Showing posts with label Economics for dummies. Show all posts
Showing posts with label Economics for dummies. Show all posts

16 October 2014

Menjadikan Dakwah Seperti Permintaan RON95 Yang Tidak Anjal

[Kredit]

Getah sekerap. Tilam cap Mimpi Manis. Gula-gula kendi bergula dan masam-masam rasanya. Pipi anak buah anda yang gebu-gebu itu. Batang rotan yang dilentik-lentikkan, siap sedia untuk menyebat punggung. 

Apakah persamaan yang ada pada semua ini?

Keanjalan. 


Di dalam ekonomi, ada suatu konsep yang dipanggil sebagai 'elasticity' atau keanjalan. Konsep ini digunapakai untuk menjelaskan sikap pengguna dan pembekal di dalam interaksi penawaran dan permintaan (Baca: Supply and demand). 

Apabila permintaan untuk sesuatu barangan, misalnya nasi lemak, adalah anjal, sebarang perubahan pada harga nasi lemak akan mengkaibatkan perubahan yang besar pada permintaannya. Contohnya, apabila harga nasi lemak sambal kerang yang dijual oleh Mak Nah meningkat sebanyak empat puluh sen, pelanggan mempunyai pilihan untuk tidak lagi makan nasi lemak dan beralih kepada roti canai, atau beralih kepada nasi lemak sambal kerang yang dijual oleh Makcik Joyah. 

Hal ini adalah kerana, nasi lemak mempunyai banyak alternatif lain. Dengan perkataan lain, para pelanggan nasi lemak punya pilihan untuk tidak lagi makan nasi lemak apabila harga nasi lemak meningkat. Hal ini dapat diterangkan dengan graf permintaan nasi lemak Mak Nah bagi Solehin Mukhtar yang berikut (ada graf kau!):


Berdasarkan graf di atas, peningkatan harga nasi lemak dari RM3.20 ke RM3.60 telah menyebabkan permintaan nasi lemak sambal kerang Mak Nah oleh Solehin Mukhtar berkurangan dari 3 bungkus ke 2 bungkus (dari titik A ke titik B). Sebungkus lagi nasi lemak sambal kerang Mak Nah yang sepatutnya dibeli oleh Solehin Mukhtar, kini mungkin telah ditukar dalam bentuk tiga keping roti canai atau sepinggan bihun goreng telur mata. Sekiranya harga nasi lemak naik lagi ke RM4.00, Solehin Mukhtar hanya akan membeli sebungkus sahaja nasi lemak sambal kerang tersebut. Naik lagi harga, tamatlah riwayat nasi lemak sambal kerang Mak Nah dalam kehidupan Solehin Mukhtar. 

Maka bolehlah dikatakan permintaan untuk nasi lemak sambal kerang Mak Nah adalah anjal kerana perubahan harga yang sedikit menyebabkan perubahan yang mendadak kepada permintaannya. (Nota: Kenyataan ini adalah bersifat umum dan kurang tepat kerana konsep keanjalan sesuatu barangan hanya dapat digambarkan dengan jelas apabila ada perbandingan dengan barangan lain.)

Hal ini berbeza sekali dengan permintaan terhadap minyak (atau lebih tepat, petrol RON 95). Oleh kerana minyak merupakan sesuatu yang asasi dalam kehidupan sehari-hari, baik untuk kegunaan peribadi atau komersil, maka permintaan terhadap minyak adalah tidak anjal (Baca: Inelastic). Sebarang perubahan pada harga minyak tidak akan mengubah tabiat penggunaan minyak sehari-hari oleh para pengguna secara signifikan. Hanya perubahan harga yang drastik sahaja yang mungkin akan mengubah tabiat penggunaan minyak; pengguna mungkin akan bertukar kepada tenaga angin kus kus atau kentut nitrogen berapi. Wahahaha.  

Untuk lebih memahami fenomena, kita lihat pula graf permintaan bagi petrol jenis RON95 seperti di bawah:


Secara mudahnya, Fatimah Aloyah yang memandu kereta Proton Saga BLM akan mengisi penuh keretanya dengan 30 liter petrol jenis RON95. Sehingga harga RON95 adalah RM1.90 seliter (di galaksi selari), Fatimah Aloyah masih lagi mengisi penuh keretanya. Apabila harga RON95 meningkat ke RM2.10, baharulah Fatimah Aloyah mula mengurangkan penggunaan minyak keretanya sebanyak satu liter. Ia memerlukan perubahan harga sebanyak RM1.60 (dari RM1.50 seliter ke RM3.10 seliter) untuk mengurangkan penggunaan RON95 sebanyak DUA liter oleh Fatimah Aloyah (dari titik A ke titik B)!

Inilah yang dikatakan sebagai permintaan yang tidak anjal. Perubahan harga yang besar pada sesuatu barangan yang mempunyai permintaan yang tidak anjal hanya akan mengubah sedikit sahaja tabiat penggunaan barangan tersebut. 

Saya harap anda fahamlah dengan pembelajaran teori ekonomi yang diajar secara riang gembira ini. Jika tidak, silalah buat-buat faham untuk tujuan membodek saya. Wah! 

Nah, bagaimana kita boleh mengaplikasikan teori ekonomi berkaitan dengan keanjalan ini di dalam tarbiyah dan dakwah? Atau lebih spesifiknya, bagaimana kita boleh menjadikan dakwah pada diri kita seperti permintaan terhadap petrol jenis RON95? 

Dalam kata lain, bagaimanakah kita dapat menjadikan dakwah hidup dan sebati dalam kehdiupan kita, sepertimana permintaan terhadap petrol jenis RON95 yang sukar sekali digugat meskipon berlalu perubahan pada harganya? 

Kata kuncinya adalah alternatif. Ya, perbezaan antara permintaan nasi lemak sambal kerang Mak Nah dengan petrol jenis RON95 adalah nasi lemak punya pelbagai alternatif untuk menggantikannya, sedangkan kita tidak punya banyak pilihan dalam menggantikan penggunaan petrol. Maka cabarannya adalah bagaimana kita mahu menjadikan dakwah dan kehidupan cukup sebati bersama, sehingga sukar sekali mendapatkan alternatifnya.

Jawapannya mudah dan lurus ke hadapan; kita hendaklah menjadikan dakwah sebagai teras utama di dalam kehidupan kita. Segala-galanya adalah dakwah.

Makan dakwah. Tidur dakwah. Mandi dakwah. Kerja dakwah. Kahwin dakwah.

Ehem.

Sehinggakan kita tidak boleh hidup tanpa dakwah. Kita rasa resah-gelisah macam orang putus chenta bila lama tidak berdakwah. Kita tidak senang duduk bila tahu ada orang yang mahukan dakwah. 

Sehinggakan jiran sebelah rumah, jiran selang tiga empat buah rumah, jiran belakang rumah, jiran atas rumah, semuanya dapat menumpang bahang semangat dakwah kita yang membara.

Sehinggakan rakan-rakan sekerja kita turut sama dapat merasakan kelazatan duduk dan tinggal di bawah lembayung dakwah.

Sehinggakan mak abah kita, adik kakak kita, makcik ipar kita, adik menakan kita, tiga empat pupu kita, dapat menikmati keindahan dan kegembiraan bersama-sama dengan gerabak dakwah. 

Sehingga itu, sehingga kita tidak dapat hidup tanpa dakwah, sehingga dakwah dan kita sebati ibarat telur dan tepung di dalam aduan kek Resipi Takberaparahsia, kita tidak mungkin dapat menjadikan dakwah sepertimana permintaan kita terhadap minyak kereta yang tidak anjal.

Hanya apabila kita dan dakwah berpisah tiada, apa jenis mehnah dan tribulasi yang mendatang sekalipon, kita akan tetap setia bersama dakwah. Caci maki yang datang menerpa, ujian keluarga yang mari menimpa, mehnah kewangan yang mengganas raksasa dan pelbagai jenis lagi tok nenek cubaan yang datang menyapa, kita akan dapat melaluinya dengan penuh bergaya kerana hubungan kita dan dakwah adalah hubungan chenta yang tidak anjal. 

"Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya Dia akan sentiasa bersamamu. 

Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu, dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu, nescaya mereka tidak dapat mencelakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu."

[Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke-19 di dalam Arba'in an-Nawawiyah]

Formulanya? Niatnya kena betul. Mujahadahnya kena kuat. Istiqamahnya mesti haibat. Sabar dan solatnya, wajib dibuat!

Jahiliyyah juga perlu dikikis bersih dari dalam diri. Masa-masa lapang yang ada tidak boleh dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Supaya kehidupan kita sehari-hari tidak punya alternatif lain, melainkan hanya untuk tarbiyah dan dakwah semata!

Sehinggalah, 'permintaan' kita terhadap tarbiyah dan dakwah bersifat tidak anjal yang sempurna (baca: Perfectly inelastic). Apa-apa yang datang menghunjam, kita akan tetap berdiri teguh di sisi Islam!   


Graf 'permintaan' yang tidak anjal sempurna terhadap tarbiyah dan dakwah di dalam kehidupan

Bagaimana? Sudahkah anda bersedia untuk sehidup semati dengan tarbiyah dan dakwah? 

Moga kita dengan tarbiyah dan dakwah, ibarat kehidupan kita dengan minyak kereta; berpisah tiada. Dan moga iman kita juga seperti harga minyak; sentiasa naik, turun tiada!

Eh? Gelak kecil.

-gabbana- 

Ada orang bertanya kepada saya, bagaimana dan mengaplikasikan tarbiyah dan dakwah dalam pekerjaannya yang banyak berurusan dengan cukai. Katanya, kalau menjadi tuan duktur itu lainlah, lebih jelas halatuju dakwahnya. Namun dia buntu bagaimana untuk memanfaatkan pekerjaannya itu. 

Ini jawapan saya.

Apabila tarbiyah dan dakwah sudah sebati di dalam diri dan jiwa, inshaAllah, segala-galanya pon boleh sahaja dimanfaatkan untuk berdakwah. Hanya tinggal kita sahaja untuk memberikan seluruh jiwa dan raga kita di atas jalan perjuangan ini.

Senyum. 
 

2 October 2014

Merasionalkan Rasionalisasi Subsidi

[Kredit]
Seperti kata orang, gambar lebih berharga daripada seribu patah perkataan.

Malam tadi, rakyat Malaysia dikejutkan dengan sebuah berita yang amat menggembirakan lagi mengujakan; tiada angin ribut, tiada gempa mahupon tsunami, kerajaan sekali lagi melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak untuk petrol jenis RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter.

Atau dengan bahasa jalanannya; harga minyak naik doploh sen!  

Suatu fenomena yang agak menarik kali ini adalah apabila maklum balas dan reaksi rakyat Malaysia terhadap kenaikan doploh sen pada harga minyak tidak seganas dan seteruja seperti sebelum ini. Dipercayai Akta Hasutan 1948 memainkan peranan yang cukup signifikan kepada fenomena ini. 

Kerana itu kerajaan akan terus berani untuk menaikkan harga minyak di masa akan datang, kerana reaksi rakyat yang suam-suam kuku, hanya berani meluahkan geram dan marah di Pengicau dan MukaBuku (termasuklah yang menulis ini). Jika ada pon, hangat-hangat tahi kucing sahaja. 

Kenaikan harga minyak untuk RON95 dan diesel ini adalah kenaikan kedua dalam tempoh kurang lebih satu tahun. Hayati kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkaitan dengan rasionalisasi subsidi yang terbaru ini:

"Langkah ini adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi Kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh. Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab."

Menahan mulut dari gelak terkekek-kekek. 

Menurut KPDNKK lagi: 

"Pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal, dengan bukan warganegara Malaysia, termasuk pelancong asing turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan Langkah-langkah ini juga dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara." 

Pandang kiri, pandang kanan. Cubit-cubit pipi.

"Selain itu, Kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan dengan berhati-hati dan secara beperingkat bagi memastikan kesan yang minimum kepada ekonomi dan tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana." 

Dan apakah jaminan kerajaan yang langkah ini tidak akan membebankan?

"Oleh itu Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban terutamanay golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sehubungan ini, salah satu langkah yang akan diambil oleh Kerajaan adalah untuk menaikkan kadar pemberian BR1M yang akan dimumkan dalam Bajet 2015 kelak."

Teng teng teng. 

Faham ke idak kome ni?

Mari saya bantu. Mudahnya, melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini (Baca: harga minyak naik doploh sen), kerajaan mahu:
  1. Memastikan kewangan negara bertambah mantap 
  2. Mengurangkan ketirisan (korupsi) dan aktiviti penyeludupan
  3. Menggunakan duit yang dijimatkan untuk pembangunan negara
  4. Memastikan kesan yang minimum pada rakyat
  5. Membantu rakyat dengan terus memberikan BR1M
Baiklah. Mari kita teliti satu-persatu daripada poin ini dengan penuh tenang dan rasional.

Jujurnya, secara umumnya langkah mengurangkan subsidi minyak adalah langkah yang bijak ke arah memastikan Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan mencangkung sama rendah dengan negara-negara maju yang lain, ke  arah menyediakan pasaran minyak yang lebih kompetetif. Ewah kau.

Berterusan dalam memberikan subsidi akan menjadikan rakyat ibarat lembu dicucuk hidung, terus-menerus bergantung kepada kerajaan. Wang yang digunakan untuk subsidi selayaknya dimanfaatkan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan yang akan memberi faedah kepada rakyat untuk jangka masa yang panjang.

Fuh.

Jadi, apa masalahnya Inche gabbana? Maknanya bagus lah kan langkah rasionalisasi subsidi ni?

Ada banyak masalah dengan hujah yang diberikan oleh kerajaan ini. Jika benar langkah rasionalisasi subsidi ini adalah untuk memantapkan kedudukan kewangan negara, maka langkah pertama yang sewajibnya diambil oleh kerajaan adalah membanteras korupsi dan rasuah secara besar-besaran, seriyes dan tiada kompromi.

Baru-baru ini Malaysia tersenarai sebagai antara negara yang paling korup berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh firma Ernst & Young. Bancian yang dilakukan terhadap 681 eksekutif di beberapa buah negara Asia Pasifik mendapati, Malaysia adalah antara negara yang paling bersedia dan 'ada-aku-kisah' untuk menggunakan 'jalan belakang' apabila ekonomi negara berhadapan dengan situasi yang sukar.

Makanya, langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak ini hanyalah ibarat menyapu sampah, habuk dan debu ke bawah permaidani tebal yang mak kita beli dari Bhai Pakistan itu.

Kewangan negara akan menjadi jauh lebih mantap, jauh lebih baik dan jauh lebih kukuh sekiranya perbendaharaan negara diuruskan dengan cekap dan efisien. Maka terjawablah sedikit sebanyak poin 1, 2 dan 3 itu.

Bagaimana dengan melaksanakan rasionalisasi subsidi ini, walaupon dengan berperingkat-peringkat dan berhati-hati, memberikan impak yang minimum kepada rakyat?

Saya tidak dapat mengotakkan dakwaan ini. 

Sedangkan saya yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta, tinggal di rumah milik Inche Papa dan Puan Mama, yang makan minum kadangkala ditanggung oleh mereka, tidak perlu bayar bil elektrik dan air, sudah dapat merasakan bebannya, bagaimana pula dengan ratusan ribu malah jutaan rakyat lain yang tidak senasib baik dengan saya? 

Berapa ramai yang tersekat di stesen minyak malam tadi? Heh. [Kredit]
Kenaikan harga minyak termasuk apa yang disebut sebagai 'cost-push inflation' atau err, inflasi menolak kos. Wahahaha. Dalam bahasa mudahnya, kenaikan harga minyak akan turut mempengaruhi kenaikan harga barangan yang lain.

Manakan tidak. Pemandu lori sayur kini terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung kos minyak yang meningkat. Jadi apa langkah mudah untuk menanggung kenaikan kos ini? Dengan menaikkan harga sayur yang dijualnya.

Pemilik kedai gunting rambut yang ke kedainya menaiki motor, kini terpaksa berbelanja lebih untuk membayar duit minyak. Maka apa yang difikirkan olehnya untuk menanggung kos kehidupan yang semakin meningkat ini? Menaikkan kos perkhidmatan menggunting rambutnya dari RM10 ke RM12.

Para pekerja sebuah syarikat menjual paku tekan menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Kita andaikan berikutan kenaikan harga minyak, tambang teksi, bas dan tren juga meningkat. Maka para pekerja ini menuntut kepada majikan mereka agar gaji mereka dinaikkan. Kos keseluruhan operasi syarikat meningkat. Apa yang boleh dilakukan oleh syarikat untuk menganggung kos ini? Menaikkan harga paku tekan yang dijual.

Sudah nampak permainannya di situ?

Hujahan saya mungkin terlalu lurus ke hadapan dan pastilah ada cacat celanya, namun mudahnya begitu. Kenaikan harga minyak tidak sama dengan kenaikan harga barangan yang lain, kerana ia amat mempengaruhi urusan kehidupan kita sehari-hari.

Dua puluh sen mungkin tidak ada apa-apa untuk mereka yang pendapatan isi rumahnya lebih RM10,000 sebulan. Dua puluh sen mungkin hanya celah gigi sahaja buat mereka yang kaya. Kenaikan harga minyak sebanyak dua puluh sen itu mungkin tidak disedari pon oleh mereka yang selama ini sememangnya menggunakan RON97. Heh.

Tapi dua puluh sen, untuk mereka yang hari-harinya berjuang demi mencari sesuap nasi, adalah suatu jumlah yang besar. Dua puluh sen, untuk kebanyakan keluarga di luar sana, adalah cukup membebankan. Dua puluh sen, untuk mereka yang marhaen adalah ibarat beban gergasi yang jatuh menimpa diri.

Mari kita lakukan perkiraan mudah.

Sebuah keluarga yang memiliki sebuah Proton Saga FLX 1.3L. Andaikan tangki kereta ini bersaiz 30 liter. Pada harga lama RM2.10 seliter, keluarga ini berbelanja sebanyak:

RM2.10 x 30 = RM63.00

Kita andaikan keluarga ini mengisi minyak penuh tiga kali seminggu. Maka jumlah perbelanjaan untuk sebulan:
RM63.00 x 3 x 4 = RM756.00

Dengan kenaikan RM0.20 seliter, kini perbelanjaan duit minyak keluarga tersebut adalah:
RM2.30 x 30 x 3 x 4 = RM828.00

Dengan kenaikan ini, keluarga tersebut terpaksa menanggung peningkatan kos sebanyak:
RM828.00 - RM756.00 = RM72.00

setiap bulan. Itu baharu satu bulan. Baharu satu kereta. Rata-rata keluarga hari ini memiliki sekurang-kurangnya dua buah kereta. 

Untuk mereka yang berpendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah, RM72.00 sebulan adalah suatu jumlah yang signifikan. Dapat beli beras dua guni tu bang oi! (Atau seperti yang dibahaskan oleh rakan sekerja saya dengan lebih sempoi, "Tu boleh beli dua guni beras 10 kilo dengan berpapan-papan telur tu!")

Nah, sekarang tambah semua itu dengan harga-harga barangan lain yang akan turut naik berikutan dengan kenaikan harga minyak. Terasa seperti mahu menarik-narik rambut dan kemudian terjun gaung tak? 

Jadi saya mahu bertanyalah, celah ketiak mana pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak akan memberikan impak minimum kepada rakyat? Pfftt.

Ternyata RON95 move ini hanya membebankan rakyat. Eh. 

Ini memang lejen. [Kredit]

Ini membawa kita kepada poin yang terakhir; kerajaan akan membantu meringankan beban rakyat dengan meneruskan pemberian BR1M (dan lain-lain insentif).

BR1M. Di mana mahu bermula pon saya tak tahu. Terlalu banyak kebobrokan dan kepincangan pada BR1M ni! 

Mari kita lihat semula kepada sebab utama kerajaan mahu melaksanakan rasionalisasi subsidi; untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Bukan?

Menurut perkiraan yang dikeluarkan oleh KDNKK, kerajaan akan berjaya menjimatkan RM1.3 bilion kesan langsung daripada pengurangan subsidi minyak kali ini.

Pada masa yang sama, kerajaan berjanji untuk terus memberikan BR1M kepada mereka yang layak. Untuk pemberian BR1M bagi tahun 2014 seperti yang telah diperuntukkan di dalam bajet negara, kerajaan telah membelanjakan RM4.5 bilion untuk tujuan itu. Empat perpuluhan lima bilion ringgit Malaysia bak hang! 

Nah, anda tidak perlu mengambil ijazah sarjana muda dalam ilmu hisab untuk membuat perkiraan sendiri bukan? 

Segala penjimatan dan manfaat yang mungkin ada hilang lesap begitu sahaja dengan pemberian BR1M. Memang terbaik. Saya tidak faham dan tidak nampak mengapa pemberian BR1M juga dilihat sebagai pemberian subsidi. Sungguh saya tidak dapat mengotakkannya.

Baiklah. Ada yang berhujah bahawa pemberian BR1M yang menggunakan format pemberian tunai secara terus adalah jauh lebih baik kerana ia menyasarkan golongan yang benar-benar layak sahaja, berbanding dengan subsidi minyak yang bersifat universal; sesiapa sahaja baik miskin atau kaya akan mendapat faedahnya.

Mereka yang menggunakan hujah ini terlepas pandang kepada dua perkara penting:
  • Kerajaan tidak boleh mengawal jenis perbelanjaan yang akan dilakukan oleh penerima BR1M; dengan kata lain, sebaik sahaja menerima wang sagu hati BR1M, penerima boleh berbelanja sesuka hati mereka 
  • Kesan lansung cost-push inflation seperti yang diterangkan sebelum ini, yang akan menyebabkan kesan domino di luar kawalan pada harga barangan yang lain
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, ehem, kerajaan sepatutnya menyediakan mekanisme untuk memastikan wang yang diberikan disalurkan kepada perbelanjaan yang bersifat produktif dan menyumbang kepada ekonomi negara. Dah kalau pakcik X menggunakan duit BR1Mnya untuk membeli rokok, Abam W menggunakan duit BR1Mnya untuk membeli VCD porno dan Makcik Q menggunakan sumbangan BR1Mnya untuk gelang emas, bagaimanakah semua itu dapat memberikan maslahat yang bersifat menyeluruh kepada negara?

Saya kuat berpendapat, penerusan subsidi minyak di peringkat ini adalah jauh lebih baik daripada pemberian BR1M yang hanya memberikan kesan secara sekali lalu (Baca: One-off). Dengan syarat, perbendaharaan dan sumber negara diurustadbir dengan efisien dan cekap. Dan pembangunan infrastruktur yang menggalakkan aktiviti ekonomi perlu dirancakkan agar dapat memberikan impak yang lebih signifikan untuk suatu tempoh masa yang lebih panjang.

Dengan hutang 1MDB mencecah sehingga RM38 bilion, kes-kes pecah amanah dan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan mahupon syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan entah macam-macam lagi keadaan yang menggambarkan berlakunya ketirisan yang kritikal, belum lagi dikira GST yang bakal dikuatkuasakan kelak, langkah rasionalisasi subsidi yang membebankan rakyat tampak tidak rasional dan tidak relevan sama sekali.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, rakyat berhak mendapat sesuatu yang lebih baik daripada ini. Sekiranya benar mahu mengurangkan subsidi minyak, maka kurangkan juga subsidi kereta agar kami semua dapat memandu kereta yang lebih baik! Baru kelas naik kereta mewah dengan harga minyak yang mahal! Wah!

Tarik nafas. 
Cabaran kini terletak pada kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib, terutamanya dalam pembentangan Bajet 2015 nanti untuk membuktikan bahawa rakyat akan sentiasa diutamakan. [Kredit]
Ini bukan sekadar penulisan tidak puas hati. Ini bukan sekadar cakap-cakap melepaskan geram.

Ini adalah penulisan untuk berkongsi ilmu. Ini adalah cakap-cakap untuk memberitahu.
Berapa ramai orang di luar sana yang akan terus tertipu dan diperbodohkan hanya kerana mereka tidak tahu.

Orang-orang yang berhujah dengan hujahan seperti,

"Hekeleh. Tudung Fareeda beratus boleh beli, minyak naik doploh sen pon bising!"

atau

"iPhone 6 boleh pulak kau sambar. Harga minyak naik doploh sen kau dah gegar! Pergi pindah negara lain la bang!"

atau

"Sebelum ni isi minyak penuh RM60.00. Naik doploh sen, baru RM60.20! Kau nak kecoh apa..??"

Saya nasihatkan, lebih baik anda mengaji sebelum mengeluarkan kenyataan yang memalukan diri. Dan yang terakhir itu, err, silalah daftar masuk tusen Matematik ya? Wahahaha.

Silakan bersetuju untuk tidak bersetuju. Malah saya amat mengalu-alukan sebarang perbincangan dan kritikan yang konstruktif untuk tulisan saya kali ini. 

Kesimpulannya? Maaf, saya gagal merasionalkan rasionalisasi subsidi minyak kali ini.

Titik. 

-gabbana- 

Sumber:

20 December 2013

Malaysia Masih Aman; Bercukurlah!

[Kredit]

Populariti Dato' Sri Najib merudum daripada 62% pada tahun lepas ke 52% Disember baru-baru ini, menurut kajian dan bancian oleh Pusat Merdeka, satu badan bereputasi tinggi dan boleh dipercayai dalam kajian sedemikian rupa, melalui Bancian Pendapat Awam 2013 mereka. Kira sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, peluang untuk kerajaan Barisan Nasional mengekalkan kedudukan mereka adalah 50:50.

Hasil bancian tersebut merupakan tamparan hebat bukan sahaja kepada Perdana Menteri, malah kepada seluruh kerajaan Barisan Nasional amnya. Pengumuman demi pengumuman yang dibuat untuk menaikkan harga barang (atau mengurangkan subsidi, mana-mana yang anda suka, kerana hasilnya tetap sama. Apa kau orang ingat rakyat bodohkah..? Eh.) jelas telah memberi kesan langsung kepada populariti kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib.

Apa yang lebih mencemaskan dan menjengkelkan pada masa yang sama, pengumuman-pengumuman yang dibuat jelas mencabul atau menafikan manifesto-manifesto yang dicanangkan pra Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu. Meski manifesto bukanlah janji yang mesti ditepati, namun ia melambangkan integriti dan maruah parti yang bertanding. Jika manifesto yang dibuat hanya untuk memancing undi semata-mata, maka kerajaan yang menang adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan amanah dalam menabur janji kepada rakyat. Kalau macam tu lebih baik janji Malaysia akan layak ke Piala Dunia 2014. Ohoi.

Menurut Professor Khoo Kay Peng, nama yang tidak asing lagi dalam arena analisa politik negara, apa yang menyebabkan populariti Dato' Sri Najib jatuh dengan begitu merudum dalam tempoh yang agak singkat adalah kerana unjuran dan seruan yang dibuat kerajaan langsung tidak diimani oleh para menteri kabinet, ahli-ahli parlimen dan wakil rakyat Barisan Nasional sendiri. Mereka menyuruh rakyat agar berjimat, namun mereka paling ke hadapan sekali dalam hidup bermewah dan bersenang-lenang. Mereka menyuruh rakyat jangan makan ayam atau daging jika harga keduanya naik, namun mereka ini terlalu mampu untuk makan di restoran-restoran mewah Michellin lima bintang. 

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh para menteri kabinet juga menampakkan ketidakmatangan mereka dalam berhadapan dengan kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat.

"Jika tidak suka dengan undang-undang negara ini, sila berpindah ke luar negara."

"Jika tidak suka dengan sistem pendidikan negara, bolehlah hantar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan belajar di luar negara."

"Jika tidak suka harga gula naik, jangan minum teh tarik."

"Jika tidak suka harga minyak naik, silalah kayuh basikal ke tempat kerja."

"Jika tidak suka harga tol naik, bolehlah bakar kompleks tol yang ada."

Ok, obviyes jugalah saya mereka-reka dialog di atas. Tapi anda faham apa yang saya maksudkan.

Kerajaan juga perlu lebih sensitif dan peka pada tahap kepandaian dan kebijaksanaan rakyat. Rakyat tidak bodoh dan dungu. Rakyat membaca. Rakyat pernah ke luar negara dan melihat sendiri kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat di negara lain. Rakyat tengok berita. Rakyat buka internet dan main MukaBuku. Dunia hari ini tidak sama lagi seperti dahulu. 

Contohnya, kerajaan suka membuat perbandingan dengan negara-negara yang tidak sekufu ketika mana mahu menjustifikasikan polisi atau undang-undang baharu yang mahu diperkenalkan. Ketika mahu melaksanakan GST (Cukai Perkhidmatan Kerajaan), kerajaan membuat perbandingan dengan negara-negara maju. Ketika mahu mengurangkan subsidi minyak, kerajaan membuat perbandingan dengan negara-negara BUKAN pengeluar minyak. Aduhai, pak dan mak menteri ingat kami di universiti dahulu main jet kertas dan balas-balas surat chenta sahajakah? 

Mari saya berikan contoh mudah tentang GST, untuk membuktikan betapa dangkalnya perbandingan yang dibuat kerajaan. Pada dasarnya, saya sendiri bersetuju dengan pelaksanaan GST, kerana ia menyasarkan golongan yang kaya dan berkemampuan. Maknanya, orang kaya akan membayar cukai yang lebih kerana secara teorinya, golongan ini yang akan berbelanja lebih. 

Masalahnya, GST yang bakan dilaksanakan di Malaysia akan melibatkan semua pihak, dari pihak pembekal bahan mentah, pihak pengeluar, pihak pengilang, pihak pemproses sehinggalah ke pihak pembeli. Suka atau tidak, harga barangan akan naik. Walaupon kerajaan sudah memberi jaminan bahawa barang-barang asasi tidak akan dikenakan GST, kesan bola salji (Baca: Snowball effect) atau kesan Domino (Baca: Bukan Pizza Domino's) akibat pelaksanaan GST akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhannya.

Maknanya, nak baiki paip bocor pon nanti akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak makan malam lilin romantik berdua akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak hias rumah dengan perabot IKEA akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak beli selipar Fipper akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak makan aiskrim Paddlepop pon akan jadi lebih mahal dari biasa.

Pendek kata, kualiti kehidupan (Baca: Living standard) rakyat Malaysia dijangka akan menurun selepas pelaksanaan GST.

Inilah masalahnya. Saya masih ingat dahulu ketika saya menuntut di  Kerajaan Bersatu, kualiti kehdiupan rakyat di sana cukup tinggi, meskipon mereka dikenakan GST (di sana dikenali sebagai VAT; Value Added Tax) dan cukai pendapatan mereka juga tinggi. Mengapa? Kerana gaji mereka tinggi, dan pada masa yang sama barangan keperluan seharian mereka amat berpatutan harganya. 

Misalnya, sekiranya saya mahu membeli-belah barangan dapur, saya hanya memerlukan £50 untuk memenuhkan satu troli. Hallo, ini satu troli penuh dengan beras, gula, emping jagung, susu, roti, telur, teh, kopi, sos cili, malah barang-barangan 'mewah' lain seperti cokolat, snek dan sebagainya.  £50 pada hari ini bernilai kira-kira RM250.00. RM250.00 untuk satu troli...?? Mana nak dapat di Malaysia ni, hatta di Mydin sekali pon...??

Dengan hanya  £30 misalnya, anda sudah boleh melanggan perkhidmatan komunikasi untuk sebulan, lengkap dengan internetnya sekali. Dan oh, telefon percuma. Ya, percuma! Dengan kurang lebih £80 (harga untuk pelajar), anda boleh ke mana-mana sahaja yang anda suka menaiki bas atau perkhidmatan keretapi bawah tanah, asalkan anda di dalam Zon 1 dan 2.

Itu belum lagi diceritakan kegilaan membeli-belah di sana, terutamanya ketika musim-musim harga runtuh. Di sana, apabila disebut harga runtuh, harganya benar-benar runtuh, bukan macam di Malaysia ini yang buat-buat runtuh, kemudian bina semula. Eh. 

Dan untuk lebih praktikal, nila matawang £ tidak sepatutnya ditukar ke dalam nilai ringgit. Kerana bagi mereka di sana, £50 adalah RM50.00 kita di sini. £30 seolah-olahnya adalah RM30.00 di sini. RM30.00 untuk perkhidmatan komunikasi lengkap dengan internet selama sebulan? Dan telefon percuma lagi..?? Pasti anda berada dalam dunia Alice atau Doraemon.

Mengapa? Kerana purata gaji mereka yang tinggi. Untuk menambah garam ke luka, seorang pemandu bas di Kerajaan Bersatu menerima gaji lebih daripada £2,000.00 sebulan (termasuk elaun). Malah seorang jurutera lantai (Baca: Pengemop lantai), kerjaya yang amat popular dalam kalangan para pelajar Malaysii di sana, boleh memperoleh sehingga £800 sebulan. Sekarang bandingkan dengan harga barangan di sana. Kegilaan apakah ini...??

Nah, anda sudah nampak bezanya sekarang? 

Masalah utama yang menyebabkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia tidak setanding dengan negara-negara lain adalah kerana kadar kenaikan pendapatan isi rumah tidak setara dengan kenaikan harga barang. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, kadar kenaikan gaji secara purata rakyat Malaysia adalah negatif untuk tempoh sepuluh tahun yang lepas! 

Purata kadar kenaikan gaji adalah sekitar 2.6% sedangkan kadar inflasi secara puratanya meningkat 2.8% setiap tahun! Dengan kata lain, meskipon kadar gaji naik setiap tahun, namun ia tidak mampu untuk 'mengejar' kenaikan harga barang yang begitu pantas kudaku lari gagah berani. Eh.

Terasa macam nak nanges tak..? [Kredit]
Contohnya, dua puluh tahun lalu seorang eksekutif bergaji RM1,500.00. Harga sekeping roti canai dan segelas teh tarik ketika itu adalah RM1.50. Dengan gaji sebanyak itu, sang eksekutif mampu untuk makan dan minum 500 keping roti canai dan gelas teh tarik (untuk memudahkan perbincangan. Gila apa nak makan 500 keping roti canai dan teguk 500 gelas teh tarik. Peluh.)

Sekarang, seorang graduan yang baru bekerja menerima gaji secara purata sebanyak RM2,400.00. Tapi kos sekeping roti canai dan teh tarik adalah kira-kira RM3.00. Maka kini, seorang graduan yang marhaen hanya mampu untuk membeli 400 keping roti canai dan 400 gelas teh tarik, kurang 100 setiap satu berbanding dengan 20 tahun yang dahulu. 

Itu belum lagi dikira dengan harga rumah yang melambung ke langit. Jika dahulu seorang pekerja kolar putih bergaji RM2,000.00 sebulan sudah mampu untuk membeli rumah bertanah secara bayaran ansuran, dengan harga rumah antara RM200,000-300,000 (di kawasan Lembah Klang). Kini, meskipon bergaji RM4-5,000.00, mana nak cari rumah bertanah dengan harga bawah RM300,000.00 di kawasan Lembah Klang? Takkanlah nak ulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap hari? Kau mampu?

Belum lagi dikira dengan kos-kos hidup yang lainnya. Kereta, elektrik, makanan, internet, pinjaman bank dan lain-lain lagi. Padanlah ramai anak-anak muda sekarang ini belum apa-apa lagi sudah licin kepala mereka. Wahahaha. Eh.

Dan apa maklumbalas kerajaan sekiranya dihujahkan sebegini rupa?

"Ah kalau kami tidak suka, kamu pindahlah ke Kerajaan Bersekutu tu Inche gabbana!"  

Alahai. Tuan dan Puan Menteri, anda silap. Kami, rakyat marhaen ini, apabila kami mengomel dan menyatakan rasa tidak puas hati, bukan kerana kami tidak sayang negara ini. Bukan kerana kami benci kepada tanah tumpahnya darah kami ini.

Kerana kami sayanglah kami komen. Kerana kami chentalah kami kritik. Kerana kami peduli la kami mengomel. Kerana kami semua mahukan yang terbaik buat negara ini. Kerana kami mahu berdiri gah, hidung kembang-kempis penuh bangga dengan jiran-jiran sebelah rumah dan jiran-jiran jauhlah kami. Kerana kami mahu hidup gembira dan bahagia buat selamanya. 

Ini tidak, sikit-sikit, rakyat yang salah. Sikit-sikit, rakyat tidak tahu bersyukur. Sikit-sikit, pindah negara lain. Adoila mudahnya sifir kalian semua. Dahulu belajar sampai darjah berapa ya? Ops.

Masalah utama yang mendasari kepada masalah-masalah ekonomi sepertimana yang kita lihat dan omel hari ini, adalah disebabkan wujudnya vakum yang besar pada pentadbiran cekap (Baca: Good governance) dalam kerajaan. Ketirisan berlaku hampir dalam setiap urusan kewangan dan perniagaan yang dikendalikan badan kerajaan. Rasuah itu perkara biasa. Projek 2 juta, tapi yang terbina hanya 1 juta kerana 1 juta lagi dah dibelanjakan di Disneyland. 

Geleng kepala.  

Saya kira, rakyat boleh terima kenaikan harga-harga barang ini sekiranya tidak berlaku ketirisan melampau dalam menguruskan harta benda dan khazanah negara. Rakyat tidak akan berkira sangat andai kemudahan-kemudahan asas tersedia dengan baiknya. Dan rakyat juga tidaklah kisah sangat dengan kenaikan tarif itu dan kenaikan tambang ini andai kerajaan yang memerintah benar-benar mengambil berat akan kebajikan rakyat.

Rakyat tidak kisah harga tambang LRT naik andai perkhidmatannya secekap MRT di Singapura atau London Underground.

Rakyat tidak berkira sangat harga gula dan minyak naik andai kekayaan negara dibahagi sama rata dan saksama. 

Rakyat tidak peduli sangat andai dinaikkan harga tol, dan pada masa yang sama mereka punya pilihan untuk menggunakan perkhidmatan kenderaan awam yang efektif dan cekap. Dan pada masa yang sama syarikat konsesi tidak terlalu tamak untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin!

Rakyat tidaklah marah sangat andai mahu dinaikkan tarif elektrik dan pada masa yang sama, kerajaan tidak membeli jam dinding pada harga RM300.00 sebuah.  

Dan rakyat pon pandang sebelah mata jugalah dengan kenaikan harga minyak dan gula, andai pak-pak dan mak-mak menteri menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Usia istem keretapi bawah tanah di London sudah mencapai ratusan tahun, tapi kecekapannya sehingga kini amat sukar untuk ditandingi. Ah rindu London! [Kredit]
  
Kerajaan juga perlu lebih jujur dan berhenti memberikan alasan-alasan bodoh yang tidak menampakkan kematangan pihak pemerintah. Rakyat sudah besar. Rakyat sudah matang. Rakyat perlu ditangani dan diuruskan sesuai dengan perkembangan teknologi dan keadaan semasa. 

Rasuah perlu diperangi dengan sehabis baik. Jangan hanya ikan-ikan kecil yang ditangkap dan digoreng, ikan-ikan besar juga perlu dijala dan dibuat masak lemak cili padi. Ketirisan mesti dikurangkan. Kerajaan wajib mentadbir negara dengan lebih amanah dan ihsan.

Kita bukannya negara yang miskin dengan sumber kekayaan semulajadi. Kita bukannya negara yang tidak habis-habis berperang sesama sendiri. Malah kita cukup bertuah kerana bebas daripada bencana-bencana alam besar yang sering melanda negara lain.

Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk kita tidak maju ke hadapan. Kekayaan dan kemakmuran yang ada pada negara ini sewajarnya mampu untuk mengangkat martabat kita ke suatu tahap yang lebih tinggi. Malah lebih daripada itu, kita juga mampu untuk sampai ke suatu tahap di mana kita menjadi pelindung dan memperjuangkan nasib-nasib negara yang lebih lemah.

Namun ia hanya tinggal angan-angan dan impian, andai tiada siapa yang mahu mengubah keadaan 'selesa' dan tidak mahu keluar dari kepompong kejumudan ini. Malaysia akan terus syok sendiri, berbangga dengan statistik yang tidak pernah wujud dan pencapaian yang tidak dipandang oleh sesiapa.

Tahun 2014 akan menjadi tahun yang amat sukar dan neraka buat kebanyakan rakyat Malaysia. Yang kaya akan bertambah kaya, sedangkan yang miskin akan terus papa.

Rakyat kini ibarat gunung berapi yang sedang bersedia untuk meletup. Andai kerajaan tidak bijak menangani situasi yang sedia ada dan terus-menerus mengayakan kroni-kroni mereka sambil memberika alasan-alasan budak tadika, bila-bila masa sahaja rakyat akan bangkit dan mempamerkan kemarahan mereka. 

Sudah tiba masanya harta-benda dan khazanah negara diurus dengan adil dan saksama.

Sudah tiba masanya kerajaan amanah, jujur dan bersih dalam mentadbir negara.

Dan sudah tiba masanya, kerajaan sedar, negara ini adalah kurniaan Allah dan milik rakyat jelata, bukan hak milik mak bapak mereka.

-gabbana- 

Menulis artikel ini tidak bermakna saya menyebelahi pihak pembangkang. Kita perlu mengubah mentaliti kita bahawa menyokong itu tidak semestinya kerajaan dan mengkritik itu tidak semestinya pembangkang.

Saya bukanlah pakar ekonomi pon. Ada lah ilmu sikit-sikit. Rakyat marhaen katanya. Namun harapnya perkongsian yang ringkas ini bermanfaat untuk ada semua. 

Aman, tanpa perang. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP