28 September 2011

Kena Tipu Sumpah Tidak Osem

[Kredit]
"Manusia diciptakan (bersifat) tergesa-gesa..."

Hari Khamis lepas merupakan hari yang cukup gelap buat saya.

Ya, di samping awan berarak mendung di luar sana, hari tersebut betul-betul hari yang gelap buat saya. 

Di dalam post 'Budak Gembala & Serigala,' sekiranya anda perasan, saya ada letakkan nota kaki di akhir post tersebut. Saya katakan, "Phone dan mati. Sedih =( Kena beli phone baru. Suka =)"

Pagi itu entah kenapa telefon bimbit Sony Ericsson W508 saya tidak mahu hidup. Saya sangkakan pastilah kerana kehabisan bateri. Maka sebaik sahaja sampai di opis, saya teruslah mengecaj telefon saya itu. Alangkah terkejutnya apabila mendapati telefon saya tidak mahu juga bernafas! Peluh besar menitik-nitik.

Saya lantas terkedu sebentar. Seriyes tak percaya apa yang sedang berlaku di depan mata. Tiada ribut, tiada hujan renyai-renyai, langsung tiada tanda yang telefon saya akan menemui ajalnya. Benarlah ajal maut itu di tangan Tuhan. Hohoho.. Gelak keji sambil mengalirkan air mata.

Tapi saya tidak berputus-asa. Saya buka bateri, saya tanggalkan kad sim. Saya tiup-tiup sedikit di sana sini. Dan saya pasang semula. Saya tekan kembali suis pengecaj saya. Harapan bersinar-sinar yang telefon saya akan hidup semula.

Wahai. Setiap yang hidup itu pasti akan mati. Dan ajal telefon saya telah ditakdirkan pada hari itu. Putus harapan.

Maka saya terpaksa merancang pelan kecemasan. Tiada yang lain terbayang di dalam kepala melainkan terpaksa membeli telefon yang baru.

"Manusia diciptakan (bersifat) tergesa-gesa..." 

Arakian dengan yakinnya saya pun membelek-beleklah laman-laman sesawang pembekal perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis dan Celcom. Yang dituju sudah tentulah plan pasca bayar iTelefon Empat. Berangan. Beri hitam kurang saya minati.

Namun setelah menyedari saya ini hanyalah seorang kuli marhaen yang tidak berharta-benda, terpaksa saya lupakan angan-angan Mat Jenin saya mahu membaca al-Quran digital di dalam iTelefon Empat saya nanti. Haih. Maka pelan kecemasan B adalah mencari kalau-kalau ada telefon yang lebih murah sementara ada orang yang mahu membiayai iTelefon Empat saya nanti. *koff tawaran hebat koff anda pasti tak mahu lepaskan koff*

Sayugia di waktu makan tengah hari, saya ke Sentral Kuala Lumpur, sekadar mahu melihat-lihat pilihan yang ada. Ketika itu belum lagi terlintas mahu membeli apa-apa. Saya bawa juga telefon Xperia XSepuluh saya yang sudah lama tidak digunakan, mahu bertanya-tanya apakah nilai semasa jualan telefon tersebut.

(Nota: Anda pasti pelik bukan sambil berkata dengan penuh perasaan jelik dan jijik, "Leh, kenapa tak pakai je henpon Xperia tu...?? Pelik sungguh Inche gabbana ni!" Err, sila bersabar. Untuk pengetahuan anda, telefon itu sumpah banyak masalah sehingga sering sahaja memberi tekanan hebat kepada saya. Maka saya telah memutuskan untuk menceraikannya daripada kehidupan saya yang suci ini. Sekian.)

Maka saya pon mencuci matalah di gerai-gerai telefon yang ada. Dan menurut maklum balas yang saya terima, telefon Xperia XSepuluh saya itu boleh mencecah harga jualan kurang lebih lima ratus sahaja. Saya berjalan-jalan lagi, kalau-kalau ada tawaran yang lebih mengujakan. Kebanyakan gerai yang ada memberi maklum balas yang serupa.

Sehinggalah saya masuk ke dalam kedai telefon DiGi ini. Penjualnya adalah seorang yang sangat ramah. Saya tanyakan kepadanya kalau saya mahu jual telefon Xperia XSepuluh saya itu, berapakah yang sanggup dibayarnya? Setelah membelek-belek telefon saya, dia menawarkan harga lima ratus, harga yang sama dengan gerai-gerai yang lain. Cumanya, saya tertarik dengan keramahannya.

Setelah melihat-lihat beberapa telefon dan menyedari diri ini tidak berkemampuan untuk membeli telefon-telefon yang canggih manggih, tiba-tiba mata saya menangkap sebiji telefon cap Sony Ericsson yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Saya tertarik. Menarik. Kau memang dabommm! Eh.


Sony Ericsson Txt Pro yang telah berjaya memukau saya untuk seketika. [Kredit]

Lantas saya pon bertanyakan kepada penjual itu tentang profail diri telefon tersebut. Tanda harganya tertera angka lapan sembilan sembilan. Melihatkan saya yang tertarik dengan telefon itu, penjual itu terus mempromosikan telefon itu dengan bersungguh-sungguh. 

Tapi pada masa yang sama, saya tidak berniat untuk berbelanja besar dalam membeli telefon baru ini. Saya katakan kepadanya, saya hanya mampu untuk membayar dua ratus lima puluh ringgit tunai, setelah ditolak hasil jualan telefon Xperia XSepuluh saya itu. Setelah 'konon-kononnya' memeriksa harga di komputer, dia bersetuju. Saya sedikit terkejut. Pada masa yang sama sedikit gembira kerana merasakan saya berjaya mendapatkan satu jual-beli yang sungguh menguntungkan.

(Di saat ini saya pasti ada di antara anda yang mula tersenyum senis atau keji. Eyy dah lama hidup..??)

Dipendekkan cerita, saya pun membelilah telefon itu. Berasa cukup lega kerana agak risau juga sepanjang pagi, sudah berapa banyak agaknya mesej pesanan ringkas yang sudah masuk. Berapa banyak pula panggilan masuk yang telah dibuat. Haish ini tak boleh jadi. Dan ini adalah antara faktor terbesar mengapa saya beriya-iya mahu membeli telefon yang baru. 

Tetapi sebenarnya memang berasa agak terkejut dengan diri sendiri, bagaimana saya boleh membuat keputusan dengan begitu cepat. Selalunya hal-ehwal yang berkaitan denga gajet ini, saya akan mengambil masa yang lebih lama untuk membuat keputusan. Tetapi kali ini, entah, cepat betul saya memutuskan untuk membeli telefon itu. Sungguh terdesak mungkin.

"Manusia diciptakan (bersifat) tergesa-gesa..." 

Rakan-rakan sekerja saya yang sempat saya kongsikan pengalaman adrenalin naik saya itu, turut terkejut dengan keputusan saya. Malah seorang rakan sekerja yang agak rapat dengan saya, Inche LS, sedikit mengeluh dengan ketergopoh-gapahan saya itu. Katanya, saya sewajarnya bertanyakan kepadanya dahulu, selaku seorang pakar lagi professional dalam bidang telefon dan gajet ini. Hohoho..

Kerana tidak sedap hati, espeseli setelah mendengar ngomelan dan komen-an rakan sekerja, saya membuat keputusan untuk memeriksa harga sebenar telefon saya itu di mobile88[dot]com. Setelah membelek-belek beberapa telefon terbaru dan canggih, saya akhirnya berjumpa dengan model telefon yang baharu sahaja saya beli.

Hati saya berdegup-degup.

Dan setelah melihat tanda harga yang diletakkan, hati saya karam.

Bak kata omputih, my heart sunk.

Anda tahu berapa harganya..? Take a guess. Cubalah teka. Cubalah.

Baiklah.

Anda bersedia untuk mengalirkan air mata terharu?

RM400. Ya, EMPAT RATUS FREAKIN' RINGGIT.

Sungguh seronok bukan..?

Maka kalau dihitung menggunakan ilmu hisab dan formula algebra terbaru, kerugian yang saya alami adalah:

RM500 = Harga Xperia XSepuluh
RM250 = Nilai tambahan yang saya perlu bayar
RM750 = Jumlah yang saya bayar @ harga 'sebenar' telefon
RM400 = Harga betul-betul, ini bukan cobaan telefon
RM750 - RM400 = RM350 = Nilai kerugian yang ditanggung

Tiga ratus lima puluh ringgit. Kalau pekena nasi lemak Mak Cik Giant campur milo ais raksasa, agak-agak berapa pusingan yang boleh dipekenakan..?

Tipah tertipu bang..! Saya terbayang si pekedai itu pasti terbahak-bahak setiap kali memikirkan betapa mudahnya saya tertipu.

Ceritanya tak habis di sini. Tapi maafkan saya, tidak berselera untuk bercerita dengan lebih panjang lebar. Sebak.

Tetapi untuk tidak membiarkan anda terkapai-kapai dalam bahaya, tertanya-tanya sambil menggaru-garu kepala yang penuh ketombe itu, izinkan saya untuk membuat edisi ringkas di petang hari.

Arakian esoknya selepas bersolat Jumaat, saya ke kedai itu semula untuk membalas dendam untuk membuat negosiasi pusingan kedua. Sumpah memang tak puas hati. Tetapi demi menjaga akhlak seorang Muslim dan da'ie, saya cuba mengawal emosi. Akhirnya setelah bermanis mulut bertepuk-tampar, saya berjaya menjual telefon saya itu semula, tetapi dengan harga yang jauh lebih rendah sudah semestinya. Batu besar menghempap kepala.

Dan setelah bernegosiasi entah untuk pusingan kali berapa, si pekedai bersetuju untuk menjualkan kepada saya sebuah telefon bimbit cap HTC HD2 tangan kedua (Baca: Second hand) pada harga RM350.00 (kiranya, campur-campur semua, harga telefon itu adalah RM1000.00 kurang lebih). 


HTC HD2. Tampaknya sungguh bergaya bukan..? [Kredit]

Pada mulanya, agak eksaited juga. Kerana HTC ini tampaknya jaaaauuuhh lebih bagus daripada telefon Sony Ericsson sebelum ini. Fungsi dan spesifikasinya juga jauh lebih canggih dan bergaya. Tetapi seperti dalam drama-rama cliche Melayu, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya taufan Katerina di tengah hari.

Telefon tersebut juga punya masalahnya yang tersendiri. Adeh. Apakan daya, telefon tangan kedua la katakan.

"Manusia diciptakan (bersifat) tergesa-gesa..."  

Buat masa ni, saya tak bercadang untuk menjualnya kembali. Biarlah. Saya sudah penat. Tak larat. Bayangkan, saya bertukar-tukar 3 telefon dalam masa tiga hari...! Guna sahajalah apa yang ada. Saya pasrah.

Banyak sungguh perkara yang boleh saya muhasarawakkan. Rupa-rupanya, diri ini masih begitu banyak sifat-sifat yang boleh membinasakan diri sendiri. Sungguh diri terasa begitu lemah dan bawah (Baca: Down) selepas peristiwa itu. Seolah-olah diri ini seperti tidak pernah ditarbiyyah! Aduhai.


Mari kita sama-sama muhasabah kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri. [Kredit]

Tetapi tidak mengapalah. Hidup mesti diteruskan. Dan yang lebih utama, bagaimana kehidupan yang hendak diteruskan ini, mengambil kira kelemahan-kelemahan dan kebobrokan-kebobrokan dan kebejatan-kebejatan dan err.. Ok cukup. Bagaimana kekurangan-kekurangan ini dapat menjadi pedoman di masa hadapan, agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi.

Bak kata Saidina 'Ali r.a.:

"Barang siapa yang harinya sama sahaja seperti hari semalam, sesungguhnya dia adalah orang yang rugi.

Barang siapa yang harinya lebih teruk dari hari semalam, sesungguhnya dia adalah seorang yang bodoh.

Dan barangsiapa yang hari esoknya lebih baik dari hari ini, ketahuilah, dia adalah orang yang beruntung."

"Manusia dicipta (bersifat) tergesa-gesa. Sungguh, Aku akan memperlihatkan kepada kamu ayat-ayat-Ku; maka janganlah kamu minta disegerakan." 
[al-An'biya', 21:37]

Err...

Ada seiapa yang nak beli HTC HD2...?

-gabbana-

Untuk pengetahuan anda, saya masih di dalam mode yang kurang bersemangat. Post ini adalah post lama yang ditokok tambah, disimpan semenjak minggu lepas dan baru diterbitkan pada hari ini.

Doakan agar Allah kurniakan saya dengan kekuatan. Tunjukkan aku jalan yang lurus, ya Allah!

13 Caci Maki Puji Muji:

zulaikha 28/09/2011, 17:02  

Salam.....

sudah lama tidak menyinggah memberi komen (positive ones, i hope) dalam blog inche gabbana, setelah bermastautin di tempat orang (dah nak dekat sebulan dah pun, cepatnyer masa berlalu)..

anyways, sy sangat bersimpati dengan kerugian inche gabbana. sy pun selalu pk lebih drpd 5x kalau nak beli ape2 gadjet.

tp, ada la situ hikmahnya. mungkin kali ni, lebih terasa dengan kesusahan orang lain untuk mendapat ape2 gadjet...at least, kali ni lebih mudah untuk berkomunikasi dengan orang lain.

sama2 muhasabah, insyaALLAH.

p/s: phone lama kat rm600 pun dah xleh pakai dah. last2 settled on a rm250 one. alhamdulillah, ok setakat ni.

(:

Anonymous 28/09/2011, 17:47  

Assalamulaikum en gabbana.

Tenang ye :)
Sungguh ku tak pernah mengalami peristiwa spt itu namun kisah mu itu menjadi pedoman berharga utk diri ini. Alhamdulillah.

en gabbana jgn dilayan kesedihan itu. layan aiskerim lemak manis ngan teh tarik Puan Mama lagi best.

Hehe.

Moga Allah reda dengan kita semua. Allahumma Ameen.



Aman. :D

Miss Sheikh 28/09/2011, 18:05  

Rasanya perit kena tipu tu lebih disesali dari kerugian tu kan?
Walaupun mukmin tu takkan jatuh ke dlm lubang yang sama 2 kali, tapi sure pengajaran ni tidak akan dilupa.
en gabbana ni down ker? if baca cerita nabi yunus, sure akan bersemangat kembali...

arissa myana 28/09/2011, 20:11  

Allah huAkbar.
speechless.
tidak dapat tidak mahu derop bai (drop by) jg utk menyampaikan pesan sabar.
s.a.b.a.r.
DIA maha tahu.
berdoa dan berharaplah utk yg terbaik ;)

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (39:53)

aman ^^, Y!

Nur 28/09/2011, 21:27  
This comment has been removed by the author.
Aneesah 28/09/2011, 21:44  

Sangat bawah membaca post ini. T-T Bercakap daripada pengalaman, HTC HD2 kurang saya gemari (sebab Windows Phone), tapi terpaksa dipinjam sebentar dek kerana Xperia X10 Mini Pro kesayanganku masih dikunci kepada network di UK, eheh.

Banyak bersabar, inshaAllah you will get used to the phone soon. And inshaAllah through sharing this story, it will bring much more good than the money you lost. Keep writing and keep sharing!

martini 28/09/2011, 23:17  

oh. sabarlah, sabarlah. saya pernah ditipu oleh bekaas teman lelaki bertujuan menculik laptop saya.

bye, laptop.

Anonymous 29/09/2011, 00:42  

innalillahi wa inna ilaihi raji'un..
sabar ya inche gabbana. ade la tu Allah nak tarbiyah.

nak share link yg harap2 nya dpt naikkan semula semangat inche gabbana~
http://www.youtube.com/watch?v=w-5xtxS3Zr4&feature=related

moga dengan kehilangan, Allah gantikan dgn cintaNya..

Anonymous 29/09/2011, 01:07  

Assalamualaikum wbt

Sabar ye..nilai kerugian tu inshaAllah takkan sama ngn nilai tarbiah yg inche dapat... Cuba share ngn ahli bulatan gembira, adek2, n naqib... Mngadu pd Allah; Dia mesti sayang inche lebih sbb tu Dia bg ujian..

Kmbalilah bsemangat; mbw mnsia mengAgungkn Allah...
Allah meesssstiii sayang inche; byknya usaha yg inche lakukn utk membangunkn ummah dari tidur...

Semangatlah kerana kerja kita belum selesai

Anonymous 30/09/2011, 06:09  

salam inche gabbani.
terkesan sbb diri sndri tgh down dgn hal yg lebih kurang sama.
huru-hara nk fikir bila itelefon empat rosak sb hujan.
tapi,itulah ujian kan.

:)

Anonymous 30/09/2011, 06:10  

maaf,typo.inche gabbana =.=''

Anonymous 30/09/2011, 14:33  

Allah uji sebab Dia nak bagi setel satu2 masalah yg kita ada. Apa tu agak2nya yg xsetel lagi dalam diri?

keturunan yang baik 01/10/2011, 00:36  

-terkena balik pada diri sendiri-

sangat betul..seorang mukmin tu takkan jatuh dua kali di lubang yg sama..tp knapa saya masih terjatuh pada lubang yg sama setiap kali? *muhasabah mode* T_T

apapun, entry yg zasss buat saya..hopefully lepas ni lebih berhati2

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP