11 January 2020

Allah Itu Tidak Pernah Zalim dan Islam Itu Indah!



Betulkah Islam itu zalim dan kejam? Benarkah syariat Allah itu menyusahkan lagi membebankan? Adakah masuk Islam sahaja, ia beerti seseorang itu perlu jadi sempurna, langsung tiada silap dan cacat celanya?

Mungkin inilah yang banyak bermain dalam fikiran mereka yang jauh daripada Islam; baik orang-orang kafir mahupun mereka yang mengaku diri mereka Muslim sendiri.

Dalam situasi dunia yang menggila dan media yang lebih suka bermain dengan isu-isu yang sensasi, tidaklah hairan pemikiran begini yang dipegang oleh sedemikian ramai manusia, hatta dalam kalangan orang-orang Islam sendiri.

Saya ingin mengajak diri saya dan anda semua untuk melihat beberapa ayat dalam al-Quran untuk menjelaskan salah faham ini dan merungkaikan beberapa keserabutan yang mungkin sudah hampir terikat mati dalam kepala anda itu.

Iyalah, kalau tuduhan Allah itu kejam dan zalim, syariat Allah itu sukar dan menyusahkan itu yang dilemparkan, maka sumber apa lagi yang harus dijadikan rujukan kalau bukan al-Quran, kerana ia adalah kalam Allah sendiri kan? 

Perhatikan ayat ini:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [az-Zumar, 39:53]

Ayat ini adalah antara ayat kegemaran saya kerana ia menceritakan betapa tingginya kasih-sayang dan besarnya pengampunan Allah.

Tetapi ia juga punya maksud tersirat. Ia menggambarkan seolah-olah Allah 'mengiktiraf' bahawa ada manusia yang melampaui batas dengan bermaksiat kepada-Nya. Tetapi adakah Allah membuang mereka ini? Adakah Allah terus mencampakkan mereka ini ke dalam api neraka-Nya? 

Bahkan Allah menjanjikan pengampunan buat mereka yang bertaubat!

Allah Allah!

Perhatikan pula ayat ini; ia mempunyai maksud (ma'ani) yang hampir serupa:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ * فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di hadapan Tuhannya, serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." [an-Nazia't, 79:40-41]

Apa yang menarik dan luar biasa dengan ayat ini?

Allah SWT seolah-olah mengiktiraf bahawa manusia itu punya hawa nafsu kerana ia adalah fitrah. Maka yang disuruh kepada manusia adalah mengawalnya, dan bukan mengekang apatah lagi menghancurkannya!

Dan apa balasan buat mereka yang berjaya mengawal - dan bukan menafikan atau menolak terus - hawa nafsu mereka? Sorga ya akhiii!

MaashaAllah!

Bagaimana? Mula terasa indah dan syoknya Islam?

Ayuh kita lihat beberapa lagi potong ayat al-Quran.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.'" [al-Hasyr, 59:10]

Ayat ini mengandungi antara doa yang paling luar biasa dan seringkali kita dengar diulang baca usai solat berjemaah di mesejid. Apa istimewanya? 

Sekali lagi, Allah 'Azza Wajalla mahu memberitahu kita, bahawasanya manusia itu kadangkala tidak dapat lari daripada sifat fitrahnya' dalam ayat ini, sifat hasad dengki. Maka apa yang perlu kita lakukan? Berdoalah kepada-Nya agar dijauhkan daripada sifat itu!

Banyak lagi ayat-ayat lain dalam al-Quran yang menunjukkan betapa Allah itu sebenarnya sangatlah 'bertolak-ansur' dengan kelemahan dan kekurangan yang ada pada makhluk bernama manusia.

Misalnya, ayat "Janganlah kamu mendekati zina" dan ayat "Hendaklah mereka menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan." Perhatikan perkataan-perkataan yang digunakan.

Jangan mendekati. Tundukkan pandangan. Pelihara kemaluan.

Allah... Indahkan Islam? Cantikkan syariat Allah? Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada kita bukan?

Hanya sahaja apabila manusia tetap keras dengan kedegilan mereka, meskipun segala macam seruan kebenaran telah diberikan dan segala macam rahsia penciptaan alam buana telah dijelaskan, dan mereka tetap terus mahu ingkar dan menolak kebenaran, bahawa hanya Allah yang layak disembah dan Muhammad itu pesuruh Allah, hanya ketika itu mereka layak untuk diazab dan dicampakkan ke tempat yang paling hina.

Nau'dzubillahi min zalik.

Tetapi adil bukan? Yang zalim itu adalah manusia yang tunduk pada hawa nafsu dan bujukan syaitan!

Islam itu sebenarnya mudah. Ia tidak memaksa anda untuk menjadi 'orang lain'. Jadilah diri anda yang sebenarnya bersesuai dengan fitrah seorang manusia, tetapi tunduk dan patuh kepada-Nya.

Islam itu indah. Ia tidak menuruh anda melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tabi'e dan sifat semulajadi manusia, bahkan syariatnyalah yang menyambung suai kehidupan seharian kita dengan pergerakan alam.

Dan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala apa yang Dia arahkan dan sediakan untuk manusia di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai ujian untuk melihat siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang dapat merasai kehadiran-Nya dalam setiap keadaan dan ketika, juga sebagai bekalan untuk kita bertemu dengan-Nya di akhirat sana.

Kerana sungguh, Allah amat rindu untuk bertemu dengan para kekasih-Nya dengan para kekasih-Nya yang telah menyerahkan seluruh kehidupannya di dunia untuk berkhidmat kepada agama-Nya!


Senyum.

-gabbana-

InshaAllah sedang warming-up untuk PBAKL 2020. Maka kena paksa diri untuk rajin menulis semula. Eheh. Doakan!


3 Caci Maki Puji Muji:

ahmed 13/01/2020, 21:09  



شركة مكافحة حشرات بالقصيم


Milo Tabur 24/03/2020, 17:49  

inshaAllah Aamin teruskan menulis.

Anonymous 04/07/2020, 10:57  

Slm..Maaf bertanya, en gabbana masih org y sama kah? Sb gaya penulisan agak berbeza setelah agk lama x post kan entri.. Ke saye je y berubah makin tua??Haha..dulu agk santai,skg agk skema..hehe

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP