Showing posts with label Laughter the BEST medicine. Show all posts
Showing posts with label Laughter the BEST medicine. Show all posts

26 June 2015

Fakta Haibat Lagi Ajaib Tentang Ramadhan

[Kredit]

Satu benda bila nak tulis pasal Ramadhan ni, tidak boleh tidak, ia akan jadi sedikit klise. Sebab apa? Sebab dah ramai yang bercakap dan menulis tentang Ramadhan. Jadi agak sukar jugalah kalau mahu menulis sesuatu yang niche dan unik, yang betul-betul luar dari kotak.

Tapi tidak mengapa, bagi saya can untuk mencoret juga sesuatu tentang Ramadhan. Sekurang-kurangnya lebih baik lah kan daripada saya tulis sesuatu yang mengarut dan merepek di bulan yang mulia ni. Eheh. 

Baiklah. 

Seperti yang sudah kita tahu dan selalu dengar dalam kuliah-kuliah mahupon ceramah agama, bulan Ramadhan ini tersangatlah istimewa. Bayangkanlah, dalam dua belas bulan Qamari yang ada, Allah secara spesifik pilih Ramadhan untuk seru orang-orang beriman agar jadi bertaqwa.

Nampak tak permainannya di situ? 

Maknanya, dalam bulan Ramadhan tu, Allah dah sediakan macam-macam sarana dan kemudahan untuk bantu kita jadi orang yang bertaqwa. Dan sejahat-jahat kita macam mana pon, sama ada kita sedar atau tidak, secara otomatiknya kita 'dipaksa' untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Ha, inilah dahsyatnya Ramadhan. Inilah yang haibat dan mahsyuknya Ramadhan!

Jadi hari ini saya nak berkongsi dengan anda, fakta-fakta sahih lagi tepat tentang keistimewaan Ramadhan, yang tidak ada dan tidak boleh didapati di dalam bulan-bulan yang lainnya. 

Anda sudah bersedia? Marilah!
 

(Kali ini tak boleh nak makan popkon perisa karamel dan minum jus oren segar macam biasa)

Fakta 1
Sekiranya sebelum ini punyalah susah untuk kita tahu waktu solat, setiap kali nak kena tengok surat khabar atau perisian di telefon pintar kita, Ramadhan menjadikan kita begitu cekap dan tajam dalam mengetahui waktu solat. Espeseli waktu masuknya solat Maghrib bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Eh.

Kan kan kan?

Macam kenal je, macam kenal je.
Fakta 2
Kita yang selama ni punyalah liat nak tunaikan solat sehari lima kali itu, solat-solat sunat toksah cakaplah, tiba-tiba rajin dan bersemangat untuk ke mesejid setiap malam untuk tunaikan solat Isyak berjemaah dan terawih paling koman lapan rakaat. Walaupon moreh mungkin menjadi faktor penggalak utama, tapi fakta ini masih tetap mengagumkan.

Ajaib bukan? 

Fakta 3
Ada dalam kalangan kita yang kaki makan. Bukan setakat kaki, tapi tangan, buku lali, peha, biseps, semua semua lah! Masa sarapan pagi, dah cerita pasal makan malam. Masa makan malam, dok rancak bercerita pulak hujung minggu tu nak makan di mana. Kiranya kita dan makanan ibarat kontroversi dan 1MDB. Eh eh. 

Tapi bila Ramadhan menjelma, kita boleh lupakan semua tu. Kita boleh menahan lapar dan dahaga untuk tempoh yang cukup panjang lamanya. Tak rasa haibat ke tu? 

Ok tolong jangan rosakkan poin saya ni dengan membawa isu bazar Ramadhan dan moreh ke sini. Tolong. 

Fakta 4
Yang ini lebih ajaib. Para perokok tegar yang sebelum masuknya bulan Ramadhan punyalah susah nak berpisah dengan rokok, setiap setengah jam berasap mulut, setiap setengah jam mesti nak pekena sebatang, tiba-tiba masuk bulan Ramadhan boleh pulak bertahan. Bukan calang-calang punya bertahan, tapi doblas jam! Peh. 

Persoalannya sekarang, kenapa tak berhenti merokok je terus? Boleh je kan? Wahai!

Fakta 5
Buat pertama kalinya dalam hidup kita. kita bertegur-sapa dengan jira selang tiga rumah kita. Sebab apa? Terima kasih kepada Ramadhan yang menjadikan kita bermurah hati untuk bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga kita. Tak kisahlah kita hanya bagi onde-onde atau cekodok barang seketul dua tapi jiran kita balas dengan ayam masak ros atau kambing kuzi. Yang penting niat kita untuk menjalinkan silaturrahim dengan jiran tetangga kita.

Manalah tahu rupa-rupanya Makcik Zabedah jiran kita tu masih ada anak dara yang belum berpunya? Wahahaha. Eh. 

Fakta 6
Bulan Ramadhan juga menjadikan kita secara otomatiknya kurang bercakap. Niat asalnya kerana malu bau mulut yang harum semerbak. Err.

Tapi pada masa yang sama, kita juga telah berjaya mengurangkan daripada bercakap perkara-perkara yang tidak senonoh dan tidak berfaedah. Maka berkurang jugalah dosa-dosa kering kita dek banyak mengumpat dan mengadu-domba sini dan sana. Wah!


Yang berpuasa bukan perut sahaja, tapi anggota-anggota yang lain juga! Tahu?

Fakta 7
Hebat tak hebatnya Ramadhan ni, kita yang pakar buat tahi mata, yang hanya mampu bangun malam bila ada perlawanan bola pasukan bola sepak peberet kita, itu pon sekali-sekala, tiba-tiba boleh bangun malam. Setiap hari pulak tu! 

Betapa kasihnya Allah kepada kita, Dia 'paksa' kita untuk bangun agar mendapat keberkatan dari waktu sahur. Subhanallah! Dan kita memang sanggup bangun; kalau tak, bergendang dan berqasidah la perut kita sembari pagi!

Alang-alang dah bangun awal tu bang, jangan lupa solat sunat dua rakaat ya? Senyum.

Fakta 8
Ha yang ini memang lejen. Juga bukti betapa Ramadhan menjadikan kita orang yang bertaqwa.

Tiada siapa yang akan berbuka puasa selagi tidak berkumandang azan Maghrib kan? Hatta seminit, sepuluh saat, tiga saat pon, tiada siapa yang akan berbuka awal. Sebab apa? Sia-sialah kita dah menahan lapar dan dahaga seharian lamanya jika kita berbuka awal. Dikira batal puasa kita! Adeh.

Oleh sebab itu, kita sanggup bertahan, meskipon ayam percik Mak Jah dan gulai lemak ikan tenggiri sudah terhidang di depan mata. Belum lagi dikira cendol bakar dan pulut mangga yang siap untuk dijamah. 

Hei anda, sejak bila anda jadi begitu tabah dan penyabar sebegitu rupa?
Beginilah perasaannya bila tersalah tengok waktu berbuka. Kekeke.
Fakta 9 
Di bulan-bulan yang lain, kita dan Quran ibaratnya seorang Bangla yang baru sampai Malaysia. Maksudnya, terasing. Sangat asing. Err boleh ke macam tu?\

Tapi tatkala Ramadhan ketuk pintu bagi salam nak masuk, entah macam mana, entah dari mana datang semangatnya, kita dengan Quran ibaratnya macam sepasang kekasih yang sudah berjanji untuk hidup semati. Ke mana-mana sahaja kita akan bawa mushaf atau muat naik aplikasi Quran ke dalam telefon pintar kita. Ada masa kosong, kita baca. Ada masa lapang, kita baca.

MashaAllah. Rasa nak nanges kan dengan fakta ni? 

Fakta 10
Keajaiban Ramadhan yang paling utama adalah bagaimana tanpa sedar atau pon tidak, ia sedang mentarbiyah kita untuk menjadi orang yang lebih bertaqwa. Solat Subuh berjemaah di mesejid. Tilawah Quran yang menderu-deru. Zikir dan istighfar yang sentiasa basah di bibir. Makan dan tidur yang lebih sedikit berbanding biasa. Doa yang tidak putus-putus. Sabar yang dipaksa. Iktikaf yang dilazimi. Kuliah-kuliah agama yang dihadiri. Bersungguh-sungguh memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar.

Semuanya ini sebenarnya adalah batu-batu pengasah untuk menjadikan taqwa kita tajam semula, selepas 11 bulan sebelumnya yang menumpulkan dek kelalaian dan kealpaan kita. Allahu.

Nah, begitulah sepuluh fakta yang haibat lagi ajaib tentang Ramadhan.

Kerana itulah, Ramadhan ini bukan calang-calang bulan. Ia adalah bulan untuk orang-orang yang beriman yang mahu mengejar taqwa. 

Laallakum tattaqun. Mudah-mudahan kamu bertaqwa. 

Sama ada kita berjaya merangkul taqwa atau tidak, ia benar-benar terletak di tangan kita. Kitalah yang menentukannya, sama ada taqwa itu milik kita atau pon tidak.

Yang benar-benar menjadikan Ramadhan itu sebuah bulan yang haibat dan ajaib, bukanlah bulan Ramadhan itu sendiri. Tapi yang menjadikan ia benar-benar dahsyat dan istimewa, adalah kerana manusia-manusia luar biasa yang menghidupkannya.

Moga kitalah manusia-manusia yang terpilih itu!

Mudah-mudahan! 

-gabbana- 

Sedar tak sedar, kita sudah pon menghampir penghujung sepertiga Ramadhan. Aduhai nak nanges pon ada.

Kepada kita yang masih tidak sedar diri bahawa Ramadhan sudah berjalan meninggalkan kita, bangkitlah dari lena. Mulakan beramal agar Ramadhan tidak pergi dengan sia-sia.

Kepada kita yang sudah konsisten beramal, alhamdulillah. Sudah tiba masanya untuk naikkan gear.

Dan kepada kita yang benar-benar memaknai erti imanan wahtisaban, ketahuilah,  yang memasukkan kita ke dalam sorga adalah rahmat dan kasih-sayangNya dan bukannya amalan-amalan kita! 

Allahumma barikla fii shahri Ramadhan, wa ballighna lailatul qadr! 
 

9 July 2014

Abam, Korek Hidung Batal Puasa Tak?

[Kredit]

Ehem.

Hari ini sudah masuk sebelas Ramadhan. Bermakna, kita sudah memasuki fasa kedua dalam bulan Ramadhan 1435H kali ini.

Entah mengapa, Ramadhan kali ini dirasakan begitu pantas dan cepat berlalu. Sama ada terlalu banyak masa yang dibazirkan atau tidak benar-benar memanfaatkan setiap ruang dan peluang yang ada atau boleh jadi juga ia adalah tanda bahawa akhir zaman itu semakin tiba.

Mana-mana pon sebabnya, saya merasakan perlunya untuk saya memotong bawang merah dengan laju dan cekap. 

Memandangkah kita hanya tinggal dua pertiga Ramadhan lagi (itu kalau dipanjangkan umur dan rejeki lah InshaAllah), ada baiknya sekiranya kita bersama-sama bermuhasarawak tentang amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Tanpa kita sedari, kadangkala kita ada melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh yang mana tidaklah membatalkan puasa itu sendiri, tapi berpotensi untuk membatalkan/mengurangkan pahala puasa kita.

Tidak percaya?

Mari kita lihat. 

1) Tak bangun sahur
Sahur adalah antara waktu yang paling diberkati dan begitu besar fadhilatnya. Sahur yang dimaksudkan di sini adalah waktu sebelum masuknya waktu Subuh. Ia diisyaratkan dengan memakan atau meminum sesuatu yang halal. Makan megi gorang mamak dan minum segelas teh tarik pada jam 1 pagi itu tidak dikira sebagai sahur.

Dalam sebuah hadith, Nabi SAW menyifatkan kelebihan waktu sahur ini:

"Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Jika tidak berselera untuk makan nasi berlaukkan kari kambing dan segelas jus oren sekalipon, cukupah dengan menjamah beberapa biji tamar (bukan cap YuTa) dan segelas air putih. Malah bersahur dengan tamar itulah yang sunnah. 

2) Berpusu-pusu ke mesejid untuk solat terawih berjemaah tapi solat isyak lone ranger
Ini adalah antara kesilapan besar yang dilakukan oleh ramai orang di luar sana. Solat Isyak sendiri-sendiri di rumah sebelum ke mesejid untuk menunaikan solat terawih. Sedangkan yang lebih digalakkan itu adalah bersolat fardhu secara berjemaah di mesejid.

Mungkin moreh berupa bubur lambuk, kuih cara berlauk dan kopi tarik kaw adalah tarikan utama mengapa orang berpusu-pusu untuk menunaikan solat terawih di mesejid. Oleh itu pihak pengurusan mesejid wajar mempertimbangkan untuk menyediakan supper selepas waktu Isyak di luar bulan Ramadhan. Eheh. 

3) Jemaah subuh di mamak tidak di mesejid
Tidak senonoh jugalah apabila kita sanggup bangun, bersiap-siap dan memandu ke mamak untuk menikmati juadah sahur kita kemudian terus pulang ke rumah untuk sambung mengular. Alangkah ruginya kita yang sudah bangun sahur dan tidak mengambil peluang itu untuk bersolat jemaah di mesejid.


Betapa besarnya fadhilat dan kelebihan bersolat Subuh secara berjemaah di mesejid, sehinggakan Nabi SAW pernah bersabda:

"Kalau sekiranya manusia itu tahu apa yang tersembunyi dalam azan dan saf pertama dan mereka tidak mendapatnya kecuali diundi, nescaya mereka akan ikut serta dalam undian (orang ramai yang ingin mendapatkan saf pertama). Dan jika mereka mengetahui apa yang didapati dalam awal datang (solat jemaah), nescaya mereka akan berlumba-lumba. Dan jika mereka tahu apa yang tersimpan di dalam solat Subuh dan Isyak maka mereka akan mendatanginya walau dengan merangkak."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Pergh!

4) Malas berdoa
Salah satu daripada rahmat Allah untuk umat Islam adalah menyediakan suatu tempoh yang mustajab doanya selama sebulan lamanya. Setiap masa dan ketika di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini adalah cukup mustajab untuk berdoa. Maka rugilah andai kita malas dan gemok untuk berdoa.

"Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.'" (Al-Mu'min, 40:60) [Kredit]

Namun waktu-waktu yang perlu diberikan lebih perhatian untuk memanjatkan doa adalah waktu sebelum berbuka, waktu sahur dan sewaktu beriktikaf. Gunakan masa-masa ini untuk berdoa apa sahaja kepada Allah. Sungguh, Dia malu untuk menolak doa-doa hambaNya yang ikhlas dan bersungguh dalam berdoa. Senyum.

5) Tidak bersungguh-sungguh membaca dan menghayati al-Quran
Bulan Ramadhan adalah bulan al-Quran. Di dalam al-Quran, kata 'ramadhan' itu hanya disebut sekali sahaja dan ia disebut bersama dengan peristiwa turunnya al-Quran. Sayugia Ramadhan adalah bulan untuk kita memperbaharui azam dan tekad untuk bukan sahaja memperbanyakkan bacaan al-Quran, malah mendalami dan menghayati ayat-ayat chentaNya itu. 

Tapi janganlah terkocoh-kocoh dan gopoh mahu mengejar ODOJ sehingga kita langgar dan tinggalkan hukum tajwid dan tidak tartil dalam membacanya! 

Atas motor pon boleh ODOJ! Ini sumpah kool! [Kredit]

6) Bazir Ramadhan
Tidak salah kita mengunjungi dan membeli juadah di bazar Ramadhan, namun apabila kita boros dan membazir, itu yang bermasalah.  

Saya kira, tujuan diadakan bazar itu baik. Di samping dapat memberi peluang kepada umat Islam yang sibuk dan tidak berkesempatan untuk menikmati juadah berbuka, ia juga memberi ruang kepada ramai peniaga untuk mencari rezeki yang halal. 

Namun jangan sampai kita jadi saudara syaitan; membazir dan boros tak tentu hala. Itulah bahayanya apabila kita membeli-belah dalam keadaan lapar. Semua benda pon nampak sedap. Ayam golek tu seolah-olah memangil-manggil kita. Sirap bandung cincau tu nampak seperti sirap bandung cincau paling sedap dalam dunia. Kita yang tak pernah minat Che' Mek Molek pon beli sampai dua tiga bungkus!

Lebih mengerikan apabila kita buang sahaja juadah yang tidak habis dimakan sedangkan ramai saudara-saudara kita di tempat lain yang tidak punya makanan pon untuk berbuka! Wahai!

7) Terlalu kerap merembeskan air liur basi
Konon tidur di siang hari pada bulan Ramadhan itu satu ibadah. Memang benar ibadah, tapi tidur yang bagaimana? Kalau selepas Subuh membawa ke Zuhur, sambung lagi sehingga Asar itu yang dikatakan tidur ibadah, itu bidaah! Eh. 

Rugilah apabila waktu-waktu yang ada di dalam bulan Ramadhan kita gunakan untuk melancong ke Turki dan menunggang zirafah di padang savanna Afrika, sedangkan ketika itu kita boleh memperbanyakkan amalan seperti iktikaf, berzikir dan membaca al-Quran. Lebih merugikan apabila kita terlajak melakukan amalan-amalan fardhu kerana kononnya mahu beribadah dalam tidur! Apa kes? 

8) Terawih di Mesejid India pada sepuluh malam terakhir
Ini juga suatu sikap tidak senonoh umat Islam di Malaysia, apabila hanya bersemangat waja menunaikan solat terawih pada awalan Ramadhan sahaja dan menghabiskan akhirannya untuk membeli-belah baju dan langsir raya. Sedangkan sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan itu masanya untuk kita memasang gear lima, malah enam dan tujuh, untuk memecut laju bagi menggapai redhaNya.

Tak payahlah pasang langsir baru. Buangkan niat mahu tawaf kidai di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu. Tahun ini dodol dan kuih semperit beli sahajalah di gerai-gerai tepi jalan itu. Fokus kepada memperbanyak amalan ibadah khusus seperti beriktikaf, mengkhatamkan Quran dan  qiamullail.

Siapa tahu, tahun ini nasib badan kita dapat bertemu janji dengan Makcik Laila? Senyum.

Omak. Tahun ni kita taknak terawih kat Mesejid India macam tahun lepas ke..? [Kredit]
 
9) Kedekut tahi hidung masin
Bulan Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita mengikis sikap kedekut dan kikir kita itu. Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling baik untuk kita memperbanyakkan sedekah. Sedekah pada bulan Ramadhan ini lain macam keberkatannya.

Kalau tudung RM50, malah RM100 pon kita masih rasa murah, apalah sangat sedekah RM50 dan RM100 itu kan? Kalau sekotak rokok tu kita belanja belas-belas ringgit sehari dan tak rasa apa-apa, alah, apalah sangat belanja orang miskin berbuka.

"Sesiapa yang menjamu makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka dia akan memperolehi pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu."

[Hadith riwayat Tirmidzi] 


Sungguh sedekah itu membersihkan. Sedekah itu menghidupkan. Dan sedekah itu bakal menjadi bekalan buat kita di alam kubur nanti. 

Oh baidewe. Merokok tu haram. Kbai. 

10) Masih bertanyakan soalan, "Abam korek hidung batal puasa tak?"
Kalau sekali seumur hidup bertanya untuk pengetahuan dan kepastian, tidak mengapalah. Tapi kalau saban tahun masih dok bertanyakan soalan-soalan seperti "Korek telinga batal puasa tak?", "Apa hukum kentut dalam air di bulan puasa?", "Pakai eyemo masa berpuasa, macam mana?" dan yang seumpama dengannya walhal sudah banyak sumber-sumber yang sahih yang menerangkannya, juga jenuh para ostad dan ostajah berbicara tentangnya, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan kita. 

Alahai. 

Sudah-sudahlah tu dengan perkara-perkara furu' (cabang) yang hanya membuang masa itu. Ada banyak lagi perkara lain yang perlu dan boleh kita fokuskan untuk meningkatkan lagi kualiti ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan ini.

Ada beberapa perkara lain yang sering kita terlepas pandang sewaktu bulan Ramadhan ini, yang boleh menjejaskan pahala dan kualiti puasa kita. Antaranya:
  • Tidak berbuka dengan buah tamar
  • Berbuka dengan kurma cap YuTa (boikot Iran!)
  • Memakai wangi-wangian ke mesejid oleh kaum perempuan sedangkan kaum lelaki berbusuk-busukan
  • Terlalu banyak makan ketika berbuka sehingga tidak larat untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak
  • Berpuasa tekak dan perut, tetapi tidak mata, telinga dan mulut
  • ...dan lain-lain lagi
Ha, bagaimana? Anda termasuk tak dalam sepuluh golongan yang lalai dan tak senonoh dalam bulan puasa ni? 

Kalau jawapannya tidak, alhamdulillah, moga anda berpuasa dengan imanan dan ihtisaban. Jika ya, maka sudah tiba masanya untuk berubah.\

Sungguh, kita sudah cukup beruntung dipertemukan dengan bulan Ramadhan tahun ini. Lebih beruntung diijinkanNya untuk masuk ke fasa kedua. Maka kita perlu bersungguh-sungguh memastikan agar kita terpilih dalam kalangan para hambaNya untuk merebut piala taqwa. Jangan sia-siakannya!

"Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga."

[Hadith Riwayat Ibn Majah]

Moga Ramadhan kali ini, kita tidak hanya peroleh lapar dan dahaga.

Moga-moga!

-gabbana-

Mohon semua untuk mengambil kesempatan di dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini untuk lastik, tembak, mesingan, bom, bazooka dan apa-apa sahajalah doa buat para saudara dan mujahidin kita di Palestin sana. Sungguh, darjat mereka sedang diangkat setinggi-tinggiNya oleh Allah 'Azza wajal. 

Moga mereka ketemu dengan sorga, dan moga kita dapat bertemu dengan mereka di sana! 

18 June 2014

Ikhwah Jadian Ziarah Semula

[Kredit]

Teng teng teng, teng teng teng, teng teng teng teng teng teng teng.

Ini bukan kisah tentang ikhwah yang bertukar menjadi panda apabila terlihat batang-batang buluh.

Bukan juga ikhwah yang bertukar menjadi gorila apabila bulan mengambang terang.

Apatah lagi ikhwah yang bertukar menjadi gila meroyan tak tentu pasal apabila termakan cokolat Kedberi. Wahahaha.

Tetapi ini ikhwah yang tiba-tiba dan tidak semena-semena bertukar perangai dan kelakuan, apabila wujud makhluk bernama akhawat di sekitarnya. Kiranya akhawat tu macam pencetus lah kepada perubahan mereka ni. Peluh kecil.

Ya, inilah ikhwah jadian yang sebenar-benarnya. Dan spesis ini masih wujud, malah dikhuatiri semakin bertambah dan sedang giat meluaskan kawasan pengaruhnya.

Mari kita lihat dan kaji beberapa simptom atau sifat ikhwah jadian ini, agar dapatlah kita kenali mereka ini supaya kita dapat lari-lari jauh daripada mereka ini sebelum mereka menerkam dan menggigit perut kita! Eh.

Simptom 1: Pijak semut
 Dengan akhawat: Pijak semut tak mati. Dah pakai but tentera sekalipon, dilompat-lompatnya di atas semut, masih tak mati-mati juga semut itu. Ajaib.

Dengan ikhwah lain: Jangankan semut, habis permasuri semut dan busutnya hancur diterajang!

Simptom 2: Kentut
Dengan akhawat: Pergh. Kentut pon wangi! Silap haribulan, orang boleh siap tanya lagi, "Wah akhi, anta pakai minyak atar cap apa ni...?" Kekeke.

Dengan ikhwah lain: "Oiii! Sapa kentut ni...?? Macam neraka!"

Simptom 3: Percakapan 
Dengan akhawat: Lembut. Sopan-santun. Manis. Setiap butir kata yang keluar ibarat mutiara yang tersimpan rapi di dalam laut yang paling dalam. Ewah kau. Eh dahulu di universiti ambil pengkhususan dalam bidang sasterakah?

Dengan ikhwah: Kadang-kadang tak pasti yang sedang berbicara itu ikhwah atau ketua Kumpulan Jalur Tiga cawangan Raub. Dengan carutannya, dengan kata-kata kesatnya. Terima kasihlah kerana beri pahala percuma sebab galakkan kami perbanyakkan istighfar.

Simptom 4: Pemakaian
Dengan akhawat: Mak aihh engkau. Kalau David Beckham atau Ronaldo nampak pon boleh tercengang kekaguman. Minyak rambut tu hampir-hampir nak habis sebotol anda tibai! Minyak wangi anda sebatu jauhnya dah boleh hidu. Kalau boleh pakai tali leher ke konferens riang, dah lama dah pakai. Memang lejen.

Dengan ikhwah: Keep it simple. Itu moto mereka. Pagi kain pelikat dengan baju pagoda. Tengah hari kain pelikat dengan baju pagoda. Malam pon kain pelikat dengan baju pagoda. Kalau terpaksa keluar untuk makan misalnya, kain pelikat dan jaket yang disarungkan pada baju pagoda yang menjadi pilihan. Bau badan dah macam kambing gurun. Rupa paras tak ubah macam jin hutan.  

Simptom 5: Mesyuarat
Dengan akhawat: Berjam-jam mesyuarat masih rasa tak cukup. Ada banyak perkara yang perlu dibincangkan. Daripada sekecil-kecil isu ("Cantik tudung ukhti. Beli kat mana?") hinggalah ke sebesar-besar isu ("Ukhti tahu tak sekarang ni Iraq sedang bergolak?"). Mesyuarat kalau tamat jam 1 pagi tu dah dikira awal dah tu.

Dengan ikhwah: Kalau boleh, lepas buka dengan ummul Quran, nak terus tangguh dengan kafaratul majlis. Semua isu dibincangkan dengan ringkas dan padat. Lurus ke depan. Jangan main-main!

Simptom 6: Bila minta tolong
Dengan akhawat: Akhawat belum sempat nak minta apa-apa pertolongan, mereka dah tawarkan dahulu dah. Penuh bersemangat. Ikhlas. Hidung kembang-kempis. Siap tawarkan perkhidmatan selepas bantuan lagi. Peh.

Dengan ikhwah: "Aaseef qawiyy jiddan akhi mahbub fillah! Ana bukan taknak tolong... Tapi... Ana sibok sikit la akhi. Sungguh. Kalau boleh memang ana nak bantu. Tapi itulah.." Oh ye lupa. Memanglah anda sibuk. Sebab anda nak bantu akhawat en?

Simptom 7: Menepati masa
Dengan akhawat: Menepati masa? Tak mainlah. Konsep yang lebih tepat adalah mendahului masa! Kalau janji jam sembilan malam, jam lapan empat puluh lima sudah tersedia menanti. Kalau janji jam tujuh pagi, silap haribulan malam sebelumnya tu dah siap-sipa dengan beg tidur dan selimut di tempat kejadian.

Dengan ikhwah: Alah ikhwah kan? Semuanya berhati mulia. Berlapang dada. Bukan apa, sekali-sekali mahu juga menguji kesabaran ikhwah ni. Alah lewat empat puluh lima minit je pon. Kenapa nak kecoh sangat?

Simptom 8: Itsar (Melebihkan orang lain)
Dengan akhawat: Segala benda mahu diitsarkan. Baik makannya, tempat duduknya, duitnya... Segala macamlah! Yalah, bukankah itsar itu adalah setinggi-tinggi tahap dalam berukhuwwah? 

Dengan ikhwah: Hanya beberapa perkara tertentu sahaja yang akan diitsarkan. Contohnya peluang untuk beri tazkirah, giliran menjadi imam, lantikan untuk menjadi AJK bagi konferens riang dan sebagainya. Dalam hal-hal sebegini ikhwah jadian lebih semat dan berstrategi. Adeh. Tapi kalau bab akhawat? Lu jangan cari gaduh bro! Itu gue dulu! Eh.

Simptom 9: Bermain badminton (atau apa-apa sahaja sukan yang lainnya)
Di hadapan akhawat: Pergh. Tangkas. Pantas. Cergas! Bila smash tu, rasanya Datuk Ling Chong Wei pon boleh gantung raket dah. Main sungguh-sungguh. Penuh dedikasi. Penuh himmah dan hamasah. Eh mestilah, qawiyyul jism kan..?

Dengan ikhwah: Main pon ala kadar sahaja. Macam tak cukup makan. Sekadar nak rembeskan peluh setitik dua. Alah, cukuplah setakat nak lengkapkan mutabaah amal untuk minggu itu sahaja pon kan? Alahai.

Simptom 10: Konferens riang
Kalau ada akhawat: Kehadiran penuh, dari mula konferens sehingga tamat konferens. Paling pro-aktif semasa perkongsian. Penceramah belum mula apa-apa lagi dah mula tanya soalan. Sukarela menawarkan diri menjadi apa-apa sahaja AJK yang ada. AJK basuh dulang makan pon sanggup! Kalau mahu jadi penceramah pon apa salahnya? Eh.

Kalau ikhwah sahaja: "Err. Err. Akhi.. Ana ada hal lah wiken ni. Ana mintak ijin untuk tidak hadir ya?" Kalau hadir sekalipon, tidak sepenuh hati. Separuh pon belum tentu lagi.

Hah. Bagaimana? Anda ada tak salah satu daripada simptom-simptom di atas..? Jika anda, anda wajar garu kepala dan berasa khuatir. Mungkin andalah ikhwah jadian yang dimaksudkan itu! Aummm.

Sebenarnya bukan hanya teraplikasi pada ikhwah sahaja. Yang bukan ikhwah pon ada juga perangai kurang senonoh ini apabila berhadapan dengan makluk bernama perempuan. 

Cuma yalah, apabila bergelar ikhwah, sepatutnya menjadi qudwah lah kepada orang lain kan...? Jika benar kita telah berbai'ah dengan tarbiyah dan dakwah, sewajibnya kita menjadi ikhwah yang sebenar-benarnya setiap masa dan ketika.

Dan bukan ikhwah hanya pada mata akhawat sahaja. Tahu?

Teng teng teng, teng teng teng, teng teng teng teng teng teng teng.

-gabbana- 

Kenapa ziarah semula (Baca: Revisited)? Sebab Ikhwah Jadian sudah pernah buat kacau sebelum ini! 
  

9 June 2014

Sepuluh Ikhwah Hitam

[Kredit]

Sepuluh ikhwah hitam,
Kena bisik syaitan,
Satu gugur iman,
Ikhwah hitam tinggal sembilan.

Sembilan ikhwah hitam,
Berlumba-lumba dalam amalan,
Satu malas baca Quran,
Ikhwah hitam tinggallah lapan.

Lapan ikhwah hitam,
Bangun malam untuk tawajuh,
Satu tak cukup bersungguh,
Ikhwah hitam tinggal tujuh.

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Jalan ini penuh cubaan,
Siapa tak sanggup jalan dulu!

Tujuh ikhwah hitam, 
Ada aktiviti mukhayyam,
Satu disorok jin Siam,
Ikhwah hitam tinggallah enam.

Enam ikhwah hitam, 
Konon nak pergi berjimba,
Satu futur selamanya,
Ikhwah hitam tinggal lima.

Lima ikhwah hitam,
Nak berBM dengan akhawat,
Satu dah pon selamat,
Ikhwah hitam tinggal empat.

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Jadi ikhwah kena tahan,
Ujian datang bertalu-talu!

Empat ikhwah hitam,
Berdakwah di alam maya,
Satu main Fesbuk punyalah leka,
Ikhwah hitam tinggallah tiga.

Tiga ikhwah hitam,
Nak buat bulatan gembira,
Satu kena serbu jabatan agama,
Ikhwah hitam tinggal lagi dua. 

Dua ikhwah hitam,
Terus teguh hingga sekarang,
Satu syahid pergi berjuang,
Ikhwah hitam tinggal seorang.

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Moga tsabat hai ikhwah sekalian,
Menuju redha Allah yang satu!

-gabbana-

Hampa ikhwah hitam yang mana satu..? Eheh. 

18 February 2014

Apa Yang Melayu Takutkan?

[Kredit]

Dalam kehidupan kita, ada banyak perkara-perkara yang kita takutkan atau risaukan. 

Boleh jadi perkara-perkara tersebut adalah benda-benda yang fizikal dan hidup seperti labah-labah berbulu sebesar tapak tangan, lipas yang menyusup masuk ke dalam telinga, kemalangan jalan raya dan terputus kepala, sedang berjalan untuk ke kantor tiba-tiba ada cermin tingkap terjatuh dan memotong otak kita atau seorang pembunuh bersiri yang gila tiba-tiba mengetuk pintu rumah kita.

Gasp. 

Dan boleh jadi juga perkara-perkara yang kita gerunkan/khuatirkan itu adalah sesuatu yang abstrak dan halus, seperti risau dibuang kerja, harga barang naik dan terpaksa menjual kereta Vios yang baru dibeli itu, gerun akan turunnya Dajjal sedangkan kita masih tidak bersedia dan prospek diserang penyakit-penyakit merbahaya seperti kanser, H1N1 dan sebagainya.

Jika difikirkan satu-persatu perkara-perkara yang menakutkan dan merisaukan kita, sudah pastilah kehidupan kita akan jadi sangat tertekan sehingga membuatkan rambut kita beruban dan memaksa kita untuk terjun banji ke dalam gaung. Begitu banyak dan mengerikan bukan..?

Lebih menarik sekiranya kita mengkaji dan membuat deduksi, apakah yang ditakuti oleh kebanyakan daripada rakyat Malaysia? Malah untuk lebih fokus dan menjadikan kajian kita lebih praktikal dan bermanfaat, kita kecilkan taburan subjek eksperimen khusus kepada masyarakat Melayu Muslim sahaja.  

Nah, apakah yang paling ditakuti dan digeruni oleh masyarakat Muslim Malaysia sehingga membuatkan mereka menggigil kepala lutut dan terkencing-kencing di dalam seluar? Mari kita lihat!

1. Babi
Entah mengapa, orang Melayu Muslim di negara kita begitu takutkan makhluk Allah yang satu ini. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan lembu pendek ini dikira sebagai tabu dan haram totok. Sekiranya mak atau kakak saudara kita terbeli kasut yang tapaknya diperbuat daripada kulit babi, itu adalah hari kiamat untuk mereka. 

Dan begitu mudah untuk membangkitkan kemarahan dan mengganggu jiwa masyarakat Melayu Muslim di negara ini, anda hanya perlu mencampakkan secebis/sepotong daging babi ke dalam masjid/surau yang berdekatan. Mahu lagi ekstrem silakan bawa kepala babi sekali. 

Arak? Tadehal. Zina? Biasalah tu. Judi? Eh, trend semasa kan..? Babi? HAAARAAAAMMMM!

Peluh besar.

2. Cina
Satu lagi perkara yang amat ditakuti dan menyebabkan fobia/trauma tahap gaban bagi masyarakat Melayu Muslim adalah kaum Cina. Kaum India ok, tapi kalau kalum Cina, kena hunus keris! Eh. 

Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kaum ini. Perompak harta negara la. Tak kenang budi la. Pendatang haram la. Semuanya tuduhan-tuduhan tidak berasas yang mampu mengganggu-gugat keaman dan kestabilan negara.  

Walhal kalaulah orang Melayu Muslim ini belajar sejarah dan mengkaji susur-galur Tanah Melayu dengan adil dan saksama, mereka akan mendapati keberadaan kaum Cina di negara ini adalah seawal penubuhan Kerajaan Melayu Melaka lagi. Malah antara teori kemasukan Islam ke negara ini adalah menerusi para pedagang Cina yang sudah pon memeluk Islam ketika itu. 

Mungkinlah ini sebabnya orang Cina begitu fedap dan fobia untuk mengenali dan mempelejari Islam. Sampaikan kalau mahu masuk Islam, mereka terpaksa masuk 'Melayu' dengan menukar nama mereka dan belajar memakai kain pelikat.

Yang membezakan antara kita hanyalah taqwa, kan..? [Kredit]

3. Hantu dan segala bagai makhluk halus
Ha, ini juga merupakan antara benda/perkara yang amat ditakuti oleh masyarakat Melayu Muslim di negara ini. Sikit-sikit, akan dikaitkan dengan hantu. Sikit-sikit, akan dikaitkan dengan rasukan jin. Ternampak kain putih yang berterbangan di luar tingkap, terus dituduhnya sebagai pontianak busuk sundal malam, walhal Puan Isteri terlupa nak angkat kain jemuran di siang hari.  

Masyarakat Melayu Muslim kita rupa-rupanya masih lagi begitu mudah terpedaya dengan perkara-perkara khurafat sebegitu. Bukan mahu menafikan kewujudan jin, namun tidak perlulah berlebih-lebihan dalam berbicara dan bertindak terhadap kewujudan mereka ini.

Ironinya, di dalam ketakutan masyarakat terhadap hantu, topik ini jugalah yang paling hangat dan seronok untuk dibincangkan di kedai-kedai kopi atau forum-forum di alam maya. Setiap tahun, pasti lebih daripada sepuluh filem yang berkisarkan hantu dan jin akan dihasilkan.

4. Wahhabi
Pandang kiri, pandang kanan.

Ini adalah fenomena sedikit baru (dalam 4-5 tahun kebelakangan ini) di mana masyarakat Melayu Muslim di negara ini begitu takutkan sekelompok manusia lain yang berfahaman dengan fahaman Wahhabi. Jujur saya tidak mampu untuk komen panjang lebar pada ruangan yang terhad ini.

Namun cukuplah saya simpulkan, terlalu banyak salah faham tentang Wahhabi ini. Benar, memang ada segelintir daripada mereka yang berfahaman dengan fahaman yang ekstrem dan kita menolak kefahaman yang ghuluww (berlebih-lebihan) sebegitu. Namun untuk menuduh semua orang yang tegas dan syadid dalam pendirian mereka dalam melaksanakan hukum dan syariat Islam, itu tidak tepat sama sekali. Dan memburuk-burukkan Syaikh Muhammad Wahab (dituduh sebagai pengasas Wahhabi, walhal di zamannya dia tidak pon menggelarkan ajarannya sebagai Wahhabi) tanpa fakta dan dalil yang sahih dan kukuh, adalah perbuatan yang terkutuk dan dilaknat. 

Hanya kerana seseorang itu berbeza pendapat dengan kita, kita terus tuduhnya sebagai Wahhabi. Hanya kerana dia tidak bersetuju dengan kita, pantas kita labelnya sebagai Wahhabi! 

Tidak membaca Qunut ketika solat Subuh? Wahhabi! Tidak membaca doa secara berjemaah selepas solat? Wahhabi! Pakai kopiah senget sikit? Wahhabi! Pppffftt.

5. Agenda Freemason dan Yahudi
Semua benda pon adalah salah Freemason. Semua benda pon adalah disebabkan agenda si Yahudi yang jahat dan keji itu.

Ekonomi negara terjejas teruk? Itu rancangan Yahudi! Pelancong takut nak datang Malaysia? Itu agenda Freemason! Kalah dalam pemilihan Jawatankuasa Keceriaan dan Kebersihan Kampung? Yahudi punya kerjalah ni! Kereta rosak di tengah jalan? Ah ini semua propaganda Freemason!

Walhal ekonomi teruk sebab rasuah dan pecah amanah. Walhal pelancong tak datang sebab jenayah yang semakin menakutkan. Walhal tak terpilih dalam pemilihan sebab rumah sendiri tunggang langgang. Walhal kereta rosak sebab air enjin dah habis!

Aduhai.  


Ok ini memang buat gue gelak guling-guling. [Kredit]

6. Tiada air
Uisshh kalau yang ini, saya pon takut! 

Agak menarik apabila difikirkan, bagaimana rakyat Malaysia boleh untuk berasa risau dan takut dengan kebarangkalian ketiadaan air di rumah, di dalam sebuah negara yang terletak di atas garisan Khatulistiwa. Dalam banyak-banyak negara di dunia ini, Malaysia sepatutnya menjadi antara negara yang tidak perlu risau akan berlakunya krisis kekurangan air!
 

Saya boleh faham mengapa rakyat Malaysia begitu fobia dan trauma dengan kejadian tiada air ini. Sekali air dicatu, bagaimana mahu mandi tiga kali sehari? Bagaimana mahu mandi wajib? Ambil wudhu'? Buang air besar? Mencuci kereta? Menyiram pokok? Memandi kucing? Parah parah.

7. Tak dapat menunaikan umrah dan haji
Hal ini mungkin lebih relevan kepada golongan yang sudah berusia. 

Sejak azali kita sudah diajar bahawa mengerjakan haji dan umrah itu wajib bagi mereka yang berkemampuan, dan definisi berkemampuan adalah mempunyai wang dan dana yang mencukupi. Maka wang hasil titik peluh akan disimpan di bawah bantal atau di atas almari untuk tujuan perbelanjaan mengerjakan haji/umrah. 

Tidak dapat mengerjakan haji itu merupakan suatu ketakutan yang amat dahsyat bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang masih belum berpeluang mengerjakannya. 

Pada masa yang sama, ada pula segelintir manusia yang hampir setiap tahun mengerjakan umrah dan tiga empat tahun sekali, mengerjakan haji. Alangkah bagusnya andai wang yang dibelanjakan itu disedekahkan untuk membiayai mereka yang masih berpeluang ke Tanah Haram..? Atau diinfaqkan untuk tujuan amal-amal fi sabilillah..?

Saham-saham sorganya berterusan dan bercucu-cicit hatta kita telah lama meninggalkan dunia yang fana ini! Pergh. 

8. Anak tak dapat sambung belajar
Ini juga merupakan antara faktor ketakutan yang menyebabkan ramai ibu ayah dan mak abah tak tidur malam; anak mereka tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Meski faktor ini ada relevannya, namun tidaklah wajar andai ia begitu ditakuti sehingga seolah-olahnya tiada lagi hari esok atau anak itu wajar ditolak masuk gaung sahaja. Eh.  Ditambah pula dengan faktor (2) seperti di atas, mak ayah kita terlalu amat fobia andai ada dalam kalangan anak-anak mereka yang gagal melanjutkan pelajaran.

Kadangkala saya merasakan ibu bapa di Malaysia ini terlalu jumud fikirannya. Dan terima kasihlah kepada sistem pendidikan negara yang sedia ada, yang jarang sekali meraikan dan memperkasakan minat dan kesukaan seseorang itu.

Dengan sistem pendidikan yang semakin mengarut dan entah apa-apa, kasihan juga pada mak ayah dan anak-anak zaman moden ni. Bersyukurlah Malaysia masih aman. Eh.

9. Anak-beranak / saudara-mara / sepupu-sepapat masuk usrah
Usrah itu ekstrem. Dalam usrah belajar buat bom. Antara yang diajar dalam usrah adalah bagaimana mahu kumpul duit untuk pergi ke Afghanistan. 

Hallo?? Ini zaman MukaBuku dan Pengicau kot..? Wardina Safiyyah pon sertai usrah tahu...?

10. Tak kahwin-kahwin
Err. Err. maaf tak boleh nak huraikan panjang lebar, tak sesuai untuk bacaan bawah umur.

Wahahaha. Lari laju-laju.

Ehem. 

Di sebalik perkara-perkara yang paling ditakuti oleh masyarakat Melayu Muslim seperti yang disenaraikan di atas, menarik juga sekiranya kita melihat pula apakah perkara-perkara yang paling tidak ditakuti dan dirisaukan oleh mereka. 

Menurut kajian yang dilakukan oleh para penyelidik di Universiti Hang Li Poh beberapa bulan yang lalu, mereka mendapati, sepuluh perkara berikut merupakan perkara-perkara yang jarang sekali menjadi kerisauan atau igauan ngeri masyarakat Melayu Muslim di negara ini.
  1. Rasuah yang bermaharajalela 
  2. Kebejatan sosial yang melibatkan segenap lapisan masyarakat, baik tua atau muda, selekeh atau bergaya
  3. Ahli politik yang zalim dan pecah amanah
  4. Budaya hedonisme (berjimba dan berhuha-huha) yang melampau-lampau
  5. Remaja berusia lima belas tahun tapi masih tidak reti mengucap syahadah apatah lagi bacaan tahiyat akhir
  6. Anak umur doblas dah ada gelpren/boipren
  7. Orang Melayu Muslim main judi, minum arak dan hisap dadah
  8. Negara porak-peranda dan kacau-bilau sebab ada orang yang sengaja suka untuk menyebarkan fitnah dan mengadu-domba
  9. Orang bukan Islam yang semakin jauh dengan Islam dek perangai dan akhlak orang Islam sendiri
  10. Bala Allah yang mungkin turun akibat semua perkara di atas
Begitulah sedikit-sebanyak faktor-faktor ketakutan (dan faktor-faktor yang tidak ditakuti) oleh kebanyakan daripada masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Ada antaranya adalah faktor yang evergreen, laku dan benar sepanjang zaman. Ada pula faktor-faktor yang berevolusi mengikut keadaan dan perkembangan semasa.

Nah, anda bagaimana..? Apa pula faktor-faktor yang menakutkan anda..?

-gabbana-

Pernah dengar perkataan sarkasme tak...? 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP