6 November 2012

Akhi, Sudah Benar-Benar Ikhwahkah Kita?

[Kredit]

Anda yang baru bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini pasti sudah mula perasan tentang sesuatu perkara, betapa anda yang menyertai pasukan penuh bergaya ini akan dipanggil dengan panggilan yang cukup istimewa sekali - Akhi

Ya, istimewa. Eksklusif. Dan punya amanah yang besar dan berat bersamanya.

Benar, tidak ada dalam mana-mana surah, hadith atau kitab-kitab karangan ulama' tersohor yang mengatakan bahawa hanya mereka yang mentarbiyah dan berdakwah sahaja layak digelar ikhwah (atau ikhwan). Tetapi entah mengapa, ia ibaratnya adalah peraturan tidak bertulis (Baca: Unwritten rule) yang diterima semua, tanpa kompromi dan prasangka. 

Secara otomatiknya, anda yang bersama-sama dengan gerabak tarbiyah dan keretapi dakwah ini akan dipanggil dengan gelaran 'Akh' itu. Dan mereka yang berada di luar lingkungan atau bulatan pengaruh ini (Baca: Circle of influence) juga sukar untuk mempersoalkannya. Mengapa? Yalah, anda tidak sewenang-wenangnya memanggil seorang jejaka yang berdansa di kelab malam atau seorang lelaki yang selalu keluar masuk panggung wayang dengan panggilan akh bukan..? Malah, anda juga tidak memanggil seorang doktor yang baik budi pekertinya setiap hari tidak lupa menonton segmen Motivasi Pagi atau seorang pakcik berkopiah yang tidak pernah tinggal solat berjemaah dengan panggilan yang sama. Bukankah begitu..?

Maka gelaran ikhwah ini bukan sebarang gelaran. Ia tidak melambangkan akhlak dan baiknya budi pekerti seseorang itu semata-mata. Tetapi ia adalah gelaran yang datang bersama-samanya dengan tanggungjawab dan amanah di bahu. Kerana itu saya tidak melihatnya sebagai gelaran eksklusif semata, kerana keahlian kelab ini datangnya dengan bayaran yang cukup mahal dan membotakkan kepala!

Mata pandang ke atas. 

Sayugia hari ini saya ingin berkongsikan dengan anda (berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan neraca saya yang sumpah marhaen ini) ciri-ciri atau kriteria untuk menilai dan melihat sama ada kita ini benar-benar sudah ikhwah atau pon kita masih bermimpi dibuai lena. 

Anda sudah bersedia..?

Baiklah.

1) Kita belum benar-benar ikhwah kalau persaudaraan yang kita jalinkan bukan keranaNya.

Hal ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Hujuraat,

"Sesungguhnya orang-orang mu'min itu bersaudara."
[al-Hujuraat, 49:10]

Dari satu aspek, kita akan mudah untuk membuat kesimpulan bahawa orang-orang mu'min itu bersaudara. Benar, tiada yang benar melainkan hal yang sedemikian. Namun ada poin yang lebih besar dan utama daripada ayat ini; ukhuwwah yang terjalin hendaklah berasaskan dan bertunjangkan keimanan. Dengan kata lain, kena jatuh chenta dengan Allah dahulu, baharulah boleh berkasih-sayang dan berukhuwwah dengan orang lain. 

Sudah beberapa kali saya berbicara tentang hal ini dan saya pasti ada di kalangan anda yang sudah mula bosan membaca tulisan saya yang menyentuh isu ini. Saya hanya mahu mengingatkan kerana ramai antara kita yang mudah lupa akan hal ini; larut dan leka dalam dakapan ukhuwwah fi jahiliyyah. Nau'dzubillah.. 

Ukhuwwah fillah itu adalah apabila kita mengutamakan Allah melebihi segala sesuatu. Maknanya, sekiranya ada kecalaran atau ketegangan pada ukhuwwah yang dibina, hal sedemikian tidak akan menjauhkan kita daripada Allah. Ia tidak akan menyebabkan kita lari dan kechiwa dengan tarbiyah dan dakwah. Kerana tarbiyah yang membina hati dan jiwa sepatutnya berjaya mendidik diri bahawasanya Allah sentiasa ada di sisi, walau apa yang terjadi. 

Dan ukhuwwah fillah itu hanya dapat diterjemahkan dalam erti kata yang sebenar apabila ukhuwwah yang terjalin itu menguatkan lagi iltizam dan kesungguhan untuk beramal di jalan tarbiyah dan dakwah ini. Maknanya, gelaran ikhwah itu hanya relevan apabila mereka yang bergelar ikhwah itu sibuk di medan amal mentarbiyah dan berdakwah. Tiada ikhwah tanpa tarbiyah. Tiada ukhuwwah tanpa dakwah.

Kerana apa..? Kerana itulah tujuan kita diciptakan di muka bumi ini!

2) Kita belum benar-benar ikhwah sekiranya ukhuwwah yang terjalin adalah ukhuwwah plastik cap ayam.

Alang kepalang berbicara tentang soal ukhuwwah, maka perlu juga kita melihat kepada kualiti ukhuwwah yang dibina.

Dalam suatu hadith Nabi SAW, baginda bersabda:

"Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menchentai saudaranya sama seperti dia menchentai dirinya sendiri."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kata omputih, "Treat others as what you like to be treated."

Kalau kita tidak suka dimarah, ditengking, diumpat, dicaci dan diperlakukan sebegitu sebegini, maka tidak wajar kita berbuat yang sama kepada orang lain. Dan kalau kita suka dimanja-manja, dirindu dan disayangi, maka kita juga perlu berbuat perkara yang serupa kepada ikhwah kita. Sama.

Dan apakah yang dimaksudkan dengan ukhuwwah plastik itu? Itulah dia, berukhuwwah gembira, penuh teruja dan bahagia hanya di bulatan-bulatan gembira, konferens-konferens riang dan program-program yang sewaktu dengannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Luar daripada program-program, berlanggar bahu di tepi jalan pon buat-buat eh aku kenal kau ke..? Err. 

Ukhuwwah yang kita jalinkan itu, ukhuwwah fillah atau ukhuwwah lego? Eh. [Kredit]

Ukhuwwah fillah juga memerlukan kita untuk mengambil tahu dan mengambil berat perihal ikhwah, bukan hanya sekadar mengeteh minum teh tarik dan pekena roti canai di malam hari. Bukan juga hanya sekadar bertanya-tanya khabar di laman MukaBuku atau menghantar mesej pesanan ringkas sekali dua dalam setahun. Bukan. Tetapi ikhwah yang sebenar akan segera menghulurkan bantuan bila mana ada saudaranya yang berada di dalam kesusahan. Ikhwah yang tulen adalah apabila dia berasa risau dan resah apabila mengetahui ada saudaranya yang futur dan gugur. Ikhwah yang benar-benar layak dipanggil ikhwah tidak akan berasa lega dan selesa selagi mana dia tidak menunaikan hak ukhuwwah ikhwah kepadanya, sebelum dia berharap orang lain menunaikan haknya. Dan sudah tentunya, seorang al-akh hanya boleh menarik nafas lega dan benar-benar teruja gembira apabila dia melangkahkan kakinya ke dalam sorga, bersama saudara-saudaranya yang terchenta.

Kata Datuk Tariq Ramadhan, serendah-rendah tahap ukhuwwah adalah berlapang dada (salamatus sadr). Kalau nak berlapang dada dan bersangka baik dengan ikhwah pon kita tak mampu nak laksanakan, maka kita ini tidak layak dipanggil seorang al-akh. Ya, bukan mudah untuk kita berlapang dada.

"Ish lama dia ni tak datang bulatan gembira. Macam-macam alasan yang dia bagi. Cakap je la malas! Futurrrrr!"

"Enti ni ana tengok, dok bergayut kat telefon je kerjanya. Enti ada boipren ke..? Astaghfirullah! Jahiliyyah tu ukhti, jahiliyyah!"

"Uisshh kau tengok si Ahmad Soleh tu. Dakwah mantap. Bulatan gembira dua tiga buah dia bawak. Pelajaran pon cemerlang. Malam tidur lambat, awal-awal pagi dia dah bangun. Macam mana dia buat eh..?? Ni takde lain ni, mesti dia bela jinnnn...!!"

Err.. Abaikan dialog yang terakhir tu. Konfem tak lepas Usul 20. Hohoho..

Ya, sememangnya amat sukar untuk kita berlapang dada. Kerana itulah agaknya Datuk Tariq Ramadhan meletakkannya sebagai batu asas dalam sesebuah perhubungan yang dinamakan ukhuwwah. Rupa-rupanya, untuk membina sebuah bangunan yang kukuh, asasnya itulah yang paling sukar dan susah untuk dibina, hanya kerana mahu melihat bangunan yang terbina nanti utuh, kukuh dan tidak mudah roboh. 

Arakian jangan panggil diri kita seorang al-akh jika kita hanya berbasa-basi sahaja dalam soal ukhuwwah ini. Sekiranya kita sendiri tidak sanggup berkorban jiwa, hati dan perasaan bagi melahirkan ukhuwwah yang mantap dan penuh kechentaan untukNya, berhentilah mengharap untuk menikmati ukhuwwah di taman bunga nan indah dengan daun-daun cokelat berguguran di tengah-tengah arnab-arnab gemok berlari riang. Eh.

3) Kita belum benar-benar ikhwah sekiranya tidak membawa bulatan gembira.

Kata Ustaz Dr. Abdullah Qadiri al-Ahdal,

"Inna al-akh ash-saddiq la budda an-yakuuna murabbiyan." 
"Sesungguhnya seorang akh yang benar tidak diragui lagi mesti menjadi murabbi."

Maka suka atau tidak, setuju atau tidak, sekiranya anda benar-benar mahu menggelarkan diri anda sebagai seorang al-akh dan mahu menjadi seorang al-akh yang benar, anda mesti menjadi seorang murabbi. Dan kemurabbian anda itu hanya boleh dimanifestasikan dalam erti kata yang sebenar apabila anda membawa/memimpin bulatan gembira anda sendiri.

Hallo Inche gabbana! Mengapa pula bulatan gembira? Cukuplah dengan kami memberi ceramah-ceramah umum atau menyantuni masyarakat dengan kerja-kerja kebajikan! Taksub bulatan gembira la anda ni Inche gabbana!

Lalala. Eh anda bercakap dengan sayakah..? Wahahaha..

Sekiranya anda benar-benar beriman dengan manhaj taghyir dalam membawa perubahan yang total kepada masyarakat, maka ia perlu dimulakan dengan pembinaan individu-individu muslim dari bawah lagi. Dan tiada kaedah yang lebih berkesan untuk melaksanakan kerja-kerja pentarbiyahan dan pembinaan jiwa-jiwa ini melainkan dengan bulatan gembira.

Abes tu! Konferens riang, jalan-jalan mencari redhaNya, perkhemahan tarbawi dan segala bagai tu, anda nak campak mana..??

Ya, semuanya itu tidak kurang pentingnya. Namun bulatan gembira wajib dijadikan paksi dan asas yang utama. Ia adalah nukleus kepada manhaj atau sistem dalam membawa gelombang perubahan dalam masyarakat. Maka rugilah pergerakan ini sekiranya rijal-rijal di dalamnya sendiri tidak beriman dengannya!  

Tidak kisahlah anda nak berpolitik bagai, nak masuk kampung mentarbiyah orang asli dan sebagainya, yang penting bulatan gembira tidak ditinggalkan. Juga sebagai seorang akh, anda sendiri perlu membawa bulatan gembira sendiri. Tiada politik, tidak mengapa. Tiada bulatan gembira, bencana!
 

Bukan taksub atau fanatisme tak tentu pasal. Anda yang sudah melalui tarbiyah bulatan gembira, kemudian faham pula cara-caranya untuk membawa bulatan gembira, pasti akan setuju bahawa bulatan gembira adalah cara yang paling amat berkesan untuk membumikan sesuatu cara pemikiran atau idelogi. Dengan perjumpaan yang berkalanya, tilawah dan tadabbur al-Qurannya, perbincangan tentang masalah ummatnya, diskusi gerak kerjanya, elemen ekor atasnya (Baca: Follow-up), elemen ukhuwwah dan kasih-sayangnya dan macam-macam lagilah, menjadikan bulatan gembira sebagai platform yang cukup bergaya untuk mentarbiyah individu. 

Juga, seorang al-akh yang membawa bulatan gembira tidak mungkin akan sama dengan seorang al-akh lain yang tidak membawa bulatan gembira. Pengorbanannya tidak sama. Cara fikirnya tidak sama. Qudwahnya tidak sama. Kemahiran sosialnya tidak sama. Serba-serbinya tidak sama. Tidak akan sama! Inilah kelebihan mereka yang membawa bulatan gembira. Inilah keistimewaan mereka yang menjadi murabbi. Kerana itu agaknya, seseorang itu hanya layak digelar ikhwah apabila dia membawa bulatan gembira!

Arakian tunggu apa lagi..? Gembirakanlah bulatan itu dengan segera!

4) Kita belum benar-benar ikhwah jika tidak beriman dengan maratibul amal.

Datuk Tariq Ramadhan yang diakui sebagai mujadid era moden ini telah berjaya menyimpulkan gerak kerja ar-Rasul SAW dan para sahabat baginda setelah meneliti dan mengkaji al-Quran, as-Sunnah dan seerah nubuwwah dengan konsep maratibul 'amal, yakni tangga-tangga 'amal dalam mengembalikan Islam ke tempatnya yang al-haq semula. 

Tidak boleh tidak, elemen terpenting dalam tangga amal ini adalah pembinaan individu muslim yang mantap lagi kacak bergaya. Hal ini adalah kerana individu-individu muslim inilah yang akan menjadi pondasi dan batu-bata asas dalam membina kerajaan, negara, empayar malah ustadziyatul 'alam yang berpandukan hukum dan undang-undang dari langit. Maka proses pembinaan individu-individu muslim ini adalah teramat pentingnya, tidak boleh diabaikan walau seketika dan perlu diberi fokus tanpa berbelah bahagi mahupon kompromi. Pentingnya fasa ini adalah sepenting ketika anda sedang sakit perut yang teramat setelah pekena rojak buah kuah pecal lantas berlari-lari ke tandas tidak tertahan-tahan lagi.

Tersembur.

Oii Inche gabbana! Senonoh sket boleh tak...??

Oh maafkan saya. 

Bercakap tentang pembinaan individu muslim ini, maka kita tidak boleh lari pula dalam memperkatakan tentang sepuluh muwasofat tarbiyah. Inilah yang mahu dicapai akhirnya, dalam melahirkan individu-individu muslim yang serba bidang dan cemerlang di dunia, dan pada masa yang sama masih berjiwa hamba. Maka kesepuluh-kesepuluh aspek muwasofat tarbiyah perlu diberi perhatian yang seriyes dan seimbang, tanpa menzalimi mana-mana aspek sekalipon. 

10 Muwasofat Tarbiyah. Cukup kesemuakah kita? Gulp. [Kredit]

Ada angin-angin dari Sumatera dan Papua New Guinea yang bertiup sekali-kala, membawa mesej yang berbunyi:

"Hekele. Tak abis-abis nak bina individu muslim. Sampai mati pon tak akan sempurna! Sampai bila-bila pon takkan naik tangga! Hahahah mari kita gelakkan dia hahaha!"

Err. Mungkin angin tu dah jadi kelabu asap agaknya. Wahahaha.. 

Pembinaan individu muslim sentiasa berjalan, hatta apabila anda sudah berkahwin. Hatta apabila parti-parti Islam telah memenangi pilihan raya. Dan hatta Islam sudah berada di puncak dunia. Masakan tidak. Siapa yang mahu bersuamikan/beristerikan manusia yang rendah dan rosak akhlaknya bukan? Siapa yang mahu berperdana menterikan individu yang korup, fasiq dan tidak menjadikan hukum Allah sebagai panduan bukan? Dan siapa yang mahu berkhalifahkan makhluk yang menjadikan nafsu dan kepentingan dirinya sebagai tuhan..??

Bayangkan betapa hensem dan osemnya seorang al-akh itu, apabila terbinanya semua muwasofat tarbiyah di dalam dirinya...? Inilah baru betul-betul ikhwah! Ikhwah yang ada uummmppphhh!

Moto mereka: Tegakkan Islam dalam dirimu dahulu, pasti Islam akan tertegak di muka bumi! Hoyeah. 

5) Kita belum benar-benar ikhwah jika jauh dari Allah.

Akhirnya, gelaran ikhwah ini hanya layak diberikan kepada mereka yang menjadikan hidup dan matinya hanya untuk Allah. Segala urusan dirinya, baik harian, mingguan atau bulanan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Kebergantungan dirinya hanya kepada Allah dan Allah semata. 

Allah di mana-mana, setiap masa dan ketika. [Kredit]

Kadang-kadang pelik dengan mereka yang menggelarkan diri mereka dua't tapi tidak menghiraukan dan menitikberatkan amalan-amalan fardhi yang menjadi penghubungnya dengan Allah. Al-Qurannya ke laut, doa-doa maathurnya ke bukit, qiamnya ke tengah hutan dan zikir-zikirnya tercampak ke tengah padang pasir. Aduhai

Sedangkan yang mempersatukan hati-hati ini, sehingga diberi gelaran ikhwah dan mewujudkan perhubungan yang dinamakan ukhuwwah, adalah Dia, Allah.

"...dan Dia yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupon kamu menginfaqkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, maha Bijaksana."
[al-Anfal, 8:63]

Sesibuk mana seorang al-akh itu, dia wajib punya masa untuk Allah. Sehebat mana pon dia membawa bulatan gembira, kalau kantoi tilawah dan tadabburnya, dia tidak layak lagi dipanggil ikhwah. Segaban mana pon dia memberi pengisian, saban waktu menjadi rebutan, tapi kalau qiamnya hanya sekali sebulan, dia belum lagi bisa digelar ikhwah. Kerana kekuatan hubungannya dengan Allah sahajalah yang menjadi indikator kepada keikhlasan dan kesungguhannya menyebarkan. Dan kekuatan hatinya dalam mengingat Allah sahajalah yang akan menjadi bekalannya sepanjang zaman, untuk terus tsabat dan istiqamah di atas jalan yang penuh berliku ini.

Fuh.

Saya kira, ada beberapa orang daripada anda yang kini sudah mula berbuih mulut, sedaya upaya cuba untuk menghabiskan artikel ini (dan lebih ramai yang berputus-asa di tengah jalan). Peluh. 

Maaflah. Saya memang tidak pandai untuk menulis pendek-pendek. Lap peluh di tepi dahi. 

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk memperkecilkan amal mana-mana pihak. Bukan juga untuk menghakimi dan menjatuhkan hukuman mati kepada mana-mana individu. Bukan. Tetapi sebagai muhasabah untuk kita semua, agar kita dapat menilai dan melihat kembali, setelah beberapa lama disentuh dengan sentuhan ajaib tarbiyah, sejauh mana yang telah kita pergi dan capai. Adakah kita benar-benar menghayati tanggungjawab dan amanah sebagai seorang al-akh di atas jalan dakwah ini. Dan sekiranya kita merasakan diri kita belum lagi dilayak dipanggil ikhwah, ya, belum lagi terlewat untuk kita mengejar gerabak yang membawa ikhwah yang sudah laju meluncur ke hadapan! Senyum.

Sebagai akhirnya, izinkan saya menukilkan sepotong hadith yang saya kira, cukup cantik dan bergaya untuk menutupi kalam saya ini. Betapa hadith ini menggambarkan betapa indahnya apabila kita berjaya menjadi ikhwah dalam erti kata yang sebenarnya. Hadith ini memberi tamparan padu pada ego kita, bagi menyedarkan kita betapa ruginya kita seandainya ukhuwwah yang kita jalinkan ini bukan keranaNya semata. Dan hadith ini memberi kita panduan, bagaimana kita bisa menjadi ikhwah Super Saiya di sorga sana. Ya Super Saiya yang sebenar-benarnya!

 “Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang bukan dari golongan Anbiya’ dan juga bukan dari golongan para syuhada’. Mereka dicemburui oleh para anbiya’ dan para syuhada’ kerana ketinggian kedudukan mereka disisi Allah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahulah kami siapakah mereka itu?” Rasulullah menjawab, "Mereka adalah golongan yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian persaudaraan antara mereka dan bukan kerana harta benda.” Demi Allah muka mereka adalah cahaya dan mereka adalah di atas cahaya. Mereka tidak takut meskipun manusia lain berasa takut dan tidak bersedih ketika orang lain bersedih." Lalu baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “Ketahuilah sesungguhnya penolong-penolong agama Allah itu mereka tidak takut dan tidak juga bersedih hati.” [Yunus,10:62]

[Hadith Riwayat Ahmad]

Akhi fillah, bagaimana..? Sudah cukup ikhwahkah kita ini..? 

Senyum. Air mata mengalir perlahan.

-gabbana- 

Of koslah post ini ditujukan khas buat ikhwahti fillah yang terchenta. Namun untuk kemaslahatan bersama, akhawat juga boleh mendapatkan manfaatnya dengan menukarkan kata nama ikhwah/akh kepada akhawat/ukht. Aman.

10 Caci Maki Puji Muji:

nani 06/11/2012, 17:01  

jazakallah kheir.
peringatan yg cukup baik.

mula-mula membaca sambil gelak-gelak, bila dah habis baca sampai akhir baru terasa..

"Allah..betapa beratnya amanah yg terpikul bersama gelaran itu.."

Ya Rabbi..Thabbit a'la deenik wa a'la thoathik..:')

Anonymous 06/11/2012, 17:29  

Jangan la ckp org bwk usrah ngn xbawak usrah xsama.ade je org nk bwk usrah xdpt peluang lagi tp nak je bwk.apekah.bkn bwk usrah tu penentu msuk syurga.malah ade yg xbawa usrah lebih baik dr yg bawa.cuba anda jadi org yang nak bawa bugem tapi orang kata kat anda yg anda mgkin tak layak lagi, Allah nak jaga saff Dia.huh.saya harap anda boleh tulis tentang ikhwah/akhawat yg rasa da ley masuk syurga tapi pndang org len tak sebaik beliau.

-Ikhwah terasa-

sakura 06/11/2012, 17:48  

jazakallah :)
atas peringatan
sungguh terasa bagai abtu bedebuk2 jatuh atas kepala.
sungguh jauh sungguh langkahku.
tersa bagai ingin menangis dan menangis kerana kasihan kan diri yang begitu kasihan.
sebut pasal luaran satu.
tak sentuh lagi bab hati.
kalau sebut pasal bab hati mesti da tertunduk malu kat ALLAH.
keepon writing , moga Allah permudahkan tiap ketikan jari di atas papan kunci.
moga tiap huruf dan bait yang ditulis dirahmati ALLAH.

~cik atin~ 07/11/2012, 03:07  

ukhwah. senang diperkata. dari susah dikota.. :)

oily acne-prone ethnic dancer 07/11/2012, 08:44  

we all connected anyway
fast slow doesn't matter
pure heart is wut matter most






Akhwat Sarawak 07/11/2012, 09:37  

Assalammualaikum.

So touching. huwaaaaa..
Jkkk atas penulisan yang berhempas pulas selama ni. Ramai kami para akhawat yang tersentuh hati dgn penulisn. Kdg2 nanges dan tergelak besar(control ayoo) dgn tulisan akhy.

Mabruk..!

Inche gabbana 07/11/2012, 09:55  

Ikhwah terasa: Akhi fillah, aaseef sekiranya tulisan saya membuatkan anda terasa hati.

(bukan tu ke tujuannya pon..? Eh.)

Maaf sekiranya tulisan saya menimbulkan salah faham.

Anda perlu membuat perbezaan di sini, antara yang sengaja tidak mahu membawa bulatan gembira dan yang bersungguh-sungguh mahu membawa bulatn gembira, cuma belum diberi peluangnya utk berbuat demikian.

Ya, bulatan gembira bukanlah segala-galanya. Dan tiada siapa yang berani dakwa, bahawa mereka yang berbulatan sorga sudah konpem masuk sorga. Huhuhu..

Tetapi seorang al-akh yang beriman dengan manhaj taghyir berdasarkan al-quran, as-sunnah dans eerah, iAllah saya sgt yakin dgn cara bulatan gembira ini utk mentarbiyah masyarakat di luar sana.

sebab tu saya tekankan sgt kepentingan membawa bulatan gembira. dan saya sedih. sbb saya tahu ramai ikhwah di luar sana yg mandul, yg menganggur, yg sengaja memilih utk tidak membawa bulatan gembira.

sudah saya katakan di hujung penulisan ini (anda baca sampai abes tak ni..? hohoho..), saya langsung tidak berniat memperkecilkan sesiapa. Namun saya menulis utk dijadikan muhasabah buat semua.

Moga Allah ketemukan dengan bolatan sorga itu, biidznillah.. ;)

Allahu a'lam.

akhwot-to-be 17/11/2012, 02:18  

insyaAllah, moga2 penulisan ini dpt mnjentik hati-hati hambanya yg ingin berubah, doakan ana thabat. =)

Anonymous 13/10/2013, 18:42  

Boleh specifickan lagi 'bulatan gembira'? Saya kurang jelas. Terima kasih. :) -Musafir ilmu-

Anonymous 13/10/2013, 23:39  

terima kasih atas peringatan di entry ini

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP