8 July 2014

Sup Dapur Untuk Ku Nan

[Kredit]

Mungkin agak terlewat untuk saya memberikan maklum balas ini terhadap kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, atau nama manjanya, Ku Nan, berkaitan dengan isu peminta sedekah dan gelandangan. Apatah lagi alam maya sudah pon gamat dibuatnya dengan maklum balas dan komen-komen panas daripada para pahlawan dan perwira papan kekunci yang berang dengan kenyataan Ku Nan itu.

Saya rasa sudah cukuplah hamburan, kritikan dan kutukan yang dilemparkan kepada Ku Nan. Kasihan pada mereka yang mengutuk dan mencaci-maki Ku Nan itu; hilang pahala puasa mereka. Eh.

Dan saya rasa sudah cukup juga segala tok nenek fakta yang diketengahkan untuk membidas dan menafikan kerelevenan hujah-hujah Ku Nan.

Terbaru, seorang lagi Menteri mengeluarkan kenyataan kurang bijak, mengatakan inisiatif seperti sup dapur (Baca: Soup kitchen) telah diambil kesempatan oleh para pelancong asing. Oleh sebab itu, menurutnya, aktiviti sup dapur ini perlu dipindahkan jauh-jauh dari pusat bandar. Haih menteri itu tak bersahur agaknya. 

Jadi hari ini saya hanya ingin berkongsikan beberapa potong ayat al-Quran yang saya rasakan sangat kena dengan apa yang diungkapkan oleh Ku Nan, secara tidak langsung dapat juga menjawab kerisauan dan keresahan kita semua terhadap kenyataannya tersebut.

Di dalam surah al-Insaan, Allah berfirman:

"Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan, (sambil berkata,) 'Sesungguhnya kami memberi makan kepadamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah; kami tidak mengharapkan balasan dan terima kasih dari kamu.

Sungguh kami takut akan (azab) Tuhan pada hari (ketika) orang-orang berwajah masam penuh kesulitan.'"
[al-Insaan, 76:8-10]

Inilah tanda keikhlasan. Itulah lambang kebaikan. Dan itulah syarat keihsanan. 

Bukan memberi makan kepada orang miskin dan mereka yang memerlukan semata, malah memberikan makanan yang disukai. Dengan kata lain, memberikan perkhidmatan dan perhatian yang terbaik buat golongan ini.

Dan tiada apa yang diharapkan daripada kerja-kerja kebajikan ini, hatta ucapan terima kasih, meski seukir senyuman, melainkan keredhaan Allah semata-mata.

Mereka inilah, di akhirat nanti akan dilindungi Allah

"...dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka keceriaan dan kegembiraan."
[al-Insaan, 76:11]

Moga perkongsian ringkas ini menjadi peringatan buat kita semua agar tidak berjalan di muka bumi Allah ini dengan sombong dan angkuh. Moga ayat-ayat chentaNya ini menjadi bekalan buat kita, agar di akhirat nanti kita tidak "...berwajah masam penuh kesulitan."

Dan moga ayat-ayat ini menjadi sup dapur buat kita semua, menghidupkan dan menggembirakan, sepertimana sup dapur yang telah meringankan beban dan menceriakan ramainya gelandangan di luar sana.

Moga Allah redha. Senyum.

-gabbana-

Satu pertiga Ramadhan bakal menutupkan tirainya. Adakah kita layak ke pusingan seterusnya dalam merebut piala taqwa...? 

Sudah imanan wahtisaban kah kita? Ayuh muhasabah!

2 Caci Maki Puji Muji:

Farid 08/07/2014, 15:02  

Masha Allah. Sesungguhnya kalam Allah itu ada jawapan untuk setiap permasalahan manusia. Terbaik. (Y)

Anonymous 08/07/2014, 17:21  

Good point there Inche Gabana

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP