14 December 2016

Tanya Sama Itu Hud Hud

Saya menulis cerpen ini dengan ingatan buat saudara-saudara kita di Syria khususnya, dan seluruh dunia umumnya. Jujur kadang-kadang ini terasa begitu lemah dan loser kerana tidak mampu berbuat apa-apa yang signifikan untuk saudara-saudara seaqidah kita yang yang tertindas di seluruh dunia. 

Kebanyakan masa hanya mampu untuk berhuhu sahaja. Adeh.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita yang hanya mampu untuk berjuang dan berjihad di Mukabuku, Pengicau, belog dan yang sewaktu dengannya. Moga saudara-saudara Syria, Palestin, Mesir, Rohingya, Kahsmir dan lain-lain lagi sudi untuk memaafkan kita. 

Nanges.

***

TANYA SAMA ITU HUD HUD



-->
Tujuh puluh tiga pintu,
Tujuh puluh tiga jalan,  
Yang sampai hanya satu jalan…
 
 Ribu-ribu mergasatua,  
Mencari Raja Si Muraq,
 Yang sampai hanya tiga puluh,
 Tiga puluh…
 
 Ooh sang algojo,
 Ooh nanti dulu!
 
 Lihat dunia dari mata burung,
 Atau dari dalam tempurung,
 Yang mana satu engkau pilih?

***

HURR TERBANG RENDAH hari itu.


Dia tahu risikonya tinggi, tapi entah mengapa, hari itu hatinya kuat menyuruhnya untuk terbang lebih rendah daripada biasa.

Angin dingin menampar mukanya. Terasa angin menari-nari di celah-celah bulu pelepahnya. Sejuk.

Dia tidak tahu apa yang dicarinya hari itu. Firasat hatinya tidak memberitahunya lebih daripada sekadar untuk terbang rendah. Itu sahaja.

Sengaja dikembangkan sayapnya lama-lama agar dia dapat terawang-awang di udara. Apabila daya apungnya semakin berkurang, cepat-cepat dia katupkan sayapnya agar dia dapat terus berada di udara.

"Tidakkan mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu."

Hurr ialah seekor burung. Lebih spesifik lagi, dia seekor burung dari spesies hudhud. Ya, hudhud yang lejen itu.

Hurr sangat berbangga menjadi makhluk yang bernama burung. Dia lebih berbangga lagi kerana dilahirkan sebagai seekor burung hudhud.

Sejarah alam buana sejak dahulu hingga kini, mencatatkan terlalu banyak noktah berharga tentang bangsanya. Merpati sejak turun-temurun dikenali sebagai alat penghubung dan komunikasi yang sangat dipercayai. Helang, selain menjadi simbol keberanian dan kepahlawanan, turut menjadi alat memburu yang hampir tiada cacat celanya.

Bagaimana dengan burung hantu yang penuh misteri itu? Yang sangat berguna sebagai penghapus haiwan perosak di ladang-ladang milik manusia. Atau cormorant yang sering kali membantu para nelayan di Jepun dan China menangkap ikan?

Ah, bangsa burung terlalu besar dan banyak jasanya pada bangsa manusia! Hanya mereka sahaja yang tidak pandai membalas budi!

Hurr amat teruja apabila dia pertama kali mendapat tahu tentang ayat-ayat Quran yang menyebut tentang burung. Di dalam kitab yang agung itu, ada belasan ayat yang menyebut tentang burung! Haiwan apakah yang boleh berbangga seperti burung, apabila bangsanya disebut berkali-kali oleh kalam Allah yang suci??

Hurr terus terbang mengikut gerak hatinya. Dia melihat ke bawah kalau-kalau ada pemandangan atau peristiwa yang menarik untuk diberikan perhatiannya.

Dia masih ingat ketika ibunya dahulu bercerita bagaimana Allah S.W.T. menghantar seketumbukan bala tentera dalam kalangan burung Ababil untuk menghancurkan tentera Abrahah yang durjana. Boleh sahaja Allah menghantar singa atau badak atau buaya. Tetapi Allah memilih bangsanya!

Dia juga masih ingat bagaimana ayahnya dengan penuh bangga mengisahkan, para unggas yang berterbangan di langit biru adalah antara pertama sekali yang akan turun untuk turut sama berzikir dengan Nabi Daud yang punya suara yang cukup mempesona.

Dia tidak mungkin melupakan, bagaimana nendanya pernah berkongsikan, kisah pergaduhan Habil dan Qabil yang berakhir dengan kematian Habil. Allah S.W.T. kemudiannya menghantar seekor burung gagak untuk mengajar Qabil cara-cara mahu mengambus mayat adiknya itu.

Dan terus segar dalam kepalanya, bagaimana ustazahnya di sekolah dahulu, dengan penuh keterujaan menceritakan, kisah seekor burung pipit yang berulang-alik mencedok air dengan paruhnya yang kecil itu untuk memadamkan api marak yang membakar Nabi Ibrahim. Apabila ditanya oleh warga rimba yang lain mengapa dia berbuat demikian sedangkan usahanya itu sia-sia belaka, apa jawab sang burung pipit?

“Sekurang-kurangnya aku punya alasan di hadapan Allah kelak, betapa aku telah berusaha sebaiknya untuk membantu menyelamatkan Nabi Allah, Ibrahim. Kalian, bagaimana? Apa yang kalian akan jawab di hadapan Allah nanti?”

Ya, walaupun ada dalam kalangan ustaz dan syeikh unggas yang mengatakan tiada sandaran untuk kisah itu, tetapi Hurr merasakan tiada salahnya untuk dia mengambil pengajaran daripada kisah itu.

Bahawa erti hidup pada memberi. Dan hidup yang bermakna itu adalah hidup yang penuh berjasa!

Mengalir air mata Hurr ketika pertama kali mendengar kisah tersebut. Cepat-cepat dilap matanya dengan sayap kanannya, takut-takut Bangjang, sang bangau yang duduk di sebelahnya ketika itu menyedari. Habis nanti dia menjadi bahan ejekan satu kelas! Apatah lagi kalau Joyah, sang murai bermulut becok itu sudah memulakan, memang sepurnamalah dia akan terus diolok-olokkan!

Namun, dalam banyak-banyak catatan bersejarah tentang burung, kisah moyangnya sang hudhud yang dirakamkan oleh Allah S.W.T. dengan panjang lebar di dalam surah an-Naml adalah kisah yang paling digemari dan dingati Hurr.

Bagaimana pada awalnya, Nabi Sulaiman begitu murka terhadap moyangnya itu, kerana tidak hadir dalam perhimpunan seluruh makhluk, baik manusia, jin dan haiwan. Namun apabila baginda mendengar penjelasan terperinci sang hudhud tentang seorang ratu yang memerintah sebuah negara yang cukup kuat dan makmur tetapi mereka kufur, tidak menyembah Allah, mood baginda terus berubah. Daripada murka bertukar teruja!

Semua pun tahu bagaimana kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis itu berakhir dengan penyatuan dua kuasa besar yang cukup hebat; Kerajaan Sulaiman yang bukan sahaja berkuasa terhadap manusia, malah angin, jin dan haiwan . Dan Kerajaan Balqis yang memerintah Saba’. Ratu Balqis sendiri akhirnya menyatakan keimanannya dengan suka rela dan penuh cinta.

Cukup besar jasa moyangnya dalam membawa Ratu Balqis mengenal Tuhan. Cukup hebat budi moyangnya dalam menyebarkan nur hidayah kepada bangsa manusia.

Kisah moyangnya sang hudhud itulah yang sering menjadi inspirasi kepada Hurr untuk sentiasa bersikap proaktif dalam apa jua perkara. Apatah lagi apabila ia membabitkan tugas-tugas berbakti kepada agama. Tidak perlu tunggu arahan untuk berjasa. Tidak perlu suruhan untuk menyebarkan cinta-Nya!

Tiba-tiba Hurr terdengar bunyi letupan yang boleh tahan kuatnya tidak jauh dari ruang angkasa tempat dia sedang mengemudi sayapnya. Gelombang hasil daripada letupan tu begitu kuat sehinggakan keseimbangan Hurr di udara terjejas. Terhuyung-hayang sebentar dibuatnya!

Cepat-cepat Hurr terbang ke pohon yang terdekat untuk mencari tempat pendaratan yang selamat. Dia semacam sudah boleh mengagak apa yang berlaku.

Hurr sebenarnya sedang berada di Aleppo, antara wilayah yang paling bergolak dalam konflik perang saudara di Syria. Saban hari, bunyi tembakan dan letupan sudah menjadi ibarat suatu kebiasaan. Tiada hari yang berlalu tanpa ruang udara bergema dengan peluru yang terhambur keluar dari senapang automatik Kalashnikov atau peluru berpandu yang dilancarkan bertalu-talu dari jet pejuang MiG-25.

Syria tidak begitu beberapa tahun yang dahulu. Malah Syria antara syurga dunia buat bangsa burung seperti Hurr. Dengan taman-taman bunganya yang menghijau, pokok-pokoknya yang melampai dan bangunan-bangunan bersejarah dengan seni bina yang begitu memukau, sungguh Syria seringkali menjadi destinasi percutian buat kebanyakan burung, baik yang bujang, baru berkahwin mahupun yang sudah berkeluarga.

Tapi kini Syria tidak sama lagi. Sebahagian besar daripada Syria sudah bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Masjid Umayyad, antara masjid yang terbesar dan tertua di dunia yang letaknya di Damaskus, yang dahulunya menjadi antara tempat persinggahan yang paling digemari Hurr untuk mencuri-curi dengar launan al-Quran dan lantunan zikir yang merdu oleh bangsa manusia yang beriman, kini sudah roboh menyembah bumi, hancur dimakan api. Semuanya gara-gara kekejaman syaitan bertopengkan manusia bernama Bashar al-Assad. Kegilaan Bashar untuk terus berkuasa menjadikan dia seperti dirasuk raja jembalang; sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal bermaharajalela.

Ramai manusia yang menentangnya diburu, ditangkap, diseksa malah dibunuh. Mana-mana kampung yang didapati bangkit melakukan pemberontakan dan penentangan, akan dibom secara semberono. Wanita-wanita dan anak-anak gadis diculik dan diperkosa ibarat tiada harga pada diri mereka. Dan berapa ramai pula anak-anak kecil tidak berdosa, yang belum kenal erti hidup, yang belum pernah mengembara dunia, yang tergesa-gesa menemukan ajal mereka?

Hurr sungguh tidak faham dengan bangsa manusia. Bukankah mereka bangsa yang telah ditaklifkan dengan tugas khalifah, tugas termulia untuk memakmurkan alam buana? Bukankah mereka makhluk yang paling mulia, yang Allah kurniakan akal untuk berfikir agar dapat membezakan pahala dan dosa? Dan bukankah mereka ini yang sepatutnya diharapkan oleh bangsa haiwan dan tumbuhan, untuk hidup dalam keadaan harmoni dan bahagia?

Ya, bangsa burung juga ada bertelingkah dan berbalah sekali-sekala. Bangsa burung ada juga bergaduh dan bersengketa. Tetapi tidaklah sampai tahap manusia yang sanggup berbunuhan sesama mereka atas nama kuasa dan harta!

Entah mengapa, Hurr sebak setiap kali memikirkan tentang nasib manusia. Kerana dia tahu, apa sahaja yang berlaku pada mereka, pasti akan mengesankan bangsa haiwan seperti dirinya, malah alam seluruhnya. Segala macam bala bencana yang menimpa mereka di dunia pasti akan turut mempengaruhi kehidupan mergastua di langit sana.

Dari dahan tempat Hurr bertenggek, dia boleh melihat dengan jelas asap kelabu hitam berkepul-kepul keluar dari sebuah bangunan yang sedang marak terbakar. Dia boleh mendengar dengan baik jeritan nyaring kaum ibu dan tangisan syahdu anak-anak yang lari menyelamatkan diri mereka. Bunyi tembakan dan letupan berselang-seli dengan teriakan manusia yang Hurr sendiri tidak pasti, sama ada marah dan kecewa dengan kekejaman Bashar atau mengadu pada Allah tentang nasib mereka.

Tidak semena-mena, mengalir air mata Hurr membasahi pipi dan paruhnya. Kali ini Hurr membiarkan sahaja air matanya mengalir. Entah mengapa, setiap titisan air yang menitis dari matanya dirasakan seolah-olahnya menyejukkan hatinya yang menggelegak kemarahan melihat gelagat manusia yang tidak mungkin akan difahaminya sampai bila-bila.

Yang menyakitkan lagi hati Hurr adalah apabila mengetahui umat manusia di tempat lainnya seolah-olahnya tidak peduli dengan apa yang berlaku di Syria. Ya, Hurr ada mendengar mereka mengutuk tindakan Bashar, mengecam kezalimannya, namun sehingga kini Bashar masih lagi berkuasa, kekejamannya masih lagi bermaharajalela. Apa bangsa manusia ini hanya tahu mengutuk dan mengecam sahajakah?

Yang lebih membuatkan hatinya rasa pedih ialah bagaimana umat Islam sendiri seakan-akannya tidak endah dengan nasib saudara-saudara mereka di Syria. Sedangkan umat Islam bukannya bangsa yang miskin. Tengok sahaja bangunan-bangunan pencakar langit di Dubai, atau menara jam tertinggi di Makkah, atau kompleks beli-belah yang mewah di Qatar. Semua itu bukti kekayaan umat Islam! Bagaimana mereka tergamak membiarkan saudara seakidah mereka kebuluran tiada makanan, kesejukan tanpa pakaian? Bagaimana mereka sanggup melihat saudara sedarah agama mereka terus dianiaya Bashar dan konco-konconya?

Hurr hanya mampu untuk berhuhu sahajalah.

Setelah keadaan agak reda, Hurr kembali menggerakkan sayapnya untuk terbang semula.

Fitrah burung adalah di udara. Fitrah burung bukan di tanah, bukan di laut, tetapi di udara. Dan dari udara, burung seperti Hurr dapat menyaksikan banyak perkara yang tidak mungkin dapat difahami oleh makhluk yang lainnya.

Hurr terbang mendekati kawasan yang baru diserang sebentar tadi. Mana tahu ada apa-apa yang boleh dibantunya.

Sejak konflik Syria terjadi, ia banyak mengganggu hidup Hurr. Kepalanya sering kali serabut memikirkan tentang apa yang berlaku, mencari-cari ibrah dan hikmah daripada semua ini. Dia yakin, tidak mungkin Allah mentakdirkan semua ini sia-sia; pasti ada sesuatu yang amat berharga di sebaliknya.

Dia mahu membantu. Dia mahu berbuat sesuatu. Dia mahu menjadi makhluk yang berjasa kepada sang khalifah manusia.

Dia mahu menjadi seperti pipit yang bertungkus-lumus mahu memadamkan api yang marak menyala.

Dia mahu mencontohi gagak yang menjadi tauladan buat manusia.

Dan yang pasti, dia mahu menjadi seperti hudhud yang bersungguh menegakkan agama.

Hatinya kuat mengatakan hari itulah harinya; hari yang akhirnya dia akan berjasa kepada bangsa manusia dan agama.

Cuma bagaimana, dia tidak pasti.

Hurr terbang lebih rendah lagi, meskipun dia tahu risikonya tinggi. Bau asap pekat yang hangit menusuk hidungnya. Ada sesuatu, daging manusia mungkin; yang sudah rentung terbakar.

Tiba-tiba, Hurr merasakan suatu hentaman kuat pada kepalanya. Cukup kuat sehingga Hurr menggelepar dan tidak dapat mengawal sayapnya. Sakitnya bukan kepalang. Tidak pernah sepanjang hayatnya dia merasakan sakit sebegitu rupa.

Antara sedar dan tidak, Hurr hanya mampu melihat yang dia sedang menjunam, menuju tepat ke tanah rata. Antara percaya dan tidak, Hurr merasakan dia bakal menemukan ajalnya.

Entah mengapa, jauh di sudut hatinya, Hurr bahagia. Gembira.

***

“Umi, umi! Lihat ni!”

Seorang anak kecil berlari-lari ke arah ibunya. Mukanya comot, rambutnya serabai dan baju yang dipakainya koyak sana sini. Namun terpancar cahaya kegembiraan pada wajahnya.

Pada tangan kanannya kelihatan sebatang lastik yang dipegang kejap. Dan tangan kirinya memegang kaki seekor burung yang berdarah kepalanya.

Sang ibu mendakap anaknya itu dengan penuh rasa kasih.

“Apa di tanganmu tu, nak?”

“Umi! Segala puji bagi Allah, Pemilik Segala Rezeki. Sudah tiga hari kita tidak menjamah apa-apa dan hari ini, Dia menghantar burung ini kepada kita!”

Sang ibu tersenyum. Dia mengusap kepala anak kesayangannya itu dan mengambil burung itu dari tangan anaknya.

Sang ibu terkesima sebentar. Dia tidak berapa pasti tetapi seolah-olahnya burung itu sedang tersenyum. Bahagia.

***

Tanya sama itu hud hud,
Lang mensilang,
Koi mensikoi,
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari.

***

Nota: Cerpen ini dimuatkan di dalam antalogi cerpen INI CERITA (PENDEK) AKU! terbitan Penerbitan Wahai! Jika anda berminat untuk mendapatkan antalogi cerpen ini, silalah tanpa segan-silu melawat laman Mukabuku mereka.

Cerpen ini disiarkan di belog ini dengan ijin penerbit. Sekian.

-gabbana-   

4 Caci Maki Puji Muji:

miss_peguam 14/12/2016, 12:48  

:')

Muhammad Azim 16/12/2016, 09:20  

Jzkk

Hazim Muddin 23/12/2016, 18:06  

Tersentuh

Amir Mujahid 26/12/2016, 14:43  

Haihhhh..sedih jalan cerita..hurmm..tapi tu la..burung pun boleh berbakti apa pulak kita..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP