10 January 2019

'Happily Ever After' Stail Nabi Yusuf

[Kredit]

Apabila disebut sahaja surah Yusuf, apa yang seringkali terlintas di fikiran kita?

Nabi Yusuf adalah seorang jejaka yang hensem lagi tampan. Isteri al-Aziz adalah seorang perempuan jalang yang tidak mampu menahan nafsu apabila melihat lelaki kacak di depan mata. Nabi Yusuf pandai mentakwil mimpi. Nabi Yusuf diangkat menjadi bendahara negara. Nabi Yusuf akhirnya disatukan dengan ayahnya Nabi Yaakub dan akhirnya hidup bahagia happily ever after hey!

Begitu?

Surah Yusuf adalah satu surah yang mengandungi begitu banyak ibrah dan hikmah, jauh melangkaui sekadar kisah 'fairy tale' yang menjadi halwa jiwa. Jika tidak, masakan Allah menyifatkan surah ini sebagai "kisah yang paling baik" di dalam kitab-Nya yang mulia? (Yusuf, 12:3)

Ia adalah sebuah surah yang menceritakan tentang ujian, kesengsaraan dan penderitaan.

Nabi Yaakub yang kehilangan anak tanpa mengetahui apa nasib anaknya itu, yang kemudiannya hilang penglihatan kerana terlalu berduka-cita. Nabi Yusuf yang difitnah kemudian dipenjara bertahun lamanya, hanya dinafikan hak untuk dibebaskan lebih awal kerana rakan sepenjaranya lupa akan janjinya.

Menyebutnya sekali lalu begitu, mungkin sukar untuk menimbulkan perasaan hiba apatah lagi simpati.

Tetapi cuba pejamkan mata, kosongkan minda dan bayangkan.. Anda berada di tempat Nabi Yaakub AS, yang tidak semena-mena kehilangan anak kesayangannya. Bukan itu sahaja, berbeza mungkin dengan ibu bapa yang kematian anak dengan jasad anaknya ada di hadapan mata, Nabi Yaakub dibiarkan tertanya-tanya akan nasib Yusuf, anaknya. Anda yang bergelar ibu-bapa pasti boleh faham perasaan baginda; tidak keruan dan boleh gila dibuatnya!

Nah, sekarang bayangkan pula anda berada di tempat Nabi Yusuf AS. Dipisahkan dari keluarga di usia yang masih muda, kemudian dicampakkan ke dalam telaga entah di mana. Dibiarkan keseorangan di dalam telaga - kelaparan, kesejukan dan ketakutan - entah untuk berapa hari dan malam lamanya. Kemudian dikutip pula oleh kafilah pedagang yang menjualnya pula pada seorang pembesar negara.

Meski Yusuf dibesarkan dalam suasana serba mewah dan selesa, jiwanya tidak tenteram dek rupa parasnya yang menaikkan syahwat sang isteri pembesar. Baginda sanggup dipenjara demi menyelamatkan iman dan jiwa. Entah berapa lama pula baginda terpaksa meringkuk di dalam penjara; al-Quran menyebutnya "...dia tetap dalam penjara beberapa tahun lamanya." (Yusuf, 12:42)

Setelah itu - setelah kesengsaraan demi kesengsaraan, ujian demi ujian - baharulah nasib Nabi Yusuf bertambah baik. Baginda diangkat menjadi "...seorang yang berkedudukan tinggi dalam lingkungan kami dan dipercaya." (Yusuf, 12:54)

Itu pon baginda masih lagi terpisah dari ayahandanya yang terchenta dan Bunyamin adik kesayangannya.

Bagaimana? Kini anda boleh menghayati penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf AS?

Sekiranya ada satu tema untuk menyimpulkan surah Yusuf, ia adalah "keyakinan kepada perancangan dan ketentuan Ilahi."

Jika Yusuf tidak dibuang ke dalam telaga, masakan baginda akan sampai ke rumah al-Aziz? Sekiranya baginda tidak digoda, mana mungkin baginda dihumban ke dalam penjara? Dan seandainya baginda tidak meringkuk di dalam penjara, mungkin baginda tidak berpeluang menjadi orang kanan kepada Sang Raja, lantas langsung tidak berpeluang untuk bertemu semula dengan ayahnya!

Dah nampak kan permainannya di situ?

Yang lebih utama, di sebalik ujian dan mehnah yang menimpa baginda berdua, tidak sekali pon dicatatkan mereka mengeluh atau menyesal dengan kesusahan dan kesukaran yang Allah timpakan ke atas mereka. Malah yang diabadikan di dalam al-Quran adalah betapa tingginya tawakkal dan iman mereka kepada Allah dan takdir yang telah ditetapkan untuk mereka. Betapa yakinnya mereka dengan perancangan Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana itu!

Nukil Yaakub AS:

"Hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui." 
[Yusuf, 12:86]

Dan ungkap Yusuf AS:

"Sungguh, Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami. Sesungguhnya barangsiapa bertaqwa dan bersabar, maka sungguh, Allah tidak menyia-nyiakan pahal perbuatan orang yang berbuat baik." 
[Yusuf, 12:90]

MashaAllah! Betapa tingginya tawakkal mereka! Betapa hebatnya sabar mereka! Dan betapa berlapang dadanya mereka dengan ketentuan Allah!

Demikianlah yang dapat kita pelajari daripada dua sosok yang luar biasa ini.

Allah pasti akan menguji hamba-hambaNya, dan semakin hebat dan besar ujian-Nya, semakin tinggi pula darjat hamba-Nya itu, andai dia bertaqwa dan sabar. Kata orang, ujian itu mematangkan diri dan emosi; tetapi ia hanya mampu mendewasakan seseorang andai dia berjaya mengharunginya dengan redha!

Dan di sebalik segala musibah dan ujian yang menimpa diri, ketahuilah satu perkata, betapa Allah SWT mempunyai perancangan yang jauh lebih baik daripada apa yang mampu untuk kita fikir dan sangka. Syarat untuk mendapatkan pengakhiran yang baik hanya dua; taqwa dan sabar. Taqwa. Dan Sabar.

Akhirnya, ganjaran Allah SWT untuk para hamba-Nya yang mampu terus istiqamah di atas jalan kebenaran, di sebalik bermacam bentuk mehnah dan ujian, tiada yang lain melainkan sorga yang abadi.

Dan moga itulah yang selayaknya menjadi penutup kepada kisah happily ever after kehidupan kita. 

Senyum.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP