25 June 2014

Ok Lah Kot, Asalkan Buat!

[Kredit]

Situasi1
"Anda dah buat rondaan belum?"

"Bereh boh."

"Berapa kali?"

"Alah sekali cukup la en?"

"Sekali je?"

"Ok apa. Asalkan ada!"


Situasi 2
"Kau dah solat belum?"

"Dah tadi."

"Solat kat mana."

"Kat dalam bilik. Sendiri-sendiri je."

"Ok la tu. Asalkan solat."

Situasi 3
"Hang dah buat belum kerja yang aku bagi tu..?"

"Oihh mestilah dah!"

"Ni hang kata dah buat...? Cikai ja aku tengok!"

"Alaaa bos. Ok la tu. Asalkan buat!"

Situasi 4
"Weh dia dah ada bulatan gembira belum?"

"Ada. Tapi..."

"Tapi?"

"Macam tak jalan je. On off. Kadang-kadang tu sampai sebulan takde."

"Ok la tu kot. Asalkan ada."

Situasi 5
"Nta dah start tajmik orang belum?"
 

"Alhamdulillah dah."

"Wah mantap. Berapa orang nta tajmik?"

"Hmmm. Adalah sorang dua."

"Ok lah tuuu. Asalkan ada!"

Anda biasa dengan dialog-dialog di atas..? 

Ok kot, asalkan ada.

Ok la tu, asalkan buat.

Ok apa, asalkan jalan!

Sikap aku-tak-kisah dan kau-peduli-hapa atau dalam bahasa omputihnya mediocrity inilah sebenarnya banyak membantutkan perkembangan dan kemajuan diri kita secara khususnya, dan masyarakat dan negara secara umumnya. Mentaliti yang menyebabkan kita malas dan culas untuk berusaha lebih dan menyumbang apabila perlu sahaja.

Endah tak endah. Acuh tak acuh. Biasa-biasa sahaja. 

Akibatnya, banyak perkara atau tugas dilaksanakan dengan ala kadar sahaja. Asalkan siap. Asalkan buat. Asalkan lengkap. Kualiti dan mutu pekerjaan itu entah ke mana.

Tidak hairanlah bumbung stadium boleh runtuh meski baharu sahaja diperbaiki.

Tidak peliklah apabila siling parlimen boleh roboh walaupon berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk menaiktaraf bangunan tersebut.

Tidak perlu garu kepalalah jika setiap tahun masih ada ketirisan dalam skala yang tidak boleh diotakkan dalam perbelanjaan wang rakyat, meski saban tahun ia diaudit.

Kerana kita telah dididik sejak kecil, tidak mengapalah sekiranya sesuatu itu dilaksanakan dengan ala kadar dan tidak bersungguh-sungguh, asalkan ia dibereskan dan disiapkan seperti yang dipinta.

Alahai.  

Atas premis yang sama, saya berpendapat, mentaliti seperti "Malaysia masih aman, bercukurlah!" Eh maksud saya, bersyukurlah! Juga pandangan-pandangan seperti, "Rakyat Malaysia wajar berterima kasih dan bersyukur kerana negara kita aman dan tidak ada peperangan", "Kita sepatutnya bersyukur jadi Muslim di Malaysia sebab tak perlu rasa takut untuk beribadah", "Kalau bandingkan kita dengan orang lain kat Palestin, Myanmar atau Syria tu, kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan!" dan sebagainya adalah mentaliti yang jumud dan merbahaya.

Bukan, bukan tidak mahu bersyukur. Bukan tidak perlu berterima kasih. 

Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang melahirkan saya sebagai seorang Muslim berbangsa Melayu di Malaysia ini. Alhamdulillah, segala puji-pujianNya hanya layak untukNya.

Tetapi mentaliti dan pemikiran seperti yang saya sebutkan di atas, sekiranya dibiarkan merebak dan bermaharajalela, akan melahirkan golongan yang malas berfikir dan berusaha. Lebih menakutkan dan merbahaya lagi, apabila pemikiran sebegini dibiarkan membumi di dalam kepala otak setiap daripada kita, kita akan redha dan tutup sebelah mata sahaja pada kemungkaran dan kekorupan yang berlaku di depan mata.

Ya, Malaysia aman, tetapi adakah itu bermakna kita boleh biarkan sahaja rasuah dan kekorupan yang trang tang tang dipraktikkan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa?

Ya, kita tidak menghadapi masalah dalam mendirikan beribadah, tetapi adakah ia bermakna kita idak perlu mencegah kemungkaran dan melaksanakan dakwah?

Ya, kita tidak kebulur dan berasa takut akan ditembak atau dibom (ok sebenarnya takut juga kadang-kadang melihatkan kadar jenayah di Malaysia ini), tetapi adakah itu isyarat bahawa kita tidak perlu berbuat apa-apa dan duduk diam sahaja menjadi pemanas kerusi simpanan melihat bagaimana negara kita ditadbir dan diuruskan?

Kerana kita tahu, dengan apa yang kita ada, sepatutnya kita boleh pergi lebih jauh lagi. Dengan sumber-sumber alam dan kedudukan geografi kita, kita sebenarnya bisa memacu lebih laju dan jauh ke hadapan. Dengan kelebihan dan kekuatan yang kita ada, kita sepatutnya berdiri sama tinggi dengan banyak negara-negara maju yang lain.

Tapi mentaliti kelas ketiga ini telah menyebabkan kita jauh tertinggal di belakang. Sikap kita yang tidak peduli, yang hanya tahu memenuhkan poket dan perut sendiri, telah menjadikan kita mundur berbanding bangsa-bangsa yang lain. Kita yang amat mudah dan berpuas hati dengan apa yang anda, membuatkan kita sukar sekali menjadi bangsa yang luar biasa. 

Sedangkan Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha mencari kesempurnaan dan berusaha mewujudkan keadaan yang terbaik di dalam serba-serbi perkara. Berapa banyak dalil di dalam Quran yang menyuruh kita agar sentiasa bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik dalam setiap perkara. 

"Ikutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu..."
[az-Zumar, 39, 55]

"...Oleh itu, gembirakanlah para hambaKu. Mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya. Lalu, mereka memilih dan menurut sebaik-baiknya daripada segi hukum agama..."
[az-Zumar, 39:17-18]

"...Siapakah antaranya yang paling baik amalannya."
[al-Kahfi, 18:7]


Pemikiran acuh tak acuh dan tidak bersungguh-sungguh ini amat merugikan buat kita dalam beragama. Cukuplah sekadar kita melakukan perkara-perkara yang wajib dan yang disyariatkan. Buat apa mahu susah payah melakukan perkara-perkara sunat yang memenatkan itu bukan?

Cukuplah kita solat bersendiri. Ok lah tu. Asalkan buat.

Cukuplah kita baik seorang diri. Ok lah tu. Asalkan baik.

Cukuplah kita bayar zakat, buat apa nak sedekah lagi? Ok lah tu. Asalkan ada.

Geleng kepala. 

Walhal amalan-amalan sunat dan tambahan itulah yang menutup lompong-lompong pada amalan wajib yang kita lakukan. Amalan wajib kita itu belum tentu sempurna pelaksanaanya. Niatnya, rukunnya, tertibnya. Sedangkan amalan tambahan itulah yang dichentai Allah, kerana yang wajib itu sudah tentunya wajib dilaksanakan!

 Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhya Allah ta’ala berfirman: 'Siapa yang memusuhi waliKu maka Aku telah mengumumkan perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepadaKu yang lebih aku chentai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan hambaku yang selalu mendekatkan diri kepadaKu dengan nawafil (perkara-perkara sunnah diluar yang fardhu) maka Aku akan menchentainya dan jika Aku telah menchentainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaKu nescaya akan aku berikan dan jika dia minta perlindungan dariKu nescaya akan Aku lindungi."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Mentaliti sebegini juga amat merbahaya di dalam tarbiyah dan dakwah. Sikap sebegini akan menjadikan ikhwah dan akhawat amat mudah berpuas hati, tidak pro-aktif dan menyumbang sekadar mana yang dikehendaki sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Ok lah kalau dah bawa bulatan gembira. Asalkan ada. Kualitinya entah ke mana. Pembinaan hadek-hadeknya tidak dikira.

Ok lah kalau dah bersama gerabak tarbiyah dan dakwah. Asalkan ikut. Wasilahnya berjalan atau tidak, itu belakang kira. Muwasofatnya dipenuhi dan dicukupi dengan amanah, itu buat tidak kisah.

Ok lah jika dah bergelar ikhwah atau akhawat. Asal dapat. Ikhtilatnya entah ke mana. Akhlak dan qudwahnya kadangkala lebih teruk lagi daripada orang lain di luar sana.

Potong bawang merah laju-laju.

Sedangkan perjuangan ini membutuhkan mereka yang sanggup berkorban harta dan jiwa, tenaga dan masa. Dakwah ini memerlukan rijal 'ammah yang bersungguh-sungguh, sehabis baik menyebarkan risalah agung ini. Panji ini memerlukan para jundiyy yang luar biasa dan bukan sekadar biasa-biasa sahaja!   

Sekiranya para sahabat dahulu bermalas-malasan, berpuas hati dengan keIslaman mereka dan keluarga mereka, sudah berasa puas dan cukup kerana dijanjikan sorga, sudah tentu nur Islam itu tidak mungkin akan sampai kepada kita. Seandainya golongan terdahulu (salafus soleh) mengambil sikap endah tak endah dan biasa-biasa sahaja dalam perjuangan mereka, saya rasa ada kemungkinan kita masih lagi menyembah pokok atau batu pada hari ini. Dan jika para ikhwan dahulu tidak berkorban, bersungguh-sungguh dalam menyebarkan fikrah Islam ini ke serata dunia dahulu, nah, sila beritahu saya, mana mungkin kita mengecapi betapa manis dan lazatnya fikrah ini? 

Tidak ok kalau tidak membawa bulatan gembira, apatah lagi jika tidak berbulatan gembira.

Tidak ok kalau setelah beberapa bulan konferens riang masih tidak berjalan.

Tidak ok sekiranya infaq untuk Palestin dan Syria sudah lama tidak dilaksanakan.

Tidak ok jika mutabaah amal tidak diperiksa secara berkala dan tiada penambahbaikan.

Tidak ok jika program-program umum yang membelanjakan wang dalam jumlah yang besar tanpa ada follow up

Tidak ok sekiranya sudah bertahun-tahun bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah tetapi masih belum lagi mahu dan mampu menghasilkan murabbi. 

Tidak ok sekiranya kita berasa ok bahawa kita telah menyumbang dan melakukan yang sebaiknya untuk dakwah ini! 

Mulai hari ini, kita mesti berazam untuk membuang mentaliti 'Ok lah kot, asalkan buat', 'Ok lah tu, asalkan ada', 'Ok apa, asal jalan!' dan yang seumpama dengannya jauh-jauh dari pemikiran dan jiwa kita. Kerana pemikiran sebegini hanya membunuh kreativiti dan kemampuan sebenar diri kita. 

Kita sebenarnya mampu melakukan lebih lagi daripada apa yang kita sangkakan. Kita mampu untuk menyumbang lebih banyak tenaga dan harta. Kita mampu untuk melakukan sesuatu yang benar-benar bermanfaat kepada ummah dan agama ini!

Jadilah luar biasa, kerana jalan ke sorga itu tidak pernah biasa.

Jadilah orang yang bersungguh-sungguh, kerana hanya dengan itu iman kita menjadi utuh.

Kejarlah kesempurnaan itu, meski mustahil untuk kita menjadi sempurna!

Senyum.  

-gabbana-

Tidak tahu sama ada sempat atau tidak untuk saya menulis sesuatu untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba nanti.

Sekiranya tidak berkesempatan, saya mendoakan agar kita semua diizinkan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini.

Sungguh, tiada kegembiraan dan kenikmatan yang lebih hebat daripada dipilih olehNya untuk menjadi tuan rumah kepada Ramadhan!

Wahai Allah! Sampaikanlah kami kepada Ramadhan! Amiin ya robbal a'lamin!

6 Caci Maki Puji Muji:

Unknown 25/06/2014, 18:52  

I feel like I'm having a heart attack with respiratory failure.
betul betul zasss.
tertusuk tepat panahan kata kata APG ke arah jantungku.
jzkk for the reminder

Anonymous 25/06/2014, 18:57  

Alhamdulilah..syukran inci gabbana..

Anonymous 25/06/2014, 22:35  

If only you are able to be in my shoes, then you'll know :') thank you for the reminder anyway :')

d9saphire@blogspot.com 26/06/2014, 14:42  

Jzkk AGP for the reminder.

absolutely TRUE.

Bro Jay (Hidayah Centre Johor), seorang saudara baru,rasanya secara rasmi baru didaftarkan pada tahun 2010, tapi sudah lama menyerahkan diri kepada Allah, sudah berkeluarga, isteri beliau dr fatin juga revert sister yang seriously amazing.

bro jay dan isteri sangat aktif dalam dakwah dan banyak membantu kami untuk belajar menyampaikan dengan cara berhikmah.

bro jay mempunyai ciri2 kempimpinan yang sangat tinggi, kelas, training akan jalan, walaupun yang hadir hanya seorang. kalo beliau bagi ceramah, biarlah tak ramai yang datang, tapi beliau berusaha sehabis baik untuk memberikan yang terbaik.

susun kasut semasa program pun bro jay usahakan yang terbaik. katanya melatih diri untuk menjadi humble. kalo susun kasut pun tak mampu humble, macammana nak humble depan Allah. Allah.

saya selalu memikirkan, kenapa bro jay perlu bersusah susah sebegitu,

after one year +, baru tau yang rupanya beliau ambil setiap ceramah, usaha, training, tindakan beliau sebagai usaha TAUBAT kepada Allah. how special the way he want his repentance to Allah

saya sentap gile bile dengar. never thinking about that kind of repentance.

maksudnya, kita memang tak boleh 'lebih kurang' asal boleh'

hurm~ jom. usaha beri yang terbaik. Ramadhan dah dekat.
Allhuma balighna fi Ramadhan

Nina
aktivis Hidayah centre johor.

Unknown 27/06/2014, 23:15  

Perluru berpandu disasarkan kepada diri. Allah. syukran jiddan atas peringatannya. :D

Anonymous 29/06/2014, 16:19  

In my face!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP