21 July 2011

Mehnah Tidak Datang Bersopan-Santun Sambil Mengucapkan "Hai Anda!"


Alhamdulillah, semalam dan kelmarin diberi peluang oleh Allah SWT untuk menziarahi ikhwah dan akhawat yang sedang berkonferens riang dalam dua program yang berbeza; kelmarin program kibar-mengibar panji-panji Islam yang diadakan di Hulu Langat dan semalam program kilau-menyilau dengan cahaya-cahaya keimanan rabbani yang hakiki. Wahahaha.. Eh gelak pulak.

Seronok sungguh dapat melihat dengan mata kepala sendiri semangat-semangat yang terpancar dengan riang gembiranya pada wajah-wajah rijal muda yang ada. Lebih seronok dapat duduk-duduk untuk bermuayasyah (bergaul mesra) dengan mereka sendiri. Sifir nikmat yang selalu bermain-main dalam kepala saya sekali lagi berjaya diterjemahkan dengan jayanya pada kedua-dua hari itu. Haih, begitu banyak dan besar nikmat yang Allah beri pada saya. (Bunyi macam mengeluh tapi saya penuh dengan kesyukuran tahu..?)

Ada beberapa persamaan yang agak menarik dalam perjalanan saya ke kedua-dua program tersebut. Kedua-dua jalan untuk ke sana sangat dodgy dan menyeramkan. Jalan berbengkang-bengkok dan untuk kes program kibar-mengibar, terpaksa pula memandu menaiki bukit yang agak curam. Kemudian terpaksa pula melalui jalan hampir lima kilometer jauhnya, tanpa lampu jalan dan hutan di kiri kanan jalan sebelum sampai di tempat program! Terbayang juga kalau-kalau ada mak cik berpakaian putih berambut panjang mengurai berdiri di tepi jalan ingin menumpang kereta! Wahai.

Begitu juga dengan perjalanan untuk ke program kilau-mengilau. Jalannya gelap dan berbengkang-bengkok. Mujurlah saya tidak terlepas simpang masuk ke tempat program, kerana papan tanda yang menunjukkan arah tempat progam itu tidak dilengkapi dengan teknologi menyinar di dalam gelap (Baca: Glow in the dark). Hihihi...

Pendek kata, kedua-dua jalan untuk ke tempat progam adalah sungguh mencabar! 

Tetapi yang lebih menyebabkan kadar degupan jantung saya meningkat hampir lapan kali ganda dan tekanan darah memecut naik adalah kedudukan bampe (Baca: Bumper) jalan yang sumpah sungguh menyakitkan hati. Dan memandangkan saya adalah seorang pemandu jalan raya yang sungguh berakhlak dan bersopan-santun yakni amat gemar memandu laju, bampe yang muncul secara tiba-tiba sambil mengucapkan "Tora datang lagi..!" dan tersenyum sinis sering menyebabkan saya hampir-hampir bertukar menjadi raksasa gorgon serta-merta.

Dan merbahaya juga.

Kerana selalunya saya terpaksa menekan brek secara mengejut. Mujurlah tiada kereta yang sedang memecut laju di belakang saya. Jika tidak pasti saya telah dicium dengan mesranya oleh mereka. Hohoho.. Kasihan juga pada Humaira' (buah hati saya); setiap kali saya berbuat sedemikian, dia pasti amat terseksa..! Maafkan kekanda, Humaira'..!

Apabila memikirkan kembali insiden yang berlaku, saya bermuhasabah. Pertamanya, pasti kejadian sedemikian tidak akan berlaku sekiranya saya memandu dengan lebih berhati-hati dan tidak seperti Suria Perkasa Hitam. Keduanya, sekiranya saya lebih peka dengan keadaan sekililing, sudah pasti saya akan perasan papan tanda yang menunjukkan adanya bampe di kawasan tersebut. Dan sekiranya tiada papan tanda sekali pon, sekiranya saya peka dan tidak khayal, saya pasti boleh perasan bukan..? (Err.. Eceli susah jugak sebab jalan yang super amat gelap. Font kecil: Cubaan untuk membela diri. Wahaha..)

Tetapi yang lebih mengujakan adalah bagaimana insiden atau peristiwa yang berlaku tersebut dapat saya kaitkan dengan kehidupan sehari-hari kita. Anda berminat mahu mendengarnya..? Jika tidak silalah berlari keluar dan mengangkat tangan sambil menjerit "Saya tak mahu tahu...!" sekuat hati anda. Sekiranya anda berminat, teruskan membaca.

Begini. 

Dalam kehidupan kita sehari-hari sebagai makhluk Homo Sapiens ini, kita didatangi dengan pelbagai jenis ujian, cabaran, dugaan dan mehnah. Ujian-ujian ini datang dalam bermacam bentuk dan berbeza menigkut individu. Pada kita, ujian yang menimpa Mak Cik Karimah Tan itu tampaknya seperti tidak ada apa-apa, tapi hanya Mak Cik Karimah Tan sahaja yang tahu betapa beratnya bahu yang memikul. Ada orang amat terkesan bila menghadapi kematian contohnya, ada orang tidak. Ada orang bisa bersabar dengan masalah kewangan misalnya, tetapi ada yang tidak mampu menanggungnya.

Untuk anda yang sudah berkecimpung dalam dakwah dan tarbiyyah terutamanya, anda pasti amat faham betapa cabaran dan ujian yang menanti (atau pon yang sudah menimpa) anda amatlah besar dan mencabar sekali. Dari berkorban masa, wang, tenaga dan emosi sampailah kepada tanggungjawab untuk berpolitik dengan mak bapak. Terpaksa mengorbankan kepentingan diri semata-mata untuk matlamat dan halatuju yang lebih agung dan abadi. Kadang-kadang diri terasa seperti dianaktirikan; punyalah banyak pengorbanan yang perlu dilakukan, tetapi orang lain juga yang syok, dapat menikmati keindahan dan keseronokan duniawi!

Apa kau hengat aku tak jeles tengok kau pakai beg tangan kulit Marc Jacobs itu..? Kata anda berbisik di dalam hati. Eh.

Tapi itulah jalan dakwah; walaupon cliche dan sudah hampir bernanah telinga anda mendengarinya, hakikatnya tetap sama - jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga ros mahupon diiringi dengan muzik-muzik indah orkestra angin (Baca: Wind orchestra). 

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: 'Kami telah beriman,' sedang mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar, dan sesungguhnya Dia (Allah) mengetahui orang yang dusta."
[al-Ankabut, 29:2-3] 

Namun begitu, dengan segala jenis ujian dan cabaran yang terpaksa anda lalui, rupa-rupanya ada kejutan di tengah jalan. Dalam anda sedang berhempas-pulas mengerah segala tok nenek tenaga dan keringat, memecut laju ke hadapan, tiba-tiba ada sahaja mehnah dan tribulasi yang langsung tidak anda sangka-sangkakan.

Sama seperti saya yang sedang memecut laju mahu cepat sampai ke destinasi, tiba-tiba dikejutkan dengan bampe yang terjojol di depan mata. Syabas.

Dan sekiranya anda langsung tidak bersedia, maka jadilah anda seperti saya yang terkejut gorilla apabila terpaksa memperlahankan kereta secara tiba-tiba. Walhal sekiranya saya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling, pasti saya tidak perlu menekan brek secara mengejut sebegitu.

Begitulah kita di atas jalan dakwah ini.

Mehnah tidak akan datang bersopan-santun dengan penuk akhlak ketimuran, memberi amaran jauh terlebih awal sebelum datang menziarahi kita. Di dalam mimpi anda mungkin. Apabila Allah mahu menguji kita, maka ujian itu akan datang pada bila-bila, sama ada kita bersedia atau pon tidak.

Tetapi Allah itu Maha Adil dan Maha Penyayang; sudah Dia berikan tanda-tanda dan isyarat sebelum Dia menguji kita. Samalah seperti papan tanda yang memberikan kita amaran bahawa ada bumper di kawasan sekitar.

Cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya.

Cuma kita sahaja yang begitu khayal, leka, sehingga kita langsung tidak menyangka ada ujian yang bakal menimpa.

Cuma kita sahaja yang pekak dan buta, tidak memberikan perhatian kepada tanda-tanda dan isyarat yang diberikanNya.

Bukankah Allah tidak akan membenani seseorang itu di luar jangkauan kemampuan dan kekuatannya..?

Ketahuilah sesuatu; lagi besar ujian dan mehnah yang menimpa anda, tandanya lebih dekatlah anda kepadaNya dan lebih sayang dan cinta Allah kepada anda. Itu fakta dan bukan auta. Lihat dan hayatilah seerah perjuangan ar-Rasul SAW dan para sahabat. Mereka yang paling banyak diuji dan ditimpa dengan pelbagai mehnah dan ujian, mereka itulah yang paling kuat ketaqwaan dan keimanan mereka. 

"Dan tatkala orang-orang mu'min melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita". Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan."
[al-Ahzab, 33:22] 

Para sahabat yang serba kekurangan, kebuluran dan dalam keadaan yang amat menekan, langsung tidak gentar apabila melihat puluhan ribu tentera kufar datang untuk menyerang dan mengepung mereka. Mereka malahan gembira, menanti-nanti kedatangan musuh-musuh mereka. Megapa..?

Kerana itulah yang dijanjikan Allah dan ar-Rasul SAW. Dan melihat dengan mata kepala sendiri betapa benarnya janji-janji yang pernah disebut oleh baginda SAW, peristiwa tersebut menguatkan lagi keimanan mereka kepada Allah.

Dan anda tahu apa yang lebih bergaya..? Apakah tujuan bampe diletakkan pada tempat-tempat sebegitu? Untuk kita memperlahankan kereta kita. Mungkin, hanya mungkin, ujian dan mehnah yang tertimpa pada kita pada masa-masa yang tidak kita sangka-sangkakan adalah sebagai amaran untuk kita memperlahankan kereta dakwah kita. Mungkin kita terlalu laju, maka gopoh dan tergesa-gesa. Mungkin juga banyak perkara yang perlu kita muhasabahkan, maka Allah turunkan peringatan supaya kita tidak menjadi fitnah kepada dakwah.  

Bukankah Allah akan menolong hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh mahu membantu agamaNya..?  

Bukankah Allah akan tunjukkan jalan buat para pejuang agamaNya yang berjihad untuk menegakkanNya..?

Ujian itu nikmat dan nikmat itu ujian.

Jangan gopoh dalam berdakwah! Nanti terbabas, sapa yang susah..?? [Kredit]

Begitulah yang kita mahukan di dalam hidup ini. Mehnah dan tribulasi yang datang menimpa kita, walaupon pada masa-masa yang langsung tidak kita sangka-sangkakan, sewajarnya menjadi bekal untuk kita menjadi lebih gagah dan super saiya di atas jalan dakwah ini. No pain, no gain. Dan itulah yang membezakan seorang mukmin, apatah lagi seorang dai'e daripada masyarakat yang lainnya; pada mereka ujian itu nikmat dan nikmat itu ujian! Walaupun ujian datang secara tiba-tiba, kita harus langsung bersedia menghadapinya kerana kitalah pemegang panji agama ini!

Ujian sewajarnya tidak melemahkan, malah ia menguatkan.

Mehnah sepatutnya tidak melesukan, malah ia memberi dorongan dan tolakan.

Cabaran dan dugaan tidak mematahkan, malah ia memantapkan..!

Persoalannya: Adakah kita sudah bersedia...?

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?" 
[ali-Imraan, 3:142] 

-gabbana- 

Kasihan pada Humaira'. Pastu sudah haus tapak kakinya sekarang ini! =(

13 Caci Maki Puji Muji:

cahayalembut 21/07/2011, 13:34  

setyju dengan ini "ujian itu nikmat & nikmat itu ujian"

sweetnya nama Humaira' tu... ^_^
Moga Humaira' terus diberi kekuatan dan kelasakan yang maksimum untuk memudahkan kerja2 DnT di dunia plus akan jadi saham di akhirat sana.

.::annemishi::. 21/07/2011, 18:59  

Teringin pergi kibar yg uk/ire punya.
Tahun depan insya Allah.

otromen 21/07/2011, 21:16  

tak tahu kenapa sejak dua menjak ni bile saye buka belog ini ade je post2 yg berkaitan dgn ape yg sdg menghantui fikiran saye..
td baru terfikir tentang mehnah, bile buka belog ni ade pula post ttg mehnah hoho.. oh, mungkin Allah nk beri jwpn pd persoalan2 di minda saye ni melalui belog inche T_T(mode terharu dgn kasih syg Allah huuu hukhuk)

ayat feberet saye, 3:142.
mcmmana nk masuk syurga, mcm mana nk dpt redha Allah kalau kita tak JIHAD dan SABAR..
mehnah itu pasti ada, jadi perlu jihad melawan mehnah yg dtg, dan bersabar..jgn cepat putus asa..

p/s: oho pasti Humaira`yg berpipi merah (atau whole body merah menyala?? hoho) sgt cool dan bergaya dpt menyumbang tenaga utk DnT.. tabik spring utk Humaira`^^

peace

Anonymous 22/07/2011, 09:57  

terbaek ah tajuk. Jzkk anyway

Inche gabbana 25/07/2011, 09:43  

cahayalembut: Amin.

penting woo ada kuda dakwah ni. tanpanya, terasa mcm lumpuh! huhuhu..

Inche gabbana 25/07/2011, 09:44  

.::annemishi::.: eh? knapa tak dapat gi yg tahun ni..?

best woo dgr 'Sejarah Nusantara' Dr. Hafidzi. mmg terbaaaeekkk..! ;)

Inche gabbana 25/07/2011, 09:45  

otromen: dah kata dah, kebetulan tu bahasa argentina..! ;)

dan yes, allah syg pada anda, sbb dia nak anda jumpa persoalan-persoalan yg bermain dalam fikiran anda. moga allah permudahkan!

p/s: seluruh body dia merah menyala. mmg best bila nak lead konvoi. hehehe..

Inche gabbana 25/07/2011, 09:46  

enonimus: terbaik dari ladang.

barakallahu fik. ^^

Anonymous 27/07/2011, 11:08  

humaira'? x sesuai la en gabbana.xde yg maskulin sket ker?

coklat celup 27/07/2011, 19:51  

pogram kilau tuh untuk bdk2 mane? owh yeah... kibar mmg best.. lebih2 lgi dr hafidzi punye slot.. terbuka mata jugaklah sebab lama betul kita ditipu oleh sejarah buku text

Inche gabbana 28/07/2011, 15:27  

enonimus: uish, mengapa pula perlu maskulin..? dah sedap ah tu. cukup melembutkan hati saya yg agak keras ketika memandu nih! huhuhu..

Inche gabbana 28/07/2011, 15:28  

coklat celup: kilau ntok daq2 US dan Canada.

oh anda di situ juga..? saya kira anda di bahagian sebelah tabir/dinding..? hohoho..

coklat celup 29/07/2011, 01:30  

owh,nape saya rase blog nih blog akhawat erh? ingat dalam satu dinding @_@

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP