9 May 2014

Dah Kau Ni Kenapa?

[Kredit]

Berdebar-debar Bakhtiar menanti di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sudah genap setahun dia tidak bersua dengan sahabat baiknya, Azwad. 

Rindu. Dendam.

Sejak kecil Bakhtiar bersahabat dengan Azwad. Rumah mereka selang lima buah rumah. Oleh sebab kawasan perumahan itu tidak ramai kanak-kanak yang sebaya dengan mereka, mereka menjadi rapat.

Ke sekolah dengan basikal bersama-sama. Bergaduh ketika bermain main teng-teng. Main hujan dan lumpur. Ke padang bermain bola dengan rakan-rakan yang lain. Tahan bhai roti untuk beli kerepek ubi pedas kegemaran mereka. Bergilir-gilir rumah menonton siri Otromen.

Pendek kata, mereka ibarat adik-beradik. Adik beradik lain ibu dan ayah, tetapi punya darah yang sama yang mengalir di dalam tubuh mereka. 

Pernah sekali itu, ketika mereka berumur 6 tahun, mereka bersubahat untuk berbuat nakal. Alah, bukan apa pon. Setakat lari ke kedai runcit mahu membeli Tora sebaik turun dari bas sekolah usai kelas tadika. Namun untuk kanak-kanak seperti mereka, boleh kira nakal lah tu. 

"Weh. Nanti.. Slurrp. Tok aku tanya.. Slurrrpp. Kenapa lambat, nak jawab apa?" tanya Azwad sambil menghisap-hisap aiskrim perisa strawberi yang dibelinya.

"Uhmmm. Alah kau cakap je tayar bas pancit. Sebab tu lambat!" Dengan selamba Bakhtiar memberikan cadangan, sambil teruja membelek-belek pistol air mini yang datang dengan bungkusan Tora.

"Ok."

Kurang setengah jam selepas Bakhtiar sampai ke rumahnya, kedengaran suara orang menjerit-jerit di luar rumahnya. Diselangi dengan suara rengekan budak kecil. Azwad.

"Haaaa mana Bakhtiar! Mana...?? Oh kecik-kecik lagi hampa dah pandai bohong! Tayar pancit noh..?? Meh sini tok tunjuk tayar pancit yang btoii punyaaa!"

Berlari Bakhtar menyorok di belakang langsir rumahnya. Kecut perutnya mendengar libasan rotan nenek Azwad pada pintu pagar rumahnya. Tangisan Azwad masih belum reda.   

Bibik Sutini, pembantu rumahnya keluar untuk menjadi jurucakap buat Azwad.

"Dia dah tidur tok." Tipu sunat. 

Mereka memang tidak dapat dipisahkan. Ke mana-mana mereka pasti bersama. Buat baik bersama. Buat jahat pon bersama-sama. Malah keluarga masing-masing juga sudah kenal baik karenah mereka ini. Apabila salah satu keluarga pergi bercuti atau keluar makan di luar, pasti dua sahabat ini akan turut menyertai. 

Selepas UPSR, Azwad mendapat tawaran untuk ke sekolah asrama. Sekolah Alam Shah. Bakhtiar ke Victoria Institution. 

Meski dipisahkan, mereka masih berhubung antara satu sama lain. Malah kadang-kadang sewaktu sesi outing, Azwad akan keluar ke bandar untuk bertemu dengan Bakhtiar. Bakhtiar dengan seluar jeans dan t-shirtnya. Azwad dengan t-shirt berkolar outing sekolahnya. Tapi selalunya Bakhtiar akan siap-siap bawa sepasang jeans dan t-shirt yang dikirim Azwad dari rumahnya. Kurang sikit keskemaannya. 

Sama ada mereka akan pergi menonton wayang, bermain boling, membeli-belah barangan keperluan Azwad atau sekadar lepak-lepak minum kopi sahaja. Di hujung tingkatan tiga, Bakhtiar membawa gelprennya untuk diperkenalkan kepada Azwad. Pertengahan tahun tingkatan empat, giliran Azwad pula membawa gelprennya berjumpa dengan Bakhtiar. Budak Sekolah Seri Puteri. Tipikal. 

Pokoknya, mereka terus bersahabat baik. Bergaduh dan bertekak itu perkara biasa. Terutamanya apabila pasukan Manchester United bertemu dengan Arsenal. Namun selepas puas bertelagah pasukan siapa yang lebih hebat di kedai mamak, mereka akan pulang ke rumah berpelukan bahu, seperti tiada apa yang berlaku. 

Selepas SPM, Azwad mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Perancis. Sudah tentu Bakhtiar berasa cemburu. Namun dia benar-benar gembira untuk sahabatnya itu. Tidak ada rasa dengki sedikit pon yang bersarang di dalam hatinya. Dia gembira untuk Azwad. Bangga. 

Ketika mahu menghantar Azwad ke Perancis di KLIA, Bakhtiar tidak dapat menyembunyikan sebaknya. Azwad juga tidak dapat menyorokkan rasa syahdunya. 

"Alaahh bro. Rilek ahh. Setahun sekejap je!" Azwad tergelak kecil sambil mengelap hujung matanya. Merah.   

"Kau jangan tak balik bro lepas setahun. Kalau tak aku pergi cari kau kat Pa-ghee tuuu!" 

Azwad tergelak. Mereka berpelukan. Erat. Lama. 

Bakhtiar menghadiahkan sesuatu kepada Azwad sebagai tanda perpisahan. Selepas membuat gaya salam unik identiti mereka berdua dan diakhiri dengan bro fist, mereka akhirnya berpisah. 

Mereka berjanji untuk sentiasa berhubungan meski berjauhan. Sama ada menerusi Skype, Mukabuku, Waksep atau apa-apa sahaja lah yang dapat dimanfaatkan untuk mendekatkan lagi jarak antara mereka. Walau dipisahkan dengan jarak masa tujuh jam, mereka akan cuba cari waktu yang sesuai untuk kedua-duanya dapat berhubungan. 

Masa pon berlalu. Langit tetap biru. Awan berkepul gebu. Bunga tumbuh dan layu.

Bakhtiar mula perasan akan perubahan pada diri Azwad. Mula-mula dia perasan Azwad sudah mula menulis status-status berunsur nasihat dan keagamaan pada laman Mukabukunya. Kemudian, pada gambar-gambar yang dikongsikan Azwad sama ada di Mukabuku atau Instagramnya, kebanyakannya adalah gambar-gambar dia menyertai program-program 'motivasi' atau jalan-jalan melancong dengan 'ikhwah'. Perkataan-perkataan alien dan asing seperti 'ukhuwwah', 'tarbiyah', 'dakwah', 'khalifah' dan 'ubudiah' semakin sering digunakan Azwad. 

Bakhtiar tidaklah berasa pelik sangat dengan fenomena itu. Sedangkan mat rempit pon hadir ke kuliah Ustaz Azhar Idrus. 

Namun dia mula berasa risau dan curiga, apabila gelpren Azwad selama tiga tahun itu datang merengek-rengek mengadu kepadanya, menceritakan bahawa Azwad minta untuk memutuskan perhubungan mereka. Gelprennya meminta Bakhtiar agar memujuk Azwad berfikir masak-masak dan jika boleh, menarik semula keputusannya itu.

Apabila ditanyakan perihal hal itu kepada Azwad melalui Waksep, Azwad hanya membalas dengan emotikon kenyit mata dan penjelasan ringkas, "Muktamad bro."  

Bakhtiar sudah kenal benar dengan Azwad. Muktamad Azwad maksudnya muktamad. Fulsetop. Tiada apa yang mampu dilakukannya untuk memujuknya lagi. 

Semakin lama, perubahan pada diri Azwad semakin ketara. Mana-mana gambar-gambar lama di dalam simpanan Mukabuku, Instagram dan sebagainya, yang kurang senonoh, yang tidak tutup aurat, yang tampak mesra dengan perempuan bukan mahram, yang huhahuha, semuanya dibuang. Yang tinggal hanyalah gambar-gambar sopan, yang bolehlah jika mahu dibuat gambar rujukan bakal mak mertua.

Begitu juga dengan pautan-pautan yang tidak bermanfaat, seperti game dan movie, semuanya dibuang daripada laman profailnya. Digantikan pula dengan TiubAnda tafsir Nouman Ali Khan. Atau nasyid Palestin. Atau artikel Ustaz Hasrizal. Atau pautan ke belog Angel Pakai Gucci. Ehem. 

Kalau dulu minatnya yang ditulis pada profailnya adalah 'football', 'girls' dan 'music' kini semuanya sudah tiada. Yang ada, 'Quran', 'Rasulullah' dan 'Jannah.' Kalau dulu buku kegemarannya adalah siri Harry Potter, Angels & Demons dan Freakanomics, kini senarai buku-buku kegemarannya termasuklah Dalam Dekapan Ukhuwah, Manhaj Haraki dan Super Freakanomics.

Ya, Azwad sudah berubah. Berubah.

Dan Bakhtiar mula merasakan kejanggalannya setiap kali dia berhubungan dengan Azwad. Namun dia cuba membuang perasaan itu jauh-jauh. Bagi dia, Azwad masih sahabatnya. Sahabat baiknya. Apatah lagi, setiap kali mereka berhubungan, Azwad masih mesra dan ceria seperti dahulu. 

Kerana itu dia berdebar-debar menantikan ketibaan Azwad hari itu. Dia tidak tahu apa yang patut dijangkakan nanti.

Dia sudah berjanji pada Azwad yang dia sendiri yang akan pergi menjemputnya. Pada mulanya Azwad menolak dengan alasan tidak mahu menyusahkannya, namun setelah didesak oleh Bakhtiar dan digula-gulakan pula dengan teh tarik dan roti canai garing mamak kegemaran Azwad, dia mengangkat bendera putih. 

"Aku dah sampaaaaiii!" 

Telefon pintar Bakhtiar bergegar dengan mesej Waksep Azwad yang baru masuk. 

"Tunggu jap eh. Nak kena tunggu beg semua."

Bakhtiar membalas dengan emotikon wajah penuh keterujaan. Hakikatnya, dia sedikit gelisah. Berdebar-debar. 

Tidak lama selepas itu, dari jauh kelihatan Azwad berjalan menolak troli, menghampiri balai ketibaan. Rambutnya panjang. Wajahnya putih bercahaya. Dan dia membiarkan janggutnya tumbuh panjang. Panjang tetapi kemas.

Bakhtiar tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya, apatah lagi apabila Azwad memakai t-shirt hadiah pemberiannya sewaktu berpisah dahulu. 

"Blood brothers. We are here to stay. Forever."

Azwad tersenyum lebar apabila dia mula ternampak kelibat Bakhtiar. Dari jauh lagi dia sudah mengangkat tangan dan melambai-lambai kepada Bakhtiar.

Mereka berpelukan. Erat. Seperti sewaktu mereka berpisah dahulu.

"Kan aku dah janji kat kau, aku akan balik dalam masa setahun?"

Bakhtiar menumbuk manja bahu Azwad.

"Apa ce?"

"Apa ce? Aku ada banyaaaaakkk cerita nak share dengan kau! Sebelum tu kau kena tunaikan janji kau dulu, bawak aku pergi Masood Maju. Segera!"

Mereka berdua tertawa. 

Dalam perjalanan ke tempat kereta, masing-masing bertanyakan perihal diri dan keluarga. Bakhtiar sedikit lega. Dia tidak dapat mengesan sebarang perubahan besar pada sahabatnya itu, selain daripada rupa fizikal Azwad yang lebih banyak bulu daripada biasa. Biasalah tu, budak baru balik obesi kan. 

Namun keadaan sedikit awkward di dalam kereta. Masing-masing tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. 

Keluar sahaja dari perkarangan parkir KLIA, Bakhtiar menurunkan tingkapnya. Cepat-cepat dia keluarkan kotak rokoknya dan menyalakan sebatang rokok cap Marlboro. Tak tahan.

"Bro?"

Dia menghulurkan kotak itu pada Azwad.

Azwad hanya menggelengkan kepalanya dan tersenyum.

"Aku dah stop bro. Lama dah. Alhamdulillah."

Perlahan-lahan Bakhtiar menarik semula kotak rokok itu. Segan mungkin. Dan tidak disangkanya, Azwad yang dahulunya setia bersamanya mencuri-curi merokok di kawasan Sungai Wang atau Berjaya Times Square, kini sudah mengkhianatinya. 

Bakhtiar membuka radio. Dipasangnya CD Green Day, lagu nombor tujuh, Macy's Day Parade. Lagu kegemaran Azwad suatu ketika dahulu. 

"Kau ingat lagu ni bro?"

Azwad tersenyum.

"Ingat."

Bakhtiar bersiul mengikut rentak lagu. Diketuk-ketuknya stering kereta, tanda dia menikmati lagu memori mereka berdua itu. Lagu yang sering mereka mainkan terutamanya selepas berjaya berbuat sesuatu yang nakal.

Perlahan-lahan Azwad menukar siaran. Ditukarnya kepada radio dan ditekannya butang mencari siaran sehinggalah dia menjumpai stesen yang dicarinya.

"...pilihan utama anda."

Hampir mahu terbeliak mata Bakhtiar, apabila akhirnya dia dapat meneka stesen radio apakah itu.

IKIM.fm...?? IKIM...?? Sapa dalam dunia ni yang dengar IKIM....???

Tidak semena-mena timbul semacam rasa geram Bakhtiar pada Azwad. Bukan sebab Azwad sudah berhenti merokok. Bukan sebab Azwad menukar lagu Green Day kepada IKIM. Bukan. Tapi entah. Perasaan itu sukar ditanggapi Bakhtiar sendiri. Tapi dia geram. Marah.

Dia menjeling Azwad.

"Dah kau ni kenapa...?"

Azwad seperti tersentak dengan pertanyaan itu. Diangkat kening kanannya. Kemudian dia tersenyum.

"Kenapa..? Haha. Betul kau nak tahu?"

Bakhtiar tidak menjawab. Dia hanya fokus ke hadapan, pada kereta dan jalan. 

"Aku..."

Jantung Bakhtiar berdegup satu macam. Kencang. 

"...dah join usrah."

-gabbana-

Ada la kena mengena sikit dengan yang hidup atau yang dah mati. Eheh.

Selamat memanfaatkan hujung minggu anda!


16 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 09/05/2014, 17:29  

Sambungan x der ker. Really enjoy baca ni

Anonymous 09/05/2014, 17:48  

Alaaaaa sambung la lagi APG. Hahaha enjoy baca niee

Anonymous 09/05/2014, 18:41  

Sambung sambung!

Anonymous 09/05/2014, 18:53  

terharu baca,,,, sambungan segera diperlukan :)

Anonymous 09/05/2014, 21:22  

Sambung la apg :((

Anonymous 09/05/2014, 22:03  

Mohon sambung, Inche Gabbana

Anonymous 09/05/2014, 22:18  

Sambunggg!

Anonymous 10/05/2014, 00:29  

Mohon sambung~
amat enjoyyy :")

Anonymous 10/05/2014, 00:56  

Sambung sambung

Anonymous 10/05/2014, 01:42  

Subhanallah! thumbs up! really enjoy it. sama2 ambil ibrah. may Allah bless u

Anonymous 10/05/2014, 10:28  

Salam.(Komen mungkin takde kaitan) Mengapa bila pendapat kita tak sama, dikata yg lain itu ego dan fikiran sempit? Yakin kah kita kita saja berpendapat luas dan diterima Allah. Entah2 yg dikata yg sempit itu lah yg luas dan sebaliknya. Hormatilah pendapat orglain seadanya, jgn ber'tapi-tapi'
..mungkin pendapat anda salah.
..mungkin dua2 pendaapat ada kebenarannya, to a certain degree, based on the angle you look at it.

Kila Kalisya 11/05/2014, 02:20  

Please sambung! Hehehehe.

Aflah 11/05/2014, 19:06  

ahahaha.
siyesly,kat france or even memane oversea skang dahh meletup usrah.
haih.btapa besar jasa seorang Hasan Al Banna.

Anonymous 12/05/2014, 02:43  

Ana dh ikut usrah dr darjah empat.
Anjuran sek.

Bila sek men, ana masuk asrama.
Ikut tarbiyah usrah anjrn sek juga.
Alhamdulilah.

Mak ayah ana dua dua alhamdulilah
join usrah. Since belajar kt obersi.
Kami 1keluarga alhamdulilah
bpeluang ikut tarbiyah

Eh, smbg cite blek!
Then, bila akhir 2012,
ana scra seriyes ikut usrah cm jemaah yg mak ayah ana tsabat.
Level 01.

Sblm ni, ana jujur xpnh bpeluang nk join usrah jemaah ni sbb ana skola asrama dulu. So bila ad daurah ka kem kem jemaah ni ana slalu miss .

X mcm ikhwah akhwat len.

So whats the pointnyerr? Hoii!

Emm nk ckp ni je.
Bila dah stat ikut usrah or segi tiga gembira ka, eh iluminati plak!

Haha. Ok seriyes.
Bila dah folo tarbiyah dlm scra jemaah,
Truskan thabat pd jln uh.

Sbb sumpah, bila ikut usrah jemaah ni pengisian dia lbih berfokus, manhaj nya iAllah, betul. Dan lebih pnting,
usrah anjuran jemaah ada ruh.
Xrasa kosong.


Dah ah. Pnjg pulek.

Addiwiyah 14/05/2014, 12:17  

cuba barik buku conteng jalanan tulisan hllovate.. dia pun usrati jugak..

adalah lebih kurang cam ceriti diatas, so lebih PUAS!!

Anonymous 15/03/2015, 14:51  

Jadi join usrah boleh merubah seseorang?? Alhamdulillah.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP