3 February 2012

Bulatan Gembira Saya Yang Bahagia

[Amaran keras tak berapa nak keras: Errr.. Seperti biasa. Inche gabbana memang gemar menulis post yang panjang-panjang tak hengat punya. Apa boleh buat, sudah jadi tabiat dan mengalir di dalam darah saya. Wahahaha.. Sila baca dengan hati terbuka dan minda yang penuh teruja; kalau ada yang mati keras atau muntah hijau dek tidak tertahan dengan post yang panjang ini, sila jangan salahkan saya! Wahai!]

[Kredit]

Sudah ramai yang bertanya dan meminta saya berkongsikan pengalaman saya terjebak dan tertangkap ke dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini. Sebenarnya telah pon saya nukilkan pengalaman saya berlari-lari anak menjauhi jalan ini, sehinggalah akhirnya berjaya ditangkap jua. (Entah mengapa dalam dalam kepala sekarang ni terbayangkan pemain ragbi yang jatuh tersungkur dek ditangkap kakinya oleh pemain lawan.. Hohoho..). Kisah itu ada saya warkahkan dalam post 'Nak Kirim Barang Boleh..?'

Justeru kali ini, izinkan untuk saya berkongsikan pengalaman saya membawa bulatan gembira saya yang pertama. Bulatan gembira yang betul-betul bulat dan gembira. Maksud saya, bulatan gembira dalam erti kata yang sebenar.

Ya dahulu di Sekolah Bintang, saya juga pernah membawa bulatan gembira. Juga di Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan itu. Tetapi anda tahulah, bulatan gembira di sekolah.. Err.. Tiada komen. Batuk kecil.

Hanya setelah diberi peluang untuk terbang ke Kerajaan Bersatu dan terlibat secara langsung dengan dakwah dan tarbiyah baharulah saya faham konsep dan format bulatan gembira yang sebenar. Dan yang lebih penting daripada itu, kepentingan dan keperluan untuk berbulatan gembira. 

Telah saya nukilkan dalam post 'Nak Kirim Barang Boleh..?' bahawa saya ini degil orangnya. Rebellious. Suka berlumba lari dalam guni sambil mengigit sudu membawa bola pingpong dengan mereka yang cuba menarik saya ke jalan ini. Makanya, perkembangan dan tumbesaran dakwah dan tarbiyah saya cukup lambat jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan lain. Ketika orang lain sudah pon matang dan akil baligh dalam arena ini, saya masih seorang kanak-kanak hingusan yang masih menghisap lolipop sambil berlari-lari dengan riang gembira sekali. 

Arakian ketika di tahun dua pengajian, ketika orang lain sudah sibuk untuk menDF dan melakukan kerja-kerja amal tajmik yang lain, saya berasa kekok. Cukup janggal. Akibatnya, saya tidak mempunyai bulatan gembira yang tersendiri, kerana gagal menDF hadek-hadek dengan sukses lagi berjayanya. Saya terpaksa berkongsi dengan seorang rakan, Inche K, membawa bulatan gembira campuran rakyat Malaysia dan Singapura. Wah!

Akibatnya, saya tidak dapat menghayati konsep bulatan gembira itu dengan sebaiknya. Manakan tidak, akibat berkongsi bulatan gembira, rasa amanah dan bertanggungjawab itu dibahagikan antara dua. Dan akhirnya, diri sendiri amat mudah berlepas tangan kerana merasakan "Oh tidak mengapalah, Inche K boleh kot buat seorang diri.." atau "Alah tak perlulah aku semangat sangat nak pergi DF diorang tu. Inche K kan dah ada.." Begitulah.

Mentaliti kelas kedua. Eskapisme. Peluh kecil.

Akhirnya saya sendiri yang rugi kerana tidak dapat menjiwai ruh sebenar bulatan gembira. Banyak perkara-perkara yang sepatutnya saya belajar daripada membawa bulatan gembira, tidak dapat saya hayati dek sikap acuh tak acuh saya pada bulatan gembira kongsi itu. Ketika rakan-rakan lain sudah pon bersiap-sedia untuk bertukar menjadi Super Saiya atau Otromen, saya masih lagi ibarat Shin Chan yang berangan-angan mahu menjadi Action Kamen. Eh.

Semua ini berubah ketika saya masuk ke tahun ketiga pengajian. Ketika ini, alhamdulillah, kefahaman asas dakwah saya lebih kuat dan utuh, sementelah tidak lagi berlari laju daripada program-program dakwah dan konferens riang. Makanya, kesedaran untuk memiliki bulatan gembira sendiri lebih menebal di dalam diri. Juga rasa cemburu celik melihat rakan-rakan lain yang cukup bahagia bersama hadek-hadek bulatan gembira mereka, menyebabkan saya berazam kali ini saya mesti dan wajib mempunyai bulatan gembira saya yang sendiri. Dah tak nak kongsi-kongsi dah! Ini bulatan gembira, saya yang punya..! Wahahaha. Ok bunyi sedikit keji dan Haji Bakhil di situ.

Jadi bermulalah pengalaman saya menDF hadek-hadek. Ya, perasaan janggal, kadangkala geli-geleman dan *krrriikkk kriikkk bunyi cengkerik* itu masih ada. Tetapi saya bermujahadah, kuatkan iltizam dan teruskan melangkah kerana saya tidak mahu lagi tertinggal jauh di belakang. Pengalaman saya menDF hadek-hadek ada juga saya kongsikan di dalam post 'Pengakuan Berani Mati Hidup Balik Mati Sekali Lagi.'

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya memiliki bulatan gembira saya yang benar-benar bulat dan gembira buat julung-julung kalinya. Tidak tergambar perasaan ketika mengadakan sesi yang pertama. Sedihnya tidak pula dapat saya ingati apa yang dilakukan pada hari itu dan siapa yang menghadirinya. Emotikon sedih.

Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Rasanya macam pernah saya kongsikan. Tetapi kerana saya gagal menemui sebarang post yang bercerita tentang cerita yang sama, maka saya kira saya belum lagi pernah berkongsi tentangnya. Hohoho.. Ingat-ingat lupa, padahal masih muda kacak bergaya. Eh.

Kisahnya begini. Dalam ramai-ramai hadek-hadek yang mengikuti bulatan gembira saya di Kerajaan Bersatu dahulu, ada dua orang yang paling berpotensi dan mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi hoyeeaahhh. Of kos la mengikut penilaian dan pemerhatian saya yang lemah lagi marhaen ini. 

Antara dua orang itu pula, ada seorang yang, err, perwatakan, sifat dan kelakuannya hampir-hampir serupa dengan saya. Kita namakan dia Inche B. Dari segi tidak sabarnya, sifat amarahnya, keras kepalanya, kalibernya, kepemimpinannya dan keosemannya.. *koff koff* Eh tadi saya ada kata yang perwatakannya hampir serupa dengan saya ke..? Wahahaha..

Maka apabila beruang grizli bertemu beruang polar, badak air berlaga dengan badak sumbu Afrika dan harimau bintang bertemu harimau puma, bergegarlah dunia dan angkasa raya keseluruhannya. Ok sungguh hiperbola di situ. Oleh sebab sifat dan perwatakan kami yang hampir serupa, arakian berlakulah pertembungan antara dua tamadun. Senang kata, sukar juga untuk saya 'masuk' dengan dia. Selalu sahaja saya terpaksa mengetap gigi dan berpeluh sabar, melayan karenah Inche B yang sungguh menguji kesabaran dan jiwa raga saya.

Perkara ini berlarutan sehinggalah suatu hari saya rasakan saya tidak mampu lagi untuk membimbing Inche B. Bukanlah berputus-asa, tapi saya terasa zalim pula pada Inche B. Mungkin ada ikhwah lain yang lebih sesuai dan berkemampuan untuk membina dan membentuk Inche B. Perkara ini saya suarakan kepada seorang sahabat baik, Inche P, yang bersama-sama berjuang  di atas jalan ini. Saya adukan kepadanya:

"[Inche P], aku rasa aku tak mampu la nak bawa Inche B. Susah. Macam-macam dah aku buat. Tapi still tak boleh nak masuk dengan dia. Macam mana eh..? Ok ke kalau aku lepaskan dia...?"

[Nota: Dialog ala kadar. Peristiwa ini berlaku lebih dua tahun yang lalu. Apa anda hengat saya ni mempunyai memori fotografikah..?]

Diam. Inche P memandang saya dengan pandangan yang seriyes. Cuak juga. Kemudian dia tersenyum. Senyuman Inche P. Fikir saya, pastilah dia akan mengatakan sesuatu untuk menyokong saya. Meleset. Dia akhirnya menukilkan kata-kata yang tidak mungkin akan saya lupa sampai bila-bila. 

"[Inche gabbana].. Kau rasa-rasa, kenapa Allah hantar Inche P pada kau? Kenapa dia tak bagi Inche W ke, Inche X atau Inche Y pada kau, yang konfem senang-senang kau boleh masuk dengan diorang tu..? Kenapa Inche B..?"

Diam lagi. Saya hanya mengangkat bahu dan tersenyum tersipu-sipu, tanda saya tidak tahu. Atau buat-buat tidak tahu.

"[Inche gabbana], Allah hantar Inche P pada kau sebab Dia nak tarbiyah kau. Ada benda yang tak setel dalam diri kau tu, hanya dengan mentarbiyah Inche P barulah masalah diri kau tu dapat disetelkan. Bukan kebetulan kau kena bawa [bulatan gembira] Inche P tu.."

Zaaaaappppp. Shhrreeettt. Zzzzrrooeeeccckkkk.

Boleh tolong hantarkan saya ke mana-mana wad kecemasan hospital yang berdekatan..? Hati saya terkoyak. Luka besar.

Sehingga hari ini, apabila mengingatkan dialog tersebut, tidak pernah tidak, hati saya pasti bergegar. Cukup menusuk kalbu. Berbekas dalam di dalam hati. Sehingga berjaya menukar paradigma saya dalam membawa bulatan gembira.

Setelah peristiwa itu, saya berazam untuk berusaha dengan sesungguhnya untuk membimbing dan membina perwatakan Inche B. Ya, sukar memang sukar. Bukankah as-Syaikh Mustafa Mahsyur pernah berkata, "Membina manusia itu lebih sukar daripada membina kilang."..?

Titik tolak perubahan kepada perhubungan saya dengan Inche B berlaku apabila kami berjaulah ke Jerman untuk sama-sama membantu Inche A (seorang lagi hadek bulatan gembira yang saya katakan berpotensi sebentar tadi) mencari pengkalan dakwah dan tarbiyah di sana. Saya mengambil peluang itu sebaiknya untuk bermuayasyah (bergaul mesra penuh kasih-sayang) dengan kedua-dua Inche A dan Inche B. Ketika inilah, saya menilai mereka (bukan menghakimi tahu..??); konon-konon sedang berdiri jauh berbuat hal sendiri, walhal mata melirih tajam memerhatikan setiap gerak-geri dan percakapan mereka. Wahahaha. Terasa seperti Inche James Bond pula. Jelir lidah.

Antara detik-detik feberet saya adalah ketika menaiki keretapi di Jerman untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Perjalanan yang selalunya mengambil masa tiga atau empat jam itu, saya gunakan sebaik-baiknya untuk menyelami hati budi mereka. Saya adakan sesi curhat dan cakap-cakap bantal dengan kedua-dua Inche A dan Inche B. Juga sesi bakar-membakar amalan mulia dan memanggang daging BBQ dengan penuh riang gembira heyy! Saya masih ingat, bagaimana Inche A menangis terharu kerana berasa begitu bersyukur, terpilih untuk berada di atas jalan yang sumpah panjang ini. Alhamdulillah.

Tiba masa Inche B, berpeluh besar juga saya, sambil berkali-kali menelan air liur untuk membasahkan tekak yang sebenarnya tidak kering. Masing-masing berasa segan kerana masing-masing menyedari halangan yang wujud di antara kami. Dasar jantan egoistik! Wahahaha.. Err. Tetapi akhirnya saya kuatkan semangat dan teguhkan iltizam untuk berterus-terang dengan Inche B. Saya luahkan segala-galanya yang terbuku di dalam hati; apa yang saya rasakan tidak selesa dengannya, apa kelemahan dan keburukan pada dirinya yang perlu diperbaiki untuk menjadikannya lebih laju dalam dakwah dan tarbiyah dan sebagainya. Juga saya membuat pengakuan berani mati yang selama ini saya rasakan seolah-olah tidak boleh masuk dengannya.

Alhamdulillah, saya berjaya untuk mengumpul momentum. Sesi yang saya sangkakan akan menjadi sesi angin bertiup dingin (Baca: Awkward moment) berjaya menjadi satu sesi yang amat produktif dan berkesan. Terima kasih juga kepada Inche B, yang turut mengambil peluang itu untuk berkongsi apa yang tersirat di hati. Tidak dapat saya gambarkan kegembiraan diri ini seusai sesi curhat itu. Ego antara kami berjaya diruntuhkan. Halangan yang selama ini menjadi syaitonirojim kepada perhubungan kami, berjaya dihalau jauh-jauh dan dicairkan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah.

Sehingga hari ini tidak mungkin saya lupakan nikmat besar yang Allah kurniakan kepada saya itu. Malah, setiap kali memikirkan perkara tersebut, bibir saya pastilah tidak gagal untuk menguntum senyuman. Semenjak hari itu, hubungan saya dan Inche B bertambah baik. Bukan, baik tidak tepat untuk menggambarkan pembaharuan positif pada perhubungan kami. Osem. Ya, osem. Semenjak hari itu, hubungan saya dan Inche B bertambah osem. Sumpah..!

Aaaarrrgghhh ini sumpah bahagiaaaaa...! [Kredit]

Dan kesyukuran saya bertambah-tambah tinggi nilainya, apabila memikirkan pada saat-saat saya hampir tersungkur dan hilang kesabaran dengan apa yang berlaku, saya bangkit semula, untuk menyahut cabaran dan seruan Inche P dan tidak berputus-asa untuk terus membimbing Inche B. Subhanallah walhamdulillah Allahu akbar! La hawla wala quwwata illa billahil 'aliyyil adzim..!

Senyum lebar-lebar sampai nampak gigi kuning. 

Benarlah dan benarlah dan benarlah, tiada istilah kebetulan di dalam hidup ini. Kebetulan itu bahasa Argentina dan bukan bahasa yang boleh difahami oleh kita yang mahu menjadi seorang dai'e yang mukmin dan muttaqin. Setiap yang berlaku kepada kita, itulah yang paling baik untuk kita, kerana ia sudah pon termaktub sejak azali lagi. Sama ada kita mahu menyedarinya lantas tidak mensia-siakan peluang yang datang sekali seumur hidup itu, atau kita mahu membiarkannya pergi kerana merasakan diri sendiri tidak mampu untuk menghadapinya. Semuanya terletak di tangan kita.

"Telah diwajibkan ke atas kamu untuk berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu sedangkan itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."
[al-Baqarah, 2:216]

Peristiwa tersebut telah banyak mengajar saya untuk terus tsbat dan istiqamah di atas jalan dakwah ini. Dan antara pengajaran bergaya yang peristiwa tersebut telah mengajar saya adalah: Sebarang cabaran dan halangan yang kita hadapi di atas jalan dakwah ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk menguatkan kita dan mempersiapkan kita untuk mehnah dan ujian yang lebih besar di masa akan datang. Dan sekiranya kita berjaya mengharunginya, percayalah, kita akan merasa betapa manis dan besarnya nikmat yang Allah kurniakan untuk mereka yang mahu terus berjuang untuk agamaNya.

Allahu Allah...

Air mata mengalir gembira.

Benarlah, tarbiyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah. Bukan sengaja bulatan gembira itu dinamakan dengan bulatan gembira. Bulatan gembira yang benar-benar bulat dan gembira, pastilah akan menjadikan anda bahagia dan tersenyum seorang-seorang ibarat orang gila. Wahahaha.. Bulatan gembira yang benar-benar bulat dan gembira, pasti akan menjadikan anda seorang Super Saiya, tidak kiralah peringkat kelapan atau kelima. Dan bulatan gembira yang benar-benar bulat dan gembira, akan menyebabkan anda benar-benar bersyukur dan terharu mata bersinar-sinar kerana telah dipilih untuk menjadi pejuang agamaNya.

Percayalah, kerana saya telah pon merasainya. Senyum.

-gabbana-

Saya menghabiskan tulisan ini ketika berada di dalam kapal terbang, menuju ke Negeri Di Bawah Bayu bersama keluarga. Alhamdulillah, selamat tiba kurang lebih jam enam tadi. Ini pertama kali saya menjejakkan kaki di sini. Moga perjalanan dan pengembaraan ini akan menjadikan saya bertambah dekat kepadaNya, Insha-Allah.

Ada peluangkah untuk bertemu dengan ikhwah tempatan..? Jika ada, sila tinggalkan komen atau email saya. Insha-Allah, akan diusahakan sebaiknya untuk beramah-mesra dengan anda semua. Teruja! Senyum kenyit mata.

11 Caci Maki Puji Muji:

a reader 04/02/2012, 00:36  

jazakallah IG. sgt berguna utk sy yg br nk membawa bulatan gembira sendiri ni:)

tapi kan, kat bhg kiri blog ni ade ads eh?ke xde sbenarnye? sbb bila sy buka blog ni,ade ads yg keluar mcm tak best(kurang sopan) walaupun ia hnyelah kartun. sy cdg lebih baik kut klau xde. minta maaf sgt2 ye. bkn niat sy nk kondem ke ape, just nk elak maslahat2 lain mendatang insyaAllah. aman ^^V

Nur Farhana Aminuddin 04/02/2012, 10:39  

salam. sesungguhnya osem sekali post ini kerna inilah apa yg ana sdg alami. ku memahami saat getir itu, terasa diri ini lemah di saat senior2 bagaikan smash diri ini yg halus lagi kerdil kerna rasa tak mampu menDF adik2.kesian adik2 tu. oh ya, negeri bawah bayu. :D baru bulan lepas my classmates and I pergi berdakwah kat sane.ohsoosem.terima kasih kerna berkongsi pengalaman di medan ini wahai hamba Allah. bak kata budak sabah yg sempat didakwah ana, 'peace no war kak'. terasa kul pulak lepas tu.k perasan bai.

Anonymous 04/02/2012, 15:08  

masyaallah . da'ei yg hebadd .

Unknown 04/02/2012, 23:11  

AAE, jangan lupa memasang impian untuk kembali ke sekolah bintang. Insya-Allah, dalam sesi lain kita bincang lagi tentang impian kita ni.

HIhi

di angin lalu ku rindu 05/02/2012, 10:22  

pagi yg sepi ini
hati ini sebak dan rindu
merenung luar jendela
angin sepoi bahasa
suria seolah tersenyum
aku rindu kebahagian sejati
aku rindu syurga ilahi

muhammad 10/03/2012, 11:57  

inche gabbana, boleh saya join bulatan inche gabbana dan bersama bergembira? kalau tidak gembira didunia, di akhirat pun jadilah =)

Inche gabbana 21/03/2012, 08:51  

Saudara muhammad yg dikasihi fillah. Minta maaf sgt mengambil masa yg super lama untk re komen anda ni. Moga Allah ampunkan kelemahan dan kekurangan sy ni. ;(.

Boleh saudara hantarkan detail ringkas diri saudara, i.e. nama penuh, tinggal ktne, skang ni buat apa dan no. Telefon ke email saya? dolcegabbana08@gmail.com

IAllah sy akanjcuba usahakan mana yg trmampu.

Moga Allah permudahkan.

P/s: walaupon x knal siapa anda, sy teringin btol nk jumpa ngn anda.. ;)

Anonymous 11/08/2012, 01:04  

kalo sekolah kat sk ekonomi london,mst kenal long haffiz kan?

Anonymous 29/12/2013, 15:10  

hello

Diyana 21/02/2014, 15:48  

Simple tapi bergaya.. Teruskan berjuang membina bulatan gembira yang lebih besar dan lebih gembira!

Unknown 30/10/2016, 22:18  

Assalamualaikum... Nak tanya, macam mana nak buat orang yang join bulatan gembira kita ni dapat merasai nikmatnya berbulatan gembira.. sebab kdg2 sy pn tak merasai nikmat berbulatan gembira ni..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP