7 June 2020

Kluster Tabligh: Satu Rahmat Atau Musibat?


Hari ini (Jumaat, 10 April) adalah satu lagi hari bersejarah buat negara apabila kerajaan bakal memutuskan sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung atau tidak. 

Saya mempunyai firasat yang kuat yang ia akan disambung, melihatkan pelbagai perkembangan terbaru dan dinamiknya situasi yang melibatkan wabak COVID-19 ini. Dan meskipun ia tidak disambung, ia tetap akan kekal sebagai satu catatan menarik dalam sejarah apabila rakyat Malaysia telah diperintahkan untuk mengawal pergerakan mereka selama hampir sebulan lamanya (18 Mac-14 April). 

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Majis Keselamatan Negara (MKN), sehingga 9 April 2020, jumlah kes keseluruhan yang dicatatkan adalah 4,228 kes, dengan 2,553 kes masih dirawat dengan 1,608 kes telah sembuh (alhamdulillah, tahniah!) dan 67 kematian. 

Antara yang mengubah dinamika bagaimana wabak ini tersebar dengan sangat cepat dan meluasnya di Malaysia adalah apabila suatu perhimpunan (ijtima') tabligh telah diadakan di Masjid Sri Petaling di penghujung bulan Febuari yang lepas, dihadiri kurang lebih 14-16,000 orang jemaah tabligh. Ia pertama kali dikesan apabila pesakit positif COVID-19 yang pertama di Brunei didapati telah menghadiri ijtima' tersebut.

Sebaik sahaja mendapat tahu tentang hal tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah pantas dengan mengesan semua peserta ijtima' dan mewajibkan mereka untuk melalui proses saringan. Sehingga ke hari ini, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh MKN, kluster tabligh masih lagi merupakan penyumbang terbesar kepada kes-kes positif COVID-19 di Malaysia apabila menyumbang kepada 1,701 kes keseluruhannya (40%). 

Tidak hairanlah, banyak sekali cemuhan dan cercaan dilontarkan kepada jemaah tabligh, baik daripada kalangan orang bukan Islam mahupun Muslim sendiri. Walaupun sudah banyak tulisan dan perkongsian yang dibuat untuk mempertahankan mereka ini, sehingga hari ini masih ramai yang menyalahkan mereka sebagai punca utama kepada merebaknya wabak COVID-19 di Malaysia; juga punca utama mengapa PKP dikuatkuasakan. 

Saya tidak ingin mengulang-siar hujah-hujah mereka yang mempertahankan jemaah tabligh. Anda boleh cari sendiri sekiranya anda belum tahu dan berminat untuk tahu. Tapi dalam dunia serba canggih yana mana berita-berita di Fesbuk, Twitter dan Wasap lebih cepat tersebar daripada sumber-sumber yang lain, mustahil anda tidak tahu bukan? Heh.

Apa yang ingin saya coretkan di sini adalah bagaimana beberapa peristiwa sejak kebelakangan ini telah mengubah persepsi masyarakat terhadap jemaah tabligh.
Beberapa perkongsian oleh wira-wira barisan hadapan (Baca: frontliners) terutamanya para pekerja kesihatan yang memuji akhlak dan perilaku jemaah tabligh yang pernah mereka rawat, menunjukkan satu sisi lain jemaah tabligh yang mungkin ramai daripada kita yang tidak tahu. 

Alunan bacaan al-Quran dan azan yang memeriahkan wad-wad tempat mereka dirawat, tidak banyak songeh ketika mahu diambil swab, merendah diri, siap belanja petugas kesihatan makan kepsi dan banyak lagi pengalaman-pengalaman menarik yang dikongsikan, membuktikan bahawa apa yang berlaku pada jemaah tabligh ini besar hikmahnya! 

Apatah lagi pada hari ini, sudah ada beberapa kluster lain yang muncul dan apabila dibandingkan dengan kluster-kluster yang lain ini (terutamanya kluster yang baru pulang bercuti dari luar negara) - ada petugas kesihatan yang dimaki, ada PUI yang sombong dan bongkak dan macam-macam lagi ragam dan rencam! - ternyata kluster tabligh ada 'class' tersendiri dan benar-benar unik. Mereka ini spesis yang betul-betul rare! 

Saya yakin sekiranya ditanya kepada mana-mana ahli jemaah tabligh yang pernah menghadiri ijtima' tabligh pada Febuari lepas, tiada siapa pon yang tahu dan menjangkakan semua ini berlaku, apatah lagi sengaja merancang dan mahukan semua ini berlaku.

Ya, memang ada segelintir ahli jemaah tabligh yang buat hal, yang tidak mahu beri kerjasama apabila diarahkan untuk membuat saringan, yang keluar kenyataan kita tidak perlu takut apa-apa melainkan Allah. Tapi segelintir sahaja kan? Dalam mana-mana jemaah atau kumpulan sekalipon, pasti ada 'a few bad apples' ini. Majoriti ahli jemaah tabligh telah pon memberikan kerjasama dan mereka inilah yang telah meninggalkan banyak memori manis dan menarik buat para petugas kesihatan. 

Tanpa sedar atau tidak, ahli jemaah tabligh telah memenuhi hak nama 'tabligh' itu; menyampaikan dakwah menerusi akhlak dan perilaku mereka. Sama ada sengaja atau tidak, mereka telah berjaya menunjukkan sisi-sisi indah Islam yang sukar sekali mahu dipertontonkan dalam dunia hari ini yang penuh dengan bermacam jenis kegilaan. Dan sama ada mereka merancangnya atau tidak, mereka sebenarnya telah berjaya membuatkan ramai orang untuk berasa tertarik dengan Islam dan dakwah mereka. 

Syabas jemaah tabligh! 

Apa yang dapat kita pelajari dan muhasabah daripada semua ini?

Jangan cepat mudah menghukum dan membuat konklusi yang memakan diri. Sungguh, kita ini benar-benar hanyalah hamba Allah yang sangat kerdil lagi naif jika mahu dibandingkan dengan keluasan ilmu dan kehebatan perancangan-Nya. 

Ya, tidak salah jika mahu menasihati dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku (contohnya supaya lebih berhati-hati dalam situasi wabak yang tidak menentu, patuh arahan pihak berkuasa dan lain-lain lagi), tetapi janganlah sampai kita merendahkan martabat mereka dan memalukan diri kita sendiri. 

Saya yakin, ada banyaaaakkk lagi hikmah dan ibrah yang boleh kita insafi daripada wabak COVID-19 ini. Hanya tinggal kita sahaja yang mahu mentadabbur dan mengambil pengajarannya. 

"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu walhal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 

[al-Baqarah, 2:216]

Dan tidak ada guna pon kita saling menyalahkan, saling mencerca dan memerli dalam keadaan sekarang ini. Ia tidak membantu apa-apa pon! Kalaulah kita tidak mampu untuk berganding tangan dengan para wira barisan hadapan untuk membendung wabak ini, paling kurang dan koman yang kita boleh lakukan, panjatkan doa kepada Rabbul Jalil agar diangkat segera kesengsaraan ini dan datangkan sebanyak-banyak kebaikan daripadanya. 

Moga-moga, selepas berakhirnya semua ini, kita akan menjadi seorang manusia yang lebih berjiwa hamba - betapa berkuasanya Allah dan lemahnya kita! - dan bukannya manusia angkuh yang langsung tidak mendapat apa-apa daripada semua ini!

-gabbana-

Tahun 2020: Tahun Teguran Kasih Sayang Dari Allah

Siapa sangka, tahun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar dan penuh dengan dugaan. Sekiranya tahun-tahun sebelum ini kita menjangkakan tahun 2020 adalah permulaan dekad yang gilang-gemilang, baik dari segi sains dan teknologi (ingat lagi lagu 'Wawasan 2020'?) mahupun kemakmuran umat manusia secara keseluruhannya, nampaknya tahun 2020 telah mempersembahkan kita dengan sesuatu yang amat berbeza.

Satu makhluk Allah bernama COVID-19 telah memporak-perandakan kehidupan rakyat global sejagat sehinggakan hampir semua aspek kehidupan - sosial, ekonomi dan politik - terjejas dengan sangat dahsyat sekali. Malah pakar-pakar dalam pelbagai bidang terpaksa tunduk kepada 'kehebatan' COVID-19 ini kerana mereka masih belum dapat menjangkakan bilakah krisis global ini akan berakhir.

Siang tadi YAB Perdana Menteri telah mengumumkan yang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020. Walaupon ia sudah dijangka, tetapi pengumuman itu mengesahkan kegelisahan dan kerisauan ramai orang.

Dan belum tentu 14 April nanti adalah penamat kepada kemelut ini; sudah kedengaran cadangan yang berlegar-legar untuk melanjutkan lagi tempoh PKP ini kepada 6 minggu secara keseluruhannya sekiranya benar-benar mahu memastikan wabak COVID-19 itu dapat dibendung dengan berkesan.

Saya yakin, sangat ramai yang terkesan dengan PKP ini. Bukan sahaja mereka yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan dan perkhidmatan yang merasakan impaknya; malah hampir semua sektor pekerjaan dan lapisan masyarakat yang turut berkongsi derita.

Kerana kesan COVID-19 ini terhadap ekonomi adalah satu kesan bebola salji (snowball effect) atau kesan domino yang tidak dapat tidak, melibatkan hampir semua pihak. Bukan sahaja kita di Malaysia yang sedang merasakannya tapi di saat ini, hampir semua negara di dunia ini sama ada telah atau sudah mula merasakan impaknya.

Saya sendiri jujurnya sudah mula risau dengan bermacam prospek yang bermain di kepala.

Adakah syarikat tempat aku bekerja boleh bertahan

Jika tidak, perlukah aku mula cari pekerjaan yang baru? Nak cari kerja baru pon di masa-masa sebegini, adakah yang sudi mengambil?

Kalau tiada kerja, macam mana nak lunaskan pinjaman dan hutang-piutang yang ada? Macam mana nak bagi anak bini makan? Belanja sana sini lagi?

Aduhai.

Saya tidak hairan sekiranya ramai di luar sana sedang serabut memikirkan perkara yang sama bukan?

Maka saya sedikit tersentak, apabila membelek-belek al-Quran saya tempoh hari dan 'terlanggar bahu' dengan ayat ini:

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,
iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, 'Innalillahi wainnailaihi rajiu'un.'

Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

[al-Baqarah, 2:155-157]

Allah Allah!

Rasa macam kena setepek kat dahi kan? Rasa macam tepat kena batang hidung kan?

Apa yang kita sedang rasa sekarang dek penangan COVID-19 ini?

Rasa takut (untuk masa hadapan yang tidak pasti)? Tick.
Rasa lapar (sebab kena berjimat-cermat)? Tick.
Kekurangan harta (prospek kehilangan kerja)? Tick. 
Jiwa kacau? Tick.
Tak dapat makan buah? Err.

Percaya dan yakinlah, apa yang sedang berlaku ini tidak lain adalah ujian daripada Allah SWT dan ia baru sedikit! Ujian daripada Allah itu tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk mengangkat darjat para hamba-Nya yang beriman, yang apabila ditimpa musibah, mereka ini bersabar dan tanpa ragu-ragu akan mengatakan:

"Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Allah-lah kami kembali!"

Masa-masa yang ada semasa PKP ini sebenarnya adalah masa-masa yang sangat ideal untuk kita bermuhasabah dan mendekatkan diri dengan Allah. Seolah-olahnya Allah 'sengaja' memberi kita lebihan masa untuk kita kembali kepada-Nya.

Ia adalah masa untuk kita top-up amal ibadah harian kita.
Ia adalah masa untuk kita lebih memaknai dan menghayati doa-doa yang kita panjatkan kepada-Nya. 
Ia adalah masa untuk kita perbaiki tilawah dan tadabbur al-Quran kita. 
Ia adalah masa untuk kita perbanyakkan qiamuallail dan zikir harian.
Ia adalah masa untuk kita tautkan danrapatkan kembali silaturrahim sesama ahli keluarga.

Tahun 2020 adalah satu teguran daripada Allah untuk kita melihat kembali amal-amal kita selama ini. Dan sama ada kita telah memenuhi tujuan hidup kita diciptakan di muka bumi.

Terima kasih COVID-19! Kalian telah menyedarkan kami yang kami punya Tuhan yang Maha Besar lagi Bijaksana dalam merancang perjalanan kehidupan kami. Dan kalian telah menyedarkan kami, betapa hebat dan berkuasanya Allah dan betapa lemahnya kami! 

-gabbana-

Kami Semua Sayang Dr. Zulkifli Al-Bakri!


Ini mungkin satu pandangan yg tidak popular.

Walaupun saya mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi terhadap SS Dr. Zulkilfi al-Bakri, sangat kagum dengan ketinggian ilmu dan akhlaknya terutamanya dalam menyebarkan dakwah kepada bukan Islam, saya sedikit risau dgn pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal-ehwal agama.

Ya, SS Dr Zulkifli adalah seorang mufti yang tidak perlu lagi dipertikaikan pencapaian dan kelayakannya. Tetapi dunia politik adalah satu dunia yang cukup berbeza. It's a completely different animal!

Walaupun Dr. Zul tidak mewakili mana-mana parti politik, beliau dikelilingi oleh ahli-ahli politik. Bosnya, Tan Sri Muhyiddin, adalah orang besar dalam politik dan antara individu yg dikatakan bertanggungjawab menyebabkan kemelut politik baru-baru ini.

Suka atau tidak, Dr. Zul pasti akan terjebak juga dengan permainan politik orang-orang politik.

Yang paling merisaukan saya sudah tentunya apabila kelak ada tindakan atau keputusan politik yang bercanggah dengan kehendak syarak. Adakah ketika itu Dr. Zul akan dipergunakan utk menghalalkan tindakan tersebut? Dan sekiranya ia terjadi, apa pendirian Dr. Zul ketika itu?

Saya yakin yang Dr. Zul telah pon mendapatkan nasihat dan pandangan daripada ramai pihak dan telah beristikharah sebelum menerima pelantikan ini. Dan sebagai saudara seIslam, sudah tentunya saya mendoakan yang terbaik untuk beliau. Cuma tertanya-tanya apa justifikasi beliau menerima jawatan tersebut.

Teringat kisah-kisah ulama' zaman silam seperti Imam Abu Hanifah yang menolak jawatan yang ditawarkan khalifah sehingga sanggup dipenjarakan dan diseksa. 

Bukan mahu membandingkan cuma jauh di sudut hati, sangat curious apa pertimbangan Dr. Zul menerima pelantikan ini.

Apa-apa pon saya doakan agar Allah melindungi beliau dari fitnah dan kejahatan ahli-ahli politik yang rakus dan tamak. 

Juga agar Allah teguhkan pendirian beliau tatkala beliau diuji dengan ujian memilih antara kebenaran dan kebathilan. 

Amiin Ya Rabbal A'lamin!

-gabbana-

Coretan ini ditulis awal-awal sewaktu Dr. Zulkifli al-Bakri dilantik menjadi Menteri yang menjaga hal-ehwal agama di laman FB saya. Respon yang saya terima cukup 'memberansangkan'; bercampur antara yang bersetuju dengan pandangan saya dan yang mempertahankan pelantikan beliau. Apa-apa pon ia adalah tanda betapa ramainya umat Islam di negara ini yang menyayangi beliau!

Islam Itu Agama Jamai'e dan Bukan Hak Milik Peribadi

[Kredit]

"Eh lantak dialah nak pakai tudung ke nak bukak tudung ke. Yang kau sibuk sangat ni apehal??"

"Dia buat maksiat, itu urusan dia dengan Tuhan. Kau ni lagi hebat dari Tuhan ke?"

"Kubur masing-masing. Kalau aku masuk neraka pon, kau jangan risau, aku takde nak tarik kau!"

Hmm.

Islam adalah sebuah agama komuniti, agama masyarakat. Islam bukan agama peribadi, agama sendiri-sendiri.

Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, antara perkara pertama yang baginda lakukan adalah mempersaudarakan suku Aus dan Khazraj.

Lepas tu baginda meterai piagam Madinah dgn orang-orang Yahudi. Kedua-dua orang Islam dan Yahudi ada hak dan tanggungjawab masing-masing.

Aik apsal orang Islam nak sibuk pasal orang Yahudi pulak kan?

Sebab Islam tu agama yang menjaga hal-ehwal semua, bukan orang Islam sahaja!

Kalau Islam hanya ambil berat dan jaga kebajikan umat Islam sahaja, kalau apa-apa musibah dan masalah yg melanda orang bukan Islam, umat Islam akan turut mendapat akibatnya.

"Perumpamaan orang yang mematuhi dan melanggar batas-batas hukum Allah adalah seperti suatu kaum yang mengundi untuk menentukan kedudukan masing-masing yang belayar di dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila mereka yang berada di bahagian bawah ingin mendapatkan air, mereka melalui tempat orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata sesama mereka: "Jika kita melubangi tempat kita, nescaya kita tidak akan mengganggu orang yang berada di atas. Sekiranya orang yang berada di atas membiarkan saja apa yang dilakukan orang yang di bawah itu maka mereka semua akan binasa. Namun jika mereka mencegah dengan tangan mereka maka mereka akan selamat semuanya."

[HR Bukhari No: 2313]

Ha macam tu lah.

Contoh yang paling relevan sekarang ni adalah kes arak lah.

Ya umat Islam haram daripada meminum arak. Tapi yang banyak mati kena langgar dengan orang mabuk tu siapa??

Inilah akibatnya jika umat Islam tidak peduli dan tidak mahu jaga 'tepi kain' orang lain!

Nah, kalaulah orang bukan Islam pon umat Islam kena ambil berat, ambil peduli, apatah lagi sesama umat Islam sendiri kan?

Memang jadi tanggungjawab umat Islam untuk menegur, menasihati dan membimbing ke jalan kebenaran bila nampak orang Islam lain bermaksiat!

Dari Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin.” (HR Muslim No: 50)

Dalam surah Ali-Imraan ayat 110, Allah SWT ada berfirman:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.”

Pra-syarat untuk mendapat title 'umat terbaik' itu adalah dengan berdakwah! Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran!

Jadi janganlah triggered sangat bila ada sahabat-sahabat seagama anda yang menegur, menasihati dan menunjukkan ke arah kebaikan. Kerana memang itu tanggungjawab dan kewajipan dia sebagai saudara seagama anda.

Dan janganlah nak gebang sangat kubur masing-masing dan kalau masuk neraka nanti anda takde nak tarik orang lain masuk sama.

Sebab di Mahsyar nanti, semua org nak selamatkan diri masing-masing walau dgn cara apa sekalipon!

Sebab kami tidak mahu masuk nerakalah kami siap-siap tegur dan nasihat di dunia ini!

-gabbana-

Allah Itu Baik Dan Suka Segala Sesuatu Yang Baik





Ada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim (Imam Nawawi menyusunnya sebagai hadith ke-10 dalam ar-Bai'nnya), mafhumnya:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik."

Ya, Allah itu baik. SANGAT BAIK.

Hari-hari kita banyak buat dosa, tetapi Dia tetap beri kita oksigen untuk bernafas.

Selalu juga kita lewatkan solat fardhu, tetapi Dia masih beri kita nyawa dan masa untuk bertaubat.

Kadang-kadang kita sengaja melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya, tiada pula mata kita tiba-tiba disambar halilintar.

Ada masa-masa kita berasa sombong, angkuh dan lebih hebat daripada orang lain, tetapi Dia masih izinkan kita untuk berjalan bebas di atas muka buminya.

Dan selalu juga kita rasa seronok dengan futur yang dihiasi, malas nak buat dakwah, tetapi Dia seringkali mendatangkan orang-orang yang soleh untuk mendampingi dan menasihati kita.

Baik kan Allah?

Nah, apa cara untuk kita balas kebaikan Allah (walaupun kita tak mungkin dapat membalasnya sampai bila-bila) selain daripada mematuhi segala suruhan dan meninggalkan semua larangan-Nya?

"...Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik."

Menjadi baik dalam kehidupan seharian dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain!

Ada kawan tak cukup duit nak makan, belanjalah dia.

Nampak plastik milo ais ikat tepi atas jalan, kutip dan buanglah dalam tong sampah.

Ada tabung Palestin atau Syria dekat kaunter bayaran mamak yang selalu kita singgah, masukkanlah barang seringgit dua.

Ada kucing lapar dok usap-usap kepala dia kat kaki kita semasa kita sedang menikmati makan tengah hari, hulurkanlah secebis ayam atau ikan goreng kita.

Nampak abang Bangla berjalan dalam kepanasan nak pergi solat Jumaat, tumpangkanlah dia.

Mak ayah kesunyian di rumah, selalu-selalulah balik ke kampung ziarah mereka.

Nampak anak-anak muda tak tentu hala dok melepak atas tembok di waktu Maghrib, ajaklah mereka untuk ke surau menunaikan solat fardhu bersama.

Pendek kata, baik dalam serba-serbi hal dan segenap aspek kehidupan!

Ya, Allah Ta'ala itu baik; tetapi janganlah pula kita mengambil kesempatan atas kebaikan Allah itu dengan tidak berusaha untuk menjadi baik dan membaikkan orang lain.

Ingat. Kita hanya dapat memaknai kebaikan Allah itu apabila kita sendiri menjadi BAIK dan mengamalkan KEBAIKAN dalam kehidupan seharian kita!

-gabbana-

Artikel ini sebenarnya sudah lama ditulis di laman FB saya. Sekarang ini dalam fasa mengemaskini belog ini, jadi saya cilok sahajalah dulu daripada FB saya itu. Hehe.

11 January 2020

Allah Itu Tidak Pernah Zalim dan Islam Itu Indah!



Betulkah Islam itu zalim dan kejam? Benarkah syariat Allah itu menyusahkan lagi membebankan? Adakah masuk Islam sahaja, ia beerti seseorang itu perlu jadi sempurna, langsung tiada silap dan cacat celanya?

Mungkin inilah yang banyak bermain dalam fikiran mereka yang jauh daripada Islam; baik orang-orang kafir mahupun mereka yang mengaku diri mereka Muslim sendiri.

Dalam situasi dunia yang menggila dan media yang lebih suka bermain dengan isu-isu yang sensasi, tidaklah hairan pemikiran begini yang dipegang oleh sedemikian ramai manusia, hatta dalam kalangan orang-orang Islam sendiri.

Saya ingin mengajak diri saya dan anda semua untuk melihat beberapa ayat dalam al-Quran untuk menjelaskan salah faham ini dan merungkaikan beberapa keserabutan yang mungkin sudah hampir terikat mati dalam kepala anda itu.

Iyalah, kalau tuduhan Allah itu kejam dan zalim, syariat Allah itu sukar dan menyusahkan itu yang dilemparkan, maka sumber apa lagi yang harus dijadikan rujukan kalau bukan al-Quran, kerana ia adalah kalam Allah sendiri kan? 

Perhatikan ayat ini:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [az-Zumar, 39:53]

Ayat ini adalah antara ayat kegemaran saya kerana ia menceritakan betapa tingginya kasih-sayang dan besarnya pengampunan Allah.

Tetapi ia juga punya maksud tersirat. Ia menggambarkan seolah-olah Allah 'mengiktiraf' bahawa ada manusia yang melampaui batas dengan bermaksiat kepada-Nya. Tetapi adakah Allah membuang mereka ini? Adakah Allah terus mencampakkan mereka ini ke dalam api neraka-Nya? 

Bahkan Allah menjanjikan pengampunan buat mereka yang bertaubat!

Allah Allah!

Perhatikan pula ayat ini; ia mempunyai maksud (ma'ani) yang hampir serupa:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ * فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di hadapan Tuhannya, serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." [an-Nazia't, 79:40-41]

Apa yang menarik dan luar biasa dengan ayat ini?

Allah SWT seolah-olah mengiktiraf bahawa manusia itu punya hawa nafsu kerana ia adalah fitrah. Maka yang disuruh kepada manusia adalah mengawalnya, dan bukan mengekang apatah lagi menghancurkannya!

Dan apa balasan buat mereka yang berjaya mengawal - dan bukan menafikan atau menolak terus - hawa nafsu mereka? Sorga ya akhiii!

MaashaAllah!

Bagaimana? Mula terasa indah dan syoknya Islam?

Ayuh kita lihat beberapa lagi potong ayat al-Quran.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.'" [al-Hasyr, 59:10]

Ayat ini mengandungi antara doa yang paling luar biasa dan seringkali kita dengar diulang baca usai solat berjemaah di mesejid. Apa istimewanya? 

Sekali lagi, Allah 'Azza Wajalla mahu memberitahu kita, bahawasanya manusia itu kadangkala tidak dapat lari daripada sifat fitrahnya' dalam ayat ini, sifat hasad dengki. Maka apa yang perlu kita lakukan? Berdoalah kepada-Nya agar dijauhkan daripada sifat itu!

Banyak lagi ayat-ayat lain dalam al-Quran yang menunjukkan betapa Allah itu sebenarnya sangatlah 'bertolak-ansur' dengan kelemahan dan kekurangan yang ada pada makhluk bernama manusia.

Misalnya, ayat "Janganlah kamu mendekati zina" dan ayat "Hendaklah mereka menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan." Perhatikan perkataan-perkataan yang digunakan.

Jangan mendekati. Tundukkan pandangan. Pelihara kemaluan.

Allah... Indahkan Islam? Cantikkan syariat Allah? Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada kita bukan?

Hanya sahaja apabila manusia tetap keras dengan kedegilan mereka, meskipun segala macam seruan kebenaran telah diberikan dan segala macam rahsia penciptaan alam buana telah dijelaskan, dan mereka tetap terus mahu ingkar dan menolak kebenaran, bahawa hanya Allah yang layak disembah dan Muhammad itu pesuruh Allah, hanya ketika itu mereka layak untuk diazab dan dicampakkan ke tempat yang paling hina.

Nau'dzubillahi min zalik.

Tetapi adil bukan? Yang zalim itu adalah manusia yang tunduk pada hawa nafsu dan bujukan syaitan!

Islam itu sebenarnya mudah. Ia tidak memaksa anda untuk menjadi 'orang lain'. Jadilah diri anda yang sebenarnya bersesuai dengan fitrah seorang manusia, tetapi tunduk dan patuh kepada-Nya.

Islam itu indah. Ia tidak menuruh anda melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tabi'e dan sifat semulajadi manusia, bahkan syariatnyalah yang menyambung suai kehidupan seharian kita dengan pergerakan alam.

Dan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala apa yang Dia arahkan dan sediakan untuk manusia di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai ujian untuk melihat siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang dapat merasai kehadiran-Nya dalam setiap keadaan dan ketika, juga sebagai bekalan untuk kita bertemu dengan-Nya di akhirat sana.

Kerana sungguh, Allah amat rindu untuk bertemu dengan para kekasih-Nya dengan para kekasih-Nya yang telah menyerahkan seluruh kehidupannya di dunia untuk berkhidmat kepada agama-Nya!


Senyum.

-gabbana-

InshaAllah sedang warming-up untuk PBAKL 2020. Maka kena paksa diri untuk rajin menulis semula. Eheh. Doakan!


4 October 2019

Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!

[Kredit]
Kita seringkali mendengar sepotong hadith "Doa itu senjata bagi orang mu'min." Sama ada didendangkan di ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah, atau diucapkan berapi-api di konferens-konferens riang atau demonstrasi solidariti Plaestin dan Syria. Kot.

Tetapi sejauh mana kita benar-benar memaknai hadith ini?

Pertama-tama sekali, penting untuk kita memahami konsep doa itu sendiri. Doa itu berasal dari perkataan 'da'a' yang bermakna menyeru atau memanggil. Doa dan dakwah mempunyai kata akar yang sama.

Jadi apabila kita berdoa kepada Allah, sebenarnya kita sedang 'menyeru' Allah untuk mendengar rintihan, permintaan dan aduan kita kepada-Nya. Doa sebagai satu bentuk ibadah, mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah. Hal inilah yang seringkali teralpa daripada benak fikiran kita, yang tidak melihat doa itu sebagai satu bentuk ibadah, tetapi hanya satu ritual selepas solat atau talian hayat ketika kita berada dalam keadaan yang sukar atau mendesak.

Salah satu salah faham yang terbesar tentang doa adalah kita sering menyangka yang doa itu sifatnya mesti 'meminta'. Meminta kepada Allah untuk sebarang hajat dan niat. Minta agar diampunkan dosa. Minta untuk dipanjangkan usia. Minta untuk dimurahkan rezeki. Minta untuk bertemu jodoh pilihan hati yang tidak meminta mas kahwin yang tinggi. Eh.

Tetapi doa lebih besar dari sekadar kita meminta-minta daripada Allah.

Doa itu adalah satu dialog antara kita dan Allah. Ia adalah perbualan mesra antara seorang hamba dengan kekasih agungnya. Ia adalah aduan, rintihan dan keluhan seorang makhluk yang lemah kepada Rabbnya yang Agung lagi Perkasa. Ia bukan sahaja diluahkan ketika susah dan tersepit, tetapi juga ketika senang dan lapang.

"Berdoalah kepada Tuhanmu di saat kamu senang (bahagia). Sesungguhnya Allah berkata, 'Barangsiapa berdoa (memohon) kepada-Ku di waktu dia senang (bahagia), maka Aku akan mengabulkan doanya di waktu dia dalam kesulitan.'"
(HR Ar-Rabi')

Di dalam al-Quran, Allah telah mencatatkan begitu banyak doa yang diungkapkan oleh para anbiya' kekasihNya, juga doa-doa yang diajarkan sendiri oleh Allah untuk diamalkan kita. Seolah-olahnya Allah mahu memberitahu kita, berdialoglah dengan-Nya kerana Dia amat mendambakan para hamba-Nya untuk berbual mesra dan mengadu chenta pada-Nya!

Kembali kepada hadith:
لدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ

Apabila berbicara tentang senjata, apa yang terlintas di fikiran kita? Senjata itu digunakan untuk menyerang bukan? Tetapi kadangkala kita terlepas pandang; senjata juga digunakan untuk mempertahankan diri.

Demikianlah sifat doa.

Ia bukan sahaja senjata untuk 'menyerang' tetapi juga senjata untuk 'mempertahankan' diri kita.

Apa contoh doa itu sebagai satu bentuk serangan?

Selain doa agar Allah menghancurkan musuh-musuh Islam dan pakatan jahat yang menzalimi umat Islam di samping agar Allah memenangkan gerabak dakwah yang mahu memenangkan agama ini, sebenarnya doa sebagai satu tindakan yang ofensif mempunyai makna dan aplikasi yang lebih meluas.

Misalnya, kita berdoa agar Allah melembutkan dan membuka hati mak dan ayah kita untuk lebih menerima Islam dan menerima serta menyokong kerja-kerja dakwah kita. Itu juga satu bentuk 'serangan.'

Atau kita berdoa agar Allah menghantar Makcik Hidayah menempeleng mad'u yang sedang kita santuni agar mereka menyertai gerabak dakwah dengan riang dan gembiranya. Itu pon satu bentuk 'serangan' sebenarnya.

Atau kita berdoa agar Allah tautkan hati para penggerak dakwah dan kurangkan pergeseran dan pergaduhan, lembutkan hati dan rapatkan saff mereka. Itu juga, bagi saya, adalah satu bentuk 'serangan.'

Bagaimana pula doa sebagai satu bentuk pertahanan?

Apabila kita berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas agama ini dan terus istiqamah di atas manhaj-Nya.

Tatkala kita bermunajat kepada-Nya, agar dikuatkan hati berhadapan dengan pelbagai jenis dugaan dan ujian, mehnah dan tribulasi.

Ketika kita menanges-nanges mengangkat tangan di waktu sahur yang hening, dengan seikhlas hati mengadu pada-Nya, agar diberikan keteguhan iman dan kemantapan jatidiri untuk terus berdakwah dan menyebarkan kebenaran. 

Itulah doa dalam bentuk pertahanan. Dan pertahanan yang kita minta itu bukan calang-calang bentuknya; ia adalah pertahanan terkuat kerana bersumberkan daripada-Nya!

Hanya setelah kita berjaya memaknai doa ini sebagai satu bentuk serangan dan pertahanan pada masa yang sama, baharulah kita dapat memahami konsep doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. 

Malangnya, ramai daripada kita yang meremehkan kepentingan dan kehebatan berdoa ini. Merasakan tidak ada pentingnya berdoa dalam melengkapkan usaha-usaha yang telah kita lakukan. Atau pon tidak serius dalam berdoa dan tidak menghayati setiap bait doa yang kita lafazkan. 

Rugilah sekiranya kita punya mentaliti sebegitu rupa. Sedangkan Allah SWT telah berjanji di dalam al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." 
(al-Baqarah, 2:186)

Seperti tidak cukup dengan satu ayat itu, Allah berfirman lagi:

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu..."
[al-Ghafir, 40:60]

Sebagai dua't yang sentiasa 'bertempur' di medan untuk menyebarkan al-haq dan menegakkan kebenaran, pada masa yang sama terpaksa pula bertarung dengan musuh-musuh Islam dalam bentuk taghut dan jahiliyyah, alangkah ruginya andai kita tidak melengkapkan kelengkapan perang kita dengan senjata ampuh yang telah Allah khususkan buat orang-orang yang beriman; itulah doa. 

Imam al-Banna, ketika ditanya apakah rahsia kejayaan dakwahnya. Beliau menjawab:

"Aku berdakwah kepada mereka di siang hari dan aku berdoa untuk mereka di malam hari."

Padu bak hang!

Sekiranya kita telah memberikan usaha yang sebaik dan seikhlas mungkin dalam dakwah ini, ditambah pula dengan doa yang bersungguh-sungguh sebagai penguat jiwa dan pelengkap usaha, tidak mustahil, dakwah kita itu berupaya menggegarkan seluruh alam buana ini lebih dahsyat dari sebutir bom nuklear! 

Nah persoalannya sekarang... Sudahkah kita berdoa? 

-gabbana- 

Meskipon ada perbahasan dalam kalangan ulama' tentang status hadith 'Doa adalah senjata orang mu'min', saya tidak mahu menyerabutkan kepala anda semua dengan perinciannya. Cukuplah kita mengambil makna yang baik daripada hadith ini. Moga ada manfaatnya!

Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang lain tentang doa di sini:


11 January 2019

Budak-Budak Usrah Ni Wajib Skema Kah?

[Kredit]

Boleh pandang ke atas dan tangan letak di bahu lepas baca tajuk post ni. Heh.

Ramai orang fikir yang bila dah jadi budak usrah ni, otomatik akan jadi macam malaikat. Pakai baju kena tuck-in (untuk ikhwah). Tudung labuh sampai kaki (untuk akhowat) sambil-sambil tu ambil upah sapu lantai. Gelak kena tutup mulut. Jalan kena langkah kecik-kecik lepas tu sopan-santun. Pijak semut tak mati. Kentut pon wangi. Eh.

Memanglah tak nafikan, lepas join usrah ni, lepas dapat tarbiyah, lepas selalu tilawah dan tadabbur al-Quran, lepas selalu pergi daurah apa semua tu, sedikit-sebanyak pastilah personaliti diri akan berubah. Bukan berubah apa, tapi berubah menjadi lebih baik la. Diri yang lebih diredhai Allah. Peribadi yang lebih dirindui Rasulullah.

Kalau dulu nak solat lima waktu pon ya rabbi liat macam apa, tapi sekarang alhamdulillah bukan setakat kita saff paling depan, sikit lagi nak kena lantik jadi tok siak dalam pemilihan AJK mesejid baru-baru ni. Wakaka.

Kalau dulu nak baca Quran tu punyalah susah sampai orang ingat hari dah nak kiamat bila kita baca al-Fatihah, tetapi alhamdulillah sekarang rasa rinduuu je bila berpisah dengan al-Quran, rasa macam ada something yang tak kena je bila bibir mula kering dari mengalunkan ayat-ayat Allah.

Kalau dulu sebut dakwah, usrah apa semua tu naik meremang bulu tengkuk kita siap mintak izin nak lari jauh-jauh, tapi sekarang alhamdulillah dakwah tarbiyah tu benda yang kita betul-betul pegang dan sayang, sehinggakan kita benar-benar rindu untuk syahid di jalan-Nya.

Perubahan yang macam tu lah.

Tapi siapa diri kita, ia tetap diri kita. Yang itu tak perlu nak ubah pon kan? Kita yang suka berlawak-jenaka itu. Kita yang suka buat orang lain tersenyum itu. Kita yang gila-gila dan periang itu.

Di dalam surah al-Kahfi, Allah rekodkan bagaimana pemuda yang "beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka" itu, di sebalik kehebatan mereka ketika mereka mempertahankan keimanan mereka dan bangkit menentang kemungkaran Sang Penguasa, mereka tetap adalah para pemuda biasa!

Tidak percaya? Baca ayat ini:

"Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar ada antara mereka saling bertanya. Salah seorang antara mereka berkata, 'Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?' Mereka menjawab, 'Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari.' Berkata (yang lain), 'Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dah hendaklah dia berlaku lembah lembut dan jangan sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa.'" 
[al-Kahfi, 18:19]  

Lihat! Dalam kalangan mereka, ada yang 'nakal', sengaja mahu memprovokasi dengan bertanya soalan "Dah berapa lama kita kat sini eh?" Macam kita jugalah. Ada dalam kalangan kita ni, yang kadang-kadang sengaja bertanyakan soalan hanya kerana suka melihat sahabat-sahabat kita bertelagah dan ketika itu, kita mengundur ke belakang sambil tertawa keji. Eheh.

Dan lihat sahaja mereka ini. Setelah lena untuk satu tempoh yang agak lama (pada pandangan mereka), mereka langsung tidak risaukan perihal Sang Raja yang memburu mereka atau adakah ibu dan ayah mereka khuatir akan keadaan mereka. Yang mereka risaukan ialah keadaan perut mereka!

Makanan dan ikhwah memang tidak dapat dipisahkan bukan?

Juga siapakah yang mereka tugaskan untuk pergi membeli makanan? "Hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik." Si dia yang paling tahu mamak mana yang jual roti naan cheese yang paling layaaannn atau kedai tomyam mana yang paling masyuuukk! Wahahaha. Eh.

Menarik bukan, bagaimana Allah rekodkan semua ini di dalam al-Quran? Ketahuilah, tiada satu kisah, satu ayat, satu perkataan hatta satu huruf pun di dalam al-Quran yang 'kebetulan' dan sia-sia!

Sekiranya kita rajin menelusuri kisah para sahabat, kita akan dapati, mereka juga manusia biasa seperti kita. Ada yang suka bergurau-senda. Ada yang mahu berjenaka dengan mencampakkan buah tembikai kepada sahabat yang lain. Ada yang suka berpakaian indah bermacam gaya. Ada yang pemarah. Ada yang suka membebel dan banyak mulutnya. Beraneka ragam dan rupa!

Tetapi mereka itu tetap para sahabat bukan? Mereka yang redha kepada Allah dan Allah redha kepada mereka?

Mungkin dari kisah para pemuda al-Kahfi tadi, Allah mahu kita belajar, betapa komitmen dengan tarbiyah dan dakwah itu tidak memerlukan untuk kita melupakan siapa diri kita yang sebenar; yang dituntut dari kita hanyalah keikhlasan dan kesungguhan untuk menegakkan kebenaran dan menyebarkan chenta!

-gabbana-

(Tadabbur ayat ini 'dipinjam' dari perkongsian oleh Ustaz Nouman Ali Khan. Moga Allah merahmati beliau!)

10 January 2019

'Happily Ever After' Stail Nabi Yusuf

[Kredit]

Apabila disebut sahaja surah Yusuf, apa yang seringkali terlintas di fikiran kita?

Nabi Yusuf adalah seorang jejaka yang hensem lagi tampan. Isteri al-Aziz adalah seorang perempuan jalang yang tidak mampu menahan nafsu apabila melihat lelaki kacak di depan mata. Nabi Yusuf pandai mentakwil mimpi. Nabi Yusuf diangkat menjadi bendahara negara. Nabi Yusuf akhirnya disatukan dengan ayahnya Nabi Yaakub dan akhirnya hidup bahagia happily ever after hey!

Begitu?

Surah Yusuf adalah satu surah yang mengandungi begitu banyak ibrah dan hikmah, jauh melangkaui sekadar kisah 'fairy tale' yang menjadi halwa jiwa. Jika tidak, masakan Allah menyifatkan surah ini sebagai "kisah yang paling baik" di dalam kitab-Nya yang mulia? (Yusuf, 12:3)

Ia adalah sebuah surah yang menceritakan tentang ujian, kesengsaraan dan penderitaan.

Nabi Yaakub yang kehilangan anak tanpa mengetahui apa nasib anaknya itu, yang kemudiannya hilang penglihatan kerana terlalu berduka-cita. Nabi Yusuf yang difitnah kemudian dipenjara bertahun lamanya, hanya dinafikan hak untuk dibebaskan lebih awal kerana rakan sepenjaranya lupa akan janjinya.

Menyebutnya sekali lalu begitu, mungkin sukar untuk menimbulkan perasaan hiba apatah lagi simpati.

Tetapi cuba pejamkan mata, kosongkan minda dan bayangkan.. Anda berada di tempat Nabi Yaakub AS, yang tidak semena-mena kehilangan anak kesayangannya. Bukan itu sahaja, berbeza mungkin dengan ibu bapa yang kematian anak dengan jasad anaknya ada di hadapan mata, Nabi Yaakub dibiarkan tertanya-tanya akan nasib Yusuf, anaknya. Anda yang bergelar ibu-bapa pasti boleh faham perasaan baginda; tidak keruan dan boleh gila dibuatnya!

Nah, sekarang bayangkan pula anda berada di tempat Nabi Yusuf AS. Dipisahkan dari keluarga di usia yang masih muda, kemudian dicampakkan ke dalam telaga entah di mana. Dibiarkan keseorangan di dalam telaga - kelaparan, kesejukan dan ketakutan - entah untuk berapa hari dan malam lamanya. Kemudian dikutip pula oleh kafilah pedagang yang menjualnya pula pada seorang pembesar negara.

Meski Yusuf dibesarkan dalam suasana serba mewah dan selesa, jiwanya tidak tenteram dek rupa parasnya yang menaikkan syahwat sang isteri pembesar. Baginda sanggup dipenjara demi menyelamatkan iman dan jiwa. Entah berapa lama pula baginda terpaksa meringkuk di dalam penjara; al-Quran menyebutnya "...dia tetap dalam penjara beberapa tahun lamanya." (Yusuf, 12:42)

Setelah itu - setelah kesengsaraan demi kesengsaraan, ujian demi ujian - baharulah nasib Nabi Yusuf bertambah baik. Baginda diangkat menjadi "...seorang yang berkedudukan tinggi dalam lingkungan kami dan dipercaya." (Yusuf, 12:54)

Itu pon baginda masih lagi terpisah dari ayahandanya yang terchenta dan Bunyamin adik kesayangannya.

Bagaimana? Kini anda boleh menghayati penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf AS?

Sekiranya ada satu tema untuk menyimpulkan surah Yusuf, ia adalah "keyakinan kepada perancangan dan ketentuan Ilahi."

Jika Yusuf tidak dibuang ke dalam telaga, masakan baginda akan sampai ke rumah al-Aziz? Sekiranya baginda tidak digoda, mana mungkin baginda dihumban ke dalam penjara? Dan seandainya baginda tidak meringkuk di dalam penjara, mungkin baginda tidak berpeluang menjadi orang kanan kepada Sang Raja, lantas langsung tidak berpeluang untuk bertemu semula dengan ayahnya!

Dah nampak kan permainannya di situ?

Yang lebih utama, di sebalik ujian dan mehnah yang menimpa baginda berdua, tidak sekali pon dicatatkan mereka mengeluh atau menyesal dengan kesusahan dan kesukaran yang Allah timpakan ke atas mereka. Malah yang diabadikan di dalam al-Quran adalah betapa tingginya tawakkal dan iman mereka kepada Allah dan takdir yang telah ditetapkan untuk mereka. Betapa yakinnya mereka dengan perancangan Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana itu!

Nukil Yaakub AS:

"Hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui." 
[Yusuf, 12:86]

Dan ungkap Yusuf AS:

"Sungguh, Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami. Sesungguhnya barangsiapa bertaqwa dan bersabar, maka sungguh, Allah tidak menyia-nyiakan pahal perbuatan orang yang berbuat baik." 
[Yusuf, 12:90]

MashaAllah! Betapa tingginya tawakkal mereka! Betapa hebatnya sabar mereka! Dan betapa berlapang dadanya mereka dengan ketentuan Allah!

Demikianlah yang dapat kita pelajari daripada dua sosok yang luar biasa ini.

Allah pasti akan menguji hamba-hambaNya, dan semakin hebat dan besar ujian-Nya, semakin tinggi pula darjat hamba-Nya itu, andai dia bertaqwa dan sabar. Kata orang, ujian itu mematangkan diri dan emosi; tetapi ia hanya mampu mendewasakan seseorang andai dia berjaya mengharunginya dengan redha!

Dan di sebalik segala musibah dan ujian yang menimpa diri, ketahuilah satu perkata, betapa Allah SWT mempunyai perancangan yang jauh lebih baik daripada apa yang mampu untuk kita fikir dan sangka. Syarat untuk mendapatkan pengakhiran yang baik hanya dua; taqwa dan sabar. Taqwa. Dan Sabar.

Akhirnya, ganjaran Allah SWT untuk para hamba-Nya yang mampu terus istiqamah di atas jalan kebenaran, di sebalik bermacam bentuk mehnah dan ujian, tiada yang lain melainkan sorga yang abadi.

Dan moga itulah yang selayaknya menjadi penutup kepada kisah happily ever after kehidupan kita. 

Senyum.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP