24 October 2012

Baihaqi - Buat Zaujati

[Kredit]

"Abiy ah balik! Abiy ah balik!"

Darra berlari-lari mendapatkan ayahnya. Farish tersenyum lantas mendukung Darra.

"Assalamu a'laikum sayang. Darra dah makan..?"

Dihadiahkan kucupan penuh kasih pada pipi tembam anak kecil yang sedang tersenyum lebar itu. Kelihatan beberapa ruang yang kosong pada gusinya. 

Anak kecil berpipi merah, berambut kerinting itu mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Ummi ada..?"

"Ade. Alam bilik."

Farish memandang ke atas, ke arah kamar utama mereka. Dia menghela nafas. Tekad.

Hari ini aku mesti berterus-terang dengannya. Mesti. Hati Farish berkata-kata.

"Sayang, sayang duduk sini main dengan lego ni dulu k. Abi nak sembang dengan ummi kejap. Boleh..?"

"Oleh!" 

Farish tersenyum. 

"Kalau boleh, Darra kena kiss Abi dulu. Kiss, kiss."

Darra menghadiahkan kucupan mesra ke pipi ayahnya yang sedikit berambut itu. Kemudian dilap mulutnya kerana geli dengan rambut yang bergesel dengan bibirnya.          

Farish tertawa kecil melihat telatah anaknya, Darra. Darra Wajhiah. Bukan anak kandungnya, tetapi dicintai sepenuh hatinya ibarat anak yang lahir dari darah dagingnya sendiri.

Farish lantas menaiki tangga perlahan-lahan, tidak pasti sama ada keputusannya itu betul. Dua tiga kali juga dia hampir-hampir mengubah fikirannya. Mahu turun kembali dan bermain bersama Darra sahaja.Tetapi akhirnya dia tekad; hal ini perlu diselesaikan hari ini juga.

Farish menguak pintu kamar utama. Kedengaran sendi pintu berkeriuk, tanda sudah lama tidak diminyak.

Mariah sedang duduk termenung di atas katil, bersandarkan bantal. Seperti biasa. Matanya kosong. Wajahnya pucat. Jasad yang berada di depan mata Farish adalah jasad Mariah, tetapi ruhnya entah ke mana. 

"Mariah..?"

Mariah mengangkat wajahnya. Kelihatan raut wajahnya yang sedikit terkejut melihat kelibat Farish.

"Oh.. Abang.. So.. Sori tak perasan...abang dah balik."

Mariah bingkas bangun. Dibetulkan baju yang dipakainya. Disapu-sapunya seluarnya seolah-olah ada habuk yang mengotorinya.

"Eh awak nak ke mana..?"

"Ahhh.. Saya.. Saya nak buat air untuk abang jap."

"Takpe. Takpe. Tak perlu.."

Mariah seperti tidak mendengar kata-kata Farish itu. Dia lantas berjalan melintasi Farish, menuju ke pintu. Farish sempat menyambar tangan Mariah. Dipegangnya tangan Mariah dengan kejap. Kuat. Mata Mariah menjadi bundar.

"Mariah... Abang.. Abang ada benda nak cakap dengan awak ni. Boleh..?"

***

Mariah hilang arah selepas kematian Syurahbil. Hidupnya benar-benar jadi tak keruan.

Kesihatannya merosot dengan mendadak dek tekanan perasaan yang melampau yang dialaminya.  Manakan tidak; lelaki yang paling dicintainya telah meninggalkan dirinya begitu sahaja tanpa mengucapkan selamat tinggal. Lebih sebulan lamanya Mariah hilang selera makan, sehinggakan tubuh badannnya mengecut. Mengeding.

Hampir-hampir sahaja Darra tidak dapat melihat dunia.

Setiap hari Mariah akan termenung panjang, memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya. Apakah dosa aku? Adakah ini kafarah daripada Allah? Adakah kami memang tidak ditakdirkan bersama? Adakah ini ujian buat aku di jalan dakwah? Jika ini ujian, aku tidak kuat ya Allah. Aku tidak mampu.. Aku tidak mampu..! Air matanya sudah kering, tiada yang lagi yang tersisa untuk dihabiskan.

Ramai orang yang sudah cuba untuk menghidupkan kembali ruh Mariah yang telah lama nazak. Ramai akhawat yang turun padang, berada di sisi Mariah untuk cuba menguatkan hatinya yang telah hancur dan luluh. Namun semuanya menemukan jalan buntu. 

Penangan cinta. Sehebat-hebat manusia itu, boleh juga tertewas dengan cinta dunia. Sedangkan Nabi Yusuf a.s. juga hampir-hampir tertewas pada cinta beracun isteri al-Aziz, sehinggakan baginda merayu, terpaksa meminta perlindungan Rabbnya 'Azza Wajal.

Mereka yang amat menyayangi Mariah terlalu sedih melihatkan keadaan diri Mariah. Dengan dirinya yang tidak terurus, semangatnya yang entah ke mana, fikirannya yang tidak dapat lagi dibaca.. Mariah bukan lagi insan yang mereka kenali. Jasadnya tetap Mariah, tetapi ruhnya ibarat makhluk asing yang duduk tinggal di dalam dirinya. 

Seorang ukht yang amat rapat dengan Mariah, Suryati, dialah yang paling terkesan sekali dengan keadaan sahabat dunia akhirat kesayangannya itu. Langsung tidak dijangkanya, Mariah, seorang pejuang kental dan penuh membara di atas jalan dakwah ini, boleh jatuh tersungkur dengan tamparan cinta. Langsung tidak disangkanya, Mariah yang begitu hebat di medan dakwah, menjadi qudwah sebagai doktor yang mampu bertahan di sebalik kerjaya yang membunuh, akhirnya kalah pada kuasa cinta. Setiap kali melihatkan Mariah yang bagai hilang arah, tidak keruan dan tidak punya keinginan lagi untuk hidup, setiap kali itu juga Suryati gagal mengawal perasaan dan emosinya. Jika sudah banyak air mata Mariah berjujuran disebabkan cinta yang tidak kesampaian, banyak juga air mata Suryati yang telah dihabiskan untuk sahabatnya itu.

Dia hairan. Dia tertanya-tanya. Dia menggaru kepala. Namun akhirnya dia menerima, betapa gila dan berkuasanya penangan cinta. Menakutkan.

Hanya Syurahbil sahaja yang mampu memberi sedikit ketenangan pada jiwa wanita yang sedang berkecamuk itu. Tidak pernah sehari pun sejak Mariah kehilangan Syurahbil, dia tidak membuka blog Dalam Hati Ada Bunga. Hanya bait-bait cinta Saudagar Sorga sahaja yang dapat mententeramkan hati Mariah. Setiap hari akan ditatapnya blog itu berjam-jam lamanya. Ketagihan. Kadang dia tertawa sendirian membaca jenaka Saudagar Sorga. Kadangkala dia menangis keseorangan, membaca nukilan suaminya itu. Seperti orang gila.

Tiga bulan selepas pemergian Syurahbil, Darra Wajihah selamat dilahirkan. Mujurlah Suryati berada di sisi Mariah ketika saat-saat genting itu. Suryatilah yang banyak menjaga dan sentiasa bersama Mariah, di samping ahli-ahli keluarga terdekatnya. Betapa luluhnya hati Suryati apabila melihat Mariah yang enggan memeluk Darra ketika anak kecil yang masih merah itu keluar dari rahimnya. Mariah hanya mampu memalingkan wajahnya, memendam perasaan. Hanya air matanya sahaja yang menjelaskan segalanya bagi pihak dirinya.

Suryati mengambil alih tugas Mariah sebagai ibu kepada Darra. Disusukan bayi itu. Dibasuh kencing beraknya. Dibelainya dan dikasihinya Darra ibarat anak kandungnya sendiri. Dan Suryati akan sentiasa memastikan Darra tahu dan kenal bahawa Mariahlah ibunya yang sebenar. Sekali-sekala dia akan memaksa Mariah untuk mendukung dan memeluk cium anaknya itu. Dan setiap kali itu juga pasti dahi dan pipi bayi suci itu akan dibasahi dengan air mata Mariah.

"Maafkan aku, Ti.. I'm so sorry..."

"Mariah... Sampai bila kau nak jadi begini...? Dah lebih lima bulan Syurahbil..."


Suryati berhenti di situ. Dia mengeluh. Kasihankan Mariah dan tidak mahu melukai lagi sahabatnya itu. Mariah hanya memandangnya dengan mata yang suram. 

"Mariah.. Aku tahu.. Kau sangat-sangat cintakan Syurahbil. Dan aku pasti, Syurahbil juga amat-amat mencintai dirimu... Tapi, Allah lebih mencintai diri kalian berdua. Allah.. Allah kan ada, Mariah..? Jangan biarkan diri kau terus derita begini. Kasihanilah dirimu. Kasihanilah Darra..."

Mariah sedikit pun tidak memandang wajah Suryati ketika kata-kata itu dihamburkan. Tangannya galak memusing-musing cincin perkahwinnya di jari manis tangan kanannya. Telinganya sudah terlalu biasa mendengari kata-kata sebegitu rupa. Namun, sebiasa mana pun Mariah dengan ucapan sedemikian rupa, matanya tidak pernah lagi dapat menyesuaikan diri dengan kata-kata penghiris jiwa sebegitu. Setiap kali itu juga matanya akan merah dan basah. 

"Ti.. Kau takkan faham... Syurahbil... Syurahbil bukan sekadar suami pada aku Ti.. Bukan.. Dia.. Dia adalah segala-galanya..."

Suryati hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. 

"Mariah.. Mungkin di situlah silapnya. Kau mencintai Syurahbil melebihi segala sesuatunya. Di mana cinta kau pada Allah..? Di mana cinta kau pada Rasulullah..? Dan di mana bahagian cinta kau untuk tarbiyah dan dakwah..? Bukankah kau telah berbai'ah..?"

Mariah hanya mampu untuk memandang Suryati dengan pandangan yang penuh sayu. Dipeluk erat sahabat dunia akhiratnya itu.

"Doakan aku Ti. Doakan... Doakan aku dapat keluar daripada belenggu ni.."

Kedua-duanya larut dalam sedu-sedan dan dada yang berombak. 

Kau tak faham. Kau tak akan faham Ti...


***

9 September. Ulang tahun kedua perkahwinan Mariah dan Syurahbil.

Darra, yang kini berusia 3 bulan berada di bawah jagaan neneknya pada hari itu. Hari itu Mariah telah berjanji dengan Suryati untuk makan tengah hari bersama. Yang pertama buat Mariah sejak sekian lama. 

Selepas bersiap-siap, mengenakan jubah hitam dan tudung labuh yang juga berwarna hitam, Mariah duduk dulu di hadapan komputer ribanya. Dalam Hati Ada Bunga. Ritual hariannya.

Bagai mahu tersembul keluar biji mata Mariah apabila melihat ada tulisan terbaru yang diterbitkan. Ya, ia bertarikh 9 September 2008. Mata Mariah tidak berdusta. 

Buat Zaujati 2.0. 

"Buat zaujati yang amat ku kasihi,


Anda pasti hairan dan terkejut membaca tulisan ini bukan..? Haha.. Ia diterbitkan secara automatik. Sekiranya saya masih hidup pada hari ini, maka tulisan ini tidak mungkin akan diterbitkan sebegini. Namun sekiranya saya sudah tiada, anggaplah ini hadiah ulang tahun perkahwinan kita yang kedua."


Mariah tersedu.

"Buat Zaujati, 

Entah mengapa tergerak hati saya untuk mewarkahkan bait-bait ini. Mungkin kerana cinta saya pada anda yang cukup mendalam. Mungkin rindu saya pada anda yang berdendam. Mungkin juga kerana betapa yakinnya saya bahawa mati itu pasti dan maut itu di tanganNya."


Mariah teresak. 

"Buat Zaujati,

Pernah saya ungkapkan kepada anda, sekiranya saya tiada lagi di dunia, adakah anda sudah bersedia. Masih ingatkan..? Anda tidak pernah memberikan jawapannya. Namun sekiranya anda sedang membaca penulisan ini, maka saya kira, suka atau tidak, anda sedang menghadapinya. Dan saya amat berharap, anda menghadapinya dengan penuh redha dan bersedia.


Ketahuilah, cinta itu milikNya. Cinta yang kita semi dan tuai bersama, adalah dengan izinNya. Cintanya saya pada anda, adalah kerana Dia yang membenarkan perasaan itu untuk berbunga. Dan cintanya anda pada saya, adalah kerana Dia yang mahukannya sebegitu rupa. Cinta itu hanyalah ujian buat kita, kerana Dia mahu mentarbiyah jiwa-jiwa kita yang lemah ini untuk mencintaiNya dahulu melebihi segalanya."


Mariah rasa seperti ditampar kuat.


"Buat Zaujati,


Tidak pernah sehari pun saya menyesal kerana dipertemukan dengan anda. Setiap hari, bibir ini tidak pernah lekang mengucapkan syukur kerana dipertemukan dengan seorang bidadari di dunia ini lagi. Tetapi hakikatnya, anda bukan milik saya. Dan saya hanyalah pinjaman daripada Allah untuk anda. Sekiranya suatu hari nanti pinjaman ini diambil kembali, anda perlu terus kuat menjalani hidup ini sebagai hambaNya. Lupakah kita kepada asal tujuan kita diciptakan..?


Sekiranya anda benar-benar mencintai saya, ketahuilah, cinta Allah pada anda lebih besar dan mulia. Sekiranya anda benar-benar mengasihi saya, ketahuilah, tiada yang lain saya mahukan melainkan keredhaan Allah untuk diri anda. Dan sekiranya anda menyayangi saya, ketahuilah, saya mahu anda menyayangiNya dahulu melebihi segala sesuatu."

Mariah menarik nafasnya sedalam yang mungkin. Tidak pasti sama ada dia mahu menghabiskan bacaannya atau tidak.


"Buat Zaujati,


Sekiranya hari ini saya tiada lagi di sisi, wahai kekasih hatiku, yakinlah dengan sepenuh hati, Allah akan sentiasa menemanimu. Sekiranya anda merindui diri ini, kembalikan rindu itu kepadaNya dan Insha-Allah, rindu itu pasti akan disampaikan kepada saya. Teruskan perjalanan ini. Sambung pengembaraan yang masih panjang ini. Jangan sesekali anda berhenti di tengah jalan. 


Dan sekiranya anda masih berat, tidak mahu melepaskan cinta duniawi ini, maka sematkan kata-kata Abu Bakr kepada 'Umar ketika mana 'Umar keliru, hilang arah dek cintanya yang mendalam pada Rasulullah:



Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul; sebelumnya telah berlalu beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikit pun...

[Ali-Imraan, 3:144]

Ya zaujati, saya hanyalah seorang manusia. Dan saya akan pergi. Buat selamanya. Tetapi Allah ada, terus ada, di sisi. 

Sampaikan salam saya buat mama, papa, abi, ummi dan semua yang pernah mengenali diri ini. Juga kepada mujahid atau mujahidah yang bakal lahir nanti. Katakan kepadanya, abimu sedang menunggu penuh setia di pintu syurga.


Salam rindu dan sayang,

Saudagar Sorga."

Mariah terkedu. Tidak terkata. Yang terdengar hanya rengekan dirinya, ibarat seorang kanak-kanak kecil yang sesat kehilangan ibunya. 


Dia hanya mampu memejamkan matanya, menelan dan menghadam satu-persatu kata-kata wasiat Syurahbil buat dirinya. Dia bersandar lemah pada kerusi yang didukinya. Didongakkan kepalanya ke atas. Matanya masih terpejam.


"Terima kasih ya Allah. Terima... Kasih..."



***

"Mariah... Abang.. Abang ada benda nak cakap dengan awak ni. Boleh..?"


Setelah lebih dua tahun, Mariah akhirnya menerima pinangan Farish untuk memperisterikan dirinya. Itu pun selepas didesak hebat oleh Suryati dan ahli-ahli keluarganya yang lain, termasuk ibu dan ayah Syurahbil. Kasihankan Darra, kata mereka. Juga kata-kata Syurahbil yang banyak menyedarkannya. 


Farish bukanlah orang yang asing dalam hidup Mariah. Farish dan Syurahbil bersahabat baik, sama-sama berusrah dan berprogram sewaktu ketika dahulu. Malah di hari perkahwinan Mariah dan Syurahbil, Farish lah yang dipilih Syurahbil untuk menjadi pengapitnya. 


Jika diikutkan hati dan nafsu, memang Mariah tidak mahu bersuami lagi. Cukuplah penderitaan yang ditanggunginya akibat seorang lelaki. Dia amat risau sekiranya perkara yang sama akan berulang lagi. Sekali jatuh, memang amat berat untuk bangkit kembali.


Dan dia juga amat khuatir sekiranya dia berlaku zalim pada Farish nanti. Saki-baki cintanya pada Syurahbil masih melekat kuat di hati. Amat sukar untuk dia melepaskan gelaran Puan Saudagar Sorga. Dan jauh di lubuk hatinya, dia masih menyimpan impian untuk menjadi ketua bidadari Syurahbil di mahligai syurga nanti. 


Namun akhirnya dia akur. Akur dengan hakikat dirinya sebagai seorang manusia biasa. Juga setelah dibaca dan dihadamnya Buat Zaujati 2.0 berkali-kali, akhirnya dia dapat menangkap mesej yang cuba diwasiatkan oleh Syurahbil. Cari seorang imam yang lain. Anda memerlukannya.

Farish menepati ciri-ciri lelaki idaman yang pernah didambakan Mariah. Tinggi, kacak, sederhana orangnya dan amat berbudi pekerti. Juga seorang akh yang hebat di jalan dakwah. Tiada keraguan tentanya. Malah Syurahbil pasti gembira dan bersetuju dengan pilihan itu. Farish adalah lelaki yang paling baik untuk menggantikan tempatnya. Namun, semua itu tidak lagi dipandang Mariah. Kalau bukan kerana tarbiyah dan dakwah, Mariah lebih selesa bersendiri.

"Err.. Ok bang."

Mariah semacam sudah boleh mengagak apakah yang bakal diluahkan oleh Farish. Hatinya tidak tenang. Jantungnya berdegup kencang. Tapi dia sudah bersedia.

Farish memimpin tangan Mariah dan mereka dua duduk di bucu katil. Berhadapan antara satu sama lain.

"Mariah.. Sudah lebih tujuh bulan kita berumah tangga, tapi belum pernah sekali pun..."

Kedengaran keluhan perlahan terbit dari mulut Farish. Dia berhati-hati, tidak mahu Mariah berkecil hati. 


"Suka atau tidak, abang suami Mariah yang sah sekarang. Abang.. Abang ada hak abang sebagai suami yang.. Yang perlu awak..."


Farish terhenti.


"Abang tahu yang Mariah masih rindukan Syurahbil. Abang tahu. Even abang pun masih terkenang-kenangkan Syurahbil."

Mariah hanya memandang wajah Farish. Tepat.

"Dan abang faham yang abang tak akan dapat menggantikan tempat Syurahbil. Sampai bila-bila pun. Yes. Abang terima tu."

Mariah tunduk, memandang butir-butir manik pada baju yang dipakainya. 

"Tapi.. Mariah.."

Mariah memandang wajah Farish semula.

"Satu perkara sahaja yang abang nak minta pada awak. At least for now."

Senyap. 

Mariah menanti-nanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut Farish.

"Abang harap.. Abang harap awak dapat menerima abang seadanya. Sebagaimana.. Uh.. Sebagaimana abang menerima awak, walaupun awak pernah berpunya..."

Mariah tunduk lagi. Kata-kata Farish yang akhir itu benar-benar memaku tajam hatinya. Air mata Mariah, tanpa meminta izin menitis laju membasahi pipinya.

Farish memegang dagu Mariah dengan perlahan, dan mengangkat wajahnya.

"Mariah.. Abang benar-benar ikhlas dan mahu mencintai awak. Abang harap.. Awak sudi menerima cinta ini.."

bersambung...

-gabbana- 

Bagaimana..? Menepati jangkaan anda atau di luar jangkaan..? Senyum.

Insha-Allah, sudah mahu sampai ke penghujungnya. Harap dapat terus bersabar dan mendoakan yang terbaik. Kemudian dapatlah saya berehat dengan riang sambil menikmati teh o' ais limau sambil mengunyah pisang goreng rangup. Eh.   

Hak cipta terpelihara (C) 2012.

>> Baihaqi: Bahagian I
>> Baihaqi: Bahagian II
>> Baihaqi: Bahagian III
>> Baihaqi: Epilog 

38 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 24/10/2012, 12:47  

mula macam pening sikit.. eh.. syurahbil baru lima bulan pergi tp darra sudah boleh bertutur?
rupanya tak perasan ada pembahagian waktu *****
mantap ni. lepas ni boleh buat novel.

Anonymous 24/10/2012, 13:09  

Subhanallah, byk ibrahnya...
Allah telah mengurniakan IG dgn bakat yg hebat,teruskan berkarya :)...semoga tsabat dijalanNya

Anonymous 24/10/2012, 13:13  

Subhanallah!

Benarlah org kata, perancangan manusia itu hebat tetapi perancangan Allah lagi hebat!

Enjoyed ;) Inche Gabanna, buat novel laa camni. Hihihi.

Anonymous 24/10/2012, 13:24  

Alaa sambungla cepat!

Anonymous 24/10/2012, 13:25  

penulisan yg.....semoga Allah redha dgn usaha mu.. semoga org lain dpt manfaat from your piece of writing iAllah..

akubersamaCahya 24/10/2012, 13:29  

luar jangkaan... :)

marie alecia 24/10/2012, 13:30  

tak pernah saya tak baca entry Inche Gabbana word by word macam hari ni
:|

Anonymous 24/10/2012, 13:36  

jazakallah, lame nye rase xmenulis, walaupun mungkin xsehebat akh, rase nak menulis kembali. rase ingin juga menulis sesuatu yg boleh menambah iman dan menyentuh jiwa.
=)

Anonymous 24/10/2012, 13:57  

mantap. um xpayah buat novel la panjang sgt... better buat cerpen pendek2 mcm ni je. lepas tu dibukukan. :)

Inche gabbana 24/10/2012, 14:42  

marie alicia: erk. kenapa eh..?

Anonymous 24/10/2012, 16:15  

like a true story, pernah jumpe dgn org yg situasi sama macam ni.titik

Nadiah Azli 24/10/2012, 16:22  

Ya Allah, tak pernal baca cerpen jantung berdegup2 macam ni.

Penangan cerpen yang menyentap hati dan jiwa.

Jazakallah khair katheera.

Anonymous 24/10/2012, 17:16  

nmpak gaya mcm nk jd novel dah ni inche?

hehe...x kisahlah,, yg penting...mantap!! huhu...

Anonymous 24/10/2012, 18:32  

Wah. berat ya ujian mencintai manusia ni. Perlu muhasabah diri balik.jzkk Untuk peringatan ini.

renaisans 25/10/2012, 00:40  

seyes..tym exam week skrg ni..tp, hti tak tenang selagi citer ni x abes..

Ya Allah, jauhkan hati hamba-Mu ini daripada ketagihan yg maha dahsyat!!! Moga hamba-Mu dapat fokus kepada apa yg menjadi prioriti hidunya Ya Allah..

(ASTAGHFIRULLAHHALAZIM..kembalilah ke pangkal jalan duhai hati)

Anonymous 25/10/2012, 01:22  

unexpected. Jzkk

نور توفيقة ادريس 25/10/2012, 17:23  

...

You see, being a wife who experience being away from my husband for monthssss, then being away from my baby as such, I deeply understand how extremely HARD it is to honestly put our love to Allah and Rasulullah on top of others.. How it's hard to really define our responsible as a wife, Ummi, and da'ie..

You describe what Mariah is experiencing well.. Very well.

joenyz 25/10/2012, 17:34  

Allah, xpernah terlintas pula bahawa inche gabbana boleh jadi novelis

Anonymous 25/10/2012, 18:58  

my first time read inche gabbana entry and i was amazed

Anonymous 25/10/2012, 19:40  

macam cerita ini.. www.mawarnafastari.blogspot.com
sikit2 la

FYDA 26/10/2012, 00:28  

great! osemm!! cerita yg tak cliche mcm kt novel2 or drama2 tv... yg pling menarik ialah chenta untuk Dia tu betul2 di 'highlight' kan smbil dihiasi dgn bunga2 chenta untuk en. imam yg halal! =)

whitqiss 26/10/2012, 03:06  

best. saya ikut ketiga2 siri cerita ni.
btw, ramainya anonymous commentor kat atas. :P

creative, that's the right word for u. :)

Liyana 26/10/2012, 09:09  

cerpen yang bagaikan 'hidup'. segalanya hadir dari Allah.

Makhluk Allah 26/10/2012, 18:24  

Argh, sedihnya cerita ni. Tak nak bayangkan lebih2, x sanggup nak jadi Mariah walaupun suami saya bukan seorang seleb :S

Anis Sakinah 28/10/2012, 01:07  

salam, inche gabbana maaf.
bila saya selak je ayat AQ spt yang tertera di atas, ternyata tersalah satu angka. ayat tersebut adlh dr ayat 144. ^^ btw, nice karya.

marie alecia 28/10/2012, 17:56  

Oh, maaf. mungkin mood membaca sudah beraya awal

hari ini membaca semula semua episod hingga epilog. dan senyum.

*ibujari ke atas!

Saje Tulis Nama Panjang Camni 29/10/2012, 23:30  

"Apa aku nk kritik pasal cerita ni ya?"

Diri ni tertanya bukan mahu mencari salah bahkan bernawaitu utk penambahbaikan.

"Dah bhgn III ni still tak ada ayat al-Quran or hadith. Sooo unusual for APG"

:D

Tak perlu banyak. Satu dua ayat al-Quran yg dpt relate to the context of life situation dlm cerita anda sangat bermakna. Macam dlm bhgn IV ni. Nice. Aman.

uhud 04/11/2012, 13:35  

menanti penuh seksa!.huh.
inche gabbana,
cepat ler update sambungannye (>_<)

Unknown 10/11/2012, 22:26  

:: Allah ::
*menunggu yang seterusnya~

~ perindu Cinta Illahi ~ (^_^) 11/11/2012, 01:00  

buat zaujati 2.0 really make me touched ......terbaik ditambah dengan ayat al-quran ..n just wondering if i have to face the situation like mariah did.. #nauzubillah

hsgtm 11/11/2012, 08:16  

subhanallah..cite yg sgt..sgt..sgt memberi impak..radiallahu anhu waradu anh ya ig

Anonymous 20/12/2012, 12:20  

subhanallah..cepat E.G post smbungn cite nie..

byk kali dh bukak entry utk cta nie..

.mengeluh keciwa.
cepat update ye

Anonymous 20/03/2013, 22:47  

salam....baru teringt nk cari Baihaqi lagi. Ingtkan ketinggalan sambungan. rupa2nya blom lagi. bilakah?

Fyka 12/08/2013, 04:47  

first time read inche gabbana entry and i was amazed!!

Anonymous 18/08/2013, 17:22  

SubhanaAllah. Hebat sungguh karya saudara ni. Hati hamba betul-betul tersentuh :) Good job.

Anonymous 01/09/2013, 15:11  

Menunggu endingnya..

Calon Ahli Kubur 16/12/2013, 21:53  

inche gabbana jahat! :'( napa anda buat kisah sedih gini. anyway mantob. jazakallah.

Anonymous 25/04/2014, 01:54  

I go thru ur blog frm 2014 first, bru down here.
Alhamdulillah IG really imprve a lot.
lebih matang dlm mnlis.

Apapun,cte ni nice (although cm ssh nk trma- its u yg tlis) PEACE!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP