7 May 2014

Jika Benar KIta Sayangkan Mereka...

[Kredit]

Dalam dunia ni ada ramai orang yang kita sayang. Puan Mama kita, Inche Papa kita, Cik Kakak Perempuan kita, Inche Adik Lelaki kita, Puan Makcik Dua Pupu Belah Mak Kita, Inche Atuk kita, besfren kita masa kecil-kecil dahulu yang selalu ajak kita main tengteng, rakan sekatil kita di asrama dahulu yang selalu berborak bantal dengan kita, ikhwah gebu comel yang sebulatan dengan kita, akhawat yang selalu bagi pinjam bahu dekat kita, ostad yang tak pernah lokek nak belanja kita, kucing belang gemok yang perutnya selalu jadi bantal kita... Ah senang cakap ramailah orang kesayangan kita kat dunia ini.

Namun persoalannya, apa tanda kita sayang kepada mereka ini? Apa bukti yang kita menghargai dan mengasihi mereka ini? 

Dengan kita mengingati hari mendekati kematian mereka? Dengan kita memberi mereka hadiah sekali-sekala atau cenderajantung setiap kali kita ke luar negara? Dengan sentiasa menge-like status atau komen-komen mereka di Mukabuku? Dengan sentiasa berselfie manja dengan mereka? Dengan membawa mereka keluar dan membelanja mereka makan sushi atau beriani gam? 

Atau bagaimana? Apa tanda kita benar-benar sayang pada mereka ini? Atau selama ini kita hanya berangan-angan dan perasan yang kita sayangkan mereka ini?

Sekiranya kita benar-benar sayangkan Puan Ibu kita, kita akan berbuat apa sahaja yang kita termampu asalkan kita dapat bersama-samanya di sorga, meski terpaksa mendengar bebelannya sepanjang masa.

Andai benar kita sayangkan Inche Ayah kita, kita akan pujuknya untuk meninggalkan tabiat rokoknya kerana kita tahu ia haram dan menzalimi dirinya sendiri.

Jika tiada keraguan lagi kita menyayangi Puan Bini kita, kita akan bertegas dengannya malah memarahinya andai dia mahu melakukan sesuatu yang boleh mencemari kehormatannya sebagai seorang muslimah yang mulia.

Sekiranya kita sungguh-sungguh sayangkan Tuan Abang Besar kita, kita akan sanggup bergaduh dengannya semata-mata kerana dia liat untuk menunaikan solat fardhu lima kali sehali.

Andai betullah kita sayangkan Cik Anak Perempuan kita, kita akan marah dia, tegur dia dan nasihat dia agar dia menutup auratnya dengan sempurna, meski kadang-kadang kita terpaksa mengguris hatinya.

Jika betul kita sayangkan sahabat baik kita yang sering makan Nini Cokelat Celup dengan kita sewaktu menunggu bas sekolah dahulu, kita akan sering menghubunginya dan tanpa lelah mengajaknya untuk menyertai bulatan gembira.

Sekiranya betul kita sayangkan rakan sekerja yang sering menemani kita makan tengah hari dan kadangkala belanja kita minum petang itu, dalam setiap perbualan kita dengannya, kita tidak pernah lupa untuk menyelitkan ajakan-ajakan untuk kembali kepadaNya.

Andai kita ikhlas dan tanpa syak lagi menyayangi Mak Cik Penjual Nasi Lemak Sambal Kerang Pedas yang tidak pernah bosan melayani karenah dan permintaan kita, siap beri diskaun lima puluh sen lagi setiap kali kita membeli, maka tanpa ragu-ragu lagi kita akan sentiasa mengingatkannya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang 'abid dan khalifah di muka bumi.

Jika benarlah kita sayangkan jiran sebelah rumah kita yang tidak pernah lupa menghantar sepinggan puding kastard jagung setiap kali Ramadhan tiba, sudah pasti kita akan menghantar rombongan meminang untuk memperisterikan anak perempuannya yang nombor dua itu. Ehhh. Tersipu-sipu.

Sekiranya kita sungguh-sungguh sayangkan ikhwah, kita pasti marah dan kembang-kempis hidung menahan geram apabila melihat ada dalam kalangan mereka yang bermalas-malasan dalam berdakwah, masih tidak membawa bulatan gembira dan masih bermain-main dengan jahiliyyah.

Andai kita sayangkan hadek bulatan gembira kita, kita akan sanggup tidak tidur malam, mengikat batu di perut dan merentas lautan api, hanya sahaja mahu melihat mereka ini terbentuk menjadi seorang rajul yang benar-benar bermanfaat buat ummah.

Jika kita benar-benar sayangkan ummah ini, sayugia kita rela untuk menjual diri, harta, tenaga dan nyawa kita untuk perjuangan menegakkan Islam di muka bumi, kerana tidak tertahan lagi melihat ummah ini dibelasah dan dipijak dengan begitu hina sekali.

Tarik nafas.

Kerana sekiranya benar kita sayangkan mereka semua, kita akan berbuat apa sahaja, apa sahaja untuk menyelamatkan mereka semua dari azab api neraka.

Kerana andai benarlah kita sayangkan mereka semua, kita tidak akan sanggup melihat mereka terkapai-kapai, lemas dan mengah di dalam lembah maksiat, jauh dan jauh dari rahmat Allah. 

Kerana jika kita benar-benar sayangkan mereka semua, akarnya mestilah iman. Batang dan dedahannya adalah Tuhan. Dan buahnya yang manis itu adalah sorga yang berkekalan.

Senyum.

-gabbana-

Kadangkala apabila melihatkan betapa nazaknya ummah di luar sana, dengan pelbagai fitnah dalaman dan luaran yang bertalu-talu melanda, saya berasa begitu bawah dan mahu terjun gaung sahaja. Seakan-akannya tiada lagi harapan.

Namun kemudian saya memandang ke atas, lantas saya tersenyum. 

Mana mungkin tiada harapan? Bukankah di sana ada Tuhan...? 

19 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 07/05/2014, 11:09  

" Mana mungkin tiada harapan? Bukankah di sana ada Tuhan...? " (':

Budak Hingusan :') 07/05/2014, 11:18  

masih ada harapan
=)

sky juice ~ A-M~ 07/05/2014, 12:00  

jika benar anda sayangkan ummah . anda masih punya harapan :)

Anonymous 07/05/2014, 12:01  

sy selalu rasa xda org sygkn sy.pedulikan sy.macam mana???

Anonymous 07/05/2014, 13:01  

anonymous 12:01

Ketahuilah dan yakinlah bahawa sesungguhnya apabila seluruh dunia seakan akan pergi dari kita. itulah cara Allah mengajar kita bahawa selama lamanya hanya Dia yang ada untuk kita.

Yakinlah bahawa Allah ada. sentiasa dalam kita tidur dan jaga Dia sentiasa memerhati.

:)

Anonymous 07/05/2014, 14:21  

Saya tahu rialiti dan sedar tanggungjawab yg ada di bahu ni....saya tahu saya perlu menyedarkan mereka ...sya tahu sya perlu membuka mata2 mereka tentang rialiti ummah hari ini....tapiiii ... apakah caranya.....??? ...rasa terseksa baca blog inche gabbana...dgn sya yg tak jumpa cara...untuk menyentu hati2 mereka.....arr

Anonymous 07/05/2014, 17:00  

same here bro

BUDAK NAKAL 07/05/2014, 18:48  

Sy syg true frenz syg.. :'(

Anonymous 07/05/2014, 21:06  

*Nanges*

Anonymous 08/05/2014, 00:10  

Me too... T.T

Anonymous 08/05/2014, 01:31  

Allahu akbar.. Saya sangat sangat tersentap.

Sahabat saya yang dari kecil (sejak darjah satu sehingga sekarang di universiti yang sama) tidak saya betul betul "sayangi".

APG, boleh share paling berkesan?

Anonymous 08/05/2014, 04:59  

Kenapa penulisan kali ni banyak mengaitkan sayang dan marah? Hmmmm mcm pelik sikit...

Inche gabbana 08/05/2014, 09:14  

Enonimus 14:21: Hehe. Jangan garu kepala. Kalau anda rajin geledah belog ni, banyak je tips-tips yang saya dah kongsikan, macam mana nak sentuh hati-hati mereka.

Kat ruangan search tepi tu, boleh try cari artikel:

1) Parti Politik Mak Bapak
2) Siri Donut & Falafel

Allahu yusahhil!

Inche gabbana 08/05/2014, 09:15  

Enonimus 0459: Eh? Ye ke? Tak perasan pon. Mungkin sebab saya marah pada diri sendiri, yang belum benar-benar beramal. T.T

Shiba Hisham 08/05/2014, 10:50  

Kadang2 saya rasa bersalah sebab buat semua sendiri2. Solat sendiri, pergi usrah sendiri, buat baik sendiri. Beratnya mulut dan hati nak mgajak pada kebaikan. Lagi2 di kalangan kawan2. Rasa berdosa dan rugi, kerana saya tau tugas kita khalifah ialah mgajak pd kebaikan. Buat baik utk diri sendiri saja tak cukup. Malah mungkin akan terheret saya ke neraka dek ditunding nanti di akhirat oleh kawan2, saya lah manusia selfish yg solat sendiri tp tak mgajak mereka. Saya rasa inilah dilema semua org. Diri belum tlalu baik dan kita takut kawan2 akan cop kita as boring dan macam bagus. Kadang2 saya sampai menipu, nak ke toilet tp saya solat sekejap. Sebab risau mereka rimas dgn saya ke macam mana. Boleh bg tips? Mengajak kawan yg tak solat utk solat? Mganjak kawan yg tak tutup aurat utk tutup aurat??

Anonymous 08/05/2014, 12:51  

inche gabbanaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa :( saya tgh down..jadi saya nak doakan che gabbana

moga Allah tetap pegang hati che gabbana demi deen yang mulia ini

Anonymous 08/05/2014, 17:54  

sayang anak jiran tu xbleh blah la encik apg ohoiiii...*pis ...:P

Anonymous 08/05/2014, 20:56  

Salam...korang kat usrah wat pe ek....teringin nk tau..sy dgr member Kate best...SBB sy bdk tabligh...teringin jgk nk tau...mcm best

Anonymous 10/05/2014, 16:53  

Setiap orang punya lain cara untuk hatinya disentuh.

Ada yang suka dengar ceramah/tafsir
Ada yang suka pegi usrah
Ada yang suka pegi tengok alam

Tapi semua orang pun suka disentuh dengan kelembutan, dengan rasa hormat, dengan kasih sayang.

Kenal kan mereka kembali dengan kelembutan dan kasih sayang Islam - by improving our akhlaq when dealing with people. Be gentle and be humble with them. Smile and be approachable. Offer your help to people. Appreciate them and make them feel special.

Sebab akhirnya kan Rasulullah diutuskan untuk memperbaiki akhlaq?

:)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP