4 November 2016

Nabi Ibrahim Juga Bertanya

[Kredit]

Ada satu kebiasaan atau amalan yang kurang sihat yang seringkali berlaku pada sesebuah organisasi, persatuan, syarikat atau jemaah dan sebagainya. Itulah kebiasaan melarang ahli-ahlinya daripada banyak mempersoalkan dan bertanya tentang keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan.

Alasan yang diberikan selalunya keputusan telah pon dibuat, mengapa perlu dipersoalkan?

Atau keputusan telah dibuat oleh mereka yang arif lagi berpengalaman, maka sudah tentu keputusan itu baik untuk semua.

Atau kalau agak kerek bunyinya, apa hak ahli-ahli muda yang masih hingusan untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh mereka yang lebih dahulu makan garam?

Atau boleh jadi, untuk menjadikan ia lebih tarbawi bunyinya (selalunya berlaku di dalam jemaah harakiah Islam), keputusan dibuat oleh syura yang mulzim. Maka menjadi tanggungjawab ahli untuk taat tanpa banyak soal.

Alahai. 

Walaupun benar ada hadith dan ayat al-Quran yang melarang daripada banyak bertanya, tapi dalil-dalil tersebut perlu difahami menurut konteks dan asbab diturunkannya. Hadith sembilan di dalam hadith arbai'n an-Nawawiyah contohnya menyebut:

"Jauhilah semua yang aku larang dan laksanakan apa yang aku perintahkan semampu kalian. Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kalian adalah kerana mereka terlalu banyak bertanya dan berselisih dengan nabi-nabi mereka." 

[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA]

Hadith ini melarang daripada banyak bertanya tentang perintah-perintah dan arahan-arahan yang datangnya dari ar-Rasul SAW. Memandangkan baginda adalah maksum dan baginda merupakan imam kepada ummah yang tiada penggantinya, maka apa yang datang dari mulut baginda, yang mana berbentuk hukum dan suruhan, ia perlu dipatuhi tanpa banyak songeh dan kompromi. Apatah lagi perintah yang datangnya dari ar-Rasul SAW itu hakikatnya adalah wahyu, yang sumbernya sudah tentu dari Allah yang Maha Tahu.

Banyak bertanya tentang sesuatu yang telah qati'e dan syari'e akan membawa padah. Bertanya semata-mata untuk menyusahkan seseorang atau untuk mengelak daripada melaksanakan sesuatu arahan, itulah pertanyaan-pertanyaan yang dilarang dan ditegah. Sepertimana Bani Israil yang banyak bertanya kepada nabi mereka, Musa AS, tentang perihal lembu betina sehingga hampir-hampir mereka tidak jadi menyembelihnya! 

Sedangkan pertanyaan yang membuahkan amal, yang mahu menambah keyakinan di dalam hati dan mahu memantapkan ilmu, itu adalah pertanyaan yang dibolehkan malah digalakkan. Pertanyaan sebegini adalah sebahagian daripada cabang ilmu. Kebiasaan untuk bertanya soalan-soalan yang mencambahkan ilmu dan menggalakkan diskusi ilmiah sepatutnya disemai suburkan di dalam setiap jiwa mu'min.

Bukankah Allah SWT sendiri yang berfirman, bukan sekali malah dua kali di dalam al-Quran (surah an-Nahl dan surah al-Anbiya'):

فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

"Maka bertanyakanlah kepada ahli zikir (orang yang berilmu) apabila kamu tidak tahu."

Semangat ingin tahu dan kuriyeslah yang membawa umat Islam jauh memimpin dunia suatu ketika dahulu, sehingga para ilmuwan Islam berjaya menemukan pelbagai ilmu dan teknologi yang jauh meninggalkan apa-apa ketamadunan yang wujud ketika itu.

Kerana banyak bertanya dan mempersoalkan status quo yang sedia ada lah yang berjaya memecahkan tembok kebebalan dan kejahilan yang pernah menutup tradisi keilmuan di Eropah semasa zaman gelap dahulu.

Malah konsep pertanyaan "Who, What, Why, When, Where, How" dianggap sebagai soalan-soalan asas dalam tradisi keilmuan bagi mengumpul maklumat dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Malangnya, apabila ia diaplikasikan di dalam bingkai sesebuah gerakan harakah, ia dianggap tabu. Yang banyak bertanya ini dianggap sebagai derhaka dan tidak taat. Yang banyak mempersoalkan ini mesti diturunkan pangkat atau lebih teruk lagi, ditendang keluar dari organisasi atau persatuan yang disertainya.

Tidak, saya tidak berbicara tentang sebuah Parti Melayu itu sahaja. Ops. Hatta dalam jemaah Islam juga wujud budaya yang tidak sihat ini.

Malah dalam bulatan-bulatan gembira juga kadangkala ada doktrinisasi ini. 

"Jangan banyak bertanya, dengar sahaja apa yang naqibah katakan."

"Nta jangan banyak tanya syaaaiikkhh, benda ni semua ulama' dulu dah bahaskan lama daaah."

"Enti ni, takkanlah benda simple macam ni pon tak tahu? Kalau ini pon tak tahu. tak usahlah banyak soal."

Lahai. Budak tu tanya sebab nak tahu je pon. Nak tambahkan keyakinan diri. Biasalah tu budak baru nak up, mesti kuriyes pasal banyak benda. Bila awal-awal dah kena kondem macam tu, dia pon dah tak semangat nak bertanya. Bila dah takde orang nak tanya, bulatan pon dah tak jadi gembira. Lama-lama dia pon angkat kaki bawa diri, sebab bulatan gembira yang sepatutnya membina jatidiri, yang membentuk firah dan mencambah ilmu, jadi bulatan yang syok sendiri.

Nampak tak permainannya di situ?   

Mana-mana persatuan yang menghalang ahlinya daripada bertanya dan mempersoalkan, adalah persatuan mati pucuk yang tidak akan melahirkan pelapis yang matang.

Mana-mana organisasi yang memperlecehkan ahlinya daripada mengkritik dengan baik, adalah organisasi malang yang tidak mungkin akan berkembang.

Dan mana-mana jemaah yang tidak menggalakkan kader-kadernya daripada bertanya, berdiskusi dan berdebat (dengan adab-adabnya ofkos),  ia adalah jemaah yang hanya akan menghasilkan robot yang tiada ruh dan jiwa!  

Maka di sinilah, Nabi Irabhim AS yang mulia itu, telah menunjukkan kita jalannya. Jalan yang penuh dengan ibrah, menjadi penyuluh buat setiap jiwa yang dahagakan hikmah. Ewah.

Allah SWT merekodkan peristiwa ini dengan jelas di dalam al-Quran:

"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, 'Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang yang mati?' Allah berfirman, 'Adakah engkau beleum beriman?' Dia (Ibrahim) menjawab, 'Bahkan (aku beriman), tetapi supaya dapat mententeramkan hatiku.' Dia (Allah) berfirman, 'Jika demikian, ambillah empat ekor burung lalu cincanglah mereka. Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.' Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maka Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
[al-Baqarah, 2:260]

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim AS mempersoalkan kejadian hidup dan mati kepada Allah. Dan ia bukan sembarangan persoalan; ia satu persoalan asas dalam aqidah yang berkaitan dengan keimanan terhadap kekuasaan Allah!

Walhal, sekiranya kita meneliti beberapa ayat sebelum itu, kita akan dapati bagindalah yang paling berani dan lantang menegakkan syahadah al-haq di hadapan kaumnya!

"Tidakkah engkau memerhatikan orang yang berhujah membantah Ibrahim mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kerajaan (kekuasaan). Ketika Ibrahim berkata, 'Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan mematikan...'"
[al-Baqarah, 2:258]  

Sekiranya ada seorang manusia di zaman itu yang paling yakin akan kekuasaan Allah Yang menghidupkan dan mematikan, maka tidak syak lagi, Ibrahim lah orangnya. Baginda lah, dengan kebijaksanaan yang Allah telah kurniakan kepadanya, manusia yang paling jelas ketika itu tentang kemampuan Allah untuk berbuat apa sahaja di seluruh alam buana ini.

Dan ini tidak menghalangnya untuk mempersoalkan perkara yang sama yang baginda sendiri telah imani. 

Untuk apa?

"...supaya dapat mententeramkan hatiku."

Nah, adakah Allah pantas menuduhnya Nabi-Nya itu sebagai derhaka? Sebagai tidak taat? Marah dan murka kepada 'pengkhianatan' Nabi Ibrahim kerana mempersoalkan kekuasaan-Nya?

Tidak. Tidak sama sekali.


Bahkan Allah SWT, dengan kebijaksanaan dan hikmah-Nya, telah memenuhi permintaan kekasih-Nya itu. Malah dipandu-Nya Ibrahim AS satu-persatu, agar keyakinan yang benar-benar utuh akan terhunjam dalam ke dalam hati Khalilullah itu. Agar selepas ini, tiada lagi persoalan yang serupa akan dilontarkan

Begitulah yang sepatutnya.

Apabila ada ahli-ahli persatuan kita yang mempersoalkan keputusan-keputusan yang telah dibuat di peringkat AJK tertinggi, jangan cepat marah. Sebaliknya, berilah penjelasan dengan sebaiknya agar hati mereka sejahtera, malah dapat pula mempermudahkan urusan kita untuk melaksanakan keputusan tersebut.

Apabila ada pekerja-pekerja syarikat kita yang tidak berpuas hati lantas mempersoalkan polisi syarikat atau prosedur-prosedur yang tertentu, jangan mudah resah. Sebaliknya, hadapilah mereka dengan baik dan jawablah pertanyaan mereka dengan profesional, agar gembira hati mereka. Bukankah pekerja yang gembira akan menjadikan majikan juga teruja?

Apabila ada kader-kader dalam jemaah kita yang mengkritik atau mempertikaikan atau bertanya tentang beberapa polisi jemaah atau keputusan-keputusan yang telah dibuat di peringkat syura, jangan pantas menggelabah. Sebaliknya, santunilah kritikan dan persoalan yang ada dengan bijaksana dan chenta, agar hati mereka aman jadinya. Percayalah, mereka akan lebih hormat dan sayang pada qiyadah jemaah

Dan apabila ada mutarabbi kita yang bertanya soalan-soalan yang kita rasakan terlalu asas atau pada peringkatnya itu sewajarnya sudah dia fahami, jangan terus melatah. Sebaliknya, cubalah sebaiknya untuk menangani persoalan tersebut dengan penuh hikmah dan kasih-sayang. Agar hatinya benar-benar tenteram dan keyakinan yang tertanam selepas itu adalah keyakinan sebenar yang sukar sekali untuk digugat selepas ini 

Kerana hari ini kita telah belajar dari Ibrahim AS, bahawa tiada salahnya bertanya. Senyum.

-gabbana-   

6 Caci Maki Puji Muji:

Husein Husaini 06/11/2016, 10:10  

Good sharing. Teruskan menulis

Nur Ainun 10/11/2016, 22:47  

Terima kasih !😊

Anonymous 18/11/2016, 10:36  

��������

Muhamad Haziq Amir 05/12/2016, 11:56  

Heh mantap !

Unknown 05/03/2017, 18:36  

got the point

I'shhkun 25/05/2017, 02:00  

Eheh....petir menyambar diri,bagai hati tertusuk duri,mencelikkan jiwa yang bongkak diri,tersedar aku dek khayalan fatamorgana mimpi..(;

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP