30 August 2012

Cokolat dan Kacang

[Kredit]

Bukan, ini bukan post untuk mempromosikan Ferrero Rocher atau Nini Cokelat Celup, Celup Celup. Peluh.

Tempoh hari saya ada membuat satu survey ringkas tentang kesihatan dakwah dan tarbiyah secara umumnya. Saya tanyakan satu soalan yang boleh tahan cepu gangsa jugalah. Soalannya berbunyi begini:

"Cuba kongsikan mengapa anda begitu alerjik dengan usrah, perkataan dakwah dan tarbiyah?"

Saya ingatkan tidak ramai yang berminat untuk memberi maklum balas untuk persoalan yang bosan sebegitu. Yalah, soalan punyalah skema! Namun, tidak saya sangkakan maklum balas yang saya terima boleh tahan memberansangkan. Adalah lebih tiga puluh komen yang diterima.

Daripada komen-komen dan maklum balas yang diterima, saya dapat merumuskan punca utama kepada kealerjikan kepada dakwah dan tarbiyah dan perkara-perkara yang seangkatan dengannya bolehlah dipecahkan kepada tiga, yakni: 
  1. Salah faham terhadap dakwah dan tarbiyah itu sendiri
  2. Tiada qudwah di kalangan para penggerak dakwah
  3. Amanah Syahadatul Haq yang tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan bersungguh
 Uhm uhm.

Ini perkara seriyes. Ini bukan cobaan. Ini bukan main-main.

Perkara (1) dan (3) itu amat berkait-rapat sekali. Berlakunya salah faham terhadap Islam, dakwah dan tarbiyah itu adalah akibat para dua't yang belum lagi bersungguh-sungguh melaksanakan amanah Syahadatul Haqnya. Masih ramai para dua't yang sengaja bergelumang dan memalitkan diri dengan jahiliyyah, menyebabkan gerabak dakwah dan tarbiyah yang sepatutnya meluncur laju menjadi perlahan dan lembap. Tidak kurang juga yang bermalas-malasan, culas dan tidak bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab ini. Akibatnya, ramai orang yang sepatutnya berpotensi untuk menyertai gerabak ini akhirnya lari dan jauh ketinggalan ke belakang. Semuanya gara-gara kesilapan dan kelemahan para dua't yang memandang enteng akan tugas berat ini.

Yang lebih mengalirkan peluh besar adalah para dua't ini kemudian menuduh pula bahawasanya orang di luar sana tidak berminat dengan dakwah ini. Kononnya, mereka anti-bulatan gembira dan menolak risalah yang ingin dibawa. Yang para dua't ini sudah berusaha sebaiknya tapi orang ramailah yang keras hati, degil dan hidung tinggi untuk menerima dakwah ini. Mudah sekali mereka menuding jari terhadap mereka yang sepatutnya disantuni dengan penuh kasih-sayang dan kelapangan dada.

Aduhai Pak Mat sayang, Pak Mat kaki temberang! 

Tetapi untuk berlaku adil, perlu juga disebut di sini bahawa memang ada para dua't di sana yang bersungguh-sungguh, bukan setakat hidungnya kembang-kempis melakukan dakwah, malah rambut mereka juga berterbangan ditiup angin kerana bersungguh-sungguh melaksanakan Syahadatul Haq dan tudung labuh mereka berkibar-kibar dek semangat yang berkobar-kobar dalam menegakkan agama Allah ini. Memang ada. Itu tidak dapat dinafikan. Dan perlu juga disebut, demi berlaku adil kepada semua, tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada para dua't ini kadangkala keterlaluan dan berat sebelah. Hakikatnya, sememangnya ada golongan di luar sana yang anti-bulatan gembira dan setiap kali mendengar perkataan dakwah dan tarbiyah, nescaya gatal-gatallah kulit dan gugurlah rambut-rambut mereka. 

Pokoknya, para dua't wajib menjalankan amanah mengajak orang mengEsakan Allah dan berhakimkan dengan undang-undang Allah tanpa kompromi dan sebarang alasan lagi. Kita perlu memenuhi hak-hak syahadah ini dengan sebaiknya agar kita punya alasan untuk berlepas diri di akhirat sana nanti. Hanya selepas itu sahaja kita boleh berasa lega dan berlapang dada, walau ditohmah dan dikeji dari pelbagai arah, menggunakan beraneka cara. 

Kemudian perkara (2), yakni bagaimana para dua't yang gagal menunjukkan qudwah yang baik menyebabkan orang tidak yakin dengan risalah ini lantas terus mengucapkan 'Oktengsbai' terhadap ajakan menghambakan diri kepada Allah. Ini adalah perkara yang sumpah teramat seriyes. Lebih seriyes daripada bangun pagi sakit perut, lantas berlari-lari ke bilik air hanya untuk mendapati pintu bilik air terkunci. Err.

Masalah qudwah ini bukanlah masalah yang baharu. Semenjak saya bersama-sama dengan gerabak dakwah dan tarbiyah ini, telinga ini sudah disapa oleh angin shiuu shiuuu yang lalu berkali-kali, membicarakan isu qudwah ini. Ya, qudwah bukanlah segala-galanya, namun tanpa qudwah, segala-galanya akan porak-peranda. Pentingnya qudwah dan akhlak yang baik dalam menyampaikan dakwah dan tarbiyah sehinggakan ar-Rasul pernah bersabda:

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Memang sukar untuk menjaga qudwah ini. Percakapan hendaklah sopan, bebas carut dan penuh dengan hikmah. Sopan tidak bermakna perlahan, lembut dan suara kepit. Err. Tetapi daripada percakapannya sahaja, orang yang mendengar bisa meneka yang si dia yang berkata-kata bukanlah orang yang biasa-biasa. Pakaian kemas dan berketerampilan. Bulu hidung tidak terkeluar. Bau badan yang hapak lagi tengik itu berjaya ditutupi dengan deodoran ketiak dan minyak cap kapak. Eh. Senyuman manis. Rambut tersisir kachak buat ikhwah dan tudung labuh kemas dan bebas tompokan hingus buat akhawat.

Itu baru dari segi sudut fizikal dan material. Belum lagi qudwah dari segi akhlak, cara berfikir dan perbuatan sehari-hari. Jika kita mahu melatih mutarabbi kita bersabar dan tidak pemarah, kita dahulu tidak bolehlah menjerit-jerit macam puaka Cina ketika tersekat di dalam kesesakan jalan raya. Sekiranya kita mahu melihat mad'u kita sentiasa berdisiplin dan menepati masa, kita dahulu tidak bolehlah asyik-asyik "On the way!" apabila ditanya di manakah gerangannya kelibat kita. Dan seandainya kita mengimpikan hadek-hadek bulatan gembira yang benar-benar menyayangi dan mengambil berat akan perihal diri kita, kita dahulu perlulah menghadiahkan mereka sekotak cokolat berintikan kacang rangup. Eh.

Ya, memang sukar untuk menjadi seorang murabbi dan dai'e yang menjadi contoh ikutan dan tauladan yang baik. Itulah harga yang perlu dibayar apabila kita membaiahkan diri kita untuk bersama-sama dengan perjuangan menegakkan al-Haq ini. TAPI, ia bukan pengorbanan yang sia-sia. Ia bukan harga yang terlalu mahal yang perlu kita bayar. Apatah lagi, ganjaran yang menanti kita di sorga sana tidak terbanding nilai dan harganya. Bukankah jalan ke sorga itu dipenuhi dengan duri, kaca dan watak 9gag yang kadangkala terasa seperti mahu dberi pelempang percuma..? Err. Mengorbankan ego, nafsu dan kepentingan diri sendiri demi membentuk qudwah yang baik pada diri adalah sebahagian daripada onak dan ranjau yang terpaksa kita lalui.  

Walaupon pahit untuk ditelan dan panas punggung kita setiap kali kita mendengarnya, kita perlu akui yang memang ramai orang di luar sana yang amat mudah terkesan dengan contoh ikutan yang dan tauladan yang ditunjukkah. Walau hebat bagaimanapon fikrah dan manhaj yang dipersembahkan, walaupon ia adalah kebenaran dan al-Haq yang turun dari langit, tetapi sekiranya si pembawa risalah itu buruk akhlaknya, cakap tak serupa bikin dan tidak berdisiplin, amat sukar orang ramai untuk mempercayai kata-katanya dan mengikuti jejak langkahnya. Maka jangan terkejut apabila ramai orang yang sanggup menyerahkan diri mereka kepada tok-tok syaikh ajaran sesat hanya kerana terpesona dengan kebaikan dan akhlak pijak semut tak mati yang dipamerkan.

Dakwah ini bukan kerja main-main, bukan mainan anak-anak kecil. Ia perlu dilakukan dengan penuh bersungguh, iltizam dan seriyes! Seseriyes kita berlari pecut dan muka berkerut ketika perut terkentut-kentut! Eheh. [Kredit]

Realiti pada hari ini mungkin sudah tidak sama dengan apa yang berlaku pada sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Kini, kesedaran akan peri pentingnya mengamalkan cara hidup Islam di kalangan anak-ana muda khususnya, sudah semakin menyubur dan mengakar. Ramai di kalangan golongan muda marcapada ini  yang bergiat aktif dengan pergerakan Islam dan menyertai program-program yang Islami atas pilihan dan kehenadak mereka sendiri.

Dan hal ini termasuklah dengan mencari dan menyertai bulatan gembira. Sehingga ke hari ini, sudah ramai yang menghubungi saya secara peribadi, minta untuk dibulatangembirakan. Ada juga yang meminta saya untuk membulatangembirakan adik, kawan atau kenalan mereka. Maka saya dengan penuh keterujaan lagi hidung sedikit kembang-kempis, mengutip nama-nama tersebut dan menyerahkannya kepada akhawat atau ikhwah yang berkenaan, dengan harapan nama-nama ini akan dipantau dan disusuli dengan tindakan yang segera.

Nampaknya harapan saya terlalu tinggi, setinggi langit petala keempat. Rupa-rupanya banyak nama yang diserahkan itu tidak diambil tindakan yang sewajarnya. Setelah beberapa bulan, ada yang menghubungi saya semula, bertanyakan mengapakah nama-nama yang diserahkan itu masih tidak dibulatkan lagi. Ya, memang ada yang berjaya dibulatkan dan digembirakan, alhamdulillah. Tetapi majoriti nama yang diserahkan kekal sebagai nama di skrin komputer, email di dalam kotak dan beberapa patah perkataan di dalam otak. Terutamanya di kalangan ikhwah.

Saya malu. Jujur saya malu. Saya bom bam bom bam, dengan penuh semangat dan keterujaan menceritakan wahai bulatan gembira itu sumpah menyeronokkan! Ohoii siapa tidak menyertai bulatan gembira itu memang amat merugikan hey! Bulatan gembira dan kehidupan itu ibarat pelangi selepas hujan! Eh. Tetapi bila ada orang yang mahu dibulatkan, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Tidak lebih sekadar menyerahkan nama-nama yang berkenaan kepada mana-mana ikhwah dan akhawat dengan harapan, mereka akan segera mengambil tindakan. Atau sekurang-kurangnya menyerahkan nama-nama itu kepada pihak yang bertanggungjawab pula. Harapan tinggal harapan.

Air mata mengalir laju. 

Sungguh, kerja kita masih terlalu banyak untuk dilakukan, masih jauh untuk diselesaikan. Di kala umat Palestin dibedil sehari-hari, orang-orang di Syria disembelih pemerintah sendiri dan umat Islam Rohingya dipijak dan dihenjak ibarat tiada harga diri, umat Islam di negara sendiri sakit tenat dengan pelbagai penyakit hati dan akhlak yang sudah membarah dan menular di dalam diri. Dan kita masih punya masa untuk bermalas-malasan, bergoyang-kaki dan berfikir-fikir selepas ini bukit mana yang mahu didaki untuk menangkap gambar tatkala matahari sedang terbit naik..? Peluh kecil.


"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik." 
[al-Hadid, 57:16]

Uhm uhm. Siapa pula yang potong bawang merah ni.. Gosok mata. 

Marilah ikhwah dan akhawat sekalian, kita muhasarawak, muhakedah, muhaperak dan muhajohor diri kita, mengisi lompong-lompong yang kosong dan membaiki mana-mana kebobrokan yang ada. Jangan kita menjadi fitnah kepada dakwah dan tarbiyah yang mulia ini. Disebabkan kita, ramai yang lari dan berpaling daripada kebenaran yang agung ini. Angkara jahiliyyah yang bergelumang dan kemalasan yang menular di dalam diri, orang tidak percaya pada Islam dan tidak yakin dengan penyelesaian yang ia tawarkan.

Kita punya terlalu banyak kerja. Amanah ini terlalu berat menekan dada. Dan kita tidak punya masa.

-gabbana-

Eh.. Mengapa beri tajuk 'Cokolat dan Kacang' Inche gabbana..? Garu kepala.  

Ahahah. Anda rasa-rasa mengapa..? Senyum kenyit mata.

Insha-Allah akan berangkat pulang ke kampung di Kelantan malam ini. Doa-doakan agar selamat dan dipermudahkan semuanya. 

6 Caci Maki Puji Muji:

Ummi Rai 30/08/2012, 16:04  

To be honest,ada satu sebb lg knpa org lri dari bulatan gembira .Inche gabbana klau perasan yg join usrah ni pun main puak2.Yg tudung lbuh geng baik yg xtutup aurat dibuat dek.Seni menyentuh hati semakin hilang.Paksaan,layanan kasar,menerakakan org adalah salah satu contoh.Mohon inche gabbana sentuh isu psl tu.jazakallah.

aku-bukan-robot. 30/08/2012, 17:23  

heh . coklat dan kacang. sedap yang teramat. sama dengan lah dakwah dan tarbiyyah. dua2 itu sedap. tapi lebih lazat hingga ke akar umbi bila digandingkan. ehhe.

gojes angel 31/08/2012, 04:05  

sgt cepat masa berlalu rupanya dah lebih setahun sy baca blog IG ni

Anonymous 31/08/2012, 12:06  

Menangis..

akira sendoh 31/08/2012, 21:09  

Akhi gabbana..

post kali ni paling bnyk Eh dan Err..he3

nak tnye jugak..situasi yg ana nmpk..mcm mn ek kalau seorg daie tu slalu je tersalah niat..dh jd mcm persaingan dengan sahabat2 dr jemaah yg berbeza utk rebut mad'u..kdg2 tu xbest jgak sbb diorg kawan2 di uni yg same.n ade yg tnye kdg2 tu terase control diri sbb just nk nmpak baik dpn mad'u dan ikhwah dr jemaah laen.mcm mn ek nk memelihara hati yg lemah ni n btol2 contribute towards DnT for the sole purpose of getting redha Allah?

Ummu Khalijah 01/09/2012, 10:17  

hahaa...setuju juga. sepanjang DnT ni pun bkn maen byk cabaran trutamanya seorg qudwah. sy adlh org yg ditarbiyah but at the same time perlu beri tarbiyah. maslh qudwah ade pd semua, cuma pndai2 la kite cover-wlpun mcm berpura2 tp itu lbh elok dr mmbawa salah faham trhdp message yg nk dibawa. hakikatnya, prsoalan qudwah ini sgt rapat dgn akhlak, dan akhlak pula sgt berkaitan dgn iman. oh, apkah sbnrya trjadi dgn iman kite??
psl budak2 yg tak dibulatgembirakan tu, hahaha, setuju.-eh, patutke aku gelak camtu?- selalu kite bg alasan xde mse(sbb majoriti para dua't org2 pandai di U) pdahal tak pndai menguruskan mase. betul, sbb diri ini pun cam gitu. Ya Allah, semoga para ikhwah dan akhawat kite akan terus mengislahkan diri dn tak kan pernah berhenti :)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP