30 June 2014

Saya, Robot

[Kredit]

Saya pernah dicemuh dan ditempelak di alam maya, kerana mengeluarkan status yang berbunyi kurang lebih begini:

"Jika mahu lihat robot, naiklah tren!"

Kata segelintir daripada depa ni, saya judgmental dengan mengeluarkan status seperti itu.

Saya tidak menyalahkan depa kerana itulah hakikat yang perlu ditelan apabila menulis sesuatu di alam maya (termasuklah waksep) kerana kurangnya elemen emosi dan rasa di situ. Juga tidak boleh menyalahkan depa kerana mungkin ada yang tidak pernah naik tren. Eh.

Batuk batuk. 

Anda yang berulang-alik ke tempat kerja atau kampus dengan menaiki tren, sama ada LRT, monorel atau komuter pasti akan bersetuju dengan saya. Jika tidak keseluruhannya, separuh pon jadilah. Hey, anggukkan kepala anda sebagai tanda setuju! Bagus, terima kasih.

Masing-masing sibuk dengan gajet masing-masing. Sama ada asyik mendengar lagu, khusyu' menggaru papan, khayal menonton filem atau bermain game atau tertawa sendiri membaca komen-komen di laman Mukabuku peribadi, gerabak tren itu dipenuhi dengan makhluk-makhluk yang tidak punya ruh dan perasaan.

Adalah dua tiga atau empat lima orang yang sakan berborak dan bergelak tawa. Namun selalunya boleh dibilang dengan sebelah tapak tangan sahaja.

Masuk ke dalam gerabak dengan matlamat yang satu; mahu sampai ke destinasi dengan secepat yang mungkin. Apa yang terjadi di sekitar, sesiapa yang berada di sekeliling, itu tidak dipedulikan. Yang penting sampai dengan selamat. Tapi kadang-kadang kalau ada bau ketiak yang tengik dan hangit, itu memang kenalah peduli. Boleh bikin ringan satu kepala! Eheh.  

Tidak hairanlah ibu yang sarat mengandung dibiarkan berdiri sepanjang perjalanan.

Tidak peliklah si buta yang teraba-raba tidak diutamakan.

Tidak janggallah si kurang upaya berkerusi roda dibuat kacang cap tangan.

Kerana di dalam tren itu adalah robot-robot yang tidak punya simpati atau perasaan.

Geleng kepala.

Itu baharu sketsa di dalam tren. Rupa-rupanya tanpa kita sedari, kita juga sebenarnya sebuah robot dalam kehidupan kita sehari-hari.

Tidak percaya? Tidak usah garu kepala. Cuba lihat sahaja jadual kehidupan kita sehari-hari. 

Bangun pagi gosok gigi. Bersiap-siap dan bersarapan sebelum ke tempat kerja/kelas/kuliah. Tengah hari makan tengah hari. Kemudian sambung bekerja/belajar. Lewat petang baharu pulang ke rumah masing-masing. Kalau penat, rilek-rilek isap rokok sambil menonton telebisen. Kalau masih bertenaga, bolehlah pergi bermain badminton atau boling barang selontar dua. Kemudian minum susu panas sebelum tidur. 

Dan kita ulang dan ulang dan ulang semula. Mungkinlah ada sedikit variasi sini dan sana, tapi tidak jauh bezanya.

Seminggu sekali ada upacara menonton movie atau mencuci mata di mana-mana komplek beli-belah pilihan hati. Kalau ada wang lebih mungkin boleh pergi makan sushi.

Tiga bulan sekali kita beli tiket AirAsia untuk pergi bercuti. Duit banyak bolehlah pergi main salji. Tapi cukuplah jalan-jalan dalam negeri kalau duit hanya tinggal celah gigi. 

Dan kita ulang dan ulang dan ulang semula. Mungkinlah ada variasi sini dan sana, tapi tidak jauh bezanya.

Ada masanya kita akan mendirikan rumah tangga. Ehem. Kemudian dapatlah tiga empat orang anak yang comel dan gebu pipinya. Kemudian bertukar kerja. Kemudian kahwin lagi. Eh. Kemudian tua. Kemudian mati. Mungkin tak sempat tua dan sudah mati. 

Namun semuanya itu seolah-olahnya sudah diprogramkan. Seperti sudah ditanam cipnya ke dalam kepala otak kita. Seperti kitalah watak utama dalam permainan Sim City itu. 

Sampai bila kitaran ini harus berterusan..? Bukankah kita punya tujuan penciptaan yang lebih bermakna dan besar nilainya daripada semua itu?

Sudah hilang makna sebuah kehidupan. Sudah tiada erti pada sebuah ciptaan bernama manusia. Sudah tiada lagi ruh pada jiwa seorang hamba.

Bukankah robot namanya itu...? 

Sebuah robot yang tidak mengerti apa-apa tentang tujuan penciptaannya. Hanya menurut arahan seperti yang telah diprogramkan. Ada yang membungkus kotak. Ada yang menggergaji besi. Ada yang membakar batu. Ada yang memotong kayu. Ada yang mengadun tepung. 

Dan mereka  ulang dan ulang dan ulang semua itu, sehinggalah salah satu skrunya tercabut atau gearnya tersangkut atau plagnya dicabut... Tamatlah riwayat mereka sebagai sebuah robot. 

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat) Allah dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah."
[al-A'raf, 7:179]  

Mujur di zaman Nabi SAW tidak ada robot. Jika ada, boleh jadi ayat di atas sudah bertukar menjadi "...mereka seperti robot, bahkan lebih sesat lagi."

Wahai!

Kita manusia. Bukan robot. Titik. [Kredit]

-gabbana-

Moga kita tidak menjadi robot sepanjang bulan Ramadhan ini.

"Allahumma innaka 'afuwun tuhibbul afwa fa'fu annee." Amin ya robbal a'lamin. 

25 June 2014

Ok Lah Kot, Asalkan Buat!

[Kredit]

Situasi1
"Anda dah buat rondaan belum?"

"Bereh boh."

"Berapa kali?"

"Alah sekali cukup la en?"

"Sekali je?"

"Ok apa. Asalkan ada!"


Situasi 2
"Kau dah solat belum?"

"Dah tadi."

"Solat kat mana."

"Kat dalam bilik. Sendiri-sendiri je."

"Ok la tu. Asalkan solat."

Situasi 3
"Hang dah buat belum kerja yang aku bagi tu..?"

"Oihh mestilah dah!"

"Ni hang kata dah buat...? Cikai ja aku tengok!"

"Alaaa bos. Ok la tu. Asalkan buat!"

Situasi 4
"Weh dia dah ada bulatan gembira belum?"

"Ada. Tapi..."

"Tapi?"

"Macam tak jalan je. On off. Kadang-kadang tu sampai sebulan takde."

"Ok la tu kot. Asalkan ada."

Situasi 5
"Nta dah start tajmik orang belum?"
 

"Alhamdulillah dah."

"Wah mantap. Berapa orang nta tajmik?"

"Hmmm. Adalah sorang dua."

"Ok lah tuuu. Asalkan ada!"

Anda biasa dengan dialog-dialog di atas..? 

Ok kot, asalkan ada.

Ok la tu, asalkan buat.

Ok apa, asalkan jalan!

Sikap aku-tak-kisah dan kau-peduli-hapa atau dalam bahasa omputihnya mediocrity inilah sebenarnya banyak membantutkan perkembangan dan kemajuan diri kita secara khususnya, dan masyarakat dan negara secara umumnya. Mentaliti yang menyebabkan kita malas dan culas untuk berusaha lebih dan menyumbang apabila perlu sahaja.

Endah tak endah. Acuh tak acuh. Biasa-biasa sahaja. 

Akibatnya, banyak perkara atau tugas dilaksanakan dengan ala kadar sahaja. Asalkan siap. Asalkan buat. Asalkan lengkap. Kualiti dan mutu pekerjaan itu entah ke mana.

Tidak hairanlah bumbung stadium boleh runtuh meski baharu sahaja diperbaiki.

Tidak peliklah apabila siling parlimen boleh roboh walaupon berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk menaiktaraf bangunan tersebut.

Tidak perlu garu kepalalah jika setiap tahun masih ada ketirisan dalam skala yang tidak boleh diotakkan dalam perbelanjaan wang rakyat, meski saban tahun ia diaudit.

Kerana kita telah dididik sejak kecil, tidak mengapalah sekiranya sesuatu itu dilaksanakan dengan ala kadar dan tidak bersungguh-sungguh, asalkan ia dibereskan dan disiapkan seperti yang dipinta.

Alahai.  

Atas premis yang sama, saya berpendapat, mentaliti seperti "Malaysia masih aman, bercukurlah!" Eh maksud saya, bersyukurlah! Juga pandangan-pandangan seperti, "Rakyat Malaysia wajar berterima kasih dan bersyukur kerana negara kita aman dan tidak ada peperangan", "Kita sepatutnya bersyukur jadi Muslim di Malaysia sebab tak perlu rasa takut untuk beribadah", "Kalau bandingkan kita dengan orang lain kat Palestin, Myanmar atau Syria tu, kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan!" dan sebagainya adalah mentaliti yang jumud dan merbahaya.

Bukan, bukan tidak mahu bersyukur. Bukan tidak perlu berterima kasih. 

Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang melahirkan saya sebagai seorang Muslim berbangsa Melayu di Malaysia ini. Alhamdulillah, segala puji-pujianNya hanya layak untukNya.

Tetapi mentaliti dan pemikiran seperti yang saya sebutkan di atas, sekiranya dibiarkan merebak dan bermaharajalela, akan melahirkan golongan yang malas berfikir dan berusaha. Lebih menakutkan dan merbahaya lagi, apabila pemikiran sebegini dibiarkan membumi di dalam kepala otak setiap daripada kita, kita akan redha dan tutup sebelah mata sahaja pada kemungkaran dan kekorupan yang berlaku di depan mata.

Ya, Malaysia aman, tetapi adakah itu bermakna kita boleh biarkan sahaja rasuah dan kekorupan yang trang tang tang dipraktikkan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa?

Ya, kita tidak menghadapi masalah dalam mendirikan beribadah, tetapi adakah ia bermakna kita idak perlu mencegah kemungkaran dan melaksanakan dakwah?

Ya, kita tidak kebulur dan berasa takut akan ditembak atau dibom (ok sebenarnya takut juga kadang-kadang melihatkan kadar jenayah di Malaysia ini), tetapi adakah itu isyarat bahawa kita tidak perlu berbuat apa-apa dan duduk diam sahaja menjadi pemanas kerusi simpanan melihat bagaimana negara kita ditadbir dan diuruskan?

Kerana kita tahu, dengan apa yang kita ada, sepatutnya kita boleh pergi lebih jauh lagi. Dengan sumber-sumber alam dan kedudukan geografi kita, kita sebenarnya bisa memacu lebih laju dan jauh ke hadapan. Dengan kelebihan dan kekuatan yang kita ada, kita sepatutnya berdiri sama tinggi dengan banyak negara-negara maju yang lain.

Tapi mentaliti kelas ketiga ini telah menyebabkan kita jauh tertinggal di belakang. Sikap kita yang tidak peduli, yang hanya tahu memenuhkan poket dan perut sendiri, telah menjadikan kita mundur berbanding bangsa-bangsa yang lain. Kita yang amat mudah dan berpuas hati dengan apa yang anda, membuatkan kita sukar sekali menjadi bangsa yang luar biasa. 

Sedangkan Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha mencari kesempurnaan dan berusaha mewujudkan keadaan yang terbaik di dalam serba-serbi perkara. Berapa banyak dalil di dalam Quran yang menyuruh kita agar sentiasa bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik dalam setiap perkara. 

"Ikutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu..."
[az-Zumar, 39, 55]

"...Oleh itu, gembirakanlah para hambaKu. Mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya. Lalu, mereka memilih dan menurut sebaik-baiknya daripada segi hukum agama..."
[az-Zumar, 39:17-18]

"...Siapakah antaranya yang paling baik amalannya."
[al-Kahfi, 18:7]


Pemikiran acuh tak acuh dan tidak bersungguh-sungguh ini amat merugikan buat kita dalam beragama. Cukuplah sekadar kita melakukan perkara-perkara yang wajib dan yang disyariatkan. Buat apa mahu susah payah melakukan perkara-perkara sunat yang memenatkan itu bukan?

Cukuplah kita solat bersendiri. Ok lah tu. Asalkan buat.

Cukuplah kita baik seorang diri. Ok lah tu. Asalkan baik.

Cukuplah kita bayar zakat, buat apa nak sedekah lagi? Ok lah tu. Asalkan ada.

Geleng kepala. 

Walhal amalan-amalan sunat dan tambahan itulah yang menutup lompong-lompong pada amalan wajib yang kita lakukan. Amalan wajib kita itu belum tentu sempurna pelaksanaanya. Niatnya, rukunnya, tertibnya. Sedangkan amalan tambahan itulah yang dichentai Allah, kerana yang wajib itu sudah tentunya wajib dilaksanakan!

 Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhya Allah ta’ala berfirman: 'Siapa yang memusuhi waliKu maka Aku telah mengumumkan perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepadaKu yang lebih aku chentai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan hambaku yang selalu mendekatkan diri kepadaKu dengan nawafil (perkara-perkara sunnah diluar yang fardhu) maka Aku akan menchentainya dan jika Aku telah menchentainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaKu nescaya akan aku berikan dan jika dia minta perlindungan dariKu nescaya akan Aku lindungi."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Mentaliti sebegini juga amat merbahaya di dalam tarbiyah dan dakwah. Sikap sebegini akan menjadikan ikhwah dan akhawat amat mudah berpuas hati, tidak pro-aktif dan menyumbang sekadar mana yang dikehendaki sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Ok lah kalau dah bawa bulatan gembira. Asalkan ada. Kualitinya entah ke mana. Pembinaan hadek-hadeknya tidak dikira.

Ok lah kalau dah bersama gerabak tarbiyah dan dakwah. Asalkan ikut. Wasilahnya berjalan atau tidak, itu belakang kira. Muwasofatnya dipenuhi dan dicukupi dengan amanah, itu buat tidak kisah.

Ok lah jika dah bergelar ikhwah atau akhawat. Asal dapat. Ikhtilatnya entah ke mana. Akhlak dan qudwahnya kadangkala lebih teruk lagi daripada orang lain di luar sana.

Potong bawang merah laju-laju.

Sedangkan perjuangan ini membutuhkan mereka yang sanggup berkorban harta dan jiwa, tenaga dan masa. Dakwah ini memerlukan rijal 'ammah yang bersungguh-sungguh, sehabis baik menyebarkan risalah agung ini. Panji ini memerlukan para jundiyy yang luar biasa dan bukan sekadar biasa-biasa sahaja!   

Sekiranya para sahabat dahulu bermalas-malasan, berpuas hati dengan keIslaman mereka dan keluarga mereka, sudah berasa puas dan cukup kerana dijanjikan sorga, sudah tentu nur Islam itu tidak mungkin akan sampai kepada kita. Seandainya golongan terdahulu (salafus soleh) mengambil sikap endah tak endah dan biasa-biasa sahaja dalam perjuangan mereka, saya rasa ada kemungkinan kita masih lagi menyembah pokok atau batu pada hari ini. Dan jika para ikhwan dahulu tidak berkorban, bersungguh-sungguh dalam menyebarkan fikrah Islam ini ke serata dunia dahulu, nah, sila beritahu saya, mana mungkin kita mengecapi betapa manis dan lazatnya fikrah ini? 

Tidak ok kalau tidak membawa bulatan gembira, apatah lagi jika tidak berbulatan gembira.

Tidak ok kalau setelah beberapa bulan konferens riang masih tidak berjalan.

Tidak ok sekiranya infaq untuk Palestin dan Syria sudah lama tidak dilaksanakan.

Tidak ok jika mutabaah amal tidak diperiksa secara berkala dan tiada penambahbaikan.

Tidak ok jika program-program umum yang membelanjakan wang dalam jumlah yang besar tanpa ada follow up

Tidak ok sekiranya sudah bertahun-tahun bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah tetapi masih belum lagi mahu dan mampu menghasilkan murabbi. 

Tidak ok sekiranya kita berasa ok bahawa kita telah menyumbang dan melakukan yang sebaiknya untuk dakwah ini! 

Mulai hari ini, kita mesti berazam untuk membuang mentaliti 'Ok lah kot, asalkan buat', 'Ok lah tu, asalkan ada', 'Ok apa, asal jalan!' dan yang seumpama dengannya jauh-jauh dari pemikiran dan jiwa kita. Kerana pemikiran sebegini hanya membunuh kreativiti dan kemampuan sebenar diri kita. 

Kita sebenarnya mampu melakukan lebih lagi daripada apa yang kita sangkakan. Kita mampu untuk menyumbang lebih banyak tenaga dan harta. Kita mampu untuk melakukan sesuatu yang benar-benar bermanfaat kepada ummah dan agama ini!

Jadilah luar biasa, kerana jalan ke sorga itu tidak pernah biasa.

Jadilah orang yang bersungguh-sungguh, kerana hanya dengan itu iman kita menjadi utuh.

Kejarlah kesempurnaan itu, meski mustahil untuk kita menjadi sempurna!

Senyum.  

-gabbana-

Tidak tahu sama ada sempat atau tidak untuk saya menulis sesuatu untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba nanti.

Sekiranya tidak berkesempatan, saya mendoakan agar kita semua diizinkan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini.

Sungguh, tiada kegembiraan dan kenikmatan yang lebih hebat daripada dipilih olehNya untuk menjadi tuan rumah kepada Ramadhan!

Wahai Allah! Sampaikanlah kami kepada Ramadhan! Amiin ya robbal a'lamin!

23 June 2014

Hukum Gerakan Newton Ketiga

 
[Kredit]

Ini bukanlah cubaan berani mati untuk memplagiat penulisan al-Akh Mahbub Faridul si Tuan Injiniur yang pandai mentadabbur itu. Meskipon saya mengakui saya amat mengagumi penulisannya dan kebolehannya merungkaikan sesuatu yang jarang sekali diotakkan oleh sesiapa. 

Dan saya juga perlu mengaku bahawa memandangkan sudah lebih sepuluh tahun saya meninggalkan mata pelajaran fizik itu, maka saya terpaksa lah merujuk kepada penulisan asal Akh Faridul untuk saya menulis post ini.

Ehem.

Menurut Pakcik Newton, untuk setiap tindakan, akan ada suatu daya tindak balas yang mempunyai magnitud yang sama tetapi bertindak pada arah yang berlawanan dengan daya tindakan tersebut.

Sukar nak faham?

Begini.

Sekiranya anda melempang seseorang dengan kuasa lempangan lima ratus kilojol misalnya, ada kemungkinan besar anda akan dilempang semula secara tuntas dan pantas dengan kekuatan yang sama. Wahahaha. 

Ok mengarut.

Demi menjimatkan masa dan mengutamakan gerak kerja yang lebih efisien (atau dengan kata lain, "malas"), saya kopipes sahaja contoh yang diberikan oleh Akh Faridul di dalam penulisan beliau: 

"Anda faham maksud saya (maksud Newton sebenarnya)? Begini, Encik Wikipedia memberikan contoh seseorang yang berjalan kaki. Demikian ia menolakkan tapak kakinya ke lantai, lantai pula ternyata menolak tapak kaki orang itu ke hadapan. Pada magnitud yang sama, cuma arahnya sahaja yang berbeza. Atau, ketika sebuah buku diletakkan di atas permukaan meja. Ternyata berat sang buku sedang bertindak balas ke atas meja itu, sambil sang meja itu pula sedang melakukan tindak balas dengan daya dan magnitud yang serupa, cumanya pada arah yang bertentangan dengan berat buku tersebut."

Nah, bagaimana? Mudah untuk difahami bukan? Hebat bukan hukum yang dikemukakan oleh Pakcik Newton itu? Menerusi hukumnya yang fenomenal itu, banyak misteri alam telah berjaya dirungkai dan banyak pula ciptaan-ciptaan baru yang memudahkan kehidupan kita sehari-hari berjaya dihasilkan.

Sebenarnya, Pakcik Newton itu tidaklah sehebat mana, meskipon Michael Hart meletakkannya pada nombor dua (selepas Nabi Muhammad SAW) sebagai manusia paling berpengaruh dalam sepanjang sejarah ketamadunan manusia. Mengapa? Kerana dia hanya menjumpai sesuatu yang sudah sememangnya ada. Dengan kata lain, dia hanya mengungkapkan hukum alam yang sudah lama wujud, dalam bentuk yang lebih mudah untuk difahami.

Ok lah, fine. Hebat lah tu.  

Tetapi sudah tentu Allah Yang Maha Agung itu jauh lebih hebat! Kerana hukum alam (atau sunnatullah) seperti yang dijumpai oleh Pakcik Newton itu sangat-sangat berguna dan bermanfaat dalam menjelaskan banyak perkara dan menyelesaikan banyak persoalan dan misteri di alam buana ini. 

Memandangkan ia adalah hukum (Baca: Law), maka ia sudah terbukti sebagai pasti. Ia bukan lagi sekadar teori kerana ia sudah berjaya dibuktikan secara empirikal dan saintifiknya. Yang lebih menariknya, ia bukan sahaja boleh digunapakai dalam kejadian atau fenomena sains tulen sahaja, malah ia juga boleh diaplikasikan pada peristiwa-peristiwa sains sosial sepanjang sejarah ketamadunan manusia.

Anda tidak percaya? Ragu-ragu? Terasa gatal-gatal hidung dan kepala? Eh.

Mari kita lihat.

Hukum gerakan Newton ketiga ini boleh dijumpai di dalam peristiwa lejen dakwah Nabi Musa AS kepada Firaun laknatullah itu. Firaun, seperti yang kita sudah sedia maklum, merupakan seorang manusia yang angkuh, sombong dan melampaui batas. Perihal kekejaman dan keterlanjuran Firan telah dirakamkan dengan banyak sekali di dalam al-Quran. Antaranya:

"...pergilah engkau (Musa) kepada Firaun! Sesungguhnya dia telah melampaui batas."
[an-Nazia't, 79:17]

Kekejaman Firaun termasuklah menindas kaum Yahudi, membunuh bayi-bayi lelaki kaum Yahudi kerana takut akan munculnya messiah yang akan menghancurkan kerajaannya dan menyuruh Hamman untuk membina bangunan tinggi untuk dia melihat sendiri siapakah gerangannya Tuhan si Musa itu.

Geleng kepala. 

Dalam sejarah ketamadunan manusia, tidak ramai manusia yang pernah mencapai tahap kekejaman dan kezaliman sepertimana yang pernah dilakukan oleh Firaun. Makanya, dalam bahasa sainsnya, daya tindakan kekejaman Firaun ini mempunyai magnitud yang cukup besar dan signifikan. Oleh sebab itu, menurut hukum gerakan Newton ketiga, secara otomatiknya akan ada daya tindak balas yang mempunyai magnitud yang sama tapi dari arah yang berbeza yang bertindak terhadap kekejaman Firaun itu.

Dan daya tindak balas dari arah yang berbeza itu datang dalam bentuk seorang figur, sosok yang kita kenali sebagai Musa AS itu. Wah! 

Dengan kata lain, Allah telah menghantar seorang yang hebat, yakni Musa AS untuk berhadapan dengan seseorang yang hebat juga (Firaun). Tidak cukup dengan itu, Allah kuatkan lagi baginda dengan seorang pembantu, Nabi Harun AS untuk membantu dakwah baginda. Jangan lupa bawa Firaun juga punya para pembantunya yang tersendiri; Hamman dan Qarun antaranya.

Nah, hukum gerakan Newton ketiga untuk anda!

Tidak hairanlah, kisah Musa AS adalah kisah yang paling banyak disebut di dalam al-Quran. Tidak hairan juga Musa AS mendapat gelaran sebagai salah seorang Rasul 'Ulul Azmi, melihatkan betapa kuat dan hebatnya perjuangan dakwahnya menentang kezaliman Firaun. 

Bagaimana? Menarik bukan hukum gerakan Newton ketiga ini apabila diaplikasikan dalam peristiwa-peristiwa sains sosial?

Anda masih tidak yakin?


Lihat sahaja dakwah Nabi Muhammad SAW. Kesesatan dan kejahilan para musyrikin Mekah, yang diketuai oleh figur-figur seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan Umayyah bin Khalaf telah sampai kepada tahap syaitonirojim. Sepertinya manusia yang hidup di zaman itu berada pada kegelapan yang paling hitam dan pekat. Seolah-olahnya tiada lagi cahaya harapan untuk mereka semua.

Lantas Allah menurunkan kekasihNya, Rasulullah SAW untuk membersihkan segala macam kekotoran dan kejijikan yang ada. Dakwahnya yang secerah bulan purnama dan kebenarannya yang seterang sinar matahari yang bertenaga telah membawa harapan baharu bukan sahaja kepada mereka yang tinggal di jazirah Arab, malah untuk sekalian umat manusia.   

Sekiranya anda mengkaji seerah Nubuwwah dan para sahabat r.a. ajmai'n, anda akan mendapati betapa benarnya hukum gerakan Newton ketiga ini dalam banyak situasi. Begitu juga dengan sepanjang sejarah kegemilangan Islam.

Kekejaman tentera Mongol yang menghancurkan Baghdad dibalas dengan keberanian dan keperwiraan Saifuddin Qutuz dan para tenteranya.

Kebiadapan dan kezaliman tentera Salib akhirnya terbela dengan kehebatan dan ketokohan Salahuddin al-Ayyubi dan para tenteranya yang soleh. 

Kota Konstatinopel yang begitu lama diperintah dengan maksiat dan jahiliyyah oleh kerajaan Byzantine akhirnya berjaya dibebaskan oleh seorang pahlawan muda yang soleh, Sultan Muhammad al-Fateh.

Sifir hukum gerakan Newton ketiga amat mudah. Kejahatan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Semakin kuat dan hebat gerombolan kebatilan dan taghut yang berarak, maka semakin kuat dan hebat pula pasukan kebaikan dan kebenaran yang mengasak. 

Namun hukum gerakan Newton ketiga ini juga teraplikasi dalam kes yang sebaliknya.

Kebaikan pasti akan ditentang oleh kejahatan. Kebenaran pasti akan diserang oleh kebatilan. Al-Haq pasti akan bertarung dengan taghut dan jahiliyyah.

Terbaru kita melihat bagaimana Ikhwanul Muslimin di Mesir ditentang habis-habisan oleh puak-puak sekular, liberalis, Yahudi dan konco-konco mereka, yang terlalu gerun dan ketar lutut dengan prospek Mesir Raya yang maju dan makmur di bawah pemerintahan Islam. Baharu setahun lebih sedikit Presiden Mursi yang dipilih secara demokratik dan sah oleh rakyat Mesir memerintah, beliau telah digulingkan oleh al-Sisi yang merupakan boneka kepada kuasa-kuasa taghut di belakangnya.

Ikhwan terus diburu, didakwa dan dipenjarakan atas dakwaan dan tuduhan yang langsung tidak masuk akal hatta untuk kanak-kanak berusia lima tahun. Terbaru hukuman mati ke atas Syaikh Muhammad Badi'e, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin dikekalkan, meskipon mendapat bantahan daripada masyarakat antarabangsa. 

Semuanya hanya kerana dakwah Ikhwan yang mencabar dan mengganggu-gugat kuasa taghut yang telah lama bermaharajalela di Mesir. 

Yang menariknya, pengasas Ikhwanul Muslimin, Almarhum Hassan al-Banna telah lama mengjangkakan hal ini akan berlaku ke atas Ikhwan, apabila mereka benar-benar menjual diri, harta dan segala-galanya milik mereka untuk perjuangan Islam. Hassan alBanna dengan penuh bergaya sekali telah berjaya mengungkapkan hukum gerakan Newton ketiga ini di dalam konteks tarbiyah dan dakwah:

"Saya ingin jelaskan kepada kalian bahawa dakwah kalian ini masih belum dikenali ramai. Apabila tiba masanya ketika mereka mengenali dan memahami tujuan dan matlamat dakwah ini, dakwah ini akan ditentang dan dimusuhi dengan hebat. Kalian akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Pelbagai rintangan akan menghalang jalan kalian. Pada ketika itu barulah kalian melalui jalan para pendokong dakwah. Kini kalian masih belum dikenali. Kalian baru melangkah ke arah dakwah. Kalian masih mempersiapkan diri untuk sedia berjuang dan berjhad.

Kejahilan masyarakat tentang Islam yagn sebenar akan menjadi halangan sepanjang jalan kalian. Kalian akan berhadapan dengan beberapa tokoh agama dan beberapa ulama' tradisi. Mereka akan menolak fahaman kalian tentang Islam dan jihad kalian untuk Islam. Para pembesar, pemimpi dan mereka yang berkuasa akan irihati dengan kalian. Semua kerajaan akan menghalang jalan kalian. Setiap kerajaan akan menyekat kegiatan kalian dan mereka akan mewujudkan pelbagai sekatan seppanjang jalan kalian. 

Mereka akan bekerjasama menggunakan apa sahaja cara untuk menghapuskan kalian dan melenyapkan sinar dakwah kalian. Mereka akan mempergunakan segala kerajaan yang lemah, golongan yang berakhlak buruk, golongan yang pada satu masa menghulur tangan mengharapkan bantuan mereka dan dalam masa yang lain menghulur tangan menindas dan memusuhi kalian. Semua pihak akan menimbulkan wasangka dan fitnah kepada dakwah kalian. Mereka akan cuba memburuk-burukkan dakwah ini. Mereka akan memaparkan dakwah ini kepada orang ramai dalam bentuk yang amat buruk. Mereka akan menggunakan segala kekuatan dan kuasa yang ada pada mereka. Mereka akan bertindak menggunakan segala harta dan kuasa yang mereka miliki."

Masha-Allah. Bukankah semua itu telah menimpa Ikwan pada hari ini...??

Hassan al-Banna menambah lagi:

"Sudah tentu kalian terpaksa melalui era ujian dan cubaan. Kalian akan dipenjara dan ditangkap. Kalian akan dihalau dan diusir. Segala harta kalian akan dirampas. Kalian akan dipecat dan rumah kalian akan digeledah. Mungkin ujian ini akan berlaku dalam tempoh yang lama."
- Dipetik dari risalah Antara Semalam dan Hari Ini

Pergh. Ini sumpah lejen! Insan-insan seperti Syaikh Badi'e, Muhammad Mursi dan Dr. Beltagy pasti berasa bertuah kerana mereka menjadi saksi ke atas benarnya kata-kata Hassan al-Banna ini!

Namun hukum gerakan Newton ketiga memberikan kita harapan; bahawa kebaikan dan kebenaran pasti akan bertindak balas. Betapa kemenangan itu sudah semakin hampir!  


Pakcik Newton mengajar kita bahawa untuk setiap tindakan itu, pasti ada daya tindakan tindak balasnya! [Kredit]

Lantas, apakah mesej yang boleh kita bawa ke rumah (Baca: Take home message) setelah mengetahui ini semua? Apakah ibrah yang boleh kita perolehi? 

Nah, sekarang kita bandingkan semua ini dengan kerja-kerja dakwah kita? Kita bandingkan dengan tentangan yang pernah kita perolehi daripada 'perjuangan' kita dan mehnah dan tribulasi yang pernah kita alami.

Terasa seperti mahu menguis-nguis tanah dan menyorokkan kepala di dalamnya bukan..? Malu! 

Hadek-hadek bulatan gembira yang berjaya kita tangkap, semuanya sejak azali lagi sudah bercahaya-cahaya mata mereka, muka penuh riang gembira mahu ditarbiyah. 

Bulatan-bulatan gembira kita di bawah naungan ekon pelbagai jenama.

Kita mengomel apabila yang dihidangkan dalam konferens-konferens riang kita bukan lauk ayam.

Kerajaan pejam sebelah mata sahaja pada usaha-usaha tarbiyah dan dakwah kita, kerana sedikit pon tidak menggugat mereka. Malah siap tolong promosi lagi di telebisen dan corong-corong radio. 

Dakwah kita mudah, ibaratnya berdakwah di atas karpet tebal ditabur dengan bunga-bunga ros merah. 

Aduhai mak minah sayang.

Anda silap sekiranya anda menyangka yang saya berdoa untuk kesusahan. Anda sila andai anda mengatakan saya tidak memaknai erti syukur. Anda juga silap jika anda merasakan saya sengaja meminta bala.

Bukan begitu. Bukan begitu. 

Hukum alam akan kekal sebagai hukum. Sunnatullah tidak akan boleh diubah.

"(Demikianlah) hukum Allah yang telah berlaku sejak dahulu; kamu sekali-kali tidak akan menemukan perubakan pada hukum Allah itu."
[al-Fath, 48:23]

Hukum gerakan Newton ketiga menjelaskan kepada kita bahawa, untuk setiap tindakan, akan ada suatu daya tindak balas yang mempunyai magnitud yang sama tetapi bertindak pada arah yang berlawanan dengan daya tindakan tersebut.

Andai kita benar-benar berjuang untuk Islam, kita pasti akan ditentang.

Sekiranya kita benar-benar telah menjualkan diri kita untuk agama ini, kita pasti akan diperang.

Dan jika kita benar-benar layak menjadi calon ahli sorga, kita pasti tidak akan dibiar hidup senang.

Itu hukumnya. Itu sunnahnya. 

Persoalannya; adakah kita golongan yang benar-benar bekerja untuk Islam ini? Nanges. 

"Sungguh, telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul)."
[ali-Imraan, 3:137] 

Sunnah-sunnah Allah ini hanya akan dapat dihargai oleh kita yang berfikir dan mentadabbur. Hanya selepas itu, akan kita temukan rahsia-rahsia kemenangan, sepertimana yang pernah dikecapi oleh umat yang terdahulu.

Nah, bagaimana? Adakah anda sudah yakin dengan hukum gerakan Newton ketiga dalam konteks kehidupan kita sebagai seorang dai'e?

Senyum.

-gabbana-

Sedikit panjang, ya, saya tahu. Seperti biasalah. Peluh kecil.

Moga ada manfaatnya, biidznillah.

Tulisan asal Akh Faridul tentang Hukum Gerakan Newton boleh dibaca di sini. Osemness!

20 June 2014

Bukan Janji Capati

[Kredit]

Bayangkan ada seorang pemberita di sebuah siaran televisyen swasta yang acapkali di dalam pembacaan beritanya menyatakan yang suatu hari nanti, pada sekian tarikh dan sekian tempat, akan keluar seekor raksasa bertanduk tiga, bermisai lentik, bertaring panjang, berkasut tumit tinggi dan boleh menyemburkan api. Meski diejek dan diperlekeh, dia tidak pernah lupa untuk mengingatkan para penonton agar bersiap-sedia kerana raksasa itu pasti akan keluar juga.

Kita mungkin tertawa geli hati. Atau kita mungkin menggaru kepala tidak terpercaya. Masakan akan keluar seekor raksasa pada zaman yang serba canggih dan moden ini? 

Dan pemberita itu tanpa segan silu, bila mana ada sahaja peluang untuk dia memperkatakannya, dia akan mengulang ulang perkara yang sama - akan keluar seekor raksasa bertanduk tiga, bermisai lentik, bertaring panjang, berkasut tumit tinggi dan bisa menghamburkan api pada sekian tarikh dan tempat.

Sebagai seorang pemberita yang berintegriti, dia mempunyai reputasi dan rekod peribadi yang amat baik sekali. Tidak pernah menipu di dalam laporannya, sentiasa memastikan berita-berita yang dilaporkan adalah fakta dan bukannya auta. Namun tindakannya yang dilihat seperti kurang siuman itu malah menyebabkan ada segelintir daripada peminatnya yang tergugat iman mereka.

Masa pon berlalu. Awan kumulonimbus berarak seperti biasa. Daun-daun hijau terus merembeskan oksigen menerusi proses fotosintesisnya. 

Tiba hari yang disebut pada tempat yang dimaksud, maka sekonyong-konyong keluarlah seekor raksasa persis seperti yang disifatkan oleh pemberita tersebut. Sebijik sebijon seperti yang dicanang-canangkan sebelum ini; bertanduk tiga, bermisai lentik, bertaring panjang, berkasut tumit tinggi dan mengeluarkan api. 

Nah, apa perasaan anda sekarang? Teruja? Tak terpercaya? Kagum hingga ternganga? 

Ok sekarang bayangkan pula ada seorang ostajah yang sememangnya amat ditsiqahi dan dipercayai. Setiap kata-katanya tiada yang lain melainkan benar-benar belaka. Segala ceramah dan pengisian yang diberikan adalah berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan tidak boleh disanggah lagi. 

Sayugia ostajah itu berjaya membina reputasi yang baik sekali. Sehinggakan para pengikut setianya menggelarnya al-Aminah, kerana kejujurannya dalam bertutur dan ketulusannya dalam melaksanakan amanah.

Namun pada suatu hari, ostajah itu menggegarkan masyarakat setempat dengan mengatakan akan ada tahi bintang berdiameter 100 meter yang akan jatuh ke muka bumi. Lantas ostajah itu menggesa agar seluruh penduduk yang berdekatan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat dengan sesegera yang mungkin. 

Berpecahlah masyarakat kepada dua; yang mempercayai kata-kata ostajah itu dan mereka yang memperlekeh malah melabel ostajah tersebut sebagai gila. Mereka yang memegang dan meyakini kata-kata ostajah itu mengemas dan membungkus barang-barang mereka dan bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa. Mereka yang sinis dan pesimis pula, meneruskan hidup seperti biasa sambil mentertawakan England yang ditewaskan Uruguay pada pertemuan Piala Dunia. Eh.

Masa pon berlalu. Panda di China menunggu-nunggu giliran bilakah mereka boleh datang ke Malaysia. Politik di Malaysia semakin hari semakin sarkis jadinya. Ehem.

Tiba hari seperti yang disebutkan oleh ostajah tersebut, berdebar-debarlah mereka yang memegang utuh kepada kata-kata ostajah itu, menanti dengan penuh saspen sama ada tahi bintang akan benar-benar jatuh. Tidak semena-mena langit menjadi gelap. Nun di kaki langit kelihatan bebola api yang cukup besar sedang meluru laju ke permukaan bumi. Bertempiaran dan histerialah mereka yang sebelum ini tidak percaya dengan kata-kata ostajah itu.

Nah, bagaimana agaknya perasaan anda? Terutamanya sekiranya anda termasuk dalam kalangan mereka yang mempercayai kata-kata ostajah tersebut? Kagum? Semakin beriman dengan setiap kata-kata ostajah tersebut? 

Mungkin begitulah perasaan para sahabat r.a. ajma'in apabila Rasulullah SAW terus-menerus menjanjikan mereka dengan sebuah kemenangan, meskipon ia tampak seperti mustahil dan menggarukan kepala apabila dilihat keadaan umat Islam ketika itu.

Bayangkan sekiranya anda berada di tempat mereka sewaktu perang Ahzab (atau perang Khandaq) terjadi. Dengan situasi yang amat mencekik dan getir - kelengkapan perang yang dhaif, makanan yang tidak mencukupi, kaum Yahudi dan munafiq yang berkhianat - sudah tentunya iman kita ketika itu tergoncang dengan dahsyat sekali. 

"(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika penglihatan(mu) terpanda dan hatimu menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah.

Disitulah diuji orang-orang mu'min dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang dahsyat."
[al-Ahzab, 33:10-11]

Wa zulzilu zilzalan syadidaa. Begitulah iman, perasaan dan jiwa kita tergoncang ketika itu. 

Nah, bayangkan pula, dalam keadaan yang begitu mendesak, kelihatan pula para tentera Ahzab yang berjumlah puluhan ribu ramainya itu datang mendekati. Musuh-musuh yang telah berazam mahu menghancurkan Islam sehancur-hancurnya dari muka bumi ini. Once and for all!

Agak-agaknyalah, bagaimana keadaan dan perasaan kita ketika itu? Sudah basah seluar kita agaknya, terkencing-kencing penuh ketakutan. Terketar-ketar lutut kita, membayangkan ajal dan kehancuran yang bakal tiba. Menyumpah-nyumpah di dalam hati penuh penyesalan, kenapalah kita memilih untuk bersama-sama dengan konco-konco Muhammad bin Abdullah itu.

Agaknyalah. Na'udzubillah.  

Mujur bukan kita yang berada dalam kasut para sahabat. Kerana mereka, para sahabat yang redha kepada Allah dan Allah redha pula kepada mereka, telah menunjukkan qudwah yang terbaik buat kita semua.

Hal ini telah dirakamkan dengan begitu indah sekali di dalam Quran:

"Dan ketika orang-orang mu'min melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata, 'Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.' Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan demikian itu menambah keimanan dan keIslaman mereka."
[al-Ahzab, 33:22]

Subhanallah. Inilah sikap orang-orang yang mempunyai keimanan yang tulen lagi jitu. 

Ujian dan cubaan yang mendatang, hanya menambahkan keimanan dan ketaqwaan mereka. Mehnah yang datang menyerang bertubi-tubi, sedikit pon tidak mengganggu-gugat keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah dan RasulNya. Malah keyakinan mereka terhadap kebenaran ar-Rasul semakin kuat dan utuh.

Apatah lagi apabila janji-janji itu dilafazkan oleh Muhammad SAW, seorang al-Amin, kekasih Allah yang agung dan manusia yang hampir sempurna sifat-sifatnya. 

Wahai ikhwah dan akhawat sekalian,

Kemenangan Islam yang hakiki telah pon dijanjikan oleh Allah dan RasulNya, buat mereka yang bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan agama ini. Kita pada hari ini sedang hidup di akhir zaman, di mana kemenangan Islam yang kedua sudah terlalu dekat dengan kita. Tanda-tandanya sudah terlalu banyak; hanya mereka yang benar-benar memerhatikannya sahaja yang menyedari hakikat ini.

Hanya sahaja tinggal tangan-tangan kita yang mahu memenangkannya.

Benar, di masa ini, umat Islam sedang berada di dalam kegelapan malam yang paling hitam. Namun bukankah mentari akan terbit menyinar selepas malam yang paling gelap? 

Kadangkala apabila kita diuji, sama ada ujian secara peribadi atau tribulasi yang melanda umat Islam secara keseluruhannya, kita menjadi lemah. Iman kita goyah. Keyakinan kita tergugah. 

Kita mula berprasangka terhadap Allah. Tanpa kita sedari, kita menjadi pesimis kepada janji-janji kemenangan yang pernah disebutkan oleh junjungan mulia kita, Rasulullah SAW suatu ketika dahulu. Kita tidak lagi yakin dengan janji bahawa Islam akan menang dengan kemenangan yang paling mulia. 

Di manakah perginya semangat kita suatu ketika dahulu? Ke manakah hilangnya bai'ah dan janji kita yang mahu sehidup semati dengan dakwah ini? Ke mana perginya laungan-laungan jihad dan slogan-slogan berbara yang pernah kita lafazkan dahulu?

Ke laut jahiliyyah kita yang meluas itu? Terkambus oleh pasir angan-angan kita yang berdebu banyaknya? Atau terbakar oleh api nasfu gelojoh kita yang tidak sabar dan gopoh? 

Tunduk malu. Nanges laju-laju. 

Ikhwah dan akhawat,

Maka teruskanlah bekerja tanpa mengenal erti putus-asa. Teruskan menyentuh hati-hati yang dahagakan sentuhan kalian di luar sana. Teruskan membina manusia-manusia yang akan menjadi batu-bata kepada kemenangan Islam yang bakal tercipta. 

Mujahadah. Istiqamah. Dan bersabarlah. Itulah tiga formula yang akan menguatkan hati-hati kita. 

Yakinlah, bahawa apa yang sedang menimpa umat Islam pada hari ini hanyalah gerhana dan bukannya terbenam matahari. Segala macam ujian dan cubaan yang sedang menimpa para pejuang Islam pada hari ini hanyalah suatu fasa yang perlu dilalui kita semua untuk menguatkan lagi saf-saf perjuangan kita. Dan yang tertinggal daripada tapisan inilah, yang akan memenangkan agama ini dengan tangan-tangan mereka yang ikhlas dan sabar. 

Kemenangan itu pasti. Kerana ia sebuah janji. Janji yang pernah diungkapkan oleh ar-Rasul kita yang dikasihi, menerusi wahyu mulia dari Ilahi. 

Ia janji yang pasti ditepati. Sudah tentu bukan janji capati! 

Hanya sahaja tinggal kita untuk meyakininya.

Moga kita terpilih, untuk mengulangi kata-kata keramat yang pernah diungkapkan oleh para sahabat r.a. ajmai'n yang mulia:

"Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita."

InshaAllah. InshaAllah!

-gabbana- 

Penulisan membutuhkan ruh. Dan kadangkala begitu sukar sekali mencari ruh itu. Haih.

Moga Allah redha. 


18 June 2014

Ikhwah Jadian Ziarah Semula

[Kredit]

Teng teng teng, teng teng teng, teng teng teng teng teng teng teng.

Ini bukan kisah tentang ikhwah yang bertukar menjadi panda apabila terlihat batang-batang buluh.

Bukan juga ikhwah yang bertukar menjadi gorila apabila bulan mengambang terang.

Apatah lagi ikhwah yang bertukar menjadi gila meroyan tak tentu pasal apabila termakan cokolat Kedberi. Wahahaha.

Tetapi ini ikhwah yang tiba-tiba dan tidak semena-semena bertukar perangai dan kelakuan, apabila wujud makhluk bernama akhawat di sekitarnya. Kiranya akhawat tu macam pencetus lah kepada perubahan mereka ni. Peluh kecil.

Ya, inilah ikhwah jadian yang sebenar-benarnya. Dan spesis ini masih wujud, malah dikhuatiri semakin bertambah dan sedang giat meluaskan kawasan pengaruhnya.

Mari kita lihat dan kaji beberapa simptom atau sifat ikhwah jadian ini, agar dapatlah kita kenali mereka ini supaya kita dapat lari-lari jauh daripada mereka ini sebelum mereka menerkam dan menggigit perut kita! Eh.

Simptom 1: Pijak semut
 Dengan akhawat: Pijak semut tak mati. Dah pakai but tentera sekalipon, dilompat-lompatnya di atas semut, masih tak mati-mati juga semut itu. Ajaib.

Dengan ikhwah lain: Jangankan semut, habis permasuri semut dan busutnya hancur diterajang!

Simptom 2: Kentut
Dengan akhawat: Pergh. Kentut pon wangi! Silap haribulan, orang boleh siap tanya lagi, "Wah akhi, anta pakai minyak atar cap apa ni...?" Kekeke.

Dengan ikhwah lain: "Oiii! Sapa kentut ni...?? Macam neraka!"

Simptom 3: Percakapan 
Dengan akhawat: Lembut. Sopan-santun. Manis. Setiap butir kata yang keluar ibarat mutiara yang tersimpan rapi di dalam laut yang paling dalam. Ewah kau. Eh dahulu di universiti ambil pengkhususan dalam bidang sasterakah?

Dengan ikhwah: Kadang-kadang tak pasti yang sedang berbicara itu ikhwah atau ketua Kumpulan Jalur Tiga cawangan Raub. Dengan carutannya, dengan kata-kata kesatnya. Terima kasihlah kerana beri pahala percuma sebab galakkan kami perbanyakkan istighfar.

Simptom 4: Pemakaian
Dengan akhawat: Mak aihh engkau. Kalau David Beckham atau Ronaldo nampak pon boleh tercengang kekaguman. Minyak rambut tu hampir-hampir nak habis sebotol anda tibai! Minyak wangi anda sebatu jauhnya dah boleh hidu. Kalau boleh pakai tali leher ke konferens riang, dah lama dah pakai. Memang lejen.

Dengan ikhwah: Keep it simple. Itu moto mereka. Pagi kain pelikat dengan baju pagoda. Tengah hari kain pelikat dengan baju pagoda. Malam pon kain pelikat dengan baju pagoda. Kalau terpaksa keluar untuk makan misalnya, kain pelikat dan jaket yang disarungkan pada baju pagoda yang menjadi pilihan. Bau badan dah macam kambing gurun. Rupa paras tak ubah macam jin hutan.  

Simptom 5: Mesyuarat
Dengan akhawat: Berjam-jam mesyuarat masih rasa tak cukup. Ada banyak perkara yang perlu dibincangkan. Daripada sekecil-kecil isu ("Cantik tudung ukhti. Beli kat mana?") hinggalah ke sebesar-besar isu ("Ukhti tahu tak sekarang ni Iraq sedang bergolak?"). Mesyuarat kalau tamat jam 1 pagi tu dah dikira awal dah tu.

Dengan ikhwah: Kalau boleh, lepas buka dengan ummul Quran, nak terus tangguh dengan kafaratul majlis. Semua isu dibincangkan dengan ringkas dan padat. Lurus ke depan. Jangan main-main!

Simptom 6: Bila minta tolong
Dengan akhawat: Akhawat belum sempat nak minta apa-apa pertolongan, mereka dah tawarkan dahulu dah. Penuh bersemangat. Ikhlas. Hidung kembang-kempis. Siap tawarkan perkhidmatan selepas bantuan lagi. Peh.

Dengan ikhwah: "Aaseef qawiyy jiddan akhi mahbub fillah! Ana bukan taknak tolong... Tapi... Ana sibok sikit la akhi. Sungguh. Kalau boleh memang ana nak bantu. Tapi itulah.." Oh ye lupa. Memanglah anda sibuk. Sebab anda nak bantu akhawat en?

Simptom 7: Menepati masa
Dengan akhawat: Menepati masa? Tak mainlah. Konsep yang lebih tepat adalah mendahului masa! Kalau janji jam sembilan malam, jam lapan empat puluh lima sudah tersedia menanti. Kalau janji jam tujuh pagi, silap haribulan malam sebelumnya tu dah siap-sipa dengan beg tidur dan selimut di tempat kejadian.

Dengan ikhwah: Alah ikhwah kan? Semuanya berhati mulia. Berlapang dada. Bukan apa, sekali-sekali mahu juga menguji kesabaran ikhwah ni. Alah lewat empat puluh lima minit je pon. Kenapa nak kecoh sangat?

Simptom 8: Itsar (Melebihkan orang lain)
Dengan akhawat: Segala benda mahu diitsarkan. Baik makannya, tempat duduknya, duitnya... Segala macamlah! Yalah, bukankah itsar itu adalah setinggi-tinggi tahap dalam berukhuwwah? 

Dengan ikhwah: Hanya beberapa perkara tertentu sahaja yang akan diitsarkan. Contohnya peluang untuk beri tazkirah, giliran menjadi imam, lantikan untuk menjadi AJK bagi konferens riang dan sebagainya. Dalam hal-hal sebegini ikhwah jadian lebih semat dan berstrategi. Adeh. Tapi kalau bab akhawat? Lu jangan cari gaduh bro! Itu gue dulu! Eh.

Simptom 9: Bermain badminton (atau apa-apa sahaja sukan yang lainnya)
Di hadapan akhawat: Pergh. Tangkas. Pantas. Cergas! Bila smash tu, rasanya Datuk Ling Chong Wei pon boleh gantung raket dah. Main sungguh-sungguh. Penuh dedikasi. Penuh himmah dan hamasah. Eh mestilah, qawiyyul jism kan..?

Dengan ikhwah: Main pon ala kadar sahaja. Macam tak cukup makan. Sekadar nak rembeskan peluh setitik dua. Alah, cukuplah setakat nak lengkapkan mutabaah amal untuk minggu itu sahaja pon kan? Alahai.

Simptom 10: Konferens riang
Kalau ada akhawat: Kehadiran penuh, dari mula konferens sehingga tamat konferens. Paling pro-aktif semasa perkongsian. Penceramah belum mula apa-apa lagi dah mula tanya soalan. Sukarela menawarkan diri menjadi apa-apa sahaja AJK yang ada. AJK basuh dulang makan pon sanggup! Kalau mahu jadi penceramah pon apa salahnya? Eh.

Kalau ikhwah sahaja: "Err. Err. Akhi.. Ana ada hal lah wiken ni. Ana mintak ijin untuk tidak hadir ya?" Kalau hadir sekalipon, tidak sepenuh hati. Separuh pon belum tentu lagi.

Hah. Bagaimana? Anda ada tak salah satu daripada simptom-simptom di atas..? Jika anda, anda wajar garu kepala dan berasa khuatir. Mungkin andalah ikhwah jadian yang dimaksudkan itu! Aummm.

Sebenarnya bukan hanya teraplikasi pada ikhwah sahaja. Yang bukan ikhwah pon ada juga perangai kurang senonoh ini apabila berhadapan dengan makluk bernama perempuan. 

Cuma yalah, apabila bergelar ikhwah, sepatutnya menjadi qudwah lah kepada orang lain kan...? Jika benar kita telah berbai'ah dengan tarbiyah dan dakwah, sewajibnya kita menjadi ikhwah yang sebenar-benarnya setiap masa dan ketika.

Dan bukan ikhwah hanya pada mata akhawat sahaja. Tahu?

Teng teng teng, teng teng teng, teng teng teng teng teng teng teng.

-gabbana- 

Kenapa ziarah semula (Baca: Revisited)? Sebab Ikhwah Jadian sudah pernah buat kacau sebelum ini! 
  

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP