31 May 2012

Ayat Chenta Peberet Sepanjang Zaman

Suka. Gembira. Penuh kesyukuran. Allahu Allah.. [Kredit]

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًاوَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

"...And for those who fear Allah, He (ever) prepares a way out; And He provides for him from (sources) he never could imagine. And if any one puts his trust in Allah, sufficient is (Allah) for him. For Allah will surely accomplish his purpose: verily, for all things has Allah appointed a due proportion."
"...Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi sesuatu."
[at-Talaq, 65:2-3]

Sungguh dapat merasakan sentuhan chenta basah ayat ini di kala ini. Allah manisnya keimanan ini. Allah aku serahkan diriku dan hatiku untukMu..!

Air mata mengalir perlahan sambil menyeringai penuh kegembiraan.

-gabbana- 

29 May 2012

Di Sebalik Sut Ketat Otromen

[Kredit]

(Post ini adalah dedikasi khas buat ikhwah bunga sakura. Bunga-bunga sakura kerinduan itu terus berkembang segar di dalam hati nurani ini tahu...?? Jiwang gile ewaaaahhh! Jelir lidah)

Siapa yang tak kenal Otromen..? Tak kisahlah Otromen Taro ke, Otromen Joe ke, Otromen Seven ke, Otromen Ace ke, Mak Otromen ke, Datuk Otromen ke, asalkan Otromen. 

Sekiranya anda tidak kenal Otromen, sama ada anda mempunyai zaman kanak-kanak yang sungguh kasihan atau di rumah anda tidak pernah mempunyai set telebisen berwarna, et lis yang kena putar tombol pon jadilah heyyy..! Err. 

Ya, saya membesar dengan Otromen. Zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan suka-duka menonton siri Otromen selama tiga puluh minit itu. Saya membesar mengagumi Otromen dan berangan-angan untuk menjadi sehebat Otromen.

Ketika itu tidak pernah langsung terlintas di benak saya betapa mudah dan err, bodoh jugalah jalan cerita dan modus operandi Otromen ini. Tidak pernah juga terfikir tentang sut ketatnya yang hodoh itu, apatah lagi kerosakan harta benda yang melampau-lampau akibat pergaduhan Otromen dan raksasa gorgon. 

Yang pasti Otromen akan menang juga di akhir cerita. Tidak kiralah sama ada dia menang dengan laser tangan bersilangnya itu, atau mendapat bantuan daripada adik-beradik Otromen yang lain (Tak aci btol. Raksasa gorgon tiada adik-beradik pon..??), pokoknya akhirnya Otromen akan menang juga, walau betapa sengit dan sukar pertarungannya itu. 

Khalakarnya adalah walaupon sepatutnya sudah boleh mengagak yang Otromen pasti akan menang juga walau betapa mustahilnya kebarangkalian untuk beliau mengalahkan raksasa gorgon, setiap kali itu juga hidung akan menjadi kembang-kempis dan hati berdebar-debar menantikan saat-saat kemenangan Otromen. Tak senang duduk, resah gelisah apabila melihat Otromen dibelasah teruk oleh raksasa gemuk berkulit merah dan berbelalai pula. Rasa macam nak menangis apabila menyaksikan Otromen nyawa-nyawa ikan, dihentam teruk oleh raksasa bermata satu, bersepit dan bersisik hodoh. Dan akhirnya mata bersinar-sinar apabila melihat Otromen bangkit dari kekalahan awal (tipikal) dan akhirnya mengalahkan pula raksasa yang pada awalnya membelasah teruk dirinya itu.

Paling tak boleh lupa, aksi Otromen menghantar pulang raksasa yang telah dikalahkannya itu ke angkasa raya. Memang lejen. Ahahahaha. Gelak resah sambil berpeluh kecil kerana merasakan betapa naifnya diri ini di kala zaman kanak-kanak Ribena dahulu.

Betapa berpengaruhnya Otromen pada diri saya ini sehinggakan pernah suatu hari saya ponteng sekolah rendah semata-mata tidak mahu terlepas menonton kartun Ultra Kids yang cukup popular suatu ketika dahulu. Hanya untuk mendapati saya tersilap ponteng hari kerana kartun itu disiarkan pada hari yang berbeza. Batu-bata jatuh dari langit menghempap kepala.

Ketika berpeluang ke negara asal tempat kelahiran Otromen baru-baru ini (negara asal tempat ia dicipta dan bukan Planet X), walaupon tidak berkesempatan menziarahi Muzium Otromen atau apa-apa monumen dan binaan yang dibina khas sebagai dedikasi kepada adiwira gergasi itu, saya telah didedahkan dengan tujuan asal dan niat sebenar mengapa watak-watak seperti Otromen dicipta.  

Selepas Perang Dunia Kedua, rakyat Jepun berada dalam keadaan yang amat tertekan dan menyedihkan, espeseli kerosakan melampau dan kehilangan nyawa akibat pengeboman Nagasaki dan Hiroshima. Mereka yang dahulunya merupakan sebuah negara penjajah yang begitu digeruni dan dihormati, juga kaya dengan tradisi kepahlawanan Shogun dan Samurai, terpaksa tunduk dan akur dengan kekalahan mereka yang memalukan. Akibatnya, ramai orang Jepun yang tidak dapat menerima hakikat ini; ada yang membunuh diri, ada yang gila akibat tekanan mental yang melampau dan ada juga yang jatuh sakit. 

Bagi membantu pembinaan semula negara Jepun, selain daripada pembangunan berbentuk material, sesuatu perlu juga dilakukan bagi mengembalikan semangat dan membina semula maruah rakyat Jepun. Sayugia lahirlah karakter-karakter adiwira seperti Otromen, di mana Otromen adalah manifestasi kepada kebangkitan rakyat Jepun setelah teruk dibelasah dan dikalahkan. Melalui mata bulat belalang Otromen itu, rakyat Jepun dapat melihat bahawa walau betapa teruk mereka pernah jatuh suatu ketika dahulu, mereka boleh bangkit semula dan bukan itu sahaja, mereka dapat pula mengalahkan apa-apa sahaja yang menghalang dan menentang mereka. 

Dengan watak dan karakter seperti Otromen, rakyat Jepun kembali bersemangat untuk membina semula negara mereka yang telah rosak teruk. Maruah mereka yang tercalar teruk kini semakin pulih. Tidak hairanlah kebangkitan negara Jepun dilihat seolah-olahnya seperti suatu keajaiban; walaupon teruk dihentam oleh Amerika Syarikat, mereka berjaya untuk bangun semula, mendabik dada dan hidung kembang kempis pula sehingga berjaya menjadi negara yang termaju di dunia! 

(Nota: Of koslah kebangkitan yang berlaku tidaklah disebabkan oleh karakter seperti Otromen semata-mata. Haiyoh. Tetapi tidak dapat dinafikan pula Otromen, Doraemon, Suria Perkasa Hitam dan lain-lain lagi karakter pelik lagi memelikkan itu memainkan sedikit sebanyak peranan dalam menaikkan semula semangat rakyat Jepun)

Kini anda sudah faham mengapa Otromen dicipta.

Eh Otromen tu suatu ciptaan sahaja..?? Otromen tak wujud sebenarnya..??? Tiiiddaaaakkkkkk! *Aaaahhhhhhhhh* Bunyi orang terjun gaung.

Err. Pandang kanan, pandang kiri. 

Ya, kini anda sudah faham apakah rasional dan justifikasi di sebalik penciptaan karakter seperti Otromen itu. Walaupon bersut ketat sebegitu, walaupon jalan ceritanya amat jauh dari munasarawak apatah lagi munasabah, namun eskapisme yang dicipta oleh orang Jepun untuk orang Jepun rupa-rupanya berniat baik dan berhati mulia. Dan tidak disangka-sangka, begitu popular karakter Otromen itu sehinggakan ia tersebar ke seluruh dunia pula, termasuklah kita di Malaysia ini. Ahhh terbayang-bayang saya sewaktu kecil, menonton Otromen sambil menghisap botol dan terbaring di lantai. Eh.

Saya kira sebagai seorang dai'e kita juga perlu menjadi seperti Otromen. Ya Otromen dari segi semangatnya, dari aspek dirinya yang tidak berputus-asa dan dari segi tiada yang mustahil walaupon cabaran sebesar raksasa gorgon bermulut api berbadan duri di depan mata. Sebagai seorang dai'e, kita perlu bangkit semula walaupon kita pernah jatuh tersadung berkali-kali; kita perlu bangkit semula kerana kemenangan itu adalah sesuatu yang amat pasti.

Tetapi yang lebih utama daripada itu, saya melihat daripada aspek justifikasi mengapa Otromen dicipta; sebagai eskapisme untuk mengembalikan semangat dan maruah rakyat Jepun. Sebagai seorang dai'e, kadangkala kita juga perlu begitu. Ya, kita juga perlu mencipta eskapisme kita sendiri untuk menaikkan dan mengembalikan semangat ikhwah dan akhawat yang mungkin pernah jatuh merudum dan memulihkan kembali maruah mereka yang pernah dibelasah teruk.

Kelihatan seorang Otromen di Pulau Pinang baru-baru ini. Siapa kata Otromen tak wujud hah..?? [Kredit]

Jalan dakwah ini sumpah panjang. Sudahlah panjang, dipenuhi dengan duri, ranjau, kaca, paku tekan dan jarum peniti pula. Tidak cukup dengan masalah diri sendiri, masalah dalam jalan dakwah bisa sahaja membotakkan kepala. Di kala ini, kita amat mudah untuk menjadi tensi. Tatkala ini kita amat senang untuk berasa bawah dan marah-marah. Kadang-kadang sehinggakan terdetik di hati, alahai kenapalah aku berada di atas jalan ini. Istighfar sambil air mata mengalir laju.

Kerana itu kadangkala kita sebagai dai'e, terpaksa melupakan semua ini dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kita terus mengukir senyum kerana tidak mahu merisaukan ikhwah atau akhawat kita, walhal masalah sedang merunsing di kepala. Hari-hari kita jalani ibaratnya kita adalah manusia yang paling gembira di dalam dunia, kerana kita tahu dengan kita berbuat sedemikian, ikhwah dan akhawat akan turut riang dan ceria bersama.

Ya, saya pernah bertemu dengan insan-insan Otromen sebegini. Alah, macam lah saya tidak tahu yang mereka ini berhadapan dengan segala tok nenek masalah dalam dunia. Bukan setakat masalah peribadi yang menghunjam diri, malah dakwah dan tarbiyah, masalah jemaah dan entah apa-apa lagi masalah yang tidak henti-henti berkunjung mengucapkan semekom boleh saya masuk..? Eh.

Tetapi mereka masih mampu untuk tersenyum mesra. Mereka masih berupaya untuk berlagak normal malah beramah mesra seolah-olahnya tiada apa yang perlu digaru kepala. Dan merekalah orang yang pertama akan menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan bilamana kita memerlukannya, ibaratnya tidak cukup lagi timbunan masalah yang sedang dihadapinya sendiri.

Mengapa? Mengapa mereka lakukan semua ini? Kerana mereka tahu dan faham, tidak ada gunanya mereka membuat muka sedih minta simpati. Mereka tahu yang sekiranya mereka menampakkan kemuramdurjaan mereka itu, ia akan memberi kesan kepada orang lain pula. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka adalah insan yang amat terpercaya dan dihormati pula!

Dan yang lebih utama, tidak perlu pon berasa sedih dan gundah gulana dengan pelbagai masalah yang menimpa, kerana Allah sentiada berada di sisi bersama-sama!

"...ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, 'Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
[at-Taubah, 9:40]

Nah! Buat apa mahu bersedih-sedih..?? Buat penat otak dan perhabis air mata sahaja! Sudahlah pula, Allah janjikan kemenangan untuk orang yang meninggikan kalimahNya yang mulia!

Bukan, bukan hendak menafikan kemanusiaan seorang akh atau ukht itu. Tidak. Bukan juga mahu menggalakkan anda lari daripada masalah. Tidak. Tetapi kalaulah semua orang pon bersedih, semua orang pon bermuram durja bermasam muka dek masalah yang menimpa, maka tidak akan ke mana-manalah gerabak dakwah ini. Dari supirnya, sehinggalah ke konduktor dan penumpangnya, semua pon asyik bersedih dan lemau seperti biskut Marie yang sudah lama terdedah kepada udara. Macam mana dakwah dan tarbiyah mahu maju kalau terus-menerus sebegini..??

Kerana itu seorang dai'e amat perlu menjaga qudwahnya. Setiap apa yang dilakukannya akan dipandang dan dan diteliti oleh orang di sekeliling, espeseli mad'u dan mutarabbi yang berada di sekitarnya. Bersedihnya dia, maka bersedihlah juga orang di sekelilingnya. Bermasam mukanya dia, arakian akan bermasam muka jugalah hadek-hadek bulatan gembiranya. Punyalah hebat aura dan pengaruh yang dibawakan oleh seorang dai'e dan murabbi itu, sehinggakan dia perlu amat berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk dan gerak-gerinya.

Ya, memang sukar. Ia menuntut pengorbanan yang amat besar. Ia memerlukan mujahadah yang tidak sedikit. Seperti Otromen yang terpaksa berkorban memakai sut yang ketat itu (kihkihkih) untuk menaikkan semula semangat dan mengembalikan maruah rakyat Jepun, ya, kita juga perlu bersedia untuk berkorban dan melakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan ikhwah dan akhawat kita akan terus bersemangat dan bersungguh di atas jalan ini.

Itulah seorang dai'e; dia sentiasa rela untuk mengorbankannya demi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar untuk orang lain. Di dalam kamus dirinya, tidak ada frasa 'diri sendiri' atau 'weyyy kau hengat kau chanteque sangat ke..??' Err. Itulah seorang murabbi, yang sentiasa mendahulukan emosi dan perasaan mutarabbinya yang terchenta. Dan itulah seorang hamba Allah yang sebenarnya, yang tidak akan sesekali menjadi hamba dan kuli kepada nafsu dan emosi diri sendiri.

Kerana akhirnya, kita mahu menjadi seorang Super Dai'e, Inkredibel Murabbi dan Otrohamba...!

Senyum sampai sakit mulut dibuatnya.

-gabbana-

Rasa-rasa kalau kat sorga nanti (kalaulah dapat masuk insha-Allah!), boleh tak nak minta jadi Otromen..? Wahahaha..  

27 May 2012

Majlis Air Mata

Tasik. [Kredit]

Ada yang cuba kontrol macho.

Ada yang cuba menafikan perasaan.

Ada juga yang buat-buat khalakar dan riang gembira.

Tapi akhirnya semua pon tewas.  

Tewas dengan kata-kata yang terbit dari hati yang ikhlas.

Tewas dengan mata yang bersinar-sinar yang tulus meluah perasaan.

Tewas dengan hadek bulatan gembira sendiri.

Tewas apabila melihat orang lain turut tewas.

Semuanya kerana ukhuwwah fillah. Abadan abadaa..!

Ya Allah, saksikanlah! Saksikanlah..! SAKSIKANLAH..!!!

-Konferens Riang Perpisahan, Shah Alam, 23-27 Mei 2012-

-gabbana-

Penat potong bawang dan lap habuk pada mata.  

Aaahh sumpah tak mahu hantar mereka terbang nanti! Tak sanggup..!

25 May 2012

Ini Gila!

[Kredit]

Saya menaip post ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur malam semalam.
Pagi semalam bangun dari tidur, tidak pernah langsung terlintas di fikiran yang saya akan menaiki kapal terbang melintasi Selat Sunda untuk ke Jakarta, apatah lagi untuk menikmati Nasi Ayam Kremes dan Jus Mangga yang sunguh lazat lagi merembeskan air liur di sini. Eh.
Semuanya akibat arahan Puan Bos Besar yang pada jam sebelas lebih pagi, secara tidak semena-mena menyuruh saya untuk bersiap-siaga untuk ke Jakarta. Ketika itu saya tidak ambil pusing akan kata-katanya itu, kerana merasakan beliau tidak berapa seriyes dengan kenyataannya itu. Tetapi kemudian tidak lama selepas itu, Puan Setiausaha kepada Puan Bos Besar mengkonfemkan tiket penerbangan saya ke Jakarta. Gulp.
Maka saya terus memakai sut ajaib saya dan terbang melintasi kota metropolitan Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah mengambil passport saya. Ok tak baik berdusta di bulan Rejab. Dan kalaulah saya boleh terbang, tidak perlulah saya menaiki kapal terbang untuk ke Jakarta bukan..?? Wahahaha..
Anda tahu apa tugasan saya yang begitu penting itu, sehinggakan saya diperlukan untuk ke Jakarta hari itu juga..? Menghantar dokumen (super) penting kepada wakil syarikat di Jakarta. Peluh. Terasa seperti Mat Despatch pon ada.
Dalam jam dua petang, saya sudah kembali ke opis dengan passport berwarna merah itu. Jam dua setengah dokumen-dokumen penting itu masih belum tiba. Penerbangan saya adalah pada jam empat setengah petang. Ketika itu Puan Bos Besar sudah kelihatan resah-gelisah. Mujurlah tidak lama selepas itu dokumen-dokumen yang dimaksudkan tiba dengan selamatnya. Maka saya teruslah bergegas ke KL Sentral untuk mengambil perkhidmatan keretapi peluru paling laju dalam galaksi bimasakti supaya cepat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Banting. Err..
Alhamdulillah, saya tiba di kaunter periksa masuk tepat pada masanya. Urusan masuk ke dalam pesawat juga mudah dan dipermudahkan. Alhamdulillah.
Dan anda tahu apa yang paling menyeronokkan dengan perjalanan ini..? Saya hanya perlu menyerahkan dokumen-dokumen tadi  kepada seseorang yang sudah setia menanti di lapangan terbang Soekarno-Hatta dan saya tidak perlu keluar pon daripada lapangan terbang tersebut. Peluh besar menitik laju.
Tiba di Jakarta dalam jam 5.45 petang waktu tempatan dan tiket pulang ke Kuala Lumpur adalah pada jam 8.30 waktu tempatan. Wahai Puan Bos Besar, mujurlah anda Puan Bos Besar, kalau tidak saya dah buka syarikat kurier saya sendiri dah! Dan apalah salahnya membenarkan untuk saya tidur satu malam di hotel bertaraf tujuh bintang dan pulang semula keesokan menaiki pesawat dengan tempat duduk kelas pertama..! (Dengan penuh keyakin saya menulis ini kerana saya tau tidak mungkin Puan Bos Besar akan membacanya. Eheh.) Tidak mengapalah Puan Bos Besar, saya sedar yang saya hanyalah seorang kuli cachai terhormat! (Tapi bolehkah esok saya masuk ke opis lewat sedikit..? Wahahaha..)
Semuanya berlaku dengan pantas sekali; dari keputusan untuk menghantar saya ke Jakarta, proses membeli tiket, perjalanan saya menyerahkan dokumen, penyerahan dokumen dan kini, menunggu pula untuk pulang semula ke Kuala Lumpur (ok yang ini tidak pantas lagi mengechiwakan; penerbangan AirAsia saya mengalami kelewatan – macam kena pula dengan artikel terbaru saya dalam Majalah JOM. Hohohoh..).
Kagum juga apabila memikirkan bagaimana manusia ini, dalam situasi yang terdesak dan genting, akan melakukan apa sahaja bagi memastikan misi dan objektif yang ingin dicapai dapat dilaksanakan dengan penuh berjaya dan bergayanya. Sanggup membelanjakan wang yang besar, sanggup mengambil keputusan yang kalau difikirkan dalam konteks kehidupan normal sehari-hari adalah amat drastik dan sanggup pula berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk memastikan kepentingan diri dipenuhi.
Ini gila.
Dalam al-Quran, banyak ayat-ayat chentaNya yang menyuruh kita untuk bersegera melaksanakan perintahNya.
"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang...
[ali-Imraan, 3:133-134]
Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat, dan dan berjihadlah dengan harta dan jiwa pada jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
[at-Taubah. 9:41]
"Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya.."
[al-Hadid, 57:21]
Bersegeralah mencari keampunan. Berangkatlah. Berlumba-lumbalah. Dan banyak lagi di tempat lain di dalam al-Quran sama ada secara langsung atau tidak, yang menggambarkan urgensi, kesegeraaan untuk tunduk dan patuh kepada perintah Tuhan. Kisah seorang pemuda di hujung kota yang diabadikan dalam surah Yaasin misalnya, bagaimana dia berlari-lari dengan cergas dan hidung kembang-kempisnya semata-mata untuk memberi peringatan kepada kaumnya yang ingkar kepada risalah yang dibawa oleh para Rasul ketika itu.

Semuanya mengisyaratkan kepentingan urgensi dalam menyerahkan diri secara total kepada Allah, tanpa sebarang syarat mahupon kompromi. Itu teorinya. Tapi praktikalnya..?

Eh kenapa tempat ni macam banyak habuk je ni..?

Kita tahu yang kita hidup di dunia yang fana ini hanya untuk sementara, tetapi mengapa kita chentakannya melampau-lampu sehingga melupakan akhirat yang kekal abadi di sana..? Kita faham yang kita punya tanggungjawab sebagai hambaNya di muka bumi ini, tetapi kenapa kita berlagak, sombong dan angkuh seolah-olahnya dunia dan seisinya ini kita yang punya..? Dan kita sedar yang kita mempunyai amanah yang besar sebagai khalifahNya untuk seluruh galaksi bimasakti, tetapi mengapa kita lebih suka menyendiri, baik seorang diri sambil mengomel-ngomel mencaci-maki di depan tv..?

Kita mengejar dunia seolah-olahnya esok sudah mahu kiamat, sedangkan amalan kita menggambarkan yang kita punya seribu tahun lagi untuk hidup di dunia.

Kita patuh kepada perintah manusia seolah-olahnya jiwa dan nyawa kita berada dalam genggaman mereka, tetapi perintah Tuan kita yang sebenar kita abaikan dan kita nafikan.

Kita lebih takut akan kehilangan kerja, ahli keluarga dan rakan-rakan sebaya daripada kita takutkan kemurkaan dan kebencian Allah yang Esa.

Ish ada orang sedang hiris bawang pulakah..?

Di manakah rasa kesegeraan kita untuk mendapatkan keampunanNya yang tidak berbelah bahagi itu..? Di manakah rasa kepentingan dan keutamaan kita untuk mencari dan memburu sorgaNya yang seluas langit dan bumi itu..?? Dan dimanakah urgensi untuk kita merasai kemanisan dan kelazatan tarbiyah, yang akhirnya akan menyentuh hati dan membasahkan jiwa..???
Anda tahu tak..?
Ini lebih gila.
-gabbana-
Alhamdulillah, selamat tiba di rumah pada jam satu sepuluh minit pagi. 
Agak terkilan juga kerana tidak berkesempatan berjumpa dan bermuayasyah dengan ikhwah Indonesia. Namun kekechewaan sedikit terobat apabila mendapat mesej pesanan ringkas daripada seorang akh yang terbaca kicauan saya tengah hari semalam.
Osemness. Senyum.

22 May 2012

Puan gabbana 2.0

Sekadar gambar hiasan yang comel. [Kredit]

Atas sebab-sebab menjaga kemaslahatan umat, saya terpaksa menyimpan dahulu post Puan gabbana yang saya tulis semalam. 

Niat asal saya menulis post tersebut telah disalahertikan dan khuatir sekiranya akan berlaku rusuhan duduk dan bantah pula. Eh. Khuatir nanti fitnah yang mahu dielakkan akan menjadi-jadi dan menyala-nyala pula.

Artikel tersebut akan diterbitkan semula sekiranya didapati tiada apa-apa yang perlu dirisaukan atau ada maslahah yang lebih besar untuk ia diterbitkan semula (setelah berbincang dengan beberapa orang yang boleh dipercayai). Namun sekiranya sahih dan benar artikel tersebut bakal/telah menimbulkan huru-hara yang lebih dahsyat, ia akan terus kekal dalam simpanan arkib negara saya.

Terima kasih kepada yang mengingatkan dan memberi teguran. Saya amat-amat menghargainya. Semoga menjadi peringatan dan muhasarawak untuk diri saya sampai bila-bila. Moga Allah memberi ganjaran yang paling kool untuk anda semua. Anda tahu siapa yang saya maksudkan.

Moga Allah mengampunkan kelemahan dan dosa-dosa saya yang bertimbun banyaknya ini.

Sekian.

-gabbana-

Yang masih belajar dan tidak akan letih untuk terus belajar, Insha-Allah..  

20 May 2012

Riadhah Otak Di Malam Ahad #13


Mode kerinduan pada ikhwah seantero dunia, sama ada yang kenal atau tidak pada diri ini.

Walau kita berjauhan dipisah benua, walau kita tidak pernah bertemu mesra, walau kita tidak pernah bertegur sapa, ketahuilah, hati-hati kita bertaut mesra, persaudaraan kita seutuh batu-bata dan kasih-sayang ini amat mahal harganya.

Kerana kita saudara seaqidah. Kerana kita saudara sefikrah. Kerana persaudaraan kita ini lebih pekat dari darah.

Kerana ukhuwwah fillah itu sumpah osem.

"Ku kirimkan kerinduan penuh bermakna ini pada angin-angin chentaNya. Moga menyapa mesra wajah-wajah anda di sana, walau di mana anda berada!"

Air mata mengalir perlahan, sambil menyeringai penuh bermakna.

-gabbana-

Cuba juga cari video klip yang lain untuk lagu Akrab Persahabatan ini, tapi ini je yang paling baik untuk keamanan sejagat.

Moga ukhuwwah yang terjalin ini, akan berkekalan hingga ke sorga dan bukan plastik kitar semula di dunia. Aduh diri ini merindukan saat-saat bertepuk tampar tertawa gembira dengan anda semua di sorganNya nanti! Ewaaahhh! Eh. Insha-Allah! ;D

18 May 2012

Ayat-Ayat Dalam Hati Ada Taman

[Kredit]

Hati manusia adalah sesuatu yang sangat misteri. Oh saya tidak bercakap tentang seketul hati yang anda boleh lihat menerusi imbasan X-Ray atau skan CT itu, bukan. Tapi seketul hati ghaib yang hanya Allah sahaja tahu rupa dan kedudukannnya yang sebenar.

Mengapa misteri? Kerana hanya diri sendiri dan Allah sahaja yang tahu apa isi hati kita; bilamana kita berbicara, ketika hati kita menangis hiba, tatkala hati kita tertawa gembira.. Ia adalah suatu misteri yang hanya kita dan Allah sahaja yang benar-benar memahaminya.

Namun saya amat yakin dan percaya, setiap hati ada kunci untuk membukanya. Dan setiap hati mempunyai kunci yang berbeza-beza untuk membuka dan meneroka khazanah rahsia yang terkandung di dalamnya. Anda tidak boleh menggunakan kunci yang sama untuk membuka dua hati yang berbeza! Dan antara kunci yang boleh membuka hati (Baca: Membasahkan hati sampai cair) adalah dengan kata-kata manis seiring dan sejalan, seindah bunga di taman ewaaahhh! Err.

Maka tidak hairanlah novel-novel tangkap cintan begitu laris di pasaran kerana berkuasanya ia dalam menyentuh hati-hati di luar sana. (Sayugia secara otomatiknya tisu poket juga laris di pasaran kerana begitu banyaknya digunakan oleh pembaca novel jiwang untuk mengelap mata. Wahahaha..). Kata-kata yang kena mata kerbau (Baca: Bull's eye) pada hati, pasti akan membuatkan hati tewas lantas tunduk menyembah pada si pemilik kata-kata. Silap haribulan, jantan tulen macho tahap gaban pon boleh tangkap leleh...! Ahah!

Maka tidak hairanlah sekali lagi, apabila kita membaca kisah-kisah sahabat, kita akan mendapati ramai di kalangan mereka yang tunduk kepada Islam setelah mendengar ayat-ayat tangkap chentan dari Allah. Antara sahabat-sahabat yang menjadi 'mangsa' kepada kehebatan kata-kata menggugah jiwa ini termasuklah 'Umar al-Khattab, Thufail bin 'Amru ad-Dausi dan ramai lagi. Ayat-ayat chenta agung yang dinukilkan oleh Tuhan Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih itu mampu mencairkan hati-hati mereka yang ikhlas mencari kebenaran, walaupon dahulunya mereka adalah manusia yang paling jahil dan jahat sekali.

Alangkah! Alangkah hebatnya bait-bait kata yang disusun dengan begitu rapi dan berseni sehingga mampu mengguggah dan menggoncang jiwa dan hati!

Arakian mengambil ibrah daripada berkuasanya kata-kata dalam membuka pintu hati-hati untuk menerima masuk kedatangan Mak Cik Hidayah, saya ingin berkongsikan beberapa kata-kata dalam hati ada taman, mengikut situasi dan keadaan masa kini, dengan harapan sekiranya diamalkan dengan penuh komited lagi bersungguh-sungguh, dapatlah anda menyentuh hati-hati di luar sana dengan izinNya, biidznillah. 

Anda bersedia..? (Takutnya silap haribulan nanti hati anda yang tersentuh! Hihihih..) Jeng jeng jeng...

Situasi 1: Nak ajak orang solat berjemaah

Ayat Lapuk: "Weyh Sulaiman bin Selamat. Jomlah kita pergi solat berjemaah! Kau tahu tak zaman Nabi dulu, siapa yang tak nak pergi solat berjemaah masa Subuh, Nabi bakar atap rumah dia..?? Solat jemaah dapat 27 kali ganda pahala tau..?? Antara sehinggit dengan dua puluh tujuh hinggit, yang mana satu yang kau nak..?? Jom jom..!!"

Apa Kata Inche gabbana: Ayat intimidasi bercampur dengan tawaran sebegini tidak lagi berkesan, terutamanya untuk mereka yang berhati batu bata. Dan pada mereka ini, apalah sangat beza antara dua puluh tujuh hinggit dengan sehinggit!

Ayat Taman: "Wahai Sulaiman bin Selamat, aku tak tahulah kenapa, tapi kan, sejak kebelakangan ni, hati aku tak tenang la kalau tak solat sebelah kau. Hati aku meronta-ronta, tak boleh nak khusyu' kalau tak berdiri dalam saf sebelah kau.. Haish.. Jom teman aku pergi solat..?"

Kesan yang dijangkakan: Mata rakan anda itu akan bertasik Baikal sambil mengeluarkan sinaran cerah bak rembulan terang, lantas menarik tangan anda laju-laju untuk ke masjid yang berhampiran.


Situasi 2: Nak tegur orang merokok

Ayat Lapuk: "Astaghfirullah Maria Mariana. Anda tahu tak merokok tu Majlis Fatwa Kebangsaan kata haram...?? Anda tak sayang nyawa ke..? Anda tahu tak menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Zimbabwe, bla bla bla..."

Apa Kata Inche gabbana: Bosan. Kalau kena kat perokok tegar, senang-senang je dia bagi jelingan tajam ala-ala Puan Sabariah Mansor dalam filem Ibu Mertuaku.

Ayat Taman: "Maria Mariana, semenjak saya bersahabat dengan anda, saya dapat rasakan kedua-dua hati kita bertaut rapat, seolah-olahnya dua hati kita menjadi satu. Sebati. Abadi. Tapi sejak kebelakangan ni, macam dah tak rasa sangat benda tu. Mungkin sebab rokok yang anda hisap tu tak, dia menghitamkan hati anda lantas menyebabkan hati ini sukar lagi untuk berkasih mesra..?"

Kesan yang dijangkakan: Rakan anda akan terus mencampakkan rokok yang dihisapnya lantas berlari laju ala-ala heroin Hidustan memeluk anda. Eheh.


Situasi 3: Nak tegur orang berkapel berpegangan tangan

Ayat Lapuk: "Lahawla quwwata illa billah.. HARAM oii HARAAAMMM...!! Kamu berdua tak tahu ke, memegang kulit yang bukan mahram lebih hina daripada bersentuhan dengan babi..?? Dengan BABI...???"

Apa Kata Inche gabbana: Sekali lagi, cara intimidasi sebegini amat sukar menusuk hati, kerana pekatnya jahiliyyah dalam diri anak-anak muda sekarang ini. Anda pula yang akan dilabel sebagai kolot dan ekstrem nanti!

Ayat Taman: "Allah hai.. Cantiknya tangan, meh sini tangan kamu tu. (Mengambil tangan si lelaki sekiranya anda seorang lelaki dan sebaliknya sekiranya anda seorang perempuan). Subhanallah.. Lembutnya! Macam pegang sutera hah! Ni sapu losyen cap apa ni hari-hari? Sedap kan pegang tangan pasangan kamu tu, tapi alangkah lagi sedap dan nikmatnya kalau berpegangan tangan berlari-lari riang di sorga nanti.. Eh kamu berdua ni memang nampak macam merpati dua sejoli lah; dah kahwin ke ni..?"

Kesan yang dijangkakan: Si perempuan akan tersipu-sipu malu dan si lelaki pula akan menggaru rambutnya yang sememangnya penuh ketombe itu. 


Situasi 4: Nak ajak orang berbulatan gembira

Ayat Lapuk: "Zubaidah binti Ahmad Sukarji, malam ni kami nak buat Study Circle. Ala, duduk-duduk bincang-bincang. Ada makan-makan sikit. Mehla, ramai kawan-kawan awak ada malam ni!"

Apa Kata Inche gabbana: Study Circle..?? Wahahahaha.. Sumpah kantoi. Mungkin la yang diajak akan berminat, espeseli kalau memang dia budak baik@nerdy. Eheh. Tapi kamon la, cara ni dah ketinggalan zaman!

Ayat Taman (Untuk Perempuan): (Berlari-lari riang sambil buat muka teruja) "Ya Allah Zubaidah binti Ahmad Sukarji! Lama dah kita cari awak ni! Ya Allah tak terbayang betapa gembiranya hati ini melihat wajah awak yang ceria dan berseri-seri ni! Eh awak buat apa malam ni..? Kalau tak buat apa-apa dan percuma, marilah join kita. Kita ada girl talk malam, ala-ala pillow talk gittew! Best awak, ramai ada malam ni! Jom jom..?" (Senyum lebar-lebar dengan penuh ikhlas lagi bersungguh)

Ayat Taman II (Untuk Lelaki): "Weyy Shahril Khan, kau buat apa malam ni..? Lek dulu, isap okok dulu.. Aku tengok kau macam kacak la bro. Malam ni ada perhimpunan jejaka-jejaka macho dan kacak. Kalau ikutkan, kena lalui ujian kemasukan dulu. Tapi aku tengok kau ni, aish, memang boleh lulus dengan cemerlang ah! Ok, konfem dah kau boleh join! Amacam? Berminat..?" (Kontrol macho supaya tak nampak la anda teruja sangat. Eheh.)

Kesan yang dijangkakan: Anda akan lihat wajah teruja peringkat langit petala keenam, sambil mata bersinar-sinar ibarat anak kucing yang mahu bermanja sambil hidungnya yang bertambah saiz selebar tiga inci setengah.


Situasi 5: Nak pujuk hadek bulatan gembira yang kekurangan kasih-sayang

Ayat Lapuk: "Err... (Segan) Mizuhawa Osaka, anda ok tak ni..? Kenapa nampak macam muram je ni..? Marilah kongsikan dengan saya, apa masalah anda. Anda sihat? Mak ayah apa khabar..?"

Apa Kata Inche gabbana: Allah.. Ni macam tak pernah mengikuti kursus dakwah fardiyah je ni..? Ayat-ayat klise begini, anda akan dapat jawapan yang klise jugalah!

Ayat Taman: "Mizuhawa Osaka, saya nampak sejak kebelakangan ini, anda macam ada sesuatu nak beritahu je..? Anda segan sengan saya eh..? Ala, jangan risau, kasih-sayang saya melimpah-ruah, cukup untuk semua hadek-hadek bulatan gembira saya. (Ketika ini pastikan mata anda bersinar cerah dan berhubung terus dengan matanya, kalau boleh pegang tangan atau bahunya) Cuma yalah, cara saya menunjukkan kasih-sayang saya mungkin berbeza pada setiap orang. Yang pasti, saya sayang anda kerana Allah. Tahu..?

Kesan yang dijangkakan: Sama ada hadek itu akan cair dengan anda [antara simptom-simptomnya termasuklah bergenang air mata (untuk perempuan) atau tersipu-sipu malu sambil mengkontrol macho (untuk lelaki)] atau... Dia akan muntah hijau. Wahahaha..


Situasi 6: Nak nasihatkan kawan yang pemarah/emo

Ayat lapuk: "Apa nak jadilah dengan kau ni Borhan bin Bongek. Sikit-sikit nak marah, sikit-sikit nak emo. Kau tak pernah fikri ke perasaan orang lain bila mana kau marah? Cuba kau letak diri kau dalam situasi orang yang tengking, yang kau herdik tu. Apa perasaan kau..? Haih.."

Apa Kata Inche gabbana: Tengok orang juga. Kalau orang yang rasional dan ketika dia tengah tenang, mungkin berkesan. Tapi orang yang memang selalu marah-marah ni, selalunya masuk telinga kiri, keluar ikut pusat. Eh. Kena sentuh hati dia dengan kata-kata yang boleh melembutkan jiwa.

Ayat Taman: "Borhan bin Bongek, dah lama kita berkawan. Kau pon tahu betapa sayangnya aku pada kau, lillah. Tapi kan, setiap kali aku tengok kau marah-marah dan aku tengok orang yang kau marah tu, hati aku yang jadi remuk. Sayu sangat rasa hati aku ni. Macam kena pijak-pijak. Aku kasihan kat orang yang kau marah tu dan aku kasihan kat kau. Allah, kalaulah kau tahu betapa besarnya ganjaran Allah untuk orang-orang yang menahan marah dan memaafkan ni (Buka al-Quran zip anda cepat-cepat dan baca terjemahan surah Ali-Imraan, ayat 133-135). Aku nak masuk sorga sama-sama dengan kau Borhan bin Bongek..."

Kesan yang dijangkakan: Anda pernah memandu ke arah Utara menggunakan Lebuhraya Utara Selatan? Selepas R&R Tapah perasan tak ada air terjun mengalir deras turun dari sebuah bukit, di sebelah kanan lebuh raya..?


Situasi 7: Nak pujuk mak ayah yang belum faham lagi dengan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah

Ayat Lapuk: "Daddy dan mummy ni tak fahamlah. Suzana minat nak buat benda-benda ni! Bukan benda jahat pon, benda yang Islamik jugak. Cubalah mummy daddy sapotif sket. Cuba tengok parents Sumayyah Arifah binti Hambali tu, sporting gile kot bila dia nak pergi bulatan gembira semua ni. Ish tak fahamlah..."

Apa kata Inche gabbana: Amboi, emo ke kak? Dah kalau diberi hujah yang emo, maka emo jugalah yang akan diterima nanti!

Ayat Taman: "Mummy, daddy, Suzana sayang gile kot dengan Mummy and Daddy. Suzana nak masuk sorga sama-sama dengan Mummy and Daddy. Sumpah. Dan Suzana nak jadi seorang anak yang solehah, supaya jadi penerang dan penyaman Daddy and Mummy dalam kubur nanti. Tapi nak jadi anak yang solehah, Mummy and Daddy kenalah bagi Suzana peluang untuk belajar Islam ni, supaya Suzana dapat jadi seorang muslimah yang sejati. Kenalah bagi Suzana pergi bulatan gembira semua tu, sebab dalam bulatan-bulatan sorga nilah Suzana diajar untuk jadi anak yang osem, yang taat pada Mummy and Daddy. Kalau tak percaya cuba bukak belog Angel Pakai Gucci, dia pon ada cakap benda yang sama..! (Dalam hati: Wahahahaha)"

Kesan yang dijangkakan: Si ayah akan mengurut misanya yang melentik itu sambil tersenyum dan berkata dalam hati, "Tak sia-sia aku hantar anak aku belajar tinggi-tinggi." Si ibu pula akan mengusap perutnya sambil menyeringai dan berkata di dalam hati, "Sejuk perut aku mengandungkan dia dulu." Hoyeeeaahhh!

Ok cukuplah dulu tujuh contoh yang diberikan, untuk anda berlatih menjadi manusia berbibir tebu, penuh bunga di taman. Risau pula nanti ramai yang mabuk chenta atau berbuih mulut akibat serangan chenta yang bertalu-talu. Ahah!

Tetapi percayalah, kata-kata yang manis lagi memaniskan, basah lagi membasahkan dan tenang lagi menenangkan, pasti akan mengusik jiwa-jiwa yang mendengarnya. Apatah lagi sekiranya kata-kata itu diungkapkan dengan penuh keikhlasan dan ketelusan, sekeras-keras hati pon akan lembut dengannya.

Ayat-ayat taman sama seperti cokolat; sungguh lazat, nikmat dan menyebabkan anda ketagih dengannya! [Kredit]

Bagaimana saya tahu..? Mudah. Kerana saya sendiri pernah merasakan betapa hebat dan berkuasanya kata-kata yang menusuk jiwa ini. Dan kerana saya juga pernah menusuk, menampar dan membelai hati-hati di luar sana dengan kata-kata yang tulus ikhlas datang dari hati yang marhaen ini!

Semoga taman-taman hati-hati di luar sana akan subur dan mekar dengan bunga-bunga chentaNya! Aiwah!

Senyum kenyit mata.

-gabbana-

Seperti biasa, kena buat disklemer. Sekiranya anda seriyes mahu menggunakan contoh-contoh yang diberikan di atas, gunakan atas risiko anda sendiri. Saya berlepas tangan sepenuhnya sekiranya kata-kata yang bakal anda ungkapkan akan tertembak balik (Baca: Backfire) atau berlaku kes-kes seperti terjun gaung, lompat ke dalam laut penuh jerung atau berlari-lari sambil menarik rambut dan menjerit kegilaan selepas mendengar kata-kata anda. Eheh.

Selamat menanam dan menyemai biji benih bunga-bunga chenta di luar sana! 

Pisang La Sireh Pisang!



Ada ke sedekah yang tak ikhlas..? (Soalan retorik) Eheh.

"...Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan, (sambil berkata) 'Sesungguhnya kami memberikan makanan kepadamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah. Kami tidak mengharap balasan dan terima kasih darimu.'"
[al-Insaan, 76:8-9]


-gabbana-

Wahai kaum lelaki sekalian, sila jangan ponteng solat Jumaat! Kalau tak nanti kena panah petir! Ahah!

(Nota kecil: Dan kalau boleh janganlah 'ponteng' khutbah Jumaat juga tahu..? Peluh kecil sebab kadang-kadang diri sendiri pon terkantoi jua.)

16 May 2012

Menjadi Murabbi Yang Hoyeeaaahhhh!

[Kredit]

Ramai orang yang pernah diajar oleh seorang cikgu. Dan jumlah cikgu di luar sana juga cukup ramai bilangannya.

Tidak ramai yang pernah merasa dididik oleh seorang guru. Kerana jumlah pendidik sebenar di luar sana tidaklah seramai cikgu.

Tetapi, lebih sedikit orang yang pernah merasai sentuhan murabbi hoyeeaaahhhh, yang tanpa mengenal erti penat dan lelah menyentuh hati-hati di luar sana. Sayugia jumlah murabbi, jika hendak dibandingkan dengan guru dan cikgu, jauh lebih sedikit bilangannya.

Eh, apa beza cikgu, guru dan murabbi hoyeeaaahhhh..?

Cikgu mengajar.

Guru mendidik. 

Sedangkan seorang murabbi hoyeeaaahhhh itu menyentuh hati-hati yang dahagakan kasih-sayang dan bimbingan.

Itu sahaja?

Seorang cikgu mengajar di sekolah.

Seorang pendidik barangkali seringkali menghabiskan masa di luar sekolah untuk terus mendidik.

Walhal seorang murabbi hoyeeaaahhhh itu sentiasa menyentuh dan membentuk individu-individu di luar sana tidak kira tempat dan masa. Ada juga sekolah; namanya madrasah tarbiyah. Senyum.

Lagi?

Seorang cikgu mengajar dalam tempoh waktu yang ditetapkan; masuk jam 7.30 pagi dan pulang jam 2 petang.

Seorang guru jarang sekali pulang tepat pada waktunya; banyak masanya dihabiskan untuk murid-murid dan para pelajar yang memerlukan perhatiannya yang lebih.

Seorang murabbi hoyeeaaahhhh? Eh, ada tempoh waktu ke? Bukan bekerja setiap masa dan ketika..? Ahah.  

Uuuhhmmm. 

Seorang cikgu mengajar kerana itu kerjayanya; dia tiada pilihan. (Dulu masa jadi budak sekolah tak nak belajar pandai-pandai!)

Seorang guru mendidik kerana ikhlas mahu membantu anak bangsa berjaya; selalunya bekerja lebih daripada apa yang telah ditetapkan dalam portfolionya. (Kadang-kadang ada di kalangan mereka yang punya ijazah dari universiti yang terkemuka!)

Sedangkan seorang murabbi hoyeeaaahhhh itu mentarbiyah kerana benar-benar mahu melihat manusia di sekelilingnya kembali kepadaNya, sebagai seorang hamba yang taat dan patuh. (Siapa-siapa pon boleh jadi murabbi hoyeeaaahhhh - tukang sapu sampah, pemandu keretapi laju Tanah Melayu hatta seorang peniaga di pasar malam sekalipon - asalkan punya keikhlasan, kefahaman, kesungguhan dan semangat untuk berkorban! Walawww!)

Ok. Ada lagi..?

Seorang cikgu mengajar untuk memastikan setiap bulan dia akan mendapat gajinya.

Seorang guru mendidik kerana kesungguhannya yang berkobar-kobar mahu melihat anak muridnya menjadi manusia yang berguna. Soal gaji boleh tolak tepi.

Walhal seorang murabbi hoyeeaaahhhh, dia mentarbiyah untuk tiada yang lain melainkan mendambakan keredhaan dan memburu chentaNya yang abadi. Gaji? Makhluk apakah itu...?

Anda mahu lagi..? 

Seorang cikgu jarang sekali ada pusat tuisyen.

Seorang guru selalunya sama ada bekerja di pusat tuisyen atau memiliki pusat tuisyen sendiri.

Seorang murabbi hoyeeaaahhhh juga ada pusat tuisyennya; dipanggil sebagai bulatan gembira dan konferens riang! Wahai!

Belum cukup..?

Seorang cikgu apabila melihat kita dalam kesedihan, di dalam hatinya berkata, "Ada aku kisah..??" 

Seorang guru pula, apabila melihat kita dalam kemurungan, akan bersimpati dengan kita dan akan berusaha sedaya-upaya untuk memujuk kita.

Manakala seorang murabbi hoyeeaaahhhh, apabila melihat kita kegusaran dan dalam kesedihan, akan turut gusar dan bersedih sama dan bersungguh-sungguh akan cuba menggembirakan kita. Kesedihan anda adalah kesedihan buat dirinya juga!

Nak lagi..? 

Seorang cikgu akan cepat naik angin dan menyampah apabila terpaksa melayan karenah anak murid yang banyak cengkadak.

Seorang guru marah, marah juga bila mana berhadapan dengan anak-anak murid yang banyak songeh. Tapi selalunya marah dengan penuh kasih-sayang.

Seorang murabbi hoyeeaaahhhh? Selalunya dia bagi penampar terus pada mana-mana anak buahnya yang naik tocang ni. Tapi penampar pada hatilah, bukan pada pipi! Wahahaha...

Dan lagi..?

Seorang cikgu itu seorang cikgu, belum tentu lagi dia seorang guru atau murabbi.

Seorang guru itu sudah pasti seorang cikgu, tapi belum tentu dia seorang murabbi.

Seorang murabbi hoyeeaaahhhh? Konfem-sekonfemnya dia adalah seorang guru dan cikgu. 

Akhirnya..

Seorang cikgu merintis jalan untuk gedung-gedung ilmu yang begitu luas di luar sana.

Seorang guru membuka jalan untuk peluang yang lebih besar di masa hadapan.

Sedangkan seorang murabbi hoyeeaaahhhh itu, dia membimbing tangan kita untuk sama-sama melangkah dan menelusuri jalan ke sorga. Kerana dia tidak akan sesekali membiarkan kita walau selangkah mendekati neraka!

Jadi... Yang mana satu anda mahukan..? Seorang cikgu, guru atau seorang murabbi yang hoyeeaaahhhh??

Dan yang mana satu kita kepada manusia di sekeliling kita? Seorang cikgu, guru atau murabbi hoyeeaahhhh...?

-gabbana-

Selamat Hari Guru 2012 buat anda semua yang bergelar guru dan pendidik di luar sana! Tulus ikhlas dari Angel Pakai Gucci. ;) [Kredit]

Ok saya akui, ini adalah plagiat kepada post 'Erti Persahabatan Yang Hoyeaahhh!' Tapi tidak mengapalah, post saya juga en..? Wahahaha..

Selamat Hari Guru/Murabbi kepada semua yang bergelar guru dan murabbi di luar sana, sama ada yang pernah mendidik diri ini atau pon tidak.

Ucapan penghargaan khas buat guru-guru di Sekolah Kebangsaan Ladang Krenberi, Sekolah Bintang dan Kolej Yang-Dirahsiakan-Namanya; tanpa didikan, asuhan, bimbingan dan kasih-sayang yang telah anda semua curahkan, saya tidak mungkin berdiri dan berlari seperti pada hari ini. Sila halalkan dan redhai segala tok nenek ilmu, pengalaman dan pengetahuan yang tidak ternilai harganya itu, yang telah anda semua curahkan tanpa sebarang kompromi ke atas diri ini.

Juga, buat semua murabbi di luar sana yang telah banyak berjasa pada diri ini. Siang dan malam, setiap masa dan ketika, tanpa mengenal erti penat dan lelah, yang tidak punya kepentingan diri, tidak pernah jemu menyenthuh hati ini. Tidak pernah pula lelah berkali-kali menyelamatkan diri ini daripada jurang api neraka. Air mata mengalir perlahan. Sungguh, saya akan menjadi saksi di akhirat nanti yang anda semua telah banyak berjasa pada diri ini!

Jika saya mati, hidup semula, mati dan hidup lagi sekali pon, saya tidak akan bisa membalas jasa kalian semua! Moga Allah membalas kebaikan dan pengorbanan anda semua dengan sekuntum bungan mawar chenta di dalam sorga nanti!

p/s: Mula-mula cadang nak tulis satu cerpen, bagi menggantikan Cikgu Zara yang sudah bersawang ini. Tapi maaf, tidak cukup kekuatan (a.k.a. malas/banyak cengkadak/banyak bagi alasan) untuk melakukannya. Maka silalah melayan Cikgu Zara buat sekian kalinya! Ahah!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP