5 May 2014

Kembalikanlah Kelazatan Itu!

[Kredit]

Suatu ketika dahulu, kita merasakan betapa lazat dan basahnya bulatan-bulatan gembira yang kita hadiri. Perkongsian-perkongsian yang disampaikan oleh sang murabbi dirasakan cukup basah. Mengguggah. Kita sentiasa ternanti-nanti untuk bercipiki cipika berukhuwwah chenta dengan ikhwah. Tidak sabar untuk sesi berqadhaya, meluahkan segala resah dan masalah, tahu benar bahawa ia bukan sekadar akan didengari, malah tangan akan pantas dihulurkan andai ia diperlukan. Kita pulang dengan suatu kepuasan, perasaan yang tiada tolok bandingan. Lazat!

Suatu ketika dahulu, kita merasakan betapa syok dan terisinya konferens-konferens riang yang kita sertai. Pengisian-pengisian yang terhidang benar-benar menyentuh hati kita pada sudut yang paling dalam. Kadangkala terasa seperti ditampar-tampar dengan hujahan yang dilontarkan. Pada masa yan lain seakan-akan menonton filem Bollywood, air mata mengalir tidak terhenti-henti. Masa-masa yang terluang dimanfaatkan sepenuhnya untuk berborak bantal dan berbicara tarbawi. Setiap masalah dan musykilah yang ada, dikongsi sama tanpa sebarang prejudis atau buruk sangka. Aduh, betapa nikmatnya dapat duduk-duduk bersama ikhwah dan beriman berjenak-jenak! Lazat!

Suatu ketika dahulu, kita dapat merasakan betapa indah dan menggugahnya tilawah dan tadabbur Quran kita. Setiap ayat yang kita baca dan tatapi, kita soroti satu-persatu. Kita kunyah perlahan-lahan. Kita hadam begitu berkesan. Benar-benar terasa seperti Allah sedang berkata-kata dengan kita. Benar-benar kita dapat menjiwai luahan rasa Sayyid Qutb dalam Muqaddimah Zilalnya. Kita begitu teruja, terasa seperti mahu melompat penuh kegembiraan sambil berselfie apabila dapat memahami walau sepatah kata bahasa Arab pada uslubnya yang paling benar. Kita terasa seperti mahu melakukan lompatan banji penuh kegembiraan apabila kita dapat menghayati konteks sesuatu peristiwa atau ayat yang diceritakan dalam Quran. Begitu mengujakan! Lazat!

Suatu ketika dahulu, kita pernah merasakan betapa segar dan hidupnya bangun-bangun malam kita bermunajat padaNya. Sebaik sahaja kelopak mata kita terbuka, kita pantas tersengih seperti orang gila, terlalu gembira kerana telah dikejutkan olehNya untuk bangun mengadu chenta. Air wudhu' yang menyapa muka terasa begitu bersih dan menyucikan. Bacaan surah kita begitu syahdu. Air mata yang mengalir benar-benar pilu. Tangan yang ditadah padaNya sungguh ikhlas mengadu rindu. Ketika itu, kita benar-benar dapat merasakan yang kita sedang bertemu-janji dengan Allah. Janji setia yang menguatkan hati dan jiwa kita. Lazat!

Suatu ketika dahulu, kita sungguh merasakan betapa nikmat dan bermaknanya menyentuh jiwa-jiwa di luar sana. Kita sanggup belanjakan wang kita semata-mata mahu membelanja hadek-hadek kita ayam goreng berempah bersalut sos bbq. Kita sanggup tak tidur malam, hanya sahaja ada hadek yang meminta mahu didengari luahan rasanya. Kita sanggup memandu ratusan malah ribuan batu jauhnya semata-mata mahu menziarahi hadek-hadek yang pulang bercuti. Kita sanggup korbankan emosi dan perasaan kita hanya kerana mahu memberikan yang terbaik buat hadek-hadek terchenta. Kita sanggup lakukan itu semua, meski tubuh kita penat, jiwa kita dah tak larat, kerana kita benar-benar dapat merasakan kepuasannya. Lazat!

Suatu ketika dahulu, kita benar-benar merasakan inilah jalannya. Kita mahu sehidup semati dengan dakwah ini. Akhawat kita tolak tepi dahulu, kerana pada kita, tarbiyah itu isteri nombor satu dan dakwah itu isteri nombor dua. Kita sudah bersedia untuk berbai'ah dengan perjuangan ini. Tiada apa yang kita mahu melain bersama-sama dengan gerabak yang sedang bergerak laju ini dan sanggup menerima apa sahaja akibatnya. Yang kita nampak hanya sorga. Yang kita damba hanya redhaNya. Slogan syahid kita laungkan dengan penuh bersemangat. Lazat! 

Tapi... Tapi... Itu dahulu. Itu suatu ketika dahulu.

Kini... Kini... Kita sudah tidak dapat merasakan kelazatan semua itu. Reseptor-reseptor iman kita tidak lagi sensitif untuk menikmati kebasahan sebuah tarbiyah. Sinaps pada otak kita tidak dapat lagi memaknai keriangan dan keseronokan mentarbiyah dan berdakwah.

Bulatan-bulatan yang kita hadiri terasa begitu kering. Bosan dan tidak menghidupkan. Kehadiran kita semata-mata kerana kita perlu untuk datang sekali seminggu.

Konferens-konferens yang kita sertai hanya menjadi rutin, acara bulanan yang wajib kita hadiri. Pertemuan mata kita dengan ikhwah tidak lagi menghadirkan jiwa dan rasa. Hanya plastik yang menanti dikitar semula.

Tilawah dan tadabbur kita tidak lagi mengujakan iman, tiada lagi melonjakkan perasaan. Huruf-huruf Arab itu kita tatapi dengan pandangan kosong tiada isi.

Bangun malam kita tidak  lagi menyeronokkan, malah kita perlu memaksa diri pula hanya untuk membuka mata. Solat dua rakaat kita dipenuhi dengan kuapan dan tahi mata yang masih berdaki.

Bulatan yang kita bawa, tidak lagi memberi apa-apa makna. Hadek-hadek tidak lagi kita pandang dengan penuh kasih dan sayang. Tiada lagi chenta.

Dan kita tidak lagi pasti, sama ada jalan yang kita pilih ini, adalah jalan yang terbaik untuk kita. Kita mula rasa was-was dan ragu-ragu. Semangat yang membara itu kini mula malap menuju padam. 

Kita semakin lupa bahawa suatu ketika dahulu, kita pernah merasakan kelazatan semua itu. Kita semakin alpa betapa suatu ketika dahulu, jiwa kita benar-benar hidup dan hati kita sungguh-sungguh segar memaknai semua itu.

Dan kita teruskan kehidupan. Kita jalani sehari-hari kita seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan. Kita buat apa sahaja yang disuruh seperti kanak-kanak tadika patuh pada jadual harian.

Tiada lagi ruh. Tiada lagi jiwa. Tiada lagi semangat yang membara.

Sehinggalah.. Sehinggalah kita benar-benar lupa kelazatan iman yang pernah kita rasa itu. Sehinggalah lidah hati kita sudah hilang upaya untuk merasa. Sehinggalah jiwa kita kontang, tidak lagi punya keinginan untuk jatuh chenta padaNya.

"Belum tibakah waktunya untuk orang-orang yang beriman, untuk secara khusyu' mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka  (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."
[al-Hadid, 57:16]

Nanges.  

Maka ayuh, ayuh kembalikan kelazatan itu! Ayuh nyalakan semula bara-bara semangat yang pernah menggegarkan dunia! Ayuh hidupkan semula ruh-ruh syabab yang pernah berjanji mahu sehidup semati dengan perjuangan ini! 

Jangan biarkan kedunguan jiwa kita mematikan perasaan. Jangan benarkan nafsu kita tunduk pada bisikan syaitan! Dan jangan biarkan prejudis dan skeptisme kita membunuh tarbiyah dan dakwah yang pernah memberikan kita erti kehidupan! 

Ayuh! Bangkit semula!

Kembalikanlah kelazatan iman yang pernah kita nikmati! Sebelum jiwa kita keras dan hati kita mati!
 
Gulp.

-gabbana- 

Sangat terinspirasi melihat beberapa syarikat penerbitan berkonsepkan indie dan moden seperti Dubook Press dan Fixi semasa menziarahi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. 

InshaAllah sudah ada perancangan untuk menubuhkan syarikat penerbitan sendiri yang tentunya osem bergaya suatu hari nanti. Doakan!

12 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 05/05/2014, 15:35  

saya menangis baca entri ni.. T.T

Anonymous 05/05/2014, 15:36  

saya menantikan syarikat penerbitan inche gabbana. Indie islamic mungkin. hehehe

Unknown 05/05/2014, 15:48  

Entri yg bermakna. Menunggu pernerbitan buku inche gabbana pula.

Anonymous 05/05/2014, 17:40  

jom...

bermula dengan:
ikhlas dalam ukhuwah
tsiqoh pada ikhwah
buang jauh2 dzon
pijak dan tanam hidup2 perasaan takabbur dan merasa diri betul

dulu kita merasai semua itu..

kerana dalam hati kita ada satu perasaan:
"aku ingin belajar."

dalam buku ihya' ulumuddin...
Imam Al-Ghazali bermula dengan menerangkan adab menuntut ilmu
kenapa ?
Saat kita merasakan orang itu lebih rendah daripada kita,
maka automatic, kita tidak akan mendapat walau sedikit manfaat daripadanya

mgkin sebab itu.. org tabligh lebih 'basah'...
kerana hati mereka rendah.. tidak sekali merasa lebih baik dari org lain..

makin banyak amal, makin merendah.. tidak mencari2 kekurangan org.. tidak menunjuk2 kesilapan org..
bukan asyik menilai.. org itu tak kena, org ini tak kena..

saye pun x tahu.. kongsi mongsi jgn marah.. keke

Anonymous 05/05/2014, 18:57  

macamana nak kembalikan lazatnya iman?? kadang kala, lazatnya terasa.. kadang kala, buat seperti terpaksa.. kerana nikmat itu tidak terasa.. mohon bantuan ig.. syukran..

pelangipetang 05/05/2014, 20:30  

Allah Allah. Mcmana nk kembali kan semua tu? Rindunya saat tu T.T

Anonymous 05/05/2014, 21:50  

Alhamdulillah, andai sudah mula indie islamik, berkembang baliklah minat pada novel... Novel Cinta dakwah~ Kalau nak hantar manuskrip novel under Jenama Indie APG boleh? Ala-ala Fixi, hehe..

Anonymous 06/05/2014, 02:13  

iman itu ada turun naik nya.
bersyukurlah bila punyai rakan yang baik ingin mengingatkan.
bersyukurlah Allah masih turunkan hidayah pada kita.
gunalah sebaiknya.:)
kerana ramainya di luar sana masih ramai tercari-cari sahabat yang saling mengingatkan.
masih ramai yang mendambakan hidayahNya, sedang kita dihidang percuma olehNya. :)

Anonymous 06/05/2014, 16:51  

APG mungkin boleh sertakan solusi sekali. Ana pun kadang2 mengalami perasaan yg berat maha dasyat itu juga. Terumbang ambing kehidupan. Sekarang cuba membina kembali rasa.

Anonymous 06/05/2014, 18:54  

Allahuu 😭😭😭
Saya takutsangat jika saya sampai kepada saat itu...
Honestly, saya dah jumpa few kawan yang mengadu rasa tarbiyah mereka yang semakin kering dan tepu..

Mungkin saat itu, lihatlah kembali siapa kita yang pernah Allah selamatkan dahulu, sedutlah himasah adik2 yang baru join DnT yang begitu mencari indahnya kenal Allah itu...dan betulkan niat dan bersyukur kerana Allah masih memilih kita...

Indeed Allah akan uji dan terus uji hambaNya yang ikhlas mencariNya hingga di dalam hatinya tinggal Allah semata mata.

Allahu.....

Anonymous 07/06/2015, 00:00  

Cari entry ni balik..
sebab pernah baca masa hati maseh basah dgn itu itu semua.
Masa tu hati rasa pelik. Eh takkan lah rasa kering! Bukan ke jalan ni sumpah kool n luar biasa?! Ya Allah, moga apa yg aku baca ni tak jadi lah pada aku.! (Jamin diri T_T puih)

tapi ketentuan Allah itu pasti. . Lihat diri sekarang ni. Ade sisa2 menjunam tanda2 rosak. Mengaku, kering dan haus.. hilang makin kabur.. tak jumpa identiti yang lama dah.. perasaan yg membatu.. :'(

hinggalah ..
"aku bukan kehilangan perasaan .. tapi aku kehilangan Dia"
If u have Him. . U have everything.
:')

Anonymous 19/08/2016, 01:13  

Alhamdulillah...at the right moment :)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP