27 December 2013

Menjadi Nabi Nuh

Ghafir, 40:39. Senyum. [Kredit]

(Nota: Saya rasa... Saya rasalah artikel ini hanya sesuai untuk dibaca oleh mereka yang sudah terperangkap, eh, menyertai gerabak tarbiyah dan dakwah. 

Boleh juga untuk dijadikan bacaan umum. Cuma... Err saya tidak bertanggungjawab tahu untuk sebarang kes kebotakan kepala kerana terlalu banyak menggaru kepala yang tidak gatal itu? Tersipu-sipu.)

Ada sesuatu yang ajaib lagi mengagumkan pada sosok yang bernama Nuh AS itu.

Untuk anda yang sering membaca, mentadabbur dan kalau rajin sedikit, membaca tafsir surah Nuh, anda pasti faham mengapa saya berkata sebegitu.

Baginda dikurniakan Allah dengan kesabaran dan keteguhan yang cukup tinggi dan kuat dalam menghadapi kaumnya yang degil tegar. Maka tidak hairanlah baginda adalah salah seorang daripada lima Rasul 'Ulul Azmi yang terkenal dengan mehnah dan tribulasi yang terpaksa mereka hadapi.

(Kuiz: Ehem. Namakan empat rasul 'Ulul Azmi yang lain. Muka teruja)

Sudah tentu, kelejenan Nabi Nuh terletak pada istiqamah dan keseriyesannya dalam menyebarkan risalah Allah yang Maha Tinggi itu. Di dalam surah Nuh, dicatatkan bagaimana:

 "Dia (Nuh) berkata, 'Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, justeru mereka lari (dari kebenaran).

Dan sesungguhnya, aku setiap kali menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jarinya ke telinganya dan menutup bajunya (ke wajahnya) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri.

Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan. Kemudian aku menyeru mereka secara terbuka dan diam-diam..'"
[Nuh, 71:5-9]

Hanya dua perkataan yang mampu saya ungkapkan ketika ini: Sumpah epik! 

Dan ada dua perkataan juga yang mahu saya tujukan kepada anda: Kau mampu...??

Ok saya tak mampu. Nanges. 

Namun, apabila kita mentadabbur ayat-ayat terakhir surah Nuh, kita mungkin akan berasa sedikit pelik. Kita mungkin akan membetulkan kedudukan kita kerana seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kita baca. Dan kita mungkin akan menggaru hidung dan kepala kerana sukar untuk kita telan dan hadam ayat-ayat chentaNya yang masuk ke dalam otak kita.

Apa ayat-ayatnya?

"Dan Nuh berkata, 'Ya Tuhanku, jangalah Engkau biarkan seorang pon di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi.

Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang jahat dan tidak tahu bersyukur.

Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku dan sesiapa pon yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua lelaki dan perempuan yang beriman. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran.'"
[Nuh, 71:26-28]

Apa yang anda perasan dengan ayat-ayat ini?

Ada bunyi-bunyi seperti baginda berputus-asa bukan? Ada bau-bau kekechiwaan bukan? Ada unsur-unsur hilangnya pengharapan bukan..?

Ini tidaklah begitu menghairankan. Di dalam surah Yusuf, Allah berfirman:

"Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan kaumnya) dan telah meyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka (para Rasul) itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang yang Kami kehendaki. Dan seksa Kami tidak dapat ditolak dari orang yang berdosa."
[Yusuf, 12:110]

Ya. Para Rasul dan Nabi juga berputus-asa (atau disangkan telah berputus-asa oleh kaum mereka). Ada masa-masa mereka juga kechiwa. Ada saat-saat mereka juga berasa bawah dan hilang pengharapan terhadap kaum mereka. Seperti Nabi Yunus AS yang lari membawa diri akibat tidak sanggup lagi berhadapan dengan kaumnya yang maha degil dan angkuh itu.

Namun apa syaratnya? Apa syaratnya untuk 'berputus-asa' dengan mad'u (sasaran dakwah)? Untuk berasa lemah dan kechiwa dengan manusia di sekeliling kita?

Jawapannya mungkin terkandung pada sepotong ayat dalam surah al-Ankabut:

"Dan sungguh, Kami telah utus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal bersama mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun."
[al-Ankabut, 29:14]

Seribu tahun kurang lima puluh tahun. SEMBILAN RATUS LIMA PULUH TAHUN.

Humangaih. 

Ya, di situlah rahsianya Nabi Nuh AS. Baginda berdakwah tanpa kenal erti penat dan lelah. Baginda terus-menerus meningatkan kaumnya beratus-ratus tahun lamanya, sehinggalah baginda benar-benar yakin yang tiada harapan lagi pada kaumnya itu. Baginda tidak berputus-asa dengan perjuangannya, sehinggalah kaumnya sendiri terang-benderang menolak dakwah yang dibawanya.

Tapi Inche gabbana... Err.. Manusia zaman sekarang ni, purata jangka hayat mereka dalam enam puluh ke tujuh puluh tahun je. Paling hebat seratus lebih sikit. Mana nak mampu lawan Nabi Nuh tu!

Peluh kecil.

Bukan jumlah tahun itu yang perlu kita perhatikan. Bukan berapa lama tempoh dakwah itu yang mahu kita tekankan.

Tapi lamanya baginda beristiqamah, konsisten dan terus-menerus mengingatkan kaumnya, sehinggalah sampai satu titik yang sememangnya tiada harapan lagi yang tinggal. Hatta saki-baki harapan sekalipon. Itulah yang kita mahukan.

Semangat Nabi Nuh itu. Keyakinannya. Kesungguhannya. Dan kekreatifannya dalam menyampaikan risalah. 

Kerana sifat seorang dai'e itu adalah mubaligh; yakni penyampai. Perkataan 'balagh' atau 'tabligh' itu sendiri mempunyai pengertian yang cukup besar dan mendalam. 

Menurut Dr. Hamam Sai'd dalam karyanya Qawaid Dakwah, seorang dai'e wajib menyampaikan mesej dakwahnya sehingga sasaran dakwah (mad'u) benar-benar jelas dan faham dengan apa yang hendak disampaikan (kaedah keempat). Bukan samar-samar. Bukan agak-agak. Bukan teka-meneka.

Tapi jelas. Faham. Angguk-angguk geleng-geleng. Eh. 

Arakian untuk sampai ke tahap itu, seorang dai'e mestilah jelas tutur katanya, mestilah menggunakan semua teknik dan kaedah yang dikuasainya untuk memastikan mesej dakwahnya sampai dan hendaklah kreatif dalam menyampaikan risalah dakwahnya. 

Maka ada makna yang lebih signifikan dan menyentap jantung pada hadith Nabi yang satu ini:

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat..."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Ballighu. Sampaikan.    

Bukan sekadar menyampaikan dan berlepas tangan. Bukan setakat beritahu dan kemudian tinggalkan. Bukan sekadar edar risalah dan kongsi artikel kemudian haihai baibai. Bukan setakat tulis status-status ala-ala Islamik di Mukabuku atau Pengicau selepas itu katakan, "Ok aku sudah sampaikan hoyeaahh!" Err.

Tetapi perlu dekati dan santuni. Mesti muayasyah (bergaul) dan bimbing sehingga faham. Mesti 'peluk' dan sentuh hati hati di luar sana. 

Seperti yang ditulis oleh Syaikh Ahmad Rasyid dalam al-Muntalaq, bab 'Pelukan Cendekiawan':

"Mesti berhubung dengan manusia. Mesti duduk bersama mereka untuk mengajar."

Hanya sahaja selepas kita melakukan semua ini, dan terus-menerus kita melakukannya dengan penuh semangat dan bersungguh, tidak mengharapkan apa-apa balasan melainkan keredhaan Allah semata-mata, dan ketika itu manusia di sekeliling kita masih tidak mahu menerima risalah yang kita bawa, menolak dan menafikan dakwah kita dengan penuh angkuh dan sombongnya, baharulah kita dibenarkan untuk 'berputus-asa' dan berasa kechiwa. 

Itu pon perlu diingat, Nabi Nuh AS tidak pernah berputus-asa dengan dakwahnya. Baginda tidak berasa kechiwa dengan risalah yang dibawanya. Baginda tidak juga berasa bawah dan hilang harapan dengan perjuangannya. Baginda tetap yakin dengan janji-janji Allah dan tetap tsiqah dengan perancanganNya.

Yang baginda kechiwakan adalah dengan kaumnya yang degil tahap raksasa gorgon itu. Yang baginda putus-asakan adalah dengan keangkuhan dan kehidungtinggian masyarakatnya yang tidak mahu membuang jahiliyyah dan taghut dalam kehidupan mereka. 

Maka apabila kita mula merasa kechiwa dan melemah dengan respon yang kita terima daripada mad'u kita, soroti semula kisah Nabi Nuh AS yang tidak pernah lelah menyampaikan risalah selama beratus-ratus tahun lamanya itu.

Tatkala kita merasa hilang pengharapan pada kemenangan Islam yang ibaratnya seperti tidak kunjung tiba itu, hayati kembali perjalanan hidup baginda yang terus-menerus berdakwah siang dan malam, terang-terangan dan diam-diam.

Dan ketika kita mula berasa putus-asa dengan dakwah yang kita bawa, dengan nasib ummah yang terus sengsara dan menderita, ingatlah pada Nabi Nuh AS yang meletakkan sepenuh pengharapannya kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Kerana dari Nuh AS kita belajar erti istiqamah yang sebenar.

Kerana dari Nuh AS kita belajar apa itu berputus-asa.

Kerana dari Nuh AS kita belajar erti keseriyesan dalam berdakwah.

Kerana dari Nuh AS kita belajar memanfaatkan masa yang ada.

Kerana dari Nuh AS kita belajar erti sebenar tarbiyah sampai mati.

Kerana dari Nuh AS kita belajar memaknai harga dunia dan akhirat.

Dan kerana dari Nuh AS, kita belajar untuk berdakwah semata-mata keranaNya, bukan untuk hasil di dunia.

Nah, layakkah untuk kita berasa kechiwa dan berputus-asa...?

Habuk masuk mata.

-gabbana-

Kadang-kadang kita tercari-cari kisah-kisah motivasi yang boleh membangkitkan kembali semangat dalam diri. Kita teraba-raba kuot-kuot yang boleh mengetuk pintu hati. Kita memburu tokoh-tokoh dan figur-figur yang dapat memberi kita inspirasi.

Kita lupa, al-Quran yang mengandungi kisah dan ibrah para Rasul dan Nabi itu, sentiasa ada di sisi. Iqra'! Bacalah! Kita pasti akan ketemu dengan apa yang kita cari.

Muhasabah buat diri.

Nanges lagi.

8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 27/12/2013, 11:23  

thu crita Nabi Nuh dri bku Takdir 2...bkn dri yg 'ori' itu sndiri...
sentap abes dgn perenggan yg last tu,,,

zincoxide 27/12/2013, 11:49  

semuga Allah bersama kamu ya akh

Azery 27/12/2013, 15:06  

Bila habis baca sampai part last tu, agak terlupa dengan kuiz tadi.

Ehem.

Nabi Nuh
Nabi Ibrahim
Nabi Musa
Nabi Isa
Nabi Muhammad

Btw, jzkk. TQ. T_T
atoto

Hamba 27/12/2013, 19:55  

Lagi post yg mantopp from inche gabbana, keep it up!! nak kongsi, Perjuangan Nabi Nuh as di Ikim fm , setiap hari isnin , jam 6petang / 6.15 ptg. antara tu lah. Last week baru episod 1, next week ada lagi. Share kan ramai-ramai ! (ekceli tu segmen ibrah, bercerita tentang perjuangan para rasul :D)

Anonymous 27/12/2013, 21:47  

Menurut Dr. Hamam Sai'd dalam karyanya Qawaid Dakwah, seorang dai'e wajib menyampaikan mesej dakwahnya sehingga sasaran dakwah (mad'u) benar-benar jelas dan faham dengan apa yang hendak disampaikan (kaedah keempat). Bukan samar-samar. Bukan agak-agak. Bukan teka-meneka.

pergghh , rasa jatuh gedebuk bahu di buat nya .

Anonymous 28/12/2013, 17:25  

Encik gabanna ape kata ko tulis cerita nabi2 mcm cerita nabi nuh nih? Stiap nabi, kisah dan pngajarn. Mesti best

Anonymous 31/12/2013, 22:17  

Memang sentap.. jzkk akhi.

Anonymous 23/02/2014, 13:25  

Jazakallahu khair! Saya nak buat bahan rujukan. Hoho, saya ditugaskan utk present pasal Nabi Nuh dalam usrah keatas. Huh peluh peluh. Walaupun jadi naqibah still peluh peluh! Dan ni bila kena present depan naqibah sendiri pulak lagi peluh peluh triple.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP