hati-hati di luar sana, kerana InshaAllah, Allah akan ketemukan kita dengan jalan agar terbuka pintu-pintu hati keluarga kita. Dalam kekusutan dan kelemahan kita untuk menyampaikan Syahadatul Haq kepada rakan-rakan chenta hati kita, teruskan dengan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita. Semoga dengan istiqamahnya kita berjuang di jalan Allah ini, Allah akan menghantar Makcik Hidayah melanggar bahu dan menampar mereka. 

Dan iya, berakhlaklah dengan akhlak yang paling baik. Buktikan bahawa tarbiyah yang cukup berkuasa untuk mengubah dunia itu, mampu untuk mengubah diri kita terlebih dahulu. Pamerkan kepada ahli-ahli keluarga dan mereka yang tersayang betapa tarbiyah telah menjadikan kita cukup osem dan bergaya, tidak lagi sama seperti zaman-zaman jeans koyak-rabak dan rambut terbang macam pontianak. Dan tunjukkan kepada sekalian manusia di luar sana, jalan yang kita pilih ini adalah jalan ke sorga, agar mereka juga yakin untuk bersama kita. 

Percayalah, sang ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat si anak yang dikandung sembilan bulan itu berubah menjadi seorang manusia yang baik budi pekertinya, yang cantik akhlaknya dan yang sekali-sekala memasakkan ayam masak mereka untuk sang ibu. Eh.

Percayalah, sang ayah mana yang tidak terkesan apabila melihat anaknya taat menunaikan solat berjemaah dan tidak pernah mengenal lelah, sentiasa mengajak si ayah untuk ke masjid bersama-sama dengannya, dengan senyuman yang manis dan menyejukkan.

Percayalah, sahabat mana yang tidak berair matanya apabila melihat sahabatnya sentiasa mendoakan kebahagian dan kesejahteraan dirinya, sentiasa melayan karenahnya dengan sabar dan bahu si sahabat sentiasa tersedia untuk dipinjam apabila dirinya amat memerlukannya. 

Percayalah, kerana pada akhlak yang baik itu terkandung seribu satu hikmah yang tidak tercerna dek akal manusia biasa.

Moga-moga ada yang tersentuh dengan matinul khuluq kita, inshaAllah. Senyum. [Kredit]

Kerana akhlak yang baik itu juga sebenarnya suatu kesaksian kita ke atas kebenaran. Ya, akhlak yang mulia lagi terpuji itu merupakan syahadatul haq kita. Semoga akhlak kita menjadi saksi betapa kita telah menyampaikan risalah yang agung ini, bukan fitnah kepada perjuangan yang kita bawa. Semoga akhlak kita ini benar-benar merupakan manisfestasi kepada dakwah yang kita warisi dari Nabi SAW dan tanda kechentaan kita kepadanya.

"Sesungguhnya orang yang paling aku chentai di antara kalian dan yang paling dekat kedudukannya dengan aku di hari kiamat kelak, adalah orang yang paling baik akhlaknya."
[Hadith Riwayat Tirmidzi]

Dan semoga suatu hari nanti, ada orang yang tersentuh dengan akhlak yang kita pamerkan, sehingga berkata:

"Saya tidak pernah jumpa seorang manusia seperti anda. Mana-mana tarbiyah yang membentuk anda sehingga jadi sebegini rupa, tarbiyah itu tidak mungkin salah!"

-gabbana-  

Sebagai disklemer, sekali lagi ingin saya tegaskan, akhlak sahaja tidak mencukupi untuk melaksanakan Syahadatul Haq. Sebetulnya ia mesti diiiringi dengan percakapan dan perbuatan yang bersungguh-sungguh, menyeru manusia kembali tunduk dan taat kepada Allah.

Besar harapan saya, post ini akan menaikkan lagi semangat anda di luar sana untuk mentarbiyah dan berdakwah. Semoga Allah memandu kalian, terus istiqamah dan kuat di atas jalan ini.

Senyum. 

10 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 15/01/2014, 21:35  

Yes, I agree. Akhlaq saja memang tak cukup untuk kita mengajak orang balik pada Tuhan. But there's a small problem. I am an introvert who didn't really know how to be a 'normal' friend like everyone else. As a typical introvert, it's very hard for me to let anyone goes in my 'personal space'. Any thoughts/nasihat IG...? Please. I need them.

Anonymous 15/01/2014, 22:33  

agakla, saya pun introvert, susah nak ngam ngan family sebab lbh suka mendiamkan diri, cane tu?

Anonymous 15/01/2014, 22:51  

selepas 4 tahun, baru berjaya meletakkan diri secara total dalam keluarga yang biasa biasa dan boleh membuatkan diri tenang dan senang..dalam tempoh tu, memang diakui bukan mudah. terluka, terhiris, dikata, diperli. jika hati tak kuat, rasanya dah lama diri menjadi yang lama. namun Alhamdulilllah..janji Allah itu benar. sabar itu indah. tahun lepas, Puan Kakak bagi percuma 11 helai tudung bidang 60. senyum tak perlu kata apa-apa. dulu rasa susah nak beli koleksi tudung labuh, now tak minta pun Allah sudah permudahkan. tiap hari Khamis, selalu je kirim stokin tebal pada Puan Mama. Encik Abang dulunya yang suka memerli tiap kali pakai stokin, sekarang takda dah nak cakap apa-apa. agaknya dah bosan melukakan hati adiknya yang 'degil'. dia pula yang selalu kritik penampilan insan-insan yang tak cukup kain dalam nada sarkastik di status facebook. Encik Ayah yang memang tak suka anak-anaknya pakai baju ketat dan sendat, tak cakap apa-apa pun bila the only one among his daughters is uniquely different. and yes, all the family members accepted I am as who I am now. glad and thankful. :')

kawan-kawan? normal lah. sebab dah biasa, rapat dan bergurau-senda..maka 'gurau-senda' tu buat pekak je lah. one reunion night, during bbq time, a man friend said, "nak cari isteri mestilah yang baik-baik kan. yang tutup aurat." dia cakap sebab dalam ramai-ramai kawan sekolah rendah masa tu, I'm the only one 'ustazah'..not really ustazah, but jadi pelik sebab saya seorang yang berstokin di malam hari! to be honest, dia juga yang memerli saya setahun sebelum..tapi saya 'diterima' sebagai saya pada hari ini. plus, 'dihormati'.. =)

sabar. sabar. sabar. sabar itu indah. yes, true indeed! walau selama mana pun diri tidak diterima, dihina, dikeji atau negative thoughts always come to mind.. percayalah one fine day semua itu akan berakhir dan berbalas akhirnya. as long as we bring our faith together. Al-Quran ayat-ayat chenta-Nya yang paling damai untuk qalbu..

memang saya tak berani nak cakap direct pada family dan kawan-kawan untuk berubah..tapi dengan pakaian di tubuh dan doa, saya berharap insan-insan yang disayangi berubah..sebab dalam usrah, naqibah selalu mengingatkan diri tentang anak-anak tangga yang perlu didaki. jika di dunia ingin bahagia bersama, pasti di syurga kelak juga ingin bersama. kan? dalam family, kadang saya menjadi rujukan even ilmu taklah tinggi mana tapi dengan tu membuatkan saya HARUS menambah ilmu agama dan pengetahuan am tentang apa yang berlaku dalam dunia sekarang. dari situ, I can teach them something. something.

yang terakhir. benar, akhlak dan peribadi memainkan peranan besar jika lisan tidak mampu mengungkapkan seperti mana kita berbicara hati-ke-hati dengan insan yang tidak dikenali. kita tak boleh nak mereka berubah dalam masa yang sekejap sebab kadang bagi kita insan biasa ini, masa mengubati dan mengubah segalanya. moga kita semua berjaya capai solehah, gapai mardhatillah dan husnul khatimah..wallahua'lam.

Anonymous 16/01/2014, 00:51  

Reading through with oodles of tears :')
Syukran!

Anonymous 16/01/2014, 12:57  

bole share link talk nouman ali khan seperti yg ada diceritakan di atas? jzkk

Anonymous 17/01/2014, 02:19  

Hey Encik Gabbana!!!!!!!!!!!11111 Do you eat kangkung LOL!!!!!!!!!!!!!!11111

Sirrul Asrar 13/02/2014, 12:16  

Antara artikel IG yg paling best dan saya sering ulang baca

_nuratikaajiz 07/07/2014, 13:10  

terima kasih .

Anonymous 14/09/2014, 10:14  

tq..tp mcm ne ek nk ckp.. sye sendiri tawu akhlak tu emang memainkn perann sgt penting.. even, prnh ad kawn tnye, i told her the same thing..
tp, emang amat2 susa bg sye nk ubah akhlak sye..tawu,nijust alasn.. tp x tawu nk mule mcm ne tok ubah akhlak tu.. membesrpn dlm keluarge yg biase..n x tawu nk ckp cmne, tp kwn sye sendiri ckp sye kurang kasih syg.. huhu.. keras..
sbnrnye, xd la `kurang`,mcm biase je..tp laen.. x tawu cmne nk explain.. tp emang nk btol tgk family n org terdekt hijrah kpd lbey baek.. tp, xdla sebelom terok beno..
mcm ne ek nk ubah akhlak kite tu? n sbb keadaan sekeliling mcmmmbuat kite nk terikut cara biase dorang, sbb kite sendiri mcm tu dulu.. sye mengaku sye x kuat...
n sye rse, sbb utama x reti nk tunjuk kasih syg tu.. kekadang terpk mcm tu, mcm ni.. tp x tawu nk bertindak.. amt kekok..
how???=/
please respon.. walaupn tjok ni da lme dipost.. tq =)

Anonymous 21/03/2016, 16:29  

terkesan sungguh di hati bila baca artikel ni dah hampir 2 tahun di tarbiyah tapi masih belum mampu mentarbiyah keluarga dan yang utama sekali suami. Tapi ada lah nampak siki perubahan pada dia dan yes susah sangat nak istiqamah pada mulanya. dan bila kita sedar perkahwinan sebenarnya mengajak keluarga ke jalan di redhai Allah amat sukar di saat encik suami masih dalam dunia nya dan masih tak faham apa tanggungjawabnya. Sedih, pedihnya hati hanya Allah yang tahu tapi hanya mampu bersabar dan mohon kekuatan pada Allah....

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP