20 June 2014

Bukan Janji Capati

[Kredit]

Bayangkan ada seorang pemberita di sebuah siaran televisyen swasta yang acapkali di dalam pembacaan beritanya menyatakan yang suatu hari nanti, pada sekian tarikh dan sekian tempat, akan keluar seekor raksasa bertanduk tiga, bermisai lentik, bertaring panjang, berkasut tumit tinggi dan boleh menyemburkan api. Meski diejek dan diperlekeh, dia tidak pernah lupa untuk mengingatkan para penonton agar bersiap-sedia kerana raksasa itu pasti akan keluar juga.

Kita mungkin tertawa geli hati. Atau kita mungkin menggaru kepala tidak terpercaya. Masakan akan keluar seekor raksasa pada zaman yang serba canggih dan moden ini? 

Dan pemberita itu tanpa segan silu, bila mana ada sahaja peluang untuk dia memperkatakannya, dia akan mengulang ulang perkara yang sama - akan keluar seekor raksasa bertanduk tiga, bermisai lentik, bertaring panjang, berkasut tumit tinggi dan bisa menghamburkan api pada sekian tarikh dan tempat.

Sebagai seorang pemberita yang berintegriti, dia mempunyai reputasi dan rekod peribadi yang amat baik sekali. Tidak pernah menipu di dalam laporannya, sentiasa memastikan berita-berita yang dilaporkan adalah fakta dan bukannya auta. Namun tindakannya yang dilihat seperti kurang siuman itu malah menyebabkan ada segelintir daripada peminatnya yang tergugat iman mereka.

Masa pon berlalu. Awan kumulonimbus berarak seperti biasa. Daun-daun hijau terus merembeskan oksigen menerusi proses fotosintesisnya. 

Tiba hari yang disebut pada tempat yang dimaksud, maka sekonyong-konyong keluarlah seekor raksasa persis seperti yang disifatkan oleh pemberita tersebut. Sebijik sebijon seperti yang dicanang-canangkan sebelum ini; bertanduk tiga, bermisai lentik, bertaring panjang, berkasut tumit tinggi dan mengeluarkan api. 

Nah, apa perasaan anda sekarang? Teruja? Tak terpercaya? Kagum hingga ternganga? 

Ok sekarang bayangkan pula ada seorang ostajah yang sememangnya amat ditsiqahi dan dipercayai. Setiap kata-katanya tiada yang lain melainkan benar-benar belaka. Segala ceramah dan pengisian yang diberikan adalah berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan tidak boleh disanggah lagi. 

Sayugia ostajah itu berjaya membina reputasi yang baik sekali. Sehinggakan para pengikut setianya menggelarnya al-Aminah, kerana kejujurannya dalam bertutur dan ketulusannya dalam melaksanakan amanah.

Namun pada suatu hari, ostajah itu menggegarkan masyarakat setempat dengan mengatakan akan ada tahi bintang berdiameter 100 meter yang akan jatuh ke muka bumi. Lantas ostajah itu menggesa agar seluruh penduduk yang berdekatan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat dengan sesegera yang mungkin. 

Berpecahlah masyarakat kepada dua; yang mempercayai kata-kata ostajah itu dan mereka yang memperlekeh malah melabel ostajah tersebut sebagai gila. Mereka yang memegang dan meyakini kata-kata ostajah itu mengemas dan membungkus barang-barang mereka dan bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa. Mereka yang sinis dan pesimis pula, meneruskan hidup seperti biasa sambil mentertawakan England yang ditewaskan Uruguay pada pertemuan Piala Dunia. Eh.

Masa pon berlalu. Panda di China menunggu-nunggu giliran bilakah mereka boleh datang ke Malaysia. Politik di Malaysia semakin hari semakin sarkis jadinya. Ehem.

Tiba hari seperti yang disebutkan oleh ostajah tersebut, berdebar-debarlah mereka yang memegang utuh kepada kata-kata ostajah itu, menanti dengan penuh saspen sama ada tahi bintang akan benar-benar jatuh. Tidak semena-mena langit menjadi gelap. Nun di kaki langit kelihatan bebola api yang cukup besar sedang meluru laju ke permukaan bumi. Bertempiaran dan histerialah mereka yang sebelum ini tidak percaya dengan kata-kata ostajah itu.

Nah, bagaimana agaknya perasaan anda? Terutamanya sekiranya anda termasuk dalam kalangan mereka yang mempercayai kata-kata ostajah tersebut? Kagum? Semakin beriman dengan setiap kata-kata ostajah tersebut? 

Mungkin begitulah perasaan para sahabat r.a. ajma'in apabila Rasulullah SAW terus-menerus menjanjikan mereka dengan sebuah kemenangan, meskipon ia tampak seperti mustahil dan menggarukan kepala apabila dilihat keadaan umat Islam ketika itu.

Bayangkan sekiranya anda berada di tempat mereka sewaktu perang Ahzab (atau perang Khandaq) terjadi. Dengan situasi yang amat mencekik dan getir - kelengkapan perang yang dhaif, makanan yang tidak mencukupi, kaum Yahudi dan munafiq yang berkhianat - sudah tentunya iman kita ketika itu tergoncang dengan dahsyat sekali. 

"(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika penglihatan(mu) terpanda dan hatimu menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah.

Disitulah diuji orang-orang mu'min dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang dahsyat."
[al-Ahzab, 33:10-11]

Wa zulzilu zilzalan syadidaa. Begitulah iman, perasaan dan jiwa kita tergoncang ketika itu. 

Nah, bayangkan pula, dalam keadaan yang begitu mendesak, kelihatan pula para tentera Ahzab yang berjumlah puluhan ribu ramainya itu datang mendekati. Musuh-musuh yang telah berazam mahu menghancurkan Islam sehancur-hancurnya dari muka bumi ini. Once and for all!

Agak-agaknyalah, bagaimana keadaan dan perasaan kita ketika itu? Sudah basah seluar kita agaknya, terkencing-kencing penuh ketakutan. Terketar-ketar lutut kita, membayangkan ajal dan kehancuran yang bakal tiba. Menyumpah-nyumpah di dalam hati penuh penyesalan, kenapalah kita memilih untuk bersama-sama dengan konco-konco Muhammad bin Abdullah itu.

Agaknyalah. Na'udzubillah.  

Mujur bukan kita yang berada dalam kasut para sahabat. Kerana mereka, para sahabat yang redha kepada Allah dan Allah redha pula kepada mereka, telah menunjukkan qudwah yang terbaik buat kita semua.

Hal ini telah dirakamkan dengan begitu indah sekali di dalam Quran:

"Dan ketika orang-orang mu'min melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata, 'Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.' Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan demikian itu menambah keimanan dan keIslaman mereka."
[al-Ahzab, 33:22]

Subhanallah. Inilah sikap orang-orang yang mempunyai keimanan yang tulen lagi jitu. 

Ujian dan cubaan yang mendatang, hanya menambahkan keimanan dan ketaqwaan mereka. Mehnah yang datang menyerang bertubi-tubi, sedikit pon tidak mengganggu-gugat keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah dan RasulNya. Malah keyakinan mereka terhadap kebenaran ar-Rasul semakin kuat dan utuh.

Apatah lagi apabila janji-janji itu dilafazkan oleh Muhammad SAW, seorang al-Amin, kekasih Allah yang agung dan manusia yang hampir sempurna sifat-sifatnya. 

Wahai ikhwah dan akhawat sekalian,

Kemenangan Islam yang hakiki telah pon dijanjikan oleh Allah dan RasulNya, buat mereka yang bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan agama ini. Kita pada hari ini sedang hidup di akhir zaman, di mana kemenangan Islam yang kedua sudah terlalu dekat dengan kita. Tanda-tandanya sudah terlalu banyak; hanya mereka yang benar-benar memerhatikannya sahaja yang menyedari hakikat ini.

Hanya sahaja tinggal tangan-tangan kita yang mahu memenangkannya.

Benar, di masa ini, umat Islam sedang berada di dalam kegelapan malam yang paling hitam. Namun bukankah mentari akan terbit menyinar selepas malam yang paling gelap? 

Kadangkala apabila kita diuji, sama ada ujian secara peribadi atau tribulasi yang melanda umat Islam secara keseluruhannya, kita menjadi lemah. Iman kita goyah. Keyakinan kita tergugah. 

Kita mula berprasangka terhadap Allah. Tanpa kita sedari, kita menjadi pesimis kepada janji-janji kemenangan yang pernah disebutkan oleh junjungan mulia kita, Rasulullah SAW suatu ketika dahulu. Kita tidak lagi yakin dengan janji bahawa Islam akan menang dengan kemenangan yang paling mulia. 

Di manakah perginya semangat kita suatu ketika dahulu? Ke manakah hilangnya bai'ah dan janji kita yang mahu sehidup semati dengan dakwah ini? Ke mana perginya laungan-laungan jihad dan slogan-slogan berbara yang pernah kita lafazkan dahulu?

Ke laut jahiliyyah kita yang meluas itu? Terkambus oleh pasir angan-angan kita yang berdebu banyaknya? Atau terbakar oleh api nasfu gelojoh kita yang tidak sabar dan gopoh? 

Tunduk malu. Nanges laju-laju. 

Ikhwah dan akhawat,

Maka teruskanlah bekerja tanpa mengenal erti putus-asa. Teruskan menyentuh hati-hati yang dahagakan sentuhan kalian di luar sana. Teruskan membina manusia-manusia yang akan menjadi batu-bata kepada kemenangan Islam yang bakal tercipta. 

Mujahadah. Istiqamah. Dan bersabarlah. Itulah tiga formula yang akan menguatkan hati-hati kita. 

Yakinlah, bahawa apa yang sedang menimpa umat Islam pada hari ini hanyalah gerhana dan bukannya terbenam matahari. Segala macam ujian dan cubaan yang sedang menimpa para pejuang Islam pada hari ini hanyalah suatu fasa yang perlu dilalui kita semua untuk menguatkan lagi saf-saf perjuangan kita. Dan yang tertinggal daripada tapisan inilah, yang akan memenangkan agama ini dengan tangan-tangan mereka yang ikhlas dan sabar. 

Kemenangan itu pasti. Kerana ia sebuah janji. Janji yang pernah diungkapkan oleh ar-Rasul kita yang dikasihi, menerusi wahyu mulia dari Ilahi. 

Ia janji yang pasti ditepati. Sudah tentu bukan janji capati! 

Hanya sahaja tinggal kita untuk meyakininya.

Moga kita terpilih, untuk mengulangi kata-kata keramat yang pernah diungkapkan oleh para sahabat r.a. ajmai'n yang mulia:

"Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita."

InshaAllah. InshaAllah!

-gabbana- 

Penulisan membutuhkan ruh. Dan kadangkala begitu sukar sekali mencari ruh itu. Haih.

Moga Allah redha. 


6 Caci Maki Puji Muji:

Illani 20/06/2014, 16:42  

'Hanya sahaja tinggal kita untuk meyakininya.'

Di akhirnya... benar ia kembali kepada hati sendiri... Utk meyakini atau ragu2... Untuk berada di kalangan yg menggerakkan atau sekadar 'sembang kosong'... Nau'dzubiLlah... JazakaLlahu khoir ats peringatan!

Unknown 21/06/2014, 05:59  

jzakallah khairan kathira...

Unknown 21/06/2014, 06:57  

Jzkk APG utk artikel ni..nk tnye..although agak outdated..mcmne nak beli bku APG tu ye?

Anonymous 23/06/2014, 11:38  

ya, semoga kita semua tidak futur.

Anonymous 23/06/2014, 15:42  

like

Anonymous 23/06/2014, 22:20  

Trima kasih

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP