31 December 2013

Gelak Turun-Turun

[Kredit]

TELUK ANSON, 29 Disember 2013 - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digesa untuk mengkaji semula cadangan untuk mendaftarkan kata 'guling' sebagai ganti nama (atau sinonim) kepada kata 'turun.' Hal ini mungkin akan menyebabkan kekeliruan yang mengerikan di samping kekacauan yang akan menggugat kestabilan dan keamanan negara.

Menurut Encik Somtam Berahim, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kudup Teratai, tindakan DBP itu dilihat sebagai tidak relevan dan mementingkan diri. "DBP sepatutnya menjadi lebih pro-aktif dalam menangani isu-isu semasa dan terkini, terutamanya apabila ia melibatkan kepentingan masyarakat secara umum. Penukaran ganti nama 'turun' itu akan menyebabkan anak-anak murid saya tidak keruan dan gila meroyan."

Cadangan DBP ini bukan sahaja akan memberikan kesan kepada warga akademik, tetapi juga masyarakat secara umumnya. Menurut Makcik Lailatul Karim, seorang penjual nasi lemak sambal kerang tepi jalan, "Makcik dan konpius dah sekarang ni. Hari tu ada seorang pelanggan dok cakap kat Makcik, 'Ala makcik, gulingkan harga nasi ni. Saya amik separuh je nasi. Guling sikit deh?' Makcik pening. Makcik pening!"

Antara situasi-situasi lain yang dijangka akan terjejas teruk dengan langkah yang bakal dilaksanakan oleh DBP ini termasuklah:

Situasi 1
"Leman..! Lemaaaannn! Mana kau Lemaaannn..!! Oooohh kau ponteng sekolah ye hari ni...?? Cikgu kau telepon mak tadii...! Lemaaann! Kau guling sekarang Leman, kau gulinggg!!!"

Situasi 2
Beberapa pemain bola sepak wakil daerah Rompin dilihat berguling-guling di atas padang bola selama beberapa minit, sehinggalah ada yang pening-pening lalat dan muntah-muntah.

Apabila ditanyakan kepada mereka, apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian, ini jawapan mereka:

"Entah. Jurulatih suruh guling padang tadi pukul 5."

Situasi 3
"Weyhh seram aku tengok bomoh Siam sorang ni," bisik Andy Murray.

"Aik? Apehal nak seram pulak? Kau bukan selalu mintak nombor ke?" jawab rakannya, Rafael Nadal.

"Ye la. Selalunya tak macam ni. Ni siap guling-guling lagi."

"Ye la, nak mintak nombor, kenalah mengguling!"

Situasi 4
"Leha, oh Leha. Dah nak Maghrib ni. Kau tolong gulingkan langsir tu. Ha ye la, langsir kat ruang tamu tu. Kau gulingkan elok-elok ye?"

Situasi 5 
Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Merdeka, populariti Dato' Sri Najib telah mengguling sejak beliau mengumumkan satu demi satu kenaikan harga barang. 

Situasi 6
"Eh Mail...?? Kau buat apa tu...??"

"Lah, kata nak guling ke laut kan hari ni..? Aku tengah mengguling la ni!"

Situasi 7
*sarikata Bahasa Melayu filem Spiderman*

"Hah! Tengok tu! Spiderman sedang guling dari atas bangunan! Kool!"

Situasi 8
Seorang ustaz sedang memberikan tazkirah di sebuah surau.

"Ego dan manusia memang tidak dapat dipisahkan. Namun seorang mu'min itu mestilah pandai menguruskan egonya. Kalau egonya terlalu tinggi, dia hendaklah menggulingkan egonya itu sebaik mungkin."

Situasi 9
Nilai pasaran saham Syarikat Biskut Cap Bola Baling mengguling dengan teruk sekali, rentetan harga gula yang naik menyebabkan produk utama syarikat tersebut, Biskut Gula Hohoyeah tidak lagi mendapat sambutan di hati para pelanggannya.

Situasi 10
*Iklan produk Sendayu Rendah*

"Dapatkan produk kami dengan segera! Ia gerenti akan menggulingkan berat badan anda serta-merta, sekiranya anda mengambilnya dengan istiqamah, tiga kali sehari setiap kali selepas makan!"

Situasi Bonus* 
Lagu Sudirman yang  dimodenkan:

"Hujan yang guling, bagaikan air mata..."

Demikianlah beberapa situasi yang dijangkakan akan menyebabkan masyarakat keliru dan garu kepala sekiranya DBP benar-benar akan melaksanakan pendaftaran 'guling' sebagai ganti nama kata 'turun.' Sebarang tindakan melulu dan tergopoh-gapah bukan sahaja akan menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia, malah dijangkakan akan turut memberi kesan kepada ekonomi dan industri hiburan negara. 

Sekian melaporkan, dari bilik berita Sinar Parodi.

-gabbana-

*(Terima kasih kepada idea seorang pembaca di MukaBuku) 

Lepas ni kalau baca Mutiara Naga terjemahan baru, ada kemungkinan akan keluar dialog seperti ini:

"Son Goku! Cepatlah! Panggil awan turun kamu datang sekarang juga!"

Awan turun = Awan guling

Wahahaha. Peluh kecil. 

Ada sesiapa nak guling ke masjid malam ni dengan saya, sambut tahun baru dengan tahajjud dan munajat..? Senyum. 

30 December 2013

Ukasyah Telah Mendahului Kalian!

[Kredit]

Siapa yang tidak mahu masuk sorga?

Jika ada orang yang tidak mahu, sama ada kepala orang itu masuk air atau sepanjang hayatnya, dia tidak pernah tahu akan kewujudan tempat yang bernama sorga.

Tetapi, sejauh mana kita benar-benar mahu memasukinya? Ya, jika ditanya, semua orang akan bersungguh-sungguh mengangguk-anggukkan kepala, membundarkan mata dan mengangkat kening tanda mereka mahu masuk sorga. Tetapi seseriyes mana kita? Sejujur mana hati dan jiwa kita merasakan kita chenta pada sorga? Sesungguh mana kaki kita benar-benar mahu melangkah ke dalamnya?

Adakah kita sudah benar-benar fanatik dan obses untuk masuk ke dalam sorga?

Telah diriwayatkan kepada kita sepotong hadith dari ar-Rasul SAW, mafhumnya:

"Tujuh puluh ribu dalam kalangan umatku akan masuk sorga tanpa hisab."

[Hadith Riwayat Muslim]

Diceritakan juga bagaimana apabila selesai membacakan hadith itu (hadith penuhnya lebih panjang), seorang sahabat, Ukasyah bin Mihshan r.a. bangkit dan meminta kepada baginda supaya mendoakan beliau termasuk salah seorang daripada tujuh puluh ribu itu. Baginda langsung membenarkannya.

Melihatkan gelagat Ukasyah itu, maka bangkitlah sahabat-sahabat yang lainnya dan meminta Nabi untuk mendoakan perkara yang sama untuk mereka. 

Apa kata Nabi SAW?

"Ukasyah telah pon mendahului kamu."

Apa signifikannya kisah Ukasyah ini?

Ketahuilah, masuk sorga tanpa hisab, adalah suatu tiket VVVVVIP yang teramat bernilai dan tinggi harganya. Ia seakan-akan masuk sorga dengan percuma. Free of charge. Jika kita mengetahui nilai sebenarnya dan tahu bagaimana untuk mendapatkannya, percayalah, kita akan sanggup untuk melakukan apa sahaja, termasuk merangkak dan mengengsot untuk mendapatkannya. Dengan apa cara sekalipon. 

Setiap orang muslim yang ada iman dalam sanubarinya, InshaAllah lambat laun akan masuk sorga juga. Tapi dia pasti akan dihisab, yakni amalannya sepanjang hidupnya di dunia akan dihakimi dan diteliti oleh Allah.

Maknanya, seorang manusia yang terpaksa melalui penghakiman Allah, belum tentu lagi akan ke sorga atau neraka selagi proses hisabnya tidak selesai. Yang lebih mengerikan dan menyebabkan saya terasa seperti mahu terkenching dalam seluar adalah bagaimana telitinya Allah dalam menghisab setiap amalan kita. Tiada satu pon amalan yang akan terlepas pandang daripada perkiraan dan penghakiman Allah. 

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya."
[al-Zalzalah, 99:7-8]

"Dan 'Kitab-kitab Amal' juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: 'Aduhai celakanya kami! Kitab apakah ini? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan tercatat semuanya!' Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun."
[al-Kahfi, 18:49]


Gulp.

Boleh jadi, kita sudah yakin yang kita akan masuk sorga dek amalan-amalan soleh kita di dunia, namun selepas dihisab, didapati dahulu di dunia kita selalu menganiaya kucing sebelah rumah dengan mencabut bulu-bulunya, maka kita akhirnya ditempatkan di neraka.

Boleh jadi, kita merasakan yang sedekah dan zikrullah kita dahulu di dunia akan menyelamatkan kita daripada azabnya api neraka, namun selepas dihisab, dahulu kita ini kaki mengumpat; pahala-pahala kita telah disedekahkan secara percuma kepada mangsa-mangsa umpatan kita.

Dan boleh jadi juga, ada hutang-hutang yang kita terlepas pandang, ada hak-hak saudara kita yang kita zalimi, hingga menyebabkan amal-amal soleh kita di dunia, yang kita sangkakan akan memasukkan kita ke dalam sorga, terbang melayang ibarat habuk dan debu yang ditiup angin kencang.

Nanges. 

Lantas, dapat masuk sorga tanpa hisab sungguh adalah satu anugerah dan nikmat yang cukup besar. Tidak ternilai harga dan keagungannya. Impian setiap mu'min yang rasional, bersih hatinya dan benar imannya. 

Soal sama ada masih ada kuotakah untuk masuk sorga tanpa hisab itu, itu bukan urusan kita. Ya, jika difikirkan, sudah berapa ramai umat Islam yang hebat-hebat, Super Saiya dan boleh keluarkan kamehameha sejak zaman ar-Rasul SAW dan para sahabat, seolah-olahnya tidak punya harapan lagi untuk kita menjadi salah seorang daripadanya. Boleh jadi gila kita dibuatnya!

Tapi itulah cantiknya hadith ini. Ia membiarkan kita terus tertanya-tanya dan berharap, agar masih punya tempat kosong untuk kita dan mereka yang kita kasihi dan chentai keranaNya. Sifatnya yang ghaib (ghaib kerana tidak diketahui siapakah tujuh puluh ribu orang itu) menyebabkan ia seolah-olahnya memberikan harapan kepada kita, meski harapan itu tipis dan kecil.

Harapan tetap harapan. Dan harapan itu akan terus menghidupkan.

Lantas di sinilah, Ukasyah r.a. benar-benar menjadi qudwah kepada kita. Sungguh, Ukasyah benar-benar beriman dengan ayat chenta Allah yang satu ini:

"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang...
[ali-Imraan, 3:133-134]


Berapa kali dalam hidup kita, kita diajak ke arah kebaikan dan kita kata, "Lek lek lu, isap okok dulu..."?

Berapa kali dalam hidup kita, kita diberi tawaran untuk mendekatkan diri kita dengan Tuhan, dan kita punya fikiran kedua (Baca: Second thought) tentangnya?

Berapa kali dalam hidup kita, kita ditawarkan dengan tiket-tiket ke sorga dan hati kita berbolak-balik, tidak pasti untuk membelinya...?

Berapa kali dalam hidup kita, kita diajak untuk menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah, dan kita was-was dengannya, kerana memikirkan pengorbanan yang terpaksa kita lakukan kelak?

Berapa kali dalam hidup kita, kita ditangkap untuk bersama-sama dalam konspirasi tarbiyah, menyebarkan kebaikan dan kebahagiaan ke seluruh dunia dan kita berusaha dengan gigih untuk melepaskan diri daripadanya...?

Sekali? Dua kali? Tujuh kali? Banyak kali sehingga kita tidak mampu mengingatinya lagi...?

Nah, apa yang dapat kita belajar daripada Ukasyah?

Daripada Ukasyah, kita belajar peri pentingnya untuk kita bersegera mendapatkan kebaikan dan ganjaran dari Allah.

Daripada Ukasyah, kita belajar menjadi orang yang mengikut-ikut sahaja tidak mencukupi.

Daripada Ukasyah kita belajar untuk lebih pro-aktif dan seriyes dalam mengejar keredhaan Allah dan tidak perlu malu-malu kucing untuk melakukannya.

Daripada Ukasyah kita belajar jangan tunggu-tunggu dan tangguh-tangguh lagi apabila peluang sudah terbentang di hadapan mata.

Dan daripada Ukasyah juga kita belajar, untuk menjadi manusia yang luar biasa, kita mesti berani dan sanggup melakukan perkara yang luar biasa juga!

Bagaimana? Kita mahu menjadi salah seorang daripada tujuh puluh ribu orang yang akan masuk sorga tanpa hisab itu? Kita mahu menjadi hamba yang amat dekat denganNya? Kita mahu menjadi seorang manusia yang luar biasa, sebaris dengan para sahabat Nabi SAW, salafus soleh tabie' dan tabi'in?

Maka!
"Fafirru ilallah! Maka segeralah kembali kepada (menaati) Allah."
[adz-Dzariyat, 51:50] 

Nah, Ukasyah mungkin telah mendahului kita semua. Sanggupkah kita membiarkan kita lebih ramai orang yang berlari-lari gembira, bersegera menuju sorgaNya, mendahului kita dan membiarkan kita terhegeh-hegeh di belakang..?

Sanggupkah kita...?

Wahai!
 
-gabbana- 

27 December 2013

Menjadi Nabi Nuh

Ghafir, 40:39. Senyum. [Kredit]

(Nota: Saya rasa... Saya rasalah artikel ini hanya sesuai untuk dibaca oleh mereka yang sudah terperangkap, eh, menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah. 

Boleh juga untuk dijadikan bacaan umum. Cuma... Err saya tidak bertanggungjawab tahu untuk sebarang kes kebotakan kepala kerana terlalu banyak menggaru kepala yang tidak gatal itu? Tersipu-sipu.)

Ada sesuatu yang ajaib lagi mengagumkan pada sosok yang bernama Nuh AS itu.

Untuk anda yang sering membaca, mentadabbur dan kalau rajin sedikit, membaca tafsir surah Nuh, anda pasti faham mengapa saya berkata sebegitu.

Baginda dikurniakan Allah dengan kesabaran dan keteguhan yang cukup tinggi dan kuat dalam menghadapi kaumnya yang degil tegar. Maka tidak hairanlah baginda adalah salah seorang daripada lima Rasul 'Ulul Azmi yang terkenal dengan mehnah dan tribulasi yang terpaksa mereka hadapi.

(Kuiz: Ehem. Namakan empat rasul 'Ulul Azmi yang lain. Muka teruja)

Sudah tentu, kelejenan Nabi Nuh terletak pada istiqamah dan keseriyesannya dalam menyebarkan risalah Allah yang Maha Tinggi itu. Di dalam surah Nuh, dicatatkan bagaimana:

 "Dia (Nuh) berkata, 'Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, justeru mereka lari (dari kebenaran).

Dan sesungguhnya, aku setiap kali menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jarinya ke telinganya dan menutup bajunya (ke wajahnya) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri.

Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan. Kemudian aku menyeru mereka secara terbuka dan diam-diam..'"
[Nuh, 71:5-9]

Hanya dua perkataan yang mampu saya ungkapkan ketika ini: Sumpah epik! 

Dan ada dua perkataan juga yang mahu saya tujukan kepada anda: Kau mampu...??

Ok saya tak mampu. Nanges. 

Namun, apabila kita mentadabbur ayat-ayat terakhir surah Nuh, kita mungkin akan berasa sedikit pelik. Kita mungkin akan membetulkan kedudukan kita kerana seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kita baca. Dan kita mungkin akan menggaru hidung dan kepala kerana sukar untuk kita telan dan hadam ayat-ayat chentaNya yang masuk ke dalam otak kita.

Apa ayat-ayatnya?

"Dan Nuh berkata, 'Ya Tuhanku, jangalah Engkau biarkan seorang pon di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi.

Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang jahat dan tidak tahu bersyukur.

Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku dan sesiapa pon yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua lelaki dan perempuan yang beriman. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran.'"
[Nuh, 71:26-28]

Apa yang anda perasan dengan ayat-ayat ini?

Ada bunyi-bunyi seperti baginda berputus-asa bukan? Ada bau-bau kekechiwaan bukan? Ada unsur-unsur hilangnya pengharapan bukan..?

Ini tidaklah begitu menghairankan. Di dalam surah Yusuf, Allah berfirman:

"Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan kaumnya) dan telah meyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka (para Rasul) itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang yang Kami kehendaki. Dan seksa Kami tidak dapat ditolak dari orang yang berdosa."
[Yusuf, 12:110]

Ya. Para Rasul dan Nabi juga berputus-asa (atau disangkan telah berputus-asa oleh kaum mereka). Ada masa-masa mereka juga kechiwa. Ada saat-saat mereka juga berasa bawah dan hilang pengharapan terhadap kaum mereka. Seperti Nabi Yunus AS yang lari membawa diri akibat tidak sanggup lagi berhadapan dengan kaumnya yang maha degil dan angkuh itu.

Namun apa syaratnya? Apa syaratnya untuk 'berputus-asa' dengan mad'u (sasaran dakwah)? Untuk berasa lemah dan kechiwa dengan manusia di sekeliling kita?

Jawapannya mungkin terkandung pada sepotong ayat dalam surah al-Ankabut:

"Dan sungguh, Kami telah utus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal bersama mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun."
[al-Ankabut, 29:14]

Seribu tahun kurang lima puluh tahun. SEMBILAN RATUS LIMA PULUH TAHUN.

Humangaih. 

Ya, di situlah rahsianya Nabi Nuh AS. Baginda berdakwah tanpa kenal erti penat dan lelah. Baginda terus-menerus meningatkan kaumnya beratus-ratus tahun lamanya, sehinggalah baginda benar-benar yakin yang tiada harapan lagi pada kaumnya itu. Baginda tidak berputus-asa dengan perjuangannya, sehinggalah kaumnya sendiri terang-benderang menolak dakwah yang dibawanya.

Tapi Inche gabbana... Err.. Manusia zaman sekarang ni, purata jangka hayat mereka dalam enam puluh ke tujuh puluh tahun je. Paling hebat seratus lebih sikit. Mana nak mampu lawan Nabi Nuh tu!

Peluh kecil.

Bukan jumlah tahun itu yang perlu kita perhatikan. Bukan berapa lama tempoh dakwah itu yang mahu kita tekankan.

Tapi lamanya baginda beristiqamah, konsisten dan terus-menerus mengingatkan kaumnya, sehinggalah sampai satu titik yang sememangnya tiada harapan lagi yang tinggal. Hatta saki-baki harapan sekalipon. Itulah yang kita mahukan.

Semangat Nabi Nuh itu. Keyakinannya. Kesungguhannya. Dan kekreatifannya dalam menyampaikan risalah. 

Kerana sifat seorang dai'e itu adalah mubaligh; yakni penyampai. Perkataan 'balagh' atau 'tabligh' itu sendiri mempunyai pengertian yang cukup besar dan mendalam. 

Menurut Dr. Hamam Sai'd dalam karyanya Qawaid Dakwah, seorang dai'e wajib menyampaikan mesej dakwahnya sehingga sasaran dakwah (mad'u) benar-benar jelas dan faham dengan apa yang hendak disampaikan (kaedah keempat). Bukan samar-samar. Bukan agak-agak. Bukan teka-meneka.

Tapi jelas. Faham. Angguk-angguk geleng-geleng. Eh. 

Arakian untuk sampai ke tahap itu, seorang dai'e mestilah jelas tutur katanya, mestilah menggunakan semua teknik dan kaedah yang dikuasainya untuk memastikan mesej dakwahnya sampai dan hendaklah kreatif dalam menyampaikan risalah dakwahnya. 

Maka ada makna yang lebih signifikan dan menyentap jantung pada hadith Nabi yang satu ini:

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat..."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Ballighu. Sampaikan.    

Bukan sekadar menyampaikan dan berlepas tangan. Bukan setakat beritahu dan kemudian tinggalkan. Bukan sekadar edar risalah dan kongsi artikel kemudian haihai baibai. Bukan setakat tulis status-status ala-ala Islamik di Mukabuku atau Pengicau selepas itu katakan, "Ok aku sudah sampaikan hoyeaahh!" Err.

Tetapi perlu dekati dan santuni. Mesti muayasyah (bergaul) dan bimbing sehingga faham. Mesti 'peluk' dan sentuh hati hati di luar sana. 

Seperti yang ditulis oleh Syaikh Ahmad Rasyid dalam al-Muntalaq, bab 'Pelukan Cendekiawan':

"Mesti berhubung dengan manusia. Mesti duduk bersama mereka untuk mengajar."

Hanya sahaja selepas kita melakukan semua ini, dan terus-menerus kita melakukannya dengan penuh semangat dan bersungguh, tidak mengharapkan apa-apa balasan melainkan keredhaan Allah semata-mata, dan ketika itu manusia di sekeliling kita masih tidak mahu menerima risalah yang kita bawa, menolak dan menafikan dakwah kita dengan penuh angkuh dan sombongnya, baharulah kita dibenarkan untuk 'berputus-asa' dan berasa kechiwa. 

Itu pon perlu diingat, Nabi Nuh AS tidak pernah berputus-asa dengan dakwahnya. Baginda tidak berasa kechiwa dengan risalah yang dibawanya. Baginda tidak juga berasa bawah dan hilang harapan dengan perjuangannya. Baginda tetap yakin dengan janji-janji Allah dan tetap tsiqah dengan perancanganNya.

Yang baginda kechiwakan adalah dengan kaumnya yang degil tahap raksasa gorgon itu. Yang baginda putus-asakan adalah dengan keangkuhan dan kehidungtinggian masyarakatnya yang tidak mahu membuang jahiliyyah dan taghut dalam kehidupan mereka. 

Maka apabila kita mula merasa kechiwa dan melemah dengan respon yang kita terima daripada mad'u kita, soroti semula kisah Nabi Nuh AS yang tidak pernah lelah menyampaikan risalah selama beratus-ratus tahun lamanya itu.

Tatkala kita merasa hilang pengharapan pada kemenangan Islam yang ibaratnya seperti tidak kunjung tiba itu, hayati kembali perjalanan hidup baginda yang terus-menerus berdakwah siang dan malam, terang-terangan dan diam-diam.

Dan ketika kita mula berasa putus-asa dengan dakwah yang kita bawa, dengan nasib ummah yang terus sengsara dan menderita, ingatlah pada Nabi Nuh AS yang meletakkan sepenuh pengharapannya kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Kerana dari Nuh AS kita belajar erti istiqamah yang sebenar.

Kerana dari Nuh AS kita belajar apa itu berputus-asa.

Kerana dari Nuh AS kita belajar erti keseriyesan dalam berdakwah.

Kerana dari Nuh AS kita belajar memanfaatkan masa yang ada.

Kerana dari Nuh AS kita belajar erti sebenar tarbiyah sampai mati.

Kerana dari Nuh AS kita belajar memaknai harga dunia dan akhirat.

Dan kerana dari Nuh AS, kita belajar untuk berdakwah semata-mata keranaNya, bukan untuk hasil di dunia.

Nah, layakkah untuk kita berasa kechiwa dan berputus-asa...?

Habuk masuk mata.

-gabbana-

Kadang-kadang kita tercari-cari kisah-kisah motivasi yang boleh membangkitkan kembali semangat dalam diri. Kita teraba-raba kuot-kuot yang boleh mengetuk pintu hati. Kita memburu tokoh-tokoh dan figur-figur yang dapat memberi kita inspirasi.

Kita lupa, al-Quran yang mengandungi kisah dan ibrah para Rasul dan Nabi itu, sentiasa ada di sisi. Iqra'! Bacalah! Kita pasti akan ketemu dengan apa yang kita cari.

Muhasabah buat diri.

Nanges lagi.

26 December 2013

Saya Rindu Tahu?

[Kredit]

Saya rindu tahu, dengan saat-saat ketika menghadiri halaqah dan liqa' itu benar-benar membasahkan dan mengisi jiwa, bukan sekadar aktiviti mingguan yang wajib dihadiri.

Saya rindu tahu, ketika mana ahli-ahli bulatan gembira bertanya khabar kerana mereka benar-benar ambil peduli tentang diri dan bukan sekadar menjadi modal pembuka bicara.

Saya rindu tahu, tatkala aktiviti qadhaya berjalan dengan rancaknya, benar-benar mahu berbincang tentang musykilah dakwi dan bersama-sama mencari solusinya, dan bukan setakat borak-borak kosong bergelak tawa.

Saya rindu tahu, masa-masa apabila seorang al-akh itu diberikan satu tugas atau tanggungjawab, dia pantas menerimanya dengan taat dan patuh, tanpa berbasa-basi dan petah memberi alasan, meski tugasan itu tampak seperti begitu sukar untuk dilaksanakan olehnya serang diri.

Saya rindu tahu, pada konferens-konferens riang yang menggugah jiwa dan membakar semangat hingga ia menyala-nyala, dan bukan sekadar perhimpunan manusia sekali sebulan bagi memenuhkan KPI.

Saya rindu tahu, apabila ikhwah bertanyakan "Kei fahal akhi?' dan mereka benar-benar memaksudkannya, dan bukan setakat ayat-ayat klise di waksep atau MukaBuku.

Saya rindu tahu, tatkala ikhwah saling mengambil berat sesama mereka, bukan sekadar bertanyakan khabar diri malah khabar amal dakwi dan tarbawi, amat risau andai ada ikhwah yang gugur dan futur.

Saya rindu tahu, dengan semangat-semangat membara ikhwah yang mahu menegakkan Islam di muka bumi, yang mahu mati syahid tanpa ragu-ragu lagi dan sanggup berkorban apa sahaja demi melihat al-Haq bangkit semula, dan bukan sekadar omong atau slogan kosong yang dilaung-laung.

Saya rindu tahu, saat-saat di mana ikhwah benar-benar beriman dengan lafaz 'bersangka baik' atau 'salamatus sadr' dan bukan hanya tahu menyebut-nyebutnya tetapi culas untuk beramal dengannya.

Saya rindu tahu, apabila ikhwah mendengar khabar atau cerita yang kurang enak tentang al-akh mereka, terus sahaja mereka mengatakan, "Subhanallah! Tidak patut kita berbicara tentang hal ini! Ini cerita dusta!" dan tidak terus bulat-bulat mempercayainya.

Saya rindu tahu, ketika mana ikhwah sentiasa bersedia menawarkan bahu untuk ditangisi dan peha untuk bermanja-manja, dan bukan hanya menghantar emotikon-emotikon manis dan ceria sebagai pengganti diri yang entah di mana. 

Saya rindu tahu, pada suasana dakwah, ikhwah dan akhawat benar-benar mahu mengajak manusia kepada Allah, bertungkus-lumus mahu menyentuh hati-hati luar sana, tanpa ada sebarang agenda atau propaganda yang tersembunyi.

Saya rindu tahu, pada perbincangan dan borak-borak dakwi dan tarbawi bersama ikhwah terchenta, bertanyakan berapa bulatan gembira, bagaimana keadaan hadek-hadek terchenta, bagaimana mutabaah amal harian, minggu itu berapa kali bangun malam, dan bukan sekadar borak-borak tentang kereta, keluarga dan rumah jenis apa yang bakal dibeli.

Dan saya rindu tahu, pada suasana dakwah yang tulus, yang bersungguh dan yang tidak mengharapkan sebarang pulangan dunia, tidak takut dan risau memikirkan cacian manusia dan mehnah dunia, kerana semuanya dilakukan hanya untuk mendapatkan keredhaanNya semata.

Ya Allah, saya rindu tahu...?

Ya Allah, Kau kuatkan hati ini, agar terus tsabat dan istiqamah di atas jalan perjuangan ini.

Ya Allah, jangan Kau tarik kenikmatan dan kelazatan berada di atas jalan ini. 

Ya Allah, Kau satukan hati-hati kami, biar kami bertelingkah dan berbalah di dunia ini, asal kami menuju destinasi yang sama; sorgaMu yang abadi.

Hanya kepadaMu aku menyerahkan diri ini. Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan Engkau jugalah sebaik-baik Hakim dan Pembalas.

Nanges.

*Diadaptasi daripada "Aku Rindu Zaman Itu", nukilan Almarhum KH Rahmat Abdullah, seorang Super Murabbi yang telah meninggalkan begitu banyak mutiara berharga di dunia yang fana ini 

-gabbana-

23 December 2013

Tersentap Jantung Gue

[Kredit]

Pagi tadi seperti biasa, bagi membunuh masa-masa terluang di dalam tren, saya mengambil kesempatan untuk menghabiskan tilawah al-Quran saya. Inilah antara kelebihan menaiki tren ke tempat kerja di mana saya punya ruang dan peluang untuk melakukan pelbagai perkara, termasuklah menghapdet status di MukaBuku. Eh.

Ditakdirkan Allah, saya bermula dengan muka surat pertama surah al-Anbiya'. Saya pon bacalah tanpa menaruh sebarang rasa syak wasangka. Eh, macam familiar pulak ayat ini, hati saya bermonolog dalaman. Lantas saya menjeling maksud ayat yang baharu sahaja saya baca:

"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat)."
[al-Anbiya', 21:1]

Gulp. Jantung saya berdebar-debar. Kenapa ayat ini lain macam kerasnya..?

Lantas saya membaca pula ayat kedua, dengan rasa sedikit teruja kerana mahu tahu apakah sambungan kepada ayat yang pertama. 

"Setiap diturunkan kepada mereka ayat-ayat yang baru dari Tuhan, mereka mendengarkannya sambil main-main."
[al-Anbiya', 21:2]

Ok. Smack. Down. 

Terasa seperti mahu gugur jantung ketika itu. Eh ke dah gugur..? Peluh.

Mari kita sama-sama bermuhasabah, muhasarawak, muhapahang dan yang sewaktu dengannya, menerusi ayat satu dan dua surah al-Anbiya' ini. 

Kita tahukah bila tarikh kematian kita? Tidak.

Kita tahukah bilanya akan berlaku hari kiamat? Tidak.

Kita tahukah apa nasib kita di Mahsyar kelak. Tidak. 

Kita tahukah berapa jilid buku pahala yang telah kita khatam dan berapa jilid pula buku dosa kita? Tidak.

Dan kita tahukah sama ada kita akan masuk sorga atau tidak? Tidak.

Nah, kita tidak punya jawapan kan untuk semua itu? Tapi apa yang kita lakukan? Apa persediaan kita..?

"...sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat)."

Kita terus dengan gigihnya mengejar dunia. Kita tidak habis-habis berbicara tentang harga rumah, kereta apa nak beli, nak melancong ke mana dan kerusi urut cap apa yang paling mengujakan. Kita tidak kisah melakukan dosa. Kita sudah biasa melihat orang lain bermaksiat dan menganggap ia biasa sahaja. Kita sering membuang masa dengan cakap-cakap dan borak-borak kosong yang tidak mendatangkan manfaat dan amal. 

Mana akhirat kita?

Ketika sujud di tikar sejadah. Ketita menziarahi orang yang sedang nazak nak mati. Ketika kita dijangkiti kudis dan penyakit kulit yang cukup menjijikkan. Ketika bisnes tapewer kita rugi teruk dan kita sudah kehabisan modal. Kita membacakan surah Yaasiin pada pusara nenek dan atok kita. Kita anak kita mahu menghadapi peperiksaan besar. Ketika tiba-tiba bumi yang kita pijak bergegar dan kita cepat-cepat lari menyorok bawah meja. 

Selepas itu? Apa cerita?

Kita kembali menchentai dunia. Kita terus berangan-angan untuk menjadi kaya seperti Mark Zuckerberg, Bill Gates, Tony Fernandes dan Syed Bukhari, sambil menikmati roti cicah kaya. Kita pantas berasa cemburu apabila melihat ada jiran menukar langsir baharu atau ada rakan sekerja yang baru balik melancong dari Uganda. Kita sanggup bekerja lewat malam, buat tiga empat kerja tambahan, semata-mata kerana mahu beli kereta baru yang lebih mewah dan besar dan supaya dapat pakai spek hitam Gucci dan tali pinggang kulit LV. Kita sanggup bermusafir nun ke Kedah sana semata-mata mahu menikmati cendol bakar dan kemudian ke Johor pula untuk makan laksa. 

Geleng kepala. 

Dan apa reaksi dan maklum balas kita apabila ada orang yang sudi mengingatkan? Apabila ada yang cukup berani untuk menegur dan manasihatkan? Apabila ada yang cukup kuat untuk membacakan ayat-ayat Tuhan? 

"Setiap yang diturunkan kepada mereka ayat-ayat yang baru dari Tuhan, mereka mendengarkannya sambil main-main."

Sambil main-main. 

"Lek la brooo. Kecoh la lu. Gua muda lagi kottt. Takkan muda-muda macam ni dah nak sarung jubah pakai serban...??"

"Alah kau ni, seriyes sangatlah. Sekarang dunia dah moden. Biasalah tu laki pompuan campur-campur. Tak kool lah kalau nak asing bagai. Kau ingat ni Taliban ke apa?"

"Eh ayat-ayat Quran tu Allah turunkan untuk Nabi dan para sahabat je en? Tak applicable untuk kita kan...?"

"Nak ikut sunnah Nabi? Ish tak logik kot. Tu sesuai masa dengan Nabi dan para sahabat je la, sesuai dengan padang pasir dan pokok kurma! Tumpuk-tumpuk, tahi unta! Eh."

"Dakwah? Tarbiyah? Usrah? Apa kejadah? Ekstrem gila kaaauu Bedah!"

Seperti si anak yang main-main dengan ibunya yang menyuruhnya mandi. Seakan-akan si murid yang main-main dengan gurunya yang menyuruhnya menyiapkan kerja sekolahnya. Tidak seriyes. Pandang enteng. Main-main.

Sedangkan...

"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka..."

Bila-bila masa sahaja Izrail boleh datang mencabut nyawa. Bila-bila masa sahaja kita boleh diserang sakit jantung dek kolesterol yang sudah tersumbat pada salur darah kita. Bila-bila masa sahaja kita boleh dilanggar lori ketika sedang melintas jalan raya.

Na'udzubillah...

Dan ketika itu, andai kita sedang berada dalam keadaan lalai, sedang asyik bermaksiat dan berbuat dosa, larut dalam kemewahan dan kechentaan kita kepada dunia, kita menanges air jus buah delima sekali pon, tiada apa yang dapat menyelamatkan jiwa kita. 

Dan andai kita menghadap Tuhan dalam keadaan itu, amal kita dihitung ketika mana kita bermain-main dengan ayat-ayatNya dan dahulu ketika di dunia kita langsung tidak mengendahkan seruan yang mengajak kita ke arah kebaikan, percayalah, ketika itu, tiada apa yang dapat menebus kembali penyesalan kita. Hatta dunia dan seisinya, yang suatu ketika dahulu amat kita chentakan itu. 

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.”
[as-Sajdah, 32:12]

Waduh, tersentap jantung gue! 

-gabbana-

20 December 2013

Malaysia Masih Aman; Bercukurlah!

[Kredit]

Populariti Dato' Sri Najib merudum daripada 62% pada tahun lepas ke 52% Disember baru-baru ini, menurut kajian dan bancian oleh Pusat Merdeka, satu badan bereputasi tinggi dan boleh dipercayai dalam kajian sedemikian rupa, melalui Bancian Pendapat Awam 2013 mereka. Kira sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, peluang untuk kerajaan Barisan Nasional mengekalkan kedudukan mereka adalah 50:50.

Hasil bancian tersebut merupakan tamparan hebat bukan sahaja kepada Perdana Menteri, malah kepada seluruh kerajaan Barisan Nasional amnya. Pengumuman demi pengumuman yang dibuat untuk menaikkan harga barang (atau mengurangkan subsidi, mana-mana yang anda suka, kerana hasilnya tetap sama. Apa kau orang ingat rakyat bodohkah..? Eh.) jelas telah memberi kesan langsung kepada populariti kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib.

Apa yang lebih mencemaskan dan menjengkelkan pada masa yang sama, pengumuman-pengumuman yang dibuat jelas mencabul atau menafikan manifesto-manifesto yang dicanangkan pra Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu. Meski manifesto bukanlah janji yang mesti ditepati, namun ia melambangkan integriti dan maruah parti yang bertanding. Jika manifesto yang dibuat hanya untuk memancing undi semata-mata, maka kerajaan yang menang adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan amanah dalam menabur janji kepada rakyat. Kalau macam tu lebih baik janji Malaysia akan layak ke Piala Dunia 2014. Ohoi.

Menurut Professor Khoo Kay Peng, nama yang tidak asing lagi dalam arena analisa politik negara, apa yang menyebabkan populariti Dato' Sri Najib jatuh dengan begitu merudum dalam tempoh yang agak singkat adalah kerana unjuran dan seruan yang dibuat kerajaan langsung tidak diimani oleh para menteri kabinet, ahli-ahli parlimen dan wakil rakyat Barisan Nasional sendiri. Mereka menyuruh rakyat agar berjimat, namun mereka paling ke hadapan sekali dalam hidup bermewah dan bersenang-lenang. Mereka menyuruh rakyat jangan makan ayam atau daging jika harga keduanya naik, namun mereka ini terlalu mampu untuk makan di restoran-restoran mewah Michellin lima bintang. 

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh para menteri kabinet juga menampakkan ketidakmatangan mereka dalam berhadapan dengan kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat.

"Jika tidak suka dengan undang-undang negara ini, sila berpindah ke luar negara."

"Jika tidak suka dengan sistem pendidikan negara, bolehlah hantar anak-anak tuan-tuan dan puan-puan belajar di luar negara."

"Jika tidak suka harga gula naik, jangan minum teh tarik."

"Jika tidak suka harga minyak naik, silalah kayuh basikal ke tempat kerja."

"Jika tidak suka harga tol naik, bolehlah bakar kompleks tol yang ada."

Ok, obviyes jugalah saya mereka-reka dialog di atas. Tapi anda faham apa yang saya maksudkan.

Kerajaan juga perlu lebih sensitif dan peka pada tahap kepandaian dan kebijaksanaan rakyat. Rakyat tidak bodoh dan dungu. Rakyat membaca. Rakyat pernah ke luar negara dan melihat sendiri kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat di negara lain. Rakyat tengok berita. Rakyat buka internet dan main MukaBuku. Dunia hari ini tidak sama lagi seperti dahulu. 

Contohnya, kerajaan suka membuat perbandingan dengan negara-negara yang tidak sekufu ketika mana mahu menjustifikasikan polisi atau undang-undang baharu yang mahu diperkenalkan. Ketika mahu melaksanakan GST (Cukai Perkhidmatan Kerajaan), kerajaan membuat perbandingan dengan negara-negara maju. Ketika mahu mengurangkan subsidi minyak, kerajaan membuat perbandingan dengan negara-negara BUKAN pengeluar minyak. Aduhai, pak dan mak menteri ingat kami di universiti dahulu main jet kertas dan balas-balas surat chenta sahajakah? 

Mari saya berikan contoh mudah tentang GST, untuk membuktikan betapa dangkalnya perbandingan yang dibuat kerajaan. Pada dasarnya, saya sendiri bersetuju dengan pelaksanaan GST, kerana ia menyasarkan golongan yang kaya dan berkemampuan. Maknanya, orang kaya akan membayar cukai yang lebih kerana secara teorinya, golongan ini yang akan berbelanja lebih. 

Masalahnya, GST yang bakan dilaksanakan di Malaysia akan melibatkan semua pihak, dari pihak pembekal bahan mentah, pihak pengeluar, pihak pengilang, pihak pemproses sehinggalah ke pihak pembeli. Suka atau tidak, harga barangan akan naik. Walaupon kerajaan sudah memberi jaminan bahawa barang-barang asasi tidak akan dikenakan GST, kesan bola salji (Baca: Snowball effect) atau kesan Domino (Baca: Bukan Pizza Domino's) akibat pelaksanaan GST akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhannya.

Maknanya, nak baiki paip bocor pon nanti akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak makan malam lilin romantik berdua akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak hias rumah dengan perabot IKEA akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak beli selipar Fipper akan jadi lebih mahal dari biasa. Nak makan aiskrim Paddlepop pon akan jadi lebih mahal dari biasa.

Pendek kata, kualiti kehidupan (Baca: Living standard) rakyat Malaysia dijangka akan menurun selepas pelaksanaan GST.

Inilah masalahnya. Saya masih ingat dahulu ketika saya menuntut di  Kerajaan Bersatu, kualiti kehdiupan rakyat di sana cukup tinggi, meskipon mereka dikenakan GST (di sana dikenali sebagai VAT; Value Added Tax) dan cukai pendapatan mereka juga tinggi. Mengapa? Kerana gaji mereka tinggi, dan pada masa yang sama barangan keperluan seharian mereka amat berpatutan harganya. 

Misalnya, sekiranya saya mahu membeli-belah barangan dapur, saya hanya memerlukan £50 untuk memenuhkan satu troli. Hallo, ini satu troli penuh dengan beras, gula, emping jagung, susu, roti, telur, teh, kopi, sos cili, malah barang-barangan 'mewah' lain seperti cokolat, snek dan sebagainya.  £50 pada hari ini bernilai kira-kira RM250.00. RM250.00 untuk satu troli...?? Mana nak dapat di Malaysia ni, hatta di Mydin sekali pon...??

Dengan hanya  £30 misalnya, anda sudah boleh melanggan perkhidmatan komunikasi untuk sebulan, lengkap dengan internetnya sekali. Dan oh, telefon percuma. Ya, percuma! Dengan kurang lebih £80 (harga untuk pelajar), anda boleh ke mana-mana sahaja yang anda suka menaiki bas atau perkhidmatan keretapi bawah tanah, asalkan anda di dalam Zon 1 dan 2.

Itu belum lagi diceritakan kegilaan membeli-belah di sana, terutamanya ketika musim-musim harga runtuh. Di sana, apabila disebut harga runtuh, harganya benar-benar runtuh, bukan macam di Malaysia ini yang buat-buat runtuh, kemudian bina semula. Eh. 

Dan untuk lebih praktikal, nila matawang £ tidak sepatutnya ditukar ke dalam nilai ringgit. Kerana bagi mereka di sana, £50 adalah RM50.00 kita di sini. £30 seolah-olahnya adalah RM30.00 di sini. RM30.00 untuk perkhidmatan komunikasi lengkap dengan internet selama sebulan? Dan telefon percuma lagi..?? Pasti anda berada dalam dunia Alice atau Doraemon.

Mengapa? Kerana purata gaji mereka yang tinggi. Untuk menambah garam ke luka, seorang pemandu bas di Kerajaan Bersatu menerima gaji lebih daripada £2,000.00 sebulan (termasuk elaun). Malah seorang jurutera lantai (Baca: Pengemop lantai), kerjaya yang amat popular dalam kalangan para pelajar Malaysii di sana, boleh memperoleh sehingga £800 sebulan. Sekarang bandingkan dengan harga barangan di sana. Kegilaan apakah ini...??

Nah, anda sudah nampak bezanya sekarang? 

Masalah utama yang menyebabkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia tidak setanding dengan negara-negara lain adalah kerana kadar kenaikan pendapatan isi rumah tidak setara dengan kenaikan harga barang. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, kadar kenaikan gaji secara purata rakyat Malaysia adalah negatif untuk tempoh sepuluh tahun yang lepas! 

Purata kadar kenaikan gaji adalah sekitar 2.6% sedangkan kadar inflasi secara puratanya meningkat 2.8% setiap tahun! Dengan kata lain, meskipon kadar gaji naik setiap tahun, namun ia tidak mampu untuk 'mengejar' kenaikan harga barang yang begitu pantas kudaku lari gagah berani. Eh.

Terasa macam nak nanges tak..? [Kredit]
Contohnya, dua puluh tahun lalu seorang eksekutif bergaji RM1,500.00. Harga sekeping roti canai dan segelas teh tarik ketika itu adalah RM1.50. Dengan gaji sebanyak itu, sang eksekutif mampu untuk makan dan minum 500 keping roti canai dan gelas teh tarik (untuk memudahkan perbincangan. Gila apa nak makan 500 keping roti canai dan teguk 500 gelas teh tarik. Peluh.)

Sekarang, seorang graduan yang baru bekerja menerima gaji secara purata sebanyak RM2,400.00. Tapi kos sekeping roti canai dan teh tarik adalah kira-kira RM3.00. Maka kini, seorang graduan yang marhaen hanya mampu untuk membeli 400 keping roti canai dan 400 gelas teh tarik, kurang 100 setiap satu berbanding dengan 20 tahun yang dahulu. 

Itu belum lagi dikira dengan harga rumah yang melambung ke langit. Jika dahulu seorang pekerja kolar putih bergaji RM2,000.00 sebulan sudah mampu untuk membeli rumah bertanah secara bayaran ansuran, dengan harga rumah antara RM200,000-300,000 (di kawasan Lembah Klang). Kini, meskipon bergaji RM4-5,000.00, mana nak cari rumah bertanah dengan harga bawah RM300,000.00 di kawasan Lembah Klang? Takkanlah nak ulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap hari? Kau mampu?

Belum lagi dikira dengan kos-kos hidup yang lainnya. Kereta, elektrik, makanan, internet, pinjaman bank dan lain-lain lagi. Padanlah ramai anak-anak muda sekarang ini belum apa-apa lagi sudah licin kepala mereka. Wahahaha. Eh.

Dan apa maklumbalas kerajaan sekiranya dihujahkan sebegini rupa?

"Ah kalau kami tidak suka, kamu pindahlah ke Kerajaan Bersekutu tu Inche gabbana!"  

Alahai. Tuan dan Puan Menteri, anda silap. Kami, rakyat marhaen ini, apabila kami mengomel dan menyatakan rasa tidak puas hati, bukan kerana kami tidak sayang negara ini. Bukan kerana kami benci kepada tanah tumpahnya darah kami ini.

Kerana kami sayanglah kami komen. Kerana kami chentalah kami kritik. Kerana kami peduli la kami mengomel. Kerana kami semua mahukan yang terbaik buat negara ini. Kerana kami mahu berdiri gah, hidung kembang-kempis penuh bangga dengan jiran-jiran sebelah rumah dan jiran-jiran jauhlah kami. Kerana kami mahu hidup gembira dan bahagia buat selamanya. 

Ini tidak, sikit-sikit, rakyat yang salah. Sikit-sikit, rakyat tidak tahu bersyukur. Sikit-sikit, pindah negara lain. Adoila mudahnya sifir kalian semua. Dahulu belajar sampai darjah berapa ya? Ops.

Masalah utama yang mendasari kepada masalah-masalah ekonomi sepertimana yang kita lihat dan omel hari ini, adalah disebabkan wujudnya vakum yang besar pada pentadbiran cekap (Baca: Good governance) dalam kerajaan. Ketirisan berlaku hampir dalam setiap urusan kewangan dan perniagaan yang dikendalikan badan kerajaan. Rasuah itu perkara biasa. Projek 2 juta, tapi yang terbina hanya 1 juta kerana 1 juta lagi dah dibelanjakan di Disneyland. 

Geleng kepala.  

Saya kira, rakyat boleh terima kenaikan harga-harga barang ini sekiranya tidak berlaku ketirisan melampau dalam menguruskan harta benda dan khazanah negara. Rakyat tidak akan berkira sangat andai kemudahan-kemudahan asas tersedia dengan baiknya. Dan rakyat juga tidaklah kisah sangat dengan kenaikan tarif itu dan kenaikan tambang ini andai kerajaan yang memerintah benar-benar mengambil berat akan kebajikan rakyat.

Rakyat tidak kisah harga tambang LRT naik andai perkhidmatannya secekap MRT di Singapura atau London Underground.

Rakyat tidak berkira sangat harga gula dan minyak naik andai kekayaan negara dibahagi sama rata dan saksama. 

Rakyat tidak peduli sangat andai dinaikkan harga tol, dan pada masa yang sama mereka punya pilihan untuk menggunakan perkhidmatan kenderaan awam yang efektif dan cekap. Dan pada masa yang sama syarikat konsesi tidak terlalu tamak untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin!

Rakyat tidaklah marah sangat andai mahu dinaikkan tarif elektrik dan pada masa yang sama, kerajaan tidak membeli jam dinding pada harga RM300.00 sebuah.  

Dan rakyat pon pandang sebelah mata jugalah dengan kenaikan harga minyak dan gula, andai pak-pak dan mak-mak menteri menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Usia istem keretapi bawah tanah di London sudah mencapai ratusan tahun, tapi kecekapannya sehingga kini amat sukar untuk ditandingi. Ah rindu London! [Kredit]
  
Kerajaan juga perlu lebih jujur dan berhenti memberikan alasan-alasan bodoh yang tidak menampakkan kematangan pihak pemerintah. Rakyat sudah besar. Rakyat sudah matang. Rakyat perlu ditangani dan diuruskan sesuai dengan perkembangan teknologi dan keadaan semasa. 

Rasuah perlu diperangi dengan sehabis baik. Jangan hanya ikan-ikan kecil yang ditangkap dan digoreng, ikan-ikan besar juga perlu dijala dan dibuat masak lemak cili padi. Ketirisan mesti dikurangkan. Kerajaan wajib mentadbir negara dengan lebih amanah dan ihsan.

Kita bukannya negara yang miskin dengan sumber kekayaan semulajadi. Kita bukannya negara yang tidak habis-habis berperang sesama sendiri. Malah kita cukup bertuah kerana bebas daripada bencana-bencana alam besar yang sering melanda negara lain.

Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk kita tidak maju ke hadapan. Kekayaan dan kemakmuran yang ada pada negara ini sewajarnya mampu untuk mengangkat martabat kita ke suatu tahap yang lebih tinggi. Malah lebih daripada itu, kita juga mampu untuk sampai ke suatu tahap di mana kita menjadi pelindung dan memperjuangkan nasib-nasib negara yang lebih lemah.

Namun ia hanya tinggal angan-angan dan impian, andai tiada siapa yang mahu mengubah keadaan 'selesa' dan tidak mahu keluar dari kepompong kejumudan ini. Malaysia akan terus syok sendiri, berbangga dengan statistik yang tidak pernah wujud dan pencapaian yang tidak dipandang oleh sesiapa.

Tahun 2014 akan menjadi tahun yang amat sukar dan neraka buat kebanyakan rakyat Malaysia. Yang kaya akan bertambah kaya, sedangkan yang miskin akan terus papa.

Rakyat kini ibarat gunung berapi yang sedang bersedia untuk meletup. Andai kerajaan tidak bijak menangani situasi yang sedia ada dan terus-menerus mengayakan kroni-kroni mereka sambil memberika alasan-alasan budak tadika, bila-bila masa sahaja rakyat akan bangkit dan mempamerkan kemarahan mereka. 

Sudah tiba masanya harta-benda dan khazanah negara diurus dengan adil dan saksama.

Sudah tiba masanya kerajaan amanah, jujur dan bersih dalam mentadbir negara.

Dan sudah tiba masanya, kerajaan sedar, negara ini adalah kurniaan Allah dan milik rakyat jelata, bukan hak milik mak bapak mereka.

-gabbana- 

Menulis artikel ini tidak bermakna saya menyebelahi pihak pembangkang. Kita perlu mengubah mentaliti kita bahawa menyokong itu tidak semestinya kerajaan dan mengkritik itu tidak semestinya pembangkang.

Saya bukanlah pakar ekonomi pon. Ada lah ilmu sikit-sikit. Rakyat marhaen katanya. Namun harapnya perkongsian yang ringkas ini bermanfaat untuk ada semua. 

Aman, tanpa perang. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP