11 November 2016

Lelaki Ini Dipilih Menjadi Presiden Amerika Yang Baharu. Bagaimana Dia Melakukannya?

[Kredit]

Sepuluh tahun dari sekarang, buku-buku teks sejarah yang diluluskan Kementerian Pelajaran akan memasukkan tarikh sembilan November 2016 sebagai tarikh yang bermakna bukan sahaja buat rakyat Amerika Syarikat, tetapi juga penduduk di seluruh dunia. 

Kerana pada tarikh inilah, Donald John Trump telah dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang keempat puluh lima setelah mengalahkan calon Presiden dari parti Demokrat (dan juga Parti Hijau dan Libertarian), Hillary Diane Rodham Clinton. 

Sekali lagi Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa ia merupakan sebuah negara yang amat berpengaruh apabila pilihanraya presidennya telah mendapat perhatian dan liputan yang cukup menyeluruh dari seluruh dunia. Cukuplah hanya dengan melihat di garis masa Mukabuku anda; hampir setiap minit, pasti akan ada yang berkongsikan hapdet terbaru tentang jumlah undian yang dimenangi oleh kedua-dua calon. Tidak pernah ada mana-mana pilihanraya di dunia ini - baik Brazil mahupon India, Indonesia mahupon Uganda - yang menaikkan darah setinggi dan mendegupkan jantung sekencang pilihanraya Amerika Syarikat ini.

Ketika hampir semua bancian dan media-media berpengaruh menunjukkan bahawa Puan Clinton lah yang akan memenangi pilihanraya Presiden yang diadakan setiap empat tahun itu, ternyata Encik Trump berjaya membuatkan (hampir) semua pihak terbeliak mata apabila dia berjaya menewaskan Puan Clinton dengan margin yang boleh tahan besar juga.

Bancian-bancian dan jangkaan untuk Puan Clinton memenangi pilihanraya ini bukanlah suatu bancian atau jangkaan yang tidak berasas. Puan Clinton, selaku bekas wanita nombor satu Amerika dan beliau sendiri merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai reputasi tersendiri, Puan Clinton dilihat sebagai calon yang lebih berkelayakan untuk menggantikan Encik Obama. Dan sekiranya dibandingkan dengan Encik Trump yang tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam pejabat awam, ditambah pula dengan reputasi buruknya sebagai seksis, rasis, chauvinis, narsisis dan mulut-takde-insuranis, Puan Clinton dengan mudah dilihat sebagai calon feveret untuk menjadi Presiden Amerika yang keempat puluh lima, sekaligus menobatkan dirinya sebagai Presiden wanita pertama buat negara Pakcik Sam itu.

Dari sudut pandang konvensional, tidak ada sebab untuk Puan Clinton TIDAK memenangi pilihanraya ini. Tetapi ini bukan pilihanraya yang konvensional. Tahun 2016 bukan tahun yang konvensional. Dan Encik Trump bukanlah saorang calon yang konvensional. Kerana itu mungkin, kemenangan Encik Trump ibarat suatu kejutan elektrik buat mereka yang berfikiran konvensional. 

Sebenarnya, kemenangan Encik Trump tidaklah terlalu mengejutkan (Ceh bolehlah cakap macam ni sebab dia dah menang kan? Wahahaha.), meskipon itulah yang dicanang-canangkan oleh kebanyakan media massa di luar sana. Malah ada sahaja pihak yang telah menjangkakan kemenangan Encik Trump walaupon jangkaan itu tampaknya menentang arus perdana. 

Semenjak kemenangan Encik Trump dua hari yang lepas, sudah banyak analisa dan komen ditulis, baik oleh penganalisa profesional mahupon err, tak berapa nak profesional. Pelbagai pandangan dan kajian telah dikongsikan. Malah saya kira, anda yang membaca tulisan saya ini sudah boleh mengagak tujuh puluh ke lapan puluh peratus apa yang bakal saya tuliskan.

Jadi apa perlunya anda menulis ini lagi, Inche gabbana?

Biasalah, nak meriahkan lagi garis masa Mukabuku dan Pengicau anda lah! Wahahaha. Izinkan saya untuk saya kongsikan sedikit pandangan saya, meskipon kemungkinan besar saya hanya mengulangi apa yang telah anda baca. Izinkan saya untuk mencoretkan analisa saya, dengan stail Inche gabbana. Eheh.

Baiklah. Betulkan kolar. Buat-buat batuk.

Amaran: Post ini panjang. Sila sediakan makanan kacang badam dan air teh hijau (selari dengan gaya hidup sihat eheh).

Encik Trump tidak memenangi pilihanraya ini dengan satu atau dua faktor sahaja. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangannya. Sekiranya ada mana-mana penganalisa yang menuding jari kepada satu dua faktor yang utama, maaf, saya kurang bersetuju. Dunia ini terlalu dinamik dan kompleks untuk membenarkan perkara sedemikian berlaku. Kombinasi faktor-faktor ini lah - walau sekecil mana pon salah satu faktor yang ada - yang memungkinkan untuk Encik Trump memegang jawatan yang paling berkuasa di dunia pada Januari 2017 nanti.

Mari kita lihat faktor ini satu-persatu.

FAKTOR PUAN CLINTON

Yeayy walaupon aku tak
dapat jadi Presiden, harta
aku banyak!
Tiada siapa boleh menafikan, faktor Puan Clinton adalah antara faktor terbesar yang membuka jalan untuk kemenangan Encik Trump. 

Puan Clinton bukanlah budak hingusan dalam arena politik. Selain menjadi isteri kepada Presiden Amerika yang keempat puluh dua selama lapan tahun lamanya, beliau sendiri merupakan Senator untuk New York untuk tempoh lapan tahun bermula 2001 dari hingga 2009. Selain itu, beliau pernah dilantik oleh Presiden Obama untuk memegang antara jawatan yang paling berpengaruh dan berkuasa di dalam kabinet Obama, iaitu Setiausaha Negara untuk tempoh empat tahun bermula dari 2009 hingga 2013.

Dan inilah masalahnya buat Puan Clinton.

Puan Clinton mewakili the establishment (ahh tak tahu nak tulis apa dalam bahasa Melayu; tiada perkataan yang sesuai dan sedap untuk menggantikannya!). Mengundi Puan Clinton bermakna mengundi untuk the establishment yang sedia ada untuk kekal berkuasa. Malah mengundi Puan Clinton bermakna bersetuju untuk mengekalkan polisi-polisi dan dasar-dasar Presiden Obama sebelum ini (dengan sedikit perubahan di sini dan di sana).

Puan Clinton juga melambangkan imej elitis dan eselon yang lebih tinggi (Baca: the higher echelon). Puan Clinton dilihat sebagai calon untuk golongan intelek, liberal dan berpendapatan tinggi. Inilah yang menyebabkan beliau 'terpisah' daripada rakyat Amerika yang majoritinya adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Ini juga merupakan antara sebab mengapa Puan Clinton tewas kepada Encik Obama sewaktu pemilihan calon Presiden bagi parti Demokrat pada tahun 2008 dahulu. 

Bahkan, Puan Clinton dilihat mewakili kepentingan Wall Street, iaitu golongan aristokrat dan korporat yang menguasai sebahagian besar dari kekayaan Amerika. Wall Street seringkali dilihat sebagai perlambangan kepada ketidaksamarataan kekayaan dan pendapatan di Amerika. Apatah lagi Puan Clinton sering memberikan ucapan berbayar -  dilaporkan beliau menerima sehingga USD225,000 untuk sekali ucapan - kepada firma-firma Wall Street dan di konvensyen perniagaan, sehingga beliau dianggap bakal menjadi boneka kepada ahli-ahli kapitalis Amerika andai beliau dilantik menjadi Presiden. 

Ironinya, Encik Trump juga berasal dari keluarga elit dan atasan. Bahkan, beliau sendiri merupakan seorang mogul perniagaan yang berstatus bilionwan. Ha, baru sekarang anda perasan bukan, Donald Trump dalam rancangan The Apprentice dengan Donald Trump yang baharu sahaja dipilih menjadi Presiden Amerika yang baharu adalah orang yang sama? Kekeke. Tetapi disebabkan Puan Clinton sudah dicop sebagai saorang politikus yang merupakan jelmaan semula the establishment, sedangkan Encik Trump adalah saorang usahawan berjaya yang tiada apa-apa rekod dalam pejabat awam, pada pandangan saorang suri rumah di Michigan atau seorang petani di Arkansas, Encik Trump lebih layak untuk diberikan undi mereka. 

Selain itu, Puan Clinton juga mempunyai beberapa rekod yang agak buruk sepanjang beliau memegang jawatan sebagai penjawat awam. Selain bersetuju dengan penjajahan ke atas Afghanistan dan campur tangan di Iraq sewaktu menjadi Senator, kebijaksanaan beliau juga dipersoalkan apabila menyokong campur tangan ketenteraan Amerika di Libya yang akhirnya menyebabkan kejatuhan pemimpinnya, Muammar Ghadafi. Kontroversi emel beliau sewaktu menduduki pejabat Setiausaha Negara juga terus menghantuinya sepanjang tempoh berkempen untuk menjadi Presiden.

Semua faktor ini menyumbang kepada pembukaan jalan untuk Encik Trump menjadi Presiden Amerika yang keempat puluh lima.

FAKTOR ENCIK OBAMA

Kemenangan Encik Trump juga pada pandang sesetengah penganalisa politik, adalah pemberontakan orang kulit putih atau lebih dikenali dengan terma "whitelash." Ia adalah isyarat tidak puas hati kepada Presiden Obama - Presiden Amerika pertama yang berkulit hitam - yang telah lapan tahun memegang tampuk Rumah Putih.

Meskipon secara keseluruhannya, perkhidmatan Encik Obama sebagai Presiden dilihat sebagai positif dan memuaskan, ada beberapa polisinya yang dilihat sebagai menyisihkan orang kulit putih di Amerika. Obamacare contohnya, suatu polisi kesihatan yang memberikan insurans kesihatan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah, dilihat sebagai bias kepada orang-orang kulit hitam di Amerika memandangkan mereka inilah golongan majoriti yang berpendapatan rendah (meskipon persepsi ini tidak tepat sebenarnya).  

Sokongan Encik Obama terhadap perkahwinan sejenis dan golongan LGBT juga telah menyisihkan para pengundi dalam kalangan penganut Kristian tegar, yang terbukti telah menyokong Encik Trump dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini. Sikap liberal dan keterbukaan Encik Obama terhadap isu-isu pelarian Syria misalnya dan toleransi yang beliau tunjukkan kepada umat Islam secara umumnya, menambahkan kebencian puak nasionalis, fasis dan ektrem kanan di Amerika. 

Ingat; Encik Obama menyokong sepenuhnya pencalonan Puan Clinton sebagai wakil Demokrat untuk bertanding sebagai Presiden. Maka undi untuk Puan Clinton adalah undi untuk Encik Obama. 

Meskipon bunyinya rasis, majoriti golongan kulit putih tidak mahu lagi saorang Presiden yang tidak mampu untuk memperjuangkan hak keistimewaan mereka (koff koff). Mereka berasa terhina apabila dipimpin oleh saorang Presiden berkulit hitam, yang sehingga hari ini, masih ada khabar-khabar angin timur laut yang mengatakan beliau merupakan saorang Muslim dan bukan warganegara Amerika. Lantas mereka merasakan Encik Trump adalah calon yang sempurna untuk mereka angkat sebagai Presiden mereka yang baharu.

FAKTOR SOSIO-EKONOMI DAN SOSIO-POLITIK

Berbeza dengan apa yang berlaku dengan Brexit, di mana kita melihat ramai pengundi yang menyatakan kekesalan mereka sebaik sahaja keputusan Brexit diumumkan, kita tidak (atau belum lagi) melihat itu terjadi dalam kalangan mereka yang mengundi untuk Encik Trump.

Hal ini memberitahu kita satu perkara; majoriti (bergantung kepada definisi majoriti anda) rakyat Amerika benar-benar mahukan Encik Trump menjadi Presiden mereka.

Faktor sosio-ekonomi dan sosio-politik Amerika mungkin memberikan kita sedikit pencerahan tentang hal ini. 

Kebanyakan negeri atau wilayah yang mengundi Republikan adalah kawasan luar bandar; berbanding dengan yang mengundi untuk Demokrat, kebanyakan mereka adalah penduduk bandar. 

Mudahnya begini. Penduduk luar bandar:

  1. Lebih banyak yang berkulit putih dan mereka ini merupakan golongan majoriti;
  2. Mereka ini tidak punya akses kepada teknologi maklumat seperti mana penduduk bandar, maka tidak mendapat maklumat terkini tentang 'kecurangan' Encik Trump;
  3. Kurang berpendidikan dan tidak berfikiran terbuka, lantas mudah terpengaruh dengan retorik-retorik yang dimainkan oleh kem Encik Trump; 
  4. Mudah terpengaruh dengan idea-idea nasionalis dan fasis yang mahu melihat ketuanan orang kulit putih (Baca: white supremacy) di Amerika. Tidak hairan, Klu Klax Klan, sebuah pertubuhan berhaluan kanan yang ekstrem tanpa segan silu menyatakan sokongan mereka terhadap Encik Trump; dan
  5. Sebahagian besar 'kuat' berpegang kepada agama Kristian, maka kebanyakan ideologi parti Republikan yang konservatif (contohnya pendirian tentang menggugurkan bayi) dilihat lebih selari dengan prinsip mereka.
Begitu yakinnya sesetengah pemerhati dan penganalisa politik sehingga menjangkakan Puan Clinton akan menang besar!
Selain itu, demografi masyarakat bandar yang amat berbeza dengan kawasan luar bandar juga menjadi sebab mengapa mereka ini lebih banyak mengundi Puan Clinton berbanding dengan Encik Trump. Masyarakat bandar yang lebih terbuka dan bertoleransi, yang sudah biasa hidup riang gembira dengan pelbagai jenis bangsa dan mazhab, tidak membeli retorik-retorik Encik Trump yang menakut-nakutkan rakyat Amerika dengan tuduhan - antaranya - ekonomi Amerika dikuasai oleh bangsa asing.

Hmm. Macam tak jauh beza dengan apa yang berlaku di Malaysia semasa PRU13 yang lepas kan? Wah! 

FAKTOR ENCIK TRUMP

Sudah tentu, Encik Trump sendiri perlu diberi kredit dalam menjadikan dirinya sebagai juara di dalam perlumbaan ke Rumah Putih. 
Pasai apa hampa tak percaya aku boleh jadi Presiden hah??
Sesiapa yang menyangka Encik Trump adalah saorang politikus yang naif dan bodoh, sebenarnya silap. Bahkan, Encik Trump cukup licik dan bijak dalam menggerakkan buah-buah caturnya sehingga berjaya mengalahkan calon feveret, Puan Clinton.

Di peringkat awal pencalonannya di peringkat parti, tiada siapa yang menyangka Encik Trump boleh pergi jauh. Malah dia kerapkali diperlekehkan oleh pemerhati politik dan pengacara rancangan bual bicara. Dia kemudiannya membuat kejutan dengan mengalahkan satu-persatu calon-calon feveret Republikan yang jauh lebih berpengalaman seperti Encik Jeb Bush, Encik Marco Rubio, Encik Ted Cruz dan Encik John Kasich.

Namun tiada siapa yang berani untuk menjangkakan yang Encik Trump akan pergi lebih jauh dari itu; apatah lagi menewaskan Puan Clinton yang dilihat jauh lebih berpotensi dan berkelayakan untuk menjadi Presiden Amerika yang baharu.  

Ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan gila dan tidak masuk akal yang dikeluarkan oleh Encik Trump seperti mahu membina dinding pemisah dengan Mexico kerana dia menuduh negara itu membekalkan perogol, dadah dan penjenayah kepada Amerika, mahu menghalau semua umat Islam dari Amerika, mempermainkan saorang wartawan OKU, memperlekehkan saorang bekas ratu cantik, menuduh Presiden Obama dengan tuduhan yang tidak munasabah dan macam-macam lagi. 

Encik Trump segera menjadi bahan jenaka kegemaran media-media massa elit yang jelas sekali berpihak pada Puan Clinton. Mereka ini jugalah yang meramalkan yang Puan Clinton akan menang besar dalam perlumbaan dengan Encik Trump.

Mereka silap.

Keberanian dan ketulusan Encik Trump dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegitulah yang menambat hati para penyokongnya. Mereka melihat Encik Trump sebagai saorang tokoh yang boleh mereka percayai. Dengan dasar-dasar dan polisi-polisi kerajaan yang tidak menyebelahi mereka, mereka melihat Encik Trump sebagai penyelamat dan hero mereka.

Retorik-retorik Encik Trump - meski gila dan tidak masuk akal yang waras - adalah apa yang diperlukan oleh para penyokongnya. Encik Trump tahu apa yang mereka mahukan. Dalam kerisauan mereka menghadapi keadaan dunia yang tidak stabil, ekonomi yang kelihatan muram untuk mereka dan jurang pendapatan yang semakin melebar, Encik Trump datang membawa gula-gula yang menghilangkan keresahan mereka. Encik Trump mengambil risiko yang sangat besar apabila terlalu berani menentang arus perdana; namun jelas sekali pertaruhannya berbaloi.

Sekiranya Puan Clinton melambangkan the establishment, Encik Trump adalah lambang kepada anti-establishment. Dan itulah apa yang dimahukan oleh sebahagian besar rakyat Amerika. 

FAKTOR LAIN 

Ada banyak faktor lain yang sedikit-sebanyak memainkan peranan dalam menentukan hala tuju pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016. 

Antaranya:

1) Ancaman terorisme ke atas Amerika. Pentadbiran Encik Obama dilihat gagal untuk mengatasi ancaman ini. Inilah antara peluru utama yang seringkali digunakan oleh kem Encik Trump. Puan Clinton yang pernah memegang jawatan Setiausaha Negara menaikkan lagi saham Encik Trump.

2) Electoral college vote. Fungsinya hampir sama dengan kerusi parlimen di Malaysia. Walaupon Puan Clinton memenangi undi popular, tetapi Encik Trump memenangi lebih banyak electoral college vote, lantas melayakkan dirinya menjadi Presiden Amerika yang keempat puluh lima. Suara-suara yang mahu sistem electoral college vote ini dimansuhkan sudah lama kedengaran, namun sehingga ia benar-benar dihapuskan, ia masih merupakan faktor yang signifikan dalam menentukan siapakah yang akan menduduki Rumah Putih.

3) Calon parti ketiga. Kehadiran calon dari parti ketiga - Libertarian dan parti Hijau - juga berperanan dalam mempengaruhi keputusan pilihanraya Presiden, terutamanya di negeri-negeri atas pagar seperti Ohio, Arizona, Florida dan Pennsylvania. Lebih enam juta pengundi mengundi calon-calon dari parti ketiga ini, meningkat tiga kali ganda daripada pilihanraya 2012.

Now you are feeling the bern
for not electing me!
4) Faktor Encik Bernie Sanders. Selepas Encik Sanders tidak dipilih menjadi calon parti Demokrat untuk bertanding sebagai Presiden, ada sebahagian penyokong tegarnya yang terlalu kecewa sehingga menyatakan azam mereka untuk tidak mengundi sesiapa, termasuklah Puan Clinton. Mereka ini mungkin menyumbang kepada hampir 50% rakyat Amerika yang layak mengundi, tetapi tidak keluar mengundi. Untuk kawasan-kawasan yang atas pagar (Baca: swing state), undi mereka ini sangat berharga. 

Sedikit nota mungkin. Kebarangkalian untuk parti Demokrat memenangi pilihanraya Presiden Amerika adalah lebih tinggi sekiranya mereka mencalonkan Encik Bernie Sanders. Hal ini adalah kerana Encik Bernie Sanders yang mempunyai reputasi yang jauh lebih bersih dari Puan Clinton, dan pada masa sama mempunyai integriti dan personaliti yang lebih baik dari Encik Trump dan dilihat mampu memenuhi aspirasi sebahagian besar rakyat Amerika.

5) Peranan Freemason dan Iluminati. Err.

Fuh.

Begitulah sedikit-sebanyak analisa dan pemerhatian saya untuk pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016. Pilihanraya ini cukup menarik dan mengujakan sehingga saya tidak mahu terlepas dari memberikan perkongsian dan pandangan.

Mungkin ada yang tertanya-tertanya sambil garu kepala; bagaimana mungkin rakyat Amerika tergamak mengangkat saorang yang begitu korup moralnya dan rosak perilakunya sebagai commander-in-chief mereka? Sedikit-sebanyak telah saya jelaskan fenomena ini di dalam penulisan saya 'Projek Pembodohan Firaun'.

Mudahnya, perlantikan Enck Trump ke Rumah Putih, adalah suatu gambaran dahsyatnya kebejatan moral yang sedang berlaku di Amerika, sehingga mereka sanggup melantik seseorang seperti Encik Trump memimpin mereka. Hanya orang yang sudah rosak moral dan rendah akhlak sahaja yang sanggup dan mahu melantik orang yang rosak moral dan rendah akhlak juga.

Tidaklah pula saya katakan Puan Clinton itu lebih baik moralnya dan lebih berakhlak. Barangkali mereka berdua sama sahaja, malah boleh jadi Puan Clinton lebih dahsyat lagi! Tetapi sekurang-kurangnya dari segi luarannya, itulah imej Encik Trump yang dapat dilihat. 

Geleng kepala.

Saya perlu memberikan diskelemer. Analisa dan pemerhatian ini tidak konklusif dan seratus peratus tepat. Oleh sebab itu saya amat mengalu-alukan sebarang komen dan kritikan yang boleh membawa kepada diskusi ilmiah yang bermanfaat. Dan memandangkan penulisan saya ini agak lewat jika mahu dibandingkan dengan analisa-analisa yang lebih awal sudah ditulis di luar sana, saya tadehal lah kalau ada orang nak cakap saya plagiat analisa sesiapa! Eheh.

Nantikan siri tulisan saya selepas ini - Presiden Trump: Apa Kesannya Terhadap Umat Islam?

InshaAllah kalau saya rajinlah! Wahahaha.

Lari laju-laju.

-gabbana-

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 12/11/2016, 09:34  

Menunggu entri sterusnya untk siri ini. Sngat informatif. *thumbs up*

arifahbadli 14/11/2016, 10:03  

Terima kasih atas penulisan artikel yang sangat informatif ini.
Sekadar pandangan saya -- mungkin majoriti rakyat Amerika masih tidak boleh menerima seorang wanita untuk menjadi Presiden mereka?

Anonymous 21/11/2016, 20:36  

mindblown fiuh

Anonymous 30/11/2016, 15:20  

lama xsinggah di sini.sekali singgah cair otak.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP