27 August 2012

Ayat-Ayat Seribu Satu Emosi

[Kredit]

Seorang dai'e dan al-Quran sewajarnya tidak dapat dipisahkan. Dalam menyampaikan kebenaran kepada masyarakat dan dalam mentarbiyah hati-hati di luar sana, al-Quran perlu dijadikan rujukan yang paling utama dan bukannya menjadikan belog-belog marhaen seperti APG ini sebagai manual sehari-hari.

Ehem.

Al-Quran juga wajar menjadi sumber motivasi terbesar buat mereka yang mahu memikul amanah dakwah dan tarbiyah ini. Di kala kesedihan dan kelemauan akibat mehnah dan tribulasi di atas jalan dakwah, kita sepatutnya mencari al-Quran terlebih dahulu unutk menenangkan jiwa dan emosi kita, sebelum terhegeh-hegeh memburu buku-buku motivasi dan penaik semangat karangan manusia-manusia yang diri sendiri punya banyak kelemahan dan kekurangan. Bukankah al-Quran itu datangnya dari Allah, yang paling tahu dan arif tentang selok-belok, setiap inci daripada jiwa dan perasaan kita?

Kerana itu, di belog APG ini, saya berusaha sebaiknya untuk berkongsikan mana-mana ayat-ayat chenta dari al-Quran, yang saya rasakan dapat memberikan manfaat besar kepada anda semua. Saya rasakan amat rugi dan menjual ikan sekiranya saya tidak berkongsikan dengan anda ayat-ayat yang telah banyak menampar pipi saya mahupon mencarik-carik hati dan jiwa saya. 

Seperti mana hati saya tersentuh dengan ayat-ayat chenta dari Tuhan, seperti itu juga saya mahu ia menyentuh hati dan jiwa anda. Seperti mana air mata saya mengalir laju akibat ditampar kuat oleh ayat-ayat berotot tegap, seperti itu juga saya mahu anda ditampar. Eh. Saya mahu anda merasakan apa yang saya rasa. Dan seperti mana saya terlopong mulut, teruja gembira dan kening naik sebelah akibat terlanggar dengan ayat-ayat yang cukup mengagumkan saya, seperti itu juga saya mahu anda melalui dan menjiwai ayat-ayat tersebut.

Maka lahirlah post-post seperti 'Anda Bertanya, al-Quran Menjawab', 'Anugerah Bintang Paling Popular', 'Ayat-Ayat Chenta Yang Menggirangkan' dan lain-lain lagi*. Dengan harapan persepsi dan sangkaan anda terhadap al-Quran sebelum ini akan berubah Insha-Allah. Sekiranya anda sebelum ini melihat al-Quran sebagai kitab lapuk beribu tahun usianya, saya mengharapkan anda kini dapat melihat al-Quran sebagai manual kool bergaya, yang dapat dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja bila-bila masa dan ketika. Seandainya sebelum ini anda merasakan al-Quran itu hanya boleh dimanfaatkan oleh golongan ostad dan ostajah semata, kini harapnya anda juga dapat menggali intan pertama yang banyak dan sudah lama tersimpan di dalam al-Quran. Dan jika dahulu anda hanya mencari dan membaca al-Quran apabila ada orang yang dah nazak, pada malam dan pagi Jumaat dan majlis khatam al-Quran, amat besar harapan saya agar selepas ini al-Quran dan kita ibarat sepasang kekasih, berlari-lari di taman sambil menyanyikan, "Seiring dan sejalan, seindah bunga di taman..!" Err.

*Lain-lain lagi termasuklah projek Ayat-Ayat Chenta yang sehingga kini belum lagi saya berjaya sudahkannya. Peluh kecil menitik laju.

Jadi hari ini saya ingin berkongsikan dengan anda ayat-ayat yang penuh dengan emosi berwarna-warni, yakni ayat-ayat yang memberi kesan kepada saya secara peribadinya, dalam pelbagai cara dan rasa. Harapnya ayat-ayat ini akan memberi kesan yang bergaya kepada anda juga..!

Mari...!

Ayat yang membuatkan saya tertawa kecil, mata bersinar cerah

"Di sorga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa sahaja yang mereka inginkan." 
 [Yaasiin, 36:57]

>> Sudah terbayang-bayang benda dan kenikmatan yang menunggu di sorga nanti (kalau masuk sorga, Insha-Allah!). Tak rugi kita tahan nafsu di dunia ni, sebab kat sorga nanti, kita boleh minta apa sahaja, saya ulangi, sapa sahaja yang kita mahu! Walawehhh! Ayuh kita jadi fanatik sorga..!


Ayat yang membuatkan mulut terlopong besar

"Dan perumpaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai; dan pada setiap tangkai itu pula ada seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui."
[al-Baqarah, 2:261]

>> Uissshhhh. Punyalah besar dan haibat ganjaran dan balasan yang Allah janjikan untuk amal kebaikan yang kita lakukan. Dan kita langsung tidak berasa teruja dan hidung kembang-kempis dengan tawaran sebegini..? Ruggiiiiiilaaaahhhh...


Ayat yang buat saya telan air liur

"Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: 'Aduhai celakanya kami! Kitab apakah ini? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan tercatat semuanya!' Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun."
[al-Kahfi, 18:49]

>> Mahkamah Agung Allah di Mahsyar nanti akan mengadili setiap daripada kita dengan seadil-adilnya. Segala perbuatan kita; korek hidung di bawah meja, terbang panjat tembok ketika sekolah asrama dan mengumpat mak mertua bersama rakan sekerja, semuanya itu akan tercatat, tidak tertinggal walau sedikit pon! Kalau yang sekecil-kecil perbuatan sebegitu pon Allah catat, apatah lagi sebesar-besar dosa seperti tidak menyampai Syahadatul Haq kepada jiran sebelah rumah! Gulp. Gulp lagi sekali. Dan gulp lagi.


Ayat yang menyebabkan saya senyum lebar nampak gigi

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (katakanlah): 'Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk.'"
[al-Baqarah, 2:186]

>> Allah ni sentiasa ada di sisi kita, malah sentiasa menanti-nanti dengan penuh keterujaan untuk kita mencari dan mengadu kepada-Nya. Allah, siapa yang tidak tersenyum lebar apabila memahami hakikat sedemikian..?


Ayat potong bawang merah

"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa."
[az-Zukhruf, 43:67]

>> Terfikir rakan-rakan yang kita kamcing dan baik di dunia ni, tapi tak pernah sekali pon kita sampaikan Syahadah al-Haq kepada mereka. Kat akhirat nanti mereka akan tuntut dan kejar kita tahu...? "Ohoii kau! Dulu kau pergi bulatan gembira dan konferens riang bagai, tapi sekali pon kau tak pernah nak tegur aku tak solat en...?? Jomlah masuk neraka sama-sama dengan aku!" Air mata mengalir deras. 


Ayat yang menyebabkan saya rasa seperti dipanah petir

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan kamu pada yang demikian; kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha Penyantun."
[al-Maidah, 5:101]

>> Apa yang penting? Bekerja dan jangan banyak tanya perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan menambahkan amal! (Kalau ni jadi moto Wonder Pets, konfem tak laku cerita tu. Hohoho..)


Ayat rasa kepala terhentak kuat

"Wahai umat manusia, dibuat satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. Amat lemahlah yang meminta dan yang diminta."
[al-Hajj, 22:73]

>> Kita ini amat lemah lagi marhaen bukan..? Kalau seekor lalat yang tampak macam tiada apa-apa itu pon kita tak boleh nak cipta, siapa kita mahu sombong dan angkuh dengan Allah..?

Kuat lagi hantuk tu bang, kuat lagi! [Kredit]


Ayat rasa hati seperti dicarik-carik ibarat Puan Mama mencarik ayam untuk makan dengan bihun sup. Eh.

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."  
[at-Taubah, 9:24]

>> Perlukah saya jelaskan dengan panjang-lebar lagi..?


Ayat ketaq lutut

"Sekali-kali tidak! Apabila nafas sudah sampai ke kerongkong. Dan dikatakan, 'Siapakah yang dapat menyembuhkan?' Dan dia menyangkakan sesungguhnya itulah waktu perpisahan. Dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan). Kepada Rabb (Tuhan) engkau pada hari itu tempat kembali."
[al-Qiyamah, 75:26-30]

>> Ayat ni. kalau baca semasa qiam, memang tidak pernah gagal untuk menggegarkan jiwa dan err.. Mengetaqkan lutut. Memang sangat terasa cuak dan mengerikan ayat ni. Benarlah kematian itu adalah sebaik-baik peringatan.


Ayat 'Boleh saya pinjam bahu anda sebentar..?'

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk." 
[ali-Imraan, 3:103]

>> Setiap kali baca dan tadabbur ayat ni betul-betul, memang konfem akan buat hati ni sebak. Rasa sangat bersyukur, di sebalik masa silam lampau yang kelam lagi berlumpur di masa lalu, Allah masih nak pilih diri ni bersama-sama dengan gerabak dakwah dan tarbiyah. Rasa diri ni betul-betul diselamatkan daripada jurang api neraka! Ok sebentar, ada habuk masuk mata.

Uhm uhm. 

Sebenarnya ada banyak lagi ayat-ayat penuh emosi, baik yang riang ria, mengalirkan peluh, menembak tepat di hati, menggeletek pinggang dan macam-macam lagi yang ingin saya kongsikan. Tetapi cukuplah sekadar di sini. Cukuplah untuk membuktikan kepada anda betapa indah dan syoknya membaca dan mentadabbur al-Quran.

Juga.. Err.. Sebagai trailer untuk anda. Agar selepas ini anda akan lebih teruja dan mata bersinar-sinar untuk mendapatkan al-Quran, membuka dan membacanya dengan penuh ghairah dan keterujaan!

Jom jatuh chenta berguling-guling dengan al-Quran..! Senyum sampai telinga.

-gabbana-

Baca sambil tadabbur al-Quran ni macam tengok movie lah juga. Malah lebih osem dan bergaya..!
 

Ada jalan ceritanya, ada klimaksnya, ada masa-masa yang saspennya, ada juga masa-masa yang rasa macam nak tutup muka pakai selimut.

Anda tidak percaya..? Cubalah dahulu! Senyum.
 


9 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 28/08/2012, 01:03  

Sgt OSEM!!!

perindu sepi 28/08/2012, 01:05  

semakin lama aku menyelami jln ketuhanan semakin aku rasa dunia ini kosong bagai tiada erti

aku umpama musafir yg lelah dlm perjalanan penuh ranjau berduri menuju destinasi abadi

aku rindu akan rumahku yg sebenar semoga DIA sentiasa bersamaku agar aku selamat sampai ke destinasi akhir yg abadi

Elegant Daisy 30/08/2012, 07:21  

isk3.. May we be guided to the right path !

::afni natasya:: 05/09/2012, 13:38  

rasa nak menangis air mata darah.T.T

budak skema 05/09/2012, 17:14  

salam..inche gabbana..
nice one..alhamdulillah..
mohon share article anda...boleh kan?

pacificblue 06/09/2012, 13:18  

sgt suke post ini..menggetar jiwa...mohon share bole?

Inche gabbana 06/09/2012, 16:30  

Budak skema dan pacificblue: Silakan. Moga bermanfaat iAllah. ;)

« mufida » 06/09/2012, 18:21  

penyampaian yg Osem! dekat dengan jantung yg sedang menaip komen ni :)

Rumaisa' 07/09/2012, 10:48  

Assalam..Inche gabbana..
err..nak betulkan sikit..surah al-Qiyamah untuk ayat ketaq lutut tu surah yang ke 75 bukan 25..mungkin inche gabbana silap tulis..baru perasan bila nak cari surah tu..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP