29 May 2012

Di Sebalik Sut Ketat Otromen

[Kredit]

(Post ini adalah dedikasi khas buat ikhwah bunga sakura. Bunga-bunga sakura kerinduan itu terus berkembang segar di dalam hati nurani ini tahu...?? Jiwang gile ewaaaahhh! Jelir lidah)

Siapa yang tak kenal Otromen..? Tak kisahlah Otromen Taro ke, Otromen Joe ke, Otromen Seven ke, Otromen Ace ke, Mak Otromen ke, Datuk Otromen ke, asalkan Otromen. 

Sekiranya anda tidak kenal Otromen, sama ada anda mempunyai zaman kanak-kanak yang sungguh kasihan atau di rumah anda tidak pernah mempunyai set telebisen berwarna, et lis yang kena putar tombol pon jadilah heyyy..! Err. 

Ya, saya membesar dengan Otromen. Zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan suka-duka menonton siri Otromen selama tiga puluh minit itu. Saya membesar mengagumi Otromen dan berangan-angan untuk menjadi sehebat Otromen.

Ketika itu tidak pernah langsung terlintas di benak saya betapa mudah dan err, bodoh jugalah jalan cerita dan modus operandi Otromen ini. Tidak pernah juga terfikir tentang sut ketatnya yang hodoh itu, apatah lagi kerosakan harta benda yang melampau-lampau akibat pergaduhan Otromen dan raksasa gorgon. 

Yang pasti Otromen akan menang juga di akhir cerita. Tidak kiralah sama ada dia menang dengan laser tangan bersilangnya itu, atau mendapat bantuan daripada adik-beradik Otromen yang lain (Tak aci btol. Raksasa gorgon tiada adik-beradik pon..??), pokoknya akhirnya Otromen akan menang juga, walau betapa sengit dan sukar pertarungannya itu. 

Khalakarnya adalah walaupon sepatutnya sudah boleh mengagak yang Otromen pasti akan menang juga walau betapa mustahilnya kebarangkalian untuk beliau mengalahkan raksasa gorgon, setiap kali itu juga hidung akan menjadi kembang-kempis dan hati berdebar-debar menantikan saat-saat kemenangan Otromen. Tak senang duduk, resah gelisah apabila melihat Otromen dibelasah teruk oleh raksasa gemuk berkulit merah dan berbelalai pula. Rasa macam nak menangis apabila menyaksikan Otromen nyawa-nyawa ikan, dihentam teruk oleh raksasa bermata satu, bersepit dan bersisik hodoh. Dan akhirnya mata bersinar-sinar apabila melihat Otromen bangkit dari kekalahan awal (tipikal) dan akhirnya mengalahkan pula raksasa yang pada awalnya membelasah teruk dirinya itu.

Paling tak boleh lupa, aksi Otromen menghantar pulang raksasa yang telah dikalahkannya itu ke angkasa raya. Memang lejen. Ahahahaha. Gelak resah sambil berpeluh kecil kerana merasakan betapa naifnya diri ini di kala zaman kanak-kanak Ribena dahulu.

Betapa berpengaruhnya Otromen pada diri saya ini sehinggakan pernah suatu hari saya ponteng sekolah rendah semata-mata tidak mahu terlepas menonton kartun Ultra Kids yang cukup popular suatu ketika dahulu. Hanya untuk mendapati saya tersilap ponteng hari kerana kartun itu disiarkan pada hari yang berbeza. Batu-bata jatuh dari langit menghempap kepala.

Ketika berpeluang ke negara asal tempat kelahiran Otromen baru-baru ini (negara asal tempat ia dicipta dan bukan Planet X), walaupon tidak berkesempatan menziarahi Muzium Otromen atau apa-apa monumen dan binaan yang dibina khas sebagai dedikasi kepada adiwira gergasi itu, saya telah didedahkan dengan tujuan asal dan niat sebenar mengapa watak-watak seperti Otromen dicipta.  

Selepas Perang Dunia Kedua, rakyat Jepun berada dalam keadaan yang amat tertekan dan menyedihkan, espeseli kerosakan melampau dan kehilangan nyawa akibat pengeboman Nagasaki dan Hiroshima. Mereka yang dahulunya merupakan sebuah negara penjajah yang begitu digeruni dan dihormati, juga kaya dengan tradisi kepahlawanan Shogun dan Samurai, terpaksa tunduk dan akur dengan kekalahan mereka yang memalukan. Akibatnya, ramai orang Jepun yang tidak dapat menerima hakikat ini; ada yang membunuh diri, ada yang gila akibat tekanan mental yang melampau dan ada juga yang jatuh sakit. 

Bagi membantu pembinaan semula negara Jepun, selain daripada pembangunan berbentuk material, sesuatu perlu juga dilakukan bagi mengembalikan semangat dan membina semula maruah rakyat Jepun. Sayugia lahirlah karakter-karakter adiwira seperti Otromen, di mana Otromen adalah manifestasi kepada kebangkitan rakyat Jepun setelah teruk dibelasah dan dikalahkan. Melalui mata bulat belalang Otromen itu, rakyat Jepun dapat melihat bahawa walau betapa teruk mereka pernah jatuh suatu ketika dahulu, mereka boleh bangkit semula dan bukan itu sahaja, mereka dapat pula mengalahkan apa-apa sahaja yang menghalang dan menentang mereka. 

Dengan watak dan karakter seperti Otromen, rakyat Jepun kembali bersemangat untuk membina semula negara mereka yang telah rosak teruk. Maruah mereka yang tercalar teruk kini semakin pulih. Tidak hairanlah kebangkitan negara Jepun dilihat seolah-olahnya seperti suatu keajaiban; walaupon teruk dihentam oleh Amerika Syarikat, mereka berjaya untuk bangun semula, mendabik dada dan hidung kembang kempis pula sehingga berjaya menjadi negara yang termaju di dunia! 

(Nota: Of koslah kebangkitan yang berlaku tidaklah disebabkan oleh karakter seperti Otromen semata-mata. Haiyoh. Tetapi tidak dapat dinafikan pula Otromen, Doraemon, Suria Perkasa Hitam dan lain-lain lagi karakter pelik lagi memelikkan itu memainkan sedikit sebanyak peranan dalam menaikkan semula semangat rakyat Jepun)

Kini anda sudah faham mengapa Otromen dicipta.

Eh Otromen tu suatu ciptaan sahaja..?? Otromen tak wujud sebenarnya..??? Tiiiddaaaakkkkkk! *Aaaahhhhhhhhh* Bunyi orang terjun gaung.

Err. Pandang kanan, pandang kiri. 

Ya, kini anda sudah faham apakah rasional dan justifikasi di sebalik penciptaan karakter seperti Otromen itu. Walaupon bersut ketat sebegitu, walaupon jalan ceritanya amat jauh dari munasarawak apatah lagi munasabah, namun eskapisme yang dicipta oleh orang Jepun untuk orang Jepun rupa-rupanya berniat baik dan berhati mulia. Dan tidak disangka-sangka, begitu popular karakter Otromen itu sehinggakan ia tersebar ke seluruh dunia pula, termasuklah kita di Malaysia ini. Ahhh terbayang-bayang saya sewaktu kecil, menonton Otromen sambil menghisap botol dan terbaring di lantai. Eh.

Saya kira sebagai seorang dai'e kita juga perlu menjadi seperti Otromen. Ya Otromen dari segi semangatnya, dari aspek dirinya yang tidak berputus-asa dan dari segi tiada yang mustahil walaupon cabaran sebesar raksasa gorgon bermulut api berbadan duri di depan mata. Sebagai seorang dai'e, kita perlu bangkit semula walaupon kita pernah jatuh tersadung berkali-kali; kita perlu bangkit semula kerana kemenangan itu adalah sesuatu yang amat pasti.

Tetapi yang lebih utama daripada itu, saya melihat daripada aspek justifikasi mengapa Otromen dicipta; sebagai eskapisme untuk mengembalikan semangat dan maruah rakyat Jepun. Sebagai seorang dai'e, kadangkala kita juga perlu begitu. Ya, kita juga perlu mencipta eskapisme kita sendiri untuk menaikkan dan mengembalikan semangat ikhwah dan akhawat yang mungkin pernah jatuh merudum dan memulihkan kembali maruah mereka yang pernah dibelasah teruk.

Kelihatan seorang Otromen di Pulau Pinang baru-baru ini. Siapa kata Otromen tak wujud hah..?? [Kredit]

Jalan dakwah ini sumpah panjang. Sudahlah panjang, dipenuhi dengan duri, ranjau, kaca, paku tekan dan jarum peniti pula. Tidak cukup dengan masalah diri sendiri, masalah dalam jalan dakwah bisa sahaja membotakkan kepala. Di kala ini, kita amat mudah untuk menjadi tensi. Tatkala ini kita amat senang untuk berasa bawah dan marah-marah. Kadang-kadang sehinggakan terdetik di hati, alahai kenapalah aku berada di atas jalan ini. Istighfar sambil air mata mengalir laju.

Kerana itu kadangkala kita sebagai dai'e, terpaksa melupakan semua ini dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kita terus mengukir senyum kerana tidak mahu merisaukan ikhwah atau akhawat kita, walhal masalah sedang merunsing di kepala. Hari-hari kita jalani ibaratnya kita adalah manusia yang paling gembira di dalam dunia, kerana kita tahu dengan kita berbuat sedemikian, ikhwah dan akhawat akan turut riang dan ceria bersama.

Ya, saya pernah bertemu dengan insan-insan Otromen sebegini. Alah, macam lah saya tidak tahu yang mereka ini berhadapan dengan segala tok nenek masalah dalam dunia. Bukan setakat masalah peribadi yang menghunjam diri, malah dakwah dan tarbiyah, masalah jemaah dan entah apa-apa lagi masalah yang tidak henti-henti berkunjung mengucapkan semekom boleh saya masuk..? Eh.

Tetapi mereka masih mampu untuk tersenyum mesra. Mereka masih berupaya untuk berlagak normal malah beramah mesra seolah-olahnya tiada apa yang perlu digaru kepala. Dan merekalah orang yang pertama akan menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan bilamana kita memerlukannya, ibaratnya tidak cukup lagi timbunan masalah yang sedang dihadapinya sendiri.

Mengapa? Mengapa mereka lakukan semua ini? Kerana mereka tahu dan faham, tidak ada gunanya mereka membuat muka sedih minta simpati. Mereka tahu yang sekiranya mereka menampakkan kemuramdurjaan mereka itu, ia akan memberi kesan kepada orang lain pula. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka adalah insan yang amat terpercaya dan dihormati pula!

Dan yang lebih utama, tidak perlu pon berasa sedih dan gundah gulana dengan pelbagai masalah yang menimpa, kerana Allah sentiada berada di sisi bersama-sama!

"...ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, 'Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantu dengan bala tentera (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
[at-Taubah, 9:40]

Nah! Buat apa mahu bersedih-sedih..?? Buat penat otak dan perhabis air mata sahaja! Sudahlah pula, Allah janjikan kemenangan untuk orang yang meninggikan kalimahNya yang mulia!

Bukan, bukan hendak menafikan kemanusiaan seorang akh atau ukht itu. Tidak. Bukan juga mahu menggalakkan anda lari daripada masalah. Tidak. Tetapi kalaulah semua orang pon bersedih, semua orang pon bermuram durja bermasam muka dek masalah yang menimpa, maka tidak akan ke mana-manalah gerabak dakwah ini. Dari supirnya, sehinggalah ke konduktor dan penumpangnya, semua pon asyik bersedih dan lemau seperti biskut Marie yang sudah lama terdedah kepada udara. Macam mana dakwah dan tarbiyah mahu maju kalau terus-menerus sebegini..??

Kerana itu seorang dai'e amat perlu menjaga qudwahnya. Setiap apa yang dilakukannya akan dipandang dan dan diteliti oleh orang di sekeliling, espeseli mad'u dan mutarabbi yang berada di sekitarnya. Bersedihnya dia, maka bersedihlah juga orang di sekelilingnya. Bermasam mukanya dia, arakian akan bermasam muka jugalah hadek-hadek bulatan gembiranya. Punyalah hebat aura dan pengaruh yang dibawakan oleh seorang dai'e dan murabbi itu, sehinggakan dia perlu amat berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk dan gerak-gerinya.

Ya, memang sukar. Ia menuntut pengorbanan yang amat besar. Ia memerlukan mujahadah yang tidak sedikit. Seperti Otromen yang terpaksa berkorban memakai sut yang ketat itu (kihkihkih) untuk menaikkan semula semangat dan mengembalikan maruah rakyat Jepun, ya, kita juga perlu bersedia untuk berkorban dan melakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan ikhwah dan akhawat kita akan terus bersemangat dan bersungguh di atas jalan ini.

Itulah seorang dai'e; dia sentiasa rela untuk mengorbankannya demi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar untuk orang lain. Di dalam kamus dirinya, tidak ada frasa 'diri sendiri' atau 'weyyy kau hengat kau chanteque sangat ke..??' Err. Itulah seorang murabbi, yang sentiasa mendahulukan emosi dan perasaan mutarabbinya yang terchenta. Dan itulah seorang hamba Allah yang sebenarnya, yang tidak akan sesekali menjadi hamba dan kuli kepada nafsu dan emosi diri sendiri.

Kerana akhirnya, kita mahu menjadi seorang Super Dai'e, Inkredibel Murabbi dan Otrohamba...!

Senyum sampai sakit mulut dibuatnya.

-gabbana-

Rasa-rasa kalau kat sorga nanti (kalaulah dapat masuk insha-Allah!), boleh tak nak minta jadi Otromen..? Wahahaha..  

11 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/05/2012, 17:06  

Entry membasah jiwa. Thanks! :-)

Anonymous 29/05/2012, 17:17  

hah?? otromen kat penang?? bia betik!!

Anonymous 29/05/2012, 17:31  

ruh terasa tertiup kmbali ya akhi!jzkllh.barakallahulak~
-hamba Allah yg nk jd ottomen-

SN 29/05/2012, 18:26  

tersenyum sampai lenguh bile abes bace entry ni. anyways...jzkllh~

Anonymous 29/05/2012, 20:53  

http://www.youtube.com/watch?v=3Zp9Qv4iI6I

sajer nk mengimbau kenangan lame....
tp skang otromen dah pandai kungfu, tngok la link tu~~~hehe....

perkongsian yg best!!! tq

otromen nenek 30/05/2012, 00:24  

kita semua ada otromen dan raksasa dlm diri masing2..urut dada tanya iman..

Anonymous 30/05/2012, 03:24  

Di sebalik sut khas seorang murabbi, dia hanyalah seorang abid.



http://centralummah.blogspot.com/2012/02/cerita-circle-lagi.html

anamuzakkar =.= 30/05/2012, 15:50  

:')
tergelak sambil menangis membaca post enta yg ni...
haha. jzkk . memang hati ini berbolak-balik tapi kite kena mujahadah untuk menetapkan hati kita ini. barulah osem~

chesakinah 30/05/2012, 21:03  

teringat lampu di dada ultraman yg berkelip2 tanda sudah lemah..

kalau kita ada lampu itu sebagai indicator iman kita, insyaAllah ramai yg selalu bercakap2 tentang kebesaran Allah dan saling sampai menyampaikan demi menyalakan lampu itu. :)

Liyana 31/05/2012, 07:51  

suria perkasa hitam.. epic

hambaNya 31/05/2012, 18:14  

otrohamba sudah liplap2 lampunya..huu

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP