Super Dai'e, Inkredibel Murabbi dan Otrohamba
It's a bird! It's a plane! No..! It's Super Muslim! ;D [Kredit] |
Nama Permainan: Super Dai'e, Inkredibel Murabbi & Otrohamba
Pembangun/Pengeluar: Syarikat Pendidikan Sampai Mati Bersaudara Sendirian Berhad
Tahun Dikeluarkan: Sejak zaman Nabi Adam a.s.
Harga Pasaran: Percuma. Apa..? Tak percayakah..?
Klasifikasi: Sesuai untuk dimainkan oleh semua lapisan umur dan latar belakang, walaupon tidak pernah menyertai bulatan gembira atau konferens riang sebelum ini. Sungguh.
Sinopsis
Permainan ini menonjolkan tiga watak adiwira utama; Super Dai'e, Inkredibel Murabbi dan Otrohamba, yang sedang dalam pengembaraan mencari keredhaan Ilahi. Misi mereka adalah untuk sampai ke destinasi terakhir membawa bekalan pahala dan amalan soleh untuk dihakimi oleh Tuan pemilik mereka.
Sepanjang perjalanan, mereka akan melalui pelbagai mehnah dan halangan, juga bermacam-macam ujian dan tribulasi. Watak-watak jahat, keji lagi kejam seperti Jeneral Syaitonirojim, Bomoh Jahiliyyah dan Raksasa Nafsu akan sentiasa menggangu gugat perjalanan dan pengembaraan mereka ini.
Kadang-kadang, salah satu watak akan lupa diri dek tipu daya Jeneral Syatonirojim dan rakan-rakan. Kadang-kadang salah satu watak akan berasa letih dan lelah dengan perjalanan dan pengembaraan yang sangat panjang. Dan kadang-kadang juga, salah satu watak tertipu dengan fatamorgana yang merentangi perjalanan mereka, merasakan mereka sudah berjaya sampai ke destinasi.
Ketika inilah, watak-watak lain yang akan memainkan peranan mereka untuk memastikan pengembaraan diteruskan. Mereka saling menguatkan ketika ada yang lemah, saling mengingatkan ketika ada yang lupa dan saling menceriakan ketika ada yang berduka. Perjalanan dan pengembaraan mereka sumpah panjang. Berbagai-bagai jenis makhluk mereka temui sepanjang perjalanan dan bermacam jenis pengalaman berguna mereka timba.
Menggunakan kelebihan dan kekuatan masing-masing, mereka pastikan kelebihan mereka itu digunakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Super Dai'e mempunyai hikmat untuk mengajak, mempengaruhi dan meyakinkan makhluk-makhluk yang mereka jumpa di sepanjang perjalanan untuk menyokong dan menyertai perjalanan mereka. Inkredibel Murabbi pula berperanan untuk membimbing dan mendidik bukan sahaja makhluk-makhluk tadi, malah sesama mereka dan diri sendiri juga. Manakala Otrohamba mempunyai kelebihan merendah diri tahap moksya dan berperanan untuk sentiasa mengingatkan rakan-rakan yang lain akan matlamat pengembaraan mereka.
Ketiga-tiga mereka berkongsi sifat dan perwatakan yang sama; jelas dan yakin dengan matlamat perjalanan mereka, bersemangat, ikhlas dan telus sepanjang perjalanan dan mereka tidak mudah berputus-asa.
Dek kecekalan dan ketabahan setiap watak, di samping kelebihan yang ada
pada diri masing-masing, mereka saling membantu untuk mengharungi setiap
kesusahan dan kesengsaraan yang ada. Berkat panduan dan cahaya Ilahi, mereka
akhirnya berjaya!
Cara-cara Bermain
1) Pilih satu watak untuk dimainkan; anda boleh bertukar-tukar watak sepanjang pengembaraan. Ketika anda memilih satu watak, contohnya Inkredibel Murabbi, watak Super Dai'e dan Otrohamba akan dimainkan secara otomatik.
2) Sepanjang pengembaraan, kutip pahala dan ilmu sebanyak mungkin. Ia mungkin datang dalam bentuk duri di tengah jalan, anjing yang kehausan atau seorang kanak-kanak yang amat membutuhkan bulatan gembira. Eh. Ilmu pula boleh diperolehi apabila anda menyertai bulatan gembira, duduk-duduk beriman sejenak atau berjumpa dengan mana-mana tok guru berjanggut putih untuk menyedut ilmu pengetahuannya. Pendek kata, macam-macam ada!
3) Jauhi jahiliyyah dan dosa-dosa yang berlambak-lambak di sepanjang pengembaraan. Jangan tertipu dengan rupa bentuk dan wajah luaran kekejian ini. Ia boleh jadi dalam bentuk wanita cantik, kereta Posye, anak-anak kecil tembam-tembam gebu-gebu, ayam goreng berempah daun kari dan bermacam-macam lagi. Di sini anda akan diuji sama ada boleh membezakan yang mana dosa dan yang mana pahala.
4) Ada beberapa tangga yang perlu anda lepasi. Di setiap tangga, ada ujian dan cabaran yang tersendiri. Ketika ini, anda perlu menggunakan kemahiran dan kelebihan ketiga-tiga watak untuk mengharungi mehnah dan tribulasi dengan jayanya. Semakin tinggi anak-anak tangga yang anda daki, semakin hebat dan mencabar ujiannya. Maka amat penting untuk anda memastikan anda benar-benar mempersiapkan diri anda di anak tangga yang pertama lagi.
5) Markah akan diberikan untuk setiap perbuatan baik dan amalan soleh sepanjang perjalanan. Markah bonus ekstravaganza akan diberikan sekiranya anda berjaya mengajak orang lain pula untuk menyertai anda (Ketika ini peranan Super Dai'e amat penting).
6) Bekalan untuk menguatkan anda bukan sahaja terdiri daripada makanan dan minuman yang boleh anda perolehi sepanjang perjalanan, tetapi juga dengan bacaan al-Quran, hafazan doa-doa ma'thur, bangun malam untuk bermunajat, zikrullah dan berpuasa sunat.
7) Untuk menjadi juara, tidak semestinya anda perlu melepasi setiap anak tangga. Tidak juga bermakna anda mesti mengalahkan dan menewaskan setiap musuh. Boleh jadi anda gugur dan mati di tengah jalan (Permainan ini tiada konsep hidup semula atau nyawa tambahan, harap maklum), tetapi sekiranya anda mati menjadi saksi kepada kebenaran, Insha-Allah anda akan dinobatkan sebagai pemenang agung permainan ini.
Tips-tips Untuk Bermain Dengan Osem
1) Ikhlas ketika memainkan permainan ini
2) Tidak mudah berputus-asa
3) Redha dengan sebarang ketentuan dan malapetaka
4) Sentiasa berdoa meminta pertolongan
5) Rendah diri, tidak ego dan bersedia belajar daripada kesilapan
Trivia
1) Permainan ini hanya boleh dimainkan sekali sahaja. Jika mati, anda tidak boleh bermain sekali lagi.
2) Sekiranya satu watak lemah, watak-watak lain akan menjadi lemah juga. Jadi amat penting untuk anda memastikan setiap watak sentiasa kekal segar dan bertenaga.
3) Cara untuk menang dengan mudah adalah dengan mati syahid. Aman.
Komen-komen Mereka Yang Sudah Pon Bermain Permainan Ini
"Ini.. Ini.. Ini sumpah osemmmmmm!" - Pak Cik Subari Wigoyono, pemilik warung bakso, Kampung Sungai Tiram.
"Hakak bukan apa, tapi hakak rasalah, permainan ni memang sangat-sangat sesuai untuk dimainkan oleh semua orang! Sungguh! Tak kiralah bos besar ke, penyapu sampah ke, drebar lori ke.. Semua ponn bolehhh!" - Puan Hajjah Zabedah Bunyamin, pengusaha kerepek pisang besar-besaran, Temerloh.
"Perumpamaannya begini.. Anda pernah dengar pasal watak Son Goku Super Saiya itu bukan..? Ya, sekiranya anda mahu menjadi sepertinya, rambut berwarna perang keemas-emasan, boleh terbang di udara dan boleh pula mengeluarkan kamehameha, tidak boleh tidak, anda wajib bermain permainan ini!" - Misuzo Ajinomoto, pemilik kilang serbuk perasa segera, Osaka Utara.
"Xang xing *klik* zhubawe xasha *klik klik* syuhuwa zsxuru uihuxu *klik*... Osheeemmm!!" - Zulu Mandele, ketua puak suku Suxuke, Barat Laut Uganda.
"Mung maingla! Memang bagus mainang ni! Sungguh! Untuk mat-mat minah-minah rempit, memang digalakkang!" - Ustaz Azhar Idris, penceramah tak berapa nak bebas, Kuala Berang, Terengganu.
Stok tidak terhad! Bila-bila pon ada bekalan! Cumanya, tak tahu la kan bila ajal nak datang menziarahi anda. Jadi apa yang ada duduk tercokoh tunggu la tu..?? Dapatkannya segera sebelum terlambat!
-gabbana-
"Dan kehidupan di dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui. "
[al-Ankabut, 29:64]
12 Caci Maki Puji Muji:
Subhanallah :)
osem!!
lu kreatif bro! ohsem! ;-)
-minah rempit-
wah! sumpah osem lah..
saya nak sertai peemainan ni..
dan actually dah masuk sblum ni dah.. :)
jazakallahu khairan katsira inche gabbana.. :P
SYUKRAN. DAPAT IDEA UNTUK BULATAN GEMBIRA NEXT WEEK :)
apakah
jazakALLAH
OwhSem!!!
InsyaAllah, mau maing dgn permainang ni!!! Sedang bersiap siaga ni!!! Best wooooo... :-)
sumpah osem! :)
the best game in the world
thank u. for introducing this game and feel it fun to play!
may Allah bless~
maaf blurr siket - otrohamba tu apa yeah? abid ke?
ada satu fikrah yg saya baru tahu.. di setiap tangga maratib amal ada peranan daie, murabbi dan otrohamba,and kapasiti tiga2 ni kena berkembang sama2 (tanmiah).. kalau salah satu dari kapasiti tu lemah, yang lain akan lemah jugak.. boleh clarify lagi..? nak tahu nak tahu nak tahu..!!
ni tajuk konferens riang dia apa ye? nak jugak nak jugak
OSEM!!
best sgt..n awesome
Post a Comment